Showing posts with label DUNIA ISLAM : KISAH PENGISLAMAN. Show all posts
Showing posts with label DUNIA ISLAM : KISAH PENGISLAMAN. Show all posts

Sunday, August 12, 2012

Kisah peruntuh masjid Babri memeluk Islam

BERAPA ramai di antara kita masih mengingati tragedi ummah yang berlaku pada tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun itu, Masjid Babri di Ayodhya, India tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila institusi suci umat Islam itu dimusnahkan oleh puak pelampau Hindu.
Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat dihalang memusnahkan masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara Hindu dan Muslim di India.
Salah seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan memusnahkan Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama Shive Prasad berasal dari Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid itu.
Prasad ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan masjid itu akhirnya runtuh.
Tindakan melampau untuk meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan baik oleh Prasad. Beliau memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada para pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu berjaya.
Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati perasaan penduduk Islam yang lain.
Sedangkan masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri Uttar Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31 juta orang.
Pada hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid dan bersama pengikut-pengikut yang lain mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian bersorak gembira apabila mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid tersebut.
Mereka melaung-laungkan perkataan “Ram! Ram!” sebagai tanda kemenangan kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Prasad puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang kononnya masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.
Namun tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian runtuhan Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada Allah atas ‘kejahatan’ beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau berpuasa dan menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah mengampuninya yang tergamak meruntuhkan rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam News keesokan harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab News Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan apabila melihat sendiri latar belakang Prasad, terutama bapanya, Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.
Menurut pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada tangannya masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan kedamaian berikutan beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat besar.
Mungkin dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di Sharjah salah sebuah negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.
Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba beliau terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu dengan jelas.
Prasad berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai kewujudan-Nya selama ini.
Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam satu perasaan yang tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah tercabut satu beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu serabut.
Segala puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan kesalahan yang lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi dapat dimaafkan.
Namun berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan keluarga. Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang oleh keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India, kalaupun dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.
Berita pengislaman Prasad itu juga menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan Masjid Babri turut marah dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.
Namun apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya terhadap Islam. Islam menjadikan beliau seorang manusia ‘baru’ yang dahagakan kebenaran sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah beliau bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.
Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.
“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah.
“Tetapi sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di samping perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam dan saya mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya membina semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujarnya sayu.
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
dipetik dari Utusan Online
Terima kasih kepada penyusunnya.
Wallahu’alam….

Sunday, August 05, 2012

Dari seorang sami kepada Muslim


SAYA menerima anugerah gelaran yang sangat mulia, iaitu Bhagwan (tuhan) daripada pengikut-pengikut saya. Tetapi saat itulah sebenarnya saya berada dalam kesesatan dan kegelapan dan saya tercari-cari cahaya untuk keluar daripada kegelapan itu," katanya.

Dr. Maharaj atau nama sebenarnya Achariya Mahant Dr. Shri Shakti Saroopji Maharaj Adasin Dharmachariya Odai Shakti bukan sahaja penganut Hindu sebelum memeluk Islam tetapi beliau sebenarnya tokoh Hindu terkemuka di India.

Sami atau pendeta besar yang bertahun-tahun lamanya berkhidmat di kuil-kuil besar termasuk di Kuil Ban Khand Ashram Brindaban di Mathura, Uttar Pradesh di utara India untuk menyebarkan agama Hindu. Tugasnya melatih pendeta-pendeta untuk menyebarkan agama itu.

Begitu pun tidak sahaja tugas tersebut sebagai meneruskan tradisi warisan keluarga dan keturunan (dilahirkan dalam keluarga Guru Nanak Vedi Wanash). Bahkan beliau amat berilmu kerana mempunyai pelbagai kelulusan akademik dalam pengajian agama.

Ini termasuk pemegang sarjana dalam pengajian Orientalism dari Universiti Allahabad India, sehinggalah Doctor Of Divinity dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau turut boleh bertutur dan menulis dalam 12 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Sanskrit, Greek, Dibro, Prakirit, Pali, Gurmukhi, Marhathi, Gujrati, Urdu dan juga Bahasa Arab.

Semua itu adalah kelebihan untuk beliau menguasai pengetahuan mengenai 10 agama besar dunia yang lain terutamanya Kristian dan Islam itu sendiri.

Kehebatan itu menyebabkan banyak pihak cuba menguji beliau. Paling menarik apabila Dr. Maharaj mendapat pengiktirafan tinggi oleh pusat Gereja Roman Katholik (Vatican City) apabila beliau mendapat undangan khas Pope, Paul VI pada tahun 1981.

"Atas undangan khas itu, mereka sebenarnya cuba memberi tekanan yang cukup hebat apabila saya dikehendaki bercakap tujuh topik berbeza atas pengetahuan yang saya miliki mengenai Kristian.

"Saya berjaya membuatkan mereka berpuas hati dengan hujah-hujah sehinggakan saya dianugerahi gelaran dan penghormatan khas menjadi warga Vatican City sebagai satu usaha untuk menarik saya untuk memeluk Kristian.
"Tetapi secara peribadi saya sama sekali tidak tertarik bertukar agama malah pulang semula ke India," katanya.

Sebenarnya, beliau lebih terpengaruh dengan ajaran Islam walaupun berjaya memuaskan pihak Vatican atas pengetahuan luasnya terhadap ajaran Kristian.

Pada tahun yang sama (1981) beliau menyampaikan syarahan dalam pertemuan di Kuil Ashram Param Dham yang turut dihadiri tokoh-tokoh agama Hindu yang lain.

Ini termasuklah Dada Dharam Adhikari yang secara tiba-tiba mengajukan satu soalan kepada Dr. Maharaj.
"Swami Ji, anda telah mengenali dan mempelajari pelbagai agama yang ada di dunia ini. Pada pandangan awak sekarang, dalam banyak-banyak agama, agama manakah yang awak rasa paling baik untuk dianuti oleh seluruh manusia?"

Soalan yang tidak disangka-sangka itu dijawab pendek tetapi tegas oleh Dr. Maharaj: "Islam".
"Tetapi Islam sebuah agama yang mengongkong umatnya," tanya Dada Dharam yang lebih terkejut dengan jawapan Dr. Maharaj.

Dr. Maharaj pun menjawab: "agama yang disebut sebagai sangat mengongkong itu, agama itu jugalah memberi kebebasan kepada umatnya. Malah sebenarnya agama yang dianggap tidak mengongkong manusia itulah menyebabkan penganutnya menjadi tidak bebas, terikat kepada pelbagai peraturan dan ajaran yang tidak masuk akal.
"Pada hakikatnya, manusia memerlukan agama yang mengongkong kehidupan supaya kehidupan mereka di dunia ini teratur dan aman dari segala macam masalah dan godaan duniawi tetapi kesudahannya menikmati kebebasan sepenuhnya untuk kehidupan di akhirat kelak.

"Bagi saya Islamlah, satu-satunya agama yang memenuhi segala kualiti sebagai agama yang paling baik".
Jawapan itu sangat mengejutkan tetapi dianggap tidak lebih daripada sebagai pengetahuan semata-mata. Sedangkan bagi Dr. Maharaj ia tidak lebih peperangan dalam diri yang membawakan beliau akhirnya menyerahkan diri kepada Islam, sebagai satu kemenangan besar yang mengeluarkan dirinya daripada kesesatan.

Begitulah kesannya apabila ilmu dikuasai. Walaupun pelbagai agama dikenali dan dipelajari namun ia tidak membuatkan hati Dr. Maharaj menjadi berbelah bagi. Malah yang beliau temui adalah kekuasaan Allah. Lebih-lebih lagi Allah dan kisah Nabi Muhammad ada disebutkan dalam agama-agama yang beliau kaji.

"Kecuali dalam ajaran Buddha dan Jainism, dalam semua ajaran agama yang lain ada disebutkan mengenai nama Allah dan Mohamad atau Ahmad. Malah dalam kitab Hindu sendiri, perkataan Ala terdapat di Bab Pertama dalam Rig Veda yang menjadi permulaan kepada empat huruf nama Allah itu.

"Begitu juga persamaan 'Moha-mmad' dan 'Ah-mad' untuk Nabi Muhammad dan Ahmad dan 'Kurdha-noo' turut digunakan dalam kitab Rig Veda yang merujuk kepada kitab suci al-Quran," ujarnya.

Suara Imam Masjidil Haram membawanya masuk Islam


Arab Saudi (voa-islam) - Seorang warga Philipina, Welby Estiblo yang bekerja di Layth Arab Saudi masuk Islam. Keputusannya untuk menjadi muslim karena sering mendengar suara merdu imam Masjidil Haram, Syaikh Mahir Mu'ayqali. Demikian seperti diberitakan harian Al-Madinah.

Webly sering mendengar suara merdu Syaikh Mahir melalui rancangan televisyen yang biasa ditontonnya pada bulan Ramadan lalu. Bacaan al-Qur'an Syaikh membuat bergetar hatinya. Dari situlah ia terdorong untuk lebih memahami Islam.

Setelah menjadi muslim, Webly mengganti namanya menjadi Daud. Seorang temannya, Galianto, telah lebih dulu masuk Islam dan mengganti namanya menjadi Abdul Aziz.

Daud menyaksikan keindahan Islam yang teduh dan melindungi golongan minoriti ketika pertama kali tiba di Arab Saudi. Padahal sebelumnya ia sangat membenci Islam. Keinginannya untuk masuk Islam belum timbul sehingga dia mendengar suara Syaikh Mahir melantunkan ayat-ayat suci al-Qur'an yang menggetarkan jiwanya.

Daud masuk Islam di tangan Syaikh Mahir. Ia berjanji akan mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Daud juga bertekad  akan membangun masjid di Philipina dan akan menyebarkan Islam di sana. Ia ingin menkhabarkan keindahan Islam yang sebenarnya kepada warga Pilipina yang majoritinya beragama Katholik itu.

Perjalanan bekas pendeta menemui Islam


SAYA dilahirkan sebagai Samuel Taliwongso (gambar) dalam sebuah keluarga Kristian yang sangat fanatik dari Desa Teling, Manado Indonesia. Bapa saya merupakan pengasas penubuhan Gereja Seven Day Advent di desa kami," kata Samuel yang menerima pendidikan awalnya di Advent Zending School iaitu sebuah sekolah mubaligh.

"Setiap hari semasa kecil itu, saya harus menghafal dan mengingat sepenuhnya sekurang-kurangnya lima fasal atau surah daripada Kitab Injil sebagaimana yang diarahkan oleh mendiang bapa," katanya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke MULO yang sama seperti SPM namun bermula dari saat itu juga menyaksikan Samuel terlibat dalam perjuangan bersama-sama rakyat Indonesia lain untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan Belanda.

"Bagi pemerintah Belanda kelompok-kelompok seperti kami dikenali sebagai The Hogder for Soekarno (Anjing-anjing Soekarno) dan dilabelkan sebagai pemberontak," katanya.

Akibatnya Samuel menjadi sasaran dan sering diburu oleh pihak penjajah yang menyebabkan anak muda ini terpaksa lari dan menyembunyikan diri dan sehinggalah pada tahun 1947, Samuel akhirnya berjaya sampai ke Belanda.

Di Belanda, Samuel berkerja di sebuah syarikat minyak kepunyaan Syarikat Hindia Belanda dan diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Bahagian Perkapalan.

Selain menjalankan tugas sebagai ketua jabatan, Samuel masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin gereja.

"Saya mengajarkan Kitab Injil kepada para jemaah gereja. Selain berusaha memurtadkan penganut Islam. Inilah kewajipan sebagai seorang pendeta atau pembaptis," katanya.

Perkara ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun, Samuel sudah mempunyai pengalaman membangunkan sebuah gereja dan membaptiskan beberapa orang gadis Islam yang berasal dari Gorontalo untuk dijodohkan dengan pemuda-pemuda Kristian

Pada tahun 1962 berlakulah satu peristiwa yang dikenali sebagai Dwikora@Trikora apabila penjajah Belanda menganggap seluruh penduduk Indonesia sebagai musuh.

"Saya termasuk salah seorang daripadanya. Lantas bagi mengelak daripada diberkas, saya terpaksa berkerja sebagai buruh binaan."

Apabila keadaan menjadi aman, beliau bersama-sama rakan yang senasib; Leo Tembeleng, Herard G. Nori dan W Oro, memberanikan diri menemui Gabenor Belanda pada masa itu, iaitu Gabenor Van Baal meminta kebenaran pulang ke Indonesia dengan jaminan keselamatan.

Van Baal setuju dengan syarat Samuel dan rakan-rakannya dikehendaki menaiki sebuah kapal laut yang menggunakan bendera negara Belanda. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju.

Akhirnya, mereka berjaya menumpang sebuah kapal yang mengibarkan bendera negara Panama untuk pulang ke Jakarta. Kapal tersebut adalah milik seorang ahli perniagaan berbangsa Tionghua dari Singapura.

Untuk tujuan keselamatan mereka dibekalkan dengan sepucuk surat jaminan keselamatan yang ditulis sendiri oleh Bahagian Sekretaris Urusan Irian Barat (SUIB) dan Samuel sendiri diberi kepercayaan untuk menjadi ketua rombongan itu.

Sehinggalah pada suatu malam, pelayaran mereka dilanda ribut kencang. Dalam keadaan yang sangat mencemaskan itu, ada seorang penumpang kapal yang beragama Islam yang dikenali sebagai Latoke berasal dari Makassar yang menimbulkan kehairanan kepada para penumpang lain. Apa tidaknya, dalam keadaan gawat itu, Latoke dilihat sedang mendirikan sembahyang.

Tambah menghairankan, selesai solat, Latoke seperti tidak menghiraukan kapal yang boleh pecah dan tenggelam bila-bila masa. Malah dengan tenang beliau mengambil sebuah buku (al-Quran), terus membacanya dengan begitu khusyuk.

"Tentu sahaja saya berasa jengkel melihatkan Latoke itu walaupun kami benar-benar hairan bagaimana Muslim ini tidak muntah, tidak mabuk laut, malah begitu stabil tidak seperti kami yang lain," katanya.

Keesokan harinya, ribut kembali membadai, kali ini lebih dahsyat. Dalam keadaan kapal yang teroleng-oleng dipukul ombak dan hujan ribut petir yang sangat ganas, Samuel akhirnya berjaya menghampiri Latoke untuk mengetahui buku apa yang dipegang erat Latoke.

Barulah Samuel menyedari 'buku' tersebut adalah sebuah kitab suci yang sangat hampir kepada umat Islam, iaitu terjemahan al-Quran karangan Muhammad Yunus terbitan Toko Buku Gunung Agung, JI Kwitang, Jakarta.

"Secara curi-curi saya pun terus menyelak kitab tersebut kebetulan pada lembaran yang ditanda oleh Latoke. Iaitu surah al-Baqarah ayat 136," kata Samuel. Samuel sangat terkejut apabila membaca tafsiran ayat tersebut!

"Sungguh saya terkejut kerana barulah saya tahu ternyata umat Islam itu tidak sahaja percaya kepada Muhammad (Nabi) sahaja. Sebelum ini saya menyangka orang Islam tidak percaya adanya Tuhan (Allah) dengan mempercayai Muhammad semata-mata, tidak percaya kepada Nabi Isa, Nabi Daud dan lain-lain Nabi yang turut dipercayai oleh kalangan yang bukan Islam, Kristian," kata Samuel.

Seketika itu juga badai mula kembali hilang, laut kembali tenang namun meninggalkan Samuel yang merenung lautan lepas dan mahu mencari jawapan apabila ayat itu benar-benar membuatkan beliau dihujani pelbagai persoalan mengenai agama, mana satukah yang benar? Saya mulai tahu dan faham bahawa agama Kristian itu salah. Sesampainya di Irian, tak lama kemudian saya masuk Islam.

Sejak saat itu saya terus mengkaji Islam dan berdakwah mengembalikan orang-orang yang dahulu pernah saya baptis/murtadkan. Atas dukungan Dewan Masjid Indonesia, kami membentuk Kelompok Pengajian Muallaf (KPM) yang mengadakan pengajian dua minggu sekali.

Ada kisah yang sangat menarik, hampir tiap malam pada November-Desembar 2008 ramai pendeta-pendeta yang datang ke rumah saya untuk mengajak saya berdiskusi/berdebat dengan maksud untuk mengembalikan saya kepada ajaran Kristian. Alhamdulillah,  saya mampu menghadapi argumen-argumen mereka. Beberapa di antara pendeta-pendeta itu ada yang mengatakan “Kami mulai   tidak yakin kalau  Tuhan Jesus itu adalah Tuhan.”

Satu hal yang menjadi keprihatinan saya, umat Islam saat ini ramai yang tidak tahu tentang Islam itu sendiri, bahkan telah demikian jauh dan asing dengan Islam. Umat Islam mulai terkotak-kotak dan mencintai kelompoknya sendiri, bahkan ada yang hanya Islam KTP.

Sesiapa yang mencari kebenaran pasti akan menemuinya...


Nama Nicholas Sylvester (gambar) mungkin tidak asing lagi kepada sesiapa yang pernah mengikuti program dakwah atau melihat cerama-ceramah beliau di youtube dan sebagainya. Beliau menceritakan sejarah bagaimana Islam hadir dalam hidupnya dengan panjang lebar. 

KETIKA umurnya 12 tahun, selepas selesai menjalani upacara Baptism Confirmation (atau pengkristianan), Nicholas Sylvester dipilih oleh pihak gereja sebagai Soldiers of Jesus Christ. Antara lain anugerah itu bermaksud Nicholas layak untuk meninggalkan kehidupan yang biasa kepada kehidupan yang lebih beragama dengan sepenuh masa melaksanakan pelbagai tuntutan dan ajaran Kristian.

“Jadi selain bersekolah, masa saya banyak dihabiskan dengan menghadiri pelbagai upacara gereja, terutama sebagai anggota koir gereja dan melakukan kerja-kerja kebajikan seperti mengunjungi para pesakit di hospital dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang pesakit perlukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dibesarkan berhampiran gereja terbesar di Sabah, Cathederal St. Mary, Kota Kinabalu, dan bersekolah di sebuah sekolah Mubaligh Kristian, iaitu di Sekolah Rendah Sacred Heart, tidak menghairankan jika anak sulung daripada enam adik-beradik ini akan mempertahankan agama itu sehingga ke akhir hayatnya.

Sementelahan bapanya sendiri merupakan orang kuat gereja. Pada setiap hari Ahad dalam upacara Mass, dari altar gereja bapanya menyeru setiap penganut Kristian supaya memperteguhkan ‘iman’ mereka terhadap Isa (Nabi Isa a.s.) yang didogma sebagai tuhan.

“Sama ada sebagai Anak Tuhan atau kesatuan dua tuhan dalam satu dan mempercayai juga Holy of Spirit (Ruhul Kudus) adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempercayai Trinity ini tanpa perlu bersoal jawab lagi,” kata bapa Nicholas.

Maka tentunya si bapa menaruh harapan tinggi agar usaha-usaha peneguhan iman dan missionary Kristian dapat diteruskan oleh Nicholas. Namun dalam diri Nicholas sendiri, titik-titik perubahan mula dilihat apabila Yayasan Sabah menawarkan beliau biasiswa yang membolehkannya menyambung di peringkat sekolah menengah di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor.

Di situ, beliau terpaksa membiasakan diri walaupun hampir 90 peratus pelajar yang menghuni asrama di sekolah itu terdiri daripada pelajar Melayu atau lebih tepat pelajar Islam.

“Namun, pegangan saya terhadap gereja masih lagi teguh ketika itu. Kebetulan pula berdekatan dengan sekolah itu terdapat sebuah gereja. Walaupun ia gereja beraliran Anglican berbanding saya yang bermazhab Roman Katolik, saya tetap mengunjungi gereja itu sebagai satu tanggungjawab penganut Kristian,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nicholas, ‘iman’nya seakan-akan mula goyah selepas mengikuti satu upacara ibadat yang dinamakan Baptism of Fire di gereja itu.

Dengan menjalani upacara itu, diri seseorang itu akan diresapi oleh Ruhul Kudus dengan tanda-tanda suhu badannya akan naik, terasa ada bahang panas dan yang paling ketara secara tiba-tiba dia boleh bertutur dalam bahasa asing yang sukar difahami oleh orang lain.

“Ini dipanggil Language of Tongue. Jadi saya juga mengharapkan agar diresapi oleh ruh tersebut tetapi saya menjadi orang yang terakhir dalam kumpulan tersebut yang tidak diresapi. Tetapi oleh kerana seorang paderi menunggu sambil membaca pelbagai ayat dan doa untuk saya, akhirnya saya terpaksa menipu dengan mengeluarkan bahasa yang saya sendiri reka-reka. Akhirnya paderi tersebut memegang bahu saya dan mengesahkan saya dimasuki oleh Ruhul Kudus itu.

“Sejak itu saya mula rasa cuak mengenai upacara itu dan kebenaran ajaran Kristian tetapi saya terpaksa reserve terlebih dahulu perasaan saya dan tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Dalam pada itu saya sering memerhatikan kehidupan penghuni asrama yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Islam. Saya mula tertarik melihatkan mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam terutama dalam mendirikan solat berjemaah setiap kali tiba waktu.
“Adab pergaulan mereka yang begitu terjaga dan sopan hasil ajaran agama yang mereka anuti itu sedikit sebanyak turut memberikan kesan dalam hati saya. Tetapi saya hanya mampu memerhatikan,” katanya.

Tamat tingkatan tiga, Nicholas kemudian kembali ke Kota Kinabalu untuk menyambung pelajaran tingkatan empat di Sekolah Menengah La Salle yang juga sebuah lagi sekolah mubaligh Kristian.

“Apabila semakin dewasa, maka otak kita mula bekerja dengan lebih keras lagi. Saya mula menilai agama saya dan ada perasaan ingin tahu yang membuak mengenai agama Islam. Sehinggakan saya sanggup mengikuti kelas mata pelajaran Agama Islam yang tentunya khas untuk pelajar-pelajar Islam sahaja.

“Tidak cukup dengan itu saya mula bertanyakan mengenai Islam daripada pelajar-pelajar tersebut. Walaupun tidak mendapat jawapan yang memuaskan hati, ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus mengenali Islam,” katanya.
Nicholas semakin tertarik kepada Islam apabila melihatkan peribadi seorang gurunya yang dikenali sebagai Cikgu Rashid.

“Walaupun Cikgu Rashid tidak menjelaskan kepada saya mengenai Islam secara fakta dan hujah namun kehidupan dan peribadi beliau yang begitu baik, patuh pada ajaran Islam dan mempunyai pelbagai sikap yang positif menyebabkan saya semakin nampak akan keindahan Islam itu sendiri,” katanya.

Dalam keadaan itu, bersama ‘iman’ yang masih cuba dipertahankan, Nicholas kemudian mengikuti kursus Test of English as a Foreign Language (TOEFL) selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat di sebuah sekolah menengah asrama penuh terkemuka di Cheras, Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, sepanjang enam bulan mengikuti kursus tersebut saya seperti merayakan musim berbulan madu. Ini kerana saya tidak mempunyai masalah langsung dengan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan juga saya berpeluang mengikuti pelbagai program anjuran gereja dengan menyertai kumpulan Non Dominational Group yang bersifat Engelical.

“Sehinggalah pada suatu hari, saya bersama dengan beberapa orang kawan sanggup ke Melaka mengikuti satu lagi upacara keagamaan yang dapat mengesahkan keimanan kami terhadap Jesus,” katanya.

Sebenarnya gereja di Melaka tersebut hanya sebuah rumah kedai tetapi di dalamnya telah berkumpul beberapa orang paderi bagi menjalankan upacara itu.

Secara tiba-tiba salah seorang rakan perempuan mereka mengalami kerasukan yang teruk! Dia meronta-ronta, tidak sedarkan diri dan dari mulutnya keluar suara lelaki yang begitu menakutkan dan keadaan bertukar menjadi kecoh.
Mereka cuba diyakinkan agar menerima bahawa budak itu berjaya dipulihkan dengan berkat bantuan Jesus. 

Bagaimanapun, Nicholas tidak dapat menerima dakwaan itu sekali gus menjadi noktah kepadanya untuk tidak lagi mempercayai ajaran Kristian walaupun agama itu adalah darah dagingnya selama ini.

Pada 4 Januari 1985, Nicholas akhirnya menjejak kaki di bumi Amerika Syarikat (AS). Kali ini beliau benar-benar menghirup udara kebebasan apabila tiba di bumi asing itu. Ini kerana sembilan hari kemudian, iaitu 13 Januari 1985 menjadi tarikh bersejarah bagi Nicholas apabila tanpa menoleh ke belakang lagi beliau melafazkan dua kalimah syahadat di Islamic Centre berhampiran Askansas State University di bandar Jonesboro, Askansas.

“Saya masih ingat lagi bagaimana saya menemui seorang berbangsa Arab, Qais Syarbati, bagi tujuan membantu saya memeluk Islam. Lalu dibawanya saya ke pusat Islam itu. Yang menariknya Qais sendiri berkahwin dengan seorang wanita Kristian yang diyakini merupakan golongan Ahli Kitab,” tambahnya.

Sejak itu, Nicholas yang mahu lebih dikenali sebagai Muhammad Abdullah Nicholas Slyvester memulakan hidup baru sebagai individu Muslim yang taat dan patuh kepada ajaran agama barunya.

“Alhamdullillah saya mampu melakukan ibadat dengan baik, malah sebenarnya sebelum menjejakkan kaki ke AS, saya sempat berkhatan dengan mendapat bantuan seorang rakan Melayu yang kemudian mengajak saya untuk berkhatan di kampungnya di Taiping, Perak,” katanya.

Menurut Muhammad, beliau tidak akan memeluk Islam semata-mata kerana kekurangan yang terdapat pada agama lamanya tanpa mengkaji dan mendalami agama Islam itu sendiri.

“Sepanjang di AS, duit saya banyak dihabiskan membeli buku-buku dan kitab-kitab agama dalam pelbagai tajuk dan topik. Mungkin saya tidak ada harta atau wang yang banyak tetapi buku-buku itu kini bagaikan harta yang paling berharga buat saya,” jelasnya.

Selepas meneliti dan membuat kajian terperinci, beliau tidak nampak agama lain yang cukup lengkap selain Islam. Dalam Islam, katanya, sekalipun terdapat mazhab-mazhab yang perlu menjadi ikutan oleh umatnya tetapi semua aliran mazhab itu merupakan hasil usaha-usaha agung dari segi pertumbuhan dan pertambahan khazanah ilmu bagi umat Islam.

“Itulah harta yang paling berharga bagi umat Islam, iaitu khazanah ilmunya yang sangat kaya dan berharga yang tidak lain untuk membimbing dan memudahkan umat untuk tetap berpegang kepada Islam kerana mazhab itu sendiri berasal daripada perkataan zahaba, iaitu jalan,” katanya.

Tidak seperti mazhab-mazhab dalam Kristian yang bukan sahaja tidak menunjukkan jalan, menurut Muhammad, kemunculan kumpulan denominasi Kristian itu berpunca daripada kerana soal perbezaan politik dan rasa tidak puas hati semata-mata.

Mazhab Lutheran, misalnya, dicetuskan oleh Martin Luther King, seorang paderi yang merupakan profesor di Universiti Wittenberg. Luther King menyeru pembukaan debat berkenaan penjualan indulgences di mana taubat seorang itu diterima sekiranya dia melakukan sesuatu iaitu membeli letter of indulgences untuk menebus dosanya. Penjualan ini digunakan secara berleluasa sewaktu Perang Salib untuk menggalakkan orang Kristian menentang tentera Islam.
Apabila ditanya mengenai kepelbagaian wajah-wajah Islam yang boleh ditemui di AS, Muhammad tidak menafikan betapa AS merupakan satu lagi melting pot yang tidak sahaja tertumpu kepada soal bangsa, budaya dan bahasa malah Islam di dalamnya juga terdapat dalam pelbagai warna.

Katanya, semua itu menjadikan Islam semakin indah dan beliau beruntung kerana mempunyai pemahaman asas Islam yang kuat bagi membolehkannya menerima apa juga kepelbagaian yang wujud selepas itu.
Pelajar-pelajar Islam di sana waktu itu didatangi oleh pelbagai lapisan pemimpin Islam.

“Jadi semua ini membuka kepada perbincangan dan perdebatan ilmu. Islam membuka seluas-luas ruang untuk tujuan ilmu. Inilah yang membezakannya dengan agama lain.

“Sedangkan bagi penganut Kristian, mereka dan kitab Bible tidak ada hubungan yang bebas berbanding umat Islam dengan al-Quran. Tidak semua ayat dalam Bible dibenarkan untuk dibaca bagi mengelakkan kekeliruan di samping ajarannya yang lebih kepada falsafah yang diciptakan oleh manusia semata-mata,” katanya yang mengerjakan ibadat haji pada tahun lalu.

Muhammad berkata, Nabi Muhammad s.a.w. ialah tokoh yang sangat tepat untuk menjadi idola umat manusia.
“Jika penganut Kristian berkahwin misalnya, siapa yang boleh mereka contohi sebagai seorang suami atau bapa yang baik kepada keluarganya? Nabi Isa, baginda tidak pernah berkahwin, jadi bagaimana ajaran itu dapat menganjurkan konsep perkahwinan dan kekeluargaan sedangkan ia tidak pernah diinstitusikan dalam agama itu.

“Bukan bermaksud menjadi satu kelemahan kepada Nabi Isa yang tidak berkahwin tetapi Nabi Muhammad adalah individu yang sangat mengagumkan dan sirah hidupnya merupakan satu panduan dan pedoman yang memberikan kesejahteraan kepada umat Islam sepanjang zaman,” katanya.

Berkahwin dengan Halizahtun Mohd. Ali, 41, Muhammad dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu Maryam, 19, Fatimah, 17, Omar, 15, Abu Bakr, 13, Aseeyah, 10, Khadeejah, 7, Uthman, 5, Ali, 3 dan Ayesha, 1.

“Apa yang menarik tentang anak-anak saya ialah secara kebetulan karakter mereka bertepatan dengan nama-nama besar dalam Islam itu. Kalau yang Abu Bakar dengan lembut hatinya, yang Omar memang agak garang dan begitu juga Ali, lasak, lincah dan tangkas,” katanya sambil ketawa kecil.

Muhammad yang kini mengetuai Jawatankuasa Biro Dakwah Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) membuktikan bahawa gerakan dakwah sememangnya menjadi darah daging beliau.

Beliau bukan sahaja berkongsi pengalaman lampau namun yang lebih meninggalkan kesan kepada pendengar ialah kebolehan Muhammad menyampaikan penerangan mengenai Islam dengan begitu jelas dan tepat.

Muhammad menjadikan kelebihan bertutur dalam pelbagai bahasa terutama Inggeris dan Melayu sebagai satu kelebihan dalam berdakwah.

Al-Quran mengubah Dobson






Joe Ahmad Dobson bersama isteri tercinta.
PERISTIWA serangan 11 September 2001 terhadap bangunan-bangunan utama di Amerika Syarikat (AS), secara tidak langsung telah mengubah wajah agama Islam dan kaum Muslimin di seluruh penjuru dunia.
Di sebalik ramai yang membenci Islam ekroan tragedi itu, tetapi tidak kurang ramai juga yang memilih jalan Islam termasuk mereka di bumi Inggeris. 

Malah dikatakan sejak kejadian itu sehingga kini terdapat 14,000 penduduk kulit putih di negara itu memeluk Islam dengan kerelaan hati mereka sendiri. 
Bertambah menarik, Islam dianuti tanpa mengira latar belakang malah para pemimpin, tokoh-tokoh pelbagai bidang, artis selebriti, ahli sukan dan ramai lagi. 

Salah seorang daripada mereka yang agak mencetuskan sedikit kejutan ialah anak lelaki kepada mantan
Menteri Kesihatan Britain, Frank Dobson, 35, yang memeluk Islam pada 1998 dan menukar nama kepada Joe Ahmad Dobson.

Meskipun dilahirkan dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga penganut Kristian yang taat, namun memasuki usia remaja Dobson lebih senang untuk tidak terikat dengan mana-mana agama.

Namun pemikiran seperti itu mula berubah apabila seorang rakannya menghadiahkan senaskhah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris. 

"Sekalipun sekadar terjemahan, namun membaca terjemahan itu sahaja bagaikan saya mendapat wahyu. Persepsi saya selama ini mengenai Islam berubah kerana antara ajarannya yang terbaik apabila Islam membenarkan lelaki mahupun perempuan menuntut ilmu selama mereka masih hidup. 

"Ini kerana semakin tinggi seseorang itu menuntut ilmu maka semakin merendah dirinya terhadap tuhan," katanya seperti yang dilaporkan oleh telegraph.co.uk.

Namun yang lebih menarik perhatian Dobson, dia mendapati al-Quran memberikan jawapan atas semua jenis pertanyaan, iaitu jawapan yang tidak akan mampu diberikan oleh mana-mana kitab agama sebelum ini. 
"Islam mampu menjawab pertanyaan 'mengapa', seperti mengapa kita mesti menganggap setiap orang adalah seperti saudara, mengapa kita mesti menghormati dan menghargai kaum wanita kita, mengapa mesti kita melakukan hanya perkara-perkara yang terbaik untuk diri dan mereka yang disekeliling kita, sesama manusia.

"Apa juga aspek dalam kehidupan termasuk ekonomi, segala-galanya terjawab dalam al-Quran dan saya sangat mengagumi kata-kata Allah itu, kerana Dia yang menciptakan manusia dan Dia jugalah yang tahu apa yang dikehendaki oleh manusia dalam hidup ini," katanya. 

Namun pengalamannya berada lama di Indonesia pada 1992 memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak muda itu. 

Walaupun ada senario jelik dan tidak enak dilihat seperti soal kemiskinan dan sebagainya namun negara itu sebenarnya mampu memberikan pemandangan yang unik dan terbaik mengenai Islam. 
Pemerhatian dan berinteraksi secara langsung dengan umat Islam di sana menjadikan Dobson semakin tertarik dan mengagumi Islam.

"Seringkali saya terkesima melihatkan cara beribadat dalam Islam, bersih daripada sebarang unsur pemujaan yang berlebihan. 

"Tidak ada ukiran patung atau manusia yang diangkat sebagai orang tengah antara penganut dengan tuhan. Umat Islam bebas untuk terus 'berbicara' langsung dengan tuhannya," katanya.

Segala pengalaman di Indonesia itu menjadikan Dobson semakin ghairah untuk mendalami Islam malah semua itu menjadi sebahagian daripada rutinnya ketika menyambung pengajian di Universiti Manchester. Ini apabila Dobson mengambil peluang sepenuhnya berkawan dengan rakan sekuliah yang terdiri dari kalangan Muslim. 
"Daripada mereka saya sering bertanyakan pelbagai persoalan mengenai Islam. Malah tanpa saya bertanya saya belajar pula daripada cara kehidupan mereka yang begitu mematuhi ajaran Islam. 

"Tidak cukup itu saya sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya di perpustakaan universiti, kerana di situ terdapat banyak bahan bacaan mengenai Islam dan saya setiap kali membacanya, saya menjadi begitu bermotivasi. 

"Saya tidak sekadar membaca untuk memberikan pengetahuan tetapi saya mengambil pengajaran secara langsung untuk diterapkan dalam kehidupan." katanya. 

Akhirnya, Dobson ingin merasai sendiri kemanisan beriman dan beribadat kepada Allah. Maka pada Januari 1998, tanpa sebarang paksaan malah penuh kerelaan dalam hatinya, dia mengucapkan syahadah, di hadapan jemaah di sebuah masjid di utara Kota London. 

Rasmilah kini Dobson yang ingin mengikat iktikadnya kepada Islam walaupun ia bakal mengundang pelbagai perubahan yang besar dan juga risiko itu sendiri.

Lebih-lebih bapanya sedang menjawat jawatan penting dalam kerajaan British lalu tindakan si anak akan menyebabkan beban terhadap si ayah, di saat kalangan warga Barat masih tidak selesa dengan kehadiran dan perkembangan Islam yang pesat itu. 

"Mungkin adalah tidak adil meletakkan beban pengislaman saya untuk ditanggung oleh ayah kerana masyarakat Barat masih mempunyai prejudis yang kuat dan tidak bersikap terbuka terhadap Islam. 
"Berita saya masuk Islam dengan mudah akan membuatkan kedudukan ayah saya tergugat. 

"Akhirnya saya memutuskan untuk tidak memberitahu kepada sesiapa terutama keluarga saya sendiri sehinggalah masing-masing bersedia untuk menerima hakikat penukaran agama itu walaupun pahit, mungkin apa yang diperlukan adalah sedikit masa," katanya yang memiliki sarjana dalam bidang Pengurusan dan Polisi Awam dari Universiti Metropolitan London.

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012