Sekian lama tidak bercuti, akhirnya
tercapai juga impian saya untuk melihat-lihat tempat orang… walau hanya untuk
sehari, cukuplah bagi seseorang seperti saya yang jarang-jarang punya masa
untuk membawa badan ke mana-mana tempat selain dari tempat-tempat yang sepatutnya
saya berada saban hari…
Nama saja anak Kedah dan tempat
tinggal keluarga saya pun terletak tidak jauh, tapi jujurnya inilah kali
pertama saya menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi… tidak ada apa-apa aral yang
selalu melintang bahkan saya seringkali diajak bercuti ke pulau lagenda ini
tapi aral terbesar yang perlu saya tempuhi saban hari hanyalah masa yang
benar-benar terluang… namun mungkin ini namanya rezeki, sesibuk mana pun diri
dapat juga akhirnya saya ke sana walau hanya untuk beberapa jam… sekadar bersiar-siar
bersama-sama adik-beradik yang tidak ketinggalan mahu mengikut… inilah
untungnya jika punya adik-beradik ramai… seorang tidak dapat membantu, pasti
yang lain tidak keberatan…
Bahagia rasanya bila dapat bercuti
walau hanya seketika… cukup dengan bersiar-siar, melihat gelagat orang ramai
yang berpusu-pusu memenuhi feri-feri di jeti, menatap pemandangan sekeliling
yang indah serta menikmati makanan yang boleh dikatakan sedap-sedap belaka,
hati dan kepala yang penuh dengan tekanan pasti akan lega dengan sendirinya…
tapi pastikan segala urusan yang ingin kita lakukan telah selesai semuanya…
jika tidak, janganlah sesekali berangan-angan yang anda akan berasa bahagia
sepanjang percutian… silap langkah, derita pula yang menunggu di hujung
percutian…
Benar kata orang, Pulau Langkawi pulau
yang unik… pelbagai benda ada di sini… hanya perlu sedia tubuh yang sihat untuk
menjelajah dan jumlah wang yang mencukupi untuk membeli-belah, segalanya pasti
boleh dimiliki… mujur juga saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah,
bergambar pun jarang-jarang saya lakukan, jika tidak pasti saya pulang dengan
keadaan kocek yang kosong…
Berusaha sedaya mungkin untuk tidak
membazir, namun melihat pelbagai jenama coklat yang murah-murah, tergadai jua
wang saya di kedai-kedai yang menjual coklat… apalagi bila melihat bungkusan
coklat dibalut dengan cantik dan kemas… cukup sesuai dijadikan hadiah buat
kawan-kawan serta jiran tetangga apatah lagi di musim majlis perkahwinan banyak
berlangsung ini…
Banyak lagi tempat yang ingin saya
lawati sepanjang di Pulau Langkawi namun apa daya… dalam keadaan tubuh tidak
sihat dan timbunan kerja yang jarang-jarang dapat dilangsaikan dalam masa yang
singkat, saya terpaksa akur bersiar-siar di sana semampu mana tubuh dibawa…
memang sedikit terkilan kerana tidak mampu berlama-lama di pulau hak milik
negeri sendiri namun kesihatan diri juga harus saya utamakan dari segala
perkara lain waktu ini… memang tidak seteruk mana namun tetap juga mengundang
rasa tidak selesa pada saya yang jarang-jarang dihinggap penyakit waima demam
mahupun selesema…
Apapun, buat mereka yang mahu bercuti,
pergilah melancong selagi punya peluang… pasti kewangan menjadi masalah utama
bagi sesetengah orang tapi keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan buat kita
jika kena pada tempatnya… tidak perlu bermalam di hotel, tidak juga perlu
memandu jauh-jauh, cukuplah jika membawa keluarga berkelah di tepi pantai, air
terjun atau sesekali bermandi-manda di kolam air panas terdekat, itu sudah
cukup menggembirakan hati orang-orang yang kita sayang… percayalah, bukan
tempat yang menentukan kebahagiaan kita sekeluarga tapi hubungan yang erat dan
kasih sayang antara kita yang memeriahkan kehidupan kita sekeluarga selama ini…
jika masih tidak mampu, ajaklah keluarga kita untuk membuat pelbagai aktiviti
di rumah bersama-sama… mengemas rumah, menyapu laman, memasak, semua itu boleh
juga mengeratkan hubungan sesama kita jika kena caranya… selamat bercuti bagi
yang mereka yang bercuti!!!
No comments:
Post a Comment