Pada suatu hari, Abu Nawas
berjalan-jalan hingga ke kampung Badwi yang terletak di kawasan gurun yang juga
jauh dari bandar tempat tinggalnya. Sesampainya dia di tempat tersebut, dia
mendapati beberapa orang penduduknya sedang memasak bubur dan suasananya begitu
meriah sekali. Tiba-tiba, Abu Nawas ditangkap oleh penduduk kampung tersebut
dan dibawa ke sebuah rumah untuk disembelih.
“Kenapa aku ditangkap?” tanya Abu
Nawas.
“Wahai orang asing, setiap orang yang
melewati kawasan ini pasti kami akan tangkap. Kami akan sembelih seperti
kambing dan masukkannya ke dalam belanga bersama adunan tepung itu. inilah
pekerjaan kami dan itulah makanan kami setiap hari,” jawab salah seorang
penduduk kampung itu sambil menunjuk ke arah belanga yang mendidih airnya.
Abu Nawas ketakutan tetapi meskipun
dia berada dalam keadaan itu, dia masih sempat berfikir dan mencari akal untuk
terlepas dari genggaman penduduk kampung itu. lalu dia pun berkata,
“Wahai penduduk kampung, kamu lihatlah
diriku ini. badanku kurus kering saja, dagingku tidak banyak. Kalau kamu
benarkan, esok aku akan bawakan temanku yang badannya lebih gemuk dariku hingga
kamu semua boleh makan untuk lima hari lamanya. Aku berjanji akan bawanya ke
sini, tolonglah lepaskan aku,” pinta Abu Nawas.
Kerana janjinya itu, Abu Nawas
akhirnya dibebaskan.
Dalam perjalanan pulang, Abu Nawas
berfikir cara untuk mencari teman yang gemuk sebagaimana yang dijanjikannya.
Tiba-tiba bayang baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terbayang di kepalanya.
“Seharusnya baginda tahu tentang
perkara yang tidak menyenangkan ini dan alangkah baiknya jika baginda tahu
sendiri tentang perkara ini,” fikir Abu Nawas lagi. lalu Abu Nawas pun bergegas
ke istana.
Dengan pelbagai pujuk rayu, akhirnya
Abu Nawas berjaya juga memujuk baginda Sultan untuk ke kampung badwi tersebut.
Esoknya, mereka berdua pun pergilah ke
kampung itu. sesampainya di kampung tersebut, penduduk kampung terus saja
menangkap baginda Sultan Harun Ar-Rasyid manakala Abu Nawas segera meninggalkan
kampung itu. dalam hati dia berfikir,
“Jika baginda bijak, pasti baginda
dapat melepaskan diri dari penduduk kampung itu. jika tidak, matilah baginda
hari ini,”
Sementara itu, baginda Sultan Harun
Ar-Rasyid langsung tidak menyangka akan disembelih. Dalam takut-takut, baginda
berkata,
“Jika kamu membuat bubur, dagingku ini
tidaklah banyak kerana banyak lemaknya. Tapi jika kamu semua izinkan, benarkan
aku membuat makanan lain yang boleh kamu semua jual dengan harga yang lebih
mahal berbanding harga bubur kamu itu,”
Lalu penduduk kampung itu pun
bersetuju dan baginda sultan pun bekerja keras membantu penduduk kampung itu
membuat pelbagai makanan seperti mana yang dijanjikannya. Akhirnya, baginda
dibebaskan kerana berjaya membantu penduduk kampung itu dari terus mengamalkan
memakan daging manusia.
Beberapa hari kemudian, baginda Sultan
memanggil Abu Nawas untuk dikenakan hukuman kerana nyaris membuatkan baginda
kehilangan nyawa. Abu Nawas dianggap telah memalukan rajanya di hadapan
rakyatnya sendiri.
“Wahai Abu Nawas, kamu benar-benar
telah memalukan baginda sultan. Perbuatanmu itu sungguh tidak wajar dan kamu
patut dihukum bunuh,” kata Sultan Harun Ar-Rasyid penuh geram.
“Ampun patik tuanku. Sebelum patik dihukum,
perkenankan patik untuk menyampaikan kata-kata patik,” sembah Abu Nawas mahu
membela diri.
“Baiklah. Tetapi ingat, jika salah,
nescaya kamu akan dibunuh hari ini juga,” ujar baginda sultan.
“Wahai tuanku, alasan patik
menyerahkan tuanku kepada pembuat bubur itu adalah ingin menunjukkan keadaan
hidup masyarakat yang pelbagai dalam negeri ini. kerana semua kejadian di dalam
negeri ini adalah tanggungjawab tuanku kepada Allah SWT kelak. Raja yang adil
sebaiknya harus tahu setiap pekerjaan yang dilakukan oleh rakyatnya sendiri,”
terang Abu Nawas.
Mendengar penerangan itu, maka
hilanglah rasa marah Sultan Harun Ar-Rasyid. Dalam hati dia membenarkan
kata-kata Abu Nawas itu.
“Baiklah kalau begitu baginda ampunkan
semua perbuatanmu dan jangan melakukannya lagi di masa hadapan,” tegas baginda
Sultan.
No comments:
Post a Comment