Monday, June 18, 2012

kenangan mengusik jiwa...

Semalam telah selamat sebuah buku saya baca... bukan isi buku yang menarik perhatian tetapi mengingatkan saya pada ajaran bapa terhadap kami adik beradik tentang betapa pentingnya membaca... 
sejak kecil, kami sudah diasuh mengenali buku, suratkhabar dan majalah tetapi kerana kami susah, bapa hanya mampu membeli suratkhabar menjadi bahan bacaan kami saban hari... itupun selalunya sudah lunyai dek berebut dengan adik-beradik yang terdiri dari 9 orang...
saya masih ingat, kali pertama bergelar pelajar sekolah, saya membaca buku teks yang pihsak sekolah berikan dari muka surat pertama hingga ke kulit buku walau dalam keadaan merangkak-rangkak bacaannya... maklumlah, baru belajar membaca dari abang dan kakak waktu itu... 
mungkin pada orang lain buku seperti itu hanya biasa-biasa tetapi tidak pada saya yang tidak pernah merasa punya buku sendiri walau itu hanya pinjaman semata-mata... bukan saja buku saya, malah semua buku adik-beradik lain turut juga saya baca dek terlalu teruja... hingga menjadi satu kebiasaan saya berbuat begitu walau sudah menganjak ke sekolah menengah... 
saya sebenarnya bukanlah peminat buku tetapi sikap bapa yang suka memberi soalan berkaitan sejarah dan isu-isu semasa kala kami duduk bersama membuatkan kami adik beradik 'terpaksa' melatih diri supaya rajin membaca... bapa bukan seorang yang berpelajaran tinggi tetapi beliau amat mementingkan pengetahuan... beliau tidak pernah marah jika kami tersalah memberi jawapan tetapi kurang senang apabila kami menjawab tidak tahu... 
sungguh, malu rasanya bila bapa yang tidak bersekolah tinggi dan hanya bekerja sebagai posmen mampu mengulas tentang segala perkara dengan penuh lancar dan fasih... bagai profesor universiti saja lagaknya... 
kini bapa sudah berusia lebih enam puluh tahun dan ingatannya tetap juga seperti muda-muda dulu... bagus dalam perkiraan dan menghafal segala fakta... malah semua nombor akaun, nombor surat beranak dan nombor kereta mahupun motor kepunyaan kami adik beradik juga dapat dihafalnya dengan mudah... kata bapa, senang saja untuk kuatkan ingatan... membacalah... pasti hasilnya tak merugikan... jauh berbeza dari saya yang baru menjengah awal tiga puluhan tetapi sudah ada ciri-ciri pelupa...
masa di sekolah, pusat sumber adalah 'syurga' saya... pantang punya masa terluang,  di situlah saya bertapa... pinjam meminjam tak usah dikira... adakala saya pinjam di waktu pagi, waktu petang sudah dipulangkan dan diganti dengan buku yang lebih tebal agar boleh dibawa baca hingga ke malam nanti...
duit saku sekolah yang bapa beri saya simpan untuk membeli buku cerita dari sebuah toko buku tak jauh dari kawasan rumah... hanya 50sen yang bapa beri tapi cukup untuk saya beli sebuah buku cerita tulisan Enid Blyton berharga rm2.50 yang kebanyakannya sudah diterjemah ke bahasa Melayu pada setiap hari Jumaat... biar perlu berjalan kaki sejauh 3 kilometer tapi penat itu tak terasa bila buku impian menjadi milik sendiri... ketika itu minat saya tertumpu pada kisah penyiasatan... siri Salma, siri Hadi, siri Tiga Penyiasat, siri Lima Sekawan dan siri Lima Penyiasat adalah antara buku-buku yang menjadi kegilaan saya... sampai sekarang semuanya masih berada dalam simpanan... akan dijual? tidak sama sekali kerana itulah antara harta kesayangan saya hingga ke akhir hayat nanti...
menginjak ke alam remaja, kisah-kisah cinta mula mengambil tempat... karya-karya Ahadiat Akashah, Zuraidah Othman dan Norhayati Berahim menjadi koleksi utama... tak ketinggalan karya-karya Tan Sri A. Samad Said, Dato' Aripin Said, Khadijah Hashim, Adibah Amin serta Keris Mas...semua ini tidak dibeli tetapi dipinjam berkali-kali dari pusat sumber sekolah lantaran duit saku sekolah hanya diberi rm1.00 oleh bapa tetapi dengan duit rm1.00 itu jugalah saya berjaya memiliki karya-karya yang lebih mahal dari karya-karya Enid Blyton yang berharga rm2.50...
ingat lagi saya, kali pertama membaca novel Salina karya Tan Sri A. Samad Said, tidak tidur malam jadinya kerana terlalu khusyuk membaca... sedih tapi punya banyak pengajaran... tak ketinggalan novel berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka... antara karya dari Indonesia yang tak jemu-jemu saya ulang baca sampai ke hari ini... 
melangkah masuk ke universiti, saya mula mengenali karya-karya Anis Ayuni, Fauziah Ashari dan Ramlee Awang Murshid... dan beliau (Ramlee Awang Murshid) berjaya membawa minat saya kembali ke dunia penyiasatan dan misteri... tiada karya beliau yang tidak saya baca dan yang terbaru, Sunan Musafir berjaya membuatkan saya menangis... satu penamat yang terbaik bagi sebuah kisah panjang yang sangat-sangat menyentuh hati...
sekarang, ramai sudah penulis yang lahir di dalam dunia penulisan dan semuanya saya akui punya kekuatan dan kelemahan masing-masing... begitu juga saya yang tak pernah menjangka akan terjebak dalam dunia ini walau masa kecil-kecil dulu pernah bercita-cita ingin menjadi sasterawati negara gara-gara terlalu obses pada karya-karya Tan Sri A. Samad Said!...
dan bila dikenang-kenang semula, semuanya bermula dari ajaran bapa... kerana bapa, saya mengenali dunia buku dan sedar, betapa indahnya hidup bila masa lapang dihabiskan dengan membaca, membaca dan membaca... kerana bapa kami adik beradik mengerti tentang kepentingan ilmu dan kegunaannya... kerana bapa juga kami menjadi pembaca tegar hari ini... semuanya kerana bapa, seorang lelaki biasa yang tak punya apa-apa tetapi bagi saya, dialah lelaki terbaik yang wujud dalam hidup saya selama ini...
sampai ke hari ini, saya masih memegang kata-katanya... kata bapa, dia tidak punya harta untuk diwarisi pada anak-anaknya tapi dia punya cara untuk memberi kami harta iaitu pengetahuan... dengan pengetahuan kami pasti mampu menjadi kaya... kaya harta benda, kaya budi bahasa, kaya agama, kaya segala-galanya... maka rajin-rajinlah menggali pengetahuan kerana itulah punca datangnya kekayaan kamu... terima kasih bapa atas segala ajaranmu... selamat hari bapa semua...







No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012