Wednesday, November 28, 2012

Kehilangan...


Pernahkah sesiapa di antara kita yang kehilangan sesuatu? Berharga? Bernilai? Tidak punya sebarang kepentingan? Hmm… biar apapun harganya di mata kita, tak ada sesiapa di dalam dunia ini yang tidak pernah kehilangan sesuatu sepanjang hayatnya… jika bukan harta benda, orang kesayangan atau boleh jadi ianya berbentuk perasaan mahupun impian kerana kehilangan bukan dipandang dari sesuatu yang berbentuk fizikal atau material semata-mata bahkan meliputi segala-gala yang mampu kita nilai dan rasai…
Jika tidak merasa sayang, maka tidaklah kita merasa kehilangan… benar kata orang, cinta itu memainkan peranan utama dalam hidup kita… tanpa cinta, kita tidak rasa apa-apa dan bila tiada cinta, kita juga tidak rasa kehilangan kerana kita sayang pada sesuatu yang telah kita kehilangan… kerana itu rasa cinta seringkali berkait rapat dengan kehilangan mahupun selain darinya…
Bernilai atau tidak sesuatu itu, semuanya bergantung kepada tahap cinta kita terhadapnya… ada orang sangat menyayangi kereta melebihi kasih sayangnya terhadap keluarga sendiri… ada pula yang begitu mencintai hobi hingga tidak peduli dengan kata-kata orang sekeliling… pendek kata, semuanya memang bergantung pada rasa cinta yang ada dalam hati kita…
Biar apapun yang kita miliki, haruslah kita ingat, semuanya perlu kita letakkan rasa cinta walau hanya sedikit kerana jarang kita mendapat peluang untuk memiliki sesuatu yang telah kita hilang buat kali kedua… tak kiralah jodoh, kerjaya, harta benda mahupun jiran tetangga, hargailah apa yang ada di depan mata kita kerana kita tidak tahu dan jarang mengambil tahu bila masanya kita akan kehilangan semua yang masih ada di depan mata kita…
Juga jangan lupa, jangan terlalu membenci kerana suatu masa apabila kita semakin dewasa dengan keadaan hidup yang kita hadapi, kita sendirinya akan menyedari bahawa kehidupan ini penuh dengan onak dan duri… maka tidak mustahil sesuatu yang kita benci itu akan berubah menjadi sayang dan kerana kehilangannya, maka kita akan menyesal buat seumur hidup meskipun peluang kedua terbuka di suatu ketika…
Usah lupa, semua makhluk Allah dalam dunia ini takkan terlepas dari melakukan kesilapan dan kebanyakan dari kesilapan itulah yang akan menyedarkan erti kasih sayang dan kehilangan yang sebenarnya… jadi usah abaikan apa yang kita ada… sentiasalah tanamkan rasa sayang walau secebis pada apa yang wujud di sekeliling kita… ingat, berkongsi kasih sayang itu adalah sejuta kali lebih baik dari merasa seorang…

Monday, November 19, 2012

BERSATU DALAM CINTA: BAB 7

BAB 7

LAJU berus kecil di celah jari-jemarinya memalit warna di atas kanvas itu. Tangkas lagi penuh cermat. Sambil itu matanya sesekali mengerling sekeping gambar yang diselit di sudut atas kanvas. Memerhati dengan penuh teliti agar hasilnya mampu menghasilkan kekaguman bukan saja buat dirinya. Tetapi juga pada setiap mata yang memandang.
Penat dengan keadaan itu Wafi meletak semula berus lukisan ke bekasnya. Digerak sedikit tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Membuang rasa lenguh di tubuh yang sejak tadi tekun menyiapkan lukisan kesayangannya.
Sedangkan mata masih merayapi dada lukisan yang baru separuh kelihatan hasilnya itu. Dia tersenyum sedikit. Bangga dengan hasil kerja yang masih banyak kekurangannya itu sebelum matanya teralih pada komputer di satu sudut bilik. Terus dia teringat sesuatu.
Segera dia menapak ke meja. Melabuh punggungnya di situ sebelum satu butang ditekan. Tidak lama komputernya sedia diguna. Pantas dia membuka ruangan e-mel. Membaca setiap pesanan yang diterima.
Dia tersenyum semula tatkala membaca satu e-mel kiriman Sakinah Ghamidi. Telah lebih sepuluh tahun wanita berbangsa Arab itu dikenalinya. Satu-satunya sahabat baik paling rapat dan mesra dengannya.
Meskipun mereka berlainan bangsa biarpun di bawah satu panji agama, namun semua itu tidak pernah melonggarkan tali persahabatan mereka. Malah semakin kejap setelah wanita itu berpindah mengikut suaminya menjalankan perniagaan di Arab Saudi sejak tiga tahun lalu.
Hampir setiap minggu mereka berhubung walaupun hanya sekadar di alam maya. Sesekali surat dan poskad menjadi penghubung mereka. Sering kali wanita itu mengirimkan dia pelbagai jenis gambar mahupun poskad menarik bagi diabadikan di kanvas Wafi. Dan menjadi tanggungjawab Wafi untuk menyiapkannya.
Kemudian hasil lukisannya itu akan dihantar pada Sakinah untuk dijual mahupun dipamer di luar negara. Bersuamikan seorang pemilik galeri seni lukisan terkemuka di Arab Saudi menjadikan tugas Sakinah untuk memasarkan setiap lukisan Wafi begitu mudah. Apatah lagi wanita itu sendiri begitu meminati seni lukis meskipun tidak sedalam minat Wafi terhadap bidang itu.
Bunyi ketukan di muka pintu menyentak keluar Wafi dari lamunannya. Gerak tangannya di komputer juga turut terhenti. Segera dia berkalih wajah.
Puan Ainun sudah melangkah masuk ke dalam. Dia tersenyum panjang.
“Ada apa mak?” soal Wafi lembut.
“Ini hah, ayah kamu belikan kamu set berus lukisan yang baru. Dia kata dia tengok kebanyakan berus lukisan kamu yang ada sekarang ni dah rosak bulunya. Jadi dia belikanlah yang baru,” ujar Puan Ainun lalu menghulur sebuah kotak kayu bersaiz kecil pada gadis itu. Pantas Wafi menyambut gembira seraya mengucap terima kasih.
“Kenapalah ayah susah payah belikan yang baru untuk Wafi? Wafi boleh keluar beli sendiri nanti,” sahutnya benar-benar terharu dengan kebaikan lelaki itu. Lama dia membelek setiap satu berus yang kini telah berpindah ke tangannya.
“Alah, apa salahnya kalau ayah kamu tolong belikan pun. Dah kebetulan masa dia melalui satu kedai lukisan kat Kuala Lumpur sana tu dia nampak ada berus lukisan yang Wafi selalu guna ada dijual kat situ, dia pun singgah belilah. Lagipun kamu kan belum biasa dengan kawasan sini. Jadi dia belikanlah untuk kamu,” ujar Puan Ainun menyahut lembut.
“Kamu tengah buat apa ni?”
Mata Puan Ainun beralih sejenak pada skrin komputer berdepan gadis itu. Menjadikan mata Wafi turut beralih ke arah sama. Baru teringat pada perkara yang sedang dilakukannya ketika ini.
“Tak buat apa mak. Cuma baca e-mel yang dihantar Sakinah aje,” sahut anak gadis itu.
“Sakinah? Kawan baik kamu masa di universiti dulu tu ke? Dia buat apa sekarang?” soal Puan Ainun teringat pada Sakinah, satu-satunya sahabat baik anak gadisnya sejak mereka berada di tahun pertama universiti di Morocco lagi. Sahabat tempat Wafi mencurah segala suka duka biarpun tak sepenuhnya.
“Dia sekarang ni mengajar kat salah sebuah kolej swasta kat Arab Saudi sana tulah mak, buat apa lagi,” sambut Wafi menjeling sekilas e-mel wanita itu yang masih terpapar di skrin komputernya.
“Lama mak tak jumpa dengan dia. Sejak dia kahwin dengan Tok Arab tu lima tahun lepas, dah jarang benar dia datang menziarah kita. Dah berapa orang anak dia?”
“Dah dua pun mak. Seorang lelaki dan seorang perempuan.”
“Alhamdulillah, dah dua orang anak dia ya. Senang hati mak mendengarnya.” Puan Ainun tumpang gembira dengan kehidupan bahagia yang dilalui Sakinah yang telah lama dianggap seperti ahli keluarganya sendiri.
“Dia dah dua orang anak, sepasang pulak tu. Tak tahulah bila pulak anak mak ni nak ada anak,” sambung Puan Ainun sekadar bergurau. Menatap wajah tenang anaknya.
Wafi sekadar tersenyum hambar. Dia langsung tak berminat untuk menyahut dalam tajuk yang tidak pernah melintas walau seketika di hatinya selama ini.
“Hmm... tak apalah Wafi, kalau kamu nak balas e-mel pada kawan kamu tu nanti, tolong sampaikan sekali salam mak pada dia ya. Bagitahu dia, ada masa datanglah melawat kita di Malaysia ni,” pesan Puan Ainun.
Hambar dek sambutan dingin gadis itu. Mengerti Wafi tidak berminat untuk meneruskan perbualan mereka ketika ini. Apatah lagi tajuk yang dikemukakannya merupakan tajuk yang tidak pernah mendapat tempat di hati gadis itu sejak dulu.
“Oh ya Wafi, nanti bila dah habis kerja kamu tu, turun ke bawah ya. Bolehlah kita makan tengah hari sama-sama,” tambah wanita itu lalu menghayun langkah ke luar bilik. Menuju ke tingkat bawah.
Wafi hanya mengangguk. Dia memandang lama tingkah Puan Ainun sebelum kembali menghadap komputer. Membalas e-mel Sakinah seadanya. Sedangkan kepalanya masih ligat memikirkan gurauan si emak sebentar tadi. Sedikit terusik dengan gurauan itu. Membuatkan hatinya menangis sendiri ketika itu.

“AYAH, boleh Along tanya sesuatu?” soal Ammar pada suatu petang.
Ketika itu dia bersama ahli keluarganya berada di laman rumah. Menikmati minum petang bersama-sama. Ainul pula sudah keluar bertemu kawan-kawannya.
“Ada apa Am?” soal Encik Azmi.
“Kenapa ayah bagi projek perumahan ayah dan Ayah Zali tu pada Ainul?”
“Kenapa? Ada yang tak kena ke?” Soalan anaknya dibalas dengan soalan juga. Manakala matanya sudah melekat di wajah anak sulungnya. Ammar tersenyum kecil.
“Bukanlah begitu ayah tapi ayah tak rasa ke keadaan tu hanya akan menyusahkan Ainul dan Alia aje?”
“Kenapa pulak kamu cakap begitu?” Pertanyaan Encik Azmi mengundang senyuman lebar lelaki itu. Dibalas pandangan ingin tahu si ayah seadanya.
“Ayah tahu, baru-baru ni Lily ada beritahu Along. Ainul dan Alia bergaduh besar ketika bertemu untuk berbincang pasal projek ayah dan Ayah Zali tu. Hampir sejam dia orang bertekak depan semua orang kat dalam restoran. Yang seronoknya kata Lily, dia orang bertekak bukan pasal projek tu tapi pasal rumah tangga dia orang yang dah lama runtuh tu. Masing-masing saling tuduh-menuduh. Macam melepas geram pun ada kata Lily. Seorang kata begini, seorang lagi pula kata begitu.
Lastnya, Alia dah bengang sangat dengan Ainul, disimbahnya air oren ke muka si Ainul sebelum terus heret Rina balik ke pejabat Ayah Zali. Yang Ainul pulak mengamuk aje dalam perjalanan balik ke pejabat. Berbakul-bakul sumpah seranahnya diberi pada Alia. Kasihan Lily, tak pasal-pasal kena dengar bebelan Ainul sepanjang duduk dalam kereta tu. Lain yang patut dibincang, lain pulak yang dia orang bincangkan.”
Ammar tersenyum lagi seraya menggeleng. Geli hati setiap kali teringatkan cerita yang disampaikan setiausaha Ainul kepadanya beberapa hari lalu.
“Hai, sampai begitu sekali dia orang berdua bergaduh? Biar betul Ainul dan Alia ni,” sampuk Puan Hayati turut menggeleng mendengar cerita anaknya.
Terkejut bercampur hairan. Terkejut dengan apa yang berlaku. Hairan dengan tindakan Ainul dan Alia yang ternyata tidak pernah terfikir akan dilakukan keduanya selama ini.
“Apa nak kata mak. Adat perangai manusia dalam dunia begitulah. Waktu tengah sayang, semuanya nampak baik dan elok belaka. Bila dah benci, tersentuh bahu sikit pun dah berangin satu badan,” sahut Ammar.
Wardina di sisinya hanya mengulum senyuman tanpa meluah sepatah kata. Sesekali mata wanita itu beralih pada anak-anak mereka yang girang bermain sesama sendiri di hujung laman. Mengawasi dalam diam.
“Ayah belum jawab pertanyaan Along tadi. Kenapa ayah bagi projek tu pada dia orang?” Ammar kembali mengulangi soalannya selepas itu.
Memandang Encik Azmi berdehem sedikit sebelum membuka mulut.
“Sebenarnya Along, ada sebab ayah dan Ayah Zali kamu serahkan projek tu pada Ainul dan Alia. Dah lama kami berhasrat nak satukan semula adik-adik kamu tu. Harapan kami dia orang boleh menjadi suami isteri semula seperti dulu. Walaupun sekarang ni mereka saling membenci tapi sebagai orang tua, kami boleh baca yang mereka sebenarnya masih saling sayang-menyayangi.
Cuma masing-masing terlalu ego dan tak mahu beralah menyebabkan dia orang bermusuhan sampai ke hari ni. Kalau tidak, kenapa mereka tak kahwin semula biarpun dah berkali-kali kita suruh dia orang berbuat demikian? Jadi ayah rasa mungkin apabila mereka bekerjasama seperti dulu hati mereka akan terbuka untuk saling memaafi selepas ini.” Lembut Encik Azmi memberi penerangan.
Ammar pula terus melakar kerutan di dahi.
“Tapikan ayah, Along tak fikir cadangan ayah dan Ayah Zali tu boleh berjalan lancar seperti yang ayah berdua harapkan. Yalah, kalau dah kali pertama berjumpa pun dia orang dah bertekak sampai satu restoran pun terpegun melihat aksi spontan dia orang, inikan pula nak buat projek besar macam tu sama-sama.” Penuh risau Ammar meluah ketidakyakinannya.
“Itu betul tapi tak salah rasanya kalau kita mencuba bukan? Manalah tahu pertemuan pertama ni bermula dengan pergaduhan, pertemuan kedua pulak dah tak begitu dan pertemuan seterusnya dia orang semakin berbaik. Manalah kita tahu, kan?” Begitu yakin Encik Azmi meluah harapannya yang turut menjadi harapan mereka semua selama ini.
“Kalau tak berbaik sekalipun adik-adik kamu tu, sekurang-kurangnya mereka boleh meluah isi hati mereka selama ini. Waktu inilah baik Ainul mahupun Alia boleh luahkan apa yang mereka simpan untuk satu sama lain. Mungkin dengan cara itu masing-masing baru sedar kesilapan sendiri dan akhirnya mereka akan berbaik semula selepas ini.” Ternyata begitu tinggi harapan Encik Azmi buat kedua-dua anak dan bekas menantunya. Harapan untuk melihat keduanya bersatu semula seperti sediakala.
“Betul kata ayah kamu tu Along. Mungkin hanya dengan cara ini mereka boleh bersatu semula. Mak sendiri yakin, adik-adik kamu tu sebenarnya masih lagi saling sayang-menyayangi. Tapi itulah. Nama pun orang muda, suka benar ikut perasaan kalau nak buat apa-apapun. Langsung tak terima pendapat akal. Pendapat orang tua jauh sekalilah. Bila dah jadi macam ni, kita yang melihat keadaan dia orang pulalah yang sakit mata dibuatnya,” celah Puan Hayati pula. Sependapat dengan suaminya biarpun kesal dengan keadaan yang dilalui kedua-dua anaknya selama ini.
“Apapun sebagai orang yang lebih tua dari mereka, kita kenalah berdoa yang terbaik buat mereka. Kita tak boleh biarkan mereka berkeadaan begitu aje sampai bila-bila. Nak tunggu dia orang sedar sendiri, rasanya sampai kiamat pun Ainul dan Alia tak berbaik. Maklumlah, seorang ego tinggi melangit, yang seorang pula keras kepala, langsung tak mahu beralah,” ujar Encik Azmi lagi menggeleng-geleng.
Sedangkan mereka yang lain hanya mengangguk kecil. Setuju dengan kata-katanya.

DIHEMPAS lembut beg tangannya ke atas tilam. Manakala tubuh letihnya turut dihumban ke tempat sama. Dia mendudukkan diri di birai katil. Lalu membuang nafas panjang. Cuba meleraikan apa yang sedang berselirat di mindanya ketika ini.
Bukan dirinya yang menjadi subjek utama pemikirannya tetapi kerjaya dan perkara yang sedang dilakukannya ketika ini. Menyebabkan mindanya tidak betah berhenti dari berpusing ligat sepanjang masa.
Damia baru berkira-kira nak merebah tubuh ke tilam tatkala tak semena-mena bayangan seseorang menerpa masuk ke dalam kepala. Tidak menunggu lama, dia segera mencapai telefon bimbitnya. Laju jari-jemarinya menekan butang-butang yang sedia ada. Menelefon seseorang. Tak lama panggilannya disambut.
“Assalamualaikum...” Damia menyapa lembut.
“Mimpi apa kamu telefon nenek ni?” Suara Nenek Tijah kedengaran melangsing tinggi. Namun salam gadis itu tetap dijawab baik. Damia tersengih kelat.
“Mana ada Mia mimpi apa-apa pun nek. Nek sihat?” Sambil merebah tubuh ke tilam dia bertanya khabar. Meniarap seraya menatap dinding bilik.
“Alhamdulillah, belum lagilah ada tanda-tanda nak mati setakat ni. Kenapa? Kamu dah siapkan kain kapan untuk nenek ke?” Sindiran Nenek Tijah menjadikan senyuman gadis itu bertambah kelat. Dia menyeringai panjang.
“Nek ni, tak baik tau cakap macam tu. Mia selalu doa mintak nenek dipanjangkan umur,” sahutnya selembut mungkin. Cuba meredakan kemarahan orang tua itu.
“Huh, buat apalah panjang umur kalau setakat nak jadi guard tak bergaji kat rumah ni. Bukannya ada sesiapa pun nak datang menjenguk. Ada anak menantu, duduknya jauh benar, Kuala Lumpur sana.
Ada cucu pun bukannya ingat lagi dah jalan nak balik ke sini. Maklumlah, dah lama sangat tinggal kat luar negara sana nun. Daripada tercongok sorang-sorang aje, baik terus tak ada dalam dunia ni. Taklah menyusahkan anak cucu nak balik kampung menjenguk selalu.” Suara Nenek Tijah kedengaran begitu selamba. Namun berjaya membuatkan hati Damia dicuit hiba.
“Nek, janganlah cakap macam tu. Sedih Mia dengar. Mia tahulah Mia dah lama tak jenguk nenek tapi itu tak bermakna Mia tak sayang nenek. Mia sayang sangat nenek. Gila-gila sayang tapi apa nak buat nek, Mia sibuk dengan kerja.” Sebak dia membalas.
Dia kembali mendudukkan diri di birai katil. Berjuntai kaki.
“Yalah tu kamu. Orang lain pun sibuk jugak tapi masih ada masa nak tengok orang tua kat kampung. Sudahlah duduk luar negara tu bertahun-tahun, dah balik Malaysia pun masih tak datang jumpa nenek. Apa gunalah kamu hantar duit banyak-banyak kat nenek setiap bulan.
Bukannya nenek boleh peluk semua duit tu macam nenek peluk kamu macam yang selalu nenek buat pada kamu masa kamu kecil dulu. Orang tua macam nenek ni dah tak perlukan semua tu. Nenek cuma nak perhatian dan kasih sayang dari kamu saja, bukannya harta benda.
Tapi kalau itupun kamu tak boleh bagi, apa yang nenek boleh buat. Duduk tercongok sajalah dalam dunia ni sorang-sorang sampai malaikat maut datang menjemput pergi.”
Suara Nenek Tijah sudah diselubungi duka. Dia teresak kecil. Sekali gus menjemput juga air mata Damia. Gadis itu turut teresak.
“Nek, janganlah nangis. Mia janji, Mia akan balik nanti. Mia cuba untuk selesaikan semua kerja Mia secepat mungkin. Mia janji nek. Mia akan balik ke kampung jugak nanti.” Dalam tangisan dia bersuara.
Memang itulah kelemahan Mia. Pantang baginya mendengar tangisan wanita tua yang telah bersusah-payah membesarkannya sejak pemergian kedua-dua orang tuanya itu. Pasti dia sendiri turut teresak hiba.
“Ikut suka kamulah Mia. Nenek tak paksa. Kamu balik ke tidak, sama aje pada nenek. Bukannya nenek tak biasa duduk sorang-sorang selama ni. Sejak kamu lahir, nenek jaga kamu sampai kamu ke sekolah menengah aje. Dah habis sekolah kamu pergi pulak ke luar negara bertahun-tahun. Ada ke tidak kamu kat sisi nenek, serupa aje. Tak ada bezanya.” Nenek Tijah kembali menenangkan diri.
Air mata yang masih berbaki di pipi berkedutnya dilap dengan hujung baju kurungnya.
“Dahlah Mia, lain kali sajalah kita berbual ya. Nenek nak pergi halau kambing pulak ni. Dah nak masuk Maghrib ni. Kamu tu pun jangan bekerja kuat sangat. Ingat sama kesihatan kamu tu. Solat jangan ditinggal-tinggalkan. Tiang agama tu. Tak bersolat bermaksud kamu tak jaga agama,” pesan Nenek Tijah panjang lebar. Penuh tegas.
“Nek,” panggil Damia sebelum sempat wanita tua itu meletak gagang.
“Apanya?” tanya wanita tua itu sedikit tinggi.
“Mia sayang nenek.” Sepenuh hati bersalut sayu Damia meluah kata-kata itu.
“Yalah, nenek tahu. Nenek pun sama,” sahut wanita itu sebelum memberi salam.
Damia menjawab seadanya. Perlahan-lahan telefon bimbitnya diletak semula ke atas tilam. Dia menangis lagi. Penuh hiba. Perlahan-lahan dia membaring tubuh ke tilam. Telefon di tangan dibawa rapat ke dada.
“Ya ALLAH, ampunkan aku kerana melupai nenek yang banyak menabur jasa dalam hidupku. Sesungguhnya tiada niat di hatiku untuk melupakan dia. Jauh sekali mengabaikan tanggungjawabku terhadapnya. Tapi apakan daya, tuntutan kerja memaksa aku menahan rasa rindu untuk melawatnya buat beberapa lama lagi.” Dalam hiba Damia merintih sedih.
“Ya RABBI, lapangkanlah masaku untuk menemui nenek yang begitu aku sayangi. Jauhkan diriku dari terlalu mengejar harta dunia hingga membuatkan aku mengabaikan tanggungjawabku pada mereka yang aku sayang.
Sesibuk manapun diriku membantu manusia-manusia lain menyelesaikan masalah kehidupan mereka, KAU lapangkan masaku buat mereka yang begitu menyayangiku selama ni. Apatah lagi mereka telah banyak menabur jasa buat kejayaanku. Sentiasalah KAU ingatkan aku tentang tanggungjawab aku terhadap mereka. Sesungguhnya aku sayang mereka semua Ya ALLAH, terlalu sayang.” Damia menangis lagi bila meluah kata-kata itu. Penuh kesungguhan.
Sedangkan hati semakin digayuti rasa bersalah yang semakin mendalam. Bersalah memikirkan tentang kealpaan sendiri. Alpa dalam menjalankan tanggungjawab sendiri pada mereka yang begitu disayanginya. Menjadikan air mata Damia semakin lebat berjuraian waktu ini. 

SETIAKU DISINI : BAB 6

BAB  6

“Kau orang ni memang jenis tak sedar diri. Orang dah ambil bela pun dah cukup baik. Jangan kata nak beradab sopan, nak berterima kasih pun tak tahu. Entah dari mana dikutip pun tak tahulah!” suara lantang Nek Zaitun kedengaran hingga ke luar rumah.
Sekaligus mempercepatkan langkah Farhan yang baru sahaja memakirkan kereta di laman rumah. Bergegas menapak menuju ke dalam.
“Tak baik mak cakap begitu. Dia orang ni budak–budak lagi. Sepatutnya kita yang lebih dewasa ni menunjukkan contoh yang lebih baik, bukannya menghina mereka jika mereka buat salah,” kedengaran suara Puan Wardah meningkah agak keras.
Matanya membalas lembut pandangan tajam Nek Zaitun terhadapnya. Manakala kedua tangannya direntang luas. Melindungi kedua Fakhira dan Fadlan yang tertunduk ketakutan di belakang tubuhnya. Bimbang kiranya wanita tua itu melakukan sesuatu yang berada di luar jangkaannya terhadap kedua kanak-kanak itu sepertimana yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Nek Zaitun menyinga marah seraya mencekak pinggang.
“Hei, betullah kata aku tu. Kalau tak kerana mereka, rumah ni pun tak jadi macam neraka. Kerana kedatangan kau dengan budak–budak tak guna nilah yang membuatkan rumah ni dah tak pernah aman lagi. Semuanya berlaku sebab Fatih membela manusia–manusia seperti kau orang yang tak tahu di untung, hidup menyusahkan orang saja. Patutnya..,”
“Nek!” sergahan Farhan yang tiba–tiba muncul di ruang tamu rumah mengejutkan semua. Sekaligus mematikan kata–kata wanita itu.
“Cukuplah tu!” tegas Farhan bersuara.
Ada ketegangan yang membalut wajahnya. Tajam matanya menyoroti wajah tua itu.
“Huh,”
Hanya itu yang terluah di bibir Nek Zaitun sebelum wanita berusia lewat 70an itu berlalu ke tingkat atas. Sempat dia menjeling tajam pada Fadlan dan Fakhira yang kembali menunduk ketakutan saat wanita itu melewati keduanya.
Pandangan Farhan kembali terarah pada Puan Wardah yang turut terdiam kata. Ada sendu di wajah itu. Mereka saling berbalas pandangan sejenak sebelum Puan Wardah berlalu ke ruang dapur.
Untuk seketika suasana menjadi sepi. Hanya kedengaran esakan Fadlan dan Fakhira yang menangis takut di sudut tangga rumah.
Farhan mengatur langkah. Merapati keduanya yang serentak mendongak sebelum meluru memeluknya. Farhan membalas erat. Dikucup lembut kepala adik-adiknya.
“Dah, pergi naik atas. Mandi dan lepas tu kita solat Maghrib sama–sama ya,” lembut dia bersuara.
Kedua-duanya mengangguk cepat dan dengan pantas berlalu ke tingkat atas. Farhan melepaskan keluhan.

Dhia melipat semula sejadah yang terhampar di depannya lalu diletak hamparan lembut itu di hujung katil. Dia baru saja selesai menunaikan solat Maghrib. Dia bergegas bangun. Mengatur langkah menuju ke balkoni bilik. Ditolak perlahan daun pintu yang berkaca jernih. Menapak keluar ke balkoni.
Angin malam segera menerpa. Menampar seraya membelai lembut seluruh tubuhnya. Meninggalkan rasa nyaman dan tenang pada tubuhnya yang hanya disaluti tee shirt dan seluar track panjang.
Dhia menarik nafas panjang. Untuk seketika dia berasa tenteram. Jiwanya terasa tenang dan damai. Sesuatu yang jarang dirasainya sejak kebelakangan ini. Dipejam matanya rapat. Ingin merasai segala ketenangan dan kedamaian yang bertakhta di jiwanya saat ini.
“Entah sampai bilalah aku mampu merasai semua ini,” Tanpa sedar kata–kata itu menendang dinding jiwanya.
Sekaligus membuatkan kedua kelopak matanya serta merta kembali terbuka. Dhia beristigfar panjang. Dia tidak mahu memikirkan apa–apa pun saat ini. Biarlah masa depannya ditentukan oleh Dia yang Maha Berkuasa.
Untuk seketika Dhia melilaukan pandangan. Membiarkan matanya menjamah pemandangan malam yang kedengaran sunyi. Kegelapan membungkus suasana yang hanya dihiasi cahaya bulan yang menyuluh terang.
Pandangan Dhia terhenti di satu arah. Terpaku sejenak pada rumah yang berada setentang dengan rumah Puan Marini, tempat dia berada kini. Bukan halaman rumah yang indah dan bersih yang menjadi tumpuannya. Sesuatu yang berada di dalam rumah itu. Sesuatu yang sedang berlaku di tingkat atas rumah yang benar–benar mengadap rumah yang didudukinya sekarang. Di bilik yang bertentangan dengan bilik tidurnya.
Dhia memicingkan anak mata. Ingin melihat dengan lebih jelas apa yang berlaku di situ.
Sepasang kanak–kanak sedang menangis di situ. Terhenjut-henjut tubuh keduanya. Menahan tangisan. Namun bukan itu yang menjadi menarik perhatiannya tetapi seseorang. Seseorang yang sedang mengatakan sesuatu kepada keduanya. Caranya lebih kepada memujuk. Dhia memandang dengan penuh minat.
Selama dia membesar, bukan dia tidak pernah melihat kanak–kanak dipujuk bila menangis. Malah Dhia sendiri sering melakukannya pada anak-anak jiran berdekatan dengan rumah arwah ibubapanya. Dia gemar melakukannya sementelah dia sendiri begitu menyayangi mereka yang bergelar kanak-kanak.
Namun inilah kali pertama dia melihat seorang lelaki memujuk kanak–kanak. Selalunya hanya wanita yang sering dikatakan pandai memujuk. Cara pujukannya penuh dengan kelembutan. Memikat hati Dhia yang masih mengarah pandangannya ke situ.
Kedua dua kanak–kanak itu telah berhenti menangis malah sedang tersenyum girang. Tanpa sedar Dhia turut mengukir senyum. Menumpang gembira dengan keadaan itu. Hatinya sedikit tersentuh apabila terpandangkan ketiga-tiga mereka mengangkat tangan sambil mendongak sedikit. Seolah-olah berdoa memohon sesuatu. Penuh khusyuk.
“Ya Allah, semoga Kau memakbulkan segala permintaan mereka,” Dhia berkata dalam hati. Untuk seketika dia leka memerhatikan gelagat ketiga–tiganya.
“Dhia…”
Panggilan seseorang mematikan pandangannya. Lantas saja dia berpaling. Tersenyum pada Puan Marini yang entah bila melangkah masuk ke bilik tidur itu.
“Lah, kamu kat sini rupanya. Makcik ingat kamu ke manalah tadi,” Puan Marini tersenyum kecil.  Melangkah merapati anak saudara kesayangannya.
Dahi Dhia berkerut.
“Kenapa makcik?” soalnya lembut. Memaling seluruh tubuh mengadap wanita itu.
“Kamu buat apa kat balkoni ni?” soal Puan Marini tanpa menjawab pertanyaan gadis itu.
Dia turut menjengul kepala ke luar namun hanya seketika. Tiada apa yang dapat dilihatnya melainkan kegelapan semata–mata.
“Tak buat apa,” teragak-agak Dhia menjawab.
Sempat matanya mengerling pada tempat yang menjadi tarikannya sebentar tadi. Ketiga-tiganya masih berkeadaan seperti tadi. Menadah tangan seraya berdoa meminta sesuatu.
Tanpa sedar bibir Dhia kembali mengukir senyum. Hatinya kembali dipagut damai melihatkan keadaan itu.
“Dah, jom turun makan. Pakcik kamu dah tunggu nak makan sekali,”
Teguran itu menyentak semula pandangannya. Segera dia berpaling. Memandang Puan Marini yang kembali memusing tubuh. Menuju ke pintu bilik. Dhia mengikutnya dari belakang.
“Makcik masak apa malam ni?” sempat lagi dia bertanya.
“Apa lagi, makanan kesukaan kamulah, sambal petai campur udang,” jawab Puan Marini tersenyum lebar.
“Lah, itu saja ke makcik? Lauk lain tak ada ke?” tanya Dhia seraya mengukir senyuman lebar. Ada sinar nakal di kedua matanya yang bercahaya itu.
Puan Marini mendengus lembut. Turut menguntum senyum mendengar gurauan pemilik wajah cantik itu.
“Amboi, banyaknya songeh kamu ya. Ada makcik masakkan sambal ayam dan sup sayur sedikit. Puding jagung kegemaran kamu pun ada makcik buatkan,” sahutnya mengerling sekilas pada Dhia yang tersengih suka.
“Nyum, nyum. Tak sabar rasanya Dhia nak makan. Mesti sedapkan,” Dhia bersuara lagi seraya mengosok-gosok kedua tapak tangannya. Membayangkan masakan yang bakal berpindah ke ruang perutnya tidak lama lagi.
“Hah, tahu tak apa. Jom turun makan, nanti sejuk tak sedap pula,” Puan Marini berkata lagi.
Dia menarik tangan gadis itu sebelum tangannya menyentuh suis lampu yang ada di dinding bilik. Untuk seketika ruang bilik tidur itu menjadi gelita.

“Baru balik bang?” suara Datin Zawani lembut tatkala menyambut kepulangan suaminya di muka pintu rumah banglo mewah mereka.
Dato’ Raid mengangguk perlahan. Memandang tingkah Datin Zawani yang tunduk seketika mengucup jari–jemarinya. Matanya merayap ke seluruh ruang tamu rumah sebelum melangkah masuk.
“Mana anak teruna awak? Abang tak nampak dia pun hari ni,” tanyanya.
Tali leher yang terikat kemas di leher ditarik keluar. Dihulur pada Datin Zawani yang menyambut sopan.
“Ada kat dalam biliknya bang. Tengah solat Maghrib,” sahut Datin Zawani lembut. Memandang sejenak suaminya yang kini merebahkan tubuh ke sofa rumah. Kepenatan.
“Huh, dah begini lewat baru nak solat Maghrib? Dia buat apa kat rumah sepanjang hari ni? Tidur?” suara Dato’ Raid kedengaran tegas.
Datin Zawani menarik nafas panjang. Dia turut melabuh punggung ke sofa. Di sisi lelaki itu.
“Entahlah bang, saya pun tak tahu nak cakap apa. Dari tadi dia berkurung dalam bilik saja. Makan pun tak nak, bercakap pun cuma sepatah dua saja. Yang dia tahu tengok televisyen, termenung. Itu saja,” jawab Datin Zawani sedikit mengeluh.
Dato’ Raid merengus kasar.
“Apalah nak jadi dengan anak kesayangan awak tu. Baru saja ditimpa masalah kecil macam tu pun dah jadi macam orang gila saja lagaknya. Masalah syarikat pandai pula dia selesaikan. Masalah peribadi sendiri dah tertunggang terbalik,” suaranya sedikit mencemuh. Tidak senang dengan keadaan itu.  
“Nak buat macam mana bang, dia tu memang dah sayang sangat dengan si budak Nisa tu. Manalah dia tahu begini pula jadinya,” suara Datin Zawani lembut.
Dato’ Raid tidak menjawab. Tangannya mencapai gelas berisi minuman sejuk yang ada di meja berdepannya. Dalam hati dia bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Datin Zawani. Sentiasa menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tanpa mengira masa dan tempat. Diteguk sedikit air manis itu.
“Abang tak dengar apa–apa berita pasal si Nisa tu ke?” Datin Zawani menyoal lembut. Memandang lama wajah Dato’ Raid yang menggeleng perlahan.
“Tak ada Wani. Abang sendiri pun tak ada masa nak fikirkan tentang hal budak–budak ni. Banyak lagi perkara lain yang perlu abang fikirkan,” sahutnya cepat.
Gelas di tangan kembali diletak ke atas meja.  Di picit perlahan pangkal leher yang terasa sengal.
Datin Zawani mengeluh panjang.
“Abang ni, Nisa tu kan bakal menantu kita, takkan abang nak biar je budak tu menghilang macam tu je. Entah–entah kena culik ke, nak kena bunuh ke, abang tak risau ke?” matanya masih menombak wajah letih sang suami.
“Nak risau apanya Wani. Mak ayah dia pun tak tahu ke mana dia pergi, tambahlah kita ni. Lagi pun kalau betullah si Nisa tu kena culik, dah lama penculik tu telefon keluarganya. Minta wang tebusan,” sahut Dato’ Raid menghela nafas panjang.
Rasa letih yang mengepung tubuh membuatkan dia tidak berminat lagi menyambung perbualan.
“Dahlah Wani, abang penat ni. Abang nak mandi  dulu. Awak pergi sediakan makanan. Sekejap lagi kita makan sama–sama. Ajak anak lelaki kesayangan awak tu sekali,” ujar Dato’ Raid lagi sebelum bangun dari duduknya. Berlalu ke tingkat atas.
Datin Zawani hanya memandang langkah suami yang semakin menghilang. Dia mengeluh lagi. 

KEJORAKU BERSATU : BAB 7

BAB 7

“Assalammualaikum ya sahabat baikku,”
Shahrul yang tekun membuat kerja di mejanya segera mendongakkan kepala. Mengorak senyuman memandang Tengku Azhar berdiri di balik pintu.
“Waalaikumussalam,” balasnya ceria.
Pen di tangan di letak ke atas meja. Sambil membetulkan kedudukan kemeja yang tersarung di tubuh, dia bangkit menghayun langkah ke arah Tengku Azhar yang sudah menapak masuk. Melangkah ke sofa di sudut bilik.
“Mimpi apa kau datang jumpa aku pagi-pagi begini?” Shahrul bersuara ramah. Di labuh punggungnya setentang Tengku Azhar.  Lelaki itu tersenyum lebar.
“Tak ada apa Shah. Tiba-tiba saja teringatkan kau, jadi aku datanglah. Nak harapkan kau ke pejabat aku, mimpilah,” Dia tertawa kecil.
Shahrul turut melempar senyum.
“Aku sibuklah sekarang Zhar, banyak kerja yang perlu aku lakukan sekarang,”
“Ewah, macam kau seorang aje yang banyak kerja, aku ni tak ada kerja? Goyang kaki je?”
Meledak ketawa kedua lelaki itu.
So, macam mana dengan perkembangan syarikat kau setakat ni?” soalan Tengku Azhar kembali meredakan tawa keduanya.
“Alhamdulillah, setakat ni syarikat beroperasi macam biasa saja,” balas Shahrul tenang.
Tengku Azhar mengangguk.
“Eloklah kalau begitu,” sahutnya bersahaja.
“Aku dengar khabar dari ayah aku, adik lelaki kau dah balik,” Shahrul melontar pertanyaan sekaligus menukar pertanyaan.
“Dah hampir dua bulan dia balik ke Malaysia ni Shah,”
“Tak tahu pula aku yang kau ada seorang lagi adik. Aku fikir Adilla yang terakhir,”
“Jangan katakan kau, orang yang tak tahu tentang kewujudan adik lelaki bongsu aku tu cakap perkara yang sama,”
“Tapi memang betullah Zhar, aku tak pernah tengok dia sebelum ni,”
“Macam mana kau nak kenal dia. Masa dia kecil dulu dia tinggal dengan arwah datuk dan nenek aku kat kampung. Tamat saja sekolah rendah, arwah datuk aku hantar dia ke sekolah asrama. Habis sekolah pula dia sambung belajar kat Amerika. Lepas tu kerja pula kat sana beberapa tahun. Ini dia balik pun sebab ayah aku minta sangat dia balik. Risau dia jadi warganegara sana pula,” “Oo, patutlah aku tak pernah nampak dia kat sini,” ujar Shahrul mengangguk faham.
“Nasib keluarga kau memang baik. Walau pun duduk berjauhan tapi hubungan adik-beradik antara kau orang tak pernah renggang,”
“Betul kata kau tu Shah. Mungkin kerana dari kecil lagi ayah selalu ingatkan kami, jangan lupakan adik lelaki kami nan seorang ni. Cuti sekolah saja, ayah bawa kami balik ke kampung. Nak bawa Anuar ke sini, nenek pula tak bagi,”
“Sayang benar nenek pada adik kau tu ya,”
“Mahu tak sayang. Adik aku tu lah satu-satunya cucu lelakinya yang sejak kecil lagi mendengar kata orang tua. Berbanding aku dengan Afzan, huh, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mana yang di larang itulah yang di buat,” ujar Tengku Azhar tergelak kecil.
“Nenek kau tahu tak dia balik ke sini?”
Tengku Azhar mengangguk.
“Ayah aku dah beritahu dia. Bising orang tua tu, cucu kesayangan dia belum menjenguk dia sejak balik ke sini. Mana tidaknya, baru saja beberapa hari balik ke Malaysia, dia dah bantu kita orang kat office tu. Lepas tu pula ayah aku bagi dia projek besar.
Lagilah dia tak ada masa. Nak harapkan aku dengan Afzan nak handle projek besar macam tu, tak terdaya kami dibuatnya. Lainlah Anuar, memang dah ada pengalaman waktu bekerja kat Miami dulu,”
“Aik, bukankah selama ini pun kau dengan Afzan yang handle semua projek besar di syarikat tu? Kenapa tiba-tiba saja kau cakap kau tak berdaya?”
Tengku Azhar melemparkan senyuman. Mencerlung mata ke arah Shahrul yang mengerut dahi.
“Aku bukannya tak berdaya Shah tapi kau sendiri pun tahukan, projek-projek yang besar ni selalunya memakan masa yang lama. Sudahlah tu, projek sebegitu memerlukan komitmen yang cukup tinggi. Cabaran untuk selesaikannya juga bukannya sedikit. Itu yang membuatkan aku adakalanya rasa dah tak nak handle lagi tu,” terang Tengku Azhar.
“Untunglah kau Zhar, ada adik beradik yang boleh membantu. Aku ni, harapkan tulang empat kerat aku ni ajelah bantu ayah aku pun. Nak harapkan Nina, dia lebih sayangkan bengkel buruknya tu daripada syarikat ni. Syafiq lagilah. Tak berminat langsung dengan business,”
“Tak payahlah kau risau tentang tu Shah. Insya Allah, selagi ada daya dan tenaga, aku akan sentiasa membantu kau,” ujar Tengku Azhar.
“Itu aku tahu tapi adakalanya aku berharap sangat yang adik beradik aku yang lain dapat membantu aku dalam mengendalikan syarikat ni. Walau pun syarikat ni tak sebesar mana tapi ada masanya aku terlalu sibuk hinggakan kadangkala aku tak ada masa untuk diri sendiri dan keluarga aku pun,” keluhnya perlahan.
“Aku faham perasaan kau Shah. Kau tak cuba pujuk Nina untuk kerja kat sini?” soal Tengku Azhar memandang raut wajah muram itu.
Walau pun dia tidak pernah melihat Nina jauh sekali berbual dengannya namun sedikit sebanyak dia mengetahui perihal gadis itu melalui perbualannya dengan Shahrul.
“Huh, dah berbuih mulut aku nasihatkan dia Az. Degilnya Tuhan saja yang tahu. Dah naik letih aku di  buatnya,”
“Biasalah tu, setiap orang ada minatnya yang tersendiri. Mungkin pada waktu sekarang dia tak berminat nak kerja di sini. Masa depan, kita tak tahu. Doa-doakanlah dia berubah hati Shah,”
“Entahlah. Malas aku nak fikir lagi tentang semua ni. Eh, kau dah sarapan ke belum? Kalau belum aku minta Nurul siapkan,” Shahrul mengubah tajuk perbualan.
“Apalah kau ni Shah, dah berjam-jam aku kat sini baru sekarang kau nak tanya aku dah sarapan ke belum,” tempelak Tengku Azhar sambil tertawa kecil.
“Ala Zhar, sorrylah. Aku terlupa,” ujar Shahrul sambil tersengih.
“Tak payahlah Shah, aku pun dah nak balik pejabat ni. Banyak lagi kerja yang perlu setiausaha kau tu buat. Lagi pun aku dah sarapan di rumah tadi. Apa-apa hal nanti kau call lah aku,” ujar Tengku Azhar bingkas bangun.
Dia mula mengatur langkah menuju ke muka pintu.
“Insya Allah Zhar,” sahut Shahrul sambil tersenyum memandang langkah sahabatnya yang semakin hilang di balik pintu.  

CINTA SEJATI : BAB 7

BAB 7

Dia menghayun laju langkahnya. Kedua-dua belah tangannya digerak ke atas dan ke bawah beberapa kali. Membuat senaman ringan. Penat berjalan, dia berlari-lari anak. Beberapa minit dia berkeadaan begitu. Penat berjogging, dia menghempaskan punggung di bangku yang tersedia di tepi pantai.
Dilepas pandangannya ke sekeliling. Memandang persisiran pantai Jumeirah yang luas terbentang di depannya. Nun di kejauhan, dia dapat melihat bangunan yang menjadi tanda kebanggaan bandaraya Dubai.
Burj Al-Arab atau dalam bahasa Arabnya bermaksud Menara Arab kelihatan tersergam indah dalam simbahan cahaya matahari petang itu. Bangunan berprestij itu merupakan sebuah bangunan hotel termewah di Dubai dan terkenal sebagai hotel yang bertaraf tujuh bintang pertama di dunia.
Dengan ketinggian 1053 kaki, bangunan terkemuka itu dibina di sebuah pulau tiruan yang terletak 919 kaki dari pantai Jumeirah dan disambung ke tanah besar dengan sebuah jambatan lengkung yang unik. Dengan bentuk struktur bangunannya yang esklusif, bangunan Burj Al-Arab menjadi mercu perubahan pembangunan bandaraya Dubai.
Pandangannya dihala semula ke arah pantai. Memerhati tingkah laku manusia yang begitu ramai mengunjungi pantai petang itu. Matanya tertumpu seketika pada sekumpulan kanak-kanak yang kelihatan riang bermain pasir. Masing-masing melakukan aktiviti-aktiviti mereka yang tersendiri. Dia yang melihat sedari tadi hanya mengulum senyum melihat gelagat anak-anak kecil itu.
Tak lama, di alih matanya. Memandang ke arah sepasang kanak-kanak lelaki yang berdiri tidak jauh darinya. Kedua-duanya berebutkan sesuatu. Tiba-tiba salah seorang dari mereka terjatuh. Anak kecil itu menangis sekuat hati. Seorang perempuan berkerudung labuh tergesa-gesa datang sebelum memeluk kanak-kanak yang sedang menangis itu. Dipujuk perlahan sebelum mendukungnya. Dibawanya ke gigi pantai. Tak lama, anak kecil itu kembali ketawa. Lupa tentang kesakitan yang dialaminya tadi.
Dia yang sekian lama memerhatikan gelagat anak kecil itu hanya menyimpul senyum.
Anak kecil, apalah yang mereka tahu, Bisik hatinya. Dia tersenyum lagi.
Anak! Dia menarik nafas panjang. Perkataan itu mengingatkannya pada diri sendiri. Dalam usia yang sudah mencecah awal tiga puluhan itu seharusnya dia telah mempunyai anak. Anak dari darah dagingnya sendiri.
Melihat anak kecil yang menangis tadi mengingatkannya pada seseorang. Seseorang yang telah bertahun-tahun tidak ditemuinya. Mia.

“Awak dah gila ke Yash?” Suara Mia kedengaran tinggi.
Matanya bulat memandang Yashmaan yang hanya berwajah selamba.
“Sanggup awak minta saya gugurkan kandungan ni,” ujarnya perlahan.
Ditundukkan wajahnya sedikit. Diusap perlahan perutnya yang masih tidak kelihatan isinya.
”Anak dalam rahim saya ni anak awak Yash,” sambungnya.
Yashmaan mendengus marah. Drenung tajam wajah ayu milik gadis itu.
“Habis tu, kau nak aku buat apa lagi?”
Yashmaan menengking kuat. Tangannya mengusap kasar rambutnya beberapa kali. Perasaan marah dan geram mula menguasai dirinya.
“Awak perlu bertanggungjawab dengan semua ni,” Suara Mia kedengaran sayu.
Air mata yang hampir menitik jatuh ke pipi disekanya perlahan. Sesekali matanya mengerling wajah bengis Yashmaan yang duduk berhadapan dengannya.
Yashmaan segera bangun. Berdiri mengadap gadis yang bertudung litup itu.
“Tanggungjawab? Tanggunggjawab apa?”
Ditarik kasar wajah lesu yang menunduk itu supaya memandang ke arahnya. Jari jemarinya mencengkam kuat wajah itu.
“Hei, kau dengar sini. Apa yang berlaku pada malam tu, bukan salah aku tau.  Kau sendiri yang terhegeh-hegeh nak tolong aku. So, jangan salahkan aku atas apa yang terjadi.”
Keras nada suaranya. Ditolak kuat wajah itu. Hampir saja gadis itu terjatuh dari duduknya. Tangannya kembali menyebak rambutnya yang berselerak di tiup angin petang. Matanya merenung tajam wajah Mia yang mula basah dengan airmata.
Mia menangis perlahan. Digosok perlahan kedua pipinya yang terasa sakit dek cengkaman anak muda itu. Dia turut bangun. Mengadap tubuhnya bertentangan tubuh sasa anak muda itu. Dipandang sayu wajah Yashmaan yang mundar-mandir di depannya.
“Yash, saya cuma nak selamatkan awak pada malam tu. Hanya dengan cara itu saja yang dapat menyelamatkan awak dari mati, Yash,”
Dengan suara yang sudah bercampur tangisan, Mia bersuara lagi. Dibiarkan saja airmatanya mengalir turun. Rasa hiba yang menyerang hati tidak dapat ditahan lagi.
“Hei, kalau aku mati sekalipun, kau peduli apa? Antara kau dengan aku, hanya kawan biasa saja, tak lebih dari itu,” tengking Yashmaan lagi.
Dia tidak lagi peduli dengan pandangan orang sekeliling yang turut berada di taman rekreasi di California itu.
Mia mengangkat wajah. Memandang lama pemuda itu. Cuba mencari maksud di sebalik kata-kata anak muda itu.
“Yash, kenapa awak cakap macam tu? Kitakan sepasang kekasih, itu yang awak beritahu pada saya selama ini.”
Begitu lembut Mia menutur kata. Bulat matanya memandang Yashmaan yang tiba-tiba tertawa besar mendengar tuturnya. 
Galak Yashmaan ketawa. Hatinya bagaikan digeletek mendengar kata-kata yang terkeluar dari celahan bibir gadis itu.
“Kekasih?”
Yashmaan tertawa lagi. Sinis. Di angkat sedikit kening kanannya.
“Hei Mia, cuba kau cermin dulu muka kau tu. Sedarlah diri tu sikit. Aku jadikan kau girlfriend akupun sebab kawan-kawan aku yang cabar aku tau. Kalau tak, jangan haraplah,” ujarnya lagi sambil tertawa.
“Kau fikirlah Mia, lelaki moden macam aku ni takkan nak cari perempuan kampung macam kau ni. Jenis ustazah!”
Yashmaan meninggikan suaranya semula. Puas dapat meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya selama ini.
Mia terduduk semula. Kedua-dua belah tangannya menutup mulut yang sedikit terbuka. Tidak menyangka Yashmaan hanya mempermainkannya selama ini.
Air matanya semakin laju menuruni pipi. Hatinya yang sebu dengan perlakuan anak muda itu bertambah sebak mendengar tutur kata Yashmaan yang langsung tidak mempamerkan rasa bersalahnya.  
Yashmaan mencebik bibir. Tidak sekutik pun perasaan menyesal timbul dalam hatinya melihat gadis itu terhenjut-henjut menahan tangisan. Malah timbul perasaan jijik dalam hatinya memandang Mia. Seolah-olah tiada kesan dosa yang dipalit pada diri gadis itu.  
Yashmaan mencapai topi keledar yang diletakkan di atas meja kayu di tepi bangku. Disandang pada lengan kanannya. Dengan pandangan sinis, dia mengerling sekilas ke wajah Mia sebelum dengan angkuh dia bersuara,
”Mia, dengar kata aku. Gugur saja kandungan tu. Kalau kau fikir aku nak kahwin dengan kau hanya kerana kau mengandungkan anak aku, kau bermimpilah.”
Dia tersenyum lagi. Lebih sinis dari tadi. Yashmaan mula mengatur beberapa langkah sebelum berpaling semula ke arah Mia yang masih menekup mukanya.
“Oh ya, tentang kos pembayaran untuk gugurkan kandungan kau tu, kau tak perlu risau. Aku akan tanggung segalanya nanti.”
Excuse me sir, can I take it?”
Satu suara lembut mengejutkannya dari lamunan. Yashmaan tersentak seketika. Pantas dia berpaling. Seorang wanita berketurunan Pakistan tersenyum memandangnya. Dia terpinga-pinga seketika.
May I sir?”
Wanita berkerudung labuh itu mengulang pertanyaannya.
Yeah?” agak tergagap dia bersuara.
My paper sir,”
Wanita itu menunjuk ke arah kedua belah kakinya. Yashmaan turut memandang ke bawah. Sekeping kertas berwarna merah terselit di bawah tapak kasut sukan yang tersarung di sepasang kakinya. Pantas Yashmaan mencapai sebelum menghulurkannya pada wanita itu.
I’m sorry,” ujarnya perlahan.
Wanita itu tersenyum kecil.
That’s okay. Thank you,” ujarnya sebelum berlalu.
Matanya hanya memandang langkah wanita itu yang semakin menjauh.
Yashmaan beristighfar beberapa kali. Ditarik panjang nafasnya.  
“Mia.” Sepotong nama itu terkeluar dari celahan bibirnya.
Maafkan aku Mia atas segala dosa yang pernah aku lakukan terhadap kau. Maafkan aku, Bisiknya perlahan. Dia mengeluh panjang.
Yashmaan menarik nafas perlahan. Dia bangun semula dari bangku kayu itu.  Untuk beberapa ketika dia memandang jauh ke tengah laut yang kelihtan berbalam di bawah simbahan cahaya matahari petang. Nafas panjangnya di tarik lagi sebelum di lepas perlahan.
Yashmaan menggerakkan tubuhnya ke kiri dan kanan sebelum dia kembali meneruskan lariannya yang terhenti tadi. 

Saturday, November 17, 2012

Jom bercuti....

Sekian lama tidak bercuti, akhirnya tercapai juga impian saya untuk melihat-lihat tempat orang… walau hanya untuk sehari, cukuplah bagi seseorang seperti saya yang jarang-jarang punya masa untuk membawa badan ke mana-mana tempat selain dari tempat-tempat yang sepatutnya saya berada saban hari…
Nama saja anak Kedah dan tempat tinggal keluarga saya pun terletak tidak jauh, tapi jujurnya inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi… tidak ada apa-apa aral yang selalu melintang bahkan saya seringkali diajak bercuti ke pulau lagenda ini tapi aral terbesar yang perlu saya tempuhi saban hari hanyalah masa yang benar-benar terluang… namun mungkin ini namanya rezeki, sesibuk mana pun diri dapat juga akhirnya saya ke sana walau hanya untuk beberapa jam… sekadar bersiar-siar bersama-sama adik-beradik yang tidak ketinggalan mahu mengikut… inilah untungnya jika punya adik-beradik ramai… seorang tidak dapat membantu, pasti yang lain tidak keberatan…
Bahagia rasanya bila dapat bercuti walau hanya seketika… cukup dengan bersiar-siar, melihat gelagat orang ramai yang berpusu-pusu memenuhi feri-feri di jeti, menatap pemandangan sekeliling yang indah serta menikmati makanan yang boleh dikatakan sedap-sedap belaka, hati dan kepala yang penuh dengan tekanan pasti akan lega dengan sendirinya… tapi pastikan segala urusan yang ingin kita lakukan telah selesai semuanya… jika tidak, janganlah sesekali berangan-angan yang anda akan berasa bahagia sepanjang percutian… silap langkah, derita pula yang menunggu di hujung percutian…
Benar kata orang, Pulau Langkawi pulau yang unik… pelbagai benda ada di sini… hanya perlu sedia tubuh yang sihat untuk menjelajah dan jumlah wang yang mencukupi untuk membeli-belah, segalanya pasti boleh dimiliki… mujur juga saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah, bergambar pun jarang-jarang saya lakukan, jika tidak pasti saya pulang dengan keadaan kocek yang kosong…
Berusaha sedaya mungkin untuk tidak membazir, namun melihat pelbagai jenama coklat yang murah-murah, tergadai jua wang saya di kedai-kedai yang menjual coklat… apalagi bila melihat bungkusan coklat dibalut dengan cantik dan kemas… cukup sesuai dijadikan hadiah buat kawan-kawan serta jiran tetangga apatah lagi di musim majlis perkahwinan banyak berlangsung ini…
Banyak lagi tempat yang ingin saya lawati sepanjang di Pulau Langkawi namun apa daya… dalam keadaan tubuh tidak sihat dan timbunan kerja yang jarang-jarang dapat dilangsaikan dalam masa yang singkat, saya terpaksa akur bersiar-siar di sana semampu mana tubuh dibawa… memang sedikit terkilan kerana tidak mampu berlama-lama di pulau hak milik negeri sendiri namun kesihatan diri juga harus saya utamakan dari segala perkara lain waktu ini… memang tidak seteruk mana namun tetap juga mengundang rasa tidak selesa pada saya yang jarang-jarang dihinggap penyakit waima demam mahupun selesema…
Apapun, buat mereka yang mahu bercuti, pergilah melancong selagi punya peluang… pasti kewangan menjadi masalah utama bagi sesetengah orang tapi keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan buat kita jika kena pada tempatnya… tidak perlu bermalam di hotel, tidak juga perlu memandu jauh-jauh, cukuplah jika membawa keluarga berkelah di tepi pantai, air terjun atau sesekali bermandi-manda di kolam air panas terdekat, itu sudah cukup menggembirakan hati orang-orang yang kita sayang… percayalah, bukan tempat yang menentukan kebahagiaan kita sekeluarga tapi hubungan yang erat dan kasih sayang antara kita yang memeriahkan kehidupan kita sekeluarga selama ini… jika masih tidak mampu, ajaklah keluarga kita untuk membuat pelbagai aktiviti di rumah bersama-sama… mengemas rumah, menyapu laman, memasak, semua itu boleh juga mengeratkan hubungan sesama kita jika kena caranya… selamat bercuti bagi yang mereka yang bercuti!!!
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012