Showing posts with label DUNIA AZRA : NOVEL BERSATU DALAM CINTA. Show all posts
Showing posts with label DUNIA AZRA : NOVEL BERSATU DALAM CINTA. Show all posts

Monday, August 05, 2013

BERSATU DALAM CINTA : BAB 20


BAB 20

“APA pendapat akak? Akak rasa sesuai tak kalau Riya letak warna ni pada dinding butik Riya tu?” Jari telunjuk Riya sudah menunjal helaian katalog warna cat yang diambilnya dari salah sebuah kedai hardware di bandar.
Wafi berfikir seketika sebelum mengangguk kecil.
“Boleh tu boleh tapi akak cadangkan kamu ambil warna yang lebih lembut sebab warna gelap dan terlalu garang hanya akan menampakkan ruang butik kelihatan kecil dan sempit. Tak sesuai sangat untuk butik kamu yang mempunyai keluasan yang agak besar. Tapi kalau kamu nakkan jugak warna ni, kita boleh selang-selikannya dengan warna-warna lembut.
Cadangan akak, apa kata kalau kita letakkan warna-warna garang seperti warna pilihan kamu ni di sesetengah sudut butik. Ruang selebihnya kita letak warna yang lebih lembut. Jadi ruang yang kita letak warna garang itu akan mampu menonjolkan pakaian dan barang-barang perhiasan yang dipamerkan di situ,” terang Wafi serba ringkas.
Riya mengangguk beberapa kali. Tanda faham dengan keterangan ringkas gadis itu.
So, bila agaknya akak rasa Riya boleh mulakan kerja mengecat butik Riya tu?”
Well, semuanya terpulang pada kamu sendiri. Kalau kamu rasa butik kamu dah bersedia untuk dicat, kita boleh terus mengupah orang melakukanya dalam masa terdekat ni,” sambut Wafi.
Kepala Riya mengangguk lagi. Setuju.
“Kak, boleh Riya tanya akak sesuatu?” Tiba-tiba saja Riya mengubah arah perbualan mereka.
Bulat matanya memandang Wafi yang sedikit terpinga dengan pertanyaan itu. Namun cepat saja dia mengangguk kecil. Tanda memberi izin.
“Kenapa akak jarang sangat keluar ke mana-mana? Kebanyakan masa akak dihabiskan di dalam rumah saja. Apa akak ni memang jenis perempuan yang suka duduk kat rumah aje ya?” jujur Riya bertanya.
Manakala Wafi telah tersenyum kecil. Kepalanya mengangguk lagi.
“Apa nak buat dik. Memang dari dulu lagi akak suka terperap kat rumah aje. Akak lebih selesa bekerja dari rumah, dari bekerja di mana-mana tempat lain.”
“Kak, boleh Riya tanya akak satu soalan peribadi?” Riya sudah merapatkan wajah ke wajah Wafi.
Serta-merta Wafi mengerut dahi. Kaget melihatkan riak wajah wanita itu. Seakan tak sabar-sabar nak bertanya sesuatu padanya.
“Akak dah ada teman lelaki?” tanya Riya tanpa menunggu jawapan gadis itu.
Wafi terus menunduk muka. Buat seketika dia bungkam. Tak tahu nak jawab apa. Terkejut pun ada kerana tak menyangka soalan itu yang akan terluah dari mulut wanita itu. Manakala Riya pula sudah tersenyum kecil.
“Kalau akak dah ada teman lelaki, tak apalah. Tapi kalau tak ada alhamdulillah. Kiranya ada harapanlah untuk kita menjadi satu keluarga nanti,” suara Riya lagi sengaja berkias kata. Memandang Wafi perlahan-lahan melepas nafas.
“Dah lama Riya berkahwin?” Gadis itu terus melencong arah bicara. Tidak mahu perihal dirinya dikorek tanya lagi. Riya mengangguk laju.
“Lamalah jugak, dalam sembilan tahun begitu. Sebenarnya Riya tak terfikir pun nak kahwin awal tapi terpaksa juga sebab Riya dan suami dapat tawaran sambung belajar ke luar negara. Jadi kedua-dua belah pihak keluarga bersepakat kahwinkan kami berdua dan beberapa tahun kemudian kami pulang semula ke sini,” ceritanya ringkas tanpa dipinta.
Wafi mengangguk faham. Dikerling ekor matanya pada jam di dinding rumahnya.
“Okeylah Riya, kalau tak ada apa-apa akak mintak diri dulu ya. Dah pukul 5.00 petang ni. Waktu Asar pun dah lama masuk. Akak naik solat dulu ya,” ujar Wafi setelah hampir sejam menghabiskan masa berbual dengan wanita itu.
Riya mengangguk terus.
“Yalah kak. Riya pun nak mintak diri balik ke rumah. Kejap lagi Salman dah nak balik rumah. Karang bising pulak dia kalau dia tahu Riya berlama-lama kat rumah orang,” sambut Riya turut bangun dari duduknya.
Segera dia menoleh wajah pada Puan Ainun yang tiba-tiba muncul di ruang tamu rumah itu. Sedari tadi wanita itu berada di ruang dapur. Membuat apa yang patut.
“Riya mintak diri dulu ya mak cik,” ucap Riya sambil menghulur tangan.
“Eh, cepatnya nak balik? Kalau iya pun tunggulah kejap lagi,” balas Puan Ainun. Namun huluran wanita itu tetap disambut mesra.
“Tak bolehlah mak cik. Dah lama Riya kat sini. Karang marah pula suami Riya tu nanti. Riya bagitahu dia nak datang kejap aje tadi. Tak sangka dah lama pulak jadinya.”
Riya menghulur tangan pada Wafi pula. Gadis itu menyambut segera.
“Terima kasih kak kerana tolong Riya,” ucapnya.
“Tak payahlah berterima kasih Riya. Dah jadi tanggungjawab akak membantu Riya setakat yang terdaya,” sahut Wafi tersenyum sedikit. Riya juga begitu.
“Kalau begitu Riya balik dulu ya. Kalau ada masa akak dan mak cik datanglah ke rumah mak ya. Kalau nak ke rumah Riya pun tak apa. Bukannya jauh dari sini, hanya sebelah perumahan ni aje,” ucapnya sambil berlalu ke pintu utama rumah.
Puan Ainun mengiringinya hingga ke muka pintu. Sedangkan Wafi hanya melihat tingkah mereka sebelum berlalu ke tingkat atas setelah bayangan Riya menghilang dari situ. Manakala Puan Ainun kembali semula ke ruang dapur. Menyambung kerjanya yang terhenti tadi.

“RAMAI jugak orang yang datang ke gimnasium kau ni ya,” ujar Ainul sambil mengelap peluh yang merenjis muka.
Hampir separuh tubuhnya lencun dengan peluh setelah hampir dua jam memerah tenaga melakukan kegiatan fizikal di pusat gimnasium milik Isma petang itu. Aktiviti yang menjadi kegemaran dia, Isma dan Faris untuk dilakukan setiap kali mempunyai masa terluang.
“Ini kira okeylah kita datang pada hari biasa. Kalau kita datang pada hujung minggu memang sesaklah jawabnya. Silap masa kita kena tunggu giliran untuk buat apa-apa pun,” sambut Isma turut mengelap peluhnya.
“Untunglah kau sebab ada gimnasium sendiri. Bila-bila masa aje kau boleh datang sini bila kau dah bosan dengan kerja kat pejabat. Tak macam aku. Siang malam sibuk membanting tulang kat pejabat tu aje sampai kadang-kadang aku rasa jemu benar nak tengok semua tu lagi,” ujar Ainul membuang pandang ke sekeliling sejenak.
“Tak jugak Ainul. Walaupun gimnasium ni milik aku tapi bukan selalu aku dapat datang ke sini. Macam kau, aku pun sibuk jugak dengan kerja-kerja kat pejabat tu. Jangan kata seminggu sekali, sebulan sekali nak ke sini pun payah. Ada saja kerja yang perlu aku selesaikan kat pejabat tu,” balasnya.
Memandang sekilas Faris yang sejak tadi lebih banyak mendiamkan diri. Seakan berkhayal sendiri. Disiku perlahan lengan lelaki itu. Faris tergadah sedikit.
“Kau kenapa Ris? Dari tadi aku tengok kau macam berangan aje. Awek mana pulak yang kau angankan ni hah?” Belum sempat Isma bersuara, Ainul terlebih dulu melontar soalan. Faris sudah tersengih kelat. Digaru-garu kepala tak gatalnya.
“Aku rasalah wei, aku dah jatuh cinta.”
Kata-kata selambanya menjadikan Ainul dan Isma serta-merta mengalih perhatian padanya. Wajah tersipu-sipu lelaki itu ditatap lama.
Really? Siapa anak dara tu? Mana kau kenal? Cantik tak orangnya?” tanya Ainul terburu-buru. Sedangkan Isma sudah tergelak-gelak kecil.
“Kau ni Ainul, sabar-sabarlah sikit. Kalau iyapun tanyalah satu-satu. Gelojoh betul,” tegurnya sementara Ainul hanya tersengih.
“Orang mana woi?” tanya lelaki itu semula. Kali ini pendek saja soalannya.
Faris tersenyum lebar.
“Dia anak jiran sebelah rumah aku,” sahutnya.
“Lah... anak jiran sebelah rumah rupanya. Kira senanglah kau nak usha dia selalu ya?” usik Isma menyeringai nakal. Manakala Faris sudah memerah wajah. Malu.
“Apa namanya?” soal Ainul pula. Terus menebak mata ke wajah lelaki itu.
“Lailatul Wafi,” jawab Faris sedikit segan.
“Lailatul Wafi? Huih, sedap namanya wei. Macam nama orang Arab aje. Kalau digandingkan dengan nama kau, lagilah sedap jadinya. Lailatul Wafi dan Faris Firdaus. Hmm... satu kombinasi nama yang cukup baik.” Kata-kata Ainul menambahkan lagi rasa segan Faris. Namun dia mengeluh kecil selepas itu.
“Tapi kau orang tak tahu. Susah sangatlah aku nak tackle si Wafi tu. Jangan kata nak cakap, nak tengok muka aku pun dia tak nak. Jauh sekalilah nak senyum kat aku. Macam mana aku nak mengurat dia kalau begitu perangainya.” Ada nada terkilan dalam suaranya. Terkilan dengan sikap yang ditunjukkan gadis itu.
“Alah kau ni, belum apa-apa dah give up. Cubalah dulu kalau iyapun. Kalau dia tak nak bertegur dengan kau, mesti dia ada sebab dia buat macam tu.” Ainul bersuara seakan memujuk. Membakar perangsang sebenarnya.
“Haah. Mana tahu dia tu jenis perempuan yang pemalu tak biasa bercinta sebelum ni ke, mana kau tahu kan? Mungkin sebab tulah dia jual mahal. Esok-esok bila dia dah kenal kau, ramahlah dia.” Isma turut sama memberi kata semangat.
“Pasal tu, ada jugak mak dia bagitahu aku. Kata mak dia, Wafi memang jarang bercakap dengan lelaki. Sebab tu dia susah sikit nak berkenalan atau rapat dengan mana-mana lelaki.” Faris mula termakan dengan kata-kata kedua-dua sahabatnya.
“Hah, tulah sebabnya dia buat layan tak layan kau aje. Kalau aku di tempat kau, aku usahakan jugak sampai dapat dia tapi dengan cara baiklah. Bukan main paksa-paksa atau apa.” Ainul meningkah pantas.
“Aku rasalah Ris, kau patut buat macam ni. Mula-mula kau rapat dengan family dia. Ambil hati mak ayah dia, adik-beradik dia. Dalam masa yang sama kau masukkanlah jarum. Aku gerenti, tak lama manalah dia nak jual mahal pun. Esok-esok tu terbuka jugak hati dia untuk kau bila dia tengok kau bersungguh-sungguh nakkan dia.” Ainul menyambung kata. Siap memberi cadangan lagi.
“Pasal tu, tak ada masalah pada aku sebab aku memang rapat dengan mak ayah dia pun. Kena pulak mak ayah dia tu jenis orang tua peramah, lagilah mudah kerja aku dibuatnya. Kau orang tahu, dia makin rapat dengan adik perempuan aku sekarang ni. Selalu jugaklah dia orang keluar bersama. Dengan mak ayah aku pun ada dia bersembang sepatah dua. Cuma dengan aku aje yang dia buat tak tahu. Lagaknya macam aku ni tak pernah wujud depan dia aje.” Faris merungut seraya meluah rasa terkilannya buat kali kedua. Namun kata-katanya berjaya membulatkan mata Ainul. Pantas saja lelaki itu menyambut.
“Hah, itu tandanya kau ada harapan nak tackle dia. Lagi senang dibuatnya kalau dia dah rapat dengan family kau. Kalau macam tu keadaannya, kau ajelah yang kena main peranannya sekarang tapi jangan sampai over pulak. Karang jangan kata suka, lagi dia meluat kat kau adalah.”
Ainul memusing muka pada Isma pula. Lelaki itu hanya berdiam diri sejak beberapa lama. Seakan berfikir sesuatu.
“Hei Is, kau kenapa? Diam pulak tiba-tiba. Kau teringat siapa pulak ni?” soal Ainul sempat menyiku lengan lelaki itu.
Isma tersentak kecil seraya menggeleng sedikit. Nafasnya dibuang perlahan.
“Kau orang tahu, masa aku balik kampung hari tu, aku ternampak seseorang kat tempat arwah isteri aku suka melepak dulu. Aku terkejut sangat bila tengok muka perempuan tu mirip benar dengan muka arwah isteri aku.
Bukan mirip lagi dah, memang dia agaknya. Ya ALLAH... rasa macam nak tercabut jantung aje aku rasa waktu tu. Aku nak sapa tapi bila aku pergi aje kat tempat dia berdiri tu, terus dia tak ada.” Ceritanya bersungguh-sungguh.
“Kau ni biar betul Is. Takkanlah arwah isteri kau si Kamilia tu hidup balik? Dah bertahun-tahun dia pergi tinggalkan kita. Manalah orang yang dah mati boleh hidup semula Isma Zulkarnain oii.”
Ternyata cerita Isma mengejutkan kedua-dua sahabatnya.
Faris yang bersuara tadi memandangnya dengan riak tak percaya. Ainul juga begitu.
“Ya ALLAH, betul aku cakap Ris. Depan mata aku dia berdiri kat tebing sungai tempat isteri aku suka duduk dulu. Aku nak jerit panggil dia tapi tak tahu kenapa suara aku tak ada langsung waktu tu. Berat benar rasanya mulut aku. Macam ada ketul batu kat dalamnya.” Isma cuba meyakinkan sahabat-sahabatnya.
“Aku rasalah Is, mungkin itu hanya bayangan kau saja. Yalah, kau kan rindu sangat pada arwah Kamilia. Sebab tulah kau boleh ternampak bayang dia kat situ. Kena pulak tempat yang kau pergi tu tempat kegemaran dia. Rembang petang pulak tu. Lagilah.” Seperti Faris, Ainul juga tidak dapat mempercayai kata-kata lelaki itu.
“Betul tu Is. Mungkin kau terlalu rindukan arwah Kamilia sebab tulah kau ternampak bayang dia masa kau kat sungai tu. Aku rasa semua tu hanya khayalan kau aje,” sampuk Faris lembut. Tidak mahu menyinggung perasaan sahabat yang telah lama dikenali itu. Wajah buntu Isma dipandang lama.
“Aku pun sebenarnya fikir perkara sama. Tapi lepas tu aku yakin sangat yang aku tak bermimpi sebab aku jumpa kesan tapak kaki perempuan kat situ. Kesan tu masih elok lagi. Macam baru wujud kat situ,” balas Isma cepat.
“Boleh jadi kesan tapak kaki tu kepunyaan orang lain yang datang ke situ dan kau pulak terbayang wajah isteri kau kat wajah orang tu. Sebab tulah kau terfikir orang yang datang ke sungai tu adalah arwah isteri kau,” sangkal Ainul segera.
Isma terdiam seketika. Cuba mencerna kebenaran sanggahan kedua-dua sahabatnya.
“Aku fikirlah Is, baik kau lupakan saja apa yang kau ternampak hari tu. Semua tu hanya khayalan kau saja. Mustahil Kamilia hidup semula. Dah bertahun-tahun arwah isteri kau tu meninggal dunia. Jasad dia pun dah lama tersimpan di kawasan perkuburan kat kampung tu. Mana mungkin dia boleh wujud lagi Is walhal dia telah lama berada di alam bazakh sana,” nasihat Faris pula.
Isma perlahan-lahan mengangguk. Cuba menerima kata-kata mereka biarpun hatinya masih kuat mengatakan pandangannya tidak silap hari itu.
Dia pasti memang Kamilia yang dilihatnya waktu itu. Dia begitu pasti! Bagaimanapun rasa itu hanya disimpan dalam hati. Tidak lagi diluah keluar memandangkan dia yakin. Ainul dan Faris pasti tidak dapat menerimanya.
Lalu dia kembali membuka mulut. Melencong isi bicara mereka berkenaan perkara lain. Sekali gus merancakkan semula perbualan ketiga-tiga lelaki itu sebagaimana biasa.

HARI telah petang. Matahari telah lama membenam di kaki langit. Memberi petanda tugasnya hari itu bakal berakhir tidak lama lagi. Memberi izin pada sang malam untuk mengambil giliran sebelum muncul semula buat keesokannya. Pusingan hidup yang terus-terusan berlaku hingga kiamat selagi diizinkan-NYA.
Ainul memperlahankan gerakan keretanya tatkala terpandang lampu isyarat bertukar merah di depan. Sambil menunggu lampu bertukar warna, dia membuang pandang ke sekeliling. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan besar itu ketika ini.
Menjadikan suasana jalan kelihatan lengang dan sedikit sepi memandangkan waktu pejabat telah lama berlalu. Kedengaran pula Azan Maghrib berkumandang dari masjid terdekat. Menandakan waktu untuk menunaikan perintah DIA yang Satu kembali semula buat kesekian kali. Sekali gus menenangkan hati Ainul yang kehabisan tenaga setelah seharian menghabiskan masa di pejabat.
Gerak mata Ainul terhenti di satu arah tatkala matanya terpandang sepasang suami isteri di pinggir jalan. Sambil menanti kedatangan bas, kedua-duanya berbual mesra. Dua pasang mata milik mereka turut diliarkan. Memerhati gelagat kedua-dua anak kecil yang saling bergurau senda di sisi mereka.
Sesekali kedengaran si ibu meninggi suara bila anak lelakinya terus-terusan mengusik si adik. Mencetuskan tangisan anak perempuan comel itu. Tanpa banyak bicara, si ayah terus mendapatkannya. Mendukung dan memujuk sebelum tidak lama kemudian anak kecil itu kembali tertawa girang. Lupa pada kesedihannya dan kembali bergurau senda dengan si abang yang masih tidak jemu mengusik adik kesayangan.
Ainul tersenyum panjang. Hatinya sedikit tercuit tatkala melihat tingkah empat beranak itu. Tidak semena-mena dia teringat pada impiannya suatu ketika dulu. Impian yang dianyam bersama wanita pertama yang bertakhta di hatinya. Alia. Kedua-dua mereka pernah membina impian sama. Ingin mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan yang comel dan keletah.
Malah jika diizinkan, mereka ingin lebih dari itu. Biar menjadi seramai mungkin agar rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu meriah dan ceria dengan kehadiran permata hati tanda cinta mereka. Saling bantu-membantu dalam membesar dan mendidik semuanya agar menjadi manusia yang berguna baik di dunia mahupun akhirat. Sayang, semuanya hanya tinggal impian apabila mereka berpisah. Masing-masing hidup di jalan pilihan sendiri kini.
Sekali gus menimbulkan semula rasa geram dan kecewa di hati Ainul sebaik teringatkan semua itu. Serta-merta dia merengus marah. Kurang senang dengan apa yang sedang difikir akalnya ketika ini. Lalu dengan kadar segera dia menghilangkan bayangan Alia dari terus bertapak di mindanya.
Laju saja tangannya menukar kedudukan gear tatkala lampu isyarat telah bertukar warna. Dia terus menekan minyak seraya memecut pergi. Meninggalkan segala kenangan yang turut hilang dalam perjalanan pulangnya. 

BERSATU DALAM CINTA : BAB 19


BAB 19

 “JEMPUT minum airnya Yati,” pelawa Puan Almas menyorong sedulang minuman pada Puan Hayati.
Bekas besannya mengangguk kecil.
“Kau dari mana ni? Amboi, bukan main lawa lagi. Baru balik dari apa-apa majlis keraian ke?” usik Puan Almas. Sahabat baiknya itu terus merengus halus.
“Majlis ke bendanya tengah-tengah hari begini Mas oii. Aku ni sebenarnya baru balik dari rumah mentuanya si Ammar. Saja pergi melawat besan aku tu.
Salah seorang cucu dia yang tinggal dengan dia jatuh masa main bola sepak kat sekolah beberapa hari lepas. Nasib baiklah cuma bengkak biasa aje tapi demam jugaklah budak tu sehari dua dibuatnya.” Sambil itu dia mencapai minumannya sebelum diteguk beberapa kali. Hilang dahaganya sebaik sahaja air sejuk itu melepasi tekaknya.
“Lah, iya ke? Habis tu tak dibawa ke hospital ke?”
“Dia orang bawa dia ke klinik aje. Itu pun puas jugaklah dia orang pujuk budak tu kata besan aku. Maklumlah, cucunya itu macam cucu sulung aku jugaklah, penakut benar nak jumpa doktor. Pantang kata nak dibawa ke doktor, hilang terus sakitnya,” ujar Puan Hayati tertawa kecil dengan kata-katanya sendiri.
Puan Almas tumpang meluah tawa. Geli hati dengan kata-kata wanita itu.
“Dah lama rasanya aku tak jumpa dengan Alia. Apa khabar anak perempuan kau tu?” Puan Hayati menukar arah bicara mereka.
Wajah Puan Almas yang terus bertukar riak mencuka itu dipandang sekejap. Giliran wanita itu pula merengus halus.
“Macam tu jugaklah Yati oii. Siang malam sibuk dengan kerja-kerjanya kat pejabat tu. Ada masa dia baliklah ke sini. Itu pun sekejap ajelah. Tak pun dia balik ke sini kalau aku atau ayahnya yang suruh balik. Kalau tak jangan haraplah kau nak tengok muka dia tu kat sini,” rungut Puan Almas benar-benar tidak senang dengan sikap anak bongsunya.
“Macam tu jugaklah perangainya si Ainul tu pun Mas. Sama aje macam Alia. Dua puluh empat jam hanya tahu kerja, kerja, kerja. Langsung tak fikir pasal masa depan sendiri,” luah Puan Hayati turut mengeluh.
“Aku nikan Mas, selalu terfikir. Apalah kesudahannya pada nasib kedua anak kita tu? Elok-elok dah jadi suami-isteri, dah bercerai-berai pulak. Walhal semua tu terjadi pun hanya satu sebab, salah faham. Itu aje.
Tapi sampai sekarang susah benar kedua-duanya nak berbaik-baik. Dah jadi macam musuh ketat pulak. Pantang bersua muka, nak bercakar aje tahunya pun. Kita yang tengok ni pula yang naik rimas dibuatnya. Entahlah,” keluhnya lagi.
“Itulah Yati. Jangan kata kau, aku suami isteri pun samalah jugak. Dah tak tahu nak buat apa pasal budak berdua tu. Makin kita cuba baikkan dia orang, makin teruk pulak jadinya. Setakat bertekak depan ahli keluarga sendiri tak kisah lagilah. Ini dah sampai satu pejabat boleh tengok perangai kedua-duanya. Betullah tak matang.
Masa bercinta dulu, nak berpisah sesaat pun tak boleh. Siang malam berkepit berdua ke hulu ke hilir. Dah balik rumah pun masih bertelefon, bermesej lagi sampai meracau-racau dalam tidur. Tup-tup tak sampai setahun jadi suami isteri begini pulak jadinya. Seorang ke selatan, seorang ke utara. Hei, betullah aku tak faham dengan kerenah dia orang ni.” Puan Almas turut mengambil kesempatan meluah rasa tak puas hatinya.
“Apapun Mas, aku masih berharap yang Alia dan Ainul dapat berbaik semula lepas ni. Bukannya apa, keluarga aku dan keluarga kau dah lama berkawan baik. Dari kita berempat masih bujang lagi. Kalau boleh aku naklah hubungan kita ni kekal sampai ke hujung nyawa. Tak adalah nak bermusuh ketat macam yang dibuat anak-anak kita tu. Buat panas hati aje melihatkan perangai Ainul dan Alia tu,” jelas Puan Hayati semula. Penuh mengharap.
“Betul cakap kau tu. Ikutkan hati marah aku ni, nak saja aku bagi penampar kat budak berdua tu. Biar sedar diri sikit. Umur masing-masing dah lebih dari 30, tapi perangai mengalahkan budak-budak. Dengan keras kepalanya, ego tak bertempatnya, langsung tak tahu nak beralah. Buat sakit jiwa kita aje yang tengok. Makin tua bukan makin nak menyenangkan hati mak ayah. Lagi menyusahkan hati kita berempat adalah,” marah Puan Almas pula.
“Apa nak buat Mas, dah nasib kita berempat dapat anak-anak perangai macam ni. Nak kata kita tak bagi nasihat, dah berbuih mulut kita ni bercakap untuk kebaikan dia orang. Nak biar macam tu aje pun tak boleh jugak. Dah nama pun anak, sikit sebanyak masalah dia orang kenalah kita ambil tahu. Hai, entahlah. Aku pun dah tak tahu nak kata apa lagi.” Puan Hayati mengeluh buat kali seterusnya.
“Tapi macam aku kata tadilah Mas, biar apapun yang berlaku aku tetap berharap agar anak-anak kita kembali bersatu macam dulu. Aku tak pernah terfikir pun nak terima orang lain sebagai menantu aku selama ini.
Dan aku harap Ainul takkan jatuh cinta pada mana-mana perempuan lain selain dari anak kau tu saja. Itu harapan aku Mas dan aku tahu itu juga harapan kita semua,” sambung Puan Hayati.
Puan Almas mengangguk kecil. Bersetuju dengan kata-kata bekas besannya.

FARIS menarik nafas panjang. Seharian menghabiskan masa dengan menghadap komputer menjadikan tubuhnya benar-benar tidak bermaya ketika ini memandangkan begitu banyak kerja yang perlu disiapkannya. Biarpun bercuti namun menjadi kemestian bagi Faris untuk melangsaikan tugasan syarikat yang dirasakan perlu disiapkan segera.
Skrin komputer yang telah kelam dipandang sekilas sebelum dia terus bangun. Membuat sedikit regangan sebelum melangkah ke luar bilik. Menapak ke tingkat bawah sebelum menghala ke halaman rumah. Ingin mendapatkan kedua-dua orang tuanya.
Rancak sungguh suami isteri itu bercerita sesama sendiri. Telah menjadi satu kebiasaan bagi emak dan ayahnya untuk berada di laman rumah pada waktu petang begini. Berbual sambil sama-sama menikmati minum petang.
Faris baru ingin melangkah ke laman tatkala matanya terpandang seseorang di balik pagar pemisah rumahnya dan rumah jiran. Begitu ralit gadis itu menyapu halaman hingga tidak berkalih wajah ke kiri mahupun kanan. Cermat dan penuh hati-hati. Menjadikan Faris yang telah dua tiga hari tidak melihat wajah itu segera mengukir senyuman lebar.
Terasa diri segar bugar serta-merta. Tenaga yang hilang dek kesibukan menyiapkan kerja sepanjang hari dirasakan kembali memenuhi ruang tubuh di kala ini. Seolah-olah tenaga baru telah dicas masuk menggantikan rasa letih yang terus menghilang sebaik terpandang wajah gadis idaman.
Tanpa bunyi namun pantas dia mengatur langkah ke anjung. Menapak ke pagar dawai yang memisahkan kedua-dua halaman rumah banglo berbentuk semi D itu. Sedangkan mata masih tidak berganjak dari wajah yang dilitupi kelubung hitam itu. Rona sama mewarnai pakaian lazimnya. Jubah.
“Assalamualaikum. Hai, boleh saya berkenalan dengan awak?” Sopan Faris menyapa. Mendekatkan wajah ke celah pagar dengan senyuman mekar tak lekang dari bibir.
Dia mengulangi soalan tatkala kelihatan gadis itu seperti tidak mendengar pertanyaannya. Sedikit kuat dari tadi.
Wafi tersentak kecil. Tanpa melihat empunya suara dia menjawab salam segera seraya menegak tubuh. Ligat matanya mencari tubuh yang bersuara tadi sebelum terhenti tatkala terpandang Faris berdiri membelakanginya.
“Hai, nama saya Faris. Faris Firdaus, awak?” Dari balik pagar separas kepala manusia Faris bersuara. Menguntum senyuman semanis mungkin buat tatapan Wafi.
Gadis itu hanya merengus kecil. Tidak peduli dengan kehadiran lelaki itu, dia terus menyambung gerakannya yang terhenti tadi.
Faris sudah tersentak kecil. Melihat penerimaan gadis itu menyebabkan dia sedar. Wafi tidak senang dengan tegurannya. Namun itu tidak melemahkan semangat dia untuk berkenalan dengan gadis beriak masam lagi suram itu.
“Awak tinggal berapa orang kat dalam rumah ni? Mana ya mak ayah awak? Tak nampak dia orang pun. Selalunya ada jugak dia orang duduk melepak kat depan rumah petang-petang macam ni.” Tanpa mengambil kisah sikap dingin Wafi Faris bersuara lagi bila tiada sahutan dari gadis itu.
“Awak memang asal sini ke atau dari tempat lain? Mak saya kata awak tinggal kat luar negara dulu. Boleh saya tahu kat negara mana?” Tidak berputus asa Faris terus melontar soalan. Sedangkan Wafi hanya memekakkan telinga. Malas melayan.
“Nama awak Wafi, kan? Sedap nama awak tu. Awak bekerja sebagai pereka dalaman dari rumah saja ke? Memang awak tak berminat bekerja kat luar ke atau ada sebab-sebab lain yang buatkan awak kerja dari rumah aje?” Faris masih tidak jemu membuka bicara antara mereka.
Faris terus terkunci mulut bila tiba-tiba saja Wafi merengus geram seraya menghempas batang penyapu ke tanah. Dijeling tajam wajah kaku Faris sebelum dia pantas berlalu dari situ. Langsung tidak peduli pada Faris yang kembali terkedu dengan tingkah spontan gadis itu.
Perlahan-lahan riak wajah lelaki itu disaluti rasa kecewa. Kecewa niatnya untuk memulakan perkenalan dengan gadis itu tidak kesampaian. Dilepas nafasnya panjang.
Faris baru ingin berpaling tubuh namun tak jadi bila tiba-tiba saja Puan Ainun bergegas mendapatkannya. Sejak tadi wanita itu berdiri di muka pintu rumah seraya memerhati gelagat gadis dan teruna itu.
Terus saja Faris tersenyum hambar tatkala wanita ramah itu bersuara selembutnya.
“Maafkan anak mak cik tu ya Faris. Wafi tu sebenarnya tak biasa berbual dengan lelaki. Sebab tulah dia berperangai macam tu.” Sedikit tergopoh-gapah Puan Ainun meminta maaf bagi pihak anak gadisnya. Bersungguh-sungguh dia meluah kemaafan hingga mengangguk-angguk beberapa kali.
Faris pula sudahpun melebarkan senyuman seraya mengangguk perlahan.
“Oh, begitu rupanya. Patutlah dia buat tak tahu aje bila saya tanya dia. Tapi kenapa masam sangat mukanya tu mak cik? Apa dia memang tak suka berkawan dengan lelaki ke?” Lurus saja dia bertanya. Benar-benar tak faham dengan sikap yang ditunjuk gadis itu.
Lama matanya menatap wajah Puan Ainun yang teragak-agak ingin menjawab. Wanita itu tersenyum sedikit.
“Memang macam tu sikapnya Faris. Dari dulu lagi Wafi memang susah nak senyum terutamanya pada orang yang tak dikenalinya. Tapi esok-esok bila dah lama kenal, ramahlah dia,” beritahu Puan Ainun sekadar ingin menutup kegalauan hati lelaki itu.
“Faris jangan kecil hati dengan perangai anak mak cik tu ya,” sambung Puan Ainun lagi.
Pantas saja Faris menggeleng.
“Taklah mak cik. Buat apa saya nak kecil hati kalau memang begitu perangai dia,” jawab Faris kembali menyimpul senyuman.
“Tak apalah mak cik, saya mintak diri dulu ya.” Sopan dia menyambung kata sebelum mendapatkan kedua-dua orang tuanya di hujung laman rumah.
Puan Ainun mengangguk kecil seraya melepas keluhan pendek. Hanya matanya menghantar langkah Faris berlalu dari situ. Ada rasa terkilan dan kecewa yang tumbuh dalam hatinya di kala ini. Terkilan dengan sikap yang ditunjukkan Wafi. Kecewa dengan keadaan itu.

ISMA meraup wajah setelah selesai berdoa. Agak lama dia berteleku di tikar sejadah sebelum bangun tidak lama kemudian. Bertasbih dan bertahmid sebanyak mungkin setelah selesai menunaikan Solat Isyak.
Satu tabiat yang telah menjadi rutin hidupnya sejak awal remaja. Menjadi salah satu ubat mujarab buat hati yang dirusuh luka mahupun duka. Menghadirkan ketenangan yang tidak mampu digambarkan pada sesiapa yang khusyuk dan tekun melakukannya saban waktu.
Tikar sejadah disidai ke ampaian. Songkok pula diletak di atas meja. Dia melangkah ke salah satu sudut bilik. Menutup rapat daun tingkap yang sejak pagi dibuka luas. Menghadang angin malam dari terus menceroboh masuk.
Dihala langkahnya ke katil semula seraya membenam tubuh di situ. Sedangkan mata sudah terlekat pada sekeping gambar berbingkai kemas di meja kecil. Bersebelahan katil. Dicapai gambar itu sebelum dibawa dekat ke mata. Lama dia merenung wajah wanita yang girang merakam kenangan indah di sisinya suatu ketika dulu.
“Sedar tak sedar dah lapan tahun Lia tinggalkan abang. Sampai ke hari ni abang masih tak dapat lupakan Lia. Malah tak ada seorang perempuan pun yang mampu mengubah arah cinta abang. Semuanya masih tetap terarah pada Lia sama seperti dulu sayang.” Perlahan dan sayu Isma membuang suara. Berbicara seolah-olah arwah Kamilia berada di depannya ketika ini.
“Apa yang boleh abang katakan Lia? Walaupun kita berkahwin atas pilihan keluarga tapi cinta abang hanya untuk Lia seorang. Tak pernah ada perempuan lain dalam hidup abang sebelum dan selepas Lia.
Bukan abang tak buka pintu hati abang pada orang lain tapi abang tak mampu lupakan Lia sayang. Abang terlalu cintakan Lia. Pada abang Lia adalah cinta pertama dan terakhir abang, selamanya.” Perlahan-lahan Isma merebah tubuh ke tilam. Manakala matanya masih melekat di gambar itu.
“Abang sedar apa yang mak dan ayah kata memang benar. Abang perlu cari pengganti Lia tapi apa yang abang boleh buat Lia. Sehingga kini tak ada seorang perempuan pun berjaya menggantikan tempat Lia di sisi abang. Walaupun abang tahu manusia semuanya tak serupa tapi abang tetap berharap yang abang akan dapat perempuan sama serupa seperti Lia. Kalau boleh abang tak mahu cari pengganti Lia pun tapi abang jugak tahu, Lia pasti sedih kalau abang buat keputusan begitu bukan?
Lia ingat lagi tak? Beberapa hari sebelum Lia pergi tinggalkan abang, Lia selalu pesan pada abang supaya mencari pengganti Lia. Pengganti yang lebih baik dari Lia sendiri tapi waktu tu abang selalu marah-marah pada Lia. Abang kata Lia suka cakap merapu dan lepas tu Lia akan menangis. Terpaksalah abang pujuk Lia supaya Lia senyum semula.”
Isma tersenyum sendiri mengenang kenangan indahnya bersama si isteri. Namun hanya seketika. Wajahnya kembali diruntun riak sayu selepas itu.
“Selepas pemergian Lia, baru abang sedar dengan maksud perubahan sikap dan kata-kata Lia. Rupanya semua tu petanda yang Lia akan tinggalkan abang selamanya tapi apa yang abang boleh buat Lia. Abang tak ada kuasa nak melarang Lia untuk tinggalkan abang berseorangan.”
Ketika ini setitis air mata lelakinya tumpah keluar dari kelopak mata. Lekas-lekas dia menyapu.
“Abang mintak maaf Lia kerana sampai sekarang abang masih tak dapat tunaikan janji yang pernah abang buat pada Lia. Lia ingat tak yang Lia mintak abang berjanji untuk kahwin lain dan lupakan Lia kalau terjadi apa-apa pada Lia? Abang tak ikhlas berjanji waktu itu Lia, jauh sekali untuk tunaikannya. Tapi sekarang abang sedar. Abang perlu lakukannya demi melihat Lia bahagia di sana kerana itu satu-satunya impian Lia yang belum abang tunaikan.
Tapi bagaimana abang nak tunaikannya sayang kalau hati abang hanya untuk Lia? Macam mana abang nak terima orang lain dalam hidup abang sedangkan dari dulu cinta abang hanya pada Lia seorang?
Lagipun Lia, mustahil ada perempuan yang lebih baik dari Lia di dunia ni sayang. Abang yakin dan abang pasti, hanya Lia yang terbaik untuk abang. Dari dulu sampai sekarang, hanya Lia yang terbaik untuk abang sayang. Hanya Lia,” rintih Isma terus bersuara sendiri.
Hingga Isma terlelap setelah beberapa lama berkeadaan demikian. Gambar perkahwinannya bersama Kamilia terus-terusan berada dalam dakapannya. Turut hanyut dalam kepekatan malam hingga ke awal pagi. 

BERSATU DALAM CINTA : BAB 18


BAB 18

DAMIA mengatur langkah pantas. Satu tabiatnya sejak dulu. Gemar bergerak pantas namun masih dalam keadaan santun. Dia sebenarnya baru saja selesai bertemu dengan Yusri beberapa minit lalu.
Kawan baik kepada Khuzairi itu banyak membantunya mencari pelbagai maklumat berkaitan dengan kes kemalangan yang meragut nyawa Kamilia lapan tahun lalu. Menyandang jawatan sebagai salah seorang pegawai polis berpangkat inspektor memudahkan Yusri memberi maklumat yang diperlukan Damia. Begitupun segalanya masih dilakukan dalam prosedur yang sepatutnya.
Sebaik sahaja terpandang keretanya di hujung jalan, Damia mempercepatkan langkah. Apatah lagi bahang panas tengah hari makin terasa di ubun kepala. Namun langkahnya menjadi perlahan sebelum terhenti dengan sendiri tatkala mata dia terpandang seseorang berdiri tidak jauh dari tempat dia berada.
Lama dia menatap wajah lembut itu. Mencari kepastian sebelum dia menapak semula. Kali ini mendapatkan batang tubuh yang sejak tadi tertinjau-tinjau kepalanya. Seakan mencari sesuatu di perhentian bas itu.
“Maafkan saya. Kalau tak silap, awak ni Laila bukan?” Damia terus bertanya sebaik sahaja berdiri di depan gadis itu.
Wafi tersentak kecil. Dia yang sejak beberapa minit lalu menanti kedatangan teksi segera berpaling. Dia sedikit tergamam tatkala terpandang seseorang yang tidak dikenali tersenyum lebar padanya.
“Awak Laila bukan?” Damia mengulangi soalan tadi. Matanya masih melekat di wajah terkejut bercampur terpinga itu.
“Laila?” Wafi sudah mengerut dahi.
Damia pula tersenyum gembira.
“Kau Lailatul Wafi kan?” soal Damia mula sebak. Terlalu gembira dengan pertemuan tidak terduga itu.
Wafi mengangguk pantas.
“Ya saya. Awak ni siapa?” Dalam takut-takut dia bertanya. Bimbang gadis yang kelihatan kasar sikapnya itu berniat serong padanya.
“Kau tak ingat aku Ila? Aku Damia, Damia Karmila cucu Nenek Tijah, kawan baik kau masa kita kat kampung dulu.”
Air mata Damia sudah mengalir laju.
Sebaknya bertambah-tambah ketika ini. Lama mata basahnya memandang Wafi yang tiba-tiba saja turut bergenang air mata. Hanya menanti masa untuk menitik.
“Damia? Kau Damia?”
Wafi benar-benar terkejut bila Damia terus saja memeluk erat tubuhnya. Lalu dia membalas kejap. Sama-sama mengalir air mata gembira tanpa peduli dengan pandangan terpinga-pinga orang sekeliling melihatkan tingkah kedua-duanya.
“Ya ALLAH Mia, lamanya aku tak jumpa kau. Aku betul-betul tak percaya yang kau ada kat depan mata aku sekarang.” Dalam teresak Wafi bersuara hiba. Benar-benar sebak dengan pertemuan itu.
Damia mengangguk laju.
“Dah lebih dari sepuluh tahun kita berpisah. Tak sangka aku, baru sekarang kita berjumpa semula,” sahutnya terus mengesat mutiara jernihnya dari terus mengalir.
“Kau buat apa kat KL ni Ila?” tanya Damia.
“Aku tinggal kat sini sekarang. Aku sebenarnya baru saja berpindah ke sini. Adalah dalam sebulan dua begitu. Kau pula buat apa kat sini?” tanya Wafi kembali tenang. Diikutnya langkah Damia yang mula menapak ke satu arah.
“Aku kerja kat sini. Kat firma guaman ayah Karmila,” sahut Damia memeluk erat bahu gadis itu.
“Firma guaman? Maksudnya kau dah jadi peguam sekarang?” soal Wafi dengan mata terbeliak. Seakan tidak percaya biarpun bibirnya sudah menguntum senyum gembira.
Damia mengangguk sambil tersenyum panjang.
“Alhamdulillah, tercapai jugak hajat kau nak jadi peguam ya,” sambung Wafi tumpang gembira dengan pencapaian gadis itu.
“Kau pulak macam mana? Berjaya tak menjadi pereka hiasan dalaman impian kau tu?” soal Damia pula terus mengembang senyuman bila Wafi pantas mengangguk.
“Alhamdulillah, sama macam kau aku jugak dapat apa yang aku inginkan Mia tapi aku lakukan kerja tu dari rumah saja. Aku tak berminat nak bekerja di mana-mana syarikat selepas apa yang berlaku dalam hidup aku dulu,” tenang dia meluah isi hatinya.
“Aku turut bersimpati dengan apa yang berlaku pada kau Ila. Apapun aku mintak maaf sangat-sangat sebab waktu kau perlukan aku, aku tak ada di sisi kau. Aku dah berada di luar negara waktu semua itu berlaku,” luah Damia penuh sebak seraya meramas lembut jari-jemari Wafi. Rasa bersalah benar-benar menguasai hatinya ketika ini.
Wafi menggeleng laju.
“Jangan cakap macam tu Mia. Jangan kau rasa bersalah pada aku. Semuanya dah menjadi ketentuan ALLAH. Aku kena terima semuanya dengan redha.” Pantas saja dia menyahut seraya membalas erat genggaman gadis itu. Begitu tenang biarpun hatinya dibalut pilu tatkala menutur kata-kata itu.
“Oh ya Mia, apa khabar Lia? Dia buat apa sekarang?
Dapat tak dia capai impian dia nak jadi pereka fesyen yang terkenal tu?” Wafi terus mengubah arah bicara mereka. Tidak mahu lagi kisah peritnya diungkit keluar.
Namun pertanyaan itu berjaya mematahkan senyuman Damia serta-merta. Segera saja wajah tenangnya bertukar keruh.
“Lia dah tak ada dalam dunia ni Ila. Dia dah tinggalkan kita semua sejak beberapa tahun lalu.” Lambat-lambat Damia bersuara sedikit sayu. Cuba mengawal sebak yang kembali membungkus hati.
Wafi terkaku sejenak.
“Maksud kau Lia dah...” Kata-katanya terhenti di situ bila Damia pantas mengangguk.
“Dah hampir lapan tahun dia tinggalkan kita Ila. Dia pergi setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke bank dari butiknya. Dan sekarang ni butiknya tu diuruskan oleh isteri abang kami, Kak Mimi,” ceritanya ringkas. Membuatkan Wafi tertunduk pilu semula. Air mata yang kembali menitis, disapu segera.
“Ila, ke mana kau menghilang selama beberapa tahun ni?” Soalan Damia berjaya memanggung kepalanya. Dia tersenyum hambar.
“Aku merantau jauh Mia. Aku tinggal di Morocco sebelum mak dan ayah aku ambil keputusan untuk balik menetap semula di Malaysia,” ujarnya sayu.
“Ooo... begitu,” Damia mengangguk lagi.
“Ila, kau ada masa tak hari ni? Jom kita keluar jalan-jalan. Sambil tu bolehlah kita berborak panjang. Ada banyak cerita yang ingin aku kongsi dengan kau.” Damia terus menyambung kata. Memandang Wafi sudah membentuk kerutan di dahinya.
“Kau tak kerja ke hari ni?” soalnya.
“Tak. Aku cuti hari ni. Ada kerja yang aku lakukan tadi dan sekarang aku dah free. Jom, kita pergi minum kat mana-mana,” ajak Damia terus mendapatkan keretanya.
“Okeylah kalau macam tu. Aku ikut kau aje.”
Tanpa berfikir panjang, Wafi terus bersetuju. Dia turut melangkah mengikuti Damia. Mendapatkan kereta gadis itu sebelum tak lama kedua-dua gadis itu telah berada di atas jalan raya.

“SELAMAT pagi Lily,” sapa Ainul mesra tatkala dia melalui meja wanita berbangsa Kadazan itu suatu pagi.
“Selamat pagi Encik Ainul,” jawab setiausahanya penuh hormat.
“Oh ya Encik Ainul. Encik Azmi mintak Encik Ainul ke biliknya sekarang,” beritahu Lily sebelum sempat Ainul menolak pintu bilik pejabatnya. Dikerut dahinya sekejap.
“Ada apa dia nak jumpa dengan saya?” soal Ainul sedikit hairan.
Lily menjongket bahu.
“Tak tahulah pulak saya sebab apa Encik Ainul. Dia cuma tinggalkan pesan tu saja masa dia call sebentar tadi,” sahut wanita itu.
Ainul melepas nafas perlahan sebelum kembali membalik tubuh. Mendapatkan Lily yang masih berada di mejanya.
“Hmm... tak apalah Lily, awak tolong bawa masuk briefcase saya ni ke dalam bilik saya ya. Saya pergi jumpa dia sekarang,” suruhnya terus berlalu ke lif terdekat.
“Baik Encik Ainul,” patuh Lily lalu segera melaksanakan arahan ketuanya. Tidak lama kemudian, dia kembali meletak punggung di meja. Menyambung tugasan yang terhenti tadi.
Ainul menapak keluar dari lif sebaik sahaja tiba di tempat dituju. Dia sekadar mengangguk seraya tersenyum tatkala ada beberapa pekerja di aras itu menegurnya. Segera dia mengetuk daun pintu sebaik sahaja berdiri di depan bilik pejabat ayahnya.
“Ayah panggil orang?” soal Ainul terus menjengul kepala di balik pintu yang dibuka suku.
Dia terus menapak masuk bila terpandang gamitan jari-jemari Encik Azmi ke arahnya.
“Hah Ainul. Mari ayah kenalkan kamu dengan wakil Syarikat Usaha Jaya Holdings Berhad, Cik Ruzana Datuk Malik,” ujar Encik Azmi mengunjuk jari pada seorang wanita yang sejak tadi ralit berbual dengannya.
Wanita itu terus bangun. Ainul pula tergamam terus tatkala terpandang wajah itu. Terpegun dengan kejelitaan yang dimilikinya. Terasa hatinya ditendang debaran ketika ini. Sesuatu yang jarang berlaku padanya sejak beberapa lama dulu.
“Hai, apa khabar? Saya Ruzana.” Penuh karisma dan yakin wanita itu menghulur salam perkenalan. Menyua tangan pada Ainul yang segera menyambut.
“Saya Ainul, Ainul Hayat,” sahutnya sedikit gugup.
Masih terkaku melihatkan tingkah dan penampilan wanita jelita itu. Begitu bersahaja dalam gayanya yang tersendiri. Segera dia meletak punggung di sofa sebaik saja genggaman tangan mereka terlerai. Tidak jauh dari wanita itu dan ayahnya.
“Sebenarnya Ainul, ada sesuatu yang ayah ingin bincangkan dengan kamu.” Encik Azmi terus membuka bicara antara mereka semula. Sedikit serius.
“Begini Ainul. Syarikat Datuk Malik telah menawarkan kita satu projek hartanah yang bakal dijalankan secara kerjasama antara syarikat kita dan syarikat mereka. Memandangkan ini projek pertama yang ditawarkan kepada kita dan membawa keuntungan hampir jutaan ringgit, maka sayang rasanya untuk ayah lepaskan peluang keemasan ni.
Malangnya ayah tak dapat kendalikannya memandangkan ayah sibuk menguruskan projek-projek lain dan kebetulan pulak Along kamu baru saja mengambil alih projek ayah dan Ayah Zali maka dia pun tak dapat nak membantu ayah. Jadi ayah berpendapat elok benarlah kalau kamu saja yang uruskan projek ni bersama Ruzana sebagai wakil kepada syarikat kita,” terang Encik Azmi bersungguh-sungguh.
Menampakkan harapannya untuk menjayakan projek yang julung kali diadakan dengan salah sebuah syarikat hartanah terkemuka di Malaysia itu.
“Jadi apa pendapat kamu Ainul?” Pertanyaan itu mengundang sentakan kecil Ainul. Agak terkejut dia dengan terjahan soalan tiba-tiba itu.
Sejak tadi dia hanya ralit menatap wajah Ruzana tanpa memberi sepenuh perhatian pada kata-kata ayahnya. Wanita itu hanya mengulum senyuman padanya. Penuh gula.
“Orang serah segalanya pada ayah. Apa yang baik pada ayah, baik jugaklah pada orang.” Tergagap-gagap Ainul menyahut. Sedikit tergadah dengan pertanyaan itu.
Hakikatnya dia masih terpegun dengan pertemuan dia dan Ruzana. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia bertemu dengan seorang wanita sejelita Ruzana. Malah begitu jelita jika dibandingkan dengan semua wanita tercantik dunia di matanya. Dengan penampilan sedikit seksi dan tingkahnya yang begitu menyenangkan, menjadikan mata lelaki Ainul tidak mampu lari dari terus melekap di wajah menawan itu.
Encik Azmi mengangguk penuh gembira.
“Kalau macam tu ayah serahkan perkara ni kepada kamu mulai sekarang. Ayah mintak diri dulu ya. Ada mesyuarat yang perlu ayah hadiri sekarang. Ruzana, silakan,” ujar Encik Azmi sebelum bangun berlalu keluar dari situ. Meninggalkan mereka yang sehingga kini masih saling bertukar pandangan dan senyuman.
“Kenapa awak pandang saya begitu sekali? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka saya ni ke?” Ruzana terus bertanya sebaik sahaja kelibat Encik Azmi hilang dari pandangan mereka. Terperasan dia dengan renungan tak berkelip lelaki itu padanya. Bulat mata hitamnya memandang Ainul seraya menguntum senyuman. Penuh manja. Menjadikan lelaki itu sedikit terkesima. Agak malu dengan teguran lembut lagi kedengaran manja itu.
“Maaflah Cik Ruzana, saya sebenarnya masih tergamam bila tengok Cik Ruzana. Tak pernah saya jumpa perempuan secantik Cik Ruzana ni. Cantik sangat sampai saya rasa semua Miss World yang ada dalam dunia ni pun boleh kalah di tangan Cik Ruzana kalau Cik Ruzana yang masuk bertanding.” Dalam berseloroh Ainul berterus-terang.
Dia terpana semula bila wanita itu meluah tawa kecil. Agak ralit dengan tawa yang kedengaran lunak di telinganya. Sedang hatinya sudah dihambat debaran buat kali kedua. Lebih hebat dari yang pertama.
“Awak ni Ainul, pandai betul bergurau. Saya ni biasa-biasa saja orangnya, bukannya secantik mana pun. Serupa saja seperti orang lain,” ujar Ruzana tertawa lagi.
By the way, tak payahlah awak bercik-cik dengan saya. Panggil saja Ruzana. Tapi saya lebih suka kalau awak panggil saja Zana. Itu lebih mesra,” sambungnya.
Kali ini dengan penuh menggoda bersama senyuman menawannya. Membuatkan hati Ainul dipukul debaran lagi. Sedikit terkaku melihatkan tingkah pesona lagi bersahaja wanita itu.
So, boleh kita mulakan perbincangan kita sekarang?” Pertanyaan lembut Ruzana hanya dibalas dengan anggukan kecil Ainul.
Buat seketika dia tidak mampu bersuara. Sekadar mengulum senyuman. Tanda senang dengan tingkah wanita itu. Sedang hatinya terus-terus ditendang debaran ketika ini.

WAFI sedang melipat pakaiannya bila pintu biliknya diketuk seseorang. Saat dia berpaling, Puan Ainun sudah berdiri di muka pintu yang sejak tadi tidak ditutup rapat.
“Mak ganggu Wafi ke?” tanya wanita itu lembut.
Wafi tersenyum sedikit.
“Taklah. Masuklah mak,” pelawa Wafi.
Puan Ainun terus melangkah masuk. Langsung melabuhkan punggung di pinggir katil. Bersebelahan dia.
“Wafi tak melukis petang ni?” soal Puan Ainun sekadar berbasa-basi.
Gadis itu menggeleng perlahan.
“Taklah mak. Wafi nak rehat aje hari ni. Boring jugak rasanya kalau hari-hari melukis. Sekali-sekala nak jugak Wafi buat aktiviti lain,” sahutnya dengan senyuman kecil di bibir. Sedangkan tangan masih ligat menjalankan kerjanya.
“Boleh mak tanya Wafi sesuatu?” tanya Puan Ainun setelah beberapa ketika hanya melihat pergerakan tangan anak gadisnya.
“Mak nak tanya apa?” Tanpa mengangkat kepala Wafi bertanya.
Puan Ainun mengulum senyuman.
“Mak perasan sehari dua ni Wafi nampak gembira sangat daripada biasa. Kenapa Wafi? Tak ada apa-apa perkara yang Wafi ingin kongsikan dengan mak ke?” soal Puan Ainun benar-benar ingin tahu makna perubahan keadaan anak gadisnya. Biarpun perubahan itu secubit cuma namun cukup untuk menyenangkan hati dia dan Encik Musaid.
Wafi terus mencantum kedua-dua kening.
“Gembira macam mana maksud mak?” soal Wafi kurang faham. Wajah tenang emaknya dipandang semula.
Puan Ainun tersenyum lagi.
“Gembira Wafi tu macam Wafi dah dapat apa yang Wafi hajatkan selama ni,” ujar Puan Ainun. Sekali gus memekarkan senyuman gadis itu.
Lalu dengan penuh rasa kesyukuran dia membuka cerita. Bersyukur atas segala kegembiraan yang diperolehinya lewat kebelakangan ini.
“Sebenarnya mak, Wafi memang gembira sangat beberapa hari ni sebab Wafi bertemu dengan seseorang yang begitu Wafi rindui sejak bertahun-tahun lalu. Kami bertemu masa Wafi keluar beli barang-barang lukisan dua tiga hari lepas.
Wafi nak beritahu mak tapi Wafi asyik lupa saja. Maklumlah, bila Wafi menghadap lukisan aje, Wafi terus lupa pasal perkara lain. Ini mak dah tanya baru Wafi teringat pasal ni.” Gadis itu terus melebarkan senyuman.
Hingga terserlah lekuk lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Sesuatu yang jarang dapat dilihat oleh sesiapa memandangkan bukan menjadi sikap Wafi untuk selalu mengukir senyuman.
“Iya? Wafi jumpa siapa?” Puan Ainun ikut teruja memasang telinga.
Hakikatnya dia gembira dengan keadaan itu. Gembira melihatkan riak ceria di wajah lembut itu. Tidak seperti selalunya. Riak muram dan duka menjadi penghias utama.
Wafi terus membuka mulut. Tak sabar nak bersuara.
“Mak ingat tak pada Damia, kawan baik Wafi sejak kecil lagi?”
“Damia? Yang mana satu ya?” Puan Ainun terus meligatkan otak. Cuba mengorek semula ingatan silam yang telah lama ditinggalkan.
“Alah, anak arwah Pak Cik Daud dan Mak Cik Khairiah yang tinggal di sebelah rumah Wafi tu. Dia tu cucu Nenek Tijah, bidan terkenal kat kampung tempat kami lahir tulah,” beritahunya.
Agak lama Puan Ainun mengerut dahi. Memerah ingatan sebelum dia mengangguk seraya tersenyum selepas itu.
“Kalau tak silap mak, Damia tu budak yang perangainya macam lelaki tu kan? Yang rambutnya selalu pendek macam rambut budak lelaki tu kan? Bukan ke dia yang selalu kena rotan dengan Nenek Tijah sebab suka memanjat pokok rambutan depan rumah kamu tu?” tanya Puan Ainun meminta kepastian.
Wafi terus mengangguk laju.
“Haah, dia tulah mak.” Gadis itu sudah tertawa kecil.
“Tapikan mak, Damia dah berubah tau. Dia dah cantik sangat sekarang. Rambutnya tu dah panjang ke pinggang, lebat lagi. Penampilannya pun dah serupa macam perempuan lain. Wafi masa kali pertama kami berjumpa sampai tak kenal. Perangai dia masih jugak sama macam dulu. Keras macam lelaki tapi lembut sikitlah berbanding masa kami kecil dulu.” Penuh ceria Wafi bercerita tentang perubahan sahabat baiknya.
Puan Ainun sudah mengangguk-angguk tersenyum.
“Habis tu apa budak Damia tu buat sekarang?” soal Puan Ainun.
“Sekarang ni dia dah jadi peguam terkenal mak. Dia kerja kat firma ayah saudara dia tu. Alah, ayah pada Kamilia, sepupu dia tulah,” ramah Wafi memberitahu.
Kepala Puan Ainun mengangguk lagi. Turut menumpang gembira dengan khabar yang baru berada dalam pengetahuannya itu.
“Sebut pasal Kamilia, apa pulak yang budak tu buat sekarang? Dia pun sebaya kamu berdua, kan?” soal Puan Ainun.
Terus teringat pada sepupu Damia yang nyata berbeza sikapnya dengan Damia. Begitu lemah-lembut dan gemar bergaya. Mudah menangis andai diusik dan manja orangnya. Namun berhati baik dan sopan seperti Damia juga.
Pertanyaan itu menjadikan awan mendung segera berarak ke wajah Wafi. Dia terkelu seketika sebelum lambat-lambat dia bersuara. Agak sayu.
“Kamilia dah lama tak ada mak. Dia meninggal dunia beberapa tahun lepas sewaktu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Masa tu dia mengandung tiga bulan,” jawab Wafi pilu dengan pemergian wanita itu yang juga merupakan teman sepermainannya sejak kecil selain Damia. Menjadikan mata Puan Ainun terbeliak serta-merta. Terkejut.
“Innalillah. Maksud kamu Kamilia meninggal masa dia dah jadi isteri orang?” Soalan itu hanya dibalas dengan anggukan lemah Wafi.
Puan Ainun melepas nafas panjang.
“Siapa sangka ya, umurnya tak panjang. Kamilia tu baik budaknya. Walaupun dia membesar di bandar tapi dia tak pernah kekok tinggal di kampung. Rajin membantu orang tak kira siapa pun. Mak rasa macam tak percaya aje yang dia dah pergi terlebih dulu dari kita semua.”
Ternyata wanita itu turut diruntun rasa pilu tatkala mendengar khabar tidak dijangka itu.
Biarpun dia tidak rapat dengan arwah Kamilia dan Damia memandangkan mereka jarang bersua muka. Namun tingkah kedua-dua mereka begitu dikenalinya lantaran dia sering kali berkunjung ke rumah Nenek Tijah untuk berurut badan di lapang waktu.
“Wafi tak ajak Damia datang ke rumah kita?” Puan Ainun terus melencong bicara tidak lama selepas itu. Dia tak mahu riak ceria di wajah Wafi hilang dek berita duka itu.
Wafi menurap senyuman semula.
“Ada jugak Wafi jemput dia, siap bagi alamat lagi tapi kata Damia nanti-nanti ajelah dia datang. Dia sibuk dengan kerjanya sekarang.”
Wajah tenang emaknya dipandang semula. Wanita itu mengangguk kecil.
“Mak, boleh tak kalau suatu hari nanti Wafi ikut Mia balik kampung?” Tiba-tiba saja Wafi mengeluarkan soalan itu.
Sekali gus menyentak kuat jantung Puan Ainun. Dia tergamam lama. Benar-benar terkejut dengan soalan tak terduga itu.
“Boleh ya mak kalau Wafi ikut Mia balik kampung suatu hari nanti? Wafi rindu nak tengok semuanya. Sungai tempat Wafi, Damia dan arwah Kamilia bermandi-manda, hutan dara tempat Wafi ikut ayah jerat burung, sekolah tempat Wafi dan Damia menimba ilmu. Wafi rindu nak tengok semua tu mak.” Suaranya seakan merayu. Lembut lagi mendayu.
Mata Wafi sudah lama melekap di wajah kaku si emak. Memohon pengertian dari Puan Ainun yang masih membatu diri dek terlalu terkejut dengan permintaan itu.
“Mak...” Wafi mengulangi pertanyaan seraya meramas lembut jari-jemari Puan Ainun. Menjadikan wanita itu tersentak keluar dari keadaannya.
Perlahan nafas panjangnya dilepas berat. Wajah penuh mengharap gadis itu dipandang penuh sayang. Lama.
“Wafi, tentang niat Wafi nak ikut Damia balik ke kampung tu, nanti mak tanya pada ayah dulu ya? Kalau ayah izinkan, mak jugak takkan halang. Mak tahu, kami tak ada hak nak melarang kamu dari balik melihat tempat kelahiran kamu.
Tapi terus-terang mak cakap. Mak sebenarnya takut nak izinkan Wafi balik ke sana semula. Cukuplah dengan apa yang berlaku pada Wafi selama ini. Mak dan ayah tak mahu Wafi ingat lagi semua tu,” ujar Puan Ainun sudah berbalut sayu.
Dipeluk erat tubuh Wafi yang sudah terkaku dengan kata-katanya. Baru ketika ini gadis itu tersedar tentang keadaan yang pernah dilaluinya suatu masa lalu. Kegembiraan yang baru dirasai dek pertemuannya dengan Damia beberapa hari lalu membuatkan dia terlupa sebentar tentang keadaan itu.
Keadaan yang telah menghilangkan segala kegembiraan dan kebahagiaan hidupnya sehingga ke hari ini. Lama dia terkelu lidah sebelum perlahan-lahan dia merungkai lembut pelukan Puan Ainun seraya menatap wajah sendu itu.
“Mak, tentang tu janganlah mak bimbang ya. Insya-ALLAH Wafi takkan apa-apa. Wafi dah dapat terima semua itu walaupun tak sepenuhnya. Apa yang Wafi perlukan hanyalah restu dan doa dari mak dan ayah dalam apa saja perkara yang Wafi lakukan. Itu saja,” luah Wafi sudah menangis di bahu Puan Ainun.
“Restu dan doa mak ayah sentiasa bersama kamu sayang, sentiasa.”
Puan Ainun turut mengalirkan air mata. Membalas erat pelukan Wafi yang terlebih dulu berbuat begitu. Langsung tidak menyedari Encik Musaid yang sejak tadi melihat tingkah kedua-duanya dari balik pintu melepas nafas panjang. Turut terkesan dengan keadaan hiba itu. 
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012