Friday, June 22, 2012

pesan mak...


Sedar tak sedar Rejab sudah pun berlabuh dua hari lalu... kini tiba pula giliran Syaaban berkunjung datang... tak lama Ramadan bakal menjelang, diikuti Syawal dan bulan-bulan Islam lain seterusnya... hmm... cepat benar masa berlalu sekarang...
dulu, sewaktu tinggal bersama, mak selalu pesan... jangan lupa perbanyakkan ibadah di bulan Rejab, Syaaban dan lipatgandakan lagi di bulan Ramadan...
kata mak, ketiga-tiga bulan ini banyak nikmatnya berbanding bulan-bulan Islam yang lain... kata mak lagi, walaupun semua bulan Islam ada kelebihannya, jangan sesekali tinggalkan ibadah dalam ketiga-tiga bulan ini...sayang katanya...atas sebab apa mak kata begitu, saya tak tahu memandangkan waktu itu saya masih bergelar kanak-kanak ribena lagi...
tibanya Rejab, mak sudah sibuk dengan aktiviti ibadahnya... hampir setiap malam mak akan bangun bersolat di tengah-tengah malam... kadang-kadang bapa juga ikut serta tapi jarang-jarang sekali bapa dapat berbuat demikian kerana saya tahu... bapa penat bekerja di siang hari... lainlah mak yang sememangnya surirumah sepenuh masa...
selepas solat, mak akan membaca al-Quran... jika tidak mak akan membaca tasbih, berzikir atau menghafal segala doa yang ada...kerana kerajinan mak membaca Al-Quran dari muda, mak dapat menghafal hampir kesemua ayat-ayat Al-Quran tanpa perlu melihatnya terlebih dulu...mungkin itulah kelebihan yang mak dapat hinggakan walau sekarang penglihatan mak sudah kabur tapi mak tetap boleh membetulkan bacaan cucu-cucunya setiap kali mereka pulang bercuti ke kampung...mak juga tetap dengan aktiviti ibadahnya walau pernah mak mengalami katarak yang teruk... kata mak, apa guna hidup kalau tak dipenuhi dengan ibadah yang boleh membahagiakan kita seumur hidup...
saya bukanlah seorang yang kuat beribadah... malah sebagaimana mereka yang lain adakala saya juga terbabas untuk melakukan ibadah wajib... namun pesan mak membuatkan hati saya tidak tenteram.. saya juga bukanlah seorang anak yang mendengar kata ibubapa seratus peratus tetapi apabila mak tak pernah lupa meninggalkan pesan supaya bersolat malam setiap kali datang mak datang berkunjung membuatkan hati saya semakin ingin tahu apa kelebihannya bersolat malam... kebetulan saya pernah mengalami satu peristiwa yang menyakitkan dalam hidup... malah sampai sekarang saya masih tidak mampu melupakannya... dari mak, saya minta nasihat dan kata mak, bersolatlah di tengah-tengah malam... insya Allah segala masalah pasti hilang...
sebulan, dua bulan, akhirnya sedar tak sedar sudah hampir tiga tahun saya mengikut nasihat mak... dan benar seperti mak... solat malam itu sangat-sangat indah terutama bila dilakukan pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan... bertambah indah bila mana kita jadikannya sebagai amalan harian... ada saja perkara yang ingin saya luahkan pada Dia yang Satu...
sekarang, walau saya diserang pelbagai cabaran hidup, saya tetap boleh bertenang dan tersenyum walau hanya Allah saja yang tahu bagaimana hebatnya cabaran yang perlu dihadapi... memnag tak tak dinafikan adakala cabaran yang datang sangat-sangat menguji keimanan tapi balasan atas kesabaran dan kerajinan melakukan solat malam berjaya mengatasinya...benar kata mak... semuanya datang dari Allah maka dari Dia jugalah kita perlu meminta...
syukur kepada Allah kerana memberi ibadah sebegini istimewa kepada umat Islam... terima kasih juga pada mak yang sampai sekarang tetap juga tidak jemu-jemu menasihati kami supaya bangun ebrsolat tengah malam...dan kata mak sebelum bertolak pulang ke kampung petang tadi, jika tidak mampu lakukannya dengan rela, lakukannya dengan rasa terpaksa... sambil itu berdoalah supaya Allah bukakan hati kita untuk melakukannya dengan ikhlas... Insya Allah... pasti Allah akan mengabulkannya... tak percaya? cubalah amalkannya... moga kita sama-sama merasa nikmatnya suatu masa nanti...amin...

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012