Friday, June 29, 2012

Penatnya....

Dah lama rasanya saya tak menjengah blog kedua saya ni... bukan sudah lupa tapi kesibukan mengurus hal ehwal kehidupan yang tak pernah berhenti menjadikan masa begitu terhad... hari ini pun dapat saya menjengah ke sini hanya kerana saya bercuti bagi menguruskan beberapa perkara..... itu pun di penghujung petang... harap-harap di masa depan dapatlah lebihkan masa tapi itu hanya perancangan... apa yang akan berlaku di esok hari jugak kita tak tahu, inikan pula di depan waktu....
berkata tentang kegiatan harian, memang penat sebenarnya bila melakukan dua pekerjaan dalam satu masa... kadang-kadang terasa bosan bila hidup dalam keadaan begini... sering sibuk hingga waktu buat diri sendiri juga jarang ada... tapi sesekali bila meninggalkannya untuk seketika, rindu pasti menggamit... itulah rutin hidup kata orang... sebosan mana sekalipun, kita tetap perlu melakukannya.... apatah lagi bila aktiviti kehidupan mula bertukar... 
apapun minggu ini merupakan minggu yang sangat-sangat memenatkan.... dan minggu depan, pastinya minggu yang akan menjadi permulaan pada hari-hari yang lebih penat... kerana apa? kerana apabila aktiviti kehidupan bertukar corak, maka memang perkara yang perlu kita pelajari dan fahami dari mula walau ianya tidak jauh berbeza dari yang sebelumnya... masa usah dikata... memang sangat-sangat tidak mencukupi walau hakikatnya Allah telah menyediakan waktu yang sama pada semua makhlukNya dan terpulang pada kita sendiri untuk menguruskannya....
tapi inilah yang dikatakan kehidupan.... tiada kehidupan yang tidak berubah dari masa ke masa... dari kecil menjadi remaja, berubah dewasa dan seterusnya.... itu dari segi usia... begitu juga dari segi aktiviti kehidupan dan lain-lain perkara.... segala-galanya pasti akan berubah bila tiba waktunya... yang pastinya, ada perkara yang boleh diubah dan ada juga yang sudah ditetapkan... tapi semuanya, adalah yang terbaik buat kita jika kita bersyukur dan redha dengan apa yang berlaku dalam hidup kita.... 
moga-moga kehidupan akan menjadi lebih bahagia dari hari ke hari.... amin...


Sunday, June 24, 2012

Jalan-jalan cuci mata...

Alhamdulillah... hari ni berjaya juga saya kemaskan rumah yang sedikit tak tersusun keadaannya... tak bersepah jauh sekali semak tapi tetap membuat mata tak suka memandang... lagi-lagi saya bukannya orang yang suka melihat rumah berselerak... jadi tenaga yang disimpan dari malam tadi diperah sepenuhnya untuk membuat kerja-kerja rumah... dah rumah bersih berkilat barulah senang hati...
semalam, seharian saya habiskan masa berjalan-jalan dengan Su (adik perempuan saya yang bongsu) di The Curve, Damansara... boleh dikatakan tiap-tiap minggu kami ke sana... kadang-kadang berdua... kadang-kadang bertiga (jika adik perempuan sorang lagi pulang bercuti ke Damansara)... kadang-kadang pula bertiga atau berempat... itu pun dengan jika ada antara ahli keluarga kami yang punya masa terluang tapi selalunya hanya saya dan Su suka membuang masa di sini... 
acara pertama yang kami buat sebaik sampai di sini tentulah menuju ke MPH... dari satu rak ke satu rak kami akan pergi... oleh sebab Su minat menjahit, jadi bahan utama ditangannya mestilah berkaitan jahitan atau pun agama... saya pula? tentulah novel dan buku-buku cerita kanak-kanak... tapi bila ada waktu terasa stress atau tertekan, bahagian motivasi dan agama yang jadi pilihan... conform hilang segala stress... dan conform juga duit hilang dek membeli buku-buku yang rasa nak dimiliki sendiri...
seronok sebenarnya membuang masa di kedai-kedai buku ni... selain dapat ilmu, dapat juga tengok pelbagai gelagat manusia yang ada... ada yang membaca sampai tak pandang sekeliling... ada juga yang sekejap baca buku itu, sekejap lagi buku lain pula... 
tapi bukan itu yang buat saya tertarik tetapi gelagat bangsa Cina yang gemar mengajar anak-anak mereka membaca sejak kecil... malah tak keterlaluan saya katakan, bangsa Cina memang bangsa yang suka membaca... mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya di kedai buku bersama anak-anak untuk menimba pelbagai ilmu... bangsa Melayu? adalah dua tiga kerat... itupun tak sampai beberapa lama dah melangkah ke pintu keluar....
mungkin saya salah tapi itulah pandangan yang saya lihat sepanjang saya di sini... bukan saja di MPH, di kedai buku Popular dan Borders juga begitu situasinya... bukan saja semalam tapi hari-hari sebelumnya juga begitu... malah sejak saya kecil lagi suasananya tetap juga tidak berubah (saya membesar di Damansara)... 
kadang-kadang timbul persoalan dalam kepala, kenapa orang Melayu tidak mahu mengajar anak-anak mereka membaca sedari kecil? bukan susah untuk mendidik anak-anak untuk gemar membaca... saya sendiri walau belum berumahtangga, seringkali membawa anak-anak saudara ke kedai buku sejak mereka berusia setahun dan ke atas... hasilnya, setiap kali mereka ke mana-mana shopping complex, tempat pertama yang dicari adalah kedai buku dan kemudiannya barulah kedai alatan permainan... 
sikap suka membaca ni sebenarnya perlu diterap sedari kecil... ada juga yang sewaktu kecil tak suka membaca tetapi bila dah dewasa pandai pula menyelak buku... tapi jarang saya dapat bertemu dengan orang sebegini... kebanyakan orang gemar membaca kerana sejak kecil sudah terdedah dengan dunia buku... jadi apa salahnya jika sesekali di hujung-hujung minggu kita membawa anak-anak ke kedai buku... tak dapat sejam, setengah jam pun boleh juga asal mereka kenal buku sejak kecil... tapi lain orang lain caranya bukan? hmm... apapun terpulanglah pada setiap orang untuk memupuk minat membaca dalam keluarga masing-masing... bukannya apa, rugi rasanya kalau hanya bangsa lain yang kaya pengetahuan sedang bangsa kita? tepuk dada, tanyalah hati sendiri ya...


Friday, June 22, 2012

pesan mak...


Sedar tak sedar Rejab sudah pun berlabuh dua hari lalu... kini tiba pula giliran Syaaban berkunjung datang... tak lama Ramadan bakal menjelang, diikuti Syawal dan bulan-bulan Islam lain seterusnya... hmm... cepat benar masa berlalu sekarang...
dulu, sewaktu tinggal bersama, mak selalu pesan... jangan lupa perbanyakkan ibadah di bulan Rejab, Syaaban dan lipatgandakan lagi di bulan Ramadan...
kata mak, ketiga-tiga bulan ini banyak nikmatnya berbanding bulan-bulan Islam yang lain... kata mak lagi, walaupun semua bulan Islam ada kelebihannya, jangan sesekali tinggalkan ibadah dalam ketiga-tiga bulan ini...sayang katanya...atas sebab apa mak kata begitu, saya tak tahu memandangkan waktu itu saya masih bergelar kanak-kanak ribena lagi...
tibanya Rejab, mak sudah sibuk dengan aktiviti ibadahnya... hampir setiap malam mak akan bangun bersolat di tengah-tengah malam... kadang-kadang bapa juga ikut serta tapi jarang-jarang sekali bapa dapat berbuat demikian kerana saya tahu... bapa penat bekerja di siang hari... lainlah mak yang sememangnya surirumah sepenuh masa...
selepas solat, mak akan membaca al-Quran... jika tidak mak akan membaca tasbih, berzikir atau menghafal segala doa yang ada...kerana kerajinan mak membaca Al-Quran dari muda, mak dapat menghafal hampir kesemua ayat-ayat Al-Quran tanpa perlu melihatnya terlebih dulu...mungkin itulah kelebihan yang mak dapat hinggakan walau sekarang penglihatan mak sudah kabur tapi mak tetap boleh membetulkan bacaan cucu-cucunya setiap kali mereka pulang bercuti ke kampung...mak juga tetap dengan aktiviti ibadahnya walau pernah mak mengalami katarak yang teruk... kata mak, apa guna hidup kalau tak dipenuhi dengan ibadah yang boleh membahagiakan kita seumur hidup...
saya bukanlah seorang yang kuat beribadah... malah sebagaimana mereka yang lain adakala saya juga terbabas untuk melakukan ibadah wajib... namun pesan mak membuatkan hati saya tidak tenteram.. saya juga bukanlah seorang anak yang mendengar kata ibubapa seratus peratus tetapi apabila mak tak pernah lupa meninggalkan pesan supaya bersolat malam setiap kali datang mak datang berkunjung membuatkan hati saya semakin ingin tahu apa kelebihannya bersolat malam... kebetulan saya pernah mengalami satu peristiwa yang menyakitkan dalam hidup... malah sampai sekarang saya masih tidak mampu melupakannya... dari mak, saya minta nasihat dan kata mak, bersolatlah di tengah-tengah malam... insya Allah segala masalah pasti hilang...
sebulan, dua bulan, akhirnya sedar tak sedar sudah hampir tiga tahun saya mengikut nasihat mak... dan benar seperti mak... solat malam itu sangat-sangat indah terutama bila dilakukan pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan... bertambah indah bila mana kita jadikannya sebagai amalan harian... ada saja perkara yang ingin saya luahkan pada Dia yang Satu...
sekarang, walau saya diserang pelbagai cabaran hidup, saya tetap boleh bertenang dan tersenyum walau hanya Allah saja yang tahu bagaimana hebatnya cabaran yang perlu dihadapi... memnag tak tak dinafikan adakala cabaran yang datang sangat-sangat menguji keimanan tapi balasan atas kesabaran dan kerajinan melakukan solat malam berjaya mengatasinya...benar kata mak... semuanya datang dari Allah maka dari Dia jugalah kita perlu meminta...
syukur kepada Allah kerana memberi ibadah sebegini istimewa kepada umat Islam... terima kasih juga pada mak yang sampai sekarang tetap juga tidak jemu-jemu menasihati kami supaya bangun ebrsolat tengah malam...dan kata mak sebelum bertolak pulang ke kampung petang tadi, jika tidak mampu lakukannya dengan rela, lakukannya dengan rasa terpaksa... sambil itu berdoalah supaya Allah bukakan hati kita untuk melakukannya dengan ikhlas... Insya Allah... pasti Allah akan mengabulkannya... tak percaya? cubalah amalkannya... moga kita sama-sama merasa nikmatnya suatu masa nanti...amin...

Tuesday, June 19, 2012

Indahnya cinta dulu-dulu...


Bingit telinga saya bila berbual-bual dengan seorang makcik di kejiranan saya pagi tadi… susah benar hatinya bila ada antara anak-anaknya  memilih untuk hidup sendiri dari berumahtangga… walau masing-masing sudah punya kerjaya tetap dan hidup bahagia di jalan sendiri tapi bukan itu saja impian orang tua… bak kata makcik, harta segunung takkan sama nilai seorang zuriat sendiri… senang cakap makcik memang berharap anak-anaknya yang berkahwin juga nanti… sebagai jiran yang paling hampir dengannya, saya hanya mampu menahan telinga… nak dijawab, makin berjela-jela bebelannya… tak dijawab dikata bertelinga batu pula… mahu tak mahu sabar sajalah…
Terfikir juga saya, kenapa susah benar seseorang itu menemui pasangan hidup di zaman serba canggih dan moden ini? bukan masalah memilih tetapi pasangan yang serasi dan boleh menerima diri seadanya sudah terlalu sukar untuk ditemui di zaman sekarang...
pernah arwah moyang bercerita... dia berkahwin pada usia yang cukup muda, 14 tahun... kata moyang, dia dan suaminya tidak pernah mengenali antara satu sama lain tetapi bahagia hidup bersama-sama selama hampir 90 tahun (moyang saya meninggal dunia ketika berusia 104 tahun)...kata moyang lagi, nama suaminya pun tidak dia tahu... nak bertanya? pantang orang-orang tua dulu anak dara berkisah tentang bakal suami...nak membantah? terasa juga mahu tetapi mengenang ayah moyang seorang lelaki yang tegas dan garang, mahu tak mahu moyang tetao kena terima...
menurut moyang, di zaman dia muda, segala-galanya serba kekurangan... tiada pili air, tiada elektrik, tiada dapur gas, tiada macam-macam benda moden...jadi semua kerja harus dilakukan dengan tenaga sendiri... membasuh baju di sungai, memasak nasi di dapur kayu, tidur berselimutkan kain guni, semua itu sudah menjadi lumrah dalam hidup seharian moyang... itupun belum dikira dengan kerja-kerja di sawah dan kebun... pendek kata seribu kerja menanti saat mata tercelik di waktu pagi hinggalah mata terpejam semula di malam hari...
zaman itu anak-anak muda tidak banyak bersekolah... bukan saja tidak berkemampuan tetapi banyak kerja yang harus dilakukan di rumah...jadi anak-anak muda banyak 'bersekolah' secara tidak formal dan guru-gurunya sudah tentulah ibu, ayah, nenek, atuk dan juga mereka lain yang lebih arif... memasak, mengemas, menganyam, menjahit, menyulam, itu antara kerja-kerja 'sekolah' yang harus dipelajari dan difahami oleh anak-anak dara manakala anak-anak lelaki juga tidak kurang...bukan anak lelaki namanya jika tidak tahu membelah kayu, mengerjakan sawah atau membaiki rumah...kerana itu anak-anak muda tidak susah untuk berkahwin muda kerana segalanya sudah mereka pelajari sejak kecil...
kata moyang, di zaman mudanya ada juga anak-anak muda yang saling bercinta tetapi masih dalam batas dan adab orang Melayu... jika terhalang, dengan rela hati mereka menerima pilihan orang tua dan menerima pasangan hidup seadanya walau ada kecewa dalam hati... tidak perlu berjanji setia, masing-masing sedar dengan tanggungjawab dan kewajipan diri sepanjang melayari bahtera rumahtangga walau bukan dengan pilihan sendiri... kerana itu terlalu payah kita mendengar orang-orang dulu berpisah hidup melainkan berpisah mati semata-mata...
di zaman sekarang, lain pula ceritanya... di usia 14 tahun hampir kesemua anak-anak muda masih di bangku sekolah walau ada juga yang mula bercinta di usia ini...kerana sibuk mencari ilmu di sekolah formal, ramai yang tercicir dalam mendalami ilmu rumahtangga... memasak, itu tugas ibu... mengemas, itu tugas pembantu rumah... menjahit, tak mustahil jika ada di antara anak-anak muda yang tidak tahu membezakan jarum menjahit dengan jarum mengait...
dek hambatan zaman moden, anak-anak muda sekarang lebih gemar mencari pasangan sendiri... jika ibubapa tidak bersetuju, cara termudah, larikan diri... jika tidak pun, paksa atau mengugut... mahu atau tidak, bersetuju sajalah orang tua walau hanya dengan separuh hati... lalu rumahtangga yang dibina sudah hilang separuh bahagia kerana tiadanya sepenuh restu dari ibubapa... ditambah dengan kesibukan mencari duit, tidak tahu memasak, tidak punya waktu terluang buat pasangan dan pelbagai ragam lagi menjadikan rumahtangga yang sedia longgar semakin bergoyang sebelum runtuh dengan sendiri... ada juga yang mampu bertahan sampai ke mati tapi selama bersama, berapa kerat sangat yang benar-benar bahagia?
jika di zaman dulu, suami dan isteri punya masa untuk bersama, tidak pula di zaman ini... nama saja keluar berdua tapi telefon di tangan tidak henti-henti berdering... belum dikira dengan masa yang dihabiskan di pejabat, dengan kawan-kawan, outstation dan lain-lain... 
sememangnya ya zaman dahulu serba kekurangan dan tidak perlukan pelbagai perbelanjaan seperti di zaman sekarang tapi bukankah lebih baik sekiranya cara cinta yang disemai oleh orang-orang di zaman dulu diteladani oleh orang-orang di zaman sekarang? Jika isteri di rumah tidak pandai bergaya, suami yang sentiasa memandang wanita cantik di luar harus menegur sang isteri agar sama cantik dan sepadan meski tidak berkerjaya... isteri pula jika suami tak berkemampuan, bersyukurlah dengan apa yang ada dan terimalah segala pemberiannya dengan seikhlas hati... 
apapun segalanya terpulang pada diri masing-masing... andai jika kedua-duanya saling memahami dan bertanggungjawab dengan kewajipan masing-masing, nescaya tak kira sama ada anda dijodohkan dengan pilihan sendiri atau ibubapa, pasti akan ada bahagia yang menghampiri... paling utama, terimalah pasangan kita seadanya dan salinglah lengkap-melengkapi antara satu sama lain... Isnya Allah, rumahku syurgaku akan wujud juga dalam rumahtangga kita sampai akhirat nanti...



Monday, June 18, 2012

selamat malam semua...


Sudah lewat malam rupanya... langsung tak sedar pada masa yang sudah lama berlalu... patutlah mata yang segar bugar di awal malam sudah seperti ditarik-tarik supaya tertutup rapat... mujur juga telinga sudah disumbat dengan earphone... maka masa yang berlalu itu tidak langsung disedari perginya...
esok, hari akan bermula lagi... maka rutin seharian juga pasti akan dilakukan sebagaimana hari-hari sebelumnya... penat? sudah pasti tapi ini semua lumrah hidup... segalanya seperti roda... harus berputar pada waktunya... semoga ada yang bermimpi indah malam ini... dan semoga mimpi indah itu menjadi kenyataan dalam dunia realiti... amin...




kenangan mengusik jiwa...

Semalam telah selamat sebuah buku saya baca... bukan isi buku yang menarik perhatian tetapi mengingatkan saya pada ajaran bapa terhadap kami adik beradik tentang betapa pentingnya membaca... 
sejak kecil, kami sudah diasuh mengenali buku, suratkhabar dan majalah tetapi kerana kami susah, bapa hanya mampu membeli suratkhabar menjadi bahan bacaan kami saban hari... itupun selalunya sudah lunyai dek berebut dengan adik-beradik yang terdiri dari 9 orang...
saya masih ingat, kali pertama bergelar pelajar sekolah, saya membaca buku teks yang pihsak sekolah berikan dari muka surat pertama hingga ke kulit buku walau dalam keadaan merangkak-rangkak bacaannya... maklumlah, baru belajar membaca dari abang dan kakak waktu itu... 
mungkin pada orang lain buku seperti itu hanya biasa-biasa tetapi tidak pada saya yang tidak pernah merasa punya buku sendiri walau itu hanya pinjaman semata-mata... bukan saja buku saya, malah semua buku adik-beradik lain turut juga saya baca dek terlalu teruja... hingga menjadi satu kebiasaan saya berbuat begitu walau sudah menganjak ke sekolah menengah... 
saya sebenarnya bukanlah peminat buku tetapi sikap bapa yang suka memberi soalan berkaitan sejarah dan isu-isu semasa kala kami duduk bersama membuatkan kami adik beradik 'terpaksa' melatih diri supaya rajin membaca... bapa bukan seorang yang berpelajaran tinggi tetapi beliau amat mementingkan pengetahuan... beliau tidak pernah marah jika kami tersalah memberi jawapan tetapi kurang senang apabila kami menjawab tidak tahu... 
sungguh, malu rasanya bila bapa yang tidak bersekolah tinggi dan hanya bekerja sebagai posmen mampu mengulas tentang segala perkara dengan penuh lancar dan fasih... bagai profesor universiti saja lagaknya... 
kini bapa sudah berusia lebih enam puluh tahun dan ingatannya tetap juga seperti muda-muda dulu... bagus dalam perkiraan dan menghafal segala fakta... malah semua nombor akaun, nombor surat beranak dan nombor kereta mahupun motor kepunyaan kami adik beradik juga dapat dihafalnya dengan mudah... kata bapa, senang saja untuk kuatkan ingatan... membacalah... pasti hasilnya tak merugikan... jauh berbeza dari saya yang baru menjengah awal tiga puluhan tetapi sudah ada ciri-ciri pelupa...
masa di sekolah, pusat sumber adalah 'syurga' saya... pantang punya masa terluang,  di situlah saya bertapa... pinjam meminjam tak usah dikira... adakala saya pinjam di waktu pagi, waktu petang sudah dipulangkan dan diganti dengan buku yang lebih tebal agar boleh dibawa baca hingga ke malam nanti...
duit saku sekolah yang bapa beri saya simpan untuk membeli buku cerita dari sebuah toko buku tak jauh dari kawasan rumah... hanya 50sen yang bapa beri tapi cukup untuk saya beli sebuah buku cerita tulisan Enid Blyton berharga rm2.50 yang kebanyakannya sudah diterjemah ke bahasa Melayu pada setiap hari Jumaat... biar perlu berjalan kaki sejauh 3 kilometer tapi penat itu tak terasa bila buku impian menjadi milik sendiri... ketika itu minat saya tertumpu pada kisah penyiasatan... siri Salma, siri Hadi, siri Tiga Penyiasat, siri Lima Sekawan dan siri Lima Penyiasat adalah antara buku-buku yang menjadi kegilaan saya... sampai sekarang semuanya masih berada dalam simpanan... akan dijual? tidak sama sekali kerana itulah antara harta kesayangan saya hingga ke akhir hayat nanti...
menginjak ke alam remaja, kisah-kisah cinta mula mengambil tempat... karya-karya Ahadiat Akashah, Zuraidah Othman dan Norhayati Berahim menjadi koleksi utama... tak ketinggalan karya-karya Tan Sri A. Samad Said, Dato' Aripin Said, Khadijah Hashim, Adibah Amin serta Keris Mas...semua ini tidak dibeli tetapi dipinjam berkali-kali dari pusat sumber sekolah lantaran duit saku sekolah hanya diberi rm1.00 oleh bapa tetapi dengan duit rm1.00 itu jugalah saya berjaya memiliki karya-karya yang lebih mahal dari karya-karya Enid Blyton yang berharga rm2.50...
ingat lagi saya, kali pertama membaca novel Salina karya Tan Sri A. Samad Said, tidak tidur malam jadinya kerana terlalu khusyuk membaca... sedih tapi punya banyak pengajaran... tak ketinggalan novel berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka... antara karya dari Indonesia yang tak jemu-jemu saya ulang baca sampai ke hari ini... 
melangkah masuk ke universiti, saya mula mengenali karya-karya Anis Ayuni, Fauziah Ashari dan Ramlee Awang Murshid... dan beliau (Ramlee Awang Murshid) berjaya membawa minat saya kembali ke dunia penyiasatan dan misteri... tiada karya beliau yang tidak saya baca dan yang terbaru, Sunan Musafir berjaya membuatkan saya menangis... satu penamat yang terbaik bagi sebuah kisah panjang yang sangat-sangat menyentuh hati...
sekarang, ramai sudah penulis yang lahir di dalam dunia penulisan dan semuanya saya akui punya kekuatan dan kelemahan masing-masing... begitu juga saya yang tak pernah menjangka akan terjebak dalam dunia ini walau masa kecil-kecil dulu pernah bercita-cita ingin menjadi sasterawati negara gara-gara terlalu obses pada karya-karya Tan Sri A. Samad Said!...
dan bila dikenang-kenang semula, semuanya bermula dari ajaran bapa... kerana bapa, saya mengenali dunia buku dan sedar, betapa indahnya hidup bila masa lapang dihabiskan dengan membaca, membaca dan membaca... kerana bapa kami adik beradik mengerti tentang kepentingan ilmu dan kegunaannya... kerana bapa juga kami menjadi pembaca tegar hari ini... semuanya kerana bapa, seorang lelaki biasa yang tak punya apa-apa tetapi bagi saya, dialah lelaki terbaik yang wujud dalam hidup saya selama ini...
sampai ke hari ini, saya masih memegang kata-katanya... kata bapa, dia tidak punya harta untuk diwarisi pada anak-anaknya tapi dia punya cara untuk memberi kami harta iaitu pengetahuan... dengan pengetahuan kami pasti mampu menjadi kaya... kaya harta benda, kaya budi bahasa, kaya agama, kaya segala-galanya... maka rajin-rajinlah menggali pengetahuan kerana itulah punca datangnya kekayaan kamu... terima kasih bapa atas segala ajaranmu... selamat hari bapa semua...

Saturday, June 16, 2012

Andai lelaki tahu...

andai lelaki tahu...
apabila seorang perempuan jatuh cinta,
lelaki itu tak semestinya punya segalanya tetapi lelaki itu adalah segalanya di hatinya...
andai lelaki tahu...
apabila seorang perempuan itu mengalirkan airmata, itu bukan bermakna dia lemah tetapi dia sedang mencari kekuatan untuk terus tabah mencintai lelaki itu...
andai lelaki tahu...
apabila seorang perempuan marah, memang dia tidak mampu mengawal perasaannya tapi percayalah, itu maknanya dia sangat mengambil berat dan menyayangi lelaki itu...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan bercakap banyak, dia tidak pernah bermaksud membuat anda rimas tetapi dia mahu lelaki mengenalinya dengan lebih dekat...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan berkata dia mahu anda berubah, itu bukan bermakna dia tidak mahu menerima anda seadanya tetapi dia mahu menjadikan anda lebih baik, bukan untuk dirinya tetapi untuk masa depan anda...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan cemburu dan tidak percayakan anda, bukan bermakna dia tidak sayang tetapi dia terlalu sayangkan anda dan menganggap anak kecil yang masih perlukan perhatian...dia risau sekiranya anda mengkhianati kepercayaan yang diberi...dia mahukan yang terbaik untuk anda...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan merajuk, dia tidak mengada-ngada.bukan wang ringgit atau hadiah sedozen yang dimahukannya tetapi cukup dengan perhatian yang boleh membuatkan perempuan berasa dihargai...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan jarang mengatakan 'aku cinta kamu', itu bermaksud dia mahu lelaki itu merasai cintanya, bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga melalui bahasa tubuhnya...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan kata dia rindu, dia benar-benar maksudkannya... apabila berjauhan, bayanganmu akan sentiasa bermain di mata...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan kata lelaki lain lebih baik dari anda, jangan percaya kata-katanya kerana dia hanya mahu menguji...dia mahu melihat sejauh mana kamu sanggup menjadi yang terbaik di matanya walau sebenarnya memang kamulah yang terbaik dihatinya...selagi dia bersama kamu, percayalah, walaupun perempuan menganggap masih ramai lagi yang lebih baik tetapi di mata dan hatinya kamu juga yang terbaik...
andai lelaki tahu... 
apabila perempuan menjadi degil, dia tidak bermaksud berbuat begitu tetapi dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu mampu bersabar dengan karenahnya...percayalah, hati perempuan itu sangat lembut...jangan terkejut jika akhirnya dia menukar fikiran dalam sesaat andai kena cara pujukannya...
andai lelaki tahu...
apabila perempuan berkata, 'tolong tinggalkan saya!', dia tidak bermaksud menyuruh anda pergi selamanya... dia hanya mahu menenangkan fikiran dan apabila dia kembali tenang, pasti dia akan mencari anda semula...itu tandanya dia benar-benar mencintai anda...perempuan sukar mengawal perasaan dan terlalu emosional...tapi dialah yang paling menyayangi anda dan sangat sensitif dengan perubahan pada diri anda...
andai lelaki tahu...
sememangnya Allah menciptakan lelaki dan perempuan itu dengan perbezaan yang tersendiri... tetapi sekiranya saling memahami, mereka akan saling melengkapi dan menyempurnakan...disebalik airmata perempuan yang dicipta Allah sebagai makhluk terindah, tersimpan seribu satu kekuatan yang bakal menjadikan lelaki merasa selamat bersamanya...biarpun zahirnya perempuan tampak lemah tapi dia punya kekuatan yang boleh mengoncang dunia dan boleh pula membuat lelaki menjadi lemah kerananya... jadi hargailah kehadiran seorang perempuan dalam hidup anda kerana dia didatangkan bukan dengan kelemahan sahaja tetapi juga dengan kekuatan untuk menyokong dan menyempurnakan hidup anda...



p/s: catatan ini ditujukan buat seorang kawan yang terguris hati gara-gara sikap seorang lelaki bergelar suami... bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri...so tak perlulah nak dibazirkan airmata untuk perkara-perkara alami ini ya...dan buat sang suami yang juga kawan baikku, please take note about this...kasihan isteri yang membuang masa sepanjang malam  meratap hiba meluah rasa dan kasihan juga padaku yang juga sudah tentunya tidak dapat tidur tapi bukan itu yang aku kisahkan...sebaliknya hargailah rumahtangga yang sudah lama terbina atas dasar cinta pilihan sendiri... semoga kekal bahagia bersama hingga ke akhirat kelak and I love both of you forever... ceria-ceriakanlah diri selalu ya...Insya Allah bahagia yang dicari pasti ditemui juga nanti...Amin...


Friday, June 15, 2012

Khasiat petai...



Assalamualaikum...
Bangun tidur pagi tadi, tiba-tiba saja saya teringin menulis tentang petai gara-gara semalam bermesej dengan seorang kawan berbangsa Cina yang ingin tahu tentang khasiat petai... saya adalah orang pertama yang dicarinya kerana dia tahu saya memang suka makan petai walau bukan dikategorikan sebagai hantu petai...
soalan dia, apa kebaikan petai? Hmm... pening juga saya nak fikirkan jawapan terbaik untuk soalan ringkas tapi agak mencabar pada saya ni...maklumlah, hanya tahu makan, tak tahu apa kebaikan jauh sekali khasiatnya... mujur juga saya selalu mengikut ayah melawat kawan-kawannya ketika pulang ke kampung... sedikit sebanyak cerita tentang petai yang banyak terdapat di sekitar kawasan kampung diketahui saya... bolehlah dikongsi di sini walau tak sebanyak mana...
kata kawan ayah, petai ni ada pelbagai jenis... antaranya petai butang, petai papan, petai kerayung dan petai meranti... itu antara jenis petai yang saya ingatlah... lain dari itu dah lupa...hehehe...
khasiatnya pula? Hmm... kata kawan ayah lagi, petai ni ada banyak khasiatnya...selain dari dapat mengubat penyakit kencing manis, petai juga dapat merawat penyakit busung, masalah hati, bengkak buah pinggang serta dapat membunuh cacing dalam perut dan usus... 
itu biji petai...macam mana pula dengan bahagian pokok petai yang lain?
kata kawan ayah lagi, daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning dengan cara merebus beberapa helai daun petai dan air rebusannya dibuat minum...
kalau nak tahu, akar pokok petai pun boleh dibuat ubat khusus untuk rawatan sakit kencing manis...betul atau tidak, cubalah...
hah, itu dari segi tradisionalnya... kalau dari segi perubatan pula, lain ceritanya... malah lebih banyak rupanya khasiat petai yang kita tak sangka...
menurut kajian, petai mengandungi 4 kali ganda protein, 2 kali ganda karbohidrat, 3 kali ganda fosforus, 5 kali ganda vitamin A dan juga 2 kali ganda mineral serta lain-lain vitamin berbanding dengan buah epal...petai juga mengandungi tiga jenis gula iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan serat... sebab itulah petai dikatakan mampu beberikan kita banyak tenaga...
petai juga boleh dijadikan sebagai gantian ubat moden untuk merawat beberapa jenis penaykit lain seperti strok, stres, anemia, tekanan darah tinggi gastrik, obesiti dan juga sembelit...
hmm... itu tentang khasiat petai... nak tahu tentang petua untuk hilangkan bau mulut setelah makan petai? ini cara paling mudah yang diajar oleh ibu saya... selepas makan petai, pastikan kita mengunyah beras mentah sedikit demi sedikit... kunyahnya harus perlahan-lahan ya hingga hilang baunya... insya Allah, cara ini berkesan...








Wednesday, June 13, 2012


Assalamualaikum...

Buat kali pertamanya saya menulis dalam blog sendiri... bukan tidak pernah malah tidak pernah terfikir untuk mempunyai blos sendiri... minat saya hanyalah tertumpu pada penulisan novel semata-mata, itupun hanya di layar laptop kesayangan saya... namun lama-kelamaan saya terpaksa akur dengan kehendak sesetengah pihak yang ingin melihat hasil tulisan saya di sini walau tiada apa yang menarik tentang diri sendiri mahupun kisah kehidupan saya yang boleh dititipkan di sini...sekadar berkongsi setitis rasa dari secawan dunia kehidupan saya.. apapun buat sesiapa yang sudi singgah di blog ini, selamat menjenguk ke dunia kecil Azra Aryriesa...
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012