Showing posts with label DUNIA ISLAM : KISAH JUHA DAN ABU NAWAS. Show all posts
Showing posts with label DUNIA ISLAM : KISAH JUHA DAN ABU NAWAS. Show all posts

Friday, October 05, 2012

Kisah Abu Nawas: Menampar pipi Sultan

Pada suatu hari, Abu Nawas singgah di rumah kenalannya yang berbangsa Yahudi. Di sana berlangsungnya permainan muzik yang begitu meriah. Ramai orang yang menontonnya. Semua tetamu yang hadir harus terlibat dalam permainan muzik itu termasuklah Abu Nawas yang baru saja masuk. Ada yang bermain kecapi, ada yang menari dan pelbagai lagi. semuanya bersuka ria.
Ketika para tetamu sudah kehausan, tuan rumah menghidangkan kopi kepada para hadirin. Masing-masing mendapat secawan kopi termasuklah Abu Nawas. Ketika Abu Nawas hendak meminum kopi itu, dia ditampar kenalannya yang berbangsa Yahudi itu. Kali pertama ditampar Abu Nawas tidak peduli namun dia terus-terus ditampar setiap kali mengangkat cawan minumannya hingga tamparan yang diterima Abu Nawas pada malam itu cukup banyak sehingga permainan muzik itu selesai sekitar pukul 2 pagi.
Dalam perjalanan pulang Abu Nawas berfikir,
“Jahat benar perangai Yahudi itu, suka menampar tetamu begitu saja. Kelakuan seperti itu tidak boleh dibiarkan berlaku di mana-mana pun. tapi apa dayaku untuk melarangnya dari terus berkelakuan begitu sampai bila-bila?” hati Abu Nawas tertanya-tanya. Tiba-tiba dia mendapat satu akal. Lalu dia bergegas pulang ke rumah.
Keesokan harinya, Abu Nawas mengadap Sultan Harun Ar-Rasyid di istana.
“Ampun tuanku, ternyata terdapat suatu permainan yang belum pernah patik kenal dalam negeri ini tuanku dan permainannya sangatlah aneh,” lapor Abu Nawas.
“Di mana tempatnya?” soal baginda sultan.
“Di tepi hutan sana tuanku,” jawab Abu Nawas.
“Kalau begitu marilah kita pergi lihat,” ajak baginda sultan.
“Nanti malam saja kita pergi berdua tuanku kerana permainan itu dilakukan hanya pada malam hari dan tuanku hendaklah berpakaian sebagaimana rakyat biasa,” kata Abu Nawas lalu baginda sultan Harun Ar-Rasyid pun bersetuju.
Malam itu, setelah bersolat Isyak maka berangkatlah sultan Harun Ar-Rasyid dan Abu Nawas ke rumah lelaki Yahudi itu. ketika sampai di sana, kebetulan lelaki Yahudi itu sedang asyik bermain muzik bersama teman-temannya. Baginda sultan dan Abu Nawas pun dipersilakan duduk.
Ketika diminta untuk menari, baginda sultan yang berpakaian rakyat biasa menolak hingga akhirnya baginda dipaksa menari serta ditampar pipinya kanan kiri. Ketika itu barulah baginda sedar bahawa baginda telah dipermainkan oleh Abu Nawas. Namun apakan daya baginda tidak mampu melawan orang-orang yang turut serta bermain di rumah lelaki Yahudi tersebut.
Maka menarilah baginda sultan sehingga keringat membasahi seluruh tubuhnya yang gendut itu. kemudian barulah kopi diedarkan kepada semua tetamu. Waktu itu pula, Abu Nawas mengambil peluang untuk pulang ke rumah dengan alasan hendak ke bilik air sebentar.
“Biar baginda merasakan sendiri keadaan itu kerana salahnya sendiri yang tidak pernah mengetahui keadaan rakyatnya dan hanya percaya kepada laporan para menteri,” fikir Abu Nawas dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Manakala baginda sultan yang masih berada di rumah lelaki Yahudi itu terus-terus ditampar ketika cuba mengangkat cawan kopinya. Setiap kali baginda melakukannya, setiap kali itulah juga kedua pipinya ditampar sehingga baginda tidak dapat merasa walaus etitik pun air kopinya. Lewat pagi barulah baginda dapat melepaskan diri dari permainan itu.
Sebaik tiba di istana, baginda sultan Harun Ar-Rasyid segera memerintahkan pengawalnya untuk memanggil Abu Nawas.
“Wahai Abu Nawas, sungguh kurang ajar sekali perbuatanmu malam tadi. engkau membiarkan baginda sultan dimalukan seperti itu di depan rakyatnya sendiri,” marah baginda sultan dengan muka merah padam.
“Mohon ampun wahai tuanku. Sebenarnya, malam sebelum itu patik juga telah diperlakukan seperti mana yang telah tuanku diperlakukan. Patik ingin melaporkannya secara jujur kepada tuanku tetapi bimbang jika tuanku tidak percaya. Dari itu, patik mendapat akal untuk membawa tuanku ke sana agar tuanku mengetahuinya dengan mata kepala sendiri perilaku rakyat tuanku yang tidak senonoh itu,” jelas Abu Nawas membela diri.
Mendengar keterangan Abu Nawas, maka fahamlah baginda sultan makna tindakan Abu Nawas itu. lalu baginda menyurut beberapa orang pengawalnya memanggil lelaki Yahudi tersebut supaya mengadapnya.
“Wahai Yahudi, mengapa sebabnya engkau menampar baginda sultan malam tadi?” tanya baginda sultan Harun Ar-Rasyid marah.
“Ampun tuanku, sesungguhnya patik tidak tahu jika tuanku turut serta berada di rumah patik malam tadi. jika sekiranya patik tahu, nescaya patik tidak akan berbuat seperti itu,” jawab lelaki Yahudi itu, cuba membela diri.
Namun malang baginya apabila baginda sultan menolak kata-katanya. Oleh kerana menampar orang termasuk dalam perbuatan maksiat maka baginda sultan mengambil tindakan tegas dengan memerintahkan lelaki Yahudi itu dipenjarakan.
Sejak saat itu, sultan Harun Ar-Rasyid sangat mengambil tahu perihal tingkah laku rakyatnya. Sesungguhnya baginda amat berterima kasih atas laporan yang dibuat oleh Abu Nawas itu. 

Monday, October 01, 2012

Kisah Abu Nawas : Memenangi Acara Berburu

Pada suatu hari yang cerah, Sultan Harun Ar-Rasyid dan para pengawalnya meninggalkan istana untuk berburu. Namun ditengah-tengah perjalanan, salah seorang pegawai kerajaan yang bernama Abu Jahal menyusul dengan termengah-mengah di atas kudanya.
“Ampun tuanku, patik ingin mencadangkan sesuatu,” kata Abu Jahal sebaik saja mendekati baginda sultan.
“Apa cadanganmu itu wahai Abu Jahal?” tanya baginda sultan.
“Agar acara memburu ini menarik dan disaksikan olh ramai rakyat jelata, mengapa tidak kita sebarkan acara berburu ini kepada semua?” ujar Abu Jahal dengan raut wajah serius.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terdiam sejenak sebelum mengangguk-gangguk.
“Hamba ingin beradu ketangkasan dengan Abu Nawas. Pemenangnya nanti akan mendapat sepundi wang emas tapi jika kalah, hukumannya adalah memandikan kuda-kuda istana selama sebulan,” tutur Abu Jahal lagi.
Akhirnya baginda sultan bersetuju dan memanggil Abu Nawas untuk mengadap.
Pada awalnya, Abu Nawas menolak cadangan tersebut kerana dia tahu bahawa semua cadangan itu adalah cadangan Abu Jahal yang sangat ingin menyingkirkannya dari istana. Tetapi baginda sultan memaksa dan akhirnya Abu Nawas tidak dapat menolak.
Lalu Abu Nawas pun berfikir cara untuk mengalahkan Abu Jahal. Dia yakin Abu Jahal pasti akan meminta orang suruhannya untuk membantunya mendapatkan binatang buruan di hutan nanti. namun kerana kecerdikannya, Abu Nawas pun tersenyum senang kerana telah mendapat akal.
Maka pada hari pertandingan, baginda Sultan Harun Ar-Rasyid pun membawa kedua-duanya ke tengah-tengah halaman istana. Bersama-sama rakyat jelata, mereka menanti diapa yang bakal menjadi pemenang dalam acara lumba memburu ini.
Sebaik saja trompet ditiup menandakan acara sudah bermula, Abu Jahal segera memacu kudanya secepat kilat menuju ke hutan belantara.
Anehnya, Abu Nawas bersikap sebaliknya. Dengan tenang dan santai, dia menaiki kudanya lalu menunggang perlahan-lahan menuju ke hutan hingga para penonton yang melihat berteriak meminta dia mempercepatkan pergerakannya.
Menjelang petang hari, nampaklah kuda Abu Jahal memasuki pintu gerbang istana. Dia mendapat sambutan meriah dan tepuk tangan dari rakyat yang menyaksikannya. Di sisi kanan dan kiri kuda Abu Jahal tampak puluhan haiwan yang mati terpanah. Abu Jahal dengan senyum bangga memperlihatkan semua binatang buruannya di tengah-tengah halaman.
“Aku, Abu Jahal berhak memenangi pertandingan ini. Lihat, binatang buruanku banyak. Mana mungkin Abu Nawas dapat mengalahkan aku?” teriaknya lantang membuatkan para penonton semakin ramai bertepuk tangan.
Tak lama kemudian, terdengar suara kaki kuda Abu Nawas. Semua orang mentertawakannya kerana Abu Nawas tidak membawa satu pun binatang buruan di kudanya. Tapi Abu Nawas tidak nampak gusar sama sekali. Bahkan dia tersenyum dan melambaikan tangan.
Baginda Sultan segera menyuruh 2 orang pengawalnya ke tengah halaman istana dan menghitung jumlah binatang buruan yang didapati oleh kedua-dua peserta tersebut.
Lalu para pengawal menghitung jumlah binatang hasil buruan Abu Jahal.
“Tiga puluh lima ekor arnab, lima ekor rusa dan dua ekor babi hutan,” kata salah seorang pengawal.
“Kalau begitu akulah pemenangnya kerana Abu Nawas tidak membawa seekor binatang pun,” teriak Abu Jahal dengan sombongnya.
“Bertenanglah Abu Jahal. Aku membawa ribuan binatang. Jelaslah aku pemenangnya dan engkau wahai Abu Jahal, sila mandikan kuda-kuda istana selepas ini. Menurut peraturan acara ini, semua binatang boleh ditangkap tanpa mengira saiz atau bentuknya. Yang penting jumlahnya banyak,” kata Abu Nawas sambil membuka buluh kuning yang telah diisi dengan ribuan semut merah. Lalu dihulur pada para pengawal.
“Jumlahnya sangat banyak tuanku, mungkin ribuan, mungkin juga jutaan. Kami tak sanggup menghitungnya lagi,” kata pengawal-pengawal yang menghitung jumlah semut itu.
Mendengar kenyataan itu, Abu Jahal tiba-tiba jatuh pengsan.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid ketawa terbahak-bahak dan terus memberi hadiah kepada Abu Nawas. Ternyata kecerdikan dan ketulusan hati pasti boleh mengalahkan kelicikan. 

Friday, September 21, 2012

Kisah Abu Nawas : Sultan hampir terbunuh

Pada suatu hari, Abu Nawas berjalan-jalan hingga ke kampung Badwi yang terletak di kawasan gurun yang juga jauh dari bandar tempat tinggalnya. Sesampainya dia di tempat tersebut, dia mendapati beberapa orang penduduknya sedang memasak bubur dan suasananya begitu meriah sekali. Tiba-tiba, Abu Nawas ditangkap oleh penduduk kampung tersebut dan dibawa ke sebuah rumah untuk disembelih.
“Kenapa aku ditangkap?” tanya Abu Nawas.
“Wahai orang asing, setiap orang yang melewati kawasan ini pasti kami akan tangkap. Kami akan sembelih seperti kambing dan masukkannya ke dalam belanga bersama adunan tepung itu. inilah pekerjaan kami dan itulah makanan kami setiap hari,” jawab salah seorang penduduk kampung itu sambil menunjuk ke arah belanga yang mendidih airnya.
Abu Nawas ketakutan tetapi meskipun dia berada dalam keadaan itu, dia masih sempat berfikir dan mencari akal untuk terlepas dari genggaman penduduk kampung itu. lalu dia pun berkata,
“Wahai penduduk kampung, kamu lihatlah diriku ini. badanku kurus kering saja, dagingku tidak banyak. Kalau kamu benarkan, esok aku akan bawakan temanku yang badannya lebih gemuk dariku hingga kamu semua boleh makan untuk lima hari lamanya. Aku berjanji akan bawanya ke sini, tolonglah lepaskan aku,” pinta Abu Nawas.
Kerana janjinya itu, Abu Nawas akhirnya dibebaskan.
Dalam perjalanan pulang, Abu Nawas berfikir cara untuk mencari teman yang gemuk sebagaimana yang dijanjikannya. Tiba-tiba bayang baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terbayang di kepalanya.
“Seharusnya baginda tahu tentang perkara yang tidak menyenangkan ini dan alangkah baiknya jika baginda tahu sendiri tentang perkara ini,” fikir Abu Nawas lagi. lalu Abu Nawas pun bergegas ke istana.
Dengan pelbagai pujuk rayu, akhirnya Abu Nawas berjaya juga memujuk baginda Sultan untuk ke kampung badwi tersebut.
Esoknya, mereka berdua pun pergilah ke kampung itu. sesampainya di kampung tersebut, penduduk kampung terus saja menangkap baginda Sultan Harun Ar-Rasyid manakala Abu Nawas segera meninggalkan kampung itu. dalam hati dia berfikir,
“Jika baginda bijak, pasti baginda dapat melepaskan diri dari penduduk kampung itu. jika tidak, matilah baginda hari ini,”
Sementara itu, baginda Sultan Harun Ar-Rasyid langsung tidak menyangka akan disembelih. Dalam takut-takut, baginda berkata,
“Jika kamu membuat bubur, dagingku ini tidaklah banyak kerana banyak lemaknya. Tapi jika kamu semua izinkan, benarkan aku membuat makanan lain yang boleh kamu semua jual dengan harga yang lebih mahal berbanding harga bubur kamu itu,”
Lalu penduduk kampung itu pun bersetuju dan baginda sultan pun bekerja keras membantu penduduk kampung itu membuat pelbagai makanan seperti mana yang dijanjikannya. Akhirnya, baginda dibebaskan kerana berjaya membantu penduduk kampung itu dari terus mengamalkan memakan daging manusia.
Beberapa hari kemudian, baginda Sultan memanggil Abu Nawas untuk dikenakan hukuman kerana nyaris membuatkan baginda kehilangan nyawa. Abu Nawas dianggap telah memalukan rajanya di hadapan rakyatnya sendiri.
“Wahai Abu Nawas, kamu benar-benar telah memalukan baginda sultan. Perbuatanmu itu sungguh tidak wajar dan kamu patut dihukum bunuh,” kata Sultan Harun Ar-Rasyid penuh geram.
“Ampun patik tuanku. Sebelum patik dihukum, perkenankan patik untuk menyampaikan kata-kata patik,” sembah Abu Nawas mahu membela diri.
“Baiklah. Tetapi ingat, jika salah, nescaya kamu akan dibunuh hari ini juga,” ujar baginda sultan.
“Wahai tuanku, alasan patik menyerahkan tuanku kepada pembuat bubur itu adalah ingin menunjukkan keadaan hidup masyarakat yang pelbagai dalam negeri ini. kerana semua kejadian di dalam negeri ini adalah tanggungjawab tuanku kepada Allah SWT kelak. Raja yang adil sebaiknya harus tahu setiap pekerjaan yang dilakukan oleh rakyatnya sendiri,” terang Abu Nawas.
Mendengar penerangan itu, maka hilanglah rasa marah Sultan Harun Ar-Rasyid. Dalam hati dia membenarkan kata-kata Abu Nawas itu.
“Baiklah kalau begitu baginda ampunkan semua perbuatanmu dan jangan melakukannya lagi di masa hadapan,” tegas baginda Sultan. 

Wednesday, September 19, 2012

Kisah Abu Nawas : Menyelamatkan Raja dengan Serban Usang


Kisah ini adalah tentang kecerdikan Abu Nawas dalam menyelamatkan rajanya dari dikhianati oleh para pembesar istana. Kisahnya berlaku apabila kerajaan yang dipimpin oleh Sultan Harun Ar-Rasyid menjadi huru hara gara-gara berlakunya perculikan dan pembunuhan misteri di kalangan rakyat jelata baginda.
Raja dan para tentera akhirnya mengetahui huru hara tersebut bukannya datang dari musuh tetapi dari dalam istana sendiri yang dirancang oleh para menteri. Namun Sultan Harun Ar-Rasyid tidak dapat mengetahui siapa di antara menterinya yang telah merancang kejadian itu kerana dia melihat semua menterinya begitu taat dan setia padanya.
Oleh kerana buntu, baginda pun memanggil Abu Nawas yang cukup dikenali mempunyai akal fikiran yang cerdas.
“Wahai Abu Nawas, akhir-akhir ini Sultan Harun Ar-Rasyid sangat gelisah. Bagai ada seseorang yang ingin mengulingkan kerajaan baginda. Apa adakah apa-apa yang salah dalam kepimpinan baginda?” soal baginda.
“Ampun tuanku, apa yang boleh patik lakukan untuk membantu?” tanya Abu Nawas.
“Begini wahai Abu Nawas. Berikanlah cara kepada Sultan Harun Ar-Rasyid untuk baginda menguji kesetiaan para menteri baginda,” pinta baginda Sultan Harun Ar-Rasyid sambil berjanji untuk memberi hadiah kepada Abu Nawas andai Abu Nawas berjaya membantu baginda.
“Kalau begitu, berilah patik waktu sehari semalam untuk memikirkan cara yang terbaik,” ujar Abu Nawas lalu pulang ke rumah.
Di rumah, Abu Nawas berfikir keras untuk mencari cara terbaik bagi menguji kesetiaan para menteri Sultan Harun Ar-Rasyid. Kerana letih berfikir, Abu Nawas akhirnya tertidur.
Pada keesokan harinya, ketika Abu Nawas ingin menunaikan solat Subuh, dia telah mendapat akal bagi membantu baginda Sultan Harun Ar-Rasyid. Lantas dia segera mencari serban yang berbau busuk kerana sudah lama tidak dicuci oleh isterinya.
Setelah solat Subuh, Abu Nawas segera bergegas ke istana untuk mengadap Sultan Harun Ar-Rasyid. Abu Nawas meminta Sultan Harun Ar-Rasyid berpura-pura mempunyai serban sakti. Sultan Harun Ar-Rasyid bersetuju mengikut rancangan Abu Nawas.
Tak lama kemudian, baginda pun memerintahkan para menterinya untuk datang mengadap. Di hadapan mereka semua, Sultan Harun Ar-Rasyid mengatakan bahawa baginda telah mendapat hadiah berupa serban sakti hasil pemberian sultan dari negara lain. Antara kesaktiannya serban itu mampu menentukan masa depan kerajaan Sultan Harun Ar-Rasyid di masa akan datang.
“Wahai para menteri, bantulah baginda menentukan masa depan negeri ini,” titah Sultan Harun Ar-Rasyid.
“Bagaimana caranya wahai tuanku?” tanya salah seorang menteri.
“Caranya mudah saja. Hendaklah setiap seorang dari kamu semua mencium serban hadiah ini secara bergantian. Apabila berbau wangi, itu tandanya kerajaan baginda akan terus aman tapi jika berbau busuk, itu tandanya kerajaan baginda akan runtuh tak lama lagi,” jelas baginda.
Lalu seorang demi seorang menteri pun memasuki bilik yang menempatkan serban sakti yang dikatakan Sultan. Selesai giliran semuanya, maka mereka pun kembali mengadap baginda Sultan Harun Ar-Rasyid.
“Bagaimana baunya?” tanya Sultan Harun Ar-Rasyid.
“Serban itu baunya sangat harum jadi kerajaan tuanku akan kekal aman,” jawab menteri pertama. Menteri kedua dan ketiga juga memberi jawapan yang sama. Sebenarnya mereka ingin menyenangkan hati sultan yang diketahui sedang gundah gulana.
Lalu tibalah menteri keempat dan kelima memberi jawapan. Mereka mengatakan bahawa serban itu berbau busuk dan amat menyengat hidung.
Bila mendengar kata-kata kedua-duanya, maka Sultan Harun Ar-Rasyid pun menjelaskan bahawa serban itu adalah milik Abu Nawas yang sudah using dan telah lama tidak dicuci.
Lalu bergetarlah tubuh menteri pertama, kedua dan ketiga. Sedar mereka telah berbohong dan bersikap tidak jujur kepada Sultan. Maka mereka pun ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Manakala menteri keempat dan kelima diberikan hadiah atas kesetiaan mereka kepada baginda sultan. Tidak lupa Abu Nawas juga mendapat bahagian hadiah seperti mana yang dijanjikan oleh Sultan Harun Ar-Rasyid sebelumnya. 

Tuesday, September 18, 2012

Kisah Juha : cerita pendek Juha (4)

Mimpi isteri Juha

Pada suatu malam, isteri Juha telah bermimpi bahawa Juha telah membelikannya beberapa pasang baju yang cantik-cantik. Oleh kerana tidak sabar dia terus mengejutkan Juha yang sedang nyenyak tidur lalu menceritakan apa yang telah diberikan oleh Juha dalam mimpinya itu tadi.
Oleh kerana Juha terlalu marah kerana tidurnya diganggu, maka dia pun terus berkata pada isterinya,
“Hah! Kalau begitu kamu jaga baik-baik semua baju yang aku berikan kepada kamu tadi sebab untuk tahun ini aku tidak akan membelikan baju lagi untuk kamu. Kalau kamu nak juga tunggulah tahun depan!”

Hadiah buat Juha

Pada suatu hari, Juha telah pergi menemui Tuan Gabenor lalu berkata,
“Wahai Tuan Gabenor! Sesungguhnya aku telah menuliskan serangkap syair yang sangat indah kata-katanya dan ianya aku tujukan khas buat Tuan Gabenor. Jadi sekarang ini aku akan membacanya di hadapan kamu wahai Tuan Gabenor!”
Tuan Gabenor pun berkata,
“Baiklah! Bacakanlah dan aku akan mendengarnya!”
Juha pun terus membacakan syair yang baru direkanya itu akan tetapi malang sekali syairnya itu tidak menarik minat Tuan Gabenor. Tuan Gabenor tidak menyukai syairnya. Walau bagaimana pun Tuan Gabenor telah menghadiahkan kepadanya sebuah pelana keldai tanda terima kasihnya dan Tuan Gabenor tidak pula mengatakan bahawa dia tidak menyukai syairnya itu. Maka Juha merasakan bahawa sudah pasti Tuan Gabenor berpuas hati dengan syairnya tadi.
Juha pun terus mengambil pelana keldai yang telah dihadiahkan kepadanya itu dan diletakkan ke atas bahunya lalu terus berjalan keluar dari istana. Sebelum sempat keluar Juha telah bertemu dengan isteri Tuan Gabenor, lantas isteri Tuan Gabenor pun bertanya,
“Wahai Juha! Apa yang kamu letakkan atas bahu kamu itu?”
Jawab Juha,”Wahai isteri Tuan Gabenor! Sesungguhnya saya telah membacakan serangkap syair yang indah di hadapan Tuan Gabenor. Lantas beliau pun telah menghadiahkan kepada saya sebuah pakaian yang paling indah iaitu pelana keldai.”

Wednesday, August 29, 2012

Kisah Abu Nawas: Memindahkan istana

Baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid baru saja selesai membaca sebuah kitab berkenaan dengan kehebatan Nabi Sulaiman yang mampu memerintahkan para jin untuk memindahkan singgahsana Ratu Balqis ke dalam istananya. Lalu tiba-tiba baginda terfikir sesuatu. Hatinya mula tertarik untuk melakukan perkara yang sama. Baginda terasa mahu memindahkan istananya ke atas gunung agar baginda dapat melihat dengan lebih selesa pemandangan di sekitar kerajaannya.
Puas berfikir, akhirnya baginda memutuskan untuk menitahkan Abu Nawas melakukan perkara mustahil itu. Baginda yakin Abu Nawas yang terkenal dengan kecerdikannya itu mampu melaksanakan titahnya itu.
Tanpa membuang masa, Abu Nawas dipanggil ke istana lalu terus mengadap baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Wahai Abu Nawas, sanggupkah engkau memindahkan istana Raja Harun Ar-Rasyid ke atas gunung agar Raja Harun Ar-Rasyid dapat melihat dengan lebih dekat keadaan yang berlaku dalam kerajaannya?” soal baginda.
Abu Nawas terdiam. Dia tidak menyangka baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid akan memintanya berbuat demikian. dalam hati dia yakin dia tidak mungkin akan menolak permintaan mustahil baginda itu melainkan jika dia mahu menghadapi hukuman.
Lalu dalam nada perlahan lagi kurang yakin, dia pun menjawab,
“Baiklah tuanku. Patik sanggup melakukannya,” lalu baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid pun tersenyum gembira dan memberi tempoh sebulan kepada Abu Nawas untuk menyelesaikan titahnya itu.
Abu Nawas pun meminta diri pulang dengan hati yang galau. Saban malam dia asyik memikirkan cara untuk melaksanakan perintah baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid itu. Hinggalah hari kesembilan dia tidak lagi merasa gundah dan bimbang kerana telah mendapat ilham.
Keesokkan harinya, Abu Nawas pun pergilah ke istana untuk mengadap baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid dan dengan senang hati baginda Raja menerima kedatangannya.
“Ampun Tuanku, patik datang ke sini adalah untuk mengemukakan cadangan bagi melancarkan titah tuanku berkenaan dengan pemindahan istana tuanku ini,” kata Abu Nawas.
“Apakah cadanganmu itu wahai Abu Nawas?” soal baginda ingin tahu.
“Patik bercadang untuk memindahkan istana tuanku dalam masa dua puluh hari dari sekarang,”
“Kalau begitu Raja Harun Ar-Rasyid perkenankan,” jawab baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
“Satu lagi, patik mohon tuanku menyembelih sepuluh ekor lembu yang gemuk untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin,” pinta Abu Nawas lagi.
“Boleh saja wahai Abu Nawas,” jawab baginda terus saja bersetuju dengan permintaan itu.
Abu Nawas pun pulang dengan hati yang riang gembira. Tiada apa lagi yang dirisaukannya. Bila tiba masanya pasti mudah baginya memindahkan istana baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid ke atas gunung. Bahkan ke dasar lautan pun tidak sukar bagi Abu Nawas lakukan.
Khabar Abu Nawas ingin memindahkan istana baginda Khalifah tersebar ke seluruh pelosok kerajaan. Hampir kesemua rakyat jelata berasa cemas dan bimbang memikirkan sama ada Abu Nawas mampu atau tidak menjalankan titah itu namun sebahagian besar rakyat yakin Abu Nawas mampu melakukannya kerana selama ini Abu Nawas belum pernah gagal melaksanakan tugas-tugas aneh yang diberikan Khalifah Harun Ar-Rasyid kepadanya. Tak kurang ada juga yang ragu dengan kemampuan Abu Nawas kali ini.
Saat yang dinati-nantikan akhirnya tiba juga. pada hari yang telah ditetapkan, berbondong-bondonglah rakyat jelata ke kawasan lapang istana. Setelah sepuluh ekor lembu sumbangan baginda Khalifah disembelih lalu dimasak dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin, maka tibalah pula masanya untuk Abu Nawas menjalankan titah baginda.
Lalu Abu Nawas pun berjalanlah menuju ke depan istana diikuti dengan rakyat jelata yang lain. Sesampainya di depan istana, Abu Nawas pun bertanya kepada baginda.
“Ampun tuanku, ada sesiapakah yang masih tertinggal di dalam istana ini?”
“Tidak ada,” jawab Khalifah Harun Ar-Rasyid sudah tidak sabar mahu melihat istananya berada di puncak gunung.
“Baiklah kalau begitu,” sambut Abu Nawas lalu berjalan beberapa langkah mendekati istana. Dia brdiri mematung tubuh buat beberapa lama, seolah-olah menunggu sesuatu.
Setelah lama menunggu, akhirnya baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid sudah tidak dapat menahan sabar lagi melihat tingkah Abu Nawas yang masih juga mematungkan tubuh di tempatnya. Baginda terus mendapatkan Abu Nawas lantas bertanya,
“Wahai Abu Nawas, mengapa engkau belum juga mengangkat istana Raja Harun Ar-Rasyid?” soalnya sedikit geram.
“Patik sudah siap sejak tadi tuanku,” jawab Abu Nawas.
“Apa maksud engkau dengan sudah siap sejak tadi? kalau engkau sudah siap, mengapa tidak engkau angkat saja istana ini sekarang? apa lagi yang engkau tunggu?” tanya baginda hairan.
“Patik menunggu istana tuanku diangkat oleh seluruh rakyat yang hadir untuk diletakkan di atas kepala patik. Setelah itu bolehlah patik memindahkan istana tuanku ini ke atas gunung seperti mana yang tuanku inginkan,” mendengar penjelasan itu, Khalifah Harun Ar-Rasyid pun tersenyum. Sedarlah baginda pada alasan Abu Nawas yang masuk akal itu. Mustahil seorang manusia biasa sepertinya mampu menyamai kejayaan Nabi Sulaiman dalam memberi perintah kepada makhluk jajahannya. 

Tuesday, August 28, 2012

Kisah Abu Nawas: Melarang rukuk dan sujud ketika solat

Suatu ketika, Khalifah Harun Ar-Rasyid hampir-hampir saja menjatuhkan hukuman mati kepada Abu Nawas yang dianggap sebagai salah seorang pngikut setia baginda gara-gara baginda mendengar khabar Abu Nawas telah banyak menyebarkan fatwa yang salah berkenaan dengan larangan rukuk dan sujud ketika solat. Keadaan itu telah mengemparkan kerajaan di bawah pimpinan baginda buat seketika.  Mengikut kepada undang-undang, kesalahan tersebut boleh membuatkan Abu Nawas dipenggal kepala kerana melakukan fitnah berkaitan dengan ajaran Islam. Lalu Khalifah Harun Ar-Rasyid memanggil Abu Nawas bagi mengesahkan tindakannya itu.
“Wahai Abu Nawas, apakah benar engkau mengatakan bahawa kita tidak perlu rukuk dan sujud ketika dalam solat?” soal baginda sebaik saja Abu Nawas berdiri di depannya.
“Benar tuanku,” jawab Abu Nawas penuh tenang.
“Benarkah juga engkau berkata kepada masyarakat yang Raja Harun Ar-Rasyid suka pada fitnah?” tanya baginda lagi.
“Benar tuanku,” jawab Abu Nawas tetap tenang.
Lalu tersentak baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid mendengar jawapannya itu.
“Jadi memang sepatutnyalah engkau dihukum mati kerana melanggar syariat Islam dan menyebarkan fitnah tentang Raja Harun Ar-Rasyid,” tegas baginda penuh murka.
“Tunggu dulu tuanku. Memang benar patik membenarkan kedua-dua pertanyaan tuanku tadi tapi rasanya khabar yang sampai ke pengetahuan tuanku tidak lengkap dan seolah-olah patik telah berkata salah. Dalam erti kata lain, patik seakan telah difitnah,” Abu Nawas cuba membela diri.
Khalifah Harun Ar-Rasyid terus bertanya,
“Wahai Abu Nawas, apa maksudmu? Kenapa engkau berkata begitu?”
Lalu bersuaralah Abu Nawas dengan penuh yakin.
“Wahai tuanku, memang benar aku melarang rakyat melakukan rukuk dan sujud ketika solat tetapi tahukah tuanku solat apa yang aku maksudkan itu? solat yang tidak memerlukan perbuatan rukuk dan sujud adalah solat jenazah dan itulah yang aku terangkan kepada semua,” jelas Abu Nawas.
Khalifah Harun Ar-Rasyid terdiam sebelum mengangguk tanda setuju dengan penjelasan itu.
“Bagaimana pula dengan fitnah yang mengatakan Raja Harun Ar-Rasyid suka pada fitnah? Bukankah itu satu fitnah yang berat yang telah engkau benarkan wahai Abu Nawas?” soal baginda semula.
“Oh, tentang itu patik terbaca erti Surah Al- Anfal ayat 28 yang berbunyi,

واعلموا أنما أموالكم وأولادكم فتنة وأن الله عنده أجر عظيم

Ertinya:
“Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar,”

“Maksud engkau?” soal Khalifah Harun Ar-Rasyid tak sabar.
“Nah, sebagai seorang ayah kepada anak-anak yakni rakyat jelata, tuanku sepatutnya tidak membiarkan fitnah menguasai kerajaan hingga menimbulkan rasa suka pada mereka yang menebarkan fitnah. Kerana itulah patik mengatakan bahawa tuanku suka pada fitnah,” jelas Abu Nawas sekaligus mengkritik cara pimpinan baginda Khalifah Harun Ar-Rasyid.
Lalu baginda tertunduk malu. Kesal kerana terburu-buru membenarkan fitnah yang dilakukan oleh para pembesar baginda yang lain kerana cemburu kepada Abu Nawas yang menjadi kesayangan baginda. 

Kisah Juha: Juha dan seorang penipu

Pada suatu hari Juha duduk termenung di depan pintu rumahnya. Dia merenung seutas rantai emas di tangannya. Rantai emas itu adalah satu-satunya harta peninggalan orang tuanya yang masih ada kerana yang lainnya sudah habis dijual untuk membayar segala hutang-hutangnya. Sebab sebelum ini dia banyak berhutang setelah rugi dalam perniagaannya.
Walau dia sekarang ini terlalu kesempitan harta, dia tidak bercadang untuk menjual rantai emas tersebut. Biarlah rantai tersebut disimpan selama-lamanya kerana itulah satu-satunya harta peninggalan orang tuanya yang masih ada. dalam masa yang sama dia mengambil keputusan untuk bermusafir bagi membina hidup baru.
Tanpa berlengah Juha terus bersiap sedia untuk memulakan perjalanannya kerana kebetulan waktu itu ada satu kabilah yang dipimpin oleh seorang saudagar terkenal akan berangkat pulang ke negaranya dengan barang dagangan serta hasil keuntungan yang banyak. Kabilah tersebut adalah dari negara jiran. Juha telah pergi berjumpa saudagar tersebut lalu meminta untuk bekerja dengannya. Tanpa banyak bicara saudagar tersebut menerima Juha menjadi salah seorang pekerjanya.
Maka pergilah Juha bersama-sama kabilah tersebut. Dia bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tekun sekali. Lalu saudagar itu memilih Juha untuk turut serta dengan kabilah yang bakal dihantarnya nanti bagi berniaga di negara lain pula.
Bila Juha mendapat tahu dia terpilih untuk turut serta dengan kabilah tersebut, maka dia terfikir bahawa dia pasti akan pergi berniaga berbulan-bulan lamanya dan perjalanan pula pasti memakan masa yang agak lama. jadi ranati emas satu-satunya peninggalan orang tuanya mesti disimpan baik-baik. Dia tidak boleh membawanya kerana bimbang jika kabilahnya akan dirompak ketika dalam perjalanan nanti.
Puas berfikir akhirnya Juha mengambil kputusan untuk meninggalkan rantai emas itu kepada jiran sebelahnya kerana dia melihat jirannya itu seorang yang boleh dipercayai. Orangnya agak berumur, pemurah, baik hati dan juga seorang peniaga yang terkenal di bandar tersebut.
Keesokan harinya sebelum bertolak, pagi-pagi lagi Juha ke rumah orang tua tersebut. Dia mengetuk pintu rumah dan tak lama keluarlah jirannya itu dengan senyum lebar. Tanpa banyak bicara Juha pun berkata,
“Wahai Tuan, aku adalah jiran kamu dan aku adalah orang asing di sini. baru beberapa bulan saja aku tinggal di sini. jadi aku mahu bermusafir dengan kabilah saudagar untuk berniaga ke negara jiran. Oleh kerana bimbang jadi aku minta agar kamu sudi menerima satu amanah untuk kamu simpan buat seketika. Bila pulang nanti aku akan ambil semula,” Juha pun mengeluarkan rantai emas tersebut dari poket jubahnya.
Bila orang tua tadi terlihat rantai emas tersebut, matanya tidak berkelip-kelip. Tetapi untuk menyembunyikan perasaan tamaknya dia pun berkata demi menenangkan hati Juha,
“Wahai saudaraku! Sesungguhnya amanah itu adalah sesuatu yang besar lagi berat. Aku boleh menerimanya tetapi dengan syarat kalaulah berlaku apa-apa janganlah kamu menyalahkan aku. Sebab aku ni pun dah berumur dan uzur pulak tu….katalah di takdirkan Allah aku mati sedangkan kamu belum pulang-pulang lagi lebih-lebih pulak aku tidak ada waris untuk aku amanahkan rantai ini!”
Balas Juha, “Wahai Tuan ! tidak mengapalah aku yakin bahawa kamu adalah seorang yang amanah. Seandainya berlaku yang sedemikian aku memaafkannya terlebih awal. Walau bagaimanapun kamu cubalah cari sesiapa yang boleh menyimpan amanah ini sementara aku pulang semula nanti. Dan seandainya aku yang mati dulu sebelum kamu, maka aku berharap kamu dapat jualkan rantai emas ini dan duitnya kamu sedekahkah kepada fakir miskin juga sesiapa yang memerlukannya. Rasanya kita tidak memerlukan sesiapa pun untuk menjadi saksi kerana Allah swt sudah cukup untuk menjadi saksi,”
Orang tua tadi pun setuju dengan apa yang di perkatakan oleh Juha. Di terimanya amanah tersebut. Lalu tanpa berlengah Juha pun terus meminta izin untuk pergi kerana kabilahnya sudah hampir mahu berangkat. Tidak lama kemudian berangkatlah Juha bersama-sama kabilah tersebut dengan hati penuh tenang dan dengan penuh keyakinan terhadap orang tua tadi.
Permusafirannya memakan masa agak lama… berbulan-bulan lamanya. Selang beberapa bulan barulah Juha pulang berserta kabilah perniagaannya dengan membawa hasil keuntungan yang banyak. Sebelum pulang Juha sempat membeli satu hadiah untuk dia hadiahkan kepada orang tua yang menyimpan amanahnya tanda terima kasihnya. Sudah pastilah ianya juga adalah suatu hadiah yang juga berharga.
Bila sampai saja, tanpa berlengah terus Juha meminta izin untuk pergi kerumah orang tua tersebut. Oleh kerana terlalu gembira saudagar pun terus mengizinkannya. Juha terus berlari kerumah orang tua tersebut dengan hati penuh gembira. Tidak sabar dia untuk melihat semula rantai emas peninggalan orang tuanya.
Sampai saja kerumah orang tua tersebut terus dia mengetuk pintu sambil memberi salam. “Assalamualaikum!”
Kemudian kedengaran suara menjawab dari dalam sambil lewa sahaja. Seakan mahu tak mahu seakan-akan tidak menghiraukan siapa yang memberi salam lalu menjawab,
“Waalaikumussalam!”
Setelah agak lama menunggu barulah pintu di buka. Tuan rumah membuka pintu untuk melihat siapa yang memberi salam tadi.
Juha terus melemparkan senyuman manis kepada orang tua tersebut. Akan tetapi orang tua tersebut sama sekali tidak membalas senyuman Juha. Seakan-akan dia tidak pernah mengenali Juha. Walau bagaimana pun Juha terus menghulurkan bungkusan hadiah di tangannya kepada orang tua tersebut seraya berkata,
“Aku harap kamu sudi menerima hadiahku ini sebagai tanda terima kasihku terhadap kamu. Kerana kamu sudi menerima amanahku. Terima kasihlah kerana kamu sungguh baik hati,”
Akan tetapi orang tua tadi memberi isyarat seakan-akan dia tidak faham apa maksud kata-kata Juha. Dia memberi isyarat seakan-akan dia sama sekali tidak mengenali Juha dan lantas berkata,
“Eh! Apa yang kamu katakan ini? Apa dia amanah yang kamu katakan itu?  Aku tak pernah pun mengenali kamu,”
Dengan serba salah Juha pun berkata,
“Eh, bukankah aku ada meminta kamu menyimpan rantai emas sebagai satu amanah pada kamu dulu?”
Lalu dengan suara yang tinggi tiba-tiba orang tua tadi berkata sambil menudingkan jari kepada Juha, “Pergilah kamu dari sini! Aku rasa kamu ni gila! Aku tak pernah berkenalan dengan kamu langsung dan aku tidak ada menerima apa-apa amanah dari kamu! Aku harap kamu boleh pergi segera sebelum aku memanggil pihak keselamatan untuk menangkap kamu!”
Seakan-akan mahu tercabut kepala Juha dari badan bila mendengar kata-kata si orang tua tadi. Dia cuba menenangkan orang tua tersebut dan cuba menceritakan cerita sebenar, tetapi orang tua tadi menolak mentah-mentah. Semuanya di nafikan dengan memaki serta menjerit-jerit pada Juha, “Pergi kamu dari sini! Aku tidak mahu tengok muka kamu!”
Tanpa banyak bicara terus Juha meninggalkan rumah orang tua tersebut dengan hati penuh tanda tanya dan penuh kecewa. Dia tidak tahu apa yang hendak di lakukan lagi. Lama dia duduk termenung di depan pintu rumahnya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan Tuan Hakim lalu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Di ceritakan tentang orang tua yang telah mengkhianatinya. Tetapi sebelum pergi kerumah Tuan Hakim hati kecilnya berkata,
“Apa pula yang akan dapat di lakukan oleh Tuan Hakim selagimana si orang tua itu tetap juga menafikan bahawa dia tidak ada menerimana apa-apa amanah dariku. Lebih-lebih lagi aku tidak mempunyai bukti mahupun saksi. Mana mesti aku dapatkan bukti dan saksi sebab aku tidak ada menulis apa-apa tentang amanah tersebut?”
Akan tetapi Juha sama sekali tidak berputus asa dan yang penting dia tidak mahu kehilangan satu-satunya harta peninggalan orang tuanya. Terus dia berfikir dan berfikir bagaimana untuk mendapatkan semula hartanya itu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pergi bertemu terus dengan Tuan Gabenor bandar tersebut untuk mengadu hal. Tanpa berlengah terus dia pergi kerumah Tuan Gabenor. Sampai di depan pintu istana dia meminta izin untuk masuk tetapi pengawal pintu tidak mengizinkannya selagi mana dia tidak menceritakan apa sebab dia mahu bertemu Tuan Gabenor.
Juha pun menceritakan tujuannya dengan nada penuh sedih. Lalu pengawal pun berkata,
“Baiklah! Kamu tunggu di sini sebentar. Aku akan berjumpa Tuan Gabenor untuk meminta izin buat kamu masuk menemuinya !”
Juha pun menunggu di pintu istana dengan penuh pengharapan.
Tidak lama kemudian pengawal pun datang seraya berkata : “Hah! Masuklah Juha ! Tuan Gabenor telah mengizinkan kamu masuk!”
Dengan penuh gembira dan tanpa berlengah terus Juha masuk ke dalam istana untuk bertemu Tuan Gabenor. Sampai di depan Tuan Gabenor terus Juha ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Oleh kerana tidak tertahan kesedihannya Juha pun menangis semahu-mahunya. Simpati Tuan Gabenor di buatnya lantas beliau bertanya,
“Kenapa kamu tidak pergi terlebih dahulu kepada Tuan Hakim?”
Jawab Juha, “Kerana aku tidak mempunyai apa-apa bukti ataupun saksi. Dan kerana aku katakan padanya bahawa saksi kita ialah Allah swt!”
Mendengar yang demikian beliau pun berkata,
“Kalau begitu, aku pun tidak boleh untuk berbuat apa-apa. Kamu tidak mempunyai apa-apa bukti. Kalaulah di bawa orang tua itu ke sini sudah pasti dia akan menafikannya wahai Juha!”
Mereka semua menjadi buntu, suasana senyap seketika.
Tiba-tiba Juha berkata ,“Wahai Tuan Gabenor! Aku ada satu jalan. Kalau berjaya jalan ini, maka akan jelaslah bahawa orang tua tersebut adalah seorang penipu dan suka mengkhianati amanah orang. Akan tetapi sekiranya perancangan aku ini tidak berjaya, maka janganlah kamu lakukan apa-apa kekerasan terhadap orang tua tersebut!”
Tuan Gabenor pun bersetuju untuk mendengarnya. Juha pun mulalah memberitahu tentang perancangannya satu persatu. Tuan Gabenor mendengarnya dengan teliti sekali. Beliau mendengarnya dengan begitu minat sekali sambil terdetik di dalam kepalanya yang Juha ini seorang yang cerdik juga. Akhirnya beliau pun bersetuju untuk melakukan seperti apa yang telah di sarankan oleh Juha demi memberi pengajaran kepada orang tua yang suka menipu tadi.
Pada keesokan paginya Juha terus membawa sebuah kerusi lalu di letakkan betul-betul di depan kedai kepunyaan orang tua tersebut lalu dia pun duduk di atas kerusi tersebut. Dia duduk dengan penuh ego dan sombong sekali. Lantas dia melemparkan pandangannya ke arah orang tua yang sedang duduk di dalam kedainya dengan pandangan sinis dan tajam seolah-olah sedang bermusuhan.
Melihatkan yang demikian orang tua tadi pun merasa pelik. Lama kelamaan dia mula naik marah. Oleh kerana tidak sabar dia terus bangun menuju ke arah Juha yang sedang duduk di depan kedainya. Juha tetap tenang dan tidak bergerak sama sekali, seakan-akan tidak mempedulikannya.
Bertambah marahlah orang tua tadi. Dengan kemarahan yang membuak dia terus menyentap leher baju Juha seraya berkata,
“Hei, kenapa kamu duduk di sini tanpa keizinan dariku? Ini adalah kawasan kedaiku. Aku beri amaran sekiranya kamu tidak mahu pergi aku akan memanggil pihak keselamatan untuk menangkap kamu!”
Rupa-rupanya secara spontan beberapa orang pengawal istana pun datang. Mereka terus meleraikan pergaduhan tersebut. Orang tua tadi tidak berpuas hati lalu berkata,
“Orang ini duduk di depan kedaiku tanpa keizinanku, sudah begitu dia melihat ke arahku dengan penuh ego dan sombong sekali sedangkan aku tidak pernah mengenalinya!”
Serta-merta pengawal tersebut berkata,
“Tuan! Kawasan ini adalah jalan umum. Orang ramai berhak untuk berbuat apa saja. Sama ada mahu duduk atau berdiri. Jadi Tuan yang mulia ini tak salah. Dia berhak duduk di sini walaupun kamu kata kawasan ini berada dalam hak kamu. Dia berhak walaupun kalau dia mahu duduk di atas kepala kamu sekalipun. Jadi adakah kamu faham wahai orang tua yang tak sedar diri?”
Bentak si pengawal sambil mempersilakan Juha duduk semula ke atas kerusinya,
“Silakan duduk Tuan! Silakan!” lantas si pengawal tadi pun mengambil segelas air lalu di berikan kepada Juha sambil berkata,
“Sila minum Tuan! Tuan kalau ada apa-apa kami semua sedia berkhidmat untuk Tuan!”
Semua itu terus di saksikan oleh orang tua tadi dengan penuh kehairanan tetapi kemarahannya terus membuak. Dalam hati dia berkata,
“Eh! Siapakah sebenarnya lelaki ini hinggakan pengawal istana pun begitu hormat sekali padanya?”
Tidak lama kemudian kedengaran suara melaung,
“Orang ramai! Beri laluan kerana kenderaan Tuan Gabenor mahu lalu!”
Tahulah orang ramai bahawa Tuan Gabenor telah berbesar hati untuk meninjau keadaan di pasar. Semua yang hadir berdiri memberi penghormatan. Kebetulan tempat Juha duduk itu adalah kawasan jalan umum yang bakal di lalui oleh kenderaan Tuan Gabenor. Orang tua tadi terus bergegas berdiri di depan kedainya memberi hormat. Tetapi yang pelik lagi ialah Juha sama sekali tidak bangun bahkan dia terus duduk tenang seakan-akan tidak menghiraukan bahawa kenderaan Tuan Gabenor semakin menghampirinya.
Tidak lama kemudian sampailah kenderaan Tuan Gabenor di hadapan Juha. Tiba-tiba berhenti kenderaan tersebut. Lantas serta merta Tuan Gabenor turun dari kenderaan seraya berkata,
“Wahai saudara ! Mengapalah kamu tidak beritahu aku bahawa kamu datang kesini? Sudahlah begitu, kamu tidak mahu berziarah ke istana pulak tu. Sesungguhnya kami semua terlalu merindui kamu kerana sudah lama tak jumpa!”
Juha pula terus bangun lantas memeluk Tuan Gabenor dengan begitu mesra sekali.
Ini semakin menjadikan orang tua tadi kehairanan. Tahulah dia bahawa Juha bukan sebarang orang. Dia dari kerabat Tuan Gabenor juga. Mulalah dia merasa serba salah.
Sebelum Tuan Gabenor beredar Juha berkata,
“Baiklah! Nanti aku akan pergi ke istana sebab aku ada beberapa urusan yang mesti di selesai hari ini. Kalau tak selesai nanti aku beritahu kamu lah kerana sebenarnya aku tidak mahu menyusah-nyusahkan kamu dan aku yakin bahawa sudah pasti kamu akan dapat membantu aku. Nanti sajalah kita bertemu di istana!”
Melihat yang demikian orang tua tadi hampir-hampir mahu pengsan. Tahulah dia bahawa selama ini dia sengaja menempah bala. Dia telah bermusuhan dengan kerabat istana. Dia tahu sendiri apa balasan yang sedang menunggunya.
Tanpa banyak bicara terus dia berlari masuk ke dalam kedai. Di ambilnya rantai emas dari laci meja lalu berlari semula keluar kedai menemui Juha sambil katanya dalam ketakutan,
“Wahai Tuan! Ambil lah semua rantai emas yang kamu amanahkan kepadaku dulu. Aku minta maaf banyak-banyak! Aku berjanji tidak akan melakukannya lagi!” sambil berkata-kata dia mencium-cium tangan Juha.
Melihatkan yang demikian pengawal istana terus menangkap orang tua tersebut. Jelaslah bahawa selama ini memang orang tua tersebut suka berbuat khianat kepada sesiapa yang ada memberi amanah kepadanya. Orang tua tersebut terus di bawah ke istana untuk di bicarakan. Setelah mengaku bersalah Tuan gabenor pun mengambil keputusan supaya dia di penjara buat seketika untuk memberi pengajaran kepadanya. Sambil beliau berkata,
“Memang benarlah bahawa kamu ini adalah salah seorang yang telah di sabdakan oleh baginda Rasulullah saw dalam hadisnya yang berbunyi ,“Tanda-tanda orang munafiq itu ada tiga: “Bila berkata-kata dia dusta, bila berjanji dia ingkari dan bila di beri amanah dia khianat!” maka balasan untuk orang seperti kamu ini ialah penjara di dunia dan neraka di akhirat!”
Mendengar yang demikian orang tua tadi menjerit-jerit meminta maaf dari Juha dan juga dari Tuan Gabenor moga di ampunkan kesalahannya dan dia benar-benar bertaubat seraya berkata,
“Maafkanlah aku! Maafkanlah aku! Aku bertaubat dan aku berjanji tidak akan berlaku khianat lagi!”

Kisah Juha: Juha dengan perompak


Suatu ketika, Juha adalah seorang saudagar yang terkenal lagi kaya raya dan dia juga dikenali sebagai saudagar yang pemurah, baik hati, amanah serta suka membuat kebajikan. Dia hidup berdua saja iaitu dengan isterinya di dalam sebuah rumah yang sungguh besar. Mereka ditakdirkan Allah tidak mempunyai cahaya mata walaupun seorang.
Menjadi kebiasaan Juha untuk menyimpan semua hartanya sama ada yang diperolehi dari hasil perniagaan atau sumber lain di dalam sbuah peti besi yang besar di salah sebuah bilik khas di dalam rumahnya. Malah kesemua harta miliknya turut disimpan di dalam peti besi tersebut.
Dalam masa sama, Juha tidak pernah mengupah pengawal walau seorang pun untuk menjaga rumahnya sedangkan rumahnya itu sentiasa menjadi intipan perompak-perompak yang berkeliaran di dalam bandar tersebut. Juha hanya bertawakal kepada Allah SWT atas segalanya.
Suatu malam, Juha tiba-tiba terjaga dari tidur kerana terdengar suara dan tapak kaki orang berjalan-jalan di atas bumbung rumahnya. Dia yakin ada orang ingin menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan pastinya orang itu adalah perompak.
Serta-merta dia mengeletar ketakutan bila dia terdengar perbualan para perompak di atas bumbung rumahnya,
“Malam ini kita mesti rompak seluruh harta yang dimiliki Juha, kita jangan tinggal walau satu pun. kalau dia melawan, maka kita bunuh saja dia dan isterinya,” bertambah menggeletarlah Juha kerana terlalu takut tapi dia cuba mengawal diri dan perasaannya.
Lalu dia duduk di atas katil, termenung sambil mulutnya berkumat-kamit tidak habis-habis mengucapkan kalimah syahadah. Dalam kepala dia berfikir-fikir cara untuk menyelesaikan masalah itu disamping menyelamatkan dirinya, isterinya dan juga hartanya.
Tanpa berlengah dia terus mengejutkan isterinya dengan perlahan dan tenang lalu memberitahu isterinya tentang apa yang sedang berlaku.
Setelah agak lama, akhirnya Juha mendapat satu jalan. Maka dia pun meminta isterinya supaya berpura-pura berselisih faham dengannya serta marah-marah padanya dengan suara yang tinggi agar para perompak yang berada di atas bumbung rumah dapat mendengar perbualan mereka.
Sambil berbisik-bisik perlahan Juha memberitahu isterinya supaya bertanya pada Juha tentang dari mana Juha mendapat harta yang dimilikinya sekarang ini dengan suara yang kuat.
Lantas isterinya pun memgikut arahannya lalu bertanya dengan suara yang kuat,
“Wahai Juha! Aku ini isteri kamu. Jadi mengapa pula kamu tidak percaya denganku? Mengapa kamu mesti rahsiakan dariku perkara sebenar tentang bagaimana caranya kamu boleh peroleh harta kekayaan yang kami miliki sekarang ini. kita sudah lama berkahwin dan aku masih ingat lagi bahawa semasa kita kahwin dulu kamu tidaklah sekaya ini. bahkan kamu hidup dalam keadaan miskin dan papa kedana. Aku juga rasa orang tua kamu tidak ada mewariskan apa-apa harta kekayaan buat kamu. Jadi tolonglah ceritakan kepadaku apakah rahsianya? Janganlah kamu menyembunyikannya dariku wahai Juha!”
Lalu Juha pun brkata dengan nada perlahan bercampur sedih,
“Setelah begini lama kamu hidup denganku barulah kamu mahu bertanya dari mana dan bagaimana aku memperolehi seluruh harta kekayaan yang aku miliki sekarang ini. Wahai isteriku! Bukankah kamu tahu bahawa aku ini adalah seorang saudagar yang mahsyur. Dulunya aku terpaksa bekerja keras, bertungkus lumus menempuh berbagai kesusahan dan rintangan maka wajarlah aku memperolehi segala apa yang aku miliki sekarang ini. Dan semua hartaku ini datangnya dari hasil usahaku yang halal hingga aku dapat membuat pelbagai kebajikan. Aku rasa semua orang tahu akan cerita ini jadi bagaimana kamu isteriku tidak tahu tentang ini, teman sehidup sematiku. Sepatutnya kamulah yang lebih tahu dan paling faham tentangku. Semoga Allah mengampunkan kamu wahai isteriku!”
Isteri Juha tidak puas hati lalu terus berkata dengan suara yang makin kuat,
“Wahai Juha suamiku! Janganlah kamu berpura-pura! Kamu banyak bersedekah dan berbuat kebajikan semua itu supaya orang mengatakan kamu adalah seorang yang baik hati. Aku sama sekali tidak percaya dengan apa yang kamu sebutkan tadi. semua itu adalah tipu dan bohong belaka. Aku yakin dan percaya di sebalik semua ini pasti tersembunyi satu rahsia yang besar dan penting sekali. Mustahil kamu dapat semua harta kekayaan ini dalam masa yang singkat!”
Dalam masa yang sama segala pertelingkahan mereka didengar oleh perompak-perompak yang berada di atas bumbung. Mereka mendengar dengan penuh teliti dan tidak sabar untuk mengetahui rahsia sebenar Juha. Perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran mereka dan mulalah mereka menyangka yang bukan-bukan tentang bagaimana Juha memperolehi segala harta kekayaannya. Dan kebetulan mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana kisah Juha menjadi kaya dan kisah perniagaan Juha. Yang mereka tahu Juha tiba-tiba mempunyai rumah besar dan harta yang banyak. Itu saja. Lalu sambil memasang telinga, para perompak cuba-cuba juga untuk mengintai-gintai ke bawah untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Juha dan isterinya ketika itu. Adapun kedua suami isteri itu hanya duduk bertentangan di atas katil sambil berpandangan sesama sendiri.
Selang beberapa ketika, kedengaran suara isteri Juha memaksa Juha menceritakan rahsia sebenarnya. Dia berharap Juha tidak lagi menyimpan rahsia tersebut darinya kerana sesungguhnya dia telah berbakti dengan penuh ikhlas sebagai isteri. Jadi janganlah pula Juha tidak mempercayainya. Bersungguh-sungguh isteri Juha memujuknya hingga akhirnya kerana tidak tahan, isteri Juha terus menangis lalu berkata,
“Wahai Juha! Aku mengingatkan kamu buat kali terakhir, jika kamu tetap juga tidak mahu menceriatkan rahsia tersbut, maka sekarang ini juga aku akan keluar rumah meninggalkan kamu seorang diri dan aku tidak akan pulang ke sini lagi sampai bila-bila!”
Juha terperanjat melihat gelagat isterinya yang kelihatan bersungguh-sungguh meluah kata-katanya sekaligus menjadikan Juha semakin bersemangat untuk meneruskan lakonan mereka lagi. Maka dia pun menenangkan isterinya. Sambil memujuk dia berjanji akan menceritakan rahsia tersebut tetapi dengan syarat isterinya hendaklah menyimpan rahsia tersebut dengan penuh amanah, tidak diceritakan pada sesiapapun dan jangan sampai rahsianya bocor. Serta-merta isterinya berhenti menangis seraya berjanji sebagaimana yang diminta Juha.
Kemudian Juha pun mulalah bercerita,
“Sebenarnya aku dulu adalah seorang perompak yang terkenal, sangat pintar lagi sungguh hebat. Aku mempunyai pengikut yang ramai. Semuanya berani, ganas lagi jahat. Aku boleh menjadi ketua kerana aku mempunyai satu ilmu yang tidak ada pada perompak lain. Aku telah mempelajari satu ilmu sihir dari sorang ahli sihir hindu yang mana ilmu itu sangat berbahaya tetapi sungguh berkesan!”
“Kelebihan yang aku dapat dari ilmu ini adalah aku mudah untuk merompak rumah-rumah orang kaya. Caranya aku akan masuk ke rumah orang kaya tersebut tanpa diketahuinya dan aku akan ambil seluruh hartanya dan setelah itu aku akan keluar semula dengan selamat. Lamalah juga aku melakukannya hingga aku benar-benar kaya sekarang ini. setelah agak lama barulah aku berpindah ke bandar ini. aku bawa seluruh harta kepunyaanku dan orang bandar ini tidak tahu langsung tentang asal usulku apalagi pekerjaan yang aku lakukan sebelum ini. Tetapi semua itu bukan boleh dilakukan begitu saja. Ada bacaan tertentunya!”
Mendengar cerita Juha itu menjadikan para perompak yang memasang telinga semakin tidak sabar-sabar untuk mengetahui apakah bacaan tersebut. Bertambahlah gembira mereka bila mendengar isteri Juha memujuk Juha agar memberitahunya tentang bacaan tersebut.
Juha bersetuju tetapi dengan syarat jangan dibocorkan rahsianya itu kerana dia tidak mahu orang lain menggunakannya untuk melakukan kejahatan lagi kerana dia telah bertaubat. Isterinya bersetuju lalu Juha menyambung ceritanya,
“Cara aku merompak dulu, aku akan panjat ke atas bumbung rumah orang tersbut dan tempat yang aku mula-mula aku cari ialah tempat ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah tersebut. Sudah mestilah cahaya bulan kena terang jadi aku akan pastikan bahawa cahaya bulan dapat masuk melalui ruang tersebut hingga sampai ke dalam rumah. Setelah itu akan aku akan berdiri betul-betul di atas ruang tersebut sambil mengenakan badanku pada cahaya bulan lantas aku menyebut, “Syaulam!... syaulam!” sebanyak 7 kali.
Maka dengan sendirinya cahaya bulan itu akan membawa aku turun masuk ke dalam rumah melalui ruang tersebut, seakan-akan aku turun dari tangga. Jadi bila dah sampai ke dalam rumah, apa lagi. aku ambillah segala harta benda dan kemudian aku berdiri semula pada cahaya bulan tadi lantas aku menyebutkan bacaan yang sama sebanyak 7 kali.
Serta-merta cahaya bulan itu akan membawa aku dan semua harta yang aku curi naik semula ke atas bumbung rumah. semua itu aku lakukan tanpa disedari langsung oleh tuan rumah. sedar-sedar keesokan paginya seluruh harta bendanya telah habis aku curi. Begitu hebat sekali ilmu yang aku amalkan!”
Kemudian tidak semena-mena Juha pun melaungkan suara pada isterinya,
“Hah! Sekarang baru kamu puas hati! Kamu dah tenang dah! Kamu dah tahu siapa aku sebenarnya, yang penting kamu mesti simpan rahsia ni betul-betul jangan sampai bocor! Baiklah sekarang kita tidurlah sebab besok banyak kerja yang hendak aku selesaikan! Tidurlah!”
Mereka berdua pun kembalilah berbaring di tempat tidur tetapi sebenarnya mereka berpura-pura tidur. Juha yakin bahawa sedikit sebanyak cerita yang direka-rekanya itu tadi dapat menipu daya para perompak yang masih berada di bumbung rumahnya dan dia yakin pasti mereka akan melalukan sesuatu hasil dari cerita rekaannya itu tadi.
Bila para perompak yakin Juha dan isterinya telah tidur, maka ketua perompak mengambil keputusan untuk melakukan perkara sepertimana yang diceritakan Juha. Dia terus mencari ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah. dan kebetulan pula malam itu bulan mengambang jadi cahaya bulan bulan menjadi agak terang. Setelah puas ketua perompak menjenguk ke dalam ruang tersebut, tahulah dia bahawa ruang tersebut boleh masuk terus ke dalam bilik di mana Juha menyimpan seluruh hartanya. Dia pun terus berdiri bertepatan dengan ruang tersebut. Dikenakan badannya pada cahaya bulan lalu dengan suara yang kuat dia pun menyebut,
“Syaulam!... Syaulam!” sebanyak 7 kali.
Tetapi dia merasa hairan kerana tidak berlaku sepertimana menurut cerita Juha tadi. Dia mula tidak puas hati. Berulang-ulang kali dia menyebut bacaan tersebut tetapi badannya tidak juga mahu bergerak. Akhirnya oleh kerana hilang sabar dia pun terus melompat masuk ke dalam ruang tersebut dngan harapan akan berlaku sepertimana yang dia sangka.
Akan tetapi nasibnya memang tidak baik. Memang benar cahaya bulan tidak berperanan sama sekali. Tanpa diduga dia terus terjatuh ke dalam rumah dari atas bumbung rumah dan bunyinya berdentum. Oleh kerana terlalu sakit dia pun menjerit,
“Aduh!...aduh!”
Juha dan isterinya yang memang sudah menyangka akan berlaku sedemikian, terus bingkas bangun. Dicapainya sebatang tongkat lalu meluru ke arah bilik khas tempat Juha menyimpan peti besi. Tanpa kasihan Juha memukul ketua perompak dengan sekuat hatinya hingga jeritan ketua perompak semakin tinggi kerana bertambah-tambah sakit.
Keadaan ini menyedarkan para perompak lain yang sedang berada di atas bumbung. Tahulah mereka bahawa ketua mereka telah terpedaya dengan cerita Juha dan telah pun ditangkap oleh Juha. Tanpa berlengah mereka pun terus melompat dari atas bumbung dan lari menyelamatkan diri sebelum ditangkap oleh orang ramai.
Dalam masa yang sama Juha dan isterinya sama-sama menjerit meminta tolong dari pnduduk bandar. Apalagi orang ramai pun terjaga lalu beramai-ramai berlari menuju ke rumah Juha. Juha pun meminta isterinya mengambil tali lalu mengikat ketua perompak. Diheretnya keluar dan bersama mereka yang lain, dia membawanya ke rumah tuan hakim untuk dibicarakan. Sambil berjalan orang ramai tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada Juha kerana berjaya menangkap perompak yang selama ini bermaharajalela di bandar tersebut.
Tuan hakim terus membicarakan ketua prompak dan akhirnya ketua perompak mengaku bersalah seraya memberitahu siapa pengikut-pengikutnya, di mana mereka bersembunyi dan juga tempat mereka menyembunyikan harta-harta penduduk yang telah mereka curi. Lantas tuan hakim mengeluarkan arahan supaya semua barang-barang curi tersebut dipulangkan semula pada pemiliknya manakala semua perompak ditangkap dan dipenjarakan.
Riuh rendah suara orang ramai tidak sudah-sudah mengucapkan terima kasih pada Juha dan tuan hakim sambil beramai-ramai memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.
Dalam riuh rendah itu, tiba-tiba isteri Juha datang menghampiri Juha lalu berkata,
“Nampaknya semua perompak sudah tertangkap. Ini menunjukkan kamu ada peluang untuk mengamalkan semula ilmu kamu tu. kalau kamu merompak pun orang tak akan tahu siapa yang melakukannya. Bukankah ilmu kamu tu hebat dan berkesan!”
Juha terperanjat sebentar bila mendengar kata-kata isterinya. Rupa-rupanya isteri Juha percaya dengan cerita yang direka-rekanya malam tadi. oleh kerana terlalu geli hati Juha pun terus ketawa berdekah-dekah sambil di dalam hatinya berkata,
“Tidak sangka isteriku boleh terfikir seperti yang demikian!” 

Kisah Juha: Mana dia surat itu?

Pada suatu hari, orang yang paling kaya di dalam kampung Juha telah membuat jamuan makan yang sangat besar, dihidangi dengan makanan yang sedap-sedap dan lazat. Akan tetapi dia hanya menjemput orang-orang yang berpangkat besar dan kaya-kaya sahaja sama ada dari kampung yang sama atau dari kampung yang bersebelahan.
Walau bagaimanapun, Juha berazam untuk hadir ke majlis jamuan itu biar dengan apa cara sekalipun. Tuan rumah yakni orang kaya tersebut telah mengarahkan khadamnya yang menjaga pintu memastikan setiap para jemputan yang hadir mestilah menunjukkan kad jemputan. Siapa yang tidak membawa kad jemputan yang telah diedarkan tidak akan diizinkan masuk.
Maka Juha pun mendapat satu jalan. Dia mengambil sehelai kertas putih dan dilipat kemas seakan-akan lipatan surat. Juha pun pergi ke rumah orang kaya tadi.
Sampi di pintu rumah, seberapa cepat yang boleh Juha berjalan dan berkata kepada khadam yang menjaga pintu,
“Buka… buka laluan! Aku membawa sekeping surat yang penting untuk tuan rumah!”
Juha pun terus masuk ke dalam rumah dan mendapati dihadapannya terhidang juadah yang amat sedap lagi lazat. Tanpa berlengah Juha terus menerkam dan makan semampu yang boleh dan kemudian sambil makan, Juha menyerahkan kertas yang dikatakannya surat tadi kepada tuan rumah. Tuan rumah pun mengambilnya dan setelah melihat dia terus berkata pada Juha dengan nada pelik,
“Mana dia surat itu? Ini kertas kosong, langsung tak ada apa-apa tulisan!”
Juha menjawab dengan dengan mulutnya yang penuh dengan makanan,
“Oh… minta maaflah wahai tuan. Sebenarnya aku datang ke sini tadi dalam keadaan yang tergesa-gesa sehingga aku tidak sempat menulis surat ini terlebih dulu. Jadi minta maaflah!” 

Kisah Juha: Juha membalas dendam

Suatu hari Juha telah bersetuju dengan beberapa orang sahabatnya untuk mengadakan satu pertandingan. Jika dia dapat mengalahkan mereka, maka mereka kena menjamu Juha dengan hidangan makanan yang seda-sedap dan bermacam-macam jenis. Manakala jika Juha kalah maka dialah yang kena menjamu mereka hidangan.
Dalam pertandingan itu, Juha dikehendaki duduk di satu kawasan lapang di waktu malam musim sejuk seorang diri. Sahabat-sahabatnya tidak akan mengawasi dia dan itu bermakna Juha mesti amanah dan tidak boleh menipu. Dan syarat utama pertandingan itu, mestilah tidak ada tanda-tanda Juha menyalakan api untuk memanaskan badannya dari kesejukan. Juha pun bersetuju kerana yakin dia akan mampu menyahut cabaran tersebut dan berjanji akan benar-benar menepati syarat-syarat sebagaimana yang telah ditentukan. Maka malam itu Juha pun berbuat seperti mana yang telah diminta oleh sahabat-sahabatnya.
Keesokkan paginya, mereka pun beramai-ramai datang menemui Juha dan meminta Juha menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi dengan amanah dan jujur. Juha pun menceritakan kepada mereka,
“Sesungguhnya malam tadi aku tidak dengar apa-apa melainkan desiran dedaunan pokok yang ditiup angin. Selain itu aku juga mendengar tiupan angin yang agak kencang hingga aku merasakan kedinginan yang amat sangat dan aku juga terlihat dari kejauhan iaitu lebih kurang sebatu di depanku kelihatan api yang aku rasakan itu mungkin longgokan api,”
Tiba-tiba salah seorang sahabat Juha bangun dan berkata,
“Bukankah kita dah berjanji jangan langsung kamu menyalakan api atau pun ada apa-apa unsur yang boleh mendatangkan kepanasan kepadamu? Bermakna api itu dapat memanaskan badan kamu dan dan kamu telah menyalahi syarat perjanjian kita!”
Lalu seorang lagi sahabat Juha bangun dan juga berkata perkara yang sama sekaligus menguatkan lagi kata-kata kawannya itu dan akhirnya semua mereka memberi keputusan bahawa Juhalah yang kena menyediakan hidangan kepada mereka. Juha pun bersetujulah tanpa banyak bercakap.
Maka tiba hari yang telah ditetapkan, datanglah beramai-ramai sahabar Juha ke rumahnya untuk menjamu selera. Juha pun segera mempersilakan mereka masuk.
Setelah agak lama mereka menunggu, perut mereka pula mula berkeroncong dan apabila tidak tahan lagi, mereka terus bertanya pada Juha,
“Wahai Juha, mana dia hidangan kamu? Kami dah lama menunggu ni,”
Oleh kerana mereka bertanya, Juha pun mengajak mereka ke kebun yang berada di belakang rumahnya. Sesampai di situ semua mereka terkejut bila melihat sebuah periuk yang besar sedang tergantung di dahan salah sebuah pokok yang ada di kebun Juha. Mereka terus bertanya,
“Wahai Juha, apa ni?”
Juha pun menjawab sambil ingin mengenakan sahabat-sahabatnya,
“Takkanlah kamu semua sudah lupa yang dulu kamu katakan pada aku bahawa aku akan dapat memanaskan badanku yang kesejukan di musim dingin dengan longgokan api yang jauhnya sebatu. Jadi sekarang ini di depan mata kamu semua, kamu menyaksikan sebuah periuk yang berisi makanan berada sehasta sahaja dari kepanasan api pelita yang ada di bawahnya. Takkanlah makanan ini tidak dapat dimasak dalam jarak yang lebih dekat bukan? Jadi tunggulah sampai ia masak dulu!”

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012