Monday, June 03, 2013

BERSATU DALAM CINTA : BAB 9


BAB 9

“SELAMAT pagi mak.”
Pelukan seseorang dari arah belakang menyentak Puan Fatimah yang sejak tadi ralit mengelap deretan pinggan di rak dapur rumahnya. Dia terkejut kecil sebelum digeleng kepalanya laju. Dia tersenyum panjang.
“Kamu ni Riya, tak tahu bagi salam ke hah? Tahu-tahu dah peluk mak,” marah Puan Fatimah sempat menampar lembut lengan anak perempuannya.
Riya hanya tersengih.
“Bila kamu sampai? Kamu balik dengan siapa ni?”
“Riya balik dengan anak bongsu Riya ajelah mak. Abang Salman masih kat pejabat. Anak-anak dah ke sekolah,” ujar Riya sambil menapak ke ruang makan. Melabuh punggungnya di situ.
“Habis tu Salman tahu tak kamu ke sini?” soal Puan Fatimah turut mengikut langkahnya bersama semangkuk bubur kacang merah yang diambilnya dari dalam periuk.
“Tahu. Riya dah bagitahu dia yang Riya nak balik rumah mak ayah kejap,” ujarnya lagi.
Dia mencapai mangkuk dari tangan emaknya sebelum diletak di atas meja. Dicapai pula mangkuk kosong di tengah meja sebelum menyenduk masuk bubur kacang merah ke dalamnya.
“Mana anak kamu tu? Mak tak nampak pun dia.”
Kepala Puan Fatimah sudah tertinjau mencari cucu bongsunya.
“Ada kat ruang tamu tu mak. Dia tertidur dalam kereta tadi. Malas nak bangunkan dia jadi Riya letak ajelah dia kat atas sofa tu. Biar dia tidur sampai tengah hari nanti. Senang Riya nak buat apa-apa pun,” sambut Riya mula menyuap makan setelah sepotong doa dibaca perlahan.
“Kamu tak pergi ke butik kamu ke hari ni?” Soalan Puan Fatimah membuatkan mata bundar Riya kembali terhala ke wajah Puan Fatimah.
“Kejap lagilah mak. Riya sebenarnya tengah pening nak cari pereka hiasan dalam untuk butik Riya tu.” Dia mengeluh sedikit.
“Nak buat apa kamu cari pereka pulak? Butik kamu tu bukannya ambil tempahan pakaian pun sampai perlu ada pereka.” Ternyata Puan Fatimah masih tidak faham hujung pangkal kata-kata anaknya.
“Begini mak. Riya bercadang nak ubah suai hiasan dalam butik Riya tu. Walaupun Riya dah puas hati dengan keadaan butik tu tapi mak sendiri pun tahu kan? Baru-baru ni Riya dah menambah luas butik Riya tu. Jadi Riya rasa Riya perlu mengubah hiasannya jugak. Kalau boleh Riya nak hiasan dalamannya tampak lebih menyerlah dari yang sedia ada. Barulah ada tarikannya yang tersendiri,” terang Riya satu per satu.
“Ooo... begitu rupanya. Patutlah kamu cari pereka hiasan dalaman dan bukannya pereka fesyen.”
Kepala Puan Fatimah sudah mengangguk beberapa kali. Dia mengunci mulut tapi tak lama. Dia bertanya semula.
“Kamu dah jumpa ke dengan pereka hiasan dalaman kamu tu?”
Keluhan Riya terlontar semula.
“Itulah yang buat Riya pening ni mak. Dah puas Riya cari tapi kebanyakan mereka meletak harga yang tak munasabah. Ada jugak yang bagi harga yang okey tapi design yang dia beri pulak tak menepati cita rasa Riya. Entahlah mak, pening kepala Riya setiap kali cakap pasal ni,” rungutnya.
Puan Fatimah pula sudah ligat memikirkan sesuatu berkaitan kata-kata anaknya ketika ini.
“Riya, apa kata kalau kamu mintak tolong dari anak jiran sebelah rumah kita ni untuk buatkan design hiasan dalaman butik kamu tu? Dia pun bekerja sebagai pereka hiasan dalaman jugak. Cuma itulah, dia bekerja sendiri aje. Cuba-cubalah kamu tanya dengan dia. Mana tahu dia boleh tolong kamu,” cadang Puan Fatimah tiba-tiba.
“Maksud mak, Kak Wafi sebelah rumah ni?” Terlopong sekejap mulut Riya jadinya. Baru teringat pada anak jiran yang belum pernah dilihat rupa paras dan tingkahnya itu.
“Yalah, siapa lagi,” balas Puan Fatimah mengiyakan.
“Mahu ke dia buatkannya untuk Riya?” Kurang yakin dia dengan cadangan Puan Fatimah.
“Alah, kamu cubalah dulu. Mana tahu dia boleh buatkan rekaan yang mengena tepat dengan citarasa kamu tu. Kamu jugak yang untung nanti sebab tak payah pening-pening nak cari pereka lain. Lagipun mudahlah kamu nak berjumpa dengan dia selalu sebab dia pun tinggal di sebelah rumah kita ni saja,” saran Puan Fatimah lagi.
Riya terdiam sejenak. Perlahan-lahan dia mengangguk kecil.
“Hmm... betul jugak kata mak tu. Apa salahnya kalau Riya tanya pada dia pasal perkara ini. Kalau tak jadi pun tak kisahlah. Janji dapat jugak Riya berkenalan dengan anak jiran yang dah berjaya mencuri hati mak kesayangan Riya ni.
Untung-untung Riya dan dia boleh berkawan baik. Dengan tu adalah harapan untuk dia jadi kakak ipar Riya kalau ada jodoh dia dengan Abang Faris nanti,” ujar Riya sudah membayangkan perkara lain dalam kepalanya. Terlupa sejenak dia pada rancangan asalnya untuk mencari pereka hiasan dalaman untuk butiknya.
Puan Fatimah pula terus mengangguk laju. Setuju benar dengan kata-kata anaknya itu.

“KENAPA mak mengeluh?” Pertanyaan itu menyentak Puan Almas dari lamunan.
Sejak tadi wanita itu sibuk menjahit manik dan labuci di sepasang baju kurungnya. Salah satu aktiviti kegemarannya di waktu terluang. Dia tersenyum sedikit pada anak perempuannya.
“Kamu tak ke pejabat hari ni Anis?” soal Puan Almas melirik sekilas pada Anis.
Anak itu terus melabuhkan punggungnya di sofa. Bersebelahannya.
“Tak mak. Anis ambil cuti hari ni. Anis nak ke sekolah anak-anak lepas Solat Zuhur nanti. Ada mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru hari ni. Tak elok pulak rasanya kalau tak hadir. Karang kalau terjadi apa-apa masalah pada anak-anak kat sekolah, kita jugak yang susah nanti,” sahutnya lembut. Sambil itu dia membelek seketika jahitan tangan Puan Almas.
“Kamu pergi seorang ajelah nanti?”
“Taklah. Anis pergi dengan Abang Rusydi. Nanti tengah hari dia baliklah dari pejabat ambil Anis sebelum kami sama-sama ke sekolah.”
Puan Almas mengangguk faham sebelum tanpa sedar terlepas lagi keluhan dari mulutnya. Menjadikan mata Anis kembali terlekat di wajah emaknya.
“Kenapa ni mak? Sejak tadi mak asyik mengeluh aje? Mak sakit ya?” Nada suara Anis kedengaran penuh prihatin.
Salah satu dari sikapnya yang sejak dari kecil disenangi semua terutama orang tuanya sendiri. Tidak seperti Alia yang bersikap sebaliknya. Kerana itu dia dan Rusydi tak dibenarkan berpindah keluar dari rumah itu selepas mereka berkahwin. Biarpun kedua-dua suami-isteri itu telah memiliki rumah sendiri. Apatah lagi Anis dan Rusydi sendiri lebih gemar tinggal bersama orang tua mereka dari tinggal berasingan.
“Mak bukan sakit Anis tapi mak rasa pening,” sahut Puan Almas lemah. Namun jari-jemarinya masih ligat membuat kerja.
“Pening? Habis tu kenapa mak tak makan ubat?” Laju saja Anis bertanya. Penuh bimbang.
“Mak bukan pening saja-saja begitu Anis oii tapi mak pening fikirkan pasal adik kamu tu. Entah apalah nak jadi dengan dia, mak pun tak tahu.” Jawapannya membentuk senyuman lebar Anis. Mengerti kini keadaan sebenar Puan Almas.
“Oh... pasal tu ke? Entahlah mak. Jangan katakan mak, Anis sendiri pun tak tahu nak cakap apa pasal si Alia tu. Hidup dia, pandai-pandailah dia aturkan sendiri. Nak kata muda, umur dah lebih dari 30 tahun pun tapi perangai masih macam budak-budak.”
“Itulah yang buat mak pening ni Anis. Dah bertahun-tahun dia dengan si Ainul tu bercerai tapi sampai sekarang baik dia mahupun Ainul, sama-sama tak mahu kahwin lain. Konon fobia nak kahwin semula. Takut sangat rumah tangga yang kali kedua ni berpecah-belah jugak macam yang pertama.
Hei, singkat betullah fikiran adik kamu tu. Kalau si Ainul tu pernah sepak terajang dia ke, ugut nak bunuh dia ke, bolehlah rasa fobia nak kahwin. Ini tak. Hanya sebab masing-masing salah faham, keras kepala, langsung tak nak beralah membuatkan kedua-duanya dah tak mahu berkahwin semula.
Memang betullah dua-dua adik kamu tu tak matang fikirannya. Budak-budak pun rasanya lebih matang fikirannya dari fikiran adik-adik kamu tu.” Dalam merungut Puan Almas menggeleng penuh kesal. Kesal dengan sikap kedua-dua anak dan bekas menantunya.
“Mak dan ayah ingatkan, lepas adik kamu kahwin dengan Ainul eloklah rumah tangga dia orang sampai ke akhir hayat. Maklumlah, kisah cinta mereka dulu tu pun tak kurang hebatnya. Mengalahkan kisah-kisah cinta agung yang ada kat dalam dunia ni. Berkepit aje siang malam tak kira masa.
Tup-tup tak sampai setahun berkahwin dah bercerai-berai. Siap bergaduh sampai nak bertegur sapa pun dah tak boleh. Pantang bersua muka, bercakar aje tahu pun. Hei, apa nak jadi pada budak berdua tu pun tak tahulah.” Kepala Puan Almas menggeleng lagi.
“Apa nak buat mak, dah sampai situ saja jodoh budak berdua tu. Kita nak buat macam mana lagi. Tapi dalam hal ni, Anis salahkan kedua-duanya sekali. Dari kecil lagi dia orang dah kenal. Dari mula belajar berjalan sampailah dah besar panjang macam sekarang, takkanlah masih tak faham diri masing-masing lagi. Alia tu, macamlah tak kenal perangai Ainul yang gila bekerja tu. Dari dulu lagi dia memang berperangai macam tu. Buat sesuatu kerja tu sampai tak ingat dunia. Lagi tak siap, lagi itulah dia tak peduli hal lain.
Tapi yang si Ainul tu pun satu. Dah tahu jadi suami orang, luangkanlah sikit masa dengan isteri. Ini tidak. Dia duduk kat rumah ke, pejabat ke, kerja jugaklah yang dihadapnya pun. Seolah-olah kerjanya tu lebih penting dari segala benda. Bila si isteri ni keluar dengan lelaki lain atas urusan kerja, tahu pulak dia cemburu. Sesedap rasa aje tuduh si isteri tu curang dengan dia.
Alia yang bengang dengan tuduhan dia tu pun satu hal jugak. Dah tahu suami tu jenis yang cepat cemburu pujuklah dia baik-baik. Ini tidak, dipaksanya pulak si suaminya itu ceraikan dia. Tak pasal-pasal dah dapat talak satu lepas tu. Sekarang ni, puas hati agaknya budak berdua tu sebab sama-sama dah kembali solo.
Tapi tak guna jugak hidup sendiri-sendiri pun kalau nak berkawan macam masa dulu-dulu pun dah tak boleh. Jangan kata nak berkawan, nak tentang muka pun tak boleh dah. Tahu nak bercakar aje siang malam.” Anis turut meluah rasa hatinya.
Panjang lebar. Lebih kepada berleter sebenarnya. Melepas geram pada kedua-dua adik yang ternyata terlalu mengikut hati dalam membuat sesuatu keputusan dari mengikut akal fikiran. Jauh sekali bertanya pendapat orang yang lebih tua terlebih dulu.
“Kadang-kadang, mak terfikir jugak. Kan bagus kalau kami kahwinkan kamu dengan Ammar saja sepertimana yang dicadangkan oleh Mak Yati dan Ayah Azmi kamu dulu? Tapi apa nak kata, kamu berdua sama-sama menolak hasrat kami tu. Kalau tidak rasanya tak adalah porak-peranda hubungan kita semua macam sekarang,” keluh Puan Almas perlahan.
Anis yang mendengar kata-kata itu sudah tertawa kecil.
“Mak tak boleh cakap macam tu. Memang dah tersurat jodoh Anis tiada dengan Ammar. Kami berdua hanya berkawan baik saja dari dulu. Isteri Ammar, si Wardina tu pun kawan baik Anis sejak dari bangku sekolah lagi.
Begitu jugak dengan Abang Rusydi yang merupakan kawan baik Ammar. Lagipun Anis dah anggap Ammar dan keluarganya macam saudara sendiri. Jadi mustahillah Anis nak berkahwin dengan saudara Anis sendiri mak,” ujar Anis mengulangi semula kata-kata yang pernah diluahnya pada orang tua dia dan Ammar suatu ketika dulu.
Ketika itu dia dan Ammar hampir-hampir dikahwinkan. Namun mujurlah kedua-dua belah keluarga memahami kehendak mereka berdua lalu perkahwinan itu dibatalkan sebelum sempat dilangsungkan.
“Lagi pulak mak, untuk apa mak risau pasal hubungan keluarga kita dengan keluarga ayah Azmi tu? Walaupun Alia dan Ainul tidak lagi menjadi sebahagian keluarga mereka mahupun kita, tapi hubungan kita semua tetap baik macam dulu. Seolah-olah tiada perkara sedih atau buruk yang berlaku antara kita sebelum ni.
Cuma itulah, baik Alia mahupun Ainul dah terlalu jarang nak berkunjung ke rumah bekas mentua masing-masing. Maklumlah, Ainul kan balik tinggal bersama keluarganya semula. Jadi payahlah untuk Alia ke sana selalu macam dulu. Dia pun dah duduk menyewa kat luar sejak bercerai dulu,” sambung Anis.
“Tapi ada satu perkara yang buat mak hairan pasal adik-adik kamu ni Anis.” Puan Almas bersuara semula dengan dahi berkerut-kerut. Seakan memikirkan sesuatu. Menjadikan Anis diterpa rasa hairan serta-merta.
“Apa dia mak?” Laju saja dia bertanya. Ingin tahu.
“Dah lapan tahun Alia dan Ainul bercerai tapi yang peliknya, kenapa dia orang tak jual saja rumah yang dia orang beli ketika mula-mula kahwin dulu? Yalah, mereka kan dah berpisah. Takkan nak biar rumah tu terbiar begitu saja sampai bila-bila? Sekurang-kurangnya kalau dia orang jual, bolehlah dia orang bahagi sama rata hasil jualan rumah tu sesama dia orang.” Puan Almas meluah kemusykilan yang telah lama bersarang di benaknya. Anis terdiam sejenak sebelum menyahut.
“Ya tak ya jugak kan mak? Baru Anis ingat pasal rumah yang dia orang beli bersama waktu mula-mula dia orang berkahwin dulu tu. Betul jugak kata mak. Kenapa ya dia orang tak jual aje rumah tu walhal dia orang dah lama berpisah?” Anis turut pelik dengan keadaan itu. Namun tak lama dia menguntum senyuman semula.
“Tapikan mak, Anis tak hairanlah kalau dia orang tak jual rumah tu pun. Sebabnya mak, Anis yakin sangat-sangat yang dia orang berdua tu sebenarnya masih saling sayang-menyayangi. Cuma masing-masing terlalu ego dan keras kepala untuk mengaku perasaan tu. Lagipun mak, macam mana dia orang nak jual rumah tu kalau rumah tulah satu-satunya kenangan terindah yang mereka ada sepanjang mereka bercinta dulu?”120 BERSATU DALAM CINTA
“Maksud kamu?” Giliran dahi Puan Almas pula berkerut.
“Mak sendiri pun tahukan, Ainul dan Alia membayar duit pendahuluan rumah tu dengan duit kerja part time dia orang masa dia orang belajar di universiti dulu. Barang-barang dalam rumah tu pun dibeli dengan duit gaji mereka lepas balik Malaysia. Jadi mustahil sangatlah dia orang nak jual rumah dan barang-barang dalam rumah tu.” Penuh keyakinan Anis meluah andaiannya. Andaian yang dirasakan tepat lagi berasas.
“Kalau begitu nampaknya ada harapanlah nak baikkan semula budak berdua tu. Tapi macam mana kita nak satukan dia orang semula kalau dua-duanya langsung tak mahu beralah? Seorang macam tu, seorang lagi macam ni sampai pening kepala kita dibuatnya.” Wanita itu mengeluh semula.
Anis terus-terusan tersenyum lebar.
“Pasal tu, mak jangan bimbang. Insya-ALLAH, pasti akan ada jalannya jugak suatu hari nanti. Cuma buat masa sekarang kita tengok dulu sama ada rancangan yang ayah dan Ayah Azmi sedang lakukan tu berjaya atau tidak.
Jika tidak, kita cari pulak rancangan baru. Dan kali itu Anis sendiri yang akan pastikan rancangan kita semua tu akan berjaya menyatukan semula kedua-dua adik Anis tu,” pujuk Anis penuh yakin.
Sekali gus berjaya mengurangkan kegundahan wanita itu setiap kali memikirkan perkara itu. Dia memandang Puan Almas yang perlahan-lahan mengangguk seraya tersenyum kecil. Termakan juga dengan kata-kata anak sulungnya.

“DARI mana kamu ni Mia? Letih aje mak tengok muka kamu tu,” tegur Puan Khadijah sebaik sahaja terpandang kelibat Damia di ruang tamu rumahnya suatu petang. Segera dicapai huluran tangan gadis itu yang sudah meletak punggung di sofa.
Bersalam.
“Dari firma mak,” ujar Damia terus menyandar tubuh ke sofa.
“Lewatnya kamu balik dari firma? Ada apa-apa masalah ke yang timbul kat firma tu?” Suara Encik Khalid kedengaran di hujung tangga.
Lelaki itu baru saja melangkah turun dari tingkat atas. Lalu bergegas mendapatkan anak perempuannya di ruang tamu. Duduk menghadap gadis itu.
Damia mengangguk setelah menyalami ayahnya.
“Ada ayah tapi masalah kecil aje. Dah selesai pun,” sahutnya ringkas.
“Masalah apa tu?” soal Encik Khalid ingin tahu.
Tak puas hatinya selagi tidak tahu duduk perkara sebenar yang berlaku di firma yang kini telah jarang dikunjunginya.
Sejak Damia membantunya menguruskan firma kesayangannya tu, Encik Khalid telah jarang menyua muka di situ. Hanya sesekali dia berada di sana. Membantu apa yang patut. Begitupun segala perihal yang berlaku di firma itu masih berada di dalam pengetahuannya.
Pertanyaan lelaki itu mengundang senyuman lebar Damia serta-merta. Teringat pada kejadian yang berlaku pada hari ini. Maka dengan penuh terujanya dia pun membuka mulut. Mula bercerita.
“Begini ayah. Petang tadi ada seorang perempuan agak berusia datang nak memfailkan penceraiannya di firma kita. Dia nak bercerai dengan suaminya sebab dia ternampak suaminya peluk perempuan lain waktu dia keluar membeli-belah petang semalam.
Apa lagi, mengamuklah dia. Tanpa bertanya terlebih dulu pada suaminya tu, dia terus datang ke firma kita dan nak bercerai waktu tu jugak. Tak sampai beberapa minit dia datang, suami dia pulak sampai. Dengan tanpa rasa malunya bergaduhlah suami isteri tu kat depan Mia. Bertekak punya bertekak akhirnya barulah terbongkar hal sebenar.
Perempuan yang suami dia peluk tu rupanya adik suami dia yang baru balik dari luar negara. Dia terlupa yang suaminya tu ada seorang adik perempuan sebab masa dia orang kahwin dulu adik iparnya tu masih di sekolah rendah lagi. Tahu-tahu aje sekarang dah besar panjang. Cantik pulak tu. Mahu dia tak cemburu.
Yang lucunya ayah, mak, si perempuan ni dah meraung-raung macam orang gila kata suaminya dah tak sayangkan dia lagi. Walhal yang si suaminya tu dah separuh mati cuba pujuk dia. Siap office boy kita keluar belikan bunga lagi semata-mata nak tolong suami dia pujuk isteri dia yang keras kepala tu.
Hampir sejam jugaklah dia orang berkeadaan macam tu sebelum berbaik semula. Yang Mia dengan pekerja-pekerja firma dah nak terburai perut menahan gelak melihat gelagat dia orang tu. Dah beruban pun kedua-duanya tapi perangai macam budak-budak belasan tahun.” Cerita Damia panjang lebar. Sekali gus mengundang tawa kedua-dua orang tuanya. Turut lucu dengan cerita si anak.
“Macam-macam kes yang kita tak jangka wujud kat firma tu ya? Kes yang tak masuk di akal pun ada jugak. Macam ada satu kes yang ayah kamu pernah ceritakan kat mak dulu tu. Tentang seorang lelaki yang memfailkan kes menuntut semula ayam dan itiknya hanya kerana ayam dan itiknya tersalah masuk reban peladang lain.
Kalau jumlah ayam dan itiknya tu banyak tak apalah jugak. Ini tidak, tak sampai sepuluh ekor pun semua binatang ternakannya tu. Buang duit dan masa aje nak bayar peguam dan bicarakan kes tu kat mahkamah,” sahut Puan Khadijah terus menyambung tawanya bersama Damia.
“Manusia nikan berbagai-bagai jenis perangainya. Ada yang begitu, ada yang begini. Jadi bermacam-macam jugaklah kerenahnya pun,” ujar Encik Khalid turut mengulum senyuman.
“Oh ya mak, ayah. Lupa pulak Mia. Sebenarnya Mia datang ni sebab Mia nak bagitahu sesuatu. Mia fikir Mia nak ambil cuti dua tiga hari nanti. Mia nak jenguk nenek kat kampung tu. Dah lama benar Mia balik ke sini tapi Mia masih tak pergi jenguk dia. Sementara Mia tak banyak kerja dalam seminggu dua ni bolehlah Mia balik sana kejap.” Damia meluah tujuannya berkunjung ke rumah suami isteri itu.
“Eloklah kalau kamu ambil cuti pun Mia. Sejak kamu bekerja di firma tu belum sekalipun kamu ambil cuti. Siang malam sibuk bekerja saja sampai masa untuk diri sendiri pun tak ada. Memang patutlah pun kamu bercuti dua tiga hari kat kampung tu.” Ternyata Encik Khalid bersetuju benar dengan cadangan anak perempuannya itu.
“Betul kata ayah kamu tu. Elok sangatlah kalau kamu balik bercuti kat kampung. Selain berehat bolehlah jugak kamu jenguk nenek kat sana. Dia pun selalu telefon mak. Tanya bila kamu nak balik. Dia fikir kamu dah tak ingat dia lagilah tu. Merajuk benar dia dengan kamu,” sampuk Puan Khadijah turut bersetuju dengan kata-kata suaminya.
Damia hanya mengukir senyuman kelat.
“Jadi bilanya kamu rancang nak balik ke sana?” tanya Encik Khalid.
“Kalau boleh, dalam masa terdekat ni ayah. Ada apa-apa ke yang mak dan ayah nak kirimkan pada nenek?”
“Rasanya mak kirim salam saja pada nenek kamu tu. Tengoklah, kalau ada rezeki esok-esok kami baliklah ke sana pulak.” Puan Khadijah membalas. Membuatkan kepala Damia mengangguk beberapa kali.
“Hari pun dah petang sangat ni. Kamu makan malam kat sini ya Mia? Mak dah masak semuanya. Cuma tinggal nak hidang aje.” Wanita itu bersuara lagi.
“Eloklah kalau kamu pergi mandi dulu Mia. Lepas mandi dan Solat Maghrib nanti kita makan sama-sama. Abang dan kakak kamu tak balik makan malam ni. Dia orang hadiri majlis hari lahir anak kawan abang kamu. Tengah malam sikit agaknya baru dia orang balik.” Puan Khadijah menambah kata sebelum bangkit dari duduknya. Langsung ke ruang dapur.
“Dah azan tu Mia. Pergilah mandi sekarang. Nanti lepas solat bolehlah kita makan sama-sama,” suruh Encik Khalid pula.
Dia sendiri turut bangun dari sofa lalu terus ke tingkat atas.
Suami isteri itu meninggalkan Damia yang terkebil-kebil melihat gelagat kedua-dua orang tuanya yang langsung tidak memberi peluang untuknya membalas kata. Apatah lagi menolak pelawaan berupa arahan tidak rasmi mereka itu. Lalu tanpa sedar dia mengeluh kecil sebelum ikut serta bangun dari situ. Mengheret lemah langkah kakinya ke biliknya di tingkat atas rumah. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012