Showing posts with label DUNIA ISLAM : KISAH TELADAN. Show all posts
Showing posts with label DUNIA ISLAM : KISAH TELADAN. Show all posts

Sunday, August 18, 2013

Puasa Keluarga Miskin...


Sebuah kisah lama tapi cukup menginsafkan bagi saya yang hidup walau tak mewah namun sederhana...

Peringatan buat diriku yang sering terlepas pandang. Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun: 


"Mana emak? "
"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"
"Bapak pergi kerja..."
"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik? "
"Sepuluh."
"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."
"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."
"Adik puasa hari ini?"
"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..." Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.
Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".
"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata,

"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."
Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM3.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"
"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah..
Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita..

Saturday, September 08, 2012

Rumah isteri-isteri Nabi Muhammad

Ketika rombongan keluarga Nabi SAW dan Abu Bakar Ash-Shiddiq ra. sampai di Madinah, ketika itu Rasulullah SAW sedang membangunkan masjid dan ruangan-ruangan di sekeliling masjid itu. Lalu Nabi SAW menempatkan mereka di sebuah rumah milik Haritsah bin Nu’man ra. Rasulullah SAW menyempurnakan pernikahannya dengan ‘Aisyah di ruangan itu. Dan Rasulullah SAW pun dikuburkan di tempat yang sama. 
Haritsah bin Nu’man memiliki beberapa rumah di sekitar masjid Nabawi. Apabila Rasulullah SAW menikahi seseorang, maka Haritsah akan pindah dari rumahnya demi beliau, sehingga akhirnya semua rumahnya digunakan untuk Rasulullah SAW dan isteri-isteri beliau. Nabi SAW membuat pintu masuk ke masjid melalui pintu kamar ‘Aisyah. Sehingga diriwayatkan bahawa ketika beliau sedang beri’tikaf, beliau menjengukkan kepalanya dari masjid lewat pintu ‘Aisyah. Lalu ‘Aisyah mencuci kepala beliau sementara dia sedang haid.
Setelah perombakan demi perombakan, akhirnya rumah para isteri Nabi SAW harus digusur pada masa Walid bin Abdul Malik. Abdullah bin Yazid berkata tentang kejadian penggusuran itu, 
“Aku melihat rumah-rumah istri Rasulullah SAW ketika dihancurkan oleh Umar bin Abdul Aziz pada masa kekhalifahan Walid bin Abdul Malik. Rumah-rumah itu disatukan dengan masjid. Rumah-rumah itu terbuat dari bata kering, dan ruangan-ruangannya dibuat dari batang pohon kurma yang disatukan dengan lumpur. Ada sembilan rumah dengan kamar-kamarnya. Rumah itu dimulai dari rumah ‘Aisyah dengan pintu yang berhadapan dengan pintu kamar Rasulullah SAW, sampai rumah Asma’ binti Hasan. Aku melihat rumah Ummu Salamah dan ruangan-ruangannya terbuat dari bata. Cucu laki-lakinya berkata, “Ketika Rasulullah SAW menyerang Dumatut jandal, Ummu Salamah membangun ruangan dengan bata. Ketika Rasulullah SAW datang dan melihat bata itu, beliau masuk menemui Ummu Salamah rha. dan bertanya, bangunan apa ini?’ Dia menjawab, ‘Ya Rasulullah SAW, aku ingin menghalangi pandangan orang’. Beliau SAW berkata, ‘Wahai Ummu Salamah, hal terburuk bagi seorang Muslim dalam membelanjakan uangnya adalah untuk bangunan.’

Di antara makam dan mimbar, terdapat kamar-kamar istri Rasulullah SAW yang terbuat dari batang pohon kurma dengan pintu-pintunya yang ditutupi dengan kain wol hitam. Dan pada hari surat Walid bin Abdul Malik dibacakan, yang memerintahkan agar kamar-kamar isteri-isteri Rasulullah SAW tersebut disatukan dengan masjid Nabi, banyak orang yang menangis kehilangan. Sa’id bin Musayab rah.a. juga bercerita tentang hari itu, ‘Demi Allah, aku berharap bahwa kamar-kamar itu dibiarkan sebagaimana adanya, sehingga orang-orang Madinah dan para pengunjung dari jauh bisa melihat seolah-olah Rasulullah SAW masih hidup. Hal itu termasuk bagian dari hal-hal yang akan memberi semangat kepada umat untuk menahan diri dari mencari dan menyibukkan diri atas sesuatu yang tidak berguna di dunia ini’.
lmran bin Abi Anas berkata, ‘Di antara rumah-rumah itu ada empat buah rumah yang terbuat dari bata dengan kamar-kamar dari pohon kurma. Ada lima rumah dari batang pohon kurma dilapisi lumpur tanpa bata. Aku mengukur gordennya dan mendapati ukurannya tiga kali satu cubit, dan areanya itu sedemikian, lebih atau kurang. Sedangkan mengenai tangisan, aku dapat mengingat kembali diriku pada sebuah perkumpulan yang dihadiri sebahagian sahabat Rasulullah SAW, termasuk Abu Salamah bin Abdurrahman, Abu Umamah bin Sahal, dan Kharijah bin Zaid. Mereka menangis sampai janggut mereka basah oleh air mata. Tentang hari itu Abu Umamah berkata, ‘Seandainya mereka membiarkan dan tidak menghancurkannya sehingga orang-orang boleh menahan diri dari membangun bangunan dan mencukupkan dengan apa yang Allah ridhai pada Rasul-Nya walaupun kunci harta dunia di tangan beliau,"

Monday, August 27, 2012

Dia dikahwinkan dengan bidadari...

Suatu hari, datang Sa’ad bin Assulami kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah, apakah akan terhalang seseorang itu masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?” Lalu Rasulullah bersabda: “Tidak, demi Allah yang jiwa aku di tangannya selama kamu yakin kepada Tuhan kamu dan ajaran Rasul-Nya.”
Maka Sa’ad berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah yang memuliakan kamu dengan kenabian. Saya mengucapkan kalimah syahadat kira-kira lapan bulan lalu dan saya datang ke sini untuk meminang orang yang ada di sini, tetapi semua mereka menolak kerana mengatakan saya ini hitam dan hodoh”. Sa’ad berkata lagi: “Ya Rasulullah, sebenarnya saya adalah daripada keturunan yang baik iaitu suku Bani Sulaim, hodohnya saya adalah daripada keturunan ibu saya.”
Kemudian Rasulullah bertanya kepada yang hadir: “Adakah Amru bin Wahab yang baru masuk Islam daripada suku Tsaqief berada di sini?” Maka yang hadir berkata: “Tidak ya Rasulullah.” Lalu Rasulullah bertanya kepada Sa’ad: “Adakah kamu mengetahui di mana rumahnya?” Sa’ad berkata: “Ya, saya tahu di mana rumahnya, ya Rasulullah.” Rasulullah berkata: “Pergilah kamu ketuk rumahnya perlahan-lahan kemudian kamu beri salam kepadanya. Apabila dia mengizinkan kamu masuk, maka katakan kepadanya bahawa Rasulullah mengahwinkan aku dengan puterinya.”
Amru mempunyai seorang puteri yang cantik dan cerdik iaitu Atiqah. Selepas Sa’ad tiba di rumah Amru, dia disambut dengan baik walaupun Amru tidak berapa senang dengan kedatangannya disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh. Amru semakin tidak senang apabila Sa’ad menyampaikan kata-kata Rasulullah. Dia menolaknya dengan cara kasar hingga menyebabkan Sa’ad keluar dan terus bertemu Rasulullah.
Selepas Sa’ad pergi, maka puterinya berkata: “Wahai ayah, carilah selamat sebelum turunnya wahyu membuka perbuatan kamu. Jika benar Rasulullah mengahwinkan aku dengan orang itu, maka aku terima dengan hati terbuka dan rela atas apa yang diredakan oleh Allah dan Rasul-Nya untukku.”
Maka pergilah Amru ke majlis Rasulullah dan dia ditegur oleh orang yang berada di situ: “Jadi kamulah orang yang menolak pinangan Rasulullah?” Amru berkata: “Ya benar, tetapi aku minta ampun kepada Allah kerana aku sangka dia berdusta. Apabila aku dapati dia benar maka aku terima dia dan sedia mengahwinkan dia dengan puteriku. Kami berlindung jangan sampai Allah dan RasulNya menjadi murka.”
Selepas itu, Sa’ad pun dikahwinkan dengan mahar sebanyak 400 dirham. Rasulullah memberitahu khabar itu kepadanya dan menyuruhnya pergi kepada isterinya. Lalu Sa’ad berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah yang mengutuskan kamu sebagai nabi, saya sesungguhnya tidak ada wang dan saya terpaksa minta daripada saudara saya.”
Rasulullah berkata: “Mahar untuk isteri kamu ditanggung oleh tiga orang daripada kaum mukminin. Pergilah kamu kepada Usman bin Affan dan kamu akan terima sebanyak 200 dirham. Kemudian kamu pergi kepada Abdurrahman bin Auf, kamu akan mendapat 200 dirham dan kamu pergi kepada Ali bin Abi Talib, juga sebanyak 200 dirham.”
Maka Sa’ad pun pergi ke rumah Usman dan menerima lebih daripada yang disebut Rasulullah, kemudian kepada Abdurrahman, dia menerima lebih daripada 200 dirham dan akhir sekali ke rumah Ali, juga menerima lebih 200 dirham. Sebaik saja Sa’ad mendapat wang itu, dia pergi ke pasar untuk membeli buah tangan untuk isterinya, tetapi tiba-tiba dia mendengar suara yang mengatakan: “Hai kuda Allah, bergeraklah kamu!
Kemudian Sa’ad mendengar suara Rasulullah berkata: “Keluarlah kamu untuk berjihad! keluarlah untuk berjihad!” Maka Sa’ad memandang ke langit sambil berdoa: “Ya Allah, Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan kepada Muhammad maka akan aku gunakan wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih disukai Allah dan Rasul.”
Sa’ad menggunakan wang itu untuk membeli kuda, pedang, tombak dan perisai lalu dia menguatkan ikatan serban serta pinggangnya. Dia memakai topi yang cuma kelihatan dua biji mata saja lalu dia berdiri tegak di barisan depan Muhajirin hingga semua orang bertanya kepada Ali. Maka Ali berkata: “Biarkan, mungkin dia dari Bahrain atau dari Syam dan mungkin dia datang untuk menanyakan agama sebab itu dia ingin mengorbankan diri untuk keselamatan kamu.”
Kemudian Sa’ad maju ke depan dengan menggunakan tombak dan pedangnya untuk memukul serta memenggal kepala orang kafir. Sa’ad berjuang hingga kudanya sendiri tidak kuat lagi, maka dia pun turun daripada kudanya, dia menyinsing lengannya maka dilihat oleh Rasulullah lengannya yang hitam, lalu Rasulullah berkata: “Adakah kamu Sa’ad?” Maka Sa’ad mengaku dan terus menghadapi musuh. Akhirnya beliau gugur sebagai syahid.
Sebaik saja Sa’ad gugur, Rasulullah segera mendapatkannya lalu mengangkat kepalanya dan diletakkan di atas pangkuan Baginda sambil mengusap tanah yang melekat di mukanya. Baginda bersabda: “Alangkah harum bau kamu, alangkah kasihnya Allah dan Rasul kepada kamu.” Rasulullah menangis dan kemudian tertawa, lalu Baginda memalingkan mukanya serta bersabda: “Kini dia sudah sampai di Haudh, demi Tuhan yang mempunyai Kaabah.”
Selepas Rasulullah berkata demikian maka Abu Lubabah bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Haudh itu?” Maka Rasulullah pun menerangkan: “Haudh itu ialah telaga yang diberikan Allah kepadaku dan lebarnya ialah di antara Shan’aa Yaman hingga Busra, di tepi telaga dihiasi permata dan mutiara, airnya lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis daripada madu, barang siapa yang minum sekali, maka dia tidak akan haus untuk selama-lamanya.”
Kemudian Rasulullah ditanya lagi: “Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis dan kemudian ketawa dan terus berpaling muka daripadanya?” Lalu Rasulullah bersabda: “Aku menangis kerana rindu kepada Sa’ad dan aku tertawa kerana gembira melihat kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya. Aku berpaling daripadanya sebab aku melihat bakal isterinya yang terdiri daripada bidadari berebut-rebut untuk mendekatinya hingga terbuka betis mereka, maka aku pun memalingkan segera mukaku kerana malu.”
Kemudian Rasulullah pun menyuruh orang mengumpulkan pedang, tombak dan kuda Sa’ad untuk diserahkan kepada bakal isterinya yang sudah diakad nikah. Selepas itu, Rasulullah memberitahu Amru (mentua Sa’ad), “Sesungguhnya Allah mengahwinkan Sa’ad dengan bidadari yang lebih cantik daripada puteri kamu.”

Sunday, August 12, 2012

Mayat diseksa selepas 3 jam

Sudikan diri membaca cerita mayat seorang pemuda yang diseksa di dalam kubur hanya selama 3 jam sahaja. Walaupun cerita ini sudah lama tetapi tidak salah rasanya kita berkongsi untuk renung bersama….
Gambar ini merupakan mayat seorang pemuda lelaki berumur 18 tahun yang meninggal dunia di salah sebuah hospital di Oman. Mayat ini digali semula daripada kuburnya selepas 3 jam dikebumikan di atas permintaan bapanya. Pemuda ini dikebumikan secara Islam dan pada hari yang sama beliau disahkan meninggal dunia oleh para doktor. Walaubagaimanapun, timbul keraguan pada bapanya tentang kesahihan punca kematian anaknya dan ingin membuat pengesahan semula.
Sanak saudara dan rakan-rakannya terkejut setelah melihat mayat pemuda ini. Pemuda ini kelihatan berubah sepenuhnya dalam tempoh hanya selepas tiga jam dikebumikan. Kulitnya bertukar menjadi kelabu seperti orang yang sangat tua, beserta beberapa kesan penderaan dan pukulan, dengan tulang-tulang tangan dan kaki yang telah patah, tulang-tulang rusuknya pecah dan menekan ke arah dalam badannya. Keseluruhan tubuh dan mukanya telah cedera. Matanya yang terbuka menggambarkan ketakutan dan kesakitan yang amat sangat. Kesan-kesan darah pada mayatnya menunjukkan seolah-olah beliau baru menjalani beberapa siksaan.
Setelah merujuk mayat pemuda itu kepada beberapa orang saintis Islam, mereka bersetuju bahawa kaitan yang terdekat tentang kejadian ini adalah tentang siksaan kubur yang dijanjikan oleh Allah swt yang telah diingatkan melalui hadis-hadis Rasulullah saw. Bapanya yang juga terkejut dengan kejadian itu mengakui bahawa anaknya berakhlak buruk, meninggalkan solat, menjalani kehidupan sosial yang bebas dan melakukan pelbagai jenis dosa. Setiap manusia yang mati pasti akan menjalani soal jawab di dalam kubur kecuali mereka yang Syahid pada jalan Allah swt seperti terkorban ketika menegakkan agama Islam. Ini merupakan ujian awal yang akan dilalui oleh setiap manusia sebelum Hari Kiamat.
Dalam Hadis Rasulullah saw :
Selepas kematian, roh seseorang yang mati akan kembali kepada tubuhnya dan dua malaikat akan muncul, Mungkar dan Nangkir, dan akan bertanya “Siapa Tuhan kamu ?” dan dia akan menjawab “Allah tuhan aku”. Kemudian mereka bertanya padanya “Apa agama kamu ?” dia akan menjawab “Islam agama aku” Kemudian mereka bertanya padanya “Siapa yang diutuskan kepada kamu ?” dia akan menjawab “Rasulullah saw diutuskan kepada aku” Kemudian mereka bertanya padanya “Bagaimana kamu tahu ?” dia akan menjawab “Aku membaca kalam Allah (Al-Quran) dan mempercayainya” Kemudian akan kedengaran suara dari Syurga mengatakan “ Hambaku telah bercakap benar, baringkan dia di atas katil daripada Syurga dan bukakan pintu Syurga untuknya” Kemudian dia akan mendapat kebahagiaan dan mula merasai kenikmatan dari Syurga, dan kuburnya akan diluaskan seluas mata memandang.
Rasulullah saw bersabda tentang manusia yang berdosa. Selepas proses kematian selesai, rohnya akan kembali kepada tubuhnya dan dua malaikat akan muncul, Mungkar dan Nangkir, dan akan bertanya “Siapa Tuhan kamu ?” dan dia akan menjawab “Aku tidak tahu” Kemudian mereka bertanya padanya “Apa agama kamu ?” dia akan menjawab “Aku tidak tahu” Kemudian mereka bertanya padanya “Siapa yang diutuskan kepada kamu ?” dia akan menjawab “Aku tidak tahu” Kemudian akan kedengaran suara dari langit mengatakan “ Hambaku telah berdusta, masukkan dia ke dalam kotak yang diperbuat daripada api dan bukakan pintu Neraka untuknya” Kemudian dia akan merasa bahang daripada api neraka dan kuburnya akan sempitkan sehingga bersilang tulang-tulang rusuknya.
Dalam Hadis juga dinyatakan, bahawa malaikat dengan kejamnya akan menghukum orang-orang yang berdosa semasa ujian di dalam kubur dan siksaannya sangat menakutkan. Juga dimaklumkan bahawa Rasulullah saw memohon kepada Allah swt agar dilindungi daripada siksaan kubur dan menyuruh umatnya juga berbuat demikian.
Peristiwa pemuda berumur 18 tahun ini adalah sebagai peringatan kepada sesiapa yang mempercayainya dan hanyalah sebagai satu lagi cerita dongeng kepada sesiapa yang pintu hatinya ditutup oleh Allah swt. Mereka ini melihat tetapi tidak nampak, memasang telinga tetapi tidak dengar.

Khalifah yang peka

Khalifah Harun Ar-Rasyid sangat suka mendengar nasehat dan syarahan yang dapat menakutkan hatinya kepada Allah. Suatu hari Fuzdhail bin Iyadh telah diundang oleh beliau untuk memberikan syarahan khusus. Khalifah menghayati betul-betul nasehat Fuzdhail sehingga air matanya mengalir membasahi pipinya kerana takutnya pada Allah.

"Teruskan, teruskan..." pinta Khalifah apabila Fuzdhail berhenti sekejap.

Fuzdhail terus memberikan nasihat, sehingga pada kemuncaknya, Khalifah menjerit dan jatuh pengsan. Wazirnya risau dan Fuzdhail dimarahinya.

"Cukup! cukup! Kalau begini keadaannya, engkau seperti telah membunuh pemimpin kaum Muslimam keseluruhannya." kata Wazir.

"Hai Haman! Engkau diam! Ingat orang seperti engkau dan kuncu-kuncunya inilah yang telah menjerumuskan Khalifah. Aku hanya menasihatinya saja, bukan bermaksud untuk memudaratkannya." kata Fuzdhail.

Khalifah yang telah sedar dari pengsannya itu, tiba-tiba bertambah menangis dan menyesali dirinya.

"Kenapa....................kenapa wahai Amirul Mukminin?" tanya si Wazir, yang bertambah risau melihat Khalifah yang semakin sedih.

"Astaghfirullahal azhim, dia telah menganggapku sebagai Firaun." kata Khalifah, lalu menangis lagi....

"MasyaAllah, dia telah menganggap tuanku sebagai Firaun...?"
"Mana ada wahai Amirul Mukminin?" kata Wazir.

"Sebentar tadi, dia telah memanggilmu sebagai Haman. Sedangkan Haman adalah perdana menteri Firaun. Kalau demikian, aku telah dianggap sebagai Firaunlah." kata Khalifah.

Surat Umar Al-Khattab untuk Sungai Nil

Tatkala negeri Mesir mula ditakluki oleh tentera Islam Khalifah Umar Ibnul Khattab yang memerintah Kerajaan Islam ketika itu telah melantik Amru Bin Al As sebagai gabenor di wilayah Islam yang baru itu. Amru Bin Al As memang terkenal seorang pahlawan Islam yang berani serta pentadbir yang cekap dan bijaksana. 

Semasa Amru Bin Al As menjadi gabenor Mesir, suatu peristiwa ganjil telah berlaku. Air sungai Nil dikatakan akan berhenti mengalir beberapa bulan lagi dan penduduk-penduduk Mesir bercadang untuk melakukan upacara jahiliah ialah mengorbankan seorang anak gadis yang cantik ke dalam sungai itu. Mereka mendesak Amru Bin Al As supaya melakukan upacara itu. Beliau yang sebagai pemerintah Islam dan tokoh sahabat Rasulullah SAW tentu sekali berkeras tidak mahu melakukan sebab terang sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang suci. 

Tidak berapa lama kemudian air sungai Nil benar-benar mulai kering. Oleh kerana pertanian di negeri Mesir itu bergantung kepada air sungai tersebut, penduduk-penduduk pun menjadi semakin cemas. Ada sebahagian mereka terpaksa berpindah ke kawasan tanah lain yang lebih subur. 

Keadaan ini akhirnya memaksa Amru Bin Al As menulis surat kepada Khalifah Umar Ibnul Khattab di Madinah untuk meminta pandangannya. Amru Bin Al As sendiri merasa serba salah tentang bagaimana hendak menyelesaikan masaalah yang dihadapinyaitu. Tidak lama kemudian Saiyidina Umar Ibnul Khattab pun mengirim jawapannya melalui sepucuk surat. Tetapi apakala surat itu sampe ke tangan Amru Bin Al As gabnor Mesir itu didapatinya surat itu tidak ditujukan keapdanya bahkan kepada Sungai Nil itu sendiri. Sebelum Amru Bin Al As mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil yang hampir kekeringan itu ia sempat juga membaca isi surat itu yang berbunyi kira-kira demikian: 

"Surat ini dikirimkan kepada Sungai Nil oleh Umar, hamba Allah dan Amirul Mukminin. 

"Wahai Sungai Nil! Jika air yang mengalir di sungai ini adalah atas kuasamu maka ketahuilah bahawa kami tidak memerlukan kau, tetapi jika ianya mengalir di atas kekuasaan Allah swt maka kepadaNya kami pohonkan agar mengalirkan air di sungai ini." 

Demi setelah surat itu Gabenor Amru mencampakkan ke dalam sungai tersebut, adalah diriwayatkan bahawa sungai itu pun dipenuhi semula oleh air sedalam empat-puluh lapan kaki pada malam itu. Semenjak hari itu lenyaplah amalan-amalan jahiliah yang lama lagi karut itu di kalangan penduduk Mesir. 

Menghukum bayang-bayang

Seorang lelaki telah bermimpi menggauli seorang perempuan di dalam tidurnya sehingga junub. Dia merasa puas dan bangga walaupun hanya bermimpi. Kebetulan pula perempuan yang dimimpikan itu sudah punya anak lelaki yang sudah dewasa. Maka pergilah dia kepada anak lelaki itu dan memberitahukan mimpinya.
"Aku bermimpi telah berjunub bersama ibumu." kata lelaki yang bermimpi.
Anak lelaki itu marah-marah kerana merasa lelaki yang bermimpi itu telah mencabuli ibunya.
"Kalau begitu engkau telah berbuat jahat, engkau mesti dihukum." kata anak lelaki itu membela ibunya.
"Aku kan hanya bermimpi....."
Kedua-dua lelaki itu bertengkar panjang. Yang bermimpi mengatakan tidak bersalah, sedang anak kepada perempuan yang dimimpikan menganggapnya salah. Akhirnya mereka membawa masaalahnya kepada Ali bin Abi Talib untuk mencari keadilan.
"Lelaki ini mengaku telah bermimpi menggauli ibuku."
"Betulkah itu?" tanya Ali.
"Betul." jawab lelaki yang bermimpi.
"Dia mesti dihukum kerana telah berbuat jahat."
"Aku hanya bermimpi..."
"Baiklah, engkau bawa lelaki yang bermimpi ini dan berdirikan dia di bawah sinar matahari. Kemudian kau pukullah bayang-bayangnya." kata Ali bin Abi Talib.

Hikmah cemburu buta

Kelahiran Muawiyah yang akan menjadi orang besar sudah diramal oleh seorang tukang tilik di zaman jahiliyah. Hindun bin Utbah ibu kepada Muawiyah pernah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Fakih bin Al-Mughirah sebelum berkahwin dengan Abu Sufyan. Fakih seorang Arab yang sangat suka menerima tetamu, bahkan dia punya satu rumah khusus yang disediakan untuk tetamu dan orang musafir. Rumah tersebut dibuka siang dan malam dan boleh ditempati oleh tetamu dan musafir tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu.

Suatu hari, rumah tetamu tersebut sedang kosong, maka Fakih membawa Hindun beristirehat dan berbaring-baring di rumah tersebut. Sebentar kemudian Fakih keluar untuk suatu keperluan dan Hindu tertidur di situ sementara menunggu suaminya. Tiba-tiba datang seorang lelaki tetamu yang ingin beristirehat di rumah tersebut dan masuk ke dalam, tapi dia melihat seorang perempuan sedang tidur di dalamnya. Oleh kerana itu, dia segera keluar semula. Ketika lelaki itu keluar, Fakih datang dan melihatnya. Kecurigaan pun timbul di dalam hatinya, mukanya berubah menjadi merah. Fakih terus masuk dan menendang isterinya yang sedang tidur. Hindun terkejut dan cuba bangun dalam keadaan terhoyong-hayang.

"Ada apa? Ada apa?" kata Hindun dalam keadaan gugup.

Pertanyaannya tidak dijawab, tiba-tiba Fakih telah bertanya dengan nada yang keras, "Siapa lelaki yang bersamamu tadi?"

"Lelaki? Mana ada...aku tidak melihat sesiapa, aku tidur dan baru terjaga setelah dikejutkan oleh engkau..." jawab Hindun.

Al-Fakih terus menuduh, tapi Hindun terus mempertahankan kejujurannya. Maka terjadilah perang mulut di antara kedua-dua suami isteri itu.

"Baliklah engkau kepada keluargamu." kata Fakih menghalau Hindun.

Hindun terus bingkas dan balik ke rumah ayahnya. Sementara orang ramai memperkatakan mereka dari mulut ke mulut sehingga terdengar juga oleh Utbah, ayah Hindun.

"Wahai anakku, sesungguhnya orang ramai telah saling memperkatakan engkau. Maka hendaklah engkau ceritakan kepadaku perkara yang sebenarnya. Jika lelaki yang dimaksudkan itu benar-benar ada, aku akan mengutus orang untuk membunuhnya, agar cerita itu lenyap. Sebaliknya jika berita itu bohong aku akan bertahkim kepada tukang tilik di Yaman." kata Utbah kepada Hindun.

Hindun bersumpah kepada ayahnya bahawa berita itu tidak pernah ada, dia tidak pernah berlaku curang dan tidak pernah mengkhianati suaminya. Berdasarkan keterangan Hindun itu, Utbah memanggil Fakih dan berkata: "Engkau telah menuduh anakku dengan tuduhan yang besar. Oleh kerana itu aku akan ajak engkau agar bertahkim kepada tukang tilik di Yaman."

"Boleh," jawab Fakih.

Pada hari yang telah ditetapkan, Fakih berangkat ke Yaman bersama sejumlah kaum keluarganya dari Bani Makhzum, sementara Utbah dan Hindun berangkat bersama sekumpulan kaum keluarganya dari Banu Abdi Manaf. Apabila hampir sampai ke tempah bomoh yg di tuju, tiba-tiba wajah Hindun berubah menjadi pucat seperti orang ketakutan.

"Wahai anakku, mengapa keadaanmu tiba-tiba berubah seperti ketakutan? Ini pasti ada sesuatu yang engkau rahsiakan. Ayuh cakap terus terang aja." kata Utbah kepada Hindun.

"Wahai ayahku, demi Allah, aku tidak menyimpan apa-apa rahsia yang ditakuti. Tapi aku tahu bahawa engkau akan datang keapda seorang manusia tukang ramal, yang kadang-kadang salah dan kadang-kadang benar. Aku merasa tidak aman, khuatir tekaannya salah, maka aku akan menjadi umpatan dan cacian bangsa Arab." jawab Hindun.

"Jangan khuatir wahai anakku, aku akan menguji ahli nujum itu terlebih dahulu sebelum menilik dirimu, sama ada dia betul tahu atau hanya sekadar meneka-neka." kata Utbah.

Utbah ingin mengetahui sama ada tukang tilik it betul-betul mahir atau hanya sekadar meneka-neka. Sebelum dia masuk ke rumah si ahli nujum, Utbah mengambil sebiji gandum lalu disorokkan ke bawah pelana kudanya. Kemudian rombongan itu masuk ke rumah tok nujum dan disambut dengan gembira dan penuh kehormatan.

"Wahai tok nujum, aku datang kepadamu untuk suatu urusan. Sebelumnya aku telah menyorokkan sesuatu untuk mengujimu, cuba sebutkan apa itu?" kata Utbah.

"Hahaha....Engkau hanya menyorokkan sebiji bijiran sahaja." kata si tukang tilik.

"Aku ingin engkau terangkan lebih jelas." pinta Utbah.

"Bijiran itu adalah sebiji bijiran gandum yang ada dicelah-celah pelana kudamu. Betul tak?" kata si tukang tilik.

"Engkau betul." kata Utbah. Utbah sangat kagum akan kepandaian si tukang tilik itu, maka dia pun yakin dapat meneka keadaan Hindun dengan tepat.

"Nah sekarang, terangkan keadaan perempuan-perempuan itu." kata Utbah sambil menunjuk kepada perempuan-perempuan yang terdiri dari Banu Makhzum dan Bani Abdi Manaf itu. Tukang tilik bangkit dan menghampiri perempuan-perempuan yang duduk bersimpuh di situ lalu ditepuk bahunya satu-satu persatu sambil berkata: "Bangun..!" setiap kali menepuk bahu seorang di antara mereka. Apabila tiba giliran Hindun, tukang tilik menepuk bahunya sambil berkata: "Bangun...! Tidak buruk dan tidak penzina. Dia bakal melahirkan seorang raja yang bernama Muawiyah."

Al-Fakih yang menyaksikan demonstrasi ahli nujum itu sejak tadi, sangat gembira apabila mendengar tentang isterinya. Dia segera menghampiri Hindun lalu dipegang tangannya dengan mesra. Tapi, tiba-tiba Hindun menarik tangannya dari genggaman suaminya itu dengan kasar.

"Mengapa pula engkau ini?" tanya Fakih dengan terkejut.

"Berambuslah engkau dari sini. Demi Allah aku ingin anak itu lahir dengan seorang lelaki selain engkau." kata Hindun lalu pergi meninggalkan Fakih.

Seterusnya, Hindun pergi kepada ayahnya sambil berkata: "Wahai ayahku, sekarang akulah yang memiliki diriku sendiri. Oleh kerana itu, janganlah engkau kahwinkan aku dengan lelaki tanpa persetujuanku."

Fakih sangat menyesal kerana terlalu cemburu buta. Kemudian Hindun berkahwin dengan Abu Sufyan atas pilihannya sendiri. Pasangan itu melahirkan ramai anak yang seorang di antaranya bernama Muawiyah yang kemudian menjadi pengasa dan Raja Daulat Bani Umayyah yang pertama. Rupanya tindakan cemburu buta Fakih mengandungi hikmah besar bagi Abu Sufyan. Dia dapat isteri hebat dan menjadi ayah kepada orang besar.

Kisah si pemalas dengan Abu Hanifah

Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jenelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada sesiapa pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."

Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya.

Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis, "Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu berkeluh kesan sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cublah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi berusahalah terus."

Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya Allah, Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kelmarin, sekadar untuk mengenyangkan hidupku ang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku."

Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.

Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikan cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas' namanya. Putusa asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan berputus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan...jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. InsyaAllah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah...carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."

Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.

Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah, mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.

Dalam Islam tiada istilah penggangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalan.

Wednesday, August 08, 2012

Kota peninggalan kaum Tsamud dan kebenaran al-Quran

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikam kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan.

Surah al-Araaf ayat 74

Kaum Tsamud adalah kaum yang dilaknat oleh Allah swt kerana mensyirikkan Allah swt kerana bertindak menyembah berhala. Kaum ini dianugerahkan oleh Allah swt dengan kemampuan dan kemahiran memahat gunung untuk dijadikan istana dan tempat tinggal. Diriwayatkan bahawa mereka menetap di Hijr iaitu nama sebuah kawasan pergunungan yang terletak di persimpangan jalan antaraMadinah dan Syria.


Lokasi kota tsamud (Mada'in Salih)

Dan sesungguhnya penduduk-penduduk kota Al-Hijr (Tsamud) telah mendustakan rasul-rasul
Surah al-Hijr ayat 81 

Mukjizat Nabi Saleh

Seorang nabi telah diutuskan kepada kaum Tsamud, namun langsung tidak diendahkan oleh mereka. Nabi tersebut diceritakan di dalam al-Quran sebagai nabi Saleh as. Nabi Saleh as dianugerahkan dengan seekor unta betina sebagai tanda mukjizat baginda. Unta tersebut bukan sebarangan tetapi unta ajaib yang ‘lahir’ daripada celahan batuan gunung. Ia diceritakan Allah dalam surah al-Israa ayat 59,

Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. Dan Kami tidak memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakuti.

Surah al-Israa ayat 59

Cerita lebih terperinci berkisar tentang mukjizat unta betina ini diceritakan oleh Allah swt dalam surah As-Syu’araa’ daripada ayat 154 sehingga 159.

Tidak Mengendahkan Seruan Nabi Saleh As

Miskipun demikian, kedatangan nabi Saleh as untuk mengajak mereka ke jalan tauhid langsung tidak diendahkan oeh mereka. Malahan, mereka bertambah engkar dan terus menerus mencerca dan mencabar nabi Saleh as. Ia diceritakan Allah swt dalam surah al-A’raaf,

Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahwa Saleh diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?.” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu, yang Saleh diutus untuk menyampaikannya. Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: “Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu. Kemudian mereka sembelih unta betina itu, dan mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhan. Dan mereka berkata: “Hai Shaleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus (Allah).” Karena itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Maka Shaleh meninggalkan mereka seraya berkata: “Hai kaumku sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu amanat Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepadamu, tetapi kamu tidak menyukai orang-orang yang memberi nasihat.” 
(surah al-A’raaf: 75-79)

Azab Allah Swt Terhadap Kaum Tsamud Yang Kufur

Keengkaran dan kesombongan mereka terhadaps seruan nabi Saleh as telah menyebabkan mereka ditimpa dengan azab yang cukup pedih. Kehancuran kaum Tsamud adalah kerana sambaran petir yang mereka saksikan dengan mata mereka sendiri. Petir yang luar biasa dasyat ini yang menghasilkan bunyi yang cukup kuat. Firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan adapun kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan. 
Surah as-Fushsilat ayat 17

Berikut adalah bukti tinggalan kota kaum Tsamud, semoga umat Islam mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu yang telah dilaknat Allah swt.

Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang mempunyai akal, (yaitu) orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan peringatan kepadamu
Surah at-Thalaq ayat 10
Bangunan tersergam indah diukir pada gunung.

Sesalur dan mungkin ia adalah sistem peparitan

Jalan juga mereka cipta untuk kemudahan mereka.

Kisah Saidina Umar dan anak penjual susu



Anda mungkin pernah mendengar kisah Saidina Umar dengan seorang anak penjual susu. Seorang anak perempuan yang membantah dan menegur ibunya kerana cuba mencampurkan air ke dalam susu. Kata-katanya mendiamkan bondanya.
Tahukah anda siapakah dari keturunan si anak ini merupakan seorang khalifah yang hebat? Khalifah tersebut ialah Umar bin Abdul Aziz yang tersohor itu. Iaitu cucu kepada wanita tersebut, cicit kepada Saidina Umar al-Khattab.
Kisahnya begini. Pada satu malam Saidina Umar bersama khadamnya memantau keadaan rakyatnya di pinggir madinah sebagaimana rutin hidupnya sebagai Amirul Mukminin yang cakna. Pada ketika itu Umar telah mengistiharkan larangan mencampurkan air ke dalam susu kerana ia merupakan satu jenis penipuan.
Akhirnya Umar duduk berehat dengan bersandar di dinding sebuah rumah. Tiba-tiba beliau terdengar dua beranak berdialog:
Berkata seorang perempuan penjual susu kepada anak gadisnya, "Campurlah susu ini dengan air!", katanya. Serta merta si anak membantah seraya bertanya: "Apakah ibu tidak takut kalau hal ini diketahui khalifah Umar bin Khattab?
"Umar tidak akan tahu", jawab ibunya spontan.
Dengan penuh keyakinan gadis itu pun menjawab, "Walau pun Umar tidak mengetahuinya, apakah beerti Tuhan yang menciptakan Umar juga tidak mengetahuinya?”. Si ibu terperanjat lalu terdiam seribu bahasa dengan kata-kata anaknya.
Lalu bergegaslah Umar meninggalkan rumah itu seraya memberikan arahan kepada pembantunya, "Tandalah rumah ini!". Keesokan harinya ia segera memanggil Ashim, salah satu anak lelakinya seraya bertanya: "Mahukah kamu aku nikahkan dengan seseorang yang sangat baik agamanya?". Tanpa pikir panjang lagi Ashim pun menjawab dengan penuh keyakinan, "Ya".[ Sirah wa Manaqib Umar bin Abdul Aziz, karya Ibnu al-Jauzi]

Begitulah kisah seorang anak yang solehah telah memikat hati Amirul Mukminin untuk dijadikan menantu. Perkahwinan mereka berdua telah melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Laila. Laila telah berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan seorang Gabenor Mesir pada pemerintahan khalifah Abdul Malik bin Marwan. Perkahwinan mereka berdua melahirkan Umar bin Abdul Aziz Amirul Mukminin yang kelima seorang khalifah yang bertakwa, wara’ dan adil.

Begitulah sunnatullah. Keturunan yang baik akan melahirkan anak yang baik.

Namun persoalan yang bermain di fikiran ini ialah masih ada lagikah wanita-wanita seperti si anak penjual susu pada hari ini?

Sunday, August 05, 2012

Cara halal atau haram

Kisah kali ini ialah cara untuk memperolehi sesuatu dengan cara yang halal atau haram . Allah memberi pilihan kepada kita untuk membuat pilihan. Semoga kisah ini dapat diambil pengajaran.
Pada suatu hari Saiyidina Ali ra masuk ke masjid kufah untuk solat sunat dhuha. didapatinya terdapat seorang anak muda di depan pintu masjid. Saidina Ali berkata :” wahai anak muda , jagalah himarku sehingga aku selesai solat”. dan dihatinya terlintas untuk memberi satu dirham kepada anak muda tersebut.
Ketika beliau sedang solat, anak muda itu mengambil tali kekang himar itu untuk dijual dipasar. apabila Saidina Ali keluar masjid didapati himarnya tiada tali kekang. maka disuruhnya seseorang pergi ke pasar mencari anak muda tersebut. kata Ali : "pergilah ke pasar, mungkin dia sedang menjual tali kekang di sana".
 Orang itupun pergi ke pasar dan mendapati anak muda tersebut sedang menawarkan tali kekang itu. orang utusan Ali pun membelinya dengan satu dirham dan dibawa pulang dah diserahkan kepada Ali. 

Kata Saidina Ali: “Subhanallah, saya sudah berniat untuk memberi satu dirham yang halal kepadanya, namun Allah tidak suka kecuali memberi satu dirham yang haram kepadanya.
sumber : La Tahzan
WALLAHU TA’ALA A’LAM

Kisah bumi memuntahkan jenazah orang murtad


Kisah ini terjadi pada zaman Rasulullah saw sebagai pengajaran dan tanda kekuasaan Allah SWT.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, berkata:

Di antara kami ada seorang lelaki dari Bani Najjar yang beragama Nasrani, dia telah membaca surah Al Baqarah dan surah Ali-Imran serta selalu menulis untuk Rasulullah Saw. Kemudian dia melarikan diri untuk bersama-sama ahli kitab.

Anas berkata:'Ahli kitab menyanjungnya'

Mereka ( ahli Kitab) berkata: 'Lelaki ini telah menulis untuk Muhammad menyebabkan mereka mengaguminya'.

Setelah beberapa ketika bersama-sama ahli kitab, laki-laki tersebut meninggal dunia.

Ahli kitab menggali kubur dan mengkebumikannya. Pada pagi kesokannya, bumi memuntahkannya ke permukaan. Ahli kitab berkata :Ini mesti perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya kerana dia melarikan diri dari mereka. Mereka telah mengali kubur dan mengeluarkan mayat ini.

Kemudia mereka menggali kubur dengan lebih dalam dan mengebumikannya. Pada pagi kesokannya, bumi memuntahkannya ke permukaan. Ahli kitab berkata : Ini mesti perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya kerana dia melarikan diri dari mereka. Mereka telah mengali kubur dan mengeluarkan mayat ini.

Kemudia mereka menggali kubur dengan lebih dalam setakat mereka mampu. Pada pagi kesokannya, bumi memuntahkannya ke permukaan. Mereka akhirnya mengetahui bahawa itu adalah bukan perbuatan manusia. Maka mereka mencampakkannya begitu sahaja di permukaan bumi. ( Imam al-Bukhari dan Muslim)


Semoga kita dapat mengambil iktibar dari kisah benar ini yang menimpa individu yang mendurhakai Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan mematikan kita dalam iman dan memperoleh ihsanNya.

Saturday, August 04, 2012

Islamnya Zaid bin Sanah - seorang pendita Yahudi

Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salaam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.

Tiba-tiba datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam, terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka ditimpa bahaya kelaparan.

Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu."

Mendengar keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada lagi bahan makanan pada kita."

Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang dan dengan perjanjian begitu, begini."

Berkata Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari engkau."

"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.

Zaid bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana itu.

Berkata Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain.

Setelah selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"

Mendengar kata-kataku yang kasar itu, saya lihat wajah Umar bin Khattab merah padam kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."

Rasulullah memandang kepadaku dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa marahnya."

Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar, "Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan kemarahan engkau."

"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.

"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."

"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.

"Kenapa engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.

Zaid bin Sanah menjawab, "Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang marah itu.

Dengan kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."

Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya."

Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.

Demikianlah caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam , beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir hayatnya. SubhanAllah .......

[Tulisan oleh: Farah Hanan Abd. Wahid - Majalah Dakwah, Julai 1993]

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012