BAB
10
Zarif memandang skrin komputer
yang terpasang di depannya. Mata yang terasa sedikit pedih kerana terlalu lama
mengadap komputer dikerdipnya beberapa kali. Digerak sedikit tubuhnya ke kiri
dan ke kanan. Melakukan regangan.
Bosan mengadap komputer, dia
bangun merapati rak buku yang terletak di sudut ruang tamu rumah. Di tarik
keluar sebuah buku dari celahan rak sebelum punggungnya dilabuhkan di sofa
bersebelahannya. Helaian muka surat buku yang berkaitan dengan perubatan itu
diselaknya satu-persatu.
Sejak dari kecil lagi Zarif
begitu gemar membaca pelbagai jenis buku yang berkaitan dengan bidang
perubatan. Pelbagai jenis buku dari dalam dan luar negara yang berkaitan dengan
bidang itu dikumpulnya sedari bangku sekolah lagi. Malah dia sanggup
menghabiskan duit poket sekolahnya membeli buku-buku tersebut walau pun
harganya begitu mahal.
Minatnya terhadap bidang itu
semakin memuncak apabila dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar
negara di dalam bidang perubatan sebaik saja tamat persekolahan. Minat yang
akhirnya berjaya menjulang nama Zarif menjadi salah seorang doktor yang
dikenali dan disegani ramai hari ini.
Laju jari jemarinya menyelak
halaman buku yang yang tebal itu. Matanya terpaku pada setiap muka surat yang
diselaknya. Satu persatu helaian itu ditelitinya. Walau pun telah berkali-kali
dia membaca buku yang sama namun dia tidak pernah berasa jemu untuk mengulangi
pembacaannya.
Gerakan jari jemari Zarif
terhenti tatkala matanya terpandang sekeping gambar di celah salah satu helaian
muka surat buku itu. Pantas ditariknya keluar. Direnung lama gambar yang telah
berpindah ke telapak tangannya. Untuk seketika Zarif hilang dalam lamunannya.
Bunyi ketukan perlahan di meja
membuatkan Zara mendongak. Bacaannya terhenti seketika. Bulat mata gadis itu
memandang Zarif yang berdiri tegak di depannya. Anak muda itu tersengih mempamerkan
barisan giginya yang tersusun bersih.
Zara mendengus perlahan. Dia
hanya memandang tingkah anak muda itu. Sengaja dia mempamerkan raut wajah yang
serius.
Zarif menarik keluar kerusi
dari bawah meja. Dilabuh punggungnya di situ. Wajah Zara yang sedikit mencuka
dipandang tepat dengan senyuman yang sengaja dilebarkan.
Zara menjeling sedikit.
“Nak apa?”
Zara kurang senang dengan
kedatangan anak muda itu. Matanya kembali mengadap buku yang terdampar di
permukaan meja.
Zarif melebarkan senyuman.
“Zara, kau tolong aku sikit,
boleh tak?” Zarif berbisik perlahan.
Matanya meliar seketika
memandang sekeliling sebelum kembali merenung tepat wajah manis gadis itu.
“Tolong apa?”
“Temankan aku pergi Market
Street petang ni.”
“Nak buat apa?”
“Aku nak beli barang sikit.
Petang nanti kau tak ada kelas,kan?”
“Tengoklah dulu,” Acuh tak acuh
Zara menjawab. Matanya masih melekat pada buku yang telah berpindah ke
tangannya.
Zarif mendengus perlahan.
“Ala Zara, janganlah macam tu.
Penting ni.”
Zara kembali mendongak. Memandang
lama teman yang dikenalinya sejak dari kecil lagi. Wajahnya kelihatan serius.
“Apa yang penting sangat?”
Nada suara yang dirasakan
sedikit tinggi direndahkan semula. Dipandang sekeliling perpustakaan universiti
itu sebelum kembali memandang Zarif.
“Apa yang penting sangat ni?”
Zara mengulang semula
soalannya. Nadanya kedengaran lebih rendah dari tadi namun tegas.
“Adalah. Tapi penting sangat
Zara. Antara hidup dan mati aku.”
Zarif menekankan sedikit
suaranya.
“Ok. Kalau macam tu, kau
pergilah sendiri.”
Zara kembali mengadap buku di
tangan. Dipamer raut wajah yang selamba. Sekadar menduga kesungguhan anak muda
itu.
Zarif mengaru kepalanya yang
tidak gatal. Berkerut dahinya melihat gelagat gadis itu. Perlahan dia mengeluh.
“Okey, okey, aku beritahu kau,”
ujarnya mengalah.
Zara tersenyum kecil. Dia
kembali mendongak. Buku ditangan diletak semula ke atas meja. Wajah Zarif yang
kelihatan serba salah itu dipandang tepat-tepat.
Zarif berdehem kecil beberapa
kali.
“Actually, aku nak beli cincin untuk Nelly.” perlahan dia bersuara.
Zara membeliakkan matanya.
“What!” Tanpa sedar dia terjerit kecil.
Zara menutup mulut dengan
telapak tangan kanannya bila dia menyedari pandangan tajam pelajar-pelajar lain
ke arah mereka berdua. Sedar, jeritan itu menganggu tumpuan pelajar-pelajar
lain yang sedang menelaah di perpustakaan itu. Dia tersengih malu.
Zarif yang memandang gelagat
gadis itu hanya menepuk dahi perlahan.
“Buat apa kau nak beli cincin
untuk dia?”
Zara kembali melontar
pertanyaan sebaik saja matanya beralih ke wajah Zarif. Kali ini dengan nada
yang lebih perlahan. Matanya tidak berkelip memandang Zarif yang kelihatan
tenang.
“Aku fikirlah Zara, aku nak
lamar dia selepas kita balik ke Malaysia nanti.”
“Hei Zarif, lambat lagilah kita
nak balik ke Malaysia tu. Ada lebih kurang sebulan lebih lagi. Kau belilah
lepas final exam nanti.”
“Ala, lepas final exam nanti kita sibuk nak kemas
barang. Lagi pun waktu tu mungkin Nelly dah balik ke Malaysia.”
“Kalau macam tu, kau beli
ajelah cincin tu kat Malaysia nanti. Lepas tu, kau lamar dia terus. Apa susah.”
Zarif mendengus lembut.
”Tak naklah. Cincin kat sini
lagi cantik.”
“Hei Zarif, memanglah cincin
kat sini cantik-cantik belaka tapi kau tengoklah pula harganya.” Zara
memberikan pendapat. Agak keras.
“Ala, sekali seumur hidup. Apa
salahnya.”
Zara hanya mendengus kecil.
Tidak disahut kata-kata anak muda itu.
Zarif memandang wajah Zara
dengan pandangan minta simpati.
“Kau temankan aku ya?”
“Tengoklah nanti,” balasnya
malas.
“Ala Zara, please. Sekejap je.”
“Kau bawalah Nelly.”
“Kau gila ke. Aku nak buat surprise pada dia. Lagi pun, aku mana
tahu nak pilih bentuk cincin yang cantik. Bolehlah Zara, please,” rengeknya. Tidak peduli dengan pandangan tajam Zara
terhadapnya.
Zara menghembus nafas keras.
Rimas dengan sikap anak muda itu yang tidak jemu memujuknya. Sememangnya itulah
salah satu dari sikap Zarif yang amat difahaminya. Anak muda itu tidak akan
mudah berputus asa dalam mendapatkan sesuatu.
‘Okey, begini. Kau temankan aku
beli cincin, malam esok aku temankan kau tengok pementasan The Elves and the Pirates kat Oxford Castle, boleh?”
Zarif memancing kata, tahu kegilaan
gadis itu terhadap teater Inggeris sejak mereka di bangku sekolah lagi.
Zara terdiam seketika. Ligat
otaknya memikirkan tawaran Zarif yang dirasakan menarik itu. Lama dia memandang
wajah Zarif sebelum lambat-lambat dia mengangguk.
Zarif tersenyum lebar.
“Tapi, cuma kat area Convered Market aje tau. Malas aku
nak jalan jauh-jauh.”
“Okey, aku tunggu kau kat depan
universiti petang nanti. Kau jangan lupa Za.”
Zarif menolak semula kerusinya
sebelum dia bangkit dari duduknya.
“Kau jangan lupa tau, Za.” ulangnya
lagi.
“Iyalah,” tingkah Zara
perlahan.
“Macam tu lah bestfriend aku. Sayang kau, Za.” Dicuit
perlahan pipi gadis itu.
Zara membalas dengan satu
cubitan kecil di lengan sasanya.
“Simpan ajelah sayang kau tu,”
“Ting!!!”
Bunyi dentingan jam di dinding
rumah menyentak lamunan Zarif. Dia tersentak seketika sebelum beristighfar
panjang.
Zarif kembali menatap gambar
itu. Gambar kenangannya bersama Zara itu diambil ketika mereka berdua menuntut
di salah sebuah universiti di kota London beberapa tahun lalu.
Tanpa sedar, Zarif tersenyum
kecil. Dari kecil hingga dewasa, terlalu banyak kenangan manis yang dilaluinya
bersama Zara. Kenangan yang membawa seribu kebahagiaan pada mereka berdua. Sehingga
kini, kesemua kenangan itu menjadi satu memori indah dalam hidupnya.
Zarif kembali teringat kenakalannya
ketika di usia remaja. Ramai gadis yang telah dipermainkannya. Selalunya,
Zaralah yang akan membantunya mendekati mereka. Zara juga yang akan membantunya
menyelesaikan sebarang masalah yang timbul selepas itu. Sikapnya itu hanya
berubah setelah dia menemui Nelly, gadis yang menjadi kegilaan ramai pelajar
lelaki di universiti mereka suatu masa dulu.
Gadis yang berperwatakan lincah
dan berwajah lembut itu benar-benar menawan hati lelakinya. Berbagai cara
dilakukannya untuk mendapatkan gadis itu dan akhirnya dia berjaya mengalahkan
anak-anak muda yang lain yang turut menyimpan perasaan terhadap Nelly.
Mengingati semua itu membuatkan Zarif tersenyum sendiri.
Namun senyuman yang menghiasi
bibirnya tidak bertahan lama. Matanya kembali tertancap pada gambar yang berada
di tangan.
Zara! Ingatannya berputar
terhadap gadis itu. Sudah hampir tujuh tahun mereka tidak bersua muka. Hanya
e-mel yang menghubungkan mereka selama ini. Itupun hanya sekali sekala ketika
masing-masing mempunyai waktu terluang.
Perlahan Zarif melepas satu
keluhan panjang.
Tujuh tahun! Desis hatinya.
Bermakna selama itu juga dia
dan Zara bergelar suami isteri yang sah. Suami isteri yang tidak seperti kebanyakan
orang lain.
Fikirannya kembali menerawang jauh.
Mengingati semula saat dia dan Zara di satukan oleh ahli keluarganya.
Seminggu selepas kepulangan
mereka ke Malaysia, mereka dikhabarkan dengan berita kematian nenek Zarif. Demi
menunaikan wasiat arwah dan impian keluarga, mereka dinikahkan dalam satu
majlis yang ringkas namun meriah. Cincin yang sepatutnya tersarung di jari
Nelly, menjadi milik Zara di hari yang bersejarah itu.
Tak lama selepas itu, dia
mendengar khabar tentang Nelly yang mengambil tindakan untuk berkahwin dengan
pilihan keluarganya. Zarif hanya menerima khabar itu dengan hati yang tenang.
Dia sedar, hati gadis itu remuk dengan keputusannya mengahwini Zara, sahabat
baiknya sendiri.
Zarif menarik nafas panjang.
Akhir-akhir ini, fikirannya senantiasa melayang mengingati Zara. Dirinya
bagaikan merindui kehadiran gadis itu di sisinya.
Tujuh tahun berpisah, mengajarnya
erti rindu dan sayang. Perasaan yang tidak pernah dirasainya selama bersama
gadis itu kini menjalari segenap ruang hati lelakinya. Sememangnya dia dan Zara
tidak pernah berpisah jauh selama ini.
Hanya sejak kejadian mereka
berdua dihalau keluar dari rumah oleh orang tua mereka, Zarif dan Zara
mengambil keputusan untuk berjauhan antara satu sama lain.
Zarif menyandarkan tubuhnya ke
sofa. Di pandang sayu gambar yang berada di tangannya itu.
“Za, adakah segala perasaan
yang aku rasakan sekarang adalah perasaan cinta?”
Tanpa sedar Zarif menyoal sendiri.
Tangannya mengelus perlahan rambutnya.
“Jika benar, apa yang harus aku
lakukan? Apa yang perlu aku lakukan sekarang Za?” rintihnya perlahan. Dihembus
nafasnya lagi. Lebih panjang.
Zarif bangkit. Kakinya memijak
satu persatu anak tangga rumah. Menuju ke bilik tidurnya yang terletak di
tingkat atas. Gambar yang sedari tadi berada di tangan di bawanya bersama.
Zarif merebahkan tubuh sasanya
ke katil. Gambar di tangan di letak di atas dada bidangnya. Matanya dipejam
rapat. Cuba mengingati setiap detik indah yang pernah di laluinya bersama Zara.
Malam itu, bertemankan kenangan
lalu yang memenuhi ruang fikiran, Zarif menyusuri malam yang semakin diulit
tua.
No comments:
Post a Comment