BAB
8
Zarif mengunci pintu
pagar rumah setelah memangkir kereta. Dipandang halaman rumahnya yang kelihatan
berselerakan dengan daun-daun pokok mempelam yang gugur. Dia mengelengkan
kepala sebelum melepaskan satu keluhan kecil. Kesibukan diri melaksanakan
tanggungjawab di hospital menyebabkannya tidak mempunyai masa untuk menyapu
laman rumah teres dua tingkat itu.
“Awal balik hari ni
doctor.”
Teguran seseorang
membuatkan Zarif berpaling tubuh. Dia tersenyum memandang Sarah yang tinggal
bersebelahan dengan rumahnya. Wanita itu sedang sibuk memungut kain-kain
jemuran yang telah kering di ampaian.
“Hari ni tak ramai
pesakit sangat Sarah,” balas Zarif perlahan.
Zarif menyandarkan
tubuhnya ke kereta. Diseluk kedua belah tangannya ke dalam poket seluarnya.
“Mana Makcik Rahimah?
Tak nampak dia pun petang ni,” soal Zarif.
Dari celahan pagar
dawai yang memisahkan ruang halaman rumah mereka dia meninjau-ninjau mencari
kelibat orang tua yang peramah itu. Kebiasaannya, wanita tua itu akan duduk di
bangku batu di halaman rumahnya.
“Mak ada kat dalam
doktor. Kurang sihat sikit. Asyik batuk saja dua tiga hari ni. Risau juga saya
dibuatnya.” Sarah menjawab sambil tangannya ligat memasukkan kain-kain
jemurannya ke dalam bakul di tepi kakinya.
“Teruk ke batuknya
tu Sarah?”
“Nak kata teruk tu,
tak adalah sangat doktor. Cuma kadang-kadang tu dia terasa susah nak bangun.”
Zarif
mengangguk-angguk.
“Dah bawa dia ke
hospital?”
“Belum lagi.
Faham-faham sajalah doktor, orang tua. Sebut saja hospital, hilang terus rasa
sakitnya tu.”
Zarif tersenyum
kecil. Hatinya sedikit tercuit dengan kata-kata wanita itu.
Sarah yang telah
selesai memungut pakaian memandang hairan wajah doktor muda itu.
“Kenapa doktor
tersenyum begitu?” soalnya lembut. Dipandang lama wajah tampan yang seusia
dengannya itu.
Zarif mengeleng
kepala perlahan. Kemudian tersenyum.
“Tak ada apa Sarah,
cuma saya rasa pelik dengan sikap awak. Dah bertahun-tahun kita berjiran,
rasanya sudah beratus-ratus kali saya pesan, jangan panggil saya doktor. Awak
panggil juga saya begitu.”
Sarah tersenyum kecil.
Di tunduk sedikit wajahnya.
“Maaflah doktor
kalau doktor tersinggung tapi doktor sendiri pun fahamkan dengan situasi saya.
Janda seperti saya ni susah kalau terlalu beramah mesra dengan orang lain.
Apatah lagi dengan lelaki bujang seperti doktor. Macam-macam fitnah boleh
timbul. Benda yang tak kita buat pun, di katakan buat,” balasnya perlahan.
Zarif menganggukkan.
Mengerti dengan situasi yang dialami wanita itu.
“Hmm, tak apalah
doktor, saya minta diri masuk ke dalam dulu. Hari pun dah hampir senja.”
Sarah mengangkat bakul
pakaian. Sempat dia membalas senyuman Zarif yang hanya mengangguk kecil.
Zarif memandang wanita
itu berlalu ke dalam rumah sebelum dia sendiri turut berbuat demikian. Niat
hatinya untuk menyapu laman rumah pada petang itu tertangguh lagi.
“Please have a seat,” sambil tersenyum
kecil Roselle bersuara ramah. Dia mengunjuk ibu jarinya ke arah sofa yang
terletak di tengah ruang bilik pejabat.
Zara tersenyum
mengangguk. Dia hanya memandang gadis itu berlalu. Meninggalkannya bersendirian
di ruang bilik itu.
Zara menghala
pandangan ke sekeliling. Bilik hotel yang dijadikan ruang pejabat itu kelihatan
ekslusif dengan cat dindingnya yang berwarna hijau kebiru-biruan.
Biasan warna dinding
yang mengenai siling bilik menampakkan kemewahannya. Ditambah dengan jambangan
bunga-bunga kering yang diletakkan di setiap penjuru bilik menghasilkan suasana
tenang dan damai di dalam ruang bilik yang luas itu.
Zara masih berdiri.
Pandangannya terpaku pada sekeping potret wanita yang tergantung di satu sudut
bilik. Perlahan-lahan dia menghampirinya. Gambar seorang wanita bertudung hijau
lembut itu direnung lama.
Cantiknya dia, puji
hatinya.
“Dah lama tunggu?” suara
seseorang dari arah belakang menyentak pandangannya.
Segera dia menoleh. Seorang
lelaki berpakaian kemas tersenyum mesra ke arahnya. Lelaki itu bertubuh tinggi
dan tegap. Wajah putih bersihnya hanya dihiasi dengan sedikit janggut yang tumbuh
di dagu. Sepasang kot hitam yang tersarung kemas di tubuh tegapnya menyerlahkan
lagi ketrampilannya.
Zara mengukir senyuman.
Pelik rasanya mendengar lelaki yang mempunyai raut wajah seperti bangsa Arab
itu berbahasa Melayu dengan begitu fasih. Di hampiri lelaki yang bertubuh segak
itu.
“I’m
Zara Zulaikha from Corniche Interactive Sdn.Bhd.”
Zara memperkenalkan
diri. Dihulur tangannya seketika. Berjabat salam.
“I know it. Dah lama ke awak tunggu?”
Lelaki itu
mengulangi pertanyaannya. Tangan kanannya dihalakan ke arah sofa sebelum
melabuhkan punggungnya di situ. Zara turut berbuat demikian.
“Tak juga. Saya baru
saja sampai.”
Zara membalas perlahan.
Dipandang lama wajah lelaki yang masih tersenyum itu.
“Fasih Tengku
berbahasa Melayu. Tengku memang berketurunan Melayu ke atau pernah mempelajari bahasa
Melayu?”
Mendengar pertanyaan
Zara, lelaki itu melebarkan senyumannya.
“Kenapa awak tanya
saya begitu? Wajah saya tak seperti orang Melayu ke?”
Soalan wanita itu tidak
dijawab sebaliknya dilempar pertanyaannya.
“Eh, bukan itu
maksud saya. Melihat pada nama Tengku membuatkan saya terfikir yang Tengku ni
berketurunan Arab,”
Lelaki itu tertawa
kecil.
“Actually, arwah mak saya berketurunan
bangsa Arab dari Mesir. Manakala ayah saya pula memang orang Melayu. Kiranya
saya ni anak campuran dua bangsalah,” terangnya ringkas.
Zara
mengangguk-angguk.
“Oh, sebab itulah
wajah Tengku seakan wajah orang Arab.”
Lelaki itu tersenyum
lagi. Tidak disahut kata-kata itu.
“Maaflah jika
pertanyaan saya tadi menyinggung perasaan Tengku,”
“Tak ada apa yang
menyinggung perasaan saya Cik Zara. Bukan awak seorang saja yang pernah menyoal
saya tentang perkara ni. Dah ramai sangat yang tanya sampai saya sendiri pun rasa
bosan di buatnya,” ujarnya lembut.
Zara hanya mengulum
senyum. Memandang wajah tampan lelaki itu yang turut menguntum senyum.
“So, memandangkan kedua-dua kita adalah
orang Melayu, apa kata kalau kita berbincang saja berkenaan projek saya tu
dalam bahasa ibunda kita saja? Saya sebenarnya dah lama tak menggunakan bahasa
Melayu ni. Maklumlah, jarang saya dapat berjumpa dengan orang yang boleh berbahasa
Melayu dengan fasih di Dubai ni. Walau pun ramai orang Melayu yang menetap di
sini namun kekangan masa menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk bergaul
dengan sesiapa pun.”
Zara tersenyum lagi.
Melihat pada raut wajah jernih lelaki itu dia dapat merasakan kebenaran
kata-kata lelaki itu.
“Saya tak kisah tapi
sebelum itu Tengku, saya minta maaf kerana kawan saya yang sepatutnya mengendalikan
projek ini tidak dapat menghadirkan diri. Memandangkan dia mempunyai hal lain
yang tak dapat dielakkan, saya diminta oleh pihak syarikat untuk mengantikan
tempatnya,” Zara bersuara tenang.
Sekali lagi lelaki
itu mengangguk.
“So Tengku, boleh kita mulakan
perbincangan kita tentang projek pembinaan hotel kedua Tengku tu?”
Lelaki itu
melebarkan senyuman.
“Okey, tapi sebelum tu
saya nak minta sesuatu dari Cik Zara. Jangan panggil saya Tengku. Just call me Yashmaan. Tak selesa rasanya
Cik Zara memangggil saya dengan panggilan Tengku. Tengku tu hanya gelaran
keluarga saya saja,”
Dia tersenyum lagi.
Zara yang memandang turut tersenyum.
“So, boleh kita mulakan sekarang Encik Yashmaan?”
No comments:
Post a Comment