Di sini, zikrullah itu membawa pengertian mengingati Allah dalam ertikata yang hati itu dapat menghayati sifat-sifat dan peranan Tuhan. Dibawakan contoh, katakan seorang itu miskin. Dia selalu kesempitan wang. Dia nak makan pun susah. Nak belanja-belanja keluarga pun susah. Tapi, oleh kerana hatinya sudah menghayati Tuhan, dia dapat merasakan Tuhan Maha Pemberi Rezeki. Pada Tuhan, dia bertawakal. Dengan bersandarkan pada sifat Tuhan Maha Pemberi Rezeki, dia jadi yakin. Dia jadi orang yang boleh tenang menghadapi kemiskinan. Dia tahu rezeki Tuhan itu luas dan Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya. “InsyaAllah, Tuhan ada, Dialah yang Maha memberi rezeki”, kata hati kecilnya. Dia berusaha juga tapi dia tidak bergantung pada usahanya. Bagi dia rezeki Tuhan ada di mana-mana dan sudah ditetapkan bahagian untuk orang sepertinya.
Contoh lain, seorang itu jatuh sakit. Sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu terganggu. Malah kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu hendak bersembahyang pun terganggu juga. Namun, seorang yang berzikrullah, dapat merasakan Tuhan yang memberi sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar kepada kesusahan sakitnya selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Tuhan yang memberi sakit dan Tuhan jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti keyakinan itu menjadikan dia faham maksud Tuhan memberi sakit kepadanya. Sudah pasti juga dia faham bahawa kalau Tuhan kehendaki, bila-bila masa Tuhan boleh sembuhkan. Tinggal lagi yang menjadi soal bukan tempoh lama atau sekejap masa sakit, atau soal ringan atau berat ujian sakit. Soalnya adalah sejauhmana kuat hubungannya dengan Tuhan sehingga sakit itu boleh menjadi hiburan kepadanya. Sakit bukan sakit lagi tetapi dirasakan sebagai hiburan dari Tuhan kepada hambanya.
Yang paling besar juga, kesusahan dalam miskin dan sakit itu boleh dihadapi dengan tenang kerana dia sudah merasa dirinya itu dimiliki Tuhan. Inilah sebahagian daripada zikrullah. Rasa dimiliki Tuhan ini membuatkan seseorang itu menyerah hati dan dirinya kepada Tuhan. Dia merasakan Tuhan boleh buat apa sahaja terhadap dirinya kerana dia adalah milik Tuhan. Sebagai hamba Tuhan yang dimiliki Tuhan, terpulanglah kepada Tuhan nak sakitkan, nak miskinkan atau nak susah-susahkan hidupnya di dunia. Berhak bagi Tuhan berbuat begitu. Hatinya boleh berkata, “tidak sekali-kali bagi seorang hamba boleh menolak apa sahaja ketentuan dari Tuhannya.” Berbahagialah orang yang boleh merasakan sedemikian. Di situlah datangnya ketenangan kepada orang seperti itu. Asasnya adalah zikrullah tadi.
Begitulah kisahnya, jika seseorang sudah dapat menghayati sifat Tuhan. Hatinya akan sentiasa dalam ketenangan bilamana menghadapi perkara-perkara dunia yang melalaikan serta menyusahkan. Hatinya tidak cacat atau terpengaruh dengan dunia tersebut disebabkan kuat rasa-rasa hatinya dengan Tuhan. Banyak lagi contoh yang boleh disebutkan di sini tetapi cukuplah dengan dua contoh di atas untuk panduan kita bersama. Sekian.
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya. (Ar-Rad: 28-29)
Dialah yang menurunkan Sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath: 4)
No comments:
Post a Comment