BAB 9
“Wardah, abang minta maaf,” suara
Encik Fatih pagi itu. Dia memandang wajah tenang sang isteri yang berdiri
bertentangannya.
Puan Wardah yang sedang membetulkan
kedudukan tali leher lelaki itu tersentak kecil.
“Minta maaf? Kenapa tiba–tiba saja
abang minta maaf?” tanya wanita itu sedikit terpinga.
Tidak mengerti dengan maksud kata-kata
itu. Wajah muram suami tercinta dipandang lama.
Encik Fatih mengeluh panjang.
Jari–jemarinya mencapai jari–jemari isterinya sebelum dibawa ke dalam
genggamannya. Mengelusnya lembut.
“Abang minta maaf Wardah. Dah sepuluh
tahun kita berkahwin tapi tak ada sehari pun kebahagiaan yang abang boleh
berikan pada Dah. Setiap hari Dah berendam air mata dengan sikap mak mertua
abang.” suaranya sayu.
Titisan embun telah lama menitik
tatkala Encik Fatih tiba di rumah malam tadi. Seluruh ahli keluarganya telah
lama terbuai di alam mimpi. Dan sewaktu dia membaringkan tubuh di katil, dia
terperasan airmata yang masih berbekas di pipi sang isteri. Kesan sendu yang
mendatang sebelum wanita itu terlelap dalam tangisannya.
Dalam diam Encik Fatih menyesali diri.
Dia tidak pernah dapat membahagiakan isterinya seperti mana yang dirasai oleh
kebanyakan wanita dalam dunia ini.
Puan Wardah tersenyum kecil. Ditarik
tangan lelaki itu sebelum mereka sama–sama melabuhkan punggung di birai katil.
“Abang, kenapa abang cakap macam tu?
Dah tak rasa pun abang tak bahagiakan Dah. Dah cukup bahagia hidup di sisi
abang, dengan anak–anak kita. Walau pun mereka semua bukannya anak kandung Dah
tapi Dah sayang mereka lebih dari nyawa Dah sendiri.
Macam tu juga dengan mak abang. Walau
pun dia mak mertua abang tapi dia juga mak mertua Dah. Dah tak pernah menyesal
berkahwin dengan abang.” Puan Wardah bersuara lembut, cuba menghilangkan gundah
yang bersarang di hati lelaki itu.
Encik Fatih mengeluh panjang.
“Abang tahu semua itu Dah tapi abang
sedar, dari mula kita berkahwin hingga sekarang, abang tak pernah bahagiakan
Dah. Sebaliknya abang lebih banyak menyusahkan Dah,” lirihnya.
Matanya masih menongkah di wajah
wanita itu yang segera mengukir senyuman. Menyejukkan hatinya yang masih
diterpa rasa bersalah.
Puan Wardah tidak menyahut.
Perlahan-lahan wajahnya diselaputi muram.
“Sepatutnya Dah yang minta maaf pada
abang sebab Dah tak mampu bagi abang anak.” Suara Puan Wardah sayu. Kepalanya
ditunduk sedikit.
“Wardah, berapa kali abang dah kata,
jangan di ungkit lagi tentang perkara ni. Abang tak suka. Bukankah Dah sudah
janji dengan abang? Apa Dah sudah lupa?” tingkah Encik Fatih sedikit tegas namun
lembut.
Dia sekadar menegur wanita itu. Tidak
mahu membangkitkan semula perkara yang telah lama berlalu.
“Dah minta maaf bang tapi entahlah,
adakalanya hati Dah terusik bila terfikirkan tentang perkara ni,” balas Puan
Wardah perlahan.
Untuk seketika Puan Wardah
terkenangkan kemalangan yang pernah dilaluinya. Kemalangan yang telah meragut
kebahagiaannya. Kemalangan yang tak mungkin dilupakannya sehingga akhir hayat.
Encik Fatih menarik nafas panjang.
“Sudahlah tu Wardah, jangan bersedih
lagi. Abang tak mahu Dah fikirkan lagi perkara yang dah lepas tu. Biarlah semuanya
berlalu pergi.”
Encik Fatih kembali bangun dari
duduknya. Mengadap tubuh ke cermin. Membetulkan kedudukan baju kemeja yang
tersarung di tubuh.
“Oh ya Dah, malam ni abang balik lewat
sikit. Abang nak siapkan kerja–kerja abang kat resort tu,” ujar Encik Fatih
kembali memalingkan wajah. Dia tersenyum kecil pada isterinya yang turut serta bangun.
Puan Wardah mengangguk kecil. Mengukir
senyuman semanis mungkin buat suami tercinta. Menyambut huluran tangan Encik
Fatih sebelum mengucup lembut tangannya.
Saat Encik Fatih menghilang dari balik
pintu Puan Wardah masih lagi berdiri di situ. Mengenang kisah dulu yang pernah
menghiasi masa silamnya. Puan Wardah hilang seketika dalam dunia khayalannya.
“So, awak dah faham dengan tugas awak
sekarang Ain?” tanya Farhan sebaik selesai menerangkan segalanya.
Dia bersama Nuraini berada di bilik
pejabatnya ketika ini bagi membincangkan tentang projek yang baru diterima
syarikatnya beberapa hari lalu.
Nuraini mengangguk kecil.
“Saya harap awak dapat lakukan yang
terbaik untuk projek ini Ain. Ini adalah projek besar pertama yang saya berikan
pada seorang pereka grafik yang baru mengenal dunia pekerjaan seperti awak.
Walau pun syarikat saya ni kecil tapi bagi saya hasil kerja yang dihasilkan
haruslah standing dengan syarikat–syarikat gergasi yang sedia ada,” ujar Farhan
lagi.
Kata-kata itu menusuk jauh ke ruang
telinga Nuraini. Gadis itu mengangguk lagi. Tanda faham.
“Insya Allah Encik Farhan, saya akan
melakukan yang terbaik untuk projek ini. Saya takkan mensia–siakan peluang yang
Encik Farhan berikan pada saya,” penuh bersemangat Nuraini bersuara. Tangannya
turut membantu Farhan mengemas helaian kertas yang berselerakan di meja antara
keduanya.
“So,
macam mana keadaan awak setelah beberapa lama awak bekerja di sini? Maksud
saya, dari segi hubungan awak dengan rakan–rakan sepejabat, suasana sekeliling
dan sebagainya. Ada sebarang masalah yang timbul di luar pengetahuan saya?”
soal Farhan setelah segalanya kembali tersusun rapi. Matanya melekat sejenak di
wajah manis itu.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya
okey. Saya gembira dan seronok bekerja di sini. Semua pekerja melayan saya
dengan baik. Hubungan kami juga semakin rapat. Itu sudah cukup menggembirakan
saya. Jarang ada syarikat yang mempunyai hubungan yang sebegini erat apatah
lagi dalam keadaan pekerjanya mempunyai pegangan agama dan bangsa yang
berlainan,” ujar Nuraini meluah rasa hati.
Bahagia dengan apa yang dilaluinya
ketika ini. Menatap wajah Farhan yang mengangguk kecil.
“Itulah sebenarnya aspek terpenting
yang perlu ada dalam semua syarikat Ain. Tolak ansur, bekerjasama, saling
memahami dan saling menghormati adalah antara budaya yang perlu kita terapkan
dalam sesuatu komuniti tak kiralah syarikat ke, masyarakat ke. Barulah kita
boleh menjadi kuat dan kukuh,” sahut Farhan. Berbangga dengan sikap yang
ditonjolkan oleh setiap pekerjanya.
“Betul kata Encik Farhan tu. Jarang
ada syarikat yang mampu mengekalkan semua itu di zaman sekarang, terutamanya
syarikat-syarikat yang berada di bandar-bandar besar,” sambut Ain bersetuju
dengan kata–kata lelaki itu.
“Hmm, dah terlanjur kita berbual ni,
tak sedar dah masuk tengah hari pun,” suara Farhan saat matanya terpandang jam
di pergelangan tangannya.
“Ya tak ya Encik Farhan. Dah masuk
waktu tengah hari pun,” sambut Nuraini turut sama mengalih mata pada jam di
pergelangan tangannya sejenak sebelum kembali tertancap di wajah ketuanya.
“Awak tak keluar makan ke Ain?” Mata
Farhan kembali menombak wajah gadis itu. Tangannya menolak fail yang berada di
depannya ke tepi meja.
Nuraini menggeleng perlahan seraya
tersenyum sedikit.
“Tak Encik Farhan. Saya bawa bekal,” sahutnya hormat.
Kepala Farhan terangguk kecil.
“Rajin awak bawa bekal. Tak apalah,
kalau macam tu saya keluar dulu. Awak tolong tengokkan apa–apa yang patut
sepanjang ketiadaan saya ni ya,” suara Farhan lagi memandang sekilas wajah
gadis itu.
Dia bangun dari duduknya. Membetulkan
kedudukan baju kemeja yang tersarung di tubuhnya sebelum mula menapak keluar.
“Baiklah Encik Farhan,” balas Nuraini
turut bangun. Dia melangkah seiringan bersama ketuanya keluar dari bilik itu.
No comments:
Post a Comment