Wednesday, October 03, 2012

BERSATU DALAM CINTA : BAB 4

BAB 4
PERLAHAN sepasang kakinya memijak anak-anak tangga batu rumah hingga langsung tidak kedengaran sebarang bunyi. Dia menapak menuju ke tingkat bawah. Terus ke ruang tamu. Dia tersenyum sedikit tatkala matanya terpandang emaknya ralit menonton televisyen ketika ini.
“Hah Wafi, marilah duduk sekali,” ajak Puan Ainun sebaik sahaja terpandang anak gadisnya di penghujung tangga. Kusyen di sisinya ditepuk lembut.
Gadis itu hanya mengangguk sebelum melabuhkan punggung di sofa. Berdepan Puan Ainun.
“Kamu dah Solat Isyak Wafi?” tanya Encik Musaid baru melangkah keluar dari bilik bacaan di sudut rumah. Matanya memandang sekejap gadis itu yang mengangguk buat kali kedua.
“Dah ayah,” jawab Wafi lembut sebelum kembali menatap televisyen di depannya.
Suasana sunyi seketika sebelum Encik Musaid melantun suara semula tidak lama kemudian.
“Wafi, boleh ayah tanya sesuatu?” Mata lelaki itu kembali mencari wajah gadis itu.
Wafi tersentak. Dari skrin televisyen dialih matanya ke arah si ayah yang telah lama melabuhkan punggung tidak jauh darinya.
“Ayah nak tanya apa?”
“Apa perancangan Wafi sekarang?”
“Perancangan macam mana maksud ayah?”
Dia tidak begitu pasti dengan pertanyaan lelaki itu. Lama matanya memandang si ayah. Menanti jawapan.
“Maksud ayah, Wafi tak nak ke bekerja kat mana-mana syarikat? Wafi kan ada ijazah dalam bidang rekaan dalaman. Kalau Wafi mahu, ayah boleh tolong carikan syarikat terbaik untuk Wafi bekerja nanti,” jelas Encik Musaid begitu lembut dan tenang.
Tidak mahu pertanyaannya menggores hati anak yang telah diketahui sifatnya sedari dulu. Begitu sensitif dan mudah terluka.
Wafi pula sudah tertunduk. Sedang jari-jemari kaki sudah menguis-nguis hujung permaidani.
“Buat masa ni Wafi belum terfikir nak kerja kat mana-mana lagi ayah. Rasanya Wafi lebih selesa berada di rumah saja. Selama ni pun Wafi bekerja dari rumah saja. Lain pulak rasanya kalau tiba-tiba Wafi bekerja kat luar. Lagipun Wafi tak biasa dengan keadaan kat luar tu,” sahutnya lambat-lambat.
Menyusun kata satu per satu agar keinginan hatinya difahami semua. Ditunduk kepalanya lagi usai bersuara. Tak sanggup rasanya dia menatap wajah kecewa lelaki itu biarpun tiada rasa itu terpamer di riak tuanya ketika ini.
Encik Musaid melepas nafas panjang. Jawapan si anak ternyata menimbulkan rasa kecewa di hatinya sekalipun rasa itu tidak tercarik di wajahnya. Kecewa memikirkan keadaan Wafi yang ternyata masih berkeadaan sama sepertimana dulu. Tidak mahu bergaul apatah lagi meneroka dunia luar yang telah lama ditinggalkannya.
Gadis itu masih tegar berada di dunianya sendiri. Dunia yang hanya membawa kemusnahan buat dirinya di mata semua. Begitupun Encik Musaid sedar. Bukan menjadi haknya memaksa gadis itu mengikut kehendaknya dan Puan Ainun.
Encik Musaid membuka mulut lagi setelah berfikir beberapa detik.
“Kalau begitu terpulanglah pada Wafi sama ada Wafi nak kerja dari rumah atau di luar. Baik ayah ataupun mak, kami sama-sama tak kisah. Asalkan Wafi gembira dengan keadaan tu, kami terima saja.”
Ternyata dia mengambil tindakan beralah dengan keputusan gadis itu. Tenang saja dia membalas senyuman Wafi tatkala pandangan mereka bercantum. Biarpun hanya sekali-sekala dia dan isteri dapat melihat senyuman itu namun telah cukup menjadi ubat buat mententeramkan hati tua mereka.
“Betul tu Wafi. Mak dan ayah takkan paksa Wafi untuk buat apa yang Wafi tak suka. Semuanya terpulang pada Wafi sendiri. Mak ayah ikut saja apa yang Wafi rasa terbaik untuk kebaikan diri Wafi sendiri,” sampuk Puan Ainun pula.
Turut beralun dalam nada lembut biarpun jelas terpancar riak kecewa di wajahnya sebagaimana yang ada di hati suaminya. Sedaya-upaya kedua-duanya cuba menyembunyikan rasa itu di balik senyuman manis masing-masing. Tidak mahu menyinggung hati dan perasaan gadis yang sedia difahami sikapnya itu. Terlalu mudah jatuh leraian air matanya.
“Terima kasih mak, ayah.”
Hanya itu yang terluah dari celah mulut Wafi sebelum gadis itu kembali memacak pandangan ke televisyen. Tekun menelaah rancangan televisyen di depannya tanpa menyedari kedua-dua orang tuanya masih berbalas pandangan. Kedua-duanya sama-sama melepas nafas panjang selepas itu. Rasa sebal menguasai hati mereka kala ini.

MATAHARI hampir menenggelamkan diri tatkala dia tiba di rumah petang itu. Segera dimatikan enjin kereta sebaik memarkir keretanya di depan rumah. Dia terus menapak ke dalam rumah selepas keretanya dikunci. Namun langkahnya terhenti sebaik sahaja terdengar namanya dipanggil seseorang.
Pantas dia menoleh. Memandang dua batang tubuh yang masih berada di bangku batu di halaman rumah ketika itu. Pantas dia menyertai mereka.
“Baru balik Ainul?” tegur Wardina lembut.
Ainul mengangguk kecil.
“Kak Long dan Along buat apa kat sini?” soal Ainul, terus melabuhkan punggungnya di sisi Ammar.
“Buat apa, bersantai ajelah. Yang kamu ni, dah petang begini baru balik. Kamu dari mana?” soal Ammar menatap seketika wajah lesu adik bongsunya.
“Dari mana lagi Along kalau bukan dari pejabatlah. Banyak lagi kerja orang yang belum siap. Itulah yang lewat sikit orang balik hari ni.” Lemah dia memberi jawapan.
Sambil itu, jari-jemarinya melonggarkan ikatan tali lehernya. Rimas dengan keadaan itu.
Ammar mencebik sedikit.
“Iyalah tu kamu. Banyak kerja kat pejabat konon. Macamlah Along tak tahu perangai kamu yang gila bekerja tu. Kerja kamu tu taklah sebanyak kerja Along tapi saja aje kamu nak ada-adakan kerja supaya kamu tak payah balik awal ke rumah. Jadi tak adalah kamu dapat dengar leteran mak selalu.” Suaranya sedikit menyindir si adik yang cukup difahami tingkahnya.
Ainul hanya tersengih.
“Along, orang tanya sesuatu boleh?” soal Ainul tiba-tiba.
Biarpun usianya sudahpun mencecah awal 30-an namun Ainul tetap membahasakan dirinya dengan panggilan ‘orang’ iaitu panggilan yang sejak kecil digunakannya setiap kali berbicara dengan seluruh ahli keluarganya. Wajah tenang Ammar dipandang seketika.
“Apanya?” tanya abangnya, sudah menjongket kening.
“Kenapa ayah bagi projek dia dengan Ayah Zali pada orang?” soal Ainul terus mengaju soalan yang sudah beberapa hari bermain dalam kepalanya.
Ammar pula sudah mengerut dahi.
“Projek ayah dengan Ayah Zali? Projek apa pulak tu?” soal Ammar bernada terkejut. Benar-benar tak mengerti dengan soalan adiknya itu.
“Projek apa lagi kalau bukan projek kerjasama antara syarikat ayah dengan syarikat Ayah Zali tulah.” Dalam bersuara sempat pula Ainul merengus halus.
“Eh, ayah ada buat projek dengan Ayah Zali ke? Along tak tahu pun pasal tu.” Agak bersungguh-sungguh bercampur terpinga-pinga Ammar menjawab. Sedang Ainul terus saja menggaru-garu kepala. Sedikit bingung melihat reaksi tak dijangka dari lelaki itu.
“Bila masanya ayah bagi projek tu kat kamu?” soal Ammar ingin tahu.
“Baru aje dalam seminggu dua ni. Tapi tulah, kalau boleh orang tak mahu handle projek tu. Jauh sekalilah nak siapkannya.” Kali ni Ainul mengeluh pula.
“Lah, kenapa pulak? Apa salahnya kalau kamu handle projek tu pun? Kalau kamu terfikir nak mintak tolong Along untuk ambil alih, Along mintak maaf banyak-banyak ya dik. Along sendiri pun sibuk dengan projek-projek lain,” ujar Ammar pantas menolak tanpa sempat Ainul menerangkannya dengan lebih lanjut.
“Along ni, macam tahu-tahu aje orang nak mintak tolong dia handle projek tu,” rungut lelaki itu.
Dia kembali mengeluh berat. Sekali gus mengundang kerutan di wajah Ammar. Manakala Wardina hanya memasang telinga. Bukan menjadi sikapnya mencelah kata dalam perkara-perkara yang tiada dalam pengetahuannya. Apatah lagi dalam perkara-perkara yang melibatkan kerjaya suami dan adik iparnya.
Look, tell me. Apa masalahnya kalau kamu yang handle projek tu pun? Bukannya kamu tak biasa handle projek besar-besar selama ni. Setakat projek bernilai satu dua juta tu senang-senang aje kamu handle seorang diri. Setakat projek ayah-ayah kita tu lagilah tak ada masalah buat kamu memandangkan nilai projek terbaru tu pun rasanya lebih kurang sama aje dengan projek-projek mereka yang terdahulu bukan? Jadi apa salahnya kalau kamu handle projek keluarga kita tu pun?” soal Ammar kurang faham tentang itu. Wajah kecewa Ainul diperhati lagi. Mencari jawapan.
“Masalahnya Along, ayah dan Ayah Zali mintak orang handle projek tu dengan Alia. Orang tak mahulah bekerja dengan perempuan tu lagi,” jawab Ainul lambat-lambat.
Lalu mengundang senyuman lebar abang kandungnya. Mengerti kini sebab-musabab sebenar yang membuatkan Ainul keberatan menerima tanggungjawab itu.
“Oh, sebab tu rupanya? Barulah Along faham.”
Senyuman Ammar terus melebar.
“Apa salahnya kalau kamu bekerja dengan Alia pun? Bukannya kamu tak pernah bekerja dengan dia sebelum ini. Malah kebanyakan projek kerjasama keluarga kita dulu dihandle oleh kau orang berdua. Jadi elok benarlah kalau kau orang bekerjasama buat kali seterusnya,” sambung Ammar. Lebih kepada mengusik adik kesayangannya itu. Ainul sudah menarik muncung.
“Dulu tu lain Along, sekarang ni lain pulak,” balas Ainul cepat-cepat tanpa mahu menerangkan dengan lebih lanjut makna kata-katanya.
“Apa pulak yang lainnya? Along rasa sama aje dulu dengan sekarang. Bezanya dulu kau orang pernah jadi suami isteri. Sekarang ni dah berpisah. Tapi sebelum kau orang kahwin dulu pun, kau orang dah pernah bekerja bersama kan? So, Along tak nampak kat mana lainnya pun.”
Selamba saja Ammar menyahut. Tidak peduli pada perubahan wajah si adik yang ternyata semakin kelat bercampur masam bila mendengar kata-katanya. Lalu melahirkan rengusan lelaki itu buat sekian kalinya.
“Dahlah Along, malas orang nak cakap pasal hal ni lagi. Orang masuk dalam dululah ya. Nak mandi.” Agak marah Ainul bersuara seraya terus bangun dari duduknya.
Geram sebenarnya dengan kata-kata berupa usikan si abang. Laju saja Ainul menapak ke dalam sebelum terhenti bila Ammar memanggilnya semula.
“Cepat sikit mandi tu dik. Kita Solat Maghrib sama-sama.” Suara lelaki itu.
Ainul hanya mengangguk sebelum menghilang dari situ. Meninggalkan Ammar bersama Wardina.
Suami isteri itu saling bertukar senyuman tatkala terpandang anggukan lemah lelaki itu. Penuh makna. Mengerti apa yang bersarang di hati Ainul waktu itu.

“ASSALAMUALAIKUM ayah,” ucap Isma menyuara salam sebaik sahaja menghampiri lelaki itu. Menyentak pandangan Encik Khalid yang ralit membaca surat khabar di anjung rumah suatu petang. Dia segera tersenyum panjang.
“Waalaikumussalam. Lah, Isma rupanya. Ayah ingat siapalah tadi.” Penuh mesra Encik Khalid menyambut huluran tangan lelaki itu.
“Kamu dari mana ni? Siap berkot dan bertali leher lagi ni.” Sempat matanya memandang penampilan kemas lelaki itu.
Sementara Isma sudah menghempas lembut tubuhnya ke kerusi rotan berdepan Encik Khalid. Tangannya pula sudah meletak surat khabar yang dibaca sejak tadi di atas meja sisi.
“Dari mana lagi ayah kalau bukan dari pejabat. Dah lama rasanya Is tak datang ke sini. Itulah yang Is singgah sekejap lepas selesai buat kerja kat pejabat tu,” ujar Isma menjawab hormat.
“Hah Is, bila kamu sampai? Dah lama rasanya mak tak tengok batang hidung kamu tu,” tegur Puan Khadijah tiba-tiba melangkah keluar dari rumah.
Dia berada di ruang tamu rumah ketika lelaki itu tiba sebentar tadi. Segera Isma mendapatkannya.
“Baru saja Is sampai mak. Is mintak maaf sebab dah lama Is tak datang menjenguk mak dan ayah. Is sibuk sikit kebelakangan ni. Banyak kerja yang perlu Is selesaikan kat pejabat tu. Ini pun kebetulan Is dapat balik awal sikit hari ni. Itulah yang Is terus singgah ke sini,” ucap Isma kembali melabuhkan punggungnya di sofa.
“Duduk-duduk dululah ya Is. Mak ke dalam sebentar buatkan air untuk kamu,” ujar Puan Khadijah menghilang semula ke dalam rumah. Meninggalkan suaminya dan Isma di anjung rumah.
“Macam mana dengan keadaan ayah sekarang? Ayah sihat?” Isma terus membuka bicara antara mereka. Wajah tenang Encik Khalid dipandang lama.
“Alhamdulillah, ayah macam biasa aje Is. Kamu tu, sihat ke tidak? Pucat semacam aje ayah tengok muka kamu tu.” Ayah mentuanya menatap seketika wajah letihnya.
“Is sihat ayah. Cuma sehari dua ni Is demam sikit tapi dah baik lepas mama bagi makan ubat semalam,” beritahu Isma.
“Awal ayah balik dari firma. Selalunya dah hampir tengah malam baru ayah balik rumah. Kadang-kadang aje baru ayah dapat peluang balik awal.” Isma bersuara lagi. Lebih kepada meluah pertanyaan. Encik Khalid tersenyum panjang.
“Alhamdulillah. Sejak Damia bantu ayah kendalikan firma guaman ayah tu, kerja ayah taklah sebanyak dulu lagi. Senang cakap kurang sikitlah sibuk ayah kat firma tu dari dulu,” balas Encik Khalid.
“Damia? Siapa pulak Damia tu ayah?” tanya Isma, hairan dengan jawapan ayah mentuanya.
Seingat Isma, dia tidak pernah mendengar nama itu meluncur keluar dari mulut lelaki itu sebelum ini. Senyuman Encik Khalid menjadi lebih lebar.
“Damia tu sepupu pada Kamilia, anak kepada arwah adik dan adik ipar mak. Dia tu anak mak dan ayah jugaklah sebab dia menyusu dengan mak masa kecil dulu. Dia baru saja balik dari Kanada bulan lepas,” sampuk Puan Khadijah.
Wanita itu telah kembali ke ruang anjung bersama sedulang minuman. Diletaknya di meja berdepan kedua-dua lelaki itu.
“Damia tu sebaya umurnya dengan arwah isteri kamu. Mak ayah dia dah lama meninggal dunia. Sejak kecil dia tinggal dengan nenek kamu kat kampung tu. Lepas saja dia tamat tingkatan lima, dia dapat tawaran sambung pelajaran ke luar negara dan terus bekerja kat sana beberapa tahun lepas habis belajar.
Dia balik ke sini pun sebab ayah kamu yang mintak dia tolong ayah kamu kendalikan firma tu. Kamu memanglah tak pernah jumpa dengan dia sebab masa kamu kahwin dengan arwah Kamilia dulu pun dia tak balik.
Kalau tak silap mak, dia tak dapat balik sebab waktu tu dia ada peperiksaan. Lagipun dia memang tak pernah balik ke sini sejak duduk di sana sampailah kami suruh dia balik ke sini bulan lepas,” terang Puan Khadijah panjang lebar.
Isma mengangguk faham. Dicicip airnya sedikit setelah membaca Bismillah. Begitu juga dengan kedua-dua mentuanya. Turut sama menikmati minuman petang itu.
“Is, kalau mak tanya sesuatu, kamu jangan marah ya?” Puan Khadijah bersuara semula selepas itu. Wajah tenang bekas menantunya ditatap sekejap.
Isma tersenyum panjang.
“Mak ni, kenapa pulak Is nak marah kat mak? Mak nak tanya apa?” soalnya lembut.
Puan Khadijah terdiam sejenak sebelum kembali bersuara.
“Dah hampir lapan tahun arwah Kamilia pergi tinggalkan kita semua. Tapi kenapa sampai sekarang kamu masih lagi bersendiri Is? Tak terfikirkah kamu untuk mencari pengganti Kamilia?”
Pertanyaan itu mengunci bibir Isma serta-merta. Langsung dia tidak duga soalan itu yang akan diberi padanya. Agak lama juga dia berdiam diri sebelum menyahut lambat-lambat.
“Sebenarnya mak, Is belum pernah terfikir untuk berkahwin buat kali kedua. Is masih sayangkan arwah Kamilia. Is masih tak mampu melupakan anak mak tu walaupun perkahwinan kami hanya baru berusia beberapa bulan sewaktu pemergiannya.” Perlahan saja nada suara Isma.
Kepalanya pula ditundukkan sedikit. Tidak mahu riak muramnya dilihat kedua-dua pasang mata tua itu. Bimbang keadaan itu mampu menghadirkan rasa sayu di hati mereka sebagaimana yang ada di hatinya kala ini.
Encik Khalid melepas nafas panjang. Wajah suram bekas menantunya ditatap lama.
“Tak guna kamu mengingati orang yang dah lama pergi Is. Seribu tahun sekalipun kamu tunggu dia, mustahil untuk dia kembali lagi. Dia dah menjadi sejarah dalam hidup kita semua. Kita yang masih bernafas di bumi fana inilah yang perlu fikirkan tentang masa depan yang kita sendiri tidak tahu di mana penamatnya.”
Biarpun lembut namun nadanya tetap tegas. Mengalun penuh nasihat. Menjadikan Isma tidak lagi mampu meluah sebarang kata. Terkedu jadinya dia dek kebenaran kata-kata si ayah. Tidak berdaya dirinya melawan kata-kata yang penuh dengan makna mendalam itu.
“Sudahlah, jangan diungkit lagi perkara yang dah lepas tu. Apapun, semuanya dah berlaku. Terimalah segalanya dengan redha. Is, kamu makan malam kat sini ya? Bolehlah berbual dengan Abang Zairi kamu bila dia balik nanti.”
Encik Khalid kembali membuang suara. Tidak mahu hati lelaki itu terus-terusan dihambat sayu sebagaimana yang dirasakan mereka sekeluarga selama ini.
“Memang itupun niat Is datang ke sini ayah. Is nak jumpa dengan Abang Zairi. Dah lama rasanya Is tak berbual-bual panjang dengan dia,” sambut Isma, segera menghabiskan minumannya.
“Kalau macam tu kamu tunggu sebentar ya. Mak siapkan makan malam kita sekarang. Kalau kamu nak mandi, tualanya ada dalam bilik tidur kamu di tingkat atas tu. Pergilah tukar pakaian dan Solat Maghrib dulu,” suruh Puan Khadijah terus bangun melangkah ke dalam rumah bersama dulang dan cawan-cawan kosong.
“Betul kata mak kamu tu. Pergi mandi dulu Is. Nanti bolehlah kita Solat Maghrib bersama. Lepas solat kita makan malam pulak,” celah Encik Khalid pula.
Isma terus saja mengangguk. Akur dengan kata-kata berupa arahan tidak rasmi lelaki itu. 

SETIAKU DI SINI : BAB 3


BAB  3
Encik Fatih menarik nafas panjang sebelum dilepasnya perlahan-lahan. Matanya terpaku sejenak pada timbunan fail yang berada di depannya. Dadanya terasa sempit mengenangkan setiap isi yang terkandung dalam fail-fail berwarna kuning pudar itu. Terasa berdenyut urat saraf otaknya memikirkan masalah yang semakin menjerut setiap pernafasannya.
Matanya merayap seketika ke seluruh ruang bilik kecil yang diubah suai menjadi ruang pejabatnya. Ruang di mana dirinya berada kini. Ruang yang banyak menelan masanya saban hari bagi memikirkan masa depan perniagaan dan dirinya sendiri. Mengingatkan itu membuatkan Encik Fatih mengeluh lagi.
Sudah hampir sepuluh tahun dia membuka resort yang diberi nama Resort Seri Bayu itu. Selama itu juga telah banyak pelaburan yang dilakukannya demi memajukan resort yang terletak berhampiran dengan Lautan China Selatan itu.
Pelaburan yang melibatkan wang ringgit, tenaga dan masanya. Namun sehingga kini tiada hasil yang mampu dibanggakannya malah kerugian demi kerugian dikendongnya.
Telah pelbagai cara dilakukannya bagi menaikkan nama resort itu seperti mana resort–resort yang terdapat berdekatan dengannya. Semuanya menghadapi jalan kegagalan.
Jika diikutkan kata hati, mahu sahaja dia menutup resort itu dan memulakan perniagaan lain. Perniagaan yang menimbunkan keuntungan berlipat kali ganda. Perniagaan yang mampu menjauhkan dirinya dari bebanan masalah yang rumit.
Namun mengingatkan resort itu adalah impiannya selama ini maka semua itu ditolak ke tepi. Malah dia sanggup meletak jawatannya sebagai ketua jurutera di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota hanya semata-mata ingin merealisasikan impiannya itu.
Impian untuk menjadi salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang perhotelan dan pelancongan di tanah kelahirannya, Malaysia. Kerana itu dia berusaha untuk terus bertahan hingga ke hari ini. Bertahan dalam mengharungi pelbagai cabaran perniagaan.
Bunyi dentingan jam di dinding pejabat menyedarkan dirinya dari terus tenggelam dalam dunia khayalannya. Encik Fatih beristigfar panjang. Masanya terbuang lagi tanpa melakukan sebarang kegiatan berfaedah. Matanya kembali terlekat pada timbunan fail yang sedari tadi tidak terusik. Dia mengeluh lagi.

Dhia menyandarkan tubuhnya ke kepala katil. Selimut yang masih membungkus tubuh di tarik merapati dadanya. Tangannya mencapai alat kawalan. Menghala ke arah alat pendingin hawa. Mengurangkan suhu yang dirasakan terlalu mendinginkan suasana.
Sudah hampir dua hari dia tiba di bandaraya Kuala Lumpur. Selama itu juga masanya hanya dihabiskan di salah sebuah hotel lima bintang di bandaraya sesak itu. Keletihan yang bersarang di tubuh membuatkannya tidak berminat untuk menyelusuri setiap pelusuk bandaraya walau pun itulah niatnya sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia. Apatah lagi keadaan tubuhnya yang dirasakan semakin lemah dan tidak bermaya sejak kebelakangan ini menambahkan lagi rasa malasnya untuk bergerak ke mana–mana.
Bunyi deringan telefon di sisi katil menerbangkan khayalan Dhia. Perlahan–lahan Dhia mencapai gagang sebelum memberi salam.
“Hai my honey, macam mana dengan keadaan kau hari ni?” kedengaran suara di sana melantun lembut setelah menjawab salamnya.
Demi mendengar suara itu Dhia tersenyum kecil.
“Excuse me, my name is Maihani okey not my honey. Anyway my darling, I feel okey today,” balasnya sedikit lemah. Dia berdehem sedikit. Memberi ruang pada tekaknya untuk berasa lebih selesa.
Hidayat tertawa kecil.
Really? Dah makan?”
“Aku tak ada seleralah Dayat,” jawab Dhia lembut.
Dibetulkan sedikit letak baju tidur yang masih tersarung di tubuhnya. Sengaja tidak menukar pakaian setelah selesai solat subuh walau suasana telah lama beralih ke waktu tengah hari.
“Hei, janganlah macam tu Dhia. Kau kena makan walau pun sedikit. Makanan tu penting untuk menjana tenaga dalam tubuh kau. Macam mana kau nak baik kalau kau makan pun kau tak nak,” sahut Hidayat cepat. Ada kerisauan yang bergulungan dalam suara garaunya.
“Masalahnya Dayat, bukannya aku tak nak makan tapi tekak aku ni yang tak nak menelan apa-apa pun. Perut aku pun lebih kurang je. Tak bunyi-bunyi pun dari malam tadi,” selamba Dhia menjawab.
“Iyalah tu kau, ikut sangat rasa tekak dengan perut kau tu. Tak kasihan langsung pada diri sendiri. Kau kena paksa diri kau Dhia untuk makan. Kalau tak boleh masuk sekalipun, kau masukkan juga. Biar muntah tak apa, janji kau makan juga walau sedikit,” leter Hidayat tegas.
Sedikit geram dengan tingkah gadis itu yang jarang memikirkan tentang kesihatan diri sendiri. Persahabatan yang telah lama berlangsung antara mereka membuatkan Hidayat cukup mengenali sikap gadis yang sentiasa ceria itu. 
Dhia tergelak kecil.
“Kau ni Dayat, kalau tak berleter boleh tak? Berdengung telinga aku mendengar leteran kau tu tahu tak?”
“Eleh, kau tu memang macam tu. Aku berleter ke, tak berleter ke, sama saja bagi kau. Bukannya kau nak dengar pun. Eh, kau bersiap ya, sekejap lagi aku sampai. Kau makan kat rumah aku ajelah ya. Mana tahu selera kau terbuka bila tengok makanan sedap kat rumah aku ni. Jangan kata tidak okey,” suara Hidayat lebih kepada memberi arahan. Sedikit tegas.
“Ala Dayat, tak payahlah kau datang ambil aku. Aku pergi sendiri rumah kau nanti. Tak pun, aku pesan je makanan dari hotel ni,” sela Dhia cepat. Rasa malas untuk menukar pakaian membuatkan dia beralasan begitu.
“Dah, dah, kau tak payah nak merepek. Nak harapkan kau datang sendiri kat rumah aku ni, rasanya petang esok pun belum tentu kau sampai. Lagipun, manalah kau tahu jalan di KL ni. Suka hati kau saja nak datang sendiri. Karang kalau kau sesat, aku juga yang susah nak mencari kau kat merata tempat. Dah, dah, Kau siap sekarang. Sepuluh minit lagi aku sampai. Kau tunggu aku kat lobi hotel sekejap lagi,” suara Hidayat lagi. Lebih tegas dari tadi. 
“Yalah, yalah,” Malas bertekak Dhia bersetuju. Mereka berbual sejenak sebelum masing-masing meletak gagang semula.
Dhia kembali menelentangkan tubuh ke tilam katil. Matanya memandang siling bilik hotel yang mempunyai keluasan sederhana itu.
Dalam diam dia berterima kasih pada Hidayat yang banyak membantunya sejak dia tiba di Malaysia. Lelaki itu sedia memberi perkhidmatan percuma padanya tanpa mengira masa dan keadaan. Hidayat begitu mengambil berat tentang dirinya.
Adakalanya Dhia tidak selesa dengan semua itu. Dia rimas dengan layanan baik yang diterimanya. Bukan tabiatnya mengantung harap pada orang lain walau dalam apa keadaan sekalipun. Namun dia sedar, dirinya kini telah menjadi salah satu daripada tanggungjawab yang perlu digalas oleh lelaki itu. Tanggungjawab yang hakikatnya Dhia sendiri tidak pinta kewujudannya.
Perlahan Dhia bangun dari pembaringan. Menyebak selimut dari terus membalut tubuhnya. Menapak ke tingkap yang tertutup rapat.
Dari balik cermin tingkap Dhia melepas pandangan. Untuk seketika Dhia membiar matanya meratah pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang kelihatan sibuk dan sesak. Sibuk dengan pelbagai gelagat manusia yang menghuni di situ dan sesak dengan pembangunannya yang begitu pesat.
Melihat setiap kemajuan yang telah dicapai oleh negara kelahiran kedua ibubapanya, negara Malaysia yang tercinta. Negara yang tidak pernah dijejaknya selama dua puluh tujuh tahun dia hidup di dunia. Inilah kali pertama dia berkunjung ke negara yang hanya di lihat di dalam bahan bacaan dan didengari dari mulut arwah orang tuanya.
Mengingatkan semua itu membuatkan Dhia menghela nafas panjang. Hatinya puas kini. Puas kerana akhirnya dia berjaya mencapai impiannya untuk menjejakkan kaki ke negara yang terkenal dengan kekayaan budi bahasa dan keramahan penduduknya itu.
Namun bukan itu yang menjadi penyebab utama dia berada di negara beriklim Khatulistiwa itu. Kedatangannya mempunyai maksudnya yang tersendiri. Ada perkara yang harus diselesaikannya di sini. Perkara yang perlu dilakukannya dalam meniti masa–masa terakhir yang dimilikinya. Perkara yang membuatkan Dhia akhirnya teresak sendiri. 

Monday, October 01, 2012

Satu antara dua....


Seringkali berlaku dalam hidup, kita terpaksa memilih antara satu daripada dua atau lebih dari itu… bukan semua tetapi hampir setiap perkara kita perlu memilih… dan pastinya akan terjadi ‘pelepasan’ atau disebut sebagai kos lepas dalam istilah ekonomi apabila pilihan telah dilakukan… memang sukar untuk membuat keputusan yang tepat apatah lagi jika kita mempunyai rasa untuk memiliki kesemua pilihan…
Bagaimana pun, kita perlu sedar… setiap manusia tidak mampu memiliki segala-galanya tanpa membuat sebarang pilihan yang dirasakan tepat pada tempatnya… dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya, setiap kita tetap juga perlu membuat pilihan… waima ingin memakan gula-gula juga kadang-kadang memerlukan kita memilih jenis dan bentuk apatah lagi rasanya… pendek kata kita tidak mampu lari dari membuat sebarang pilihan dalam apa jua perkara yang kita lakukan…
Sesuatu yang perlu kita tahu, dalam memilih pilihan terbaik, kita sesekali tak seharusnya terlupa untuk meminta pertolongan… hmm… pertolongan apa ya? Dan di mana harus kita dapatkan pertolongan itu? Hah… mana lagi tempat untuk kita meminta pertolongan kalau bukan dari Dia yang Satu kerana hanya Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita…
Seringkali kita terlupa pada Dia bila membuat sesuatu keputusan sedangkan Dia tidak pernah terlupa untuk menunggu kita memohon dariNya… kerana itulah seringkali juga kita melakukan kesalahan dalam mengejar impian sendiri… kita lebih rela mengikut gerak hati dan pandangan mata kasar sendiri dari meminta pendapat dariNya… malu? Rasanya tidak tapi lebih kepada malas dan kurang percaya… betul tak? Malas tepat sekali tapi kurang percaya atau lebih tepat, kurang yakin adalah jawapan yang saya jangka paling utama…
Sebagai manusia yang disertakan nafsu dan rasa tidak sabar, kita selalunya lebih suka untuk mendapat sesuatu dalam jangka masa yang cepat namun terbaik sedangkan kita terlupa… untuk mendapat yang terbaik, kita harus menempuh pelbagai onak dan duri terlebih dulu… kerana apa? Kerana hanya dengan cara itu kita akan menghargai apa yang kita ada…
Contohnya soal jodoh… di masa kini manusia lebih gemar memilih jodoh berdasarkan pandangan mata kasar dan rasa hati sendiri… agama? Adab sopan? Itu jatuh ke tangga yang berikutnya… cantik di mata maka cantiklah di hati sedangkan kita terlupa… cantik itu tak semestinya membawa bahagia… malah lebih banyak derita jika tersalah arah… kerana itu Islam amat mementingkan kesederhanaan dalam semua perkara… hanya perlu berlebihan dalam takwa dan iman kepada Allah yang Satu… kerana apa? Sebabnya mudah saja… bila kita bertakwa dan beriman padaNya dengan sepenuh hati, maka kita akan terima apa saja yang datang dalam hidup kita dengan penuh redha… tak kisahlah pasangan kita hitam legam, gemuk, pendek, rumah kita kecil atau anak kita kurang upaya, kita terima segalanya dengan hati tenang lagi tabah… tapi berapa kerat sangat manusia dalam dunia sekarang mampu mencapai tahap takwa sebegini sekali? Sukar didapati bukan…hmm…
Memang manusia diberi akal fikiran untuk membantu membuat pilihan tapi kita juga harus sedar… itu hanyalah sampingan… tempat sebenar untuk kita memohon pertolongan hanyalah dari Dia yang Berkuasa… kerana Dia kita berada di dunia ini… Dia yang menetapkan segalanya dalam hidup kita… kita diberi peluang untuk membuat pilihan kerana Dia mahu menguji kita sama ada kita mengunakan akal anugerahNya dengan cara terbaik atau sebaliknya… andai pilihan kita tepat, bermakna kita telah berjaya menggunakannya dengan cara yang benar… jika salah sekalipun usah risau kerana itu tidak menjamin kita telah melakukan dosa kerana dari kesalahan itu kita akan belajar untuk tidak mengulanginya lagi di masa depan… bukan saja hanya dalam satu perkara bahkan dalam setiap perkara lain juga kita akan berhati-hati melakukannya di lain kali… jika tidak, tidaklah ada pepatah mengatakan bahawa pengalaman adalah guru terbaik buat seseorang dalam mencari kejayaan…
Sebenarnya, apa juga pilihan yang kita lakukan haruslah bersandarkan kepada Dia yang Maha Berkuasa… tak kiralah apapun pilihan yang kita buat, semuanya memberi kesan pada masa depan kita sendiri… jika tepat, itu adalah rezeki kita dan kita harus bersyukur kepadaNya kerana memberi ketepatan pada kita… jika salah sekalipun, kita tetap juga perlu bersyukur kerana itu tandanya Dia amat menyayangi kita… kenapa begitu? Kerana Dia memberi peluang kepada kita untuk memohon buat kedua kalinya pada Dia hanya untuk perkara yang sama… tak mengerti? Mudah saja… contohnya, jika kita telah tersalah dalam memilih pasangan hidup buat kali pertama, maka kita akan memohon buat kali kedua kepadaNya dengan harapan pilihan kali kedua ini adalah yang lebih baik atau yang terbaik untuk diri kita… bermakna Dia menyayangi kita kerana sudi mendengar permohonan kita dua kali berturut-turut hanya untuk satu perkara yang sama… itu hanya satu perkara… bagaimana pula dengan perkara-perkara yang lain? Sudah tentu keadaannya pun sama juga bukan?
Jadi jangan malu, jangan malas dan jangan tidak yakin untuk memohon pertolongan dariNya… buatlah pilihan dengan gerak hati yang ikhlas, akal fikiran yang waras dan mohonlah petunjuk dari Dia… pasti pilihan yang kita lakukan itu tidak akan mengecewakan kita di depan hari… salam sayang buat semua… 

KEJORAKU BERSATU : BAB 4

BAB 4

So, macam mana dengan pekerjaan kau kat pejabat, okey tak?” soal Airil tersenyum memandang Tengku Anuar yang duduk menyandar di depannya.
William di sebelahnya turut membuang pandang ke wajah pemuda itu.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Tak tahulah esok lusa macam mana pula,” balas Tengku Anuar tenang.
“Untunglah kau Nuar, balik-balik Malaysia aje terus ada kerja. Macam kita orang ni, nak kena mohon dulu. Itu pun belum tentu dapat,” sampuk William, lelaki berketurunan Inggeris yang fasih berbahasa Melayu itu melontar suara. Matanya masih melekat pada Tengku Anuar.
“Ala, kau orang pun apa kurangnya. Si Airil ni, bukannya tak ada kerja. Ayahnya tu, pemilik bank terbesar kat Malaysia ni. Saja je nak kerja kat tempat lain,”
“Aku bukannya apa Nuar, aku nak berdikari dulu. Lagi pun aku tak berminatlah bekerja dalam bank. Kurang cabarannya. Bagi aku, bekerja sebagai arkitek lagi best dari kerja dengan ayah aku sendiri,” Airil menolak sedikit kerusi yang didudukinya ke belakang. Membetulkan kedudukannya agar lebih selesa.
“Iyalah tu kau. Ada je alasan ya. So kau Wie, apa perancangan kau sekarang?” soal Tengku Anuar mengalih pandangannya ke arah William.
Dia dan Airil bersahabat baik sejak mereka sama-sama menyambung pengajian di salah satu universiti di Amerika beberapa tahun lepas. Mereka bertemu William setelah mula bekerja di Miami sebaik saja tamat pengajian. Hubungan mereka menjadi semakin rapat apabila William mengambil keputusan mengikut mereka pulang ke Malaysia.
“Hmm… sebenarnya, aku ada satu berita baik yang nak aku sampaikan pada kau orang,” William tersenyum lebar. Matanya yang berwarna hijau kebiru-biruan itu kelihatan bercahaya. Menyerlahkan lagi ketampanannya yang sedia ada.
“Berita apa? Cakaplah cepat Wie. Oh, kau nak kahwin lagi satu ya,” usik Airil tersenyum nakal. Diangkat kening kanannya beberapa kali.
“Isy kau ni Ril, ke situ pula. Mana dia nak letakkan si Katherine tu,” sampuk Tengku Anuar yang turut tersenyum mendengar gurauan itu.
“Iyalah kau Ril, mana aku nak letak isteri aku tu,” ujar William mengulum senyum. Mengerti dengan sikap Airil yang gemar menyakat orang.
“Sebenarnya, aku nak beritahu kau orang yang aku telah dapat tawaran untuk bekerja sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di salah satu universiti swasta di Kuala Lumpur,” ujarnya tenang. “Wow, congratulations Wie,” Jerit Airil sedikit kuat.
Serentak Airil dan Tengku Anuar  menghulur tangan. Berjabat salam. William menyambut huluran tangan mereka.
So, bilalah kau akan mula bekerja?” tanya Airil.
“Kalau tak ada aral melintang, mungkin bermula minggu depan,”
“Nampaknya impian kau untuk menetap di Malaysia ni dah jadi kenyataan Wie,” ujar Airil tumpang gembira.
“Apa kata Katherine bila dia tahu kau dapat tawaran kerja tu?” soal Tengku Anuar.
“Dia tidak kisah dengan segala keputusan yang aku buat. Malah dia sendiri gembira mendengar berita ni,”
“Kau tak rasa menyesal ke tinggalkan negara kelahiran kau Wie?” ujar Airil.
“Aku rasa, aku dah buat keputusan yang tepat tentang ini Ril. Sejak ayah aku ditugaskan bekerja di duta Amerika di Malaysia, aku dapat rasakan yang aku begitu serasi dengan budaya negara ni. Walau pun selepas ayah bersara kami sekeluarga berpindah semula ke Amerika, aku tak rasa tenang seperti mana yang aku rasai ketika berada di sini. Sebab tu, bila kau orang beritahu yang kau orang nak menetap terus di Malaysia, aku buat keputusan untuk mengikut kau orang pulang ke Malaysia walau pun aku tahu, aku tiada siapa lagi di sini,” ujarnya sedikit sayu.
“Kau silap Wie, kau masih ada kami berdua, sahabat baik kau. Dan yang paling penting, kau masih ada Katherine yang begitu mencintai kau. Dia sanggup mengikut apa saja kehendak kau. Kau bertuah kerana dapat isteri sebaik dia,” Tengku Anuar bersuara memberi kata semangat.
“Betul kata kau tu. Aku bertuah kerana Katherine sentiasa di sisi aku. Mungkin juga kerana kami berdua sama-sama telah menjadi yatim piatu menyebabkan ikatan antara kami semakin kuat,” suara William masih kedengaran sayu.
“Eh, dahlah tu. Jangan ingat lagi perkara yang dah lepas tu,” ujar Airil tidak mahu suasana sedih menguasai pertemuan tengah hari itu. “So guys, kau orang nak pergi mana lepas ni?” ujar Airil menukar topik perbualan. “Mana lagi, balik pejabatlah,” ujar Tengku Anuar tenang.
“Kau Wie?” soal Airil memandang wajah lelaki yang kembali tenang itu.
“Aku nak balik rumah. Aku dah janji dengan Katherine nak bantu dia kemas rumah hari ni. Maklumlah, kami kan baru pindah. Banyak perkara yang perlu kami selesaikan,”
“Okeylah kalau macam tu. Jom, kita bergerak sekarang. Karang lewat pula Cik Anuar kita ni masuk bertugas. Tak pasal-pasal, baru masuk kerja kena pecat pula,” usikan Airil mengundang tawa mereka bertiga.

“Kau ni kenapa Nina? Dari tadi muka kau bukan main monyok lagi,” tegur Asyikin. Dipandang wajah Nina yang berpeluk tubuh di depannya. Wajah gadis itu kelihatan sedikit pucat.
Nina mengeleng kepalanya perlahan. “Tak ada apa. Aku sakit kepala sikit pagi ni,” sahutnya sedikit lemah.
“Kau dah pergi jumpa doktor?” soal Khalidah yang duduk bersebelahan Asyikin.
“Malaslah aku nak pergi. Bukannya teruk pun. Kejap nanti baiklah sakit aku ni. Lagi pun bukannya teruk sangat sakit aku ni. Sakit kepala je,” Nina masih memicit-micit dahinya.
“Ei kau ni Nina, tak ubah-ubah perangai. Dah sakit macam tu pun boleh pula di buat main-main,” marah Asyikin.
Geram betul dengan tingkah laku Nina yang sedari dulu tidak pernah peduli dengan kesihatan sendiri. Dia begitu arif dengan sikap Nina yang tidak suka berjumpa dengan doktor walau pun diri dalam keadaan tenat.
“Dahlah Ikin, janganlah kau berleter kat aku pula. Kepala aku yang sakit ni semakin sakit rasanya bila dengar ceramah kau tu tau,”
“Aku bukan nak membebel tapi aku kesian tengok muka kau tu. Pucat lesi semacam je. Risau aku tengok,” balas Asyikin sambil menjeling geram ke arah gadis itu.
“Aku tahulah kau sayang pada aku Ikin tapi nak buat macam mana, aku tak ada masa nak pergi jumpa doktor. Itulah kau, dulu tak nak belajar tinggi-tinggi sampai jadi doktor. Kalau tak, tak payah aku susah-susah nak ambil cuti semata–mata nak pergi jumpa doktor,” ujarnya dalam nada bergurau.
“Ewah, aku pula yang kena jadi doktor ya,” rengus Asyikin. “Engkau tu yang sepatutnya jadi doktor tau. Kau dah ada basic sains dari sekolah lagi, bolehlah jadi doktor. Pergi oversea kau ambil bidang kejuruteraan mekanikal pula. Lainlah aku, dari dulu dah minat nak jadi usahawan,”
“Ala Ikin, aku bukan tak minat nak jadi doktor tapi aku takut,”
“Takut?” berkerut dahi Asyikin seketika. Sedikit hairan.
“Aik, sepanjang aku kenal kau, tak pernah pula aku tengok kau takut pada apa-apa benda pun. Kenapa pula tiba-tiba pula kau rasa takut?”
“Yalah, aku takut kalau-kalau ada doktor-doktor yang handsome nak pikat aku. Takut tak terlayan nanti,” ujar Nina tertawa besar.
“Eii kau ni Nina, kalau tak mengenakan aku boleh tak!” jerit Asyikin sedikit kuat.
Kemudian dicubit lengan gadis itu yang semakin kuat tawanya.  Tidak dipeduli rasa sakit kepala yang sedang ditanggung sahabat baiknya itu.
“Hei kau orang ni, malulah sikit. Semua orang pandang kita tau. Kita ni dahlah perempuan, cubalah bersopan sikit,” tegur Khalidah.
“Bukan aku yang mulakan. Ni ha, sepupu kau ni. Saja je nak mainkan aku,” ujar Asyikin membela diri. Dijeling sekilas ke arah Nina yang kembali tersenyum lebar.
“Okeylah Cik Khalidah, dengan ini saya Nina Nuraina berjanji tidak akan membuat bising lagi dalam restoran ini,” ujar Nina masih tersengih seraya mengangkat tangan kanannya ke atas separas telinga seperti orang mengangkat sumpah.
Khalidah dan Asyikin yang memandang gelagatnya hanya mendengus kecil. Masing-masing mengeleng beberapa kali. Lali dengan Nina yang jarang bersikap serius. Sememangnya itulah sikap Nina sejak dulu. Suka bersikap gila-gila dan sentiasa happy go lucky. Biar apa pun masalah yang dihadapinya, gadis itu sentiasa kelihatan riang dan ceria. Kerana itu mereka jarang melihat Nina berkeadaan sedih mahupun duka.
“Mak Ngah beritahu aku, malam tadi kau balik rumah,” Khalidah bersuara setelah suasana kembali seperti sedia kala. Wajah Nina yang kelihatan tenang di pandang sekilas.
“Bila masanya kau jumpa dengan mama aku?” soal Nina acuh tak acuh.
Pinggan yang masih berisi makanan ditolak perlahan ke tengah meja. Rasa sakit yang menyengat kepalanya membuatkan dirinya kehilangan selera.
“Dia call mak aku  pagi tadi. Kau gaduh lagi ke dengan dia?” tanya Khalidah.
Nian mengeluh perlahan.
“Aku tak ada niat pun nak bergaduh dengan dia Idah, tapi kau tahu ajelah mama aku tu. Tak habis-habis nak berleter. Ada saja yang tak kena,” ucap Nina.
Actually Nina, aku sokong apa yang mama kau katakan. Kau perlu berubah Nina. Tengok pakaian kau tu, tak macam perempuan langsung. Dengan t-shirt buruk kau tu, seluar jeans kau yang entah dari mana kau kutip pakai, mahunya mama kau tu tak naik angin. Siap dengan cap yang tak lekang dari kepala kau tu. Pendek kata memang tak ada langsung ciri perempuan dalam diri kau,” panjang lebar Asyikin berceramah. 
Mata Asyikin melkat sejenak pada topi berwarna hitam yang tersarung di kepala Nina. Jarang matanya dapat menjamah rambut Nina memandangkan topi itu jarang ditanggalkan. Ditambah dengan koleksi topi yang pelbagai corak dan warna yang dimiliki oleh Nina menjadi antara sebab Nina gemar menyarungkannya tanpa mengira masa dan tempat.
“Betul kata Asyikin tu Nina. Kau kena ingat, mak ayah kau tu orang berpangkat agak besar, malu dia orang dengan sikap kau ni,” sampuk Khalidah.
“Itu aku tahulah, tapi aku kan kerja kat bengkel, takkan aku nak pakai skirt pula nak buat kerja semua tu,” balas Nina selamba.
“Tak semestinya kau kerja kat bengkel tu kau kena pakai pakaian comot 24 jam. Itu cuma alasan kau saja. Kau ni sama je Nina, kat mana-mana kau pergi pun gaya yang sama juga kau buat. Cubalah sekali sekala kau keluar shopping tu kau pakai skirt ke, baju kurung ke, sejuklah sikit hati mama kau tengok,” nasihat Khalidah.
“Lagi satu, aku nak ingatkan kau. Kalau kau nak Datuk Rashdan tu jatuh cinta pada kau, kau kena berpakaian macam perempuan, bukan macam jantan,” celah Asyikin.
“Maksud kau?” soal Nina meminta kepastian. Mendengar nama itu membuatkan rasa sakit kepalanya hilang entah ke mana. Asyikin mengulum senyum. Sedar, jeratnya mengena.
“Maksud aku Nina, kalau kau nak jadi isteri Datuk Rashdan, kau kenalah berpakaian macam perempuan-perempuan lain. Kau kena ingat, Datuk Rashdan tu orang korporat dan selalunya orang korporat sepertinya takkan pandang perempuan yang berpakaian macam kau ni. Malulah dia nak bawa kau ke mana-mana majlis nanti,”
Nina terdiam seketika. Ligat otaknya memikirkan kata-kata Asyikin itu.
“Lagi pun, cuba kau fikir Nina, Datuk Rashdan tu antara lelaki berumur yang menjadi rebutan ramai wanita tau. Jangan kerana penampilan kau yang tak serupa perempuan ni menyebabkan dia tak memandang sebelah mata pun diri kau tu,” ujar Asyikin lagi.
Dipandang sekilas wajah Khalidah yang memandang geram ke arahnya. Asyikin hanya tersengih. Dia sedar, Khalidah tidak suka dia mengaitkan nama Datuk Rashdan dalam soal ini namun Asyikin terpaksa melakukannya demi melihat perubahan dalam gaya dan penampilan diri Nina.
Nina mengeluh perlahan.
“Entahlah Ikin, aku tak rasa Datuk Rashdan akan menilai seseorang tu berdasarkan pakaiannya. Kalau benar kita cintakan seseorang, kita takkan ubah dirinya untuk mengikut citarasa kita tapi kita yang perlu menerima diri orang yang kita cintai tu seadanya dia. Bukannya meminta dia mengubah diri semata-mata untuk menyenangkan hati kita. Itu hipokrit namanya,” ujar Nina tenang.
“Itu memang betul Na tapi kau kena tahu, penampilan itu juga penting dalam menarik perhatian orang yang kita cintai. Kalau iya pun kau nak orang tu terima diri kau seadanya tapi kalau penampilan kau tu boleh menyebabkan dia mendapat malu, tak mustahil rasa cinta itu akan lenyap juga suatu hari nanti,” ujar Asyikin sedikit berbahas.
Sememangnya itulah kelebihan Asyikin sejak di bangku sekolah lagi. Kebolehannya dalam mematahkan kata lawan amat dikagumi ramai. Tidak hairanlah jika wanita itu pernah dinobatkan sebagai pembahas terbaik selama tiga tahun berturut-turut ketika mereka di universiti dulu.
“Betul kata Asyikin tu Nina,” sela Khalidah yang sejak tadi hanya mendengar perbualan mereka berdua.
“Dengan mengubah penampilan, kau bukan  saja dapat tarik perhatian Datuk Rashdan malah banyak lagi jejaka-jejaka kat luar sana tu yang inginkan kau jadi isteri mereka. Kau nak yang macam mana? Tinggi? Kacak? Muda? Semua ada,” ujarnya lagi.
Namun jauh di sudut hati Khalidah menyedari satu-satunya sepupu perempuan yang dia punyai ini merupakan seorang gadis yang cantik. Dengan bertubuh langsing dan tinggi lampai, Nina mempunyai kecantikannya yang tersendiri. Namun semua itu terlindung di balik penampilannya yang seakan seperti lelaki itu.
“Aku tak nak orang lain Idah, aku cuma nak Datuk Rashdan dalam hidup aku. Itu saja,” balas Nina sedikit serius. Polos wajahnya memandang Khalidah yang mendengus geram.
“Hei kau ni Nina, apa yang menariknya pada duda beranak dua tu hah? Dia tu dah hampir sebaya dengan mak ayah kita tahu. Banyak lagi lelaki lain yang boleh kau pilih selain dari dia,” balasnya sedikit tegas.
“Usia bukan penghalang untuk kita jatuh cinta Idah,” balas Nina selamba.
“Huh, lagi-lagi itu alasan kau. Macam dalam dunia ni semua lelaki dah mati dan cuma dia seorang saja yang ada,” cemuh Khalidah mendengus keras.
“Dahlah tu kau orang berdua, nak bertekak pula. Dah, dah, habiskan makanan kau orang tu. Nanti lambat pula kau orang nak balik tempat kerja,” ujar Asyikin cuba mematikan pertengkaran itu. Di lirik matanya ke arah Nina dan Khalidah berulang kali sebelum menyambung suapannya yang tertangguh tadi. 

CINTA SEJATI : BAB 4


BAB 4

Angin kencang dari selat Arab menyerbu masuk ke bilik hotel setinggi 25 tingkat itu. Sengaja Yashmaan mmbuka tingkap seluas-luasnya. Membiarkan angin dari selat Arab membelai-belai tubuhnya.
Yahmaan menarik nafas panjang. Disebak rambutnya yang berselerakan di tiup angin. Tubuhnya dihenyak pada kerusi yang tersedia di balkoni itu. Pandangannya dibuang jauh ke tengah lautan yang membiru.
Dia mengeluh perlahan. Fikirannya mula menerawang jauh. Meneroka peristiwa yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Imran memandang langit yang kelihatan hitam pekat. Tiada walau sebutir bintang pun menghiasi langit malam itu. Matanya memandang sekeliling laman rumah yang sunyi sepi.  Di alih pandangan ke arah rumah banglo mewah dua tingkat yang tersergam indah di depannya. Dia memanjangkan leher memandang bilik Tengku Zainal yang terletak di tingkat atas rumah. Bilik tidur utama di banglo itu kelihatan gelap.
Mungkin ayah dah tidur, getus hatinya.
Tak lama, pandangannya dihala semula ke arah Yashmaan yang duduk bersandar di depannya. Wajah anak muda itu membayangkan rasa resah yang bergulungan menghempas pantai hatinya sejak beberapa hari yang lalu.
“Kamu dah habis fikir ke Yash?”
Dalam kesamaran cahaya lampu yang terpasang di setiap sudut laman, Imran membuka mulut. Bulat matanya memandang wajah lesu anak muda bertubuh sasa itu.
“Kalau kamu pergi, siapa yang nak bantu Along uruskan firma guaman ayah tu?” nada suaranya masih seperti tadi. Lembut namun tegas.
Yashmaan mendengus perlahan. Tubuhnya ditegakkan semula. Kepalanya ditundukkan sedikit. Tidak menyahut kata-kata Imran yang masih menanti jawapan darinya.
Imran mendengus kasar. Geram hatinya melihat perlakuan Yashmaan yang seolah-olah tidak mempedulikan kata-katanya. Sejak dari tadi, anak muda itu hanya mendiamkan diri tanpa sepatah kata.
“Yash, I’m talking to you,”
Nada Imran mula kedengaran sedikit tinggi. Sekadar untuk menyedarkan anak muda itu dari khayalannya sendiri. Mengharapkan anak muda itu membalas kata.
I’m listening Along,” agak lama baru Yashmaan membalas.
Imran mengeluh perlahan. Dia mengusap rambutnya beberapa kali. Matanya masih terpaku ke arah Yashmaan yang masih menundukkan wajah. Tubuhnya dipeluk kemas.
“Yash, kamu tahu kan, ayah dah serah firma guamannya tu pada kita berdua. Dia nak kita sama-sama majukan firma tu.” suara Imran kembali kendur. 
“Ayah benar-benar berharap pada kita berdua Yash,”ujarnya lagi.
Yashmaan mendengus kecil. Diangkat sedikit wajahnya.
“Itu saya tahu Along tapi saya tak berminat dengan firma tu. Lagipun bidang guaman ni bukan bidang saya. Lainlah Along, undang-undang tu memang kerjaya Along dari dulu lagi,” balas Yashmaan setelah sekian lama mendiamkan diri. Sesekali dia mengerling ke arah Imran yang duduk mengadapnya.
“Tapi itu tak bermakna kamu tak boleh bekerja dengan Along bukan? Tak semestinya untuk bekerja di situ kamu perlu arif segalanya tentang kerjaya guaman. Masih banyak lagi kerja lain yang boleh kamu lakukan di firma tu,” Suara Imran kedengaran seperti memujuk.
Yashmaan melepaskan keluhannya. Kedengaran agak berat.
“Along, saya dah buat keputusan dan saya takkan tarik semula keputusan yang telah saya buat. Lagi pun Along sendiri pun tahu kan sikap saya? Saya takkan lakukan perkara yang saya tak suka,” ujarnya sedikit tegas.
“Kalau begitu, Along akan bantu kamu carikan kerja yang bersesuaian dengan kelulusan kamu nanti. Along akan cari syarikat yang terbaik untuk kamu mulakan karier kamu,” Imran masih berusaha memujuk. Mengharapkan anak muda itu dapat mengubah keputusannya.
Kedengaran satu lagi keluhan dari celahan bibir merah Yashmaan. Lebih berat dari tadi.
“Along, kan saya dah kata, saya tak mahu lagi bergantung pada Along. Cukuplah dengan segala pertolongan yang Along berikan pada saya selama ini,”
Yashmaan mengendurkan suara. Hatinya sedikit terusik dengan sikap abangnya yang begitu mengambil berat tentang dirinya. Mungkin kerana mereka hanya dua beradik menjadikan Imran bersikap begitu.
Imran menghela nafas perlahan. Wajah adik kesayangannya itu dipandangnya lama. Dia faham dengan sikap Yashmaan yang keras kepala itu. Setiap keputusan yang dibuatnya tidak akan ditarik balik.
”Yash, adakah hanya kerana disebabkan perkara itu, kamu sanggup untuk meninggalkan segalanya?” Lembut Imran menyoal.
“Kamu tak kasihankan ayah ke? Kita cuma dua beradik saja Yash. Ayah hanya ada kita berdua. Takkan kamu sanggup buat begini pada ayah?”
Yashmaan terdiam seketika.  Kata-kata Imran yang kedengaran begitu lembut itu benar-benar meruntun tangkai hatinya. Sedikit sebanyak kata-kata abangnya itu menusuk tajam ke dasar hatinya. Ditunduk sedikit wajahnya sebelum perlahan dia bersuara.
“Saya dah tak sanggup nak tinggal lagi di sini Along. Setiap kali saya teringat padanya, hati saya rasa menyesal yang teramat sangat. Saya rasakan yang diri saya ni begitu hina,” Suara Yashmaan kedengaran sayu. Dia masih menundukkan muka. Berusaha untuk menyembunyikan rasa sebak yang mula mencengkam hati.
Giliran Imran pula yang terdiam. Hatinya turut diserang rasa sebak melihat keadaan Yashmaan. Dia sedar, hati anak muda itu akan terusik setiap kali perkara itu dibangkitkan.
“Yash, kamu dah fikir masak-masak tentang perkara ni?” soal Imran tenang. Wajah anak muda itu dipandang lagi.
Yashmaan mengangguk.
“Saya dah buat keputusan muktamad Along. Kalau saya masih di sini, saya takkan dapat lupakan dia sampai bila-bila pun,”
“Habis tu, kalau kamu ke luar negara pun, boleh ke kamu lupakannya nanti?” Pertanyaan Imran kembali mengunci bibir anak muda itu dari bersuara.
Yashmaan menundukkan wajah semula. Dibiar saja pertanyaan itu berlalu pergi tanpa sebarang sahutan. Dirasakan fikirannya begitu bercelaru pada masa ini.
Imran menghela nafasnya lagi. Merenung lembut wajah sayu itu. Dia sedar, Yashmaan tertekan dengan pertanyaannya sebentar tadi. Dia tidak bermaksud untuk melukakan hati anak muda itu namun rasa sayang yang begitu melimpah terhadap Yashmaan menyebabkan dia bertindak sedemikian. Hatinya tidak sanggup melihat adik kesayangannya itu terus terumbang-ambing dalam meredah lautan kehidupan yang maha luas tanpa sebarang pautan yang kukuh.
”Yash, semua ini bergantung pada diri kamu sendiri. Biar di mana pun kamu berada, kalau kamu tak berusaha untuk melupakannya, kamu akan tetap mengingatinya sampai bila-bila,” dengan nada lembut Imran kembali menyuara kata. Wajah lesu itu direnung lagi.
“Bukan tempat yang akan menentukan sama ada kamu dapat melupakannya atau pun tidak tapi diri kamu sendiri Yash. Semuanya bergantung pada diri kamu sendiri. Tak guna kamu pergi hingga ke hujung dunia pun tapi dalam masa yang sama fikiran kamu masih terbelenggu dengan perkara tu,” ujar Imran lagi.
Yashmaan yang sedari tadi membatu diri mendongak perlahan wajah sebelum menghembus lembut nafas panjangnya. Wajah tenang Imran dipandang sekilas.
“Saya dah nekad Along. Saya nak keluar dari Malaysia ni. Saya nak mulakan hidup baru di negara orang,” agak tegas dia bersuara. Memandang tepat ke arah Imran yang ternyata kebingungan dengan sikapnya.
Imran mengeluh panjang. Harapannya untuk memujuk anak muda itu mengubah fikirannya dirasakan berkecai perlahan-lahan sebelum hilang ditelan malam. Tiada lagi dayanya untuk menghalang kemahuan adik tunggalnya itu.
Perlahan Imran menarik nafas. Pendek. Membalas renungan Yashmaan sebelum secalit senyuman diukir di ulas bibirnya.
 “Yash, Along nak kamu fikir sedalam-dalamnya tentang perkara ni. Along nak kamu buat keputusan yang terbaik demi masa depan kamu,”
Dicapai tangan Yashmaan. Digenggamnya erat jari jemari kasar anak muda itu. Yashmaan hanya memandang perlakuan Imran.
”Along nak kamu tahu, walau apa pun keputusan yang kamu lakukan, Along akan sentiasa menyokongnya. Along takkan paksa kamu mengikut kata Along lagi. Cuma Along benar-benar berharap kamu akan tetap di berada sini bersama ayah dan Along seperti sekarang. Kita akan sama-sama merealisasikan impian ayah.”
Yashmaan menutup semula cermin pintu balkoni. Dihampiri sofa yang terletak di tengah ruang bilik. Dihempas tubuhnya di situ. Dia berkhayal sendiri.
Sudah hampir tujuh tahun dia meninggalkan tanah kelahirannya. Tanah tempat dia dibesarkan. Tanah Malaysia yang tercinta. Dibuang jauh dirinya ke negara asing. Negara yang dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kakinya ke sana.
Bandaraya Dubai menjadi pilihannya untuk memulakan kehidupan baru. Dia tertarik dengan keindahan bandaraya itu setelah melihat gambarnya di dalam sekeping poskad ketika dia menunaikan umrah tujuh tahun lalu.
Tujuh tahun! Bisik Yashmaan perlahan.
Selama tujuh tahun itu dia bekerja keras untuk meraih kejayaan dalam hidupnya. Bermula dengan kerjaya sebagai seorang pengurus di sebuah hotel di Dubai, dia menanam tekad untuk memiliki hotel sendiri. Berkat usaha gigihnya, dia berjaya menjadikan impiannya itu satu kenyataan.
Kini hotel Astana Malaysia yang dibinanya sejak tiga tahun yang lalu berjaya menjadikan dirinya setaraf dengan kedudukan anak Melayu lain yang berjaya di bandaraya metropolitan itu.
Yashmaan tersenyum panjang. Ingatannya melayang pada Imran. Dari kecil, Imran terlalu memanjakannya. Setiap kehendaknya akan ditunaikan. Walau pun adakalanya kehendaknya itu melampaui tahap kemampuannya, Imran akan berusaha untuk memenuhinya. Abangnya itu tidak pernah membenarkan kesedihan membaluti dirinya. Dan kerana sikap Imran yang sentiasa menurut kemahuannya itulah menjadikan Yashmaan membesar menjadi seorang anak muda yang degil dan keras hati.
Namun Yashmaan sedar, apa yang dilakukan oleh abangnya itu hanyalah semata-mata kerana tidak mahu dirinya terasa kehilangan kasih sayang ibu mereka yang telah meninggal dunia ketika melahirkannya dulu. Dan baginya, Imran telah berjaya melenyapkan kekurangan itu. Kekurangan kasih sayang dari seorang ibu yang tidak pernah dilihatnya sejak dia dilahirkan.
Jauh di dasar hati, dia begitu berterima kasih kepada Imran atas segala yang telah dilakukan lelaki itu padanya. Yashmaan sedar, dia takkan berjaya seperti sekarang tanpa adanya Imran di sampingnya.
Walau pun Imran berada nun jauh dari matanya namun dorongan dan semangat yang dihulurkan setiap kali mereka berbalas e-mel menyebabkan Yashmaan tidak pernah terasa berseorangan di bumi asing itu. Malah sehingga kini Imran masih bersikap begitu walau pun sudah bertahun-tahun mereka tidak bersua muka.
Yashmaan memeluk kemas tubuh tegapnya. Setiap kali dia mengingati Imran, hati lelakinya pasti dipagut rasa sayu. Imran begitu menyayanginya. Seingatnya, Imran sentiasa beralah dengannya dalam apa jua perkara. Imran sanggup megenepikan kepentingannya sendiri demi dirinya. Hinggakan pernah Imran menolak cadangan ayah mereka yang memintanya berkahwin sebaik dia menamatkan pengajiannya di Australia. Alasan Imran, dia tidak mahu Yashmaan terasa kehilangan kasih sayangnya.
Abangnya itu hanya mendirikan rumahtangga selepas Yashmaan dapat menyambung pengajian ke Amerika Syarikat beberapa tahun kemudian. Itu pun hanya kerana Yashmaan sendiri yang memintanya berbuat demikian.
“Imran.”
Tanpa sedar Yashmaan menutur lembut nama itu.
Rasanya sudah beratus kali Imran menuntut dirinya menunaikan janji mereka. Janji yang pernah di ikrarnya pada lelaki itu suatu masa dulu. Janji yang baginya begitu sukar untuk dilaksanakannya. Walau pun Imran tidak pernah memaksanya menunaikan janji itu namun Imran juga tidak pernah lupa mengutarakan perihal janji itu setiap kali mereka saling bertanya khabar. Sikap Imran yang tidak gemar memaksa menyebabkan dia diruntun rasa bersalah setiap kali mengingatinya.
Ah Along, kalaulah Along tahu rasa hati adik mu ini, bisik Yashmaan perlahan.
Seketika Yashmaan mengeluh. Dia teringat pada zaman remaja yang pernah dilaluinya. Zaman remajanya berlalu dengan pelbagai kisah yang penuh dengan kemanisan dan kepahitan. Kemanisan yang menyebabkannya leka dengan kesenangan dan kebebasan yang dimilikinya. Kesenangan yang membuatnya lupa pada batas yang tidak sepatutnya dilangkauinya. Kebebasan yang akhirnya menjerumusnya ke kancah kekesalan yang tiada penghujungnya.
Dihela nafasnya. Panjang. Membaringkan tubuh sasanya ke sofa. Diraup wajahnya beberapa kali.
Dalam diam, Yashmaan mengakui kebenaran kata-kata Imran. Walau di mana pun dia berada, kenangan lalu pasti akan menghambatnya selagi dia tidak berusaha melupakan semuanya.
Dia sedar, sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan peristiwa itu. Peristiwa yang meninggalkan palitan hitam seumur hidupnya. Peristiwa yang sehingga kini meninggalkan seribu penyesalan dalam dirinya. Peristiwa yang menyebabkannya tidak betah untuk menunaikan janjinya pada Imran. Janji untuk memijak bumi Malaysia setelah dia berjaya menempa nama di negara orang.
Dan pagi itu, seperti mana pagi-pagi sebelumnya, Yashmaan terleka sendirian dengan kenangan lalu menguasai fikirannya. 

Kisah Abu Nawas : Memenangi Acara Berburu

Pada suatu hari yang cerah, Sultan Harun Ar-Rasyid dan para pengawalnya meninggalkan istana untuk berburu. Namun ditengah-tengah perjalanan, salah seorang pegawai kerajaan yang bernama Abu Jahal menyusul dengan termengah-mengah di atas kudanya.
“Ampun tuanku, patik ingin mencadangkan sesuatu,” kata Abu Jahal sebaik saja mendekati baginda sultan.
“Apa cadanganmu itu wahai Abu Jahal?” tanya baginda sultan.
“Agar acara memburu ini menarik dan disaksikan olh ramai rakyat jelata, mengapa tidak kita sebarkan acara berburu ini kepada semua?” ujar Abu Jahal dengan raut wajah serius.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terdiam sejenak sebelum mengangguk-gangguk.
“Hamba ingin beradu ketangkasan dengan Abu Nawas. Pemenangnya nanti akan mendapat sepundi wang emas tapi jika kalah, hukumannya adalah memandikan kuda-kuda istana selama sebulan,” tutur Abu Jahal lagi.
Akhirnya baginda sultan bersetuju dan memanggil Abu Nawas untuk mengadap.
Pada awalnya, Abu Nawas menolak cadangan tersebut kerana dia tahu bahawa semua cadangan itu adalah cadangan Abu Jahal yang sangat ingin menyingkirkannya dari istana. Tetapi baginda sultan memaksa dan akhirnya Abu Nawas tidak dapat menolak.
Lalu Abu Nawas pun berfikir cara untuk mengalahkan Abu Jahal. Dia yakin Abu Jahal pasti akan meminta orang suruhannya untuk membantunya mendapatkan binatang buruan di hutan nanti. namun kerana kecerdikannya, Abu Nawas pun tersenyum senang kerana telah mendapat akal.
Maka pada hari pertandingan, baginda Sultan Harun Ar-Rasyid pun membawa kedua-duanya ke tengah-tengah halaman istana. Bersama-sama rakyat jelata, mereka menanti diapa yang bakal menjadi pemenang dalam acara lumba memburu ini.
Sebaik saja trompet ditiup menandakan acara sudah bermula, Abu Jahal segera memacu kudanya secepat kilat menuju ke hutan belantara.
Anehnya, Abu Nawas bersikap sebaliknya. Dengan tenang dan santai, dia menaiki kudanya lalu menunggang perlahan-lahan menuju ke hutan hingga para penonton yang melihat berteriak meminta dia mempercepatkan pergerakannya.
Menjelang petang hari, nampaklah kuda Abu Jahal memasuki pintu gerbang istana. Dia mendapat sambutan meriah dan tepuk tangan dari rakyat yang menyaksikannya. Di sisi kanan dan kiri kuda Abu Jahal tampak puluhan haiwan yang mati terpanah. Abu Jahal dengan senyum bangga memperlihatkan semua binatang buruannya di tengah-tengah halaman.
“Aku, Abu Jahal berhak memenangi pertandingan ini. Lihat, binatang buruanku banyak. Mana mungkin Abu Nawas dapat mengalahkan aku?” teriaknya lantang membuatkan para penonton semakin ramai bertepuk tangan.
Tak lama kemudian, terdengar suara kaki kuda Abu Nawas. Semua orang mentertawakannya kerana Abu Nawas tidak membawa satu pun binatang buruan di kudanya. Tapi Abu Nawas tidak nampak gusar sama sekali. Bahkan dia tersenyum dan melambaikan tangan.
Baginda Sultan segera menyuruh 2 orang pengawalnya ke tengah halaman istana dan menghitung jumlah binatang buruan yang didapati oleh kedua-dua peserta tersebut.
Lalu para pengawal menghitung jumlah binatang hasil buruan Abu Jahal.
“Tiga puluh lima ekor arnab, lima ekor rusa dan dua ekor babi hutan,” kata salah seorang pengawal.
“Kalau begitu akulah pemenangnya kerana Abu Nawas tidak membawa seekor binatang pun,” teriak Abu Jahal dengan sombongnya.
“Bertenanglah Abu Jahal. Aku membawa ribuan binatang. Jelaslah aku pemenangnya dan engkau wahai Abu Jahal, sila mandikan kuda-kuda istana selepas ini. Menurut peraturan acara ini, semua binatang boleh ditangkap tanpa mengira saiz atau bentuknya. Yang penting jumlahnya banyak,” kata Abu Nawas sambil membuka buluh kuning yang telah diisi dengan ribuan semut merah. Lalu dihulur pada para pengawal.
“Jumlahnya sangat banyak tuanku, mungkin ribuan, mungkin juga jutaan. Kami tak sanggup menghitungnya lagi,” kata pengawal-pengawal yang menghitung jumlah semut itu.
Mendengar kenyataan itu, Abu Jahal tiba-tiba jatuh pengsan.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid ketawa terbahak-bahak dan terus memberi hadiah kepada Abu Nawas. Ternyata kecerdikan dan ketulusan hati pasti boleh mengalahkan kelicikan. 

Pemberian dari Khalifah

Seorang lelaki telah kehilangan seluruh kekayaannya dan membiasakan dirinya untuk hidup sederhana. Nasib terus menghukumnya. Tiba suatu hari ketika tiada lagi makanan yang boleh dimakan dan tiada lagi barang yang boleh dijualnya untuk membeli makanan. Lelaki itu pun berputus asa lalu memanggil isterinya.
“Wahai isteriku, pergilah kamu meminjam wang dari jiran kita. Belikan seekor ayam yang gemuk dan masaklah ia hingga menjadi lazat dan berbau sedap,”
“Mana mungkin kita boleh berfikir untuk makan makanan sebegitu sedap sedangkan kita tidak punya apa-apa pun sekarang?” kata isterinya.
“Itu bukan untuk kita meskipun kita sedang kelaparan. Itu adalah hadiah untuk khalifah,” jawab suaminya.
Lalu isterinya pun mengikut katanya. Dia keluar meminjam wang dari jiran mereka dan membelikan seekor ayam yang gemuk. Selesai isterinya memasak sebagaimana yang diminta suaminya, lelaki itu pun bergegas menuju ke istana.
“Bukalah jalan untuk makan malam khalifah,” kata lelaki itu pada para pengawal yang menghalanginya dan dia persilakan masuk mengadap khalifah yang pada waktu itu sedang duduk berbincang dengan para menterinya.
“Sejahtera untuk pemimpin kaum beriman,” kata lelaki itu.
“Inilah makan malam untukmu dan para penasihatmu,”
Dia menghamparkan kainnya di atas lantai sebagai alas, meletakkan hidangannya dan mula membahagi ayam tersebut kepada beberapa bahagian. Kepala ayam diberikannya kepada khalifah dengan penuh rasa rendah diri, bahagian-bahagian lain diberikannya kepada kedua menteri sementara dia sendiri mengambil sisa-sisanya.
“Makanlah dan semoga kesihatan mu berganda baiknya wahai pemimpin kaum beriman,” katanya.
“Apa yang sedang kamu lakukan ini wahai anakku?” tanya khalifah.
“Wahai pemimpin orang beriman, semoga Allah memberimu usia yang panjang,” kata lelaki itu.
“Engkau adalah pemimpin semua manusia di negeri ini. menteri ini berdiri di sebelah kananmu dan menteri ini berdiri di sebelah kirimu. Kami, rakyatmu yang lain tidak penting. Bukankah tepat caraku membahagikan ayam itu sesuai dengan kedudukan kamu?”
Khalifah ketawa dan memberi lelaki itu sebuah kantung berisi lima ratus keeping emas.
Lalu lelaki itu ke pasar dan membeli semua barangan yang sudah kehabisan di rumahnya. dapatlah dia dan isterinya hidup kaya. sementara para tetangga berbisik-bisik, hairan dengan keadaan hidup suami isteri itu. lalu salah seorang isteri tetangganya pun pergi bertanya kepada isteri lelaki itu dan dia pun menceritakan bagaimana hidup mereka boleh berubah kaya.
Maka bergegaslah perempuan itu pulang menemui suaminya. katanya,
“Tetangga kita yang miskin telah menghadiahkan masakan ayam kepada khalifah dan diberinya sekantung wang emas. Mengapa kita tidak melakukan perkara yang sama?”
Suaminya bersetuju.
Dia pergi ke pasar dan membeli tujuh ekor ayam betina dan menyuruh isterinya memasaknya bersama nasi dan kuah. Dia meletakkannya di atas bekas tembaga dan membayar dua kuli untuk membawanya ke hadapan khalifah.
“Apa ni?” tanya khalifah.
“Hidangan untuk pemimpin kaum beriman,” kata lelaki itu. dia memberikan tiga ekor ayam betina di depan khalifah dan masing-masing dua ekor kepada kedua menterinya.
“Apakah kamu ingin mengatakan bahawa aku telah menjadi lebih rakus berbanding rakyatku?” tanya khalifah. Lelaki itu tergagap-gagap dan tidak tahu harus menjawab. Lalu dia dihadiahkan lima ratus pukulan rotan sebelum dibenarkan pulang.
Keesokan harinya isteri khalifah Ratu Zubeidah pergi ke tempat mandi. Dia mendengar seorang perempuan berkata,
“Semoga Allah membuat khalifah kita sakit dan buta!”
“Mengapa kamu mengutuk raja kita di zaman ini?” tanya Ratu Zubeidah.
“Nilailah sendiri apakah aku benar atau tidak,” kata perempuan itu.
“Seorang lelaki telah membawa seekor ayam kecil kepada khalifah dan menerima lima ratus keeping wang emas. Suamiku memberinya sepiring besar ayam tujuh ekor ayam betina yang dimasak dengan nasi dan kuah tapi dia dipukul sampai berdarah-darah. Khalifah tidak adil dan sebab itulah aku mengutuknya,”
Pulang dari tempat mandi Ratu Zubeidah pun menemui suaminya.
“Wahai penguasa zaman ini, mengapa engkau memberi hadiah kepada seorang yang membawa ayam kecil tetapi memukul orang yang memberi orang yang memberi tujuh ekor ayam? Isteri lelaki yang dipukul itu mengeluh dan mempertikaikan penilaianmu,”
Suaminya menyahut, “Mari kita panggil kedua lelaki itu agar kamu dapat menilai sendiri wahai ibu kaum beriman, apa yang telah aku lakukan itu benar atau kemarahanmu yang benar,”
Lelaki pertama, yang sebelumnya miskin dan kelaparan dipanggil ke istana. Dia menemui khalifah dan Ratu Zubeidah dan pegawai kesayangannya, Jaafar.
“Dapatkah kamu membahagi telur-telur ini secara adil diantara kami?” tanya ratu Zubeidah sambil menunjukkan lima butir telur di tangannya.
Lelaki itu berfikir sebentar lalu dia memberi tiga telur kepada ratu Zubeidah dan sebutir telur kepada khalifah dan Jaafar.
“Mengapa demikian?” tanya khalifah.
“Aku mencari keadilan dan pembahagian semacam itulah yang adil,” kata lelaki itu.
“Engkau dan Jaafar masing-masing telah dikurnaikan alam dua telur. Ditambah dengan satu yang kuberikan pada kamu, jadi tiga jumlahnya. Agar adil, aku berikan tiga butir telur kpada ratu Zubeidah yang tidak punya sebutir telur pun sehingga kamu bertiga mempunyai jumlah telur yang sama,”
Khalifah berasa senang dengan pembahagian itu dan memberi hadiah kepadanya seperti sebelumnya.
Lelaki yang kedua, yang tidak bijak telah memberikan khalifah tiga telur dan satu masing-masing kepada ratu Zubeidah dan Jaafar. Dia juga diberikan ganjaran seperti sebelumnya dan pulang sambil merintih-rintih menemui isterinya.
Lalu berkatalah khalifah kepada isterinya,
“Dapatkah kamu melihat wahai ibu kaum orang beriman, bahawa kecerdikan lelaki itu yang membuatku memberikannya hadiah dan bukannya masakan ayamnya? Orang yang pandai itu sedikit benar jumlahnya sedangkan pengampu banyak sekali dan orang sebegitu tidak perlu diberi rasa kasihan,” 
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012