Monday, June 03, 2013

CINTA SEJATI : BAB 9



BAB 9

Zarif yang sedang melangkah pantas tiba-tiba terhenti langkahnya apabila ada suara memanggil namanya. Segera Zarif menoleh. Kelihatan Intan melangkah laju menghampirinya.
“Ada apa doktor?” soal Zarif, sebaik saja gadis itu berdiri bersebelahannya.
“Saya nak cakap sesuatu dengan doktor,” ujar Intan perlahan.
Wajahnya ditundukkan sedikit bila bola mata mereka berlaga. Zarif mengukir senyuman.
“Cakaplah,” ujarnya sambil mengatur langkah kembali.
Intan turut mengikut rentaknya menjadikan langkah mereka seiringan.
“Sebenarnya, saya nak ucapkan terima kasih pada doktor kerana telah menyelamatkan nyawa saya tempoh hari. Kalau tak kerana doktor, tak tahulah apa yang akan terjadi kat saya.”
Sesekali mata Intan mengerling ke arah Zarif yang kelihatan tenang melangkah di sebelahnya.
“Dah lama saya nak berterima kasih pada doktor tapi susah benar rasanya nak bertemu dengan doktor. Maklumlah, doktorkan sibuk,” ujarnya lagi.
Walau pun Intan dan Zarif berada di bawah satu jabatan namun kesibukan Zarif sebagai ketua jabatan menjadikan mereka jarang dapat bersua muka.
Zarif menguntum senyuman.
“Tak perlulah doktor nak ucapkan terima kasih pada saya. Dah menjadi tanggungjawab sesama kita, saling tolong menolong.”
Zarif memandang sekilas gadis bertubuh genit itu. Dia tersenyum lagi. Intan turut mengorak senyum. Tangan kanannya menolak perlahan rambut yang menutupi dahinya.
“Itu pandangan doktor, tapi bagi saya pertolongan doktor itu amat bermakna.” balasnya perlahan.
Ada getaran di hujung nada suaranya. Entah mengapa hatinya berdebar kencang tatkala menuturkan kata-kata itu.
Zarif yang mendengar sekadar tersenyum kecil. Sedar, gadis manis yang beriringan dengannya itu sedang bermain dengan perasaannya sendiri. Sebagai lelaki dia dapat merasainya. Namun Zarif hanya bersikap selamba. 
“Hari ni doktor free tak?”
Pertanyaan gadis itu menghentikan langkah Zarif. Dia memusing tubuhnya mengadap Intan yang turut terhenti langkahnya.
“Kenapa?”
Dahinya sedikit berkerut. Hairan dengan pertanyaan tiba-tiba doktor muda itu.
“Saya nak belanja doktor makan untuk tengah hari ni.”
Intan tersenyum lagi. Wajahnya kembali ditundukkan apabila bola matanya berlaga dengan bola mata lelaki itu. Menjadi tabiatnya berbuat demikian setiap kali dia bertentangan mata dengan lelaki berwajah tampan itu. Hati wanitanya kembali berdebar.
“Nak belanja saya makan? Untuk apa?”
Tanpa mempedulikan reaksi gadis itu terhadap pandangannya, Zarif menyoal tenang.
“Sebagai tanda terima kasih saya atas pertolongan doktor tu,” ujar Intan kembali mengangkat muka. Wajah tampan itu direnung seketika.
Zarif menarik nafasnya perlahan. Senyuman manisnya semakin mekar di ulas bibirnya.
“Minta maaflah doktor, saya agak sibuk hari ni. Lagipun, rasanya tak perlulah doktor lakukan semua tu. Pertolongan saya tu tak sebesar mana pun.”
Zarif kembali mengatur langkah. Meninggalkan Intan yang termangu-mangu mendengar jawapannya.
“Doktor Zarif.”
Zarif kembali berpaling. Memandang Intan yang masih berdiri di situ.
“Kalau lain kali, boleh tak doktor?” soal Intan.  Penuh harap.
Zarif terdiam seketika. Dia mengeluh perlahan sebelum bersuara,
”Nantilah, saya fikirkan,” ujarnya lembut, sekadar menyedapkan hati si gadis.
Zarif tersenyum sekilas pada doktor muda itu sebelum kembali mengatur langkah. Meninggalkan Intan yang tersenyum lebar mendengar jawapannya.
Intan tersenyum girang. Usahanya untuk mendekati doktor yang dalam diam telah menambat hati wanitanya itu dirasakan semakin berjaya. Dalam hati, dia berazam akan cuba mencuri hati lelaki itu.

Encik Idris menyandarkan tubuh ke dinding rumah. Kedua-dua kakinya dilunjur ke depan. Tangannya mencapai rokok daun yang berada di sisinya. Diselit ke celah bibirnya yang kehitam-hitaman. Kesan dari tabiat buruknya yang suka menghisap rokok. Dinyalakan api pada rokok sebelum disedutnya perlahan.
Bunyi cengkerik dan unggas hutan kedengaran bersahut-sahutan memecah keheningan malam. Sekali sekala kedengaran bunyi kenderaan bermotor dari jalan kampung yang terletak tidak jauh dari kawasan rumah papan itu.
Dari beranda rumah, Encik Idris menghalakan pandangan ke halaman rumah yang kelihatan gelap. Sesekali dia menampar bahagian-bahagian tubuhnya yang digigit nyamuk. Angin malam yang bertiup perlahan tidak mampu menghalang serangga itu dari berterbangan mencari mangsanya.
Bunyi lantai papan dipijak mengalih pandangan Encik Idris. Ditoleh kepalanya ke belakang.
Puan Salmah mengatur langkah perlahan. Dibawa bersamanya sedulang air minuman. Diletak perlahan ke lantai beranda sebelum melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Minum bang,” pelawa Puan Salmah.
Puan Salmah mengangkat cawan yang berisi kopi panas. Dihulur pada suaminya. Encik Idris mengubah cara duduk. Bersila mengadap isterinya. Rokok di tangan diletakkan di piring cawan setelah dimatikan apinya.
“Mana Laila, dari tadi abang tak nampak dia pun.” Encik Idris bersuara sebelum mengangkat cawan ke pinggir mulut. Dihirupnya sedikit demi sedikit.
“Ada bang, dalam biliknya,” jawab Puan Salmah.
Kaki yang terasa lenguh dilunjur ke depan. Tangannya mencapai minyak urut yang turut dibawanya tadi. Disapu sedikit pada kedua belah kakinya sebelum mula mengurut perlahan. Kesibukannya membantu si suami mengerjakan kebun saban hari menyebabkan kedua kakinya terasa kejang. 
“Dah besar pun anak kita tu bang. Dah 19 tahun pun,” lembut Puan Salmah menutur kata.
Matanya memandang sekilas wajah Encik Idris. Mencari kata yang sesuai untuk menerus kata. Dia tunduk semula sambil tangannya lincah mengurut kedua-dua kakinya.  
“Kalaulah dia ada adik beradik lain, tentu rumah kita ni riuh rendah sekarang.” satu keluhan kecil terlepas keluar dari bibirnya.
Encik Idris menoleh sekilas. Tersenyum kecil ke arah isterinya.
“Kenapa Mah cakap macam tu?” soal Encik Idris lembut.
Puan Salmah mengeluh lagi. Turut membalas pandangan suaminya.
“Saya bukannya apa bang. Kesian tengok anak kita tu. Dah hampir dengan peperiksaan pun dia masih sibuk nak menolong kita di kebun. Sekurang-kurangnya kalau kita ada ramai anak, kuranglah sikit beban si Laila tu.” Puan Salmah menyuara rasa hatinya.
“Esok-esok bila dia dapat masuk universiti, dah tak ada siapa lagi yang akan temankan kita. Makin sunyilah rumah kita ni bang,” luah Puan Salmah lagi.
Encik Idris menarik nafas panjang. Dia faham dengan perasaan yang dirasai isterinya itu. Jauh di sudut hati dia turut merasainya namun naluri kelelakiannya tidak membenarkan dirinya dari mempamerkan perasaan itu secara lahiriah.
“Tak baik Mah cakap macam tu. Semua ni dah takdir Allah. Dah Dia nak bagi kita seorang anak saja, nak buat macam mana lagi. Daripada langsung tak ada, lebih baiklah ada juga walau pun hanya seorang.” lembut Encik Idris membalas. Wajah muram si isteri direnung lama.
“Mah tak salahkan takdir bang. Cuma Mah rasa terkilan,” tingkah Puan Salmah lembut.
Encik Idris tersenyum lagi. Tangannya mencapai gulungan rotan yang bertimbun di sudut beranda. Ditarik segulung rotan merapati tubuhnya. Dicapai pula pisau kecil yang terselit di celah timbunan rotan tadi. Dia mula meraut rotan yang panjang itu.
Walau pun hasil pekerjaannya di kebun dapat menampung keperluan hidup mereka anak beranak, namun telah menjadi kebiasaan Encik Idris meraut rotan di waktu lapang. Selain untuk kegunaan di rumah pekerjaannya itu dapat juga memberikan pendapatan sampingan untuk mereka sekeluarga.
Sememangnya sikap ringan tulang yang mengalir di tubuhnya membuatkan Encik Idris tidak betah untuk membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa sebarang faedah.
“Mah, seharusnya kita bersyukur, walaupun anak kita cuma seorang, kita dapat memberikan didikan agama yang sempurna padanya. Kita dapat membentuknya menjadi seorang anak yang baik dan berguna pada bangsa dan agama,” ujar Encik Idris tenang.
Sesekali matanya melirik ke arah Puan Salmah yang masih setia mengurut kedua-dua belah kakinya.
“Itu saya faham bang, tapi bukankah nabi Muhammad SAW pun menyuruh manusia meramaikan umatnya,” tingkah Puan Salmah membalas kata.
“Apa yang Mah cakap tu memang betul tapi Mah kena fikir, kalau ada anak ramai pun bila besar nanti jadi sampah masyarakat pun tak ada gunanya juga. Kita sendiri pun akan turut berdosa kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa dengan baik,” nasihat Encik Idris.
Puan Salmah mendengus perlahan. Sedikit kasar.
“Abang ni, cakap macam seolah-olah kita ni mencari dosa kalau beranak ramai,” balas Puan Salmah sedikit marah.  Geram mendengar kata-kata Encik Idris.
Encik Idris menyimpul senyum. Matanya masih menjalari wajah isterinya itu.
“Abang tak bermaksud begitu. Cuma abang nak Mah tahu, baik anak kita seorang ataupun ramai, semua itu adalah ketentuan Allah. Sebagai manusia, kita hanya dapat menerima ketentuan itu dengan hati yang redha. Tak kiralah anak kita ramai atau seorang, menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk mendidik anak-anak agar mereka berjaya dalam hidup di dunia dan di akhirat.”
Puan Salmah membisu seketika. Telinganya menangkap satu persatu kata-kata suaminya.
“Lagipun Mah, bilangan anak bukannya boleh menjadi ukuran untuk menentukan kebahagiaan hidup kita. Kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu datang dari pasangan itu sendiri. Apa gunanya kalau beranak ramai tapi kebahagiaan itu tak pernah kita rasai,” ujar Encik Idris lagi.
Jari jemarinya masih ligat meraut rotan yang berada di tangan.
“Abang tak nafikan, anak yang ramai akan menambahkan lagi kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu. Tapi itu tak bermakna rumah tangga yang kurang bilangan anaknya hidup dalam keadaan tidak bahagia. Contohnya kehidupan kita sekeluarga. Pernahkah Mah rasa kita anak-beranak hidup dalam keadaan yang tidak bahagia? Tak pernahkan. Walau pun kita hanya tiga beranak, hidup kita tetap gembira, tetap sempurna walau pun tak sepenuhnya. Jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dengan baik, insya Allah, kebahagiaan itu akan tetap dirasai dalam rumah tangga itu,” sambung Encik Idris.
Matanya masih melirik pada si isteri yang terdiam mendengar kata-katanya.
Puan Salmah masih membatu diri. Tidak disahut kata-kata suaminya itu. Ditutup botol minyak urutnya sebelum diletak semula ke dalam dulang. Tangannya masih mengurut kedua-dua kakinya yang telah hilang rasa lenguh. Perlahan dia melepaskan keluhan panjang.
Encik Idris turut membisu. Matanya memandang sekilas wajah si isteri yang kelihatan sayu. Encik Idris menghela nafas pendek.
“Sudahlah tu Mah. Tak payah difikirkan lagi tentang perkara ni. Masih banyak lagi perkara yang perlu kita fikirkan.”
Encik Idris meletak semula pisau dan rotan yang berada di tangnnya ke lantai beranda. Dia mencapai cawan kopinya. Dihirup air kopi yang masih bersisa sebelum diletaknya semula. Perlahan dia bangun dari duduk. Kakinya yang terasa sedikit kejang diusapnya seketika sebelum perlahan-lahan tubuh tua itu kembali ditegak.
Encik Idris mengangkat gulungan rotan yang ada di tepi kakinya. Dibawanya ke hujung beranda sebelum melonggoknya di situ. Pisau yang dibawanya bersama diselit di celah dinding rumah. Dia kembali mendapatkan Puan Salmah yang mengangkat cawan ke dalam dulang semula.
“Hari pun dah makin lewat Mah. Marilah kita masuk tidur. Esok pagi kita kena ke kebun awal sikit. Sim Huat nak datang ambil pisang-pisang kita yang dah masak kat kebun tu,” ujar Encik Idris.  
Puan Salmah hanya mengangguk kecil. Diangkat dulang yang berisi cawan kotor sebelum dia sendiri turut bangun. Tak lama, dia beriringan dengan Encik Idris melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu rumah papan itu ditutup rapat sebelum dikunci kemas dari dalam.  

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012