Monday, June 03, 2013

SETIAKU DI SINI : BAB 8

BAB  8

“Hai, boleh berkenalan?”
Mahfuzah yang sedang ralit menyiram pokok di halaman rumahnya segera mengangkat muka. Matanya terpaku sejenak pada seorang gadis yang berdiri di luar pagar rumahnya. Entah berapa lama gadis itu berada di situ tidak diketahuinya.
“Saya Dhia, Dhia Maihani. Awak?”
Selamba gadis berambut paras bahu itu membuka mulut. Matanya masih memandang Mahfuzah dari celah-celah ruang pintu pagar yang hanya setinggi kepala manusia itu.
Mahfuzah tersenyum sedikit. Tangannya segera menutup kepala paip yang masih mengalir airnya. Dihampiri gadis itu yang masih seperti tadi. Tersenyum lebar seraya mengangkat kedua-dua kening padanya. Menghala langkah ke pintu pagar rumah yang tertutup rapat sebelum dibuka luas.
Dhia melangkah masuk tanpa sempat Mahfuzah mempelawa. Terus melabuhkan punggung ke bangku batu di laman rumah. Melingaskan mata ke sekeliling halaman rumah itu sebelum kembali ke wajah berkerut Mahfuzah. Gadis bertudung labuh itu kelihatan sedikit kaget dengan keadaan itu. Namun lidahnya kelu untuk menutur sebarang kata.
“Awak belum jawab pertanyaan saya tadi. Nama saya Dhia. Awak?” tanya Dhia mengulang semula pertanyaannya sebentar tadi.
Dia memandang semula Mahfuzah yang lambat-lambat membuka mulut. Masih terkedu dengan tingkah bersahaja yang dipamerkan gadis itu.
“Saya Mahfuzah, panggil saja Fuzah.” teragak-agak dia bersuara seraya menghulur tangan. Bersalam.
“Maaf, tangan saya basah sikit,” ujarnya lembut.
“Tak apa,” sahut Dhia bersahaja. Menyambut girang huluran gadis itu.
“Eh, duduklah. Takkan nak berdiri saja,” suara Dhia lagi bila dilihat Mahfuzah hanya berdiri terpacak di depannya.
Dia menepuk-nepuk seketika bangku batu yang ada di kiri dan kanannya. Bersikap seakan dirinya pemilik kepada rumah yang baru pertama kali dikunjunginya itu.
Mahfuzah hanya mengeleng perlahan. Dia tersenyum sedikit. Dia sebenarnya masih lagi kaget dengan gelagat gadis yang tidak pernah dikenalinya itu. Begitu ceria dan bersikap selamba. Seakan mereka telah lama berkenal muka. Ada senyuman lebar yang masih menghiasi wajah cantik itu.
“Awak tinggal seorang saja ke kat rumah ni?” tanya Dhia memulakan perbualan sambil melilaukan matanya semula ke sekeliling halaman rumah yang penuh dengan tanaman pokok bunga pelbagai jenis itu.
Cantik, puji hatinya.
“Oh, taklah. Saya tinggal dengan mak ayah saya,” sahut Mahfuzah perlahan.
“Awak orang baru ke kat kawasan perumahan ni? Maaflah sebab saya tak pernah nampak awak kat sini sebelum ni,” sopan Mahfuzah bertanya. Dia tidak mahu menyinggung perasaan orang asing yang baru dikenalinya beberapa minit lalu itu.
Dhia mengangguk kecil. Tersenyum lebar.
Actuallly, saya baru datang ke sini dua tiga hari lepas. Saya tinggal di rumah makcik dan pakcik saya kat sebelah rumah awak ni,” sahutnya.
Dhia memandang semula Mahfuzah yang mengerut dahi sejenak mendengarkan kata-kata itu sebelum kembali menguntum senyum.
“Oh, jadi awaklah anak saudara kepada Makcik Marini tu,” suara Mahfuzah setelah beberapa lama membeku lidah. Senyuman di bibirnya semakin melebar.
Dhia mengangguk riang. Mengiyakan tekaan gadis bertudung litup itu.
Jeritan seseorang mematikan perbualan kedua mereka. Hampir serentak keduanya berkalih. Memandang ke arah rumah yang terletak bertentangan barisan rumah teres mereka. Kelihatan Farhan mencekak pinggang di laman rumah, melantang suara memanggil adik–adiknya. Ingin menghantar mereka ke sekolah. Tidak terperasan Dhia dan Mahfuzah sedang memandang gelagatnya dari seberang jalan.
Dhia memandang lama Farhan yang berdiri membelakangi mereka. Tidak jauh dari tempatnya berada. Diperhati lelaki itu sebaiknya. Tinggi, tegap dan berkulit agak cerah. Sama seperti mana yang di lihat matanya beberapa malam lalu sewaktu lelaki itu memujuk adik-adiknya. Itu tafsiran pertamanya terhadap lelaki itu.
Untuk seketika Dhia mengalih pandangannya ke arah Mahfuzah. Ingin bertanya sesuatu. Namun mulutnya terkunci tatkala terpandangkan gadis itu.
Dhia sedikit kaget melihat Mahfuzah yang seakan terpegun memandang Farhan. Tidak berkelip matanya memerhati gelagat Farhan yang telah menghumban tubuh ke dalam kereta. Ralit dengan keadaan itu. Malah sehingga bayangan kereta lelaki itu menghilang di hujung lorong kawasan perumahan itu Mahfuzah masih melepas pandangan ke arah yang sama. Menyorot setiap pergerakan Farhan yang berlaku di depan mata mereka.
Agak lama gadis itu berkeadaan begitu sebelum dia kembali mengalih pandangan ke arah Dhia yang masih seperti tadi. Memandang tingkah Mahfuzah tanpa bersuara kata. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya saat ini.
“Minta maaf ya Dhia. Saya minta diri ke dalam dulu. Nak bersiap ke sekolah,” Mahfuzah menutur sopan. Tidak menyedari pandangan kaget gadis itu terhadapnya. Memandang Dhia yang sedikit tersentak. Tercengang dengan kata-katanya.
“Nak ke sekolah? Awak nak buat apa kat sekolah tu?” tanya Dhia sedikit terpinga. Pelik dengan kata-kata tenang yang terluah dari mulut gadis berkulit hitam manis itu.
Mahfuzah menyimpul senyum.
“Saya mengajar di sekolah,” sahutnya lembut.
“Oh…” hanya itu yang terkeluar dari mulut Dhia. Tak terlintas di fikirannya Mahfuzah adalah seorang guru. Di angguk kepalanya sedikit.
“Ada masa nanti kita berbual lagi ya.” Mahfuzah bersuara lagi sebelum meminta izin ke dalam. Meninggalkan Dhia yang masih berada di situ.
Dhia mengangguk kecil. Hingga bayangan Mahfuzah hilang dari pandangan barulah gadis itu bangun dari duduknya. Mengatur langkah pulang. Sementara benaknya ligat memikirkan sesuatu.

“Encik Azfar, orang yang ditunggu oleh Encik dah sampai,”
Suara Kamelia yang terlantun keluar dari interkom memecah kesunyian bilik pagi itu. Malah turut menyentak Azfar yang tekun menjalankan kerjanya. Pantas saja tangannya menekan butang.
“Suruh dia orang masuk.” tegas dia menyahut.
“Baik Encik Azfar,” suara Kamelia kembali kedengaran.
Tidak lama kemudian, pintu bilik pejabat diketuk sebelum terbuka dari luar. Dua orang lelaki yang berjaket hitam melangkah masuk, mendapatkan Azfar yang segera menegakkan tubuh. Tangannya mengamit keduanya agar menghampiri mejanya. 
“Selamat pagi Encik Azfar,” kedua lelaki itu bersuara serentak sebaik memacak tubuh di depan Azfar.
“Hmm, selamat pagi,” sahut Azfar sedikit malas.
So, apa berita yang kau orang bawa?” soalnya begitu tegas. Mencerun matanya merenung kedua wajah tenang itu. Seakan ingin menelan seorang demi seorang ke dasar perutnya.
Keduanya berpandangan sejenak sebelum kembali menatap wajah tegang Azfar.
“Hasil siasatan kami mendapati bahawa Cik Nisa dah menghilangkan diri dari Kuala Lumpur ni Encik Azfar,” suara salah seorang dari mereka.
Azfar merengus kasar.
“Macam mana kau orang tahu dia dah keluar dari KL?” soal Azfar. Matanya mencerlung garang. Menampakkan kemarahan yang mula mengambil tempat dalam hati.
“Mengikut maklumat yang kami dapat, Cik Nisa sekarang berada jauh dari sini,”
“Jauh di mana?”
“Itu belum dapat kami pastikan lagi Cik Azfar,”
“Hisy!” Azfar menumbuk meja.
“Macam mana pula kau orang tak pasti? Kau orang buat kerja ke tidak hah?” bentaknya.
Matanya meratah kedua wajah yang segera menunduk ke bawah. Pandangan itu jelas menunjukkan perasaan hatinya di kala ini.
Azfar mendengus keras. Untuk seketika dia terdiam. Cuba merekan kemarahan yang masih berakar umbi di dalam diri. Bukan tabiatnya mencambahkan kemarahan dalam diri namun keadaan yang sedang ditempuhinya di waktu ini membuatkan benih rasa itu tumbuh menyubur di ruang dadanya. Jari–jemarinya mengetuk beberapa kali permukaan meja sementara benaknya ligat memikirkan sesuatu. Tak lama dia kembali membuka mulut.
“Kau orang berdua dengar sini baik–baik. Saya nak kamu cari Cik Nisa sampai dapat. Di mana pun dia berada, saya nak kamu ikut dia walau hingga ke dalam gua batu kapur sekalipun. Intip dia setiap masa.
Tapi ingat, saya tak mahu sesiapa pun tahu tentang perkara ini terutamanya pihak wartawan. Kalau ada orang luar selain ahli keluarga saya yang tahu tentang perkara ni, saya takkan teragak–agak untuk melakukan apa saja yang saya suka terhadap kamu berdua. Faham tu?” Azfar kembali bersuara keras. Tajam matanya menyorot wajah keduanya yang segera mengangguk. Faham dengan arahan yang diberi.  
“Bagus. Kamu boleh pergi sekarang,” suara Azfar lagi. Pandangannya dihalakan pada langkah kedua-dua lelaki itu yang segera menghilang dari bilik pejabat itu. Azfar kembali merengus marah. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012