
BAB 8
Cuaca panas terik
tengah hari itu. Tidak ramai manusia yang berkeliaran di kawasan perkarangan bangunan
tinggi bercat merah terang itu. Hanya kelihatan beberapa orang yang masih
menanti kenderaan awam untuk pulang ke tempat kerja masing-masing. Mungkin
kerana waktu rehat pejabat telah lama berlalu menyebabkan kawasan itu menjadi
lengang buat sementara waktu.
Puan Fazlina mengatur
langkah keluar dari bank. Sejumlah wang yang baru dikeluarkan di simpan kemas
di dalam beg tangan. Dibetulkan letak duduk selendang yang tersangkut di bahu
kirinya. Beg tangan berjenama terkenal berwarna putih keemasan yang berada di
tangan di genggam kemas. Diatur langkahnya satu persatu menuruni anak tangga.
Tiba di anak tangga
terakhir, dia menarik payung yang tersangkut di lengan kiri. Ingin melindung
diri dari suluhan matahari yang dirasakan menyengat kulit. Namun belum sempat
dia menapak turun, tiba-tiba dia terasa tubuhnya di tolak kuat dari arah
belakang sebelum beg tangannya di ragut seseorang. Hampir dia terjatuh namun
tangannya sempat berpaut pada besi yang terpasang di tepi tangga.
Serentak itu dia
menjerit kuat. Meminta tolong. Dia cuba mengejar namun kasut tumit tinggi yang
tersarung di kaki menyukarkan pengerakannya.
Belum sempat Puan
Fazlina menjerit untuk kali yang seterusnya, seorang lelaki yang berpakaian
serba hitam berlari melintasi tempatnya berdiri. Mengejar lelaki yang telah
meragut beg tangannya.
Tangan lelaki itu mencapai
kolar baju si peragut sebelum pantas di tariknya sekuat hati. Tindakannya
menyebabkan lelaki itu terjatuh tersungkur di tepi jalan. Dihayun penumbuk
sulungnya. Si peragut membalas. Mereka bergelut seketika. Dengan sekali
tendangan padu di perut, si peragut terhenyak ke tiang lampu. Bibir keringnya
pecah dan berdarah.
Belum sempat dihayun
tendangan seterusnya, dia segera bangun sebelum pantas melarikan diri. Anak muda yang bertopi keledar penuh itu hanya
memandang langkah si peragut hingga bayangannya hilang di celah-celah bangunan.
Dia tunduk mencapai beg tangan yang tercampak di pinggir jalan sebelum di hampiri
Puan Fazlina yang tergamam melihat adegan yang baru berlaku di depan matanya.
“Puan tak apa-apa
ke?” soal lelaki itu sebaik saja dia mendekati Puan Fazlina. Visor hitam yang menutupi muka ditolak
ke atas. Puan Fazlina mengelengkan kepalanya beberapa kali. Dia tersenyum sedikit.
“Makcik tak apa-apa
nak. Terima kasih kerana menolong makcik tadi,” suaranya kedengaran mengeletar.
Masih terkejut dengan kejadian yang baru berlaku.
“Terima kasih, nak.”
Sekali lagi dia bersuara.
Anak muda itu hanya
mengangguk. Sambil itu matanya mengerling beberapa kali ke arah jam di tangannya.
“Tak apalah, makcik.
Saya minta diri dulu ya. Saya ada hal ni. Lain kali hati-hati makcik. Kawasan
ni memang sarang peragut. Kalau nak pergi mana-mana bawalah teman,” ujar lelaki
itu seraya berlalu pantas tanpa sempat Puan Fazlina membalas kata.
Puan Fazlina yang
terpinga-pinga dengan tindakan anak muda itu hanya memandangnya berlalu pergi
sebelum perlahan-lahan mengukir senyuman.
Semoga Allah
membalas segala kebaikan kamu, nak, sempat hatinya berdoa kepada Allah untuk
anak muda yang telah membantunya. Dia bersyukur kerana tiada perkara buruk yang
berlaku pada dirinya mahupun anak muda itu.
Seketika Puan
Fazlina teringat pada kereta yang diparkir di seberang jalan. Pantas dia
mengatur langkah semula. Saat dia ingin berpusing, senyuman yang menghiasi
bibirnya mati. Puan Fazlina teringatkan sesuatu. Dek kerana tergamam dengan
kejadian itu dia lupa untuk menanyakan sesuatu pada anak yang muda yang telah
membantunya sebentar tadi. Dia lupa menanyakan nama anak muda itu.
“Habis tu, mak tak
apa-apa ke?” Kelam kabut Tengku Azhar menyoal sebaik saja Puan Fazlina selesai menceritakan
kejadian tengah hari tadi kepada ahli keluarganya malam itu.
Mereka yang lain
memandang wajah si ibu yang tersenyum tenang.
Puan Fazlina hanya
mengeleng.
“Tak ada apa-apa yang
buruk yang berlaku pada mak. Cuma mama rasa terkilan, mama tak tahu pun nama
anak muda yang membantu mak tu,” suaranya kedengaran sebal. Masih terbayang
raut wajah anak muda itu di ruang matanya.
“Tak apalah mak,
mungkin suatu hari nanti mak dapat tahu juga,” pujuk Marlia yang duduk bersebelahan
dengan emak mertuanya.
“Anak muda yang
bantu mak tu lelaki ke perempuan?” soal Tengku Afzan yang berdiri di sebelah
Tengku Anuar.
Mereka berdua baru
saja selesai berbincang berkenaan hal pejabat di bilik bacaan selepas makan
malam tadi. Kedua adik beradik itu melabuhkan punggung di sofa bertentangan
Puan Fazlina.
“Entahlah Zan, mak
pun tak pasti. Nak kata lelaki, mukanya macam perempuan, bulu matanya pun
panjang tapi tak lentik. Hidungnya agak mancung tetapi kecil. Bibirnya merah
benar. Tapi suaranya garau, macam lelaki,” ujar Puan Fazlina.
“Agaknya budak yang
tolong mak tu pondan kot,” ujar Jannah sekadar meneka sekaligus meledakkan tawa
semua.
“Hisy, awak ni
Jannah, takkanlah pondan pula. Kalau budak tu pondan, takkan dia boleh kejar
peragut tu sebegitu cepat,” ujar Tengku Azhar dengan sisa-sisa tawa yang masih
ada.
“Eh, mana kita tahu
bang. Dalam keadaan yang cemas begitu, apa-apa pun boleh jadi,” balas Jannah
sedikit tegas, cuba mempertahankan pendapatnya.
“Kalau dia bukan
pondan, boleh jadi dia budak pengkid,” sahut Marlia.
“Pengkid itu apa
Lia?” Tengku Adnan yang sedari tadi hanya mendengar perbualan mereka menyampuk
kata.
Surat khabar Sinar
Haran di tangan di letak atas ribaannya. Dia yang duduk bersandar di kerusi
malas di hujung ruang tamu memandang sejenak wajah menantu keduanya itu.
“Pengkid tu ayah,
budak perempuan yang perangai dan perwatakannya seperti lelaki,” balas Marlia
bersungguh-sungguh.
“Hisy, merepek aje
awak ni Lia. Ada pula ke situ jadinya.” Tengku Afzan menyanggah kata-kata
isterinya.
“Eh abang tak tahu,
pengkid tu kadangkala lebih kuat dari lelaki sebenar tau,” beritahu Marlia.
“Dahlah tu, tak kiralah
siapa pun dia, yang penting dia telah membantu mak,” pantas Puan Fazlina
menyampuk kata. Tidak mahu lagi mendengar pertengkaran antara anak dan
menantunya.
“Yang penting, mak
dah selamat. Apa pun mak harap sangat yang suatu hari nanti mak dapat berjumpa
semula dengan budak tu,” ujar Puan Fazlina lagi.
“Insya Allah ma,
kalau mak berniat baik, tentu Allah akan makbulkan permintaan mak tu,” sela
Tengku Anuar yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
“Betul kata Anuar tu
mak. Mak janganlah risau. Suatu hari nanti, mak pasti akan berjumpa semula
dengan budak tu. Cuma bila dan di mana saja kita tak boleh tentukan,” pujuk
Tengku Afzan menyokong kata-kata adiknya itu.
“Iyalah, mak pun
harap sangat yang mak akan bertemunya lagi suatu hari nanti. Mungkin pada orang
lain perkara seperti itu kecil tapi bagi mak, anak muda itu telah membuat amal
kebajikan yang besar kerana membantu mak mendapatkan kembali wang mak walau pun
dia tak kenal mak,” ujar Puan Fazlina perlahan. Namun dia sentiasa berdoa agar
anak muda itu sentiasa dirahmati Allah.
“Kau dari mana ni
Nina? Terkejut aku tengok kau. Macam pembunuh upahan aje pakaian kau ni.” Khalidah
bersuara sebaik ternampak kelibat Nina membuka pintu kondominium rumah.
Nina tidak menyahut.
Dia melangkah ke ruang tamu rumah. Topi keledar di tangan di letak di tepi meja
akuarium. Menghempas tubuh lampainya ke sofa. Mengadap Khalidah yang hanya
memandang gelagatnya. Ditarik nafasnya panjang.
“Kau dari mana Nina?”
Khalidah mengulang semula pertanyaannya bila Nina tidak menyahut. Ditatap lama wajah gadis itu. Ada keletihan
yang terpalit di situ.
Nina menarik nafas
panjang sebelum dihela perlahan. Memandang sekilas wajah sepupunya sebelum
matanya ditutup rapat.
“Aku dari Jalan
Kenari. Ada kereta rosak kat sana petang tadi,” lemah dia membalas.
“Kalau iya pun ada
kereta yang rosak, kenapa kau pakai macam ni. Meremang bulu tengkuk aku tengok
kau. Seram,” Khalidah mengosok-gosok lengan seraya mengeliatkan sedikit
tubuhnya. Matanya memandang tubuh Nina dari atas ke bawah berulang kali.
“Aku naik motor
tadi. Malas nak bawa kereta. Tahulah KL, petang je mesti sesak. Lagi pun aku
pakai macam ni nak bagi badan aku berpeluh. Taklah selalu sakit je,” balasnya.
Dialih posisi
tubuhnya. Tubuh yang bersandar dibaringkan ke sofa. Tangan kanannya diletak di
dahi. Matanya masih terpejam rapat.
Khalidah bangun
mendapatkannya. Dilabuh punggungnya bersebelahan gadis itu.
“Kau dah pergi
klinik ke belum? Rasanya dah hampir seminggu demam kau tu tak kebah-kebah,”
nada suara Khalidah kedengaran risau. Di raba dahi gadis itu. Agak panas.
Nina membuka matanya.
Wajah bimbang Khalidah dipandang sekilas. Dia mendengus kecil.
“Tak payahlah kau
risau Idah. Aku okey. Sikit je demam aku ni.” dia menyahut malas.
Nina kemudiann
memalingkan tubuhnya ke kiri. Diletak bantal kecil yang berada di sofa ke atas
muka. Cuba melelapkan mata.
“Okey apanya? Kalau
suara kau tu pun dah macam suara jantan je bunyinya,” balas Khalidah sedikit
geram. Faham dengan sikap keras kepala sepupunya.
“Dahlah Idah,
janganlah kau membebel lagi. Bertambah sakit aku yang mendengarnya,”
“Iyalah tu. Tiap
kali aku bagi nasihat, ada sajalah alasan kau tu. Sakitlah, nak matilah,
menyampah aku,” balas Khalidah geram.
Nina tertawa
perlahan. Dipaling semula tubuhnya mengadap Khalidah yang sudah menarik
muncungnya. Dia tersenyum kecil.
“Okeylah, aku minta
maaf. Aku bukan tak nak pergi klinik tapi aku tak ada masa. Aku sibuk sangat
hari ni,” ujarnya.
Dia sedar, sepupunya
itu amat mengambil berat tentang dirinya. Mungkin kerana Khalidah tidak
mempunyai saudara lain menyebabkannya begitu menyayangi Nina.
“Aku pun sibuk juga
tapi tak adalah sampai kesihatan sendiri pun diabaikan,” nada suara Khalidah
masih kedengaran merajuk.
“Okey, okey aku
janji. Esok pagi, sebelum subuh aku pergi klinik. Okey, puas hati?” dicuit
perlahan dagu gadis yang masih memasamkan mukanya.
“Sebelum subuh tu
buat apa, klinik tu pun tak buka lagi,” Khalidah mencubit kecil lengannya.
Nina tertawa kecil.
Hilang rasa sakit kepala yang menyerangnya tadi.
“Dahlah, malas aku
nak layan kau lagi. Tu, kat dapur tu aku dah masakkan lauk kegemaran kau tu.
Pergilah makan.”
Khalidah sudah
bangun dari duduknya. Menjeling sekilas wajah Nina. Dia mengatur langkah menuju
ke bilik tidur.
Nina yang memandang
gelagat Khalidah tersenyum kecil. Geli hatinya dengan sikap Khalidah yang
kadang kala manja dan keanak-anakan itu.
“Lagi satu, sebelum
kau makan tu, make sure kau mandi
dulu, solat. Lepas makan nanti, kau jangan lupa makan ubat sebelum tidur. Aku
ada beli panadol sebelum balik petang tadi. Ada kat atas meja makan tu.”
Khalidah bersuara lagi.
“Orait mum, nanti saya buat,” Nina membentuk
isyarat okey dengan jari jemarinya seraya tersengih nakal, sekadar mengusik
gadis itu.
Geram dengan tingkah
Nina, Khalidah mencapai kusyen kecil yang terletak di hujung sofa sebelum
membalingnya ke arah Nina yang terkekeh ketawa. Nina yang telah maklum dengan
tindakan gadis itu segera mengelak. Dia menyambung tawa seraya mendudukkan diri
ke sofa.
Untuk seketika
fikirannya melayang mengingati kejadian yang berlaku tengah hari tadi. Wajah
wanita yang dibantunya di perkarangan bank kelihatan samar-samar di ruang
matanya. Lamunannya pecah tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Pantas tangannya
menarik keluar telefon dari kocek seluar. Terdapat satu mesej yang terpapar di
skrin telefon. Dari Khalidah.
Dah, jangan nak berangan
lagi. Pergi mandi lekas.
Nina tertawa kecil. Tahu
Khalidah mencuri lihat tingkahnya dari celah pintu bilik tidur yang sedikit
terbuka. Dia tidak membalas. Telefon di tangan diselit semula ke poket seluar.
Tubuhnya digerak ke kiri dan kanan beberapa kali. Menghilangkan ketegangan urat
yang dirasakan berselirat di dalam tubuh sebelum dia bangun menuju ke biliknya.
No comments:
Post a Comment