BAB 7
LAJU
berus kecil di celah jari-jemarinya memalit warna di atas kanvas itu.
Tangkas lagi penuh cermat. Sambil itu matanya sesekali mengerling sekeping
gambar yang diselit di sudut atas kanvas. Memerhati dengan penuh teliti agar
hasilnya mampu menghasilkan kekaguman bukan saja buat dirinya. Tetapi juga pada
setiap mata yang memandang.
Penat
dengan keadaan itu Wafi meletak semula berus lukisan ke bekasnya. Digerak
sedikit tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Membuang rasa lenguh di tubuh yang sejak
tadi tekun menyiapkan lukisan kesayangannya.
Sedangkan
mata masih merayapi dada lukisan yang baru separuh kelihatan hasilnya itu. Dia
tersenyum sedikit. Bangga dengan hasil kerja yang masih banyak kekurangannya
itu sebelum matanya teralih pada komputer di satu sudut bilik. Terus dia
teringat sesuatu.
Segera
dia menapak ke meja. Melabuh punggungnya di situ sebelum satu butang ditekan.
Tidak lama komputernya sedia diguna. Pantas dia membuka ruangan e-mel. Membaca
setiap pesanan yang diterima.
Dia
tersenyum semula tatkala membaca satu e-mel kiriman Sakinah Ghamidi. Telah
lebih sepuluh tahun wanita berbangsa Arab itu dikenalinya. Satu-satunya sahabat
baik paling rapat dan mesra dengannya.
Meskipun
mereka berlainan bangsa biarpun di bawah satu panji agama, namun semua itu
tidak pernah melonggarkan tali persahabatan mereka. Malah semakin kejap setelah
wanita itu berpindah mengikut suaminya menjalankan perniagaan di Arab Saudi
sejak tiga tahun lalu.
Hampir
setiap minggu mereka berhubung walaupun hanya sekadar di alam maya. Sesekali
surat dan poskad menjadi penghubung mereka. Sering kali wanita itu mengirimkan
dia pelbagai jenis gambar mahupun poskad menarik bagi diabadikan di kanvas
Wafi. Dan menjadi tanggungjawab Wafi untuk menyiapkannya.
Kemudian
hasil lukisannya itu akan dihantar pada Sakinah untuk dijual mahupun dipamer di
luar negara. Bersuamikan seorang pemilik galeri seni lukisan terkemuka di Arab Saudi
menjadikan tugas Sakinah untuk memasarkan setiap lukisan Wafi begitu mudah.
Apatah lagi wanita itu sendiri begitu meminati seni lukis meskipun tidak
sedalam minat Wafi terhadap bidang itu.
Bunyi
ketukan di muka pintu menyentak keluar Wafi dari lamunannya. Gerak tangannya di
komputer juga turut terhenti. Segera dia berkalih wajah.
Puan
Ainun sudah melangkah masuk ke dalam. Dia tersenyum panjang.
“Ada
apa mak?” soal Wafi lembut.
“Ini
hah, ayah kamu belikan kamu set berus lukisan yang baru. Dia kata dia tengok
kebanyakan berus lukisan kamu yang ada sekarang ni dah rosak bulunya. Jadi dia
belikanlah yang baru,” ujar Puan Ainun lalu menghulur sebuah kotak kayu bersaiz
kecil pada gadis itu. Pantas Wafi menyambut gembira seraya mengucap terima
kasih.
“Kenapalah
ayah susah payah belikan yang baru untuk Wafi? Wafi boleh keluar beli sendiri
nanti,” sahutnya benar-benar terharu dengan kebaikan lelaki itu. Lama dia
membelek setiap satu berus yang kini telah berpindah ke tangannya.
“Alah,
apa salahnya kalau ayah kamu tolong belikan pun. Dah kebetulan masa dia melalui
satu kedai lukisan kat Kuala Lumpur sana tu dia nampak ada berus lukisan yang
Wafi selalu guna ada dijual kat situ, dia pun singgah belilah. Lagipun kamu kan
belum biasa dengan kawasan sini. Jadi dia belikanlah untuk kamu,” ujar Puan
Ainun menyahut lembut.
“Kamu
tengah buat apa ni?”
Mata
Puan Ainun beralih sejenak pada skrin komputer berdepan gadis itu. Menjadikan
mata Wafi turut beralih ke arah sama. Baru teringat pada perkara yang sedang
dilakukannya ketika ini.
“Tak
buat apa mak. Cuma baca e-mel yang dihantar Sakinah aje,” sahut anak gadis itu.
“Sakinah?
Kawan baik kamu masa di universiti dulu tu ke? Dia buat apa sekarang?” soal
Puan Ainun teringat pada Sakinah, satu-satunya sahabat baik anak gadisnya sejak
mereka berada di tahun pertama universiti di Morocco lagi. Sahabat tempat Wafi
mencurah segala suka duka biarpun tak sepenuhnya.
“Dia
sekarang ni mengajar kat salah sebuah kolej swasta kat Arab Saudi sana tulah
mak, buat apa lagi,” sambut Wafi menjeling sekilas e-mel wanita itu yang masih
terpapar di skrin komputernya.
“Lama
mak tak jumpa dengan dia. Sejak dia kahwin dengan Tok Arab tu lima tahun lepas,
dah jarang benar dia datang menziarah kita. Dah berapa orang anak dia?”
“Dah
dua pun mak. Seorang lelaki dan seorang perempuan.”
“Alhamdulillah,
dah dua orang anak dia ya. Senang hati mak mendengarnya.” Puan Ainun tumpang
gembira dengan kehidupan bahagia yang dilalui Sakinah yang telah lama dianggap
seperti ahli keluarganya sendiri.
“Dia
dah dua orang anak, sepasang pulak tu. Tak tahulah bila pulak anak mak ni nak
ada anak,” sambung Puan Ainun sekadar bergurau. Menatap wajah tenang anaknya.
Wafi
sekadar tersenyum hambar. Dia langsung tak berminat untuk menyahut dalam tajuk
yang tidak pernah melintas walau seketika di hatinya selama ini.
“Hmm...
tak apalah Wafi, kalau kamu nak balas e-mel pada kawan kamu tu nanti, tolong
sampaikan sekali salam mak pada dia ya. Bagitahu dia, ada masa datanglah
melawat kita di Malaysia ni,” pesan Puan Ainun.
Hambar
dek sambutan dingin gadis itu. Mengerti Wafi tidak berminat untuk meneruskan
perbualan mereka ketika ini. Apatah lagi tajuk yang dikemukakannya merupakan
tajuk yang tidak pernah mendapat tempat di hati gadis itu sejak dulu.
“Oh
ya Wafi, nanti bila dah habis kerja kamu tu, turun ke bawah ya. Bolehlah kita
makan tengah hari sama-sama,” tambah wanita itu lalu menghayun langkah ke luar
bilik. Menuju ke tingkat bawah.
Wafi
hanya mengangguk. Dia memandang lama tingkah Puan Ainun sebelum kembali
menghadap komputer. Membalas e-mel Sakinah seadanya. Sedangkan kepalanya masih
ligat memikirkan gurauan si emak sebentar tadi. Sedikit terusik dengan gurauan
itu. Membuatkan hatinya menangis sendiri ketika itu.
“AYAH,
boleh
Along tanya sesuatu?” soal Ammar pada suatu petang.
Ketika
itu dia bersama ahli keluarganya berada di laman rumah. Menikmati minum petang
bersama-sama. Ainul pula sudah keluar bertemu kawan-kawannya.
“Ada
apa Am?” soal Encik Azmi.
“Kenapa
ayah bagi projek perumahan ayah dan Ayah Zali tu pada Ainul?”
“Kenapa?
Ada yang tak kena ke?” Soalan anaknya dibalas dengan soalan juga. Manakala
matanya sudah melekat di wajah anak sulungnya. Ammar tersenyum kecil.
“Bukanlah
begitu ayah tapi ayah tak rasa ke keadaan tu hanya akan menyusahkan Ainul dan
Alia aje?”
“Kenapa
pulak kamu cakap begitu?” Pertanyaan Encik Azmi mengundang senyuman lebar
lelaki itu. Dibalas pandangan ingin tahu si ayah seadanya.
“Ayah
tahu, baru-baru ni Lily ada beritahu Along. Ainul dan Alia bergaduh besar
ketika bertemu untuk berbincang pasal projek ayah dan Ayah Zali tu. Hampir
sejam dia orang bertekak depan semua orang kat dalam restoran. Yang seronoknya
kata Lily, dia orang bertekak bukan pasal projek tu tapi pasal rumah tangga dia
orang yang dah lama runtuh tu. Masing-masing saling tuduh-menuduh. Macam
melepas geram pun ada kata Lily. Seorang kata begini, seorang lagi pula kata
begitu.
Lastnya,
Alia dah bengang sangat dengan Ainul, disimbahnya air oren ke muka si Ainul
sebelum terus heret Rina balik ke pejabat Ayah Zali. Yang Ainul pulak mengamuk
aje dalam perjalanan balik ke pejabat. Berbakul-bakul sumpah seranahnya diberi
pada Alia. Kasihan Lily, tak pasal-pasal kena dengar bebelan Ainul sepanjang
duduk dalam kereta tu. Lain yang patut dibincang, lain pulak yang dia orang
bincangkan.”
Ammar
tersenyum lagi seraya menggeleng. Geli hati setiap kali teringatkan cerita yang
disampaikan setiausaha Ainul kepadanya beberapa hari lalu.
“Hai,
sampai begitu sekali dia orang berdua bergaduh? Biar betul Ainul dan Alia ni,”
sampuk Puan Hayati turut menggeleng mendengar cerita anaknya.
Terkejut
bercampur hairan. Terkejut dengan apa yang berlaku. Hairan dengan tindakan
Ainul dan Alia yang ternyata tidak pernah terfikir akan dilakukan keduanya
selama ini.
“Apa
nak kata mak. Adat perangai manusia dalam dunia begitulah. Waktu tengah sayang,
semuanya nampak baik dan elok belaka. Bila dah benci, tersentuh bahu sikit pun
dah berangin satu badan,” sahut Ammar.
Wardina
di sisinya hanya mengulum senyuman tanpa meluah sepatah kata. Sesekali mata
wanita itu beralih pada anak-anak mereka yang girang bermain sesama sendiri di
hujung laman. Mengawasi dalam diam.
“Ayah
belum jawab pertanyaan Along tadi. Kenapa ayah bagi projek tu pada dia orang?”
Ammar kembali mengulangi soalannya selepas itu.
Memandang
Encik Azmi berdehem sedikit sebelum membuka mulut.
“Sebenarnya
Along, ada sebab ayah dan Ayah Zali kamu serahkan projek tu pada Ainul dan
Alia. Dah lama kami berhasrat nak satukan semula adik-adik kamu tu. Harapan
kami dia orang boleh menjadi suami isteri semula seperti dulu. Walaupun
sekarang ni mereka saling membenci tapi sebagai orang tua, kami boleh baca yang
mereka sebenarnya masih saling sayang-menyayangi.
Cuma
masing-masing terlalu ego dan tak mahu beralah menyebabkan dia orang bermusuhan
sampai ke hari ni. Kalau tidak, kenapa mereka tak kahwin semula biarpun dah
berkali-kali kita suruh dia orang berbuat demikian? Jadi ayah rasa mungkin
apabila mereka bekerjasama seperti dulu hati mereka akan terbuka untuk saling
memaafi selepas ini.” Lembut Encik Azmi memberi penerangan.
Ammar
pula terus melakar kerutan di dahi.
“Tapikan
ayah, Along tak fikir cadangan ayah dan Ayah Zali tu boleh berjalan lancar
seperti yang ayah berdua harapkan. Yalah, kalau dah kali pertama berjumpa pun
dia orang dah bertekak sampai satu restoran pun terpegun melihat aksi spontan
dia orang, inikan pula nak buat projek besar macam tu sama-sama.” Penuh risau
Ammar meluah ketidakyakinannya.
“Itu
betul tapi tak salah rasanya kalau kita mencuba bukan? Manalah tahu pertemuan
pertama ni bermula dengan pergaduhan, pertemuan kedua pulak dah tak begitu dan
pertemuan seterusnya dia orang semakin berbaik. Manalah kita tahu, kan?” Begitu
yakin Encik Azmi meluah harapannya yang turut menjadi harapan mereka semua
selama ini.
“Kalau
tak berbaik sekalipun adik-adik kamu tu, sekurang-kurangnya mereka boleh meluah
isi hati mereka selama ini. Waktu inilah baik Ainul mahupun Alia boleh luahkan
apa yang mereka simpan untuk satu sama lain. Mungkin dengan cara itu
masing-masing baru sedar kesilapan sendiri dan akhirnya mereka akan berbaik
semula selepas ini.” Ternyata begitu tinggi harapan Encik Azmi buat kedua-dua
anak dan bekas menantunya. Harapan untuk melihat keduanya bersatu semula
seperti sediakala.
“Betul
kata ayah kamu tu Along. Mungkin hanya dengan cara ini mereka boleh bersatu
semula. Mak sendiri yakin, adik-adik kamu tu sebenarnya masih lagi saling
sayang-menyayangi. Tapi itulah. Nama pun orang muda, suka benar ikut perasaan
kalau nak buat apa-apapun. Langsung tak terima pendapat akal. Pendapat orang
tua jauh sekalilah. Bila dah jadi macam ni, kita yang melihat keadaan dia orang
pulalah yang sakit mata dibuatnya,” celah Puan Hayati pula. Sependapat dengan
suaminya biarpun kesal dengan keadaan yang dilalui kedua-dua anaknya selama
ini.
“Apapun
sebagai orang yang lebih tua dari mereka, kita kenalah berdoa yang terbaik buat
mereka. Kita tak boleh biarkan mereka berkeadaan begitu aje sampai bila-bila.
Nak tunggu dia orang sedar sendiri, rasanya sampai kiamat pun Ainul dan Alia
tak berbaik. Maklumlah, seorang ego tinggi melangit, yang seorang pula keras
kepala, langsung tak mahu beralah,” ujar Encik Azmi lagi menggeleng-geleng.
Sedangkan
mereka yang lain hanya mengangguk kecil. Setuju dengan kata-katanya.
DIHEMPAS
lembut
beg tangannya ke atas tilam. Manakala tubuh letihnya turut dihumban ke tempat
sama. Dia mendudukkan diri di birai katil. Lalu membuang nafas panjang. Cuba
meleraikan apa yang sedang berselirat di mindanya ketika ini.
Bukan
dirinya yang menjadi subjek utama pemikirannya tetapi kerjaya dan perkara yang
sedang dilakukannya ketika ini. Menyebabkan mindanya tidak betah berhenti dari
berpusing ligat sepanjang masa.
Damia
baru berkira-kira nak merebah tubuh ke tilam tatkala tak semena-mena bayangan
seseorang menerpa masuk ke dalam kepala. Tidak menunggu lama, dia segera
mencapai telefon bimbitnya. Laju jari-jemarinya menekan butang-butang yang
sedia ada. Menelefon seseorang. Tak lama panggilannya disambut.
“Assalamualaikum...”
Damia menyapa lembut.
“Mimpi
apa kamu telefon nenek ni?” Suara Nenek Tijah kedengaran melangsing tinggi.
Namun salam gadis itu tetap dijawab baik. Damia tersengih kelat.
“Mana
ada Mia mimpi apa-apa pun nek. Nek sihat?” Sambil merebah tubuh ke tilam dia
bertanya khabar. Meniarap seraya menatap dinding bilik.
“Alhamdulillah,
belum lagilah ada tanda-tanda nak mati setakat ni. Kenapa? Kamu dah siapkan
kain kapan untuk nenek ke?” Sindiran Nenek Tijah menjadikan senyuman gadis itu
bertambah kelat. Dia menyeringai panjang.
“Nek
ni, tak baik tau cakap macam tu. Mia selalu doa mintak nenek dipanjangkan
umur,” sahutnya selembut mungkin. Cuba meredakan kemarahan orang tua itu.
“Huh,
buat apalah panjang umur kalau setakat nak jadi guard tak bergaji kat
rumah ni. Bukannya ada sesiapa pun nak datang menjenguk. Ada anak menantu,
duduknya jauh benar, Kuala Lumpur sana.
Ada
cucu pun bukannya ingat lagi dah jalan nak balik ke sini. Maklumlah, dah lama
sangat tinggal kat luar negara sana nun. Daripada tercongok sorang-sorang aje,
baik terus tak ada dalam dunia ni. Taklah menyusahkan anak cucu nak balik
kampung menjenguk selalu.” Suara Nenek Tijah kedengaran begitu selamba. Namun
berjaya membuatkan hati Damia dicuit hiba.
“Nek,
janganlah cakap macam tu. Sedih Mia dengar. Mia tahulah Mia dah lama tak jenguk
nenek tapi itu tak bermakna Mia tak sayang nenek. Mia sayang sangat nenek.
Gila-gila sayang tapi apa nak buat nek, Mia sibuk dengan kerja.” Sebak dia
membalas.
Dia
kembali mendudukkan diri di birai katil. Berjuntai kaki.
“Yalah
tu kamu. Orang lain pun sibuk jugak tapi masih ada masa nak tengok orang tua
kat kampung. Sudahlah duduk luar negara tu bertahun-tahun, dah balik Malaysia
pun masih tak datang jumpa nenek. Apa gunalah kamu hantar duit banyak-banyak
kat nenek setiap bulan.
Bukannya
nenek boleh peluk semua duit tu macam nenek peluk kamu macam yang selalu nenek
buat pada kamu masa kamu kecil dulu. Orang tua macam nenek ni dah tak perlukan
semua tu. Nenek cuma nak perhatian dan kasih sayang dari kamu saja, bukannya
harta benda.
Tapi
kalau itupun kamu tak boleh bagi, apa yang nenek boleh buat. Duduk tercongok
sajalah dalam dunia ni sorang-sorang sampai malaikat maut datang menjemput
pergi.”
Suara
Nenek Tijah sudah diselubungi duka. Dia teresak kecil. Sekali gus menjemput
juga air mata Damia. Gadis itu turut teresak.
“Nek,
janganlah nangis. Mia janji, Mia akan balik nanti. Mia cuba untuk selesaikan
semua kerja Mia secepat mungkin. Mia janji nek. Mia akan balik ke kampung jugak
nanti.” Dalam tangisan dia bersuara.
Memang
itulah kelemahan Mia. Pantang baginya mendengar tangisan wanita tua yang telah
bersusah-payah membesarkannya sejak pemergian kedua-dua orang tuanya itu. Pasti
dia sendiri turut teresak hiba.
“Ikut
suka kamulah Mia. Nenek tak paksa. Kamu balik ke tidak, sama aje pada nenek.
Bukannya nenek tak biasa duduk sorang-sorang selama ni. Sejak kamu lahir, nenek
jaga kamu sampai kamu ke sekolah menengah aje. Dah habis sekolah kamu pergi
pulak ke luar negara bertahun-tahun. Ada ke tidak kamu kat sisi nenek, serupa
aje. Tak ada bezanya.” Nenek Tijah kembali menenangkan diri.
Air
mata yang masih berbaki di pipi berkedutnya dilap dengan hujung baju kurungnya.
“Dahlah
Mia, lain kali sajalah kita berbual ya. Nenek nak pergi halau kambing pulak ni.
Dah nak masuk Maghrib ni. Kamu tu pun jangan bekerja kuat sangat. Ingat sama
kesihatan kamu tu. Solat jangan ditinggal-tinggalkan. Tiang agama tu. Tak
bersolat bermaksud kamu tak jaga agama,” pesan Nenek Tijah panjang lebar. Penuh
tegas.
“Nek,”
panggil Damia sebelum sempat wanita tua itu meletak gagang.
“Apanya?”
tanya wanita tua itu sedikit tinggi.
“Mia
sayang nenek.” Sepenuh hati bersalut sayu Damia meluah kata-kata itu.
“Yalah,
nenek tahu. Nenek pun sama,” sahut wanita itu sebelum memberi salam.
Damia
menjawab seadanya. Perlahan-lahan telefon bimbitnya diletak semula ke atas
tilam. Dia menangis lagi. Penuh hiba. Perlahan-lahan dia membaring tubuh ke
tilam. Telefon di tangan dibawa rapat ke dada.
“Ya
ALLAH, ampunkan aku kerana melupai nenek yang banyak menabur jasa dalam
hidupku. Sesungguhnya tiada niat di hatiku untuk melupakan dia. Jauh sekali
mengabaikan tanggungjawabku terhadapnya. Tapi apakan daya, tuntutan kerja
memaksa aku menahan rasa rindu untuk melawatnya buat beberapa lama lagi.” Dalam
hiba Damia merintih sedih.
“Ya
RABBI, lapangkanlah masaku untuk menemui nenek yang begitu aku sayangi. Jauhkan
diriku dari terlalu mengejar harta dunia hingga membuatkan aku mengabaikan
tanggungjawabku pada mereka yang aku sayang.
Sesibuk
manapun diriku membantu manusia-manusia lain menyelesaikan masalah kehidupan
mereka, KAU lapangkan masaku buat mereka yang begitu menyayangiku selama ni.
Apatah lagi mereka telah banyak menabur jasa buat kejayaanku. Sentiasalah KAU
ingatkan aku tentang tanggungjawab aku terhadap mereka. Sesungguhnya aku sayang
mereka semua Ya ALLAH, terlalu sayang.” Damia menangis lagi bila meluah
kata-kata itu. Penuh kesungguhan.
Sedangkan
hati semakin digayuti rasa bersalah yang semakin mendalam. Bersalah memikirkan
tentang kealpaan sendiri. Alpa dalam menjalankan tanggungjawab sendiri pada
mereka yang begitu disayanginya. Menjadikan air mata Damia semakin lebat
berjuraian waktu ini.
No comments:
Post a Comment