Friday, December 21, 2012

BERSATU DALAM CINTA: BAB 8


BAB 8

“APASAL kau mengeluh?” Pertanyaan itu mengundang pandangan Faris pada Ainul. Dia tersenyum sedikit. Nafasnya dibuang pendek.
“Aku bukan mengeluhlah tapi bosan sebenarnya,” sahut Faris malas.
Matanya diliar ke sekeliling seketika sebelum melekat semula ke wajah kedua-dua sahabatnya.
“Bosan? Kenapa pulak nak bosan?” tanya Isma pula. Membuatkan Faris yang sedang menyandar tubuh di kepala kerusi kembali menegak tubuh.
“Aku sebenarnya rasa bosan sangat dengan jalan hidup aku ni. Hari-hari buat kerja yang sama aje. Pergi kerja, balik rumah. Dari rumah pergi kerja semula. Dari dulu sampailah sekarang, begitulah keadaannya sampai bila-bila pun.
Aku rasa diri aku ni tak ubah macam robot. Tak ada sebarang perubahan langsung. Buat kerja yang sama aje setiap hari. Bosanlah. Apa kau orang tak rasa bosan ke macam yang aku rasa sekarang ni?” Dalam merungut dia menyelit pertanyaan. Memandang kedua-dua sahabat yang turut menempat diri dalam ruang luar restoran yang dibuka 24 jam malam itu.
“Kau nikan Ris, dah nama pun manusia. Memang itulah tanggungjawab yang kita kena buat sepanjang hidup dalam dunia ni. Itupun dikira sebagai ibadat juga tau. Kalau tak kerja, kau nak makan apa? Batu? Pasir? Pasir pun mahal sekarang tau. Jadi bosan ke tidak, kau tetap kena kerja jugak.
Lagipun kenapa pulak kau nak rasa bosan? Bukankah syarikat yang kau kendalikan sekarang ni dibuka atas minat kau? So, nak bosan apanya? Lainlah aku dan Isma ni. Kerja di syarikat keluarga sendiri. Minat ke tidak, tetap kena kerja juga. Kalau tak kerja dengan dia orang, kecil pulak hati orang tua kita nanti,” ujar Ainul menyahut panjang lebar.
“Bukan begitu maksud aku Ainul oii, tapi aku rasa bosanlah. Memanglah aku buka syarikat percetakan tu atas minat aku tapi aku rasa bosan dengan jalan hidup aku ni. Tak ada perkara lain yang aku buat pun selain dari kerja, kerja dan kerja.
Itu saja. Sejak kita keluar universiti sampailah sekarang, itu ajelah yang aku buat. Memerah tenaga hanya semata-mata untuk memajukan syarikat. Macam tak ada perkara lain yang boleh aku buat dalam dunia ni selain dari buat semua tu.” Dalam mengeluh Faris merungut lagi.
“Buat masa sekarang memang itulah yang kau kena buat pun Ris. Tapi di masa akan datang aku rasa banyak lagi perkara yang kau kena buat,” celah Isma tiba-tiba dengan lagak tenang. Sedangkan Faris sudah mencantum kening. Hairan.
“Aku nak buat apa lagi? Semua impian aku dah tercapai. Aku nak buka syarikat, dah tercapai impian aku tu. Aku nak kembangkan syarikat aku tu, itupun aku dah lakukan. Buktinya, aku dah ada dua cawangan syarikat percetakan. Nak beli rumah, kereta, duit simpanan? Semua itu aku dah buat.
So, apa lagi yang tak adanya? Nak jadi kaya-raya? Ops... sorry ya. Bab tu aku tak minat. Aku dah cukup bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Setakat ini belum terlintaslah di kepala otak aku ni nak jadi jutawan atau hartawan ternama.”
Ternyata Faris masih tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata sahabatnya.
Membuatkan senyuman Isma terus melebar.
“Setakat semua harta benda tu, jangan kata kau, aku dan Ainul pun dah ada. Tapi kalau kau nak tahu, semua itu hanya impian sampingan kau. Masih ada impian terbesar yang belum kau laksanakan sampailah sekarang.” Kata-kata Isma menjadikan mata Faris kembali terpacak di wajahnya. Bulat.
“Apa dia?” Dahinya masih melakar kerutan.
“Impian untuk berkeluarga sendiri. Takkan kau nak biarkan rumah yang kau beli tu sunyi sepi seumur hidup? Takkanlah tak ada suri yang akan menjaganya bila kau keluar bekerja? Sampai bila kau nak biarkannya kosong tanpa ada suara anak-anak penyambung generasi kau kat situ? Apa guna ada rumah sebesar istana Encik Faris Firdaus oii kalau suasananya tak seceria yang kau harapkan.”
Jawapan Isma mengundang senyuman hambar Faris. Dia melepas nafas perlahan.
“Tentang tu, aku tak boleh cakap apa-apa Is. Bukan aku tak berminat tapi entahlah. Sejak aku buka syarikat sendiri, aku dah tak terfikir nak buat semua tu. Mungkin sebab aku belum jumpa calon yang sesuai, sebab tu aku tak pernah terfikir lagi pasal perkara ni.”
“Kau masih ingat kisah cinta kau yang tak menjadi tu?” Mendengar pertanyaan Ainul, senyuman Faris kembali terukir. Tawar.
“Mungkin ya mungkin jugak tak. Apapun seperti yang aku cakap tadi, aku belum bersedia ke arah tu. Lagipun buat apa aku nak kahwin sekarang kalau sekadar nak menyusahkan aku aje.” Suaranya lagi.
“Menyusahkan macam mana maksud kau?” tanya Isma segera. Tak faham.
“Iyalah. Aku kan belum bersedia untuk berkahwin buat masa sekarang? Buat apa aku nak sakitkan kepala aku fikirkan semua ni? Lagipun macam mana aku nak timbulkan rasa teringin nak kahwin tu kalau keadaan sekeliling banyak mempengaruhi aku supaya jangan sesekali berfikir pasal ni? Pengaruh terdekat, kau orang berdualah.” Selamba saja dia menuduh kedua-dua sahabatnya itu.
Kata-kata itu menjadikan tubuh Isma dan Ainul tegak serta-merta. Mata kedua-duanya sudah membulat ke arah Faris.Terkejut.
“Apasal kau kata kami berdua pulak? Apa yang dah kami buat kat kau sampai kau boleh cakap macam tu?” tanya Ainul benar-benar pelik dengan kata-kata lelaki itu.
“Amboi, kau boleh tanya pulak apa yang kau orang buat kat aku ya? Apa lagi yang kau orang tak buat kalau bukan tak bagi contoh yang baik pada aku sepanjang kita jalani kehidupan sehari-hari. Tengok jalan hidup kau orang pun dah cukup buat aku takut nak kahwin tau,” balasnya lalu kedua-dua sahabatnya mengulum senyuman panjang. Mengerti kini maksud kata-kata Faris.
“Ooo... maksud kau, kami berdua nilah puncanya yang membuatkan kau tak terfikir nak berkahwin sampai sekarang ni ya?” Senyuman Isma semakin melebar.
“Sudahlah kau Ris. Sendiri tak ada hati nak kahwin salahkan kita orang pulak,” tempelaknya dalam tawa kecil yang sudah terhambur dari mulutnya sendiri. Geli hati dengan kata-kata lelaki itu sebentar tadi.
“Kalau iya pun kau tak nak kahwin, janganlah salahkan kita orang pulak,” sampuk Ainul turut sama membuang tawa.
Faris turut berbuat demikian.
“Aku tak kata kau orang jadi punca aku tak berkahwin sampai sekarang tapi itulah. Melihat perjalanan perkahwinan kau orang selama ni membuatkan aku tak terasa langsung nak kahwin. Kau Is, dengan cara hidup kau. Lepas saja arwah Kamilia pergi, sampai sekarang kau tak cari penggantinya.
Kau lagilah Ainul. Elok aje kau bercerai dengan Alia, langsung tak nampak tanda-tanda kau nak cari yang baru. Cara kau orang tu membuatkan aku rasa lebih baik kalau aku tak kahwin sampai bila-bila. Yalah, buat apa kahwin kalau perkahwinan itu hanya akan menyusahkan aku saja di masa depan?” Faris memberi pendapatnya sendiri.
“Kau ni Ris, betullah salah membuat tafsiran. Bukan silap kita orang semua tu jadi Encik Faris Firdaus oii tapi semua tu berlaku atas ketentuan ALLAH. So kita orang nak buat macam mana lagi. Nak tak nak terima ajelah semuanya dengan hati yang terbuka. Yang kau ni pun satu. Dah tahu perkahwinan kita orang dah lingkup begitu, yang kau tengok dari segi negatif tu buat apa? Fikirlah secara positif sikit.
Banyak lagi orang lain yang boleh kau buat contoh teladan. Contoh terdekat, mak ayah kau sendiri. Tengok dia orang, dah berpuluh tahun hidup bersama. Bahagia juga sampai sekarang,” tempelak Ainul dalam senyumannya.
Sedang Isma sudah melepaskan tawa buat kali kedua. Faris apatah lagi.
“Betul cakap Ainul tu. Kau sepatutnya tengok perkahwinan tu dari sudut yang positif, barulah rumah tangga kau kekal bahagia selamanya. Bukan tengok dari sudut yang tak sepatutnya. Aku berani jaminlah Ris, kalau kau tak ubah cara pemikiran kau dari sekarang, alamatnya sampai ke matilah kau membujang tahu tak,” sampuk Isma masih tak reda tawanya. Faris tersenyum lebar.
“Itu aku tahulah tapi macam mana aku nak tengok dari sudut positifnya kalau yang ada di depan mata aku semuanya negatif? Tulah kau orang. Sepatutnya kau orang bagi aku contoh teladan yang baik. Bukannya buatkan aku fikir yang bukan-bukan. Tak pasal-pasal aku dah tak teringin nak kahwin sekarang.”
Dia ketawa semula bila Ainul dan Isma pantas menjegil mata ke arahnya. Kedua-dua mereka turut meluah tawa akhirnya. Geli hati dengan isi bicara mereka ketika ini.
“Eh, dahlah kau orang. Dari tadi asyik bercakap aje. Jomlah balik. Dah pukul berapa dah ni. Esok nak kerja pulak.”
Ainul bersuara semula tidak lama kemudian tatkala terpandang jarum jam tangannya. Baru sedar masa semakin berlalu pergi. Dilambai tangannya pada pelayan restoran yang segera menghampiri.
“Sebelum balik, kita singgah di masjid sekejap. Boleh Solat Isyak siap-siap. Balik nanti terus tidur aje.” Cadangan Faris dibalas dengan anggukan setuju kedua-dua sahabatnya.

“JEMPUT minum Lia,” pelawa Damia mengunjuk mug berisi minuman panas pada Alia.
Wanita itu mengangguk lalu menyambut mug yang dihulurkan. Matanya masih melekat di skrin televisyen.
“Kau kenapa Lia? Monyok semacam aje muka kau tu. Apa hal sebenarnya?” tanya Damia sambil merebah tubuhnya di sofa. Kemudian duduk bersila menghadap wanita itu. Lalu merayapkan mata ke wajah tegang berbalut suram milik Alia. Riak yang terpamer sejak wanita itu pulang ke rumah petang tadi. Terus saja Alia merengus kasar.
“Pasal apa lagi Mia oii kalau bukan pasal si bodoh bangang tulah. Tak sudah-sudah nak sakitkan hati aku aje,” marah dia setelah seteguk air melepasi ruang tekaknya.
“Si bodoh bangang? Siapa pulak yang kau bodoh bangangkan ni?” Damia terpinga-pinga. Dahinya pula sudah berkerut seribu. Tak faham.
“Siapa lagi kalau bukan si Ainul buta kayu tulah.” Jawapan keras Alia membuatkan Damia terus mengangguk faham.
“Oh... bekas laki kau tu rupanya. Dia dah buat apa kat kau?”
“Macam-macam yang dia buat sampai sakit satu badan aku dibuatnya. Luar badan ke, dalam badan ke, sama aje rasa sakitnya. Pendek kata semua sekalilah anggota badan aku ni sakit dibuatnya.” Nyata marah Alia masih belum surut.
Damia sudah melopong mulut.
“Huih! Macam tu sekali Ainul sakitkan kau ya? Teruk betul tu. Mengalahkan orang yang sakit accident pulak ya,” ujar Damia selamba. Sekali gus menjadikan raut wajah Alia bertambah-tambah masam. Bengang dengan usikan gadis itu.
Damia terus tersengih. Seketika cuma.
“Cuba kau bagitahu aku, apa sebenarnya yang bekas laki kau tu dah buat kat kau? Ceritalah dari awal sampai akhir supaya aku faham.” Serius pula dia bertanya kali ini.
Mendengar kata-kata itu, Alia terus memusing tubuh. Dia tidak lagi berminat menatap televisyen sebaliknya menghadap Damia yang senantiasa bersedia mendengar segala masalahnya. Bukan saja sekarang malah sejak dari dulu lagi Damia bersikap begitu. Sememangnya gadis itu seorang pendengar yang baik buat Alia. Lalu dengan begitu bersungguh-sungguh dia pun memulakan ceritanya.
“Kau tahu Mia, adakah patut aku yang cantik lagi jelita ini diajaknya bergaduh? Dahlah tu, kat dalam restoran lagi. Semua orang tengok gelagat kami masa tu. Ya ALLAH Mia, ikutkan hati marah aku, nak saja aku sepak kepala si bodoh bangang tu sekuat hati. Bebal betullah otak kosong dia tu.” Penuh geram Alia bersuara. Hingga terkepal-kepal jari-jemarinya beberapa kali. Sempat lagi dia memuji diri sendiri dalam pada itu.
“Nasib baik Rina dan Lily ada sekali. Kalau tak dah lama aku tarik-tarik rambut si Ainul tu, biar botak terus. Mana tahu hilanglah sikit bebal dia nanti kalau kepalanya dah botak licin. Senang sikit dia nak fikir nanti. Eii!!! Memang bodohlah dia tu, otak letak kat kepala lutut agaknya.” Dalam marah Alia menyambung suara lagi.
Damia pula terus-terus mengerut dahi.
“Habis tu, dia maki kau ke?” tanya dia ingin tahu.
“Nak kata maki tu taklah tapi dia marah-marah kat aku. Kau tahu apa dia kata? Dia tuduh aku yang jadi punca rumah tangga kami roboh dulu. Dia kata aku curang dengan lelaki lain. Eii! Sesedap mulut dia aje nak tuduh aku macam tu. Macamlah dia tu bagus sangat. Gila bekerja sampai tak ingat rumah tangga sendiri. Nak tuduh aku curang konon. Yang dia tu pun sama. Siap ada perempuan simpanan lagi kat pejabat tu.
Ingat aku tak tahu ke semua tu? Saja aje nak salahkan aku semata-mata nak tutup kesalahan dia. Senang cakap memang bodoh betullah kau Ainul!” marah Alia lagi. Lebih kepada bercakap sendiri sebenarnya. Terlupa sebentar dia pada kewujudan Damia di depannya ketika ini.
Sedang Damia telah perlahan-lahan menggeleng melihat telatah sahabatnya. Gadis itu melepas nafas panjang.
“Kau tak marah dia ke bila dia tuduh kau macam tu?” Sambil menyandar tubuh ke sofa semula Damia bertanya lembut. Memandang Alia merengus kesat.
“Apa pulak tak marah? Ingat aku ni tunggul kayu ke tak ada perasaan? Of courselah aku marah dia balik. Kau tahu, sebab aku dah tak tahan dengar dia kata aku macam-macam, aku terus simbah air oren kat dia. Padan muka Ainul. Tak pasal-pasal dia mandi air oren hari tu.” Dia tersenyum lebar. Puas hati dengan tindakannya.
Damia melepas nafas lagi. Kepalanya turut menggeleng buat kali kedua. Matanya pula masih tidak berganjak dari wajah Alia.
“Aku rasalah, baik kau ataupun Ainul sama aje perangainya. Macam budak-budak. Langsung tak matang. Nama aje umur dah masuk 30-an tapi perangai macam orang tak cukup umur. Kalau iya pun kau orang ada masalah peribadi, janganlah diheret sekali dalam hal-hal kerja. Cuba-cubalah bawa berbincang cara baik.
Pamerkan sikap profesional kau orang tu. Ini tidak, pantang bersua muka, bergaduh mengalahkan anjing dengan kucing. Aku rasa anjing dengan kucing bergaduh pun tak seteruk kau orang bergaduh,” sembur Damia terus menggeleng lagi.
“Bukan aku yang mulakan dulu tapi si Ainul bodoh tu yang panaskan hati aku. Mahu aku tak geram,” ujar Alia terus menarik muncung sedepa panjangnya. Dijeling sekilas wajah selamba Damia.
“Tak kisahlah siapa yang mulakan dulu tapi apa salahnya kalau kau beralah, pun? Kalau dua-dua hanya tahu nak menang aje, sampai bilapun kau orang takkan capai kata sepakat. Hari tu kau simbah Ainul dengan air oren, esok-esok entah apa pulak yang dia akan balas. Kalau begini keadaannya, sampai kiamat pun kau orang takkan berbaik.” Lembut Damia memberi nasihat.
“Argh! Tak adanya aku nak berbaik dengan manusia buta kayu tu. Selagi dia tak mintak maaf dengan aku atas semua kesalahan dia pada aku, selagi itulah aku takkan beralah dengan dia sampai bila-bila pun,” sanggah Alia cepat.
Kusyen kecil di ribaannya diramas sekuat hati. Membayangkan dia sedang meramas muka Ainul ketika ini.
Damia terus melepas nafas panjang sebaik sahaja mendengar jawapan wanita itu.
“Kalau itu kau punya prinsip, alamatnya lingkuplah projek ayah kau orang tu dikerjakan kau orang berdua nanti. Mana tidaknya, seorang kata begini, seorang pulak kata begitu. Masing-masing perasan pendapat sendiri yang bagus. Dahlah tu, dua-dua langsung tak mahu beralah. Aku berani jaminlah.
Projek ayah kau orang tu hanya mampu tinggalkan sejarah buruk dalam hidup kau orang berdua tak lama lagi. Percaya atau tidak, kau tengoklah nanti.” Penuh yakin Damia memberi pendapat.
“Bila aku fikirkan semula, aku salahkan ayah aku dan ayah Ainul seratus-peratus dalam hal ni. Suka hati dia orang aje nak aku dan Ainul bekerjasama siapkan projek tu walhal bukannya dia orang tak tahu, kami berdua dah lama tak bertegur sapa sejak bercerai beberapa tahun dulu. Saja aje dia orang nak kenakan kami berdua.”
Alia kembali mengepal penumbuknya. Kali ini bayang Encik Ghazali dan Encik Azmi pula yang menjadi mangsa tumbukannya di kusyen. Damia merengus terus.
“Tengok tu, salah sendiri tak nampak, nak salahkan orang pulak. Sepatutnya kau dan Ainul fikir secara positif tentang tindakan ayah kau orang minta kau orang bekerjasama semula dalam satu projek. Setiap tindakan orang tua kita tu ada sebabnya, bukan suka-suka dia orang aje buat macam tu kat kita.
Mana tahu dia orang nak satukan kau dan Ainul supaya jadi suami isteri macam dulu semula? So, gunakanlah kesempatan ni untuk berbaik kembali dengan Ainul. Kalau tak boleh berbaik sekalipun, at least kau orang boleh jadi kawan selepas ni kan?” tempelak Damia cepat. Betul-betul tak senang dengan kata-kata wanita itu.
“Nak jadi kawan apanya Mia oii kalau si Ainul bodoh bangang tu tak reti nak cakap elok-elok dengan aku. Tahu nak menengking aje. Siapa larat tahan telinga kalau macam tu gaya perangainya? Jangan kata aku, gajah pun boleh naik minyak kalau dua puluh empat kena maki hamun aje tau.” Ternyata Alia tidak mahu mengalah.
Damia pula terus menepuk dahi. Mengerti benar dengan sikap keras kepala wanita itu. Beberapa tahun menjadi sahabat baiknya telah cukup menjadikan Damia mengenali diri pemilik nama penuh Alia Amani itu walau tidak sepenuhnya.
“Kalau beginilah gayanya perangai kau dan Ainul, aku rasa memang menjadi betullah tekaan aku pasal projek ayah kau orang tu nanti. Jahanam semuanya dek perangai ego dan keras kepala kau orang ni,” tukas Damia menggeleng lagi.
“Kenapa pula?” Selamba saja Alia bertanya.
“Aik... boleh pulak kau tanya kenapa ya? Yalah, kalau nak bersua muka pun dah tak boleh, macam mana kau orang nak duduk berbincang pasal projek ayah kau orang tu pulak? Dahlah tu, hal peribadi pulak yang kau orang ungkit keluar pun setiap kali berjumpa. Kalau macam tu samalah jugak macam kau orang duduk dalam kandang mahkamah aje. Saling nak bela diri sendiri walhal perkara tu boleh dibawa berbincang kat luar kalau kena caranya.”
Damia menggeleng semula.
“Apapun aku rasa elok sajalah kau dan Ainul berbincang dari hati ke hati. Kalau tidak sampai bila pun kau orang takkan capai kata sepakat. Baik hal peribadi mahupun hal berkaitan projek kau orang, semuanya hanya akan tergantung di situ saja sampai bila-bila tanpa ada sebarang kata putus kalau kau orang terus bersikap kebudak-budakan macam sekarang. Fikirlah baik-baik nasihat aku ni ya. Aku masuk tidur dulu. Awal pagi esok aku nak ke mahkamah,” sambung Damia terus bangun dari duduknya.
Dia membawa bersama mug minumannya. Diletaknya ke meja makan sebelum melangkah ke tingkat atas.
Meninggalkan Alia yang hanya melepas nafas seraya melekap matanya semula ke skrin televisyen. Manakala mindanya ligat memikirkan kata-kata Damia. Hanya seketika sebelum dia larut dalam keralitannya menonton rancangan kegemarannya tak lama kemudian.

“ASSALAMUALAIKUM. Abang ganggu kamu ke?” Pertanyaan itu menyentak Isma yang sejak tadi sibuk melakukan kerja di bilik pejabatnya.
Dia segera mengorak senyuman. Memandang Khuzairi menjenguk kepala di balik pintu yang tidak ditutup rapat sebelum melangkah masuk ke dalam. Terus lelaki itu melabuh punggung di sofa.
“Mana abang tahu Is masih di pejabat?”
Isma telah bangun mendapatkan lelaki itu. Dia duduk menghadapnya. Khuzairi tersenyum panjang.
“Saja abang lalu kat kawasan pejabat kamu ni tadi. Kebetulan masa abang lalu tu abang nampak kereta kamu masih ada kat tempat parking. Abang agak kamu tentu belum balik kerja lagi. Jadi abang singgah ajelah,” sahutnya mesra.
“Dah lewat petang begini pun kamu masih tak balik lagi Is? Rajin benar kamu bekerja.” Sempat dia memuji bekas adik iparnya.
Isma mengulum senyuman.
“Rajin apanya bang. Saja saya stay lama-lama kat pejabat ni, nak siapkan apa-apa yang patut. Kalau balik ke rumah pun bukannya ada apa yang nak dibuat,” balasnya.
“Yang abang ni dari mana pulak? Lewat-lewat begini pun masih ada kat luar rumah,” ujar Isma. Memandang sekilas tubuh lelaki itu yang masih segak dibaluti pakaian kemasnya.
“Lepas habis kerja tadi abang terus pergi jumpa kawan abang, Yusri namanya. Ada perkara penting yang kami bincangkan tadi,” jelasnya ringkas.
Dia membetulkan kedudukannya sebelum membuka mulut semula.
“Sebenarnya Is, ada tujuan abang datang ke pejabat kamu ni.” Suara Khuzairi kedengaran sedikit serius biarpun bernada tenang.
“Berkenaan apa tu bang?” Sambil menyandar tubuh ke sofa Isma bertanya sopan. Dia membalas tenang pandangan Khuzairi.
“Begini Isma. Seminggu dua lepas ayah ada bagitahu abang yang dia nak majukan kawasan tanah kosongnya di kampung. Daripada dibiarkan semak dan terbiar begitu saja, elok rasanya kalau diusahakan menjadi tempat pelancongan atau sebagainya. Lagipun tanah ayah tu terletak tak jauh dari kawasan air terjun tempat tumpuan penduduk kampung dan orang luar mandi manda setiap kali hari cuti. Jadi ayah bercadang nak bina penempatan chalet kat atas tanahnya tu.
Memandangkan abang dan ayah sama-sama tak tahu apa-apa tentang perkara ni jadi ayah terfikir nak mintak tolong kamu lakukannya. Dia mintak abang sampaikan perkara ni pada kamu sebab dia tak ada masa nak jumpa kamu lagi buat masa sekarang. Tentang kos pembinaan chalet tu kamu jangan bimbang. Ayah akan biayai sepenuhnya projek tu nanti. Cuma itulah, abang berharap sangatlah kamu setuju dengan cadangan ayah ni,” terang Khuzairi panjang lebar.
Isma mengangguk kecil.
“Kalau tentang perkara ni, rasanya tak ada masalah untuk saya lakukannya tapi boleh saya tahu bila abang nak saya mulakan projek ni?”
“Yang itu terpulanglah pada kamu sendiri Is. Ayah dan abang tak memaksa sebab kami tahu kamu pun sibuk dengan projek-projek syarikat kamu yang lain. Bila-bila masa kamu boleh mulakannya asalkan projek ni tak mengganggu kerja-kerja kamu di syarikat ayah kamu ni,” jawab Khuzairi lalu kepala Isma mengangguk lagi.
“Kalau macam tu, saya akan cuba buat kertas kerjanya secepat mungkin. Tapi sebelum tu, saya kena pergi tengok dulu tapak tanah ayah tu sama ada sesuai atau tidak untuk kita bina chalet di situ,” ujarnya. Menjadikan senyuman bekas abang iparnya semakin melebar.
“Terima kasihlah Is kerana sudi bantu ayah dan abang jalankan projek tu. Kalau nak diharapkan pada kami, rasanya sampai bila-bila pun tak adanya nak berjalan projek tu. Maklumlah, kami bukannya tahu apa-apa pasal ni. Kalau pasal undang-undang dan kayu balak, bolehlah.”
Isma hanya mengukir senyuman tanpa sepatah kata mendengar seloroh lelaki itu.
“Hmm... tak apalah Is, hari pun dah petang benar ni. Abang mintak diri dulu. Nanti lewat pula abang sampai ke rumah. Kamu tak nak balik lagi ke?”
Khuzairi mula bangkit dari duduknya seraya membetulkan kedudukan kemeja di tubuh.
“Lepas Maghrib nanti saya baliklah bang. Ada sikit lagi kerja yang perlu saya selesaikan kat pejabat ni.” Sopan Isma menyahut.
Dia turut bangun. Menghantar lelaki itu ke pintu biliknya.
“Kamu jangan lewat sangat balik ke rumah tu Is. Jaga sama diri kamu tu. Kerja tu kerjalah jugak tapi jangan sampai merosakkan kesihatan pulak.” Sempat Khuzairi memberi nasihat sebelum meluah salam.
“Yalah bang,” sahut Isma pendek seraya menyambut salam lelaki itu.
Matanya hanya memandang Khuzairi berlalu dari situ sebelum kembali ke mejanya. Menyambung semula kerjanya yang terhenti sebentar tadi. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012