
BAB
7
“Kenapa nenek benci sangat pada kakak dengan adik
ya bang Han?”
Fakhira memandang lesu wajah Farhan yang sedikit
terkedu mendengar pertanyaan itu. Wajah kanak-kanak yang masih basah dengan
airmata itu ditatap lama. Mereka bertiga baru saja selesai melakukan solat
Maghrib sebentar tadi sebelum duduk berbual di bilik Farhan.
Farhan terdiam sejenak. Ligat benaknya menyusun
ayat. Mencari kata–kata yang sesuai sebelum lambat-lambat membuka mulut.
“Sebenarnya, nenek tak benci pada kakak mahupun
adik tapi nenek marah bila kakak dengan adik buat salah. Itu saja,” tuturnya
lembut. Di usap kepala keduanya yang kini berbaring di pangkuannya. Masih ada
sendu yang menyalut mereka.
“Tapi adik dengan kakak tak buat salah pun tadi.
Kami cuma duduk bergurau dengan mak di ruang tamu bila tiba-tiba sahaja nenek
turun dari tingkat atas dan marah-marah,” sampuk Fadlan pantas.
Mata yang masih basah dengan airmata dibesarkan.
Membalas pandangan Farhan.
“Nenek memang macam tu, tak pernah sayangkan kakak
dengan adik. Selalu kata kami ni anak kutip. Kami memang anak kutip ke bang
Han?” petah kanak–kanak berumur sepuluh tahun itu bertanya. Didongak kepalanya lama. Menanti jawapan dari
sang abang yang ternyata tersentak dengan pertanyaan itu.
Lama Farhan membatu diri. Wajah pasangan kembar
seiras itu direnung sedalamnya. Cuba mengukir senyuman walau payah untuk
dilakukan.
“Kenapa adik cakap macam tu? Tak baik tahu cakap
macam tu. Allah tak suka orang yang suka memburuk–burukkan orang lain,” sahut
Farhan sedikit tegas namun masih bernada lembut.
Dipandang kedua-dua wajah yang begitu setia
menanti jawapannya. Hatinya turut terusik mendengar kata-kata adik kesayangan.
Sedar dengan kebenaran setiap patah kata itu walau hakikat sebenar tidak
diketahui olehnya. Begitu pun dia amat menyayangi keduanya. Sayang yang tiada
penghujungnya.
Mendengar jawapan itu Fakhira mengeluh panjang.
“Kenapalah keluarga kita tak pernah bahagia ya
Bang Han? Hampir setiap hari mak dengan nenek bergaduh. Ayah pula jarang ada
kat rumah. Sibuk saja dengan kerja,” suaranya perlahan.
Dia yang kini bangun menyandarkan tubuh ke kepala
katil merenung semula wajah abang kesayangannya.
“Ayah sibuk sebab ayah cari duit untuk kita. Kalau
ayah tak bekerja keras, siapa yang nak belikan pakaian baru dan mainan untuk
kakak dengan adik?” jelas Farhan masih bernada lembut. Menatap wajah Fakhira
yang segera mencebik sedikit.
“Itu kakak tahulah tapi kenapa ayah biarkan nenek
selalu marah mak? Apa salah mak pada dia sampai tiap–tiap hari dia marah mak.
Mak pula tahu menangis je. Jarang nak melawan cakap nenek. Kesian mak,” Fakhira
bersuara lagi.
Ada rasa geram yang bergaul di dalam nada
suaranya. Air mata yang sedari tadi berhamburan di pipi dilap perlahan.
Farhan terdiam semula. Putus ikhtiarnya untuk
membalas kata lagi. Sedar dengan kebenaran kata-kata kanak-kanak comel itu. Tak
mampu dirinya menyangkal.
“Dahlah, jangan menangis lagi. Esokkan kakak
dengan adik nak sekolah. Nanti kalau bengkak mata tu siapa yang malu? Kakak
dengan adik jugakan. Dah, lap airmata tu,”
Farhan bersuara semula setelah agak lama membatu
diri. Jari-jemarinya menyapu lembut airmata yang masih berbaki di pipi
keduanya.
“Bang Han, tak boleh ke keluarga kita hidup
bahagia macam orang lain?”
Pertanyaan tiba-tiba yang terkeluar dari bibir
Fakhira membuatkan Farhan kembali terkedu. Agak lama dia terkunci kata sebelum
lambat–lambat bersuara.
“Keluarga kita selalu bahagia kak tapi kalau nak
bahagia lagi, kita kenalah selalu beralah,” jawabnya. Bola matanya kembali
menujah wajah keduanya.
“Beralah macam mana Bang Han?” sampuk Fadlan.
“Beralah macam yang selalu mak buat. Kalau nenek
marah–marah, kakak dengan adik kena diam. Jangan menjawab. Itu tandanya
beralah. Bila nenek dah penat marah, dia diamlah. Kan senang,” suara Farhan
memandang kedua adiknya yang lambat–lambat mengangguk.
“Bukankah bagus kalau ada orang yang boleh
selamatkan keluarga kita,” Fakhira kembali melantun suara setelah membiarkan
suasana di bungkus sepi seketika.
“Maksud kakak?” tanya Fadlan cepat.
Dia yang sedari tadi berbaring di pangkuan Farhan
segera mendudukkan diri. Mengadap Fakhira. Berminat untuk mengetahui dengan
lebih lanjut kata-kata kakak kembarnya itu.
“Ala, macam superhero-superhero
selalu buat tu. Ada Superman, ada Batman yang boleh selamatkan orang bila
susah. Hah, lebih kurang macam tulah. Bolehlah dia tolong selamatkan keluarga
kita. Tak payahlah mak dengan nenek bergaduh lagi. Ayah pun taklah sibuk
bekerja saja,” sahut Fakhira.
“Ada ke orang yang macam tu Bang Han? Mahu
menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan atas bantuannya?” tanya Fadlan
seraya mengalih wajah ke arah Farhan yang lambat-lambat mengangkat bahu.
“Entah, mungkin ada mungkin tak ada,” jawabnya
tidak pasti dengan keadaan itu.
“Tapi perkara macam tu tak mustahil boleh
berlakukan bang?” Bersungguh-sungguh Fadlan menanya. Seakan mengharap. Bulat
matanya memandang wajah tenang Farhan.
“Well,
kalau nak tahu ada ke tidak orang macam tu, kita kena cari. Tak pun apa kata
kita berdoa saja pada Allah? Minta Allah hantarkan orang tu pada kita. Mana
tahu Allah makbulkan permintaan kita tu,” jawab Farhan sekadar ingin
menenangkan hati kedua-duanya.
“Boleh ke kita minta macam tu pada Allah Bang
Han?” Fadlan sudah mulai teruja.
“Boleh sayang. Allah tu Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui. Dia dengar segala apa yang kita katakan dan Dia jualah yang akan
memberi apa yang kita minta asalkan kita memintanya dengan penuh ikhlas dan
bersungguh–sungguh,” suara Farhan lagi.
“Kalau macam tu, adik nak mintalah. Mana tahu
Allah makbulkan nanti,” Fadlan membalas riang. Berbalas pandangan dengan
Fakhira yang mengangguk setuju. Digosok kedua tapak tangannya sebelum mengalih
pandangan. Memandang Farhan yang hanya memerhati gelagat kedua-duanya.
“Abang Han bacalah doa, adik dengan kakak
aminkan,” suaranya begitu beriya.
Fadlan memandang Fakhira yang turut melakukan
perkara yang sama dengannya. Mengembangkan kedua tapak tangan yang telah ditaut
rapat. Bersedia untuk berdoa.
Farhan tersenyum sedikit. Tercuit hatinya
melihatkan sikap kedua-dua kembar yang kelihatan begitu teruja dengan keadaan
itu. Memandang wajahnya dengan riak yang penuh mengharap. Tidak sampai hati
untuk menghampakan keduanya, Farhan mengalih kedudukan. Ditegak tubuhnya.
Mengangkat kedua tangannya ke atas seraya perlahan–lahan bersuara. Sepenuh
hati.
“Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon padamu, ampunilah
segala dosa hambaMu ini. Dosa yang pernah kami lakukan sama ada secara sedar
mahupun sebaliknya. Semoga ada sedikit sinaran kebahagiaan yang akan Kau
limpahkan ke dalam rumah ini. Berikanlah cahaya kegembiraan pada kami
sekeluarga. Usirlah kesedihan sejauh–jauhnya dari membelenggu kehidupan kami
selamanya.
Ya Allah, hanya padaMu kami memohon, hanya padaMu
kami meminta. Tiada Tuhan yang kami sembah melainkan diriMu. Makbulkanlah doa
hambaMu ini Ya Allah.”
“Amin…”
No comments:
Post a Comment