Bingit telinga saya bila berbual-bual dengan seorang makcik di kejiranan saya pagi tadi… susah benar hatinya bila ada antara anak-anaknya memilih untuk hidup sendiri dari berumahtangga… walau masing-masing sudah punya kerjaya tetap dan hidup bahagia di jalan sendiri tapi bukan itu saja impian orang tua… bak kata makcik, harta segunung takkan sama nilai seorang zuriat sendiri… senang cakap makcik memang berharap anak-anaknya yang berkahwin juga nanti… sebagai jiran yang paling hampir dengannya, saya hanya mampu menahan telinga… nak dijawab, makin berjela-jela bebelannya… tak dijawab dikata bertelinga batu pula… mahu tak mahu sabar sajalah…
Terfikir juga saya, kenapa susah benar seseorang itu menemui pasangan hidup di zaman serba canggih dan moden ini? bukan masalah memilih tetapi pasangan yang serasi dan boleh menerima diri seadanya sudah terlalu sukar untuk ditemui di zaman sekarang...
pernah arwah moyang bercerita... dia berkahwin pada usia yang cukup muda, 14 tahun... kata moyang, dia dan suaminya tidak pernah mengenali antara satu sama lain tetapi bahagia hidup bersama-sama selama hampir 90 tahun (moyang saya meninggal dunia ketika berusia 104 tahun)...kata moyang lagi, nama suaminya pun tidak dia tahu... nak bertanya? pantang orang-orang tua dulu anak dara berkisah tentang bakal suami...nak membantah? terasa juga mahu tetapi mengenang ayah moyang seorang lelaki yang tegas dan garang, mahu tak mahu moyang tetao kena terima...
menurut moyang, di zaman dia muda, segala-galanya serba kekurangan... tiada pili air, tiada elektrik, tiada dapur gas, tiada macam-macam benda moden...jadi semua kerja harus dilakukan dengan tenaga sendiri... membasuh baju di sungai, memasak nasi di dapur kayu, tidur berselimutkan kain guni, semua itu sudah menjadi lumrah dalam hidup seharian moyang... itupun belum dikira dengan kerja-kerja di sawah dan kebun... pendek kata seribu kerja menanti saat mata tercelik di waktu pagi hinggalah mata terpejam semula di malam hari...
zaman itu anak-anak muda tidak banyak bersekolah... bukan saja tidak berkemampuan tetapi banyak kerja yang harus dilakukan di rumah...jadi anak-anak muda banyak 'bersekolah' secara tidak formal dan guru-gurunya sudah tentulah ibu, ayah, nenek, atuk dan juga mereka lain yang lebih arif... memasak, mengemas, menganyam, menjahit, menyulam, itu antara kerja-kerja 'sekolah' yang harus dipelajari dan difahami oleh anak-anak dara manakala anak-anak lelaki juga tidak kurang...bukan anak lelaki namanya jika tidak tahu membelah kayu, mengerjakan sawah atau membaiki rumah...kerana itu anak-anak muda tidak susah untuk berkahwin muda kerana segalanya sudah mereka pelajari sejak kecil...
kata moyang, di zaman mudanya ada juga anak-anak muda yang saling bercinta tetapi masih dalam batas dan adab orang Melayu... jika terhalang, dengan rela hati mereka menerima pilihan orang tua dan menerima pasangan hidup seadanya walau ada kecewa dalam hati... tidak perlu berjanji setia, masing-masing sedar dengan tanggungjawab dan kewajipan diri sepanjang melayari bahtera rumahtangga walau bukan dengan pilihan sendiri... kerana itu terlalu payah kita mendengar orang-orang dulu berpisah hidup melainkan berpisah mati semata-mata...
di zaman sekarang, lain pula ceritanya... di usia 14 tahun hampir kesemua anak-anak muda masih di bangku sekolah walau ada juga yang mula bercinta di usia ini...kerana sibuk mencari ilmu di sekolah formal, ramai yang tercicir dalam mendalami ilmu rumahtangga... memasak, itu tugas ibu... mengemas, itu tugas pembantu rumah... menjahit, tak mustahil jika ada di antara anak-anak muda yang tidak tahu membezakan jarum menjahit dengan jarum mengait...
dek hambatan zaman moden, anak-anak muda sekarang lebih gemar mencari pasangan sendiri... jika ibubapa tidak bersetuju, cara termudah, larikan diri... jika tidak pun, paksa atau mengugut... mahu atau tidak, bersetuju sajalah orang tua walau hanya dengan separuh hati... lalu rumahtangga yang dibina sudah hilang separuh bahagia kerana tiadanya sepenuh restu dari ibubapa... ditambah dengan kesibukan mencari duit, tidak tahu memasak, tidak punya waktu terluang buat pasangan dan pelbagai ragam lagi menjadikan rumahtangga yang sedia longgar semakin bergoyang sebelum runtuh dengan sendiri... ada juga yang mampu bertahan sampai ke mati tapi selama bersama, berapa kerat sangat yang benar-benar bahagia?
jika di zaman dulu, suami dan isteri punya masa untuk bersama, tidak pula di zaman ini... nama saja keluar berdua tapi telefon di tangan tidak henti-henti berdering... belum dikira dengan masa yang dihabiskan di pejabat, dengan kawan-kawan, outstation dan lain-lain...
sememangnya ya zaman dahulu serba kekurangan dan tidak perlukan pelbagai perbelanjaan seperti di zaman sekarang tapi bukankah lebih baik sekiranya cara cinta yang disemai oleh orang-orang di zaman dulu diteladani oleh orang-orang di zaman sekarang? Jika isteri di rumah tidak pandai bergaya, suami yang sentiasa memandang wanita cantik di luar harus menegur sang isteri agar sama cantik dan sepadan meski tidak berkerjaya... isteri pula jika suami tak berkemampuan, bersyukurlah dengan apa yang ada dan terimalah segala pemberiannya dengan seikhlas hati...
apapun segalanya terpulang pada diri masing-masing... andai jika kedua-duanya saling memahami dan bertanggungjawab dengan kewajipan masing-masing, nescaya tak kira sama ada anda dijodohkan dengan pilihan sendiri atau ibubapa, pasti akan ada bahagia yang menghampiri... paling utama, terimalah pasangan kita seadanya dan salinglah lengkap-melengkapi antara satu sama lain... Isnya Allah, rumahku syurgaku akan wujud juga dalam rumahtangga kita sampai akhirat nanti...
No comments:
Post a Comment