BAB 10
“Boleh tahan juga bilik kau ni
ya. Lengkap dan kemas,” ujar Airil, matanya liar memandang sekeliling bilik
pejabat milik Tengku Anuar.
Ini kali pertama dia
menjejakkan kakinya ke situ. Terserlah kekagumannya dengan keadaan pejabat
milik sahabat baiknya. Dia bersama William singgah ke pejabat Tengku Anuar
untuk mengajaknya makan tengah hari bersama mereka.
Tengku Anuar tersenyum kecil.
“Tak ada apa yang menariknya
dalam bilik ni pun. Biasalah, nama pun bilik pejabat.”
“So, apa perasaan kau jadi ketua di pejabat keluarga sendiri?”
Wiliam melabuhkan punggung di kerusi berdepan meja Tengku Anuar.
Airil turut mengambil tempat.
“Tak ada bezanya Wie. Sama saja
seperti mana aku bekerja di syarikat di Miami dulu. Kalau ada pun, hanyalah
perbezaan dari segi bahasa dan budayanya saja. Beban kerja di sini pun lebih
banyak berbanding di sana. Itu saja,” terang Tengku Anuar.
“Biasalah tu Nuar, lain negara
lainlah budayanya. Tentang beban kerja tu memang patutlah kau dapat pun. Nama
pun ketua, takkan nak goyang kaki je,” usik pemuda berkulit putih merah itu.
“Ala Wie, macamlah kau tak tahu
sikap si Anuar ni. Buanglah dia ke benua mana pun, conform dia boleh handle kerja
dengan baik punya,” tingkah Airil tersengih kecil.
“Ada-ada sajalah kau orang ni. Jadi
apalah pendapat kau orang tentang pejabat aku ni?” laju mulut Tengku Anuar
mengaju soalan manakala matanya ligat memandang silih berganti kedua-dua
sahabatnya itu.
“Okey, cantik hiasannya,” komen
Airil bersahaja.
“Cantik juga setiausaha kau kat
luar tu,” usik William.
Dikenyitnya sebelah mata ke
arah Airil di sisi. Kedua mereka tertawa nakal.
“Hisy kau Wie, kau jangan cari
pasal. Tahu pada si Katherine kat rumah tu, teruk kau di buatnya,” marah Airil.
“Kau ni Ril, bukan untuk akulah.
Aku dah ada isteri, nak buat apa cari lagi. Maksud aku, untuk Cik Anuar kita ni,”
William tertawa kecil.
Tengku Anuar yang mendengar
perbualan itu mengeleng.
“Hei, tolonglah. Buat masa
sekarang belum terlintas sekali pun dalam fikiran aku nak fikirkan tentang
bab-bab begini. Belum sampai masanya aku nak fikirkan semua ni. Lagi pun Atika
tu isteri orang. Dah ada dua orang anak pun,” balas Tengku Anuar.
“Hmm…nampaknya melepaslah aku.
Baru aku fikir nak mengurat tadi,”
Gurauan Airil meledakkan tawa
ketiga-tiga sahabat itu.
“Eii, dahlah tu. Jom kita
keluar makan. Aku dah lapar ni,” ajak Wllliam setelah tawa mereka reda.
“Nak makan kat mana hari ni?”
soal Tengku Anuar.
Dia sudah menolak kerusinya. Airil dan William turut mengikut tingkahnya.
“Kau ni Nuar, dah hampir tiga
bulan kau duduk kat Malaysia ni pun masih tak tahu kat mana tempat makan yang best,” ujar Airil bergurau.
“Ewah, mengata aku pula. Yang
kau dah bertahun tinggal kat sini patutnya lebih arif dari aku tau,” balas
Tengku Anuar tersenyum lebar.
“Banyaklah kau punya bertahun.
Apa kau lupa yang aku pun baru balik Malaysia dengan kau hari tu?” sangkal Airil
turut tidak mahu mengalah.
“At least kau balik seminggu awal dari aku,” tingkah Tengku Anuar
sengaja memanjangkan usikan pada sahabatnya.
“Hai, setakat seminggu lebih
awal tu, nak kira juga ke?”
“Eh, mestilah kira. Janji kau dengan
Wie balik awal dari aku.”
“Woi, dahlah tu. Jomlah pergi
makan. Tak kisahlah makan kat mana pun, janji perut kenyang,” sampuk Wlliam
memandang kedua-dua sahabatnya itu yang tersengih-sengih.
Ketiga-tiganya mula mengorak
langkah menuju ke pintu.
“Hoi, buat apa tu?” Suara
seseorang dari arah belakang mengejutkan Nina yang sedang sibuk membaiki
kereta.
Nina segera menoleh. Menarik
nafas panjang. Diurut dadanya seketika.
“Hei kau ni Ikin, tak tahu beri
salam ke? Terkejut aku di buat kau tau,” Nina bersuara sedikit marah.
Kemudian dia menjeling sekilas
wajah itu. Asyikin hanya tersengih-sengih.
“Ala, dari tadi aku menjerit
memberi salam, tak ada seorang pun jawab. Jadi aku panggil ajelah hoi. Tak
sangka kau dengar pula,” balasnya.
Nina mengeleng-geleng sebelum
kembali menyambung kerjanya.
“Apa hal kau datang ke bengkel
aku ni?” Tanya Nina.
Sebelah tangannya masih sibuk
membetulkan sesuatu di enjin kereta berjenama Mercedes itu.
“Nak buat apa lagi, nak ajak
kau pergi makanlah. Dah tengah hari ni,” sahut Asyikin.
“Malaslah aku nak keluar. Kau
pergi ajelah seorang. Aku ada banyak kerja lagi nak buat ni,” ujar Nina lagi.
Tangan Nina masih memegang
spanar yang digunakannya untuk membaiki enjin kenderaan di depannya.
“Ala, kau ni Nina, tak habis-habis
dengan kerja kau tu. Jomlah pergi. Nanti hangus pula si Khalidah tu tunggu
kita.”
Nina kembali menegakkan tubuh.
Dipandang wajah wanita beranak dua itu.
“La, kau bawa Idah sekali ke?”
Asyikin mengangguk sekali.
“Mestilah. Kat mana ada dia,
kat situlah ada aku juga.” Dia tersengih lagi.
“Eii…tolonglah. Geli geleman aku
dengar,” balas Nina sambil mengeliat sedikit. Pura-pura geli. “Cepatlah Nina.
Aku dah lapar ni. Karang aku gigit kau, susah kau nanti,” ujar Asyikin
berseloroh. Nina mengeluh perlahan.
“Kan aku dah kata, aku malas
nak pergi. Kau pergi ajelah dengan si Idah tu,” ujar Nina lembut.
Tangan Nina masih sibuk
membaiki kenderaan yang ada di depannya.
“Kau ni, nama saja tauke
bengkel. Bagi ajelah pekerja-pekerja kau tu buat,” ujar Asyikin.
Nina kembali memaling tubuh.
Mengadap Asyikin yang selamba menyandar tubuhnya ke dinding bengkel.
“Untuk pengetahuan kau, Ikin,
walau pun aku ada pekerja, aku lebih suka membuat sendiri semua kerja ni,” ujar
Nina sedikit tegas.
“Habis tu, buat apa kau ambil
dia orang bekerja kalau semua kerja kau nak buat seorang diri?” tingkah
Asyikin.
“Ambil dia orang kerja tak
semestinya aku perlu perah tenaga mereka habis-habisan,” ujar Nina.
“Woi kau orang, pukul berapa
nak pergi makan ni?”
Laungan Khalidah dari dalam
keretanya mematikan seketika perbualan mereka. Pantas kedua-duanya berpaling.
“Ni ha, sepupu kau ni. Sayang
benar nak tinggalkan bengkelnya ni,” sindir Asyikin menjeling sekilas Nina yang
berdiri di sampingnya.
“Ala Nina, penat aku drive jauh-jauh semata-mata nak makan
tengah hari dengan kau,” ujar Khalidah yang sudah dari kereta sambil bersandar
di sisi kereta proton Satrianya.
“Setakat dari Damansara Height
tu ke sini, apalah sangat jauhnya,” ujar Nina selamba.
“Aku tak kira, kau kena ikut
kita orang juga,” arah Khalidah, mula menghentak kakinya seperti anak kecil. Sengaja
menunjuk rasa tidak puas hatinya. Asyikin yang memandang hanya tersengih kecil.
Nina mengeleng-geleng. Faham dengan sikap sepupunya yang sedikit manja dan
keanak-anakan itu.
“Masalahnya Idah, siapa yang
nak jaga bengkel aku ni kalau aku keluar sekarang?” ujar Nina.
Topi yang tersarung di kepala
ditanggalkan. Menampakkan rambut panjang yang diikat kemas. Digaru kepalanya
yang tidak gatal.
“Pekerja-pekerja kau mana?
Takkan seorang pun tak ada?” pantas Asyikin menyampuk. Panjang lehernya
memandang sekeliling bengkel itu.
“Aku dah suruh dia orang keluar
makan,”
“Hai, bertuahlah mereka dapat
bos sebaik kau ya Nina.”
Lembut Asyikin menyindir.
Nina sekadar menjeling. Malas
menjawab kata-kata itu.
“Aku tak kira Nina, macam mana
sekali pun kau kena keluar juga dengan kita orang. Kalau tidak aku jerit sekuat
hati. Biar semua orang yang ada tak jauh dari bengkel kau ni tengok, baru padan
dengan muka kau tu,” ujar Khalidah mengugut.
Khalidah sebenarnya tidak
bermaksud berbuat demikian namun dia arif benar dengan sikap sepupunya yang
gila bekerja itu. Nina sanggup berlapar asalkan segala kerja yang dilakukannya
siap sepenuhnya.
“Dahlah tu. Tutup saja bengkel
kau ni. Pekerja kau tu pun mesti ada kunci spare
kan. Dah, dah, sebelum si Idah tu menjerit macam orang gila baik kau tutup
bengkel kau ni. Tutup cepat,” pantas Asyikin bersuara.
“Iyalah, yalah. Kejap aku kunci
dulu pintu bengkel ni.”
Akhirnya, Nina mengalah dengan
permintaan kedua-dua sahabatnya. Pantas dia bergegas masuk ke dalam pejabat
mengambil kunci sebelum bengkel itu dikunci rapat.
Asyikin dan Khalidah yang
melihat kelakuan gadis itu bersorak menang.
“Woi, bawa kereta aku ajelah.
Kereta kau tu tinggalkan kat sini,” teriak Nina pada Khalidah tatkala melihat gadis
itu mula melangkah masuk ke dalam keretanya semula.
Nina rimas menaiki kereta Satria
milik gadis itu. Terlalu banyak hiasan yang diletakkannya dalam kereta itu.
Macam naik kereta berhias saja,
pernah dia merungut begitu.
“Tak kisahlah kereta mana pun kita
naik, yang penting kau ikut Nina,” ujar Asyikin seraya melangkah mendapatkan
Nina yang telah lama masuk ke perut keretanya.
Khalidah yang turut mengatur
langkah seiring dengannya tersenyum mengangguk. Mengiyakan kata-kata sahabatnya
itu.
“Alhamdulillah, kenyang juga
perut aku ni.” Airil bersuara sebaik saja dia selesai makan.
Kemudian digosok-gosok sedikit
perutnya yang telah penuh. Tengku Anuar dan William yang memandang gelagatnya
tersenyum kecil. Masing-masing mengeleng-geleng.
“Kan best kalau hari-hari dapat makan sedap begini,” ujar Airil lagi.
Disandar seketika tubuhnya di kerusi rotan itu.
“Kalau kau nak makan makanan
sedap-sedap setiap hari Ril, aku ada cadangan yang baik untuk kau,” ujar William
tersenyum nakal.
Kemudian ditarik sehelai tisu
yang berada di tepinya sebelum menyapu lembut sisa-sisa makanan yang melekat di
pinggir bibir.
Mendengar kata-kata lelaki itu,
Airil kembali menegakkan tubuh.
“Iya ke? Apa cadangan kau tu?” laju
Airil menyoal. Bulat matanya memandang lelaki berambut warna perang emas itu.
“Cadangan aku, apa kata kalau
kau kahwin aje? Conform kau boleh
makan sedap-sedap punya tiap-tiap hari. Siap ada pelayan lagi,” ujar William
tersenyum panjang.
Airil yang mendengar kata-kata
itu menjeling sekilas wajah lelaki itu. Dia menarik muka masam. Tubuhnya
kembali disandarkan ke kerusi.
“Bukan setakat pelayan, siap
ada tukang urut, tukang cuci, tukang mengemas pun. Pendek kata, semuanya ada.”
Tengku Anuar turut mencelah kata. Dia turut tersenyum memandang Airil yang
terkulat-kulat membalas pandangan mata kedua-duanya.
Airil mengeluh kecil.
“Bab kahwin ni bukan perkara
senang Wie. Bukan macam kita cari buah tembikai kat pasar tu. Pilih-pilih aje
mana yang kita suka, lepas tu terus bayar. Kahwin ni beratlah.”
“Kau cakap macamlah aku ni
belum kahwin,” bidas William. “Kahwin ni perkara yang paling menyeronokkan
dalam hidup tahu. Bila berkahwin, kita akan rasa lengkap. Kita ada segalanya.
Teman hidup. Teman yang sanggup bersusah payah dengan kita, yang dapat menemani
kita sepanjang hayat. Yang sanggup mengharungi segala suka duka bersama kita.”
“Kata kau tu betul Wie tapi
zaman sekarang ni, susah nak dapat gadis seperti tu. Masing-masing sekarang ni
materialistik. Pentingkan kebendaan. Bukannya kerana nak diri kita tapi nakkan
harta yang kita ada,” jelas Airil menyuarakan pendapatnya.
“Tapi tak semua perempuan macam
tu. Ada juga yang betul-betul terima diri kita kerana diri kita. Lelaki pun apa
kurangnya. Lebih memberat kepada kecantikan perempuan. Berapa kerat sangat
lelaki yang memandang kepada sifat perempuan, right?” bidas William.
“Tapi tak semua lelaki
begitukan? Hanya sesetengah lelaki yang bersikap begitu,” tingkah Tengku Anuar.
“Okey, kalau kau orang sendiri,
apa yang kau orang akan pandang pada seseorang perempuan itu?” soal William.
Memandang tepat kedua-dua mereka.
“Well, kalau aku, aku pandang pada sikapnya dulu baru kecantikan
luarannya,” balas Airil lambat-lambat.
“Kalau kau Nuar?” tanya William.
“Kalau aku, aku akan jatuh
cinta pada perempuan yang kali pertama aku pandang, hati aku terus lekat padanya,”
balas Tengku Anuar tenang.
“Maksudnya?” soal Airil.
Tubuhnya kembali ditegakkan.
Kata-kata itu menarik perhatiannya untuk memasang telinga dengan lebih tajam
lagi.
‘Maksud aku, aku akan mengikut
gerak hati aku. Kalau hati aku mengatakan yang perempuan itu adalah perempuan
impian aku, aku takkan teragak-agak untuk mengahwininya,” terang Tengku Anuar
bersahaja.
“Walau pun dia tak cantik, tak
lawa?” pantas Airil memotong kata.
“Rupa paras bukan ukurannnya.
Yang penting, aku cintakan dia,” balas Tengku Anuar.
“Fuh! Untunglah awek tu,” Airil
tertawa kecil.
“Are you sure Anuar yang kau akan pilih perempuan dengan cara
begitu?” William melontarkan pertanyaan, ingin kepastian.
Tengku Anuar tidak menyahut.
Dia sekadar menganggukkan kepalanya.
“Kau tak takut yang kata hati
kau tu adalah salah dan perempuan tu pun bukan berasal dari keluarga yang
baik?” William cuba menduga kesungguhan kata pemuda itu.
Tengku Anuar mengukir senyuman.
Wajah lelaki yang seakan tidak yakin dengan kata-katanya sebentar tadi itu dipandang
lama.
“Wie, aku pasti dengan kata
hati aku. Gerak hati aku takkan berbohong pada aku. Kalau hati aku mengatakan
yang perempuan itu adalah untuk aku maka aku pasti yang dia memang dijadikan
untuk aku.”
“Bagaimana kau begitu pasti?”
“Sebab apa saja yang aku
lakukan selama ini adalah di atas gerak hati aku sendiri dan boleh dikatakan
hampir semua kata hati aku tu adalah benar.”
“Tapi boleh jadi gerak hati kau
salah tentang hal mencari pasangan ni. Dibuatnya gerak hati kau tu tersalah
pilih perempuan yang tak baik, macam mana?” ujar Wlliam lagi.
“Tak mungkin perkara itu akan
jadi Wie. Selagi aku percaya pada gerak hati pertama aku, aku yakin yang aku
telah membuat keputusan yang terbaik tak kira dalam apa jua perkara yang aku
lakukan. Tentang jodoh, aku rasa aku tak mungkin akan dapat perempuan yang tak
baik.”
“Sebabnya?” pantas Airil
menyela kata.
“Sebabnya, dalam ayat Al-Quran
sendiri telah dinyatakan bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang
baik manakala perempuan yang tak baik adalah untuk lelaki yang tak baik.”
“So, kau rasa kau ni cukup baiklah,” usik Airil tersengih nakal.
“Aku tak kata aku cukup baik
tapi aku juga tahu yang aku ni bukannya jahat. Jadi tak salahkan rasanya kalau
aku mengimpikan perempuan yang baik untuk dijadikan teman sepanjang umur,”
balas Tengku Anuar tersenyum panjang.
“Well, we will see. Sama ada kau orang akan dapat atau tidak gadis
impian kau orang tu hanya masa yang akan tentukannya. Apa pun sebagai kawan,
aku doakan kau orang cepat-cepat bertemu jodoh,” tingkah William mengukir
senyum. Dia mula menolak pinggannya ke tengah meja.
“Hmm, dah pukul berapa ni?
Jomlah balik ke pejabat,” Airil bersuara.
Ditolak perlahan kerusi sebelum
bangun dari duduknya. Tengku Anuar dan William juga begitu.
“Kau orang berdua tak solat
ke?” Tanya William.
Walau pun William bukannya beragama Islam, namun ajaran
yang dibawa junjungan Nabi Muhammad itu begitu dekat dengan dirinya. Hampir
tujuh tahun bersama Tengku Anuar dan Airil membuat dirinya begitu mengenali
ajaran Islam.
“Nanti balik pejabat kita orang
solatlah,” sahut Airil.
Dalam hati Airil kagum dengan
lelaki yang berpegang kuat pada ajaran Kristian itu. Sepanjang dia mengenali
lelaki itu, William tidak pernah lupa untuk mengingatkan mereka apa-apa perkara
yang berkaitan dengan ajaran Islam terutamanya solat.
“Jomlah kita pergi sekarang,
nanti lewat pula kau orang nak solat,” ujar William seraya mengatur langkah
menuju ke pintu keluar restoran.
Tengku Anuar dan Airil turut
mengikut jejaknya.
No comments:
Post a Comment