Friday, December 21, 2012

Ini situasinya...


Lama sudah rasanya saya tidak menjengah blog ini... sibuk dengan urusan kehidupan? memang iya tapi lebih kepada sibuk menyelesaikan masalah orang lain yang datang dalam hidup saya... masalah apa? macam-macam ada.. tak tahu yang mana perlu diutamakan tapi yang pastinya, masalah kekeluargaan yang paling banyak perlu saya selesaikan...
saya bukanlah seorang pakar keluarga, malah berkahwin pun belum, tidak juga pakar kaunseling, jauh sekali membuka pusat-pusat kaunseling tetapi menjadi tabiat kebanyakan kawan-kawan rapat meluah segala macam masalah hidup kepada saya yang sedia menadah telinga tak kira masa...
tapi bukan itu yang ingin saya perkatakan... tapi hubungan kekeluargaan yang saya rasa semakin lama semakin longgar dalam sesebuah keluarga tak kiralah kaya atau miskin, di bandar atau kampung... semuanya mempunyai masalah kekeluargaan yang cukup serius...
dari ayah, mak hinggalah ke anak bongsu, ada sahaja masalah yang timbul... jika tidak membabitkan maruah keluarga mungkin boleh dipandang remeh tapi jika sampai anak dan ibu tidak bertegur sapa, ayah menuduh anak derhaka, kakak menyimpan dendam pada adik, tidakkah itu dirasakan sebagai masalah yang serius? sampai bila semua ini harus dilalui oleh sesebuah keluarga yang sedia retak dari awal perkahwinan? satu masalah yang cukup besar bagi sesiapa yang tidak punya pegangan agama yang kukuh...
saya tidak bermaksud untuk mengatakan ibu bapa di zaman ini tidak pandai mendidik anak-anak tapi dari kaca mata saya yang sedia berkaca mata ini, sememangnya ibubapa memegang separuh dari seratus peratus kesalahan yang berlaku dalam rumahtangga... walau ada ibubapa yang sudah memberi didikan yang sempurna pada anak-anak tapi sedarkah kita bahawa menjadi tanggungjawab kita juga untuk mendidik anak-anak melalaui tingkah kita sendiri? jika tidak, tidak wujudlah pepatah bapa borek anak rintik, bapa kencing berdiri anak kencing berlari, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bagaimana acuan begitulah kuihnya dan banyak lagi untuk disebut...
kenapa ibubapa yang harus disalahkan? kerana ibubapa adalah orang pertama yang menjadi idola anak-anak ketika mereka kecil... ibubapa juga yang menunjuk jalan hidup kepada anak-anak... malah ada juga di zaman ini ibubapa yang memilih calon untuk dijadikan menantu dalam keluarga mereka... kerana itu apabila anak-anak melakukan kesalahan, ibubapalah yang dipersalahkan terlebih dahulu kerana mereka adalah orang-orang yang bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak mereka...
mungkin ramai yang tidak setuju dengan kenyataan saya ini... saya sendiri juga begitu tapi itulah yang terhasil dari kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak... 
lihat saja cara didikan ibubapa kita di zaman dulu... jauh berbeza dengan kita yang serba moden ini... benar kehidupan mereka juga jauh berlainan dari kehidupan kita sekarang tapi tidakkah kita boleh menjadikan kehidupan mereka sebagai salah satu contoh dalam membentuk keluarga sendiri? tanya saja pada kenalan-kenalan yang berusia 30 tahun dan ke atas... pasti majoritinya akan memilih ibubapa sendiri sebagai idola... tetapi bagaimana pula dengan anak-anak sekarang? kenapa semua tu boleh terjadi, hanya kita yang tahu jawapannya jika kita pandai mencari...
bukan niat saya untuk mengatakan ibubapa zaman kini tidak pandai mendidik anak-anak tapi seboleh mungkin, luangkanlah sedikit masa pada anak-anak...bukan saja untuk memenuhi keperluan fizikal dan mental tapi juga jiwa mereka yang masih mentah dalam mengenal kehidupan... selami kemahuan dan kehendak hati anak-anak agar mereka tidak tersesat jalan di depan hari... memang bukan mudah menjadi ibubapa di zaman serba canggih ini tetapi kita perlu sedar, kasih sayang adalah segalanya dalam kehidupan...gunakan peluang yang ada untuk menjadi kawan, teman, sahabat pada anak-anak sendiri... Insya-Allah, tiada ruginya jika kita berhubungan baik dengan anak-anak apatah lagi anak-anak itulah yang bakal menyedekahkan doa pada kita bila tiba masanya untuk kita tinggalkan dunia ini nanti... itu pun jika kita tidak lupa untuk mendidik mereka dengan didikan agama yang sepatutnya...salam sayang untuk semua...

BERSATU DALAM CINTA: BAB 8


BAB 8

“APASAL kau mengeluh?” Pertanyaan itu mengundang pandangan Faris pada Ainul. Dia tersenyum sedikit. Nafasnya dibuang pendek.
“Aku bukan mengeluhlah tapi bosan sebenarnya,” sahut Faris malas.
Matanya diliar ke sekeliling seketika sebelum melekat semula ke wajah kedua-dua sahabatnya.
“Bosan? Kenapa pulak nak bosan?” tanya Isma pula. Membuatkan Faris yang sedang menyandar tubuh di kepala kerusi kembali menegak tubuh.
“Aku sebenarnya rasa bosan sangat dengan jalan hidup aku ni. Hari-hari buat kerja yang sama aje. Pergi kerja, balik rumah. Dari rumah pergi kerja semula. Dari dulu sampailah sekarang, begitulah keadaannya sampai bila-bila pun.
Aku rasa diri aku ni tak ubah macam robot. Tak ada sebarang perubahan langsung. Buat kerja yang sama aje setiap hari. Bosanlah. Apa kau orang tak rasa bosan ke macam yang aku rasa sekarang ni?” Dalam merungut dia menyelit pertanyaan. Memandang kedua-dua sahabat yang turut menempat diri dalam ruang luar restoran yang dibuka 24 jam malam itu.
“Kau nikan Ris, dah nama pun manusia. Memang itulah tanggungjawab yang kita kena buat sepanjang hidup dalam dunia ni. Itupun dikira sebagai ibadat juga tau. Kalau tak kerja, kau nak makan apa? Batu? Pasir? Pasir pun mahal sekarang tau. Jadi bosan ke tidak, kau tetap kena kerja jugak.
Lagipun kenapa pulak kau nak rasa bosan? Bukankah syarikat yang kau kendalikan sekarang ni dibuka atas minat kau? So, nak bosan apanya? Lainlah aku dan Isma ni. Kerja di syarikat keluarga sendiri. Minat ke tidak, tetap kena kerja juga. Kalau tak kerja dengan dia orang, kecil pulak hati orang tua kita nanti,” ujar Ainul menyahut panjang lebar.
“Bukan begitu maksud aku Ainul oii, tapi aku rasa bosanlah. Memanglah aku buka syarikat percetakan tu atas minat aku tapi aku rasa bosan dengan jalan hidup aku ni. Tak ada perkara lain yang aku buat pun selain dari kerja, kerja dan kerja.
Itu saja. Sejak kita keluar universiti sampailah sekarang, itu ajelah yang aku buat. Memerah tenaga hanya semata-mata untuk memajukan syarikat. Macam tak ada perkara lain yang boleh aku buat dalam dunia ni selain dari buat semua tu.” Dalam mengeluh Faris merungut lagi.
“Buat masa sekarang memang itulah yang kau kena buat pun Ris. Tapi di masa akan datang aku rasa banyak lagi perkara yang kau kena buat,” celah Isma tiba-tiba dengan lagak tenang. Sedangkan Faris sudah mencantum kening. Hairan.
“Aku nak buat apa lagi? Semua impian aku dah tercapai. Aku nak buka syarikat, dah tercapai impian aku tu. Aku nak kembangkan syarikat aku tu, itupun aku dah lakukan. Buktinya, aku dah ada dua cawangan syarikat percetakan. Nak beli rumah, kereta, duit simpanan? Semua itu aku dah buat.
So, apa lagi yang tak adanya? Nak jadi kaya-raya? Ops... sorry ya. Bab tu aku tak minat. Aku dah cukup bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Setakat ini belum terlintaslah di kepala otak aku ni nak jadi jutawan atau hartawan ternama.”
Ternyata Faris masih tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata sahabatnya.
Membuatkan senyuman Isma terus melebar.
“Setakat semua harta benda tu, jangan kata kau, aku dan Ainul pun dah ada. Tapi kalau kau nak tahu, semua itu hanya impian sampingan kau. Masih ada impian terbesar yang belum kau laksanakan sampailah sekarang.” Kata-kata Isma menjadikan mata Faris kembali terpacak di wajahnya. Bulat.
“Apa dia?” Dahinya masih melakar kerutan.
“Impian untuk berkeluarga sendiri. Takkan kau nak biarkan rumah yang kau beli tu sunyi sepi seumur hidup? Takkanlah tak ada suri yang akan menjaganya bila kau keluar bekerja? Sampai bila kau nak biarkannya kosong tanpa ada suara anak-anak penyambung generasi kau kat situ? Apa guna ada rumah sebesar istana Encik Faris Firdaus oii kalau suasananya tak seceria yang kau harapkan.”
Jawapan Isma mengundang senyuman hambar Faris. Dia melepas nafas perlahan.
“Tentang tu, aku tak boleh cakap apa-apa Is. Bukan aku tak berminat tapi entahlah. Sejak aku buka syarikat sendiri, aku dah tak terfikir nak buat semua tu. Mungkin sebab aku belum jumpa calon yang sesuai, sebab tu aku tak pernah terfikir lagi pasal perkara ni.”
“Kau masih ingat kisah cinta kau yang tak menjadi tu?” Mendengar pertanyaan Ainul, senyuman Faris kembali terukir. Tawar.
“Mungkin ya mungkin jugak tak. Apapun seperti yang aku cakap tadi, aku belum bersedia ke arah tu. Lagipun buat apa aku nak kahwin sekarang kalau sekadar nak menyusahkan aku aje.” Suaranya lagi.
“Menyusahkan macam mana maksud kau?” tanya Isma segera. Tak faham.
“Iyalah. Aku kan belum bersedia untuk berkahwin buat masa sekarang? Buat apa aku nak sakitkan kepala aku fikirkan semua ni? Lagipun macam mana aku nak timbulkan rasa teringin nak kahwin tu kalau keadaan sekeliling banyak mempengaruhi aku supaya jangan sesekali berfikir pasal ni? Pengaruh terdekat, kau orang berdualah.” Selamba saja dia menuduh kedua-dua sahabatnya itu.
Kata-kata itu menjadikan tubuh Isma dan Ainul tegak serta-merta. Mata kedua-duanya sudah membulat ke arah Faris.Terkejut.
“Apasal kau kata kami berdua pulak? Apa yang dah kami buat kat kau sampai kau boleh cakap macam tu?” tanya Ainul benar-benar pelik dengan kata-kata lelaki itu.
“Amboi, kau boleh tanya pulak apa yang kau orang buat kat aku ya? Apa lagi yang kau orang tak buat kalau bukan tak bagi contoh yang baik pada aku sepanjang kita jalani kehidupan sehari-hari. Tengok jalan hidup kau orang pun dah cukup buat aku takut nak kahwin tau,” balasnya lalu kedua-dua sahabatnya mengulum senyuman panjang. Mengerti kini maksud kata-kata Faris.
“Ooo... maksud kau, kami berdua nilah puncanya yang membuatkan kau tak terfikir nak berkahwin sampai sekarang ni ya?” Senyuman Isma semakin melebar.
“Sudahlah kau Ris. Sendiri tak ada hati nak kahwin salahkan kita orang pulak,” tempelaknya dalam tawa kecil yang sudah terhambur dari mulutnya sendiri. Geli hati dengan kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
“Kalau iya pun kau tak nak kahwin, janganlah salahkan kita orang pulak,” sampuk Ainul turut sama membuang tawa.
Faris turut berbuat demikian.
“Aku tak kata kau orang jadi punca aku tak berkahwin sampai sekarang tapi itulah. Melihat perjalanan perkahwinan kau orang selama ni membuatkan aku tak terasa langsung nak kahwin. Kau Is, dengan cara hidup kau. Lepas saja arwah Kamilia pergi, sampai sekarang kau tak cari penggantinya.
Kau lagilah Ainul. Elok aje kau bercerai dengan Alia, langsung tak nampak tanda-tanda kau nak cari yang baru. Cara kau orang tu membuatkan aku rasa lebih baik kalau aku tak kahwin sampai bila-bila. Yalah, buat apa kahwin kalau perkahwinan itu hanya akan menyusahkan aku saja di masa depan?” Faris memberi pendapatnya sendiri.
“Kau ni Ris, betullah salah membuat tafsiran. Bukan silap kita orang semua tu jadi Encik Faris Firdaus oii tapi semua tu berlaku atas ketentuan ALLAH. So kita orang nak buat macam mana lagi. Nak tak nak terima ajelah semuanya dengan hati yang terbuka. Yang kau ni pun satu. Dah tahu perkahwinan kita orang dah lingkup begitu, yang kau tengok dari segi negatif tu buat apa? Fikirlah secara positif sikit.
Banyak lagi orang lain yang boleh kau buat contoh teladan. Contoh terdekat, mak ayah kau sendiri. Tengok dia orang, dah berpuluh tahun hidup bersama. Bahagia juga sampai sekarang,” tempelak Ainul dalam senyumannya.
Sedang Isma sudah melepaskan tawa buat kali kedua. Faris apatah lagi.
“Betul cakap Ainul tu. Kau sepatutnya tengok perkahwinan tu dari sudut yang positif, barulah rumah tangga kau kekal bahagia selamanya. Bukan tengok dari sudut yang tak sepatutnya. Aku berani jaminlah Ris, kalau kau tak ubah cara pemikiran kau dari sekarang, alamatnya sampai ke matilah kau membujang tahu tak,” sampuk Isma masih tak reda tawanya. Faris tersenyum lebar.
“Itu aku tahulah tapi macam mana aku nak tengok dari sudut positifnya kalau yang ada di depan mata aku semuanya negatif? Tulah kau orang. Sepatutnya kau orang bagi aku contoh teladan yang baik. Bukannya buatkan aku fikir yang bukan-bukan. Tak pasal-pasal aku dah tak teringin nak kahwin sekarang.”
Dia ketawa semula bila Ainul dan Isma pantas menjegil mata ke arahnya. Kedua-dua mereka turut meluah tawa akhirnya. Geli hati dengan isi bicara mereka ketika ini.
“Eh, dahlah kau orang. Dari tadi asyik bercakap aje. Jomlah balik. Dah pukul berapa dah ni. Esok nak kerja pulak.”
Ainul bersuara semula tidak lama kemudian tatkala terpandang jarum jam tangannya. Baru sedar masa semakin berlalu pergi. Dilambai tangannya pada pelayan restoran yang segera menghampiri.
“Sebelum balik, kita singgah di masjid sekejap. Boleh Solat Isyak siap-siap. Balik nanti terus tidur aje.” Cadangan Faris dibalas dengan anggukan setuju kedua-dua sahabatnya.

“JEMPUT minum Lia,” pelawa Damia mengunjuk mug berisi minuman panas pada Alia.
Wanita itu mengangguk lalu menyambut mug yang dihulurkan. Matanya masih melekat di skrin televisyen.
“Kau kenapa Lia? Monyok semacam aje muka kau tu. Apa hal sebenarnya?” tanya Damia sambil merebah tubuhnya di sofa. Kemudian duduk bersila menghadap wanita itu. Lalu merayapkan mata ke wajah tegang berbalut suram milik Alia. Riak yang terpamer sejak wanita itu pulang ke rumah petang tadi. Terus saja Alia merengus kasar.
“Pasal apa lagi Mia oii kalau bukan pasal si bodoh bangang tulah. Tak sudah-sudah nak sakitkan hati aku aje,” marah dia setelah seteguk air melepasi ruang tekaknya.
“Si bodoh bangang? Siapa pulak yang kau bodoh bangangkan ni?” Damia terpinga-pinga. Dahinya pula sudah berkerut seribu. Tak faham.
“Siapa lagi kalau bukan si Ainul buta kayu tulah.” Jawapan keras Alia membuatkan Damia terus mengangguk faham.
“Oh... bekas laki kau tu rupanya. Dia dah buat apa kat kau?”
“Macam-macam yang dia buat sampai sakit satu badan aku dibuatnya. Luar badan ke, dalam badan ke, sama aje rasa sakitnya. Pendek kata semua sekalilah anggota badan aku ni sakit dibuatnya.” Nyata marah Alia masih belum surut.
Damia sudah melopong mulut.
“Huih! Macam tu sekali Ainul sakitkan kau ya? Teruk betul tu. Mengalahkan orang yang sakit accident pulak ya,” ujar Damia selamba. Sekali gus menjadikan raut wajah Alia bertambah-tambah masam. Bengang dengan usikan gadis itu.
Damia terus tersengih. Seketika cuma.
“Cuba kau bagitahu aku, apa sebenarnya yang bekas laki kau tu dah buat kat kau? Ceritalah dari awal sampai akhir supaya aku faham.” Serius pula dia bertanya kali ini.
Mendengar kata-kata itu, Alia terus memusing tubuh. Dia tidak lagi berminat menatap televisyen sebaliknya menghadap Damia yang senantiasa bersedia mendengar segala masalahnya. Bukan saja sekarang malah sejak dari dulu lagi Damia bersikap begitu. Sememangnya gadis itu seorang pendengar yang baik buat Alia. Lalu dengan begitu bersungguh-sungguh dia pun memulakan ceritanya.
“Kau tahu Mia, adakah patut aku yang cantik lagi jelita ini diajaknya bergaduh? Dahlah tu, kat dalam restoran lagi. Semua orang tengok gelagat kami masa tu. Ya ALLAH Mia, ikutkan hati marah aku, nak saja aku sepak kepala si bodoh bangang tu sekuat hati. Bebal betullah otak kosong dia tu.” Penuh geram Alia bersuara. Hingga terkepal-kepal jari-jemarinya beberapa kali. Sempat lagi dia memuji diri sendiri dalam pada itu.
“Nasib baik Rina dan Lily ada sekali. Kalau tak dah lama aku tarik-tarik rambut si Ainul tu, biar botak terus. Mana tahu hilanglah sikit bebal dia nanti kalau kepalanya dah botak licin. Senang sikit dia nak fikir nanti. Eii!!! Memang bodohlah dia tu, otak letak kat kepala lutut agaknya.” Dalam marah Alia menyambung suara lagi.
Damia pula terus-terus mengerut dahi.
“Habis tu, dia maki kau ke?” tanya dia ingin tahu.
“Nak kata maki tu taklah tapi dia marah-marah kat aku. Kau tahu apa dia kata? Dia tuduh aku yang jadi punca rumah tangga kami roboh dulu. Dia kata aku curang dengan lelaki lain. Eii! Sesedap mulut dia aje nak tuduh aku macam tu. Macamlah dia tu bagus sangat. Gila bekerja sampai tak ingat rumah tangga sendiri. Nak tuduh aku curang konon. Yang dia tu pun sama. Siap ada perempuan simpanan lagi kat pejabat tu.
Ingat aku tak tahu ke semua tu? Saja aje nak salahkan aku semata-mata nak tutup kesalahan dia. Senang cakap memang bodoh betullah kau Ainul!” marah Alia lagi. Lebih kepada bercakap sendiri sebenarnya. Terlupa sebentar dia pada kewujudan Damia di depannya ketika ini.
Sedang Damia telah perlahan-lahan menggeleng melihat telatah sahabatnya. Gadis itu melepas nafas panjang.
“Kau tak marah dia ke bila dia tuduh kau macam tu?” Sambil menyandar tubuh ke sofa semula Damia bertanya lembut. Memandang Alia merengus kesat.
“Apa pulak tak marah? Ingat aku ni tunggul kayu ke tak ada perasaan? Of courselah aku marah dia balik. Kau tahu, sebab aku dah tak tahan dengar dia kata aku macam-macam, aku terus simbah air oren kat dia. Padan muka Ainul. Tak pasal-pasal dia mandi air oren hari tu.” Dia tersenyum lebar. Puas hati dengan tindakannya.
Damia melepas nafas lagi. Kepalanya turut menggeleng buat kali kedua. Matanya pula masih tidak berganjak dari wajah Alia.
“Aku rasalah, baik kau ataupun Ainul sama aje perangainya. Macam budak-budak. Langsung tak matang. Nama aje umur dah masuk 30-an tapi perangai macam orang tak cukup umur. Kalau iya pun kau orang ada masalah peribadi, janganlah diheret sekali dalam hal-hal kerja. Cuba-cubalah bawa berbincang cara baik.
Pamerkan sikap profesional kau orang tu. Ini tidak, pantang bersua muka, bergaduh mengalahkan anjing dengan kucing. Aku rasa anjing dengan kucing bergaduh pun tak seteruk kau orang bergaduh,” sembur Damia terus menggeleng lagi.
“Bukan aku yang mulakan dulu tapi si Ainul bodoh tu yang panaskan hati aku. Mahu aku tak geram,” ujar Alia terus menarik muncung sedepa panjangnya. Dijeling sekilas wajah selamba Damia.
“Tak kisahlah siapa yang mulakan dulu tapi apa salahnya kalau kau beralah, pun? Kalau dua-dua hanya tahu nak menang aje, sampai bilapun kau orang takkan capai kata sepakat. Hari tu kau simbah Ainul dengan air oren, esok-esok entah apa pulak yang dia akan balas. Kalau begini keadaannya, sampai kiamat pun kau orang takkan berbaik.” Lembut Damia memberi nasihat.
“Argh! Tak adanya aku nak berbaik dengan manusia buta kayu tu. Selagi dia tak mintak maaf dengan aku atas semua kesalahan dia pada aku, selagi itulah aku takkan beralah dengan dia sampai bila-bila pun,” sanggah Alia cepat.
Kusyen kecil di ribaannya diramas sekuat hati. Membayangkan dia sedang meramas muka Ainul ketika ini.
Damia terus melepas nafas panjang sebaik sahaja mendengar jawapan wanita itu.
“Kalau itu kau punya prinsip, alamatnya lingkuplah projek ayah kau orang tu dikerjakan kau orang berdua nanti. Mana tidaknya, seorang kata begini, seorang pulak kata begitu. Masing-masing perasan pendapat sendiri yang bagus. Dahlah tu, dua-dua langsung tak mahu beralah. Aku berani jaminlah.
Projek ayah kau orang tu hanya mampu tinggalkan sejarah buruk dalam hidup kau orang berdua tak lama lagi. Percaya atau tidak, kau tengoklah nanti.” Penuh yakin Damia memberi pendapat.
“Bila aku fikirkan semula, aku salahkan ayah aku dan ayah Ainul seratus-peratus dalam hal ni. Suka hati dia orang aje nak aku dan Ainul bekerjasama siapkan projek tu walhal bukannya dia orang tak tahu, kami berdua dah lama tak bertegur sapa sejak bercerai beberapa tahun dulu. Saja aje dia orang nak kenakan kami berdua.”
Alia kembali mengepal penumbuknya. Kali ini bayang Encik Ghazali dan Encik Azmi pula yang menjadi mangsa tumbukannya di kusyen. Damia merengus terus.
“Tengok tu, salah sendiri tak nampak, nak salahkan orang pulak. Sepatutnya kau dan Ainul fikir secara positif tentang tindakan ayah kau orang minta kau orang bekerjasama semula dalam satu projek. Setiap tindakan orang tua kita tu ada sebabnya, bukan suka-suka dia orang aje buat macam tu kat kita.
Mana tahu dia orang nak satukan kau dan Ainul supaya jadi suami isteri macam dulu semula? So, gunakanlah kesempatan ni untuk berbaik kembali dengan Ainul. Kalau tak boleh berbaik sekalipun, at least kau orang boleh jadi kawan selepas ni kan?” tempelak Damia cepat. Betul-betul tak senang dengan kata-kata wanita itu.
“Nak jadi kawan apanya Mia oii kalau si Ainul bodoh bangang tu tak reti nak cakap elok-elok dengan aku. Tahu nak menengking aje. Siapa larat tahan telinga kalau macam tu gaya perangainya? Jangan kata aku, gajah pun boleh naik minyak kalau dua puluh empat kena maki hamun aje tau.” Ternyata Alia tidak mahu mengalah.
Damia pula terus menepuk dahi. Mengerti benar dengan sikap keras kepala wanita itu. Beberapa tahun menjadi sahabat baiknya telah cukup menjadikan Damia mengenali diri pemilik nama penuh Alia Amani itu walau tidak sepenuhnya.
“Kalau beginilah gayanya perangai kau dan Ainul, aku rasa memang menjadi betullah tekaan aku pasal projek ayah kau orang tu nanti. Jahanam semuanya dek perangai ego dan keras kepala kau orang ni,” tukas Damia menggeleng lagi.
“Kenapa pula?” Selamba saja Alia bertanya.
“Aik... boleh pulak kau tanya kenapa ya? Yalah, kalau nak bersua muka pun dah tak boleh, macam mana kau orang nak duduk berbincang pasal projek ayah kau orang tu pulak? Dahlah tu, hal peribadi pulak yang kau orang ungkit keluar pun setiap kali berjumpa. Kalau macam tu samalah jugak macam kau orang duduk dalam kandang mahkamah aje. Saling nak bela diri sendiri walhal perkara tu boleh dibawa berbincang kat luar kalau kena caranya.”
Damia menggeleng semula.
“Apapun aku rasa elok sajalah kau dan Ainul berbincang dari hati ke hati. Kalau tidak sampai bila pun kau orang takkan capai kata sepakat. Baik hal peribadi mahupun hal berkaitan projek kau orang, semuanya hanya akan tergantung di situ saja sampai bila-bila tanpa ada sebarang kata putus kalau kau orang terus bersikap kebudak-budakan macam sekarang. Fikirlah baik-baik nasihat aku ni ya. Aku masuk tidur dulu. Awal pagi esok aku nak ke mahkamah,” sambung Damia terus bangun dari duduknya.
Dia membawa bersama mug minumannya. Diletaknya ke meja makan sebelum melangkah ke tingkat atas.
Meninggalkan Alia yang hanya melepas nafas seraya melekap matanya semula ke skrin televisyen. Manakala mindanya ligat memikirkan kata-kata Damia. Hanya seketika sebelum dia larut dalam keralitannya menonton rancangan kegemarannya tak lama kemudian.

“ASSALAMUALAIKUM. Abang ganggu kamu ke?” Pertanyaan itu menyentak Isma yang sejak tadi sibuk melakukan kerja di bilik pejabatnya.
Dia segera mengorak senyuman. Memandang Khuzairi menjenguk kepala di balik pintu yang tidak ditutup rapat sebelum melangkah masuk ke dalam. Terus lelaki itu melabuh punggung di sofa.
“Mana abang tahu Is masih di pejabat?”
Isma telah bangun mendapatkan lelaki itu. Dia duduk menghadapnya. Khuzairi tersenyum panjang.
“Saja abang lalu kat kawasan pejabat kamu ni tadi. Kebetulan masa abang lalu tu abang nampak kereta kamu masih ada kat tempat parking. Abang agak kamu tentu belum balik kerja lagi. Jadi abang singgah ajelah,” sahutnya mesra.
“Dah lewat petang begini pun kamu masih tak balik lagi Is? Rajin benar kamu bekerja.” Sempat dia memuji bekas adik iparnya.
Isma mengulum senyuman.
“Rajin apanya bang. Saja saya stay lama-lama kat pejabat ni, nak siapkan apa-apa yang patut. Kalau balik ke rumah pun bukannya ada apa yang nak dibuat,” balasnya.
“Yang abang ni dari mana pulak? Lewat-lewat begini pun masih ada kat luar rumah,” ujar Isma. Memandang sekilas tubuh lelaki itu yang masih segak dibaluti pakaian kemasnya.
“Lepas habis kerja tadi abang terus pergi jumpa kawan abang, Yusri namanya. Ada perkara penting yang kami bincangkan tadi,” jelasnya ringkas.
Dia membetulkan kedudukannya sebelum membuka mulut semula.
“Sebenarnya Is, ada tujuan abang datang ke pejabat kamu ni.” Suara Khuzairi kedengaran sedikit serius biarpun bernada tenang.
“Berkenaan apa tu bang?” Sambil menyandar tubuh ke sofa Isma bertanya sopan. Dia membalas tenang pandangan Khuzairi.
“Begini Isma. Seminggu dua lepas ayah ada bagitahu abang yang dia nak majukan kawasan tanah kosongnya di kampung. Daripada dibiarkan semak dan terbiar begitu saja, elok rasanya kalau diusahakan menjadi tempat pelancongan atau sebagainya. Lagipun tanah ayah tu terletak tak jauh dari kawasan air terjun tempat tumpuan penduduk kampung dan orang luar mandi manda setiap kali hari cuti. Jadi ayah bercadang nak bina penempatan chalet kat atas tanahnya tu.
Memandangkan abang dan ayah sama-sama tak tahu apa-apa tentang perkara ni jadi ayah terfikir nak mintak tolong kamu lakukannya. Dia mintak abang sampaikan perkara ni pada kamu sebab dia tak ada masa nak jumpa kamu lagi buat masa sekarang. Tentang kos pembinaan chalet tu kamu jangan bimbang. Ayah akan biayai sepenuhnya projek tu nanti. Cuma itulah, abang berharap sangatlah kamu setuju dengan cadangan ayah ni,” terang Khuzairi panjang lebar.
Isma mengangguk kecil.
“Kalau tentang perkara ni, rasanya tak ada masalah untuk saya lakukannya tapi boleh saya tahu bila abang nak saya mulakan projek ni?”
“Yang itu terpulanglah pada kamu sendiri Is. Ayah dan abang tak memaksa sebab kami tahu kamu pun sibuk dengan projek-projek syarikat kamu yang lain. Bila-bila masa kamu boleh mulakannya asalkan projek ni tak mengganggu kerja-kerja kamu di syarikat ayah kamu ni,” jawab Khuzairi lalu kepala Isma mengangguk lagi.
“Kalau macam tu, saya akan cuba buat kertas kerjanya secepat mungkin. Tapi sebelum tu, saya kena pergi tengok dulu tapak tanah ayah tu sama ada sesuai atau tidak untuk kita bina chalet di situ,” ujarnya. Menjadikan senyuman bekas abang iparnya semakin melebar.
“Terima kasihlah Is kerana sudi bantu ayah dan abang jalankan projek tu. Kalau nak diharapkan pada kami, rasanya sampai bila-bila pun tak adanya nak berjalan projek tu. Maklumlah, kami bukannya tahu apa-apa pasal ni. Kalau pasal undang-undang dan kayu balak, bolehlah.”
Isma hanya mengukir senyuman tanpa sepatah kata mendengar seloroh lelaki itu.
“Hmm... tak apalah Is, hari pun dah petang benar ni. Abang mintak diri dulu. Nanti lewat pula abang sampai ke rumah. Kamu tak nak balik lagi ke?”
Khuzairi mula bangkit dari duduknya seraya membetulkan kedudukan kemeja di tubuh.
“Lepas Maghrib nanti saya baliklah bang. Ada sikit lagi kerja yang perlu saya selesaikan kat pejabat ni.” Sopan Isma menyahut.
Dia turut bangun. Menghantar lelaki itu ke pintu biliknya.
“Kamu jangan lewat sangat balik ke rumah tu Is. Jaga sama diri kamu tu. Kerja tu kerjalah jugak tapi jangan sampai merosakkan kesihatan pulak.” Sempat Khuzairi memberi nasihat sebelum meluah salam.
“Yalah bang,” sahut Isma pendek seraya menyambut salam lelaki itu.
Matanya hanya memandang Khuzairi berlalu dari situ sebelum kembali ke mejanya. Menyambung semula kerjanya yang terhenti sebentar tadi. 

SETIAKU DI SINI: BAB 7


BAB 7

“Kenapa nenek benci sangat pada kakak dengan adik ya bang Han?”
Fakhira memandang lesu wajah Farhan yang sedikit terkedu mendengar pertanyaan itu. Wajah kanak-kanak yang masih basah dengan airmata itu ditatap lama. Mereka bertiga baru saja selesai melakukan solat Maghrib sebentar tadi sebelum duduk berbual di bilik Farhan.
Farhan terdiam sejenak. Ligat benaknya menyusun ayat. Mencari kata–kata yang sesuai sebelum lambat-lambat membuka mulut.
“Sebenarnya, nenek tak benci pada kakak mahupun adik tapi nenek marah bila kakak dengan adik buat salah. Itu saja,” tuturnya lembut. Di usap kepala keduanya yang kini berbaring di pangkuannya. Masih ada sendu yang menyalut mereka.
“Tapi adik dengan kakak tak buat salah pun tadi. Kami cuma duduk bergurau dengan mak di ruang tamu bila tiba-tiba sahaja nenek turun dari tingkat atas dan marah-marah,” sampuk Fadlan pantas.
Mata yang masih basah dengan airmata dibesarkan. Membalas pandangan Farhan. 
“Nenek memang macam tu, tak pernah sayangkan kakak dengan adik. Selalu kata kami ni anak kutip. Kami memang anak kutip ke bang Han?” petah kanak–kanak berumur sepuluh tahun itu bertanya.  Didongak kepalanya lama. Menanti jawapan dari sang abang yang ternyata tersentak dengan pertanyaan itu.
Lama Farhan membatu diri. Wajah pasangan kembar seiras itu direnung sedalamnya. Cuba mengukir senyuman walau payah untuk dilakukan.
“Kenapa adik cakap macam tu? Tak baik tahu cakap macam tu. Allah tak suka orang yang suka memburuk–burukkan orang lain,” sahut Farhan sedikit tegas namun masih bernada lembut.
Dipandang kedua-dua wajah yang begitu setia menanti jawapannya. Hatinya turut terusik mendengar kata-kata adik kesayangan. Sedar dengan kebenaran setiap patah kata itu walau hakikat sebenar tidak diketahui olehnya. Begitu pun dia amat menyayangi keduanya. Sayang yang tiada penghujungnya.
Mendengar jawapan itu Fakhira mengeluh panjang.
“Kenapalah keluarga kita tak pernah bahagia ya Bang Han? Hampir setiap hari mak dengan nenek bergaduh. Ayah pula jarang ada kat rumah. Sibuk saja dengan kerja,” suaranya perlahan.
Dia yang kini bangun menyandarkan tubuh ke kepala katil merenung semula wajah abang kesayangannya.
“Ayah sibuk sebab ayah cari duit untuk kita. Kalau ayah tak bekerja keras, siapa yang nak belikan pakaian baru dan mainan untuk kakak dengan adik?” jelas Farhan masih bernada lembut. Menatap wajah Fakhira yang segera mencebik sedikit.
“Itu kakak tahulah tapi kenapa ayah biarkan nenek selalu marah mak? Apa salah mak pada dia sampai tiap–tiap hari dia marah mak. Mak pula tahu menangis je. Jarang nak melawan cakap nenek. Kesian mak,” Fakhira bersuara lagi.
Ada rasa geram yang bergaul di dalam nada suaranya. Air mata yang sedari tadi berhamburan di pipi dilap perlahan.
Farhan terdiam semula. Putus ikhtiarnya untuk membalas kata lagi. Sedar dengan kebenaran kata-kata kanak-kanak comel itu. Tak mampu dirinya menyangkal.
“Dahlah, jangan menangis lagi. Esokkan kakak dengan adik nak sekolah. Nanti kalau bengkak mata tu siapa yang malu? Kakak dengan adik jugakan. Dah, lap airmata tu,”
Farhan bersuara semula setelah agak lama membatu diri. Jari-jemarinya menyapu lembut airmata yang masih berbaki di pipi keduanya.
“Bang Han, tak boleh ke keluarga kita hidup bahagia macam orang lain?”
Pertanyaan tiba-tiba yang terkeluar dari bibir Fakhira membuatkan Farhan kembali terkedu. Agak lama dia terkunci kata sebelum lambat–lambat bersuara.
“Keluarga kita selalu bahagia kak tapi kalau nak bahagia lagi, kita kenalah selalu beralah,” jawabnya. Bola matanya kembali menujah wajah keduanya.
“Beralah macam mana Bang Han?” sampuk Fadlan.
“Beralah macam yang selalu mak buat. Kalau nenek marah–marah, kakak dengan adik kena diam. Jangan menjawab. Itu tandanya beralah. Bila nenek dah penat marah, dia diamlah. Kan senang,” suara Farhan memandang kedua adiknya yang lambat–lambat mengangguk.
“Bukankah bagus kalau ada orang yang boleh selamatkan keluarga kita,” Fakhira kembali melantun suara setelah membiarkan suasana di bungkus sepi seketika.
“Maksud kakak?” tanya Fadlan cepat.
Dia yang sedari tadi berbaring di pangkuan Farhan segera mendudukkan diri. Mengadap Fakhira. Berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut kata-kata kakak kembarnya itu.
“Ala, macam superhero-superhero selalu buat tu. Ada Superman, ada Batman yang boleh selamatkan orang bila susah. Hah, lebih kurang macam tulah. Bolehlah dia tolong selamatkan keluarga kita. Tak payahlah mak dengan nenek bergaduh lagi. Ayah pun taklah sibuk bekerja saja,” sahut Fakhira.
“Ada ke orang yang macam tu Bang Han? Mahu menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan atas bantuannya?” tanya Fadlan seraya mengalih wajah ke arah Farhan yang lambat-lambat mengangkat bahu.
“Entah, mungkin ada mungkin tak ada,” jawabnya tidak pasti dengan keadaan itu.
“Tapi perkara macam tu tak mustahil boleh berlakukan bang?” Bersungguh-sungguh Fadlan menanya. Seakan mengharap. Bulat matanya memandang wajah tenang Farhan.
Well, kalau nak tahu ada ke tidak orang macam tu, kita kena cari. Tak pun apa kata kita berdoa saja pada Allah? Minta Allah hantarkan orang tu pada kita. Mana tahu Allah makbulkan permintaan kita tu,” jawab Farhan sekadar ingin menenangkan hati kedua-duanya.
“Boleh ke kita minta macam tu pada Allah Bang Han?” Fadlan sudah mulai teruja.
“Boleh sayang. Allah tu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia dengar segala apa yang kita katakan dan Dia jualah yang akan memberi apa yang kita minta asalkan kita memintanya dengan penuh ikhlas dan bersungguh–sungguh,” suara Farhan lagi.
“Kalau macam tu, adik nak mintalah. Mana tahu Allah makbulkan nanti,” Fadlan membalas riang. Berbalas pandangan dengan Fakhira yang mengangguk setuju. Digosok kedua tapak tangannya sebelum mengalih pandangan. Memandang Farhan yang hanya memerhati gelagat kedua-duanya.
“Abang Han bacalah doa, adik dengan kakak aminkan,” suaranya begitu beriya.
Fadlan memandang Fakhira yang turut melakukan perkara yang sama dengannya. Mengembangkan kedua tapak tangan yang telah ditaut rapat. Bersedia untuk berdoa.
Farhan tersenyum sedikit. Tercuit hatinya melihatkan sikap kedua-dua kembar yang kelihatan begitu teruja dengan keadaan itu. Memandang wajahnya dengan riak yang penuh mengharap. Tidak sampai hati untuk menghampakan keduanya, Farhan mengalih kedudukan. Ditegak tubuhnya. Mengangkat kedua tangannya ke atas seraya perlahan–lahan bersuara. Sepenuh hati.
“Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon padamu, ampunilah segala dosa hambaMu ini. Dosa yang pernah kami lakukan sama ada secara sedar mahupun sebaliknya. Semoga ada sedikit sinaran kebahagiaan yang akan Kau limpahkan ke dalam rumah ini. Berikanlah cahaya kegembiraan pada kami sekeluarga. Usirlah kesedihan sejauh–jauhnya dari membelenggu kehidupan kami selamanya.
Ya Allah, hanya padaMu kami memohon, hanya padaMu kami meminta. Tiada Tuhan yang kami sembah melainkan diriMu. Makbulkanlah doa hambaMu ini Ya Allah.”
“Amin…”

KEJORAKU EBRSATU: BAB 8


BAB 8

Cuaca panas terik tengah hari itu. Tidak ramai manusia yang berkeliaran di kawasan perkarangan bangunan tinggi bercat merah terang itu. Hanya kelihatan beberapa orang yang masih menanti kenderaan awam untuk pulang ke tempat kerja masing-masing. Mungkin kerana waktu rehat pejabat telah lama berlalu menyebabkan kawasan itu menjadi lengang buat sementara waktu.  
Puan Fazlina mengatur langkah keluar dari bank. Sejumlah wang yang baru dikeluarkan di simpan kemas di dalam beg tangan. Dibetulkan letak duduk selendang yang tersangkut di bahu kirinya. Beg tangan berjenama terkenal berwarna putih keemasan yang berada di tangan di genggam kemas. Diatur langkahnya satu persatu menuruni anak tangga.
Tiba di anak tangga terakhir, dia menarik payung yang tersangkut di lengan kiri. Ingin melindung diri dari suluhan matahari yang dirasakan menyengat kulit. Namun belum sempat dia menapak turun, tiba-tiba dia terasa tubuhnya di tolak kuat dari arah belakang sebelum beg tangannya di ragut seseorang. Hampir dia terjatuh namun tangannya sempat berpaut pada besi yang terpasang di tepi tangga.
Serentak itu dia menjerit kuat. Meminta tolong. Dia cuba mengejar namun kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki menyukarkan pengerakannya.
Belum sempat Puan Fazlina menjerit untuk kali yang seterusnya, seorang lelaki yang berpakaian serba hitam berlari melintasi tempatnya berdiri. Mengejar lelaki yang telah meragut beg tangannya.
Tangan lelaki itu mencapai kolar baju si peragut sebelum pantas di tariknya sekuat hati. Tindakannya menyebabkan lelaki itu terjatuh tersungkur di tepi jalan. Dihayun penumbuk sulungnya. Si peragut membalas. Mereka bergelut seketika. Dengan sekali tendangan padu di perut, si peragut terhenyak ke tiang lampu. Bibir keringnya pecah dan berdarah.
Belum sempat dihayun tendangan seterusnya, dia segera bangun sebelum pantas melarikan diri.  Anak muda yang bertopi keledar penuh itu hanya memandang langkah si peragut hingga bayangannya hilang di celah-celah bangunan. Dia tunduk mencapai beg tangan yang tercampak di pinggir jalan sebelum di hampiri Puan Fazlina yang tergamam melihat adegan yang baru berlaku di depan matanya.
“Puan tak apa-apa ke?” soal lelaki itu sebaik saja dia mendekati Puan Fazlina. Visor hitam yang menutupi muka ditolak ke atas. Puan Fazlina mengelengkan kepalanya beberapa kali. Dia tersenyum sedikit.
“Makcik tak apa-apa nak. Terima kasih kerana menolong makcik tadi,” suaranya kedengaran mengeletar. Masih terkejut dengan kejadian yang baru berlaku.
“Terima kasih, nak.” Sekali lagi dia bersuara.
Anak muda itu hanya mengangguk. Sambil itu matanya mengerling beberapa kali ke arah jam di tangannya.
“Tak apalah, makcik. Saya minta diri dulu ya. Saya ada hal ni. Lain kali hati-hati makcik. Kawasan ni memang sarang peragut. Kalau nak pergi mana-mana bawalah teman,” ujar lelaki itu seraya berlalu pantas tanpa sempat Puan Fazlina membalas kata.
Puan Fazlina yang terpinga-pinga dengan tindakan anak muda itu hanya memandangnya berlalu pergi sebelum perlahan-lahan mengukir senyuman.
Semoga Allah membalas segala kebaikan kamu, nak, sempat hatinya berdoa kepada Allah untuk anak muda yang telah membantunya. Dia bersyukur kerana tiada perkara buruk yang berlaku pada dirinya mahupun anak muda itu.
Seketika Puan Fazlina teringat pada kereta yang diparkir di seberang jalan. Pantas dia mengatur langkah semula. Saat dia ingin berpusing, senyuman yang menghiasi bibirnya mati. Puan Fazlina teringatkan sesuatu. Dek kerana tergamam dengan kejadian itu dia lupa untuk menanyakan sesuatu pada anak yang muda yang telah membantunya sebentar tadi. Dia lupa menanyakan nama anak muda itu.

“Habis tu, mak tak apa-apa ke?” Kelam kabut Tengku Azhar menyoal sebaik saja Puan Fazlina selesai menceritakan kejadian tengah hari tadi kepada ahli keluarganya malam itu.
Mereka yang lain memandang wajah si ibu yang tersenyum tenang.
Puan Fazlina hanya mengeleng.
“Tak ada apa-apa yang buruk yang berlaku pada mak. Cuma mama rasa terkilan, mama tak tahu pun nama anak muda yang membantu mak tu,” suaranya kedengaran sebal. Masih terbayang raut wajah anak muda itu di ruang matanya.
“Tak apalah mak, mungkin suatu hari nanti mak dapat tahu juga,” pujuk Marlia yang duduk bersebelahan dengan emak mertuanya.
“Anak muda yang bantu mak tu lelaki ke perempuan?” soal Tengku Afzan yang berdiri di sebelah Tengku Anuar.
Mereka berdua baru saja selesai berbincang berkenaan hal pejabat di bilik bacaan selepas makan malam tadi. Kedua adik beradik itu melabuhkan punggung di sofa bertentangan Puan Fazlina.
“Entahlah Zan, mak pun tak pasti. Nak kata lelaki, mukanya macam perempuan, bulu matanya pun panjang tapi tak lentik. Hidungnya agak mancung tetapi kecil. Bibirnya merah benar. Tapi suaranya garau, macam lelaki,” ujar Puan Fazlina.
“Agaknya budak yang tolong mak tu pondan kot,” ujar Jannah sekadar meneka sekaligus meledakkan tawa semua.
“Hisy, awak ni Jannah, takkanlah pondan pula. Kalau budak tu pondan, takkan dia boleh kejar peragut tu sebegitu cepat,” ujar Tengku Azhar dengan sisa-sisa tawa yang masih ada.  
“Eh, mana kita tahu bang. Dalam keadaan yang cemas begitu, apa-apa pun boleh jadi,” balas Jannah sedikit tegas, cuba mempertahankan pendapatnya.
“Kalau dia bukan pondan, boleh jadi dia budak pengkid,” sahut Marlia.
“Pengkid itu apa Lia?” Tengku Adnan yang sedari tadi hanya mendengar perbualan mereka menyampuk kata.
Surat khabar Sinar Haran di tangan di letak atas ribaannya. Dia yang duduk bersandar di kerusi malas di hujung ruang tamu memandang sejenak wajah menantu keduanya itu.
“Pengkid tu ayah, budak perempuan yang perangai dan perwatakannya seperti lelaki,” balas Marlia bersungguh-sungguh.
“Hisy, merepek aje awak ni Lia. Ada pula ke situ jadinya.” Tengku Afzan menyanggah kata-kata isterinya.
“Eh abang tak tahu, pengkid tu kadangkala lebih kuat dari lelaki sebenar tau,” beritahu Marlia.
“Dahlah tu, tak kiralah siapa pun dia, yang penting dia telah membantu mak,” pantas Puan Fazlina menyampuk kata. Tidak mahu lagi mendengar pertengkaran antara anak dan menantunya.
“Yang penting, mak dah selamat. Apa pun mak harap sangat yang suatu hari nanti mak dapat berjumpa semula dengan budak tu,” ujar Puan Fazlina lagi.
“Insya Allah ma, kalau mak berniat baik, tentu Allah akan makbulkan permintaan mak tu,” sela Tengku Anuar yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“Betul kata Anuar tu mak. Mak janganlah risau. Suatu hari nanti, mak pasti akan berjumpa semula dengan budak tu. Cuma bila dan di mana saja kita tak boleh tentukan,” pujuk Tengku Afzan menyokong kata-kata adiknya itu.
“Iyalah, mak pun harap sangat yang mak akan bertemunya lagi suatu hari nanti. Mungkin pada orang lain perkara seperti itu kecil tapi bagi mak, anak muda itu telah membuat amal kebajikan yang besar kerana membantu mak mendapatkan kembali wang mak walau pun dia tak kenal mak,” ujar Puan Fazlina perlahan. Namun dia sentiasa berdoa agar anak muda itu sentiasa dirahmati Allah.

“Kau dari mana ni Nina? Terkejut aku tengok kau. Macam pembunuh upahan aje pakaian kau ni.” Khalidah bersuara sebaik ternampak kelibat Nina membuka pintu kondominium rumah.
Nina tidak menyahut. Dia melangkah ke ruang tamu rumah. Topi keledar di tangan di letak di tepi meja akuarium. Menghempas tubuh lampainya ke sofa. Mengadap Khalidah yang hanya memandang gelagatnya. Ditarik nafasnya panjang.
“Kau dari mana Nina?” Khalidah mengulang semula pertanyaannya bila Nina tidak menyahut.  Ditatap lama wajah gadis itu. Ada keletihan yang terpalit di situ.
Nina menarik nafas panjang sebelum dihela perlahan. Memandang sekilas wajah sepupunya sebelum matanya ditutup rapat.
“Aku dari Jalan Kenari. Ada kereta rosak kat sana petang tadi,” lemah dia membalas.
“Kalau iya pun ada kereta yang rosak, kenapa kau pakai macam ni. Meremang bulu tengkuk aku tengok kau. Seram,” Khalidah mengosok-gosok lengan seraya mengeliatkan sedikit tubuhnya. Matanya memandang tubuh Nina dari atas ke bawah berulang kali.
“Aku naik motor tadi. Malas nak bawa kereta. Tahulah KL, petang je mesti sesak. Lagi pun aku pakai macam ni nak bagi badan aku berpeluh. Taklah selalu sakit je,” balasnya.
Dialih posisi tubuhnya. Tubuh yang bersandar dibaringkan ke sofa. Tangan kanannya diletak di dahi. Matanya masih terpejam rapat. 
Khalidah bangun mendapatkannya. Dilabuh punggungnya bersebelahan gadis itu.
“Kau dah pergi klinik ke belum? Rasanya dah hampir seminggu demam kau tu tak kebah-kebah,” nada suara Khalidah kedengaran risau. Di raba dahi gadis itu. Agak panas.
Nina membuka matanya. Wajah bimbang Khalidah dipandang sekilas. Dia mendengus kecil.
“Tak payahlah kau risau Idah. Aku okey. Sikit je demam aku ni.” dia menyahut malas.
Nina kemudiann memalingkan tubuhnya ke kiri. Diletak bantal kecil yang berada di sofa ke atas muka. Cuba melelapkan mata.
“Okey apanya? Kalau suara kau tu pun dah macam suara jantan je bunyinya,” balas Khalidah sedikit geram. Faham dengan sikap keras kepala sepupunya.
“Dahlah Idah, janganlah kau membebel lagi. Bertambah sakit aku yang mendengarnya,”
“Iyalah tu. Tiap kali aku bagi nasihat, ada sajalah alasan kau tu. Sakitlah, nak matilah, menyampah aku,” balas Khalidah geram.
Nina tertawa perlahan. Dipaling semula tubuhnya mengadap Khalidah yang sudah menarik muncungnya. Dia tersenyum kecil.
“Okeylah, aku minta maaf. Aku bukan tak nak pergi klinik tapi aku tak ada masa. Aku sibuk sangat hari ni,” ujarnya.
Dia sedar, sepupunya itu amat mengambil berat tentang dirinya. Mungkin kerana Khalidah tidak mempunyai saudara lain menyebabkannya begitu menyayangi Nina.
“Aku pun sibuk juga tapi tak adalah sampai kesihatan sendiri pun diabaikan,” nada suara Khalidah masih kedengaran merajuk.
“Okey, okey aku janji. Esok pagi, sebelum subuh aku pergi klinik. Okey, puas hati?” dicuit perlahan dagu gadis yang masih memasamkan mukanya.
“Sebelum subuh tu buat apa, klinik tu pun tak buka lagi,” Khalidah mencubit kecil lengannya.
Nina tertawa kecil. Hilang rasa sakit kepala yang menyerangnya tadi.
“Dahlah, malas aku nak layan kau lagi. Tu, kat dapur tu aku dah masakkan lauk kegemaran kau tu. Pergilah makan.”
Khalidah sudah bangun dari duduknya. Menjeling sekilas wajah Nina. Dia mengatur langkah menuju ke bilik tidur.
Nina yang memandang gelagat Khalidah tersenyum kecil. Geli hatinya dengan sikap Khalidah yang kadang kala manja dan keanak-anakan itu.
“Lagi satu, sebelum kau makan tu, make sure kau mandi dulu, solat. Lepas makan nanti, kau jangan lupa makan ubat sebelum tidur. Aku ada beli panadol sebelum balik petang tadi. Ada kat atas meja makan tu.” Khalidah bersuara lagi.
Orait mum, nanti saya buat,” Nina membentuk isyarat okey dengan jari jemarinya seraya tersengih nakal, sekadar mengusik gadis itu.
Geram dengan tingkah Nina, Khalidah mencapai kusyen kecil yang terletak di hujung sofa sebelum membalingnya ke arah Nina yang terkekeh ketawa. Nina yang telah maklum dengan tindakan gadis itu segera mengelak. Dia menyambung tawa seraya mendudukkan diri ke sofa.
Untuk seketika fikirannya melayang mengingati kejadian yang berlaku tengah hari tadi. Wajah wanita yang dibantunya di perkarangan bank kelihatan samar-samar di ruang matanya. Lamunannya pecah tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Pantas tangannya menarik keluar telefon dari kocek seluar. Terdapat satu mesej yang terpapar di skrin telefon. Dari Khalidah.
            Dah, jangan nak berangan lagi. Pergi mandi lekas.
Nina tertawa kecil. Tahu Khalidah mencuri lihat tingkahnya dari celah pintu bilik tidur yang sedikit terbuka. Dia tidak membalas. Telefon di tangan diselit semula ke poket seluar. Tubuhnya digerak ke kiri dan kanan beberapa kali. Menghilangkan ketegangan urat yang dirasakan berselirat di dalam tubuh sebelum dia bangun menuju ke biliknya. 

CINTA SEJATI : BAB 8

 

BAB 8

Zarif mengunci pintu pagar rumah setelah memangkir kereta. Dipandang halaman rumahnya yang kelihatan berselerakan dengan daun-daun pokok mempelam yang gugur. Dia mengelengkan kepala sebelum melepaskan satu keluhan kecil. Kesibukan diri melaksanakan tanggungjawab di hospital menyebabkannya tidak mempunyai masa untuk menyapu laman rumah teres dua tingkat itu.
“Awal balik hari ni doctor.”
Teguran seseorang membuatkan Zarif berpaling tubuh. Dia tersenyum memandang Sarah yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya. Wanita itu sedang sibuk memungut kain-kain jemuran yang telah kering di ampaian.
“Hari ni tak ramai pesakit sangat Sarah,” balas Zarif perlahan.
Zarif menyandarkan tubuhnya ke kereta. Diseluk kedua belah tangannya ke dalam poket seluarnya.
“Mana Makcik Rahimah? Tak nampak dia pun petang ni,” soal Zarif.
Dari celahan pagar dawai yang memisahkan ruang halaman rumah mereka dia meninjau-ninjau mencari kelibat orang tua yang peramah itu. Kebiasaannya, wanita tua itu akan duduk di bangku batu di halaman rumahnya.
“Mak ada kat dalam doktor. Kurang sihat sikit. Asyik batuk saja dua tiga hari ni. Risau juga saya dibuatnya.” Sarah menjawab sambil tangannya ligat memasukkan kain-kain jemurannya ke dalam bakul di tepi kakinya.
“Teruk ke batuknya tu Sarah?”
“Nak kata teruk tu, tak adalah sangat doktor. Cuma kadang-kadang tu dia terasa susah nak bangun.”
Zarif mengangguk-angguk.
“Dah bawa dia ke hospital?”
“Belum lagi. Faham-faham sajalah doktor, orang tua. Sebut saja hospital, hilang terus rasa sakitnya tu.”
Zarif tersenyum kecil. Hatinya sedikit tercuit dengan kata-kata wanita itu.
Sarah yang telah selesai memungut pakaian memandang hairan wajah doktor muda itu.
“Kenapa doktor tersenyum begitu?” soalnya lembut. Dipandang lama wajah tampan yang seusia dengannya itu.
Zarif mengeleng kepala perlahan. Kemudian tersenyum.
“Tak ada apa Sarah, cuma saya rasa pelik dengan sikap awak. Dah bertahun-tahun kita berjiran, rasanya sudah beratus-ratus kali saya pesan, jangan panggil saya doktor. Awak panggil juga saya begitu.”
Sarah tersenyum kecil. Di tunduk sedikit wajahnya.
“Maaflah doktor kalau doktor tersinggung tapi doktor sendiri pun fahamkan dengan situasi saya. Janda seperti saya ni susah kalau terlalu beramah mesra dengan orang lain. Apatah lagi dengan lelaki bujang seperti doktor. Macam-macam fitnah boleh timbul. Benda yang tak kita buat pun, di katakan buat,” balasnya perlahan.
Zarif menganggukkan. Mengerti dengan situasi yang dialami wanita itu.
“Hmm, tak apalah doktor, saya minta diri masuk ke dalam dulu. Hari pun dah hampir senja.”
Sarah mengangkat bakul pakaian. Sempat dia membalas senyuman Zarif yang hanya mengangguk kecil.
Zarif memandang wanita itu berlalu ke dalam rumah sebelum dia sendiri turut berbuat demikian. Niat hatinya untuk menyapu laman rumah pada petang itu tertangguh lagi.

Please have a seat,” sambil tersenyum kecil Roselle bersuara ramah. Dia mengunjuk ibu jarinya ke arah sofa yang terletak di tengah ruang bilik pejabat.
Zara tersenyum mengangguk. Dia hanya memandang gadis itu berlalu. Meninggalkannya bersendirian di ruang bilik itu.
Zara menghala pandangan ke sekeliling. Bilik hotel yang dijadikan ruang pejabat itu kelihatan ekslusif dengan cat dindingnya yang berwarna hijau kebiru-biruan.
Biasan warna dinding yang mengenai siling bilik menampakkan kemewahannya. Ditambah dengan jambangan bunga-bunga kering yang diletakkan di setiap penjuru bilik menghasilkan suasana tenang dan damai di dalam ruang bilik yang luas itu.  
Zara masih berdiri. Pandangannya terpaku pada sekeping potret wanita yang tergantung di satu sudut bilik. Perlahan-lahan dia menghampirinya. Gambar seorang wanita bertudung hijau lembut itu direnung lama.
Cantiknya dia, puji hatinya.
“Dah lama tunggu?” suara seseorang dari arah belakang menyentak pandangannya.
Segera dia menoleh. Seorang lelaki berpakaian kemas tersenyum mesra ke arahnya. Lelaki itu bertubuh tinggi dan tegap. Wajah putih bersihnya hanya dihiasi dengan sedikit janggut yang tumbuh di dagu. Sepasang kot hitam yang tersarung kemas di tubuh tegapnya menyerlahkan lagi ketrampilannya.
Zara mengukir senyuman. Pelik rasanya mendengar lelaki yang mempunyai raut wajah seperti bangsa Arab itu berbahasa Melayu dengan begitu fasih. Di hampiri lelaki yang bertubuh segak itu.
“I’m Zara Zulaikha from Corniche Interactive Sdn.Bhd.”
Zara memperkenalkan diri. Dihulur tangannya seketika. Berjabat salam.
I know it. Dah lama ke awak tunggu?”
Lelaki itu mengulangi pertanyaannya. Tangan kanannya dihalakan ke arah sofa sebelum melabuhkan punggungnya di situ. Zara turut berbuat demikian.
“Tak juga. Saya baru saja sampai.”
Zara membalas perlahan. Dipandang lama wajah lelaki yang masih tersenyum itu.
“Fasih Tengku berbahasa Melayu. Tengku memang berketurunan Melayu ke atau pernah mempelajari bahasa Melayu?”
Mendengar pertanyaan Zara, lelaki itu melebarkan senyumannya.
“Kenapa awak tanya saya begitu? Wajah saya tak seperti orang Melayu ke?”
Soalan wanita itu tidak dijawab sebaliknya dilempar pertanyaannya.
“Eh, bukan itu maksud saya. Melihat pada nama Tengku membuatkan saya terfikir yang Tengku ni berketurunan Arab,”
Lelaki itu tertawa kecil.
Actually, arwah mak saya berketurunan bangsa Arab dari Mesir. Manakala ayah saya pula memang orang Melayu. Kiranya saya ni anak campuran dua bangsalah,” terangnya ringkas.
Zara mengangguk-angguk.
“Oh, sebab itulah wajah Tengku seakan wajah orang Arab.”
Lelaki itu tersenyum lagi. Tidak disahut kata-kata itu.
“Maaflah jika pertanyaan saya tadi menyinggung perasaan Tengku,”
“Tak ada apa yang menyinggung perasaan saya Cik Zara. Bukan awak seorang saja yang pernah menyoal saya tentang perkara ni. Dah ramai sangat yang tanya sampai saya sendiri pun rasa bosan di buatnya,” ujarnya lembut.
Zara hanya mengulum senyum. Memandang wajah tampan lelaki itu yang turut menguntum senyum.
So, memandangkan kedua-dua kita adalah orang Melayu, apa kata kalau kita berbincang saja berkenaan projek saya tu dalam bahasa ibunda kita saja? Saya sebenarnya dah lama tak menggunakan bahasa Melayu ni. Maklumlah, jarang saya dapat berjumpa dengan orang yang boleh berbahasa Melayu dengan fasih di Dubai ni. Walau pun ramai orang Melayu yang menetap di sini namun kekangan masa menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk bergaul dengan sesiapa pun.”
Zara tersenyum lagi. Melihat pada raut wajah jernih lelaki itu dia dapat merasakan kebenaran kata-kata lelaki itu.
“Saya tak kisah tapi sebelum itu Tengku, saya minta maaf kerana kawan saya yang sepatutnya mengendalikan projek ini tidak dapat menghadirkan diri. Memandangkan dia mempunyai hal lain yang tak dapat dielakkan, saya diminta oleh pihak syarikat untuk mengantikan tempatnya,” Zara bersuara tenang.
Sekali lagi lelaki itu mengangguk.
So Tengku, boleh kita mulakan perbincangan kita tentang projek pembinaan hotel kedua Tengku tu?”
Lelaki itu melebarkan senyuman.
“Okey, tapi sebelum tu saya nak minta sesuatu dari Cik Zara. Jangan panggil saya Tengku. Just call me Yashmaan. Tak selesa rasanya Cik Zara memangggil saya dengan panggilan Tengku. Tengku tu hanya gelaran keluarga saya saja,”
Dia tersenyum lagi. Zara yang memandang turut tersenyum.
So, boleh kita mulakan sekarang Encik Yashmaan?” 
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012