Monday, June 03, 2013

KEJORAKU BERSATU : BAB 9


BAB 9
“Kau rasa, kat mana tempat yang paling sesuai kita untuk kita pergi memancing nanti?” soal Datuk Nasir sambil mengalih pandangan ke wajah Tengku Adnan.
Kedua lelaki itu baru saja selesai bermain golf petang itu.
“Aku fikir, lebih baik kita pergi ke Tasik Kenyir. Dengar khabar, banyak ikan kat tempat tu. Lagi pun, aku tak pernah lagi sampai ke sana,” cadang Tengku Adnan.
Datuk Nasir berfikir seketika sebelum mengangguk perlahan.
“Jadi, bilalah agaknya kita nak pergi tu?”
“Sebaik saja projek kita di Bukit Merah tu selesai,”
“Nak ajak siapa lagi pergi ni?” Datuk Nasir mengelap peluh yang merenik di dahi dengan tuala kecil yang tersangkut di bahunya. Cuaca yang agak terik petang itu menimbulkan rasa bahang di tubuhnya. 
“Aku rasa kita pergi berdua ajelah. Kalau nak bawa orang rumah sekali, kau faham-faham ajelah dia orang tu. Bukannya dia orang suka sangat kita buat aktiviti ni,” balas Tengku Adnan yang turut mengesat peluh dengan tuala yang dibawanya bersama.  
“Biasalah orang perempuan. Mana dia orang nak minat aktiviti memancing ni. Bosan katanya. Lagi pun kalau bawa dia orang sekali susah juga kita dibuatnya nanti. Mana taknya, kita sibuk nak memancing, dia orang pula sibuk nak bershopping. Tapi elok jugak kita lakukan aktiviti ni. Boleh aku ambil cuti sehari dua. Bosan juga aku kalau hari-hari mengadap  kerja-kerja kat pejabat tu,” tambah Datuk Nasir lagi.
“Betul kata kau Sir. Kalau nak ikutkan kerja yang bertimbun kat pejabat tu, sampai bila pun takkan habis. Usia macam kita ni patutnya duduk rumah saja, bagi peluang pada anak-anak untuk memajukan syarikat kita tu,” ujar Tengku Adnan.
“Entahlah Nan, aku pun adakalanya rasa macam nak berhenti saja dari bekerja sekarang. Tapi, tak sampai hati pula rasanya nak tinggalkan semuanya pada Shah. Kesian dia nak urus syarikat aku tu seorang diri.”
Kata-kata Datuk Nasir membuatkan Tengku Adnan terdiam. Ligat fikirannya memikirkan sesuatu. “Nasir, aku rasa ada cara lain yang boleh membantu kau untuk mendapatkan seseorang untuk membantu kau dan Shahrul di pejabat. Itu pun kalau kau bersetuju,” suara Tengku Adnan tiba-tiba.
“Apa dia?” pantas Datuk Nasir bersuara kata.
“Apa kata kalau kau kahwinkan saja anak perempuan kau tu. Bila kau dah dapat menantu lelaki nanti bolehlah kau minta tolong dia bantu kau kat pejabat tu,”
Mendengar saranan itu air muka Datuk Nasir kembali menjadi keruh.
“Kalaulah aku boleh buat begitu, dah lama aku buat Nan. Masalahnya, anak aku tu. Nak ke dia kahwin sekarang. Lagi pun, ada ke lelaki yang nakkan dia. Kalau sikapnya macam budak perempuan lain mungkinlah ada harapan aku nak dapat menantu dalam masa terdekat ni. Kalau tak, entahlah,” keluhnya.
“Tak baik kau cakap macam tu Sir, macam kau menyumpah anak perempuan kau tu dari berkahwin dengan lelaki pula. Walau pun aku tak pernah melihat anak perempuan kau itu tapi aku rasa Nina tu tak seteruk yang kau fikirkan.
Lagi pun kau tak boleh salahkan dia seorang. Mungkin kerana dia membesar dalam keluarga yang mempunyai adik beradik lelaki menyebabkan dia berkelakuan begitu. Atau mungkin juga kerana dia dibesarkan di asrama dan bergaul dengan lebih ramai lelaki menyebabkan dia rasa janggal untuk bersikap seperti perempuan,” ujar Tengku Adnan menyuarakan pendapat.
“Anak kau Adilla tu pun seorang saja, boleh pula dia berkelakuan macam perempuan lain,” sanggah Datuk Nasir.
“Adilla tu lain, dia besar di depan mata aku dan Lina. Mana pernah dia masuk sekolah asrama. Sekolahnya tu pun semuanya budak-budak perempuan, mana ada lelaki. Lainlah si Nina tu, kau hantar dia ke sekolah asrama yang bercampur lelaki dan perempuan,” tukas Tengku Adnan. Datuk Nasir mengeluh panjang.
“Entahlah Nan, kadangkala aku rasakan yang aku ni tak jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang ayah dengan cukup baik hinggakan Nina bersikap begitu,”
“Jangan kau salahkan diri kau pula. Dalam hal ni, tak ada siapa yang salah. Cuma keadaan dan masa yang menyebabkan Nina jadi begitu. Apa pun kau patut bersyukur, seburuk-buruk mana pun Nina, dia tak pernah buat perkara-perkara tak senonoh. Cuma penampilan dia saja yang tidak menyenangkan mata. Itu pun rasanya, bukan seratus peratus dia bersikap seperti lelaki,”
Datuk Nasir tidak menjawab. Fikirannya penuh dengan kata-kata Tengku Adnan.
“Lagi pun biasalah semua ni berlaku dalam hidup kita. Sebagai orang tua, memang tugas kita untuk mencorakkan sikap dan masa depan anak-anak. Tapi kau juga kena fikir, adakalanya yang berlaku tu bukan atas kesilapan kita tapi kerana faktor-faktor lain.
Semasa kecil, kita telah cuba untuk memberikan didikan terbaik pada mereka. Tapi bila besar, semuanya bergantung pada diri mereka sendiri sama ada nak mengekalkan apa yang telah kita beri atau mengubah semuanya.
Jika tidak, takkan berlakulah kejadian seperti anak imam menghisap dadah, remaja menjual ganja dan sebagainya. Bukan salah ibubapa tak beri didikan yang baik tapi itulah, seperti yang aku katakan tadi, semuanya bergantung pada diri masing-masing. Kalau iman yang ada dalam diri mereka tu kuat, mustahil mereka akan rosak sebegitu,” panjang lebar Tengku Adnan bersuara.
Datuk Nasir menghela nafas panjang.
“Aku tak nafikan apa yang kau cakapkan tu Nan tapi bagi aku dalam hal Nina ni, aku salahkan diri aku sendiri. Dari dia kecil lagi aku terlalu manjakan dia melebihi Shahrul dan Syafiq. Apa saja yang dia nak, aku beri saja tanpa fikirkan akibatnya.
Sampaikan bila besar, dia nak jadi mekanik pun aku izinkan. Walau pun aku sebenarnya tak suka dia buat kerja begitu tapi aku tak sampai hati nak tolak permintaannya. Bila dah jadi begini, aku sendiri pun dah tak tahu nak buat apa lagi,” ujarnya lemah.
“Kalau difikirkan semula kata-kata kau tu, memang betullah apa yang kau lakukan terhadap Nina tu salah. Kerana terlalu sayangkan anak, kau ikut saja kemahuannya. Tapi bagi aku, Nina sendiri pun turut bersalah. Sebagai anak, dia perlu fikirkan juga perasaan orang tua. Bukannya fikirkan kehendak sendiri saja,”
“Mungkin dia terbiasa dengan sikap aku yang tak pernah membantah kemahuannya membuatkan dia dah tak fikir semua tu lagi,”
Tengku Adnan melepas nafas pendek. Wajah muram Datuk Nasir di  tatap lama.  
“Dahlah tu Sir, jangan difikirkan sangat tentang hal ni. Apa pun sebagai orang tua, kita doa saja semoga apa yang kita harapkan pada anak-anak akan menjadi suatu kenyataan nanti. Mungkin bukan sekarang masanya untuk mereka berubah tapi di masa depan, kita tak tahu,” sambung Tengku Adnan menepuk lembut bahu si sahabat beberapa kali.
Datuk Nasir mengangguk kepalanya. Sedikit sebanyak kata-kata itu dapat menenangkan hatinya yang diamuk resah setiap kali mengingati Nina. 

CINTA SEJATI : BAB 9



BAB 9

Zarif yang sedang melangkah pantas tiba-tiba terhenti langkahnya apabila ada suara memanggil namanya. Segera Zarif menoleh. Kelihatan Intan melangkah laju menghampirinya.
“Ada apa doktor?” soal Zarif, sebaik saja gadis itu berdiri bersebelahannya.
“Saya nak cakap sesuatu dengan doktor,” ujar Intan perlahan.
Wajahnya ditundukkan sedikit bila bola mata mereka berlaga. Zarif mengukir senyuman.
“Cakaplah,” ujarnya sambil mengatur langkah kembali.
Intan turut mengikut rentaknya menjadikan langkah mereka seiringan.
“Sebenarnya, saya nak ucapkan terima kasih pada doktor kerana telah menyelamatkan nyawa saya tempoh hari. Kalau tak kerana doktor, tak tahulah apa yang akan terjadi kat saya.”
Sesekali mata Intan mengerling ke arah Zarif yang kelihatan tenang melangkah di sebelahnya.
“Dah lama saya nak berterima kasih pada doktor tapi susah benar rasanya nak bertemu dengan doktor. Maklumlah, doktorkan sibuk,” ujarnya lagi.
Walau pun Intan dan Zarif berada di bawah satu jabatan namun kesibukan Zarif sebagai ketua jabatan menjadikan mereka jarang dapat bersua muka.
Zarif menguntum senyuman.
“Tak perlulah doktor nak ucapkan terima kasih pada saya. Dah menjadi tanggungjawab sesama kita, saling tolong menolong.”
Zarif memandang sekilas gadis bertubuh genit itu. Dia tersenyum lagi. Intan turut mengorak senyum. Tangan kanannya menolak perlahan rambut yang menutupi dahinya.
“Itu pandangan doktor, tapi bagi saya pertolongan doktor itu amat bermakna.” balasnya perlahan.
Ada getaran di hujung nada suaranya. Entah mengapa hatinya berdebar kencang tatkala menuturkan kata-kata itu.
Zarif yang mendengar sekadar tersenyum kecil. Sedar, gadis manis yang beriringan dengannya itu sedang bermain dengan perasaannya sendiri. Sebagai lelaki dia dapat merasainya. Namun Zarif hanya bersikap selamba. 
“Hari ni doktor free tak?”
Pertanyaan gadis itu menghentikan langkah Zarif. Dia memusing tubuhnya mengadap Intan yang turut terhenti langkahnya.
“Kenapa?”
Dahinya sedikit berkerut. Hairan dengan pertanyaan tiba-tiba doktor muda itu.
“Saya nak belanja doktor makan untuk tengah hari ni.”
Intan tersenyum lagi. Wajahnya kembali ditundukkan apabila bola matanya berlaga dengan bola mata lelaki itu. Menjadi tabiatnya berbuat demikian setiap kali dia bertentangan mata dengan lelaki berwajah tampan itu. Hati wanitanya kembali berdebar.
“Nak belanja saya makan? Untuk apa?”
Tanpa mempedulikan reaksi gadis itu terhadap pandangannya, Zarif menyoal tenang.
“Sebagai tanda terima kasih saya atas pertolongan doktor tu,” ujar Intan kembali mengangkat muka. Wajah tampan itu direnung seketika.
Zarif menarik nafasnya perlahan. Senyuman manisnya semakin mekar di ulas bibirnya.
“Minta maaflah doktor, saya agak sibuk hari ni. Lagipun, rasanya tak perlulah doktor lakukan semua tu. Pertolongan saya tu tak sebesar mana pun.”
Zarif kembali mengatur langkah. Meninggalkan Intan yang termangu-mangu mendengar jawapannya.
“Doktor Zarif.”
Zarif kembali berpaling. Memandang Intan yang masih berdiri di situ.
“Kalau lain kali, boleh tak doktor?” soal Intan.  Penuh harap.
Zarif terdiam seketika. Dia mengeluh perlahan sebelum bersuara,
”Nantilah, saya fikirkan,” ujarnya lembut, sekadar menyedapkan hati si gadis.
Zarif tersenyum sekilas pada doktor muda itu sebelum kembali mengatur langkah. Meninggalkan Intan yang tersenyum lebar mendengar jawapannya.
Intan tersenyum girang. Usahanya untuk mendekati doktor yang dalam diam telah menambat hati wanitanya itu dirasakan semakin berjaya. Dalam hati, dia berazam akan cuba mencuri hati lelaki itu.

Encik Idris menyandarkan tubuh ke dinding rumah. Kedua-dua kakinya dilunjur ke depan. Tangannya mencapai rokok daun yang berada di sisinya. Diselit ke celah bibirnya yang kehitam-hitaman. Kesan dari tabiat buruknya yang suka menghisap rokok. Dinyalakan api pada rokok sebelum disedutnya perlahan.
Bunyi cengkerik dan unggas hutan kedengaran bersahut-sahutan memecah keheningan malam. Sekali sekala kedengaran bunyi kenderaan bermotor dari jalan kampung yang terletak tidak jauh dari kawasan rumah papan itu.
Dari beranda rumah, Encik Idris menghalakan pandangan ke halaman rumah yang kelihatan gelap. Sesekali dia menampar bahagian-bahagian tubuhnya yang digigit nyamuk. Angin malam yang bertiup perlahan tidak mampu menghalang serangga itu dari berterbangan mencari mangsanya.
Bunyi lantai papan dipijak mengalih pandangan Encik Idris. Ditoleh kepalanya ke belakang.
Puan Salmah mengatur langkah perlahan. Dibawa bersamanya sedulang air minuman. Diletak perlahan ke lantai beranda sebelum melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Minum bang,” pelawa Puan Salmah.
Puan Salmah mengangkat cawan yang berisi kopi panas. Dihulur pada suaminya. Encik Idris mengubah cara duduk. Bersila mengadap isterinya. Rokok di tangan diletakkan di piring cawan setelah dimatikan apinya.
“Mana Laila, dari tadi abang tak nampak dia pun.” Encik Idris bersuara sebelum mengangkat cawan ke pinggir mulut. Dihirupnya sedikit demi sedikit.
“Ada bang, dalam biliknya,” jawab Puan Salmah.
Kaki yang terasa lenguh dilunjur ke depan. Tangannya mencapai minyak urut yang turut dibawanya tadi. Disapu sedikit pada kedua belah kakinya sebelum mula mengurut perlahan. Kesibukannya membantu si suami mengerjakan kebun saban hari menyebabkan kedua kakinya terasa kejang. 
“Dah besar pun anak kita tu bang. Dah 19 tahun pun,” lembut Puan Salmah menutur kata.
Matanya memandang sekilas wajah Encik Idris. Mencari kata yang sesuai untuk menerus kata. Dia tunduk semula sambil tangannya lincah mengurut kedua-dua kakinya.  
“Kalaulah dia ada adik beradik lain, tentu rumah kita ni riuh rendah sekarang.” satu keluhan kecil terlepas keluar dari bibirnya.
Encik Idris menoleh sekilas. Tersenyum kecil ke arah isterinya.
“Kenapa Mah cakap macam tu?” soal Encik Idris lembut.
Puan Salmah mengeluh lagi. Turut membalas pandangan suaminya.
“Saya bukannya apa bang. Kesian tengok anak kita tu. Dah hampir dengan peperiksaan pun dia masih sibuk nak menolong kita di kebun. Sekurang-kurangnya kalau kita ada ramai anak, kuranglah sikit beban si Laila tu.” Puan Salmah menyuara rasa hatinya.
“Esok-esok bila dia dapat masuk universiti, dah tak ada siapa lagi yang akan temankan kita. Makin sunyilah rumah kita ni bang,” luah Puan Salmah lagi.
Encik Idris menarik nafas panjang. Dia faham dengan perasaan yang dirasai isterinya itu. Jauh di sudut hati dia turut merasainya namun naluri kelelakiannya tidak membenarkan dirinya dari mempamerkan perasaan itu secara lahiriah.
“Tak baik Mah cakap macam tu. Semua ni dah takdir Allah. Dah Dia nak bagi kita seorang anak saja, nak buat macam mana lagi. Daripada langsung tak ada, lebih baiklah ada juga walau pun hanya seorang.” lembut Encik Idris membalas. Wajah muram si isteri direnung lama.
“Mah tak salahkan takdir bang. Cuma Mah rasa terkilan,” tingkah Puan Salmah lembut.
Encik Idris tersenyum lagi. Tangannya mencapai gulungan rotan yang bertimbun di sudut beranda. Ditarik segulung rotan merapati tubuhnya. Dicapai pula pisau kecil yang terselit di celah timbunan rotan tadi. Dia mula meraut rotan yang panjang itu.
Walau pun hasil pekerjaannya di kebun dapat menampung keperluan hidup mereka anak beranak, namun telah menjadi kebiasaan Encik Idris meraut rotan di waktu lapang. Selain untuk kegunaan di rumah pekerjaannya itu dapat juga memberikan pendapatan sampingan untuk mereka sekeluarga.
Sememangnya sikap ringan tulang yang mengalir di tubuhnya membuatkan Encik Idris tidak betah untuk membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa sebarang faedah.
“Mah, seharusnya kita bersyukur, walaupun anak kita cuma seorang, kita dapat memberikan didikan agama yang sempurna padanya. Kita dapat membentuknya menjadi seorang anak yang baik dan berguna pada bangsa dan agama,” ujar Encik Idris tenang.
Sesekali matanya melirik ke arah Puan Salmah yang masih setia mengurut kedua-dua belah kakinya.
“Itu saya faham bang, tapi bukankah nabi Muhammad SAW pun menyuruh manusia meramaikan umatnya,” tingkah Puan Salmah membalas kata.
“Apa yang Mah cakap tu memang betul tapi Mah kena fikir, kalau ada anak ramai pun bila besar nanti jadi sampah masyarakat pun tak ada gunanya juga. Kita sendiri pun akan turut berdosa kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa dengan baik,” nasihat Encik Idris.
Puan Salmah mendengus perlahan. Sedikit kasar.
“Abang ni, cakap macam seolah-olah kita ni mencari dosa kalau beranak ramai,” balas Puan Salmah sedikit marah.  Geram mendengar kata-kata Encik Idris.
Encik Idris menyimpul senyum. Matanya masih menjalari wajah isterinya itu.
“Abang tak bermaksud begitu. Cuma abang nak Mah tahu, baik anak kita seorang ataupun ramai, semua itu adalah ketentuan Allah. Sebagai manusia, kita hanya dapat menerima ketentuan itu dengan hati yang redha. Tak kiralah anak kita ramai atau seorang, menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk mendidik anak-anak agar mereka berjaya dalam hidup di dunia dan di akhirat.”
Puan Salmah membisu seketika. Telinganya menangkap satu persatu kata-kata suaminya.
“Lagipun Mah, bilangan anak bukannya boleh menjadi ukuran untuk menentukan kebahagiaan hidup kita. Kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu datang dari pasangan itu sendiri. Apa gunanya kalau beranak ramai tapi kebahagiaan itu tak pernah kita rasai,” ujar Encik Idris lagi.
Jari jemarinya masih ligat meraut rotan yang berada di tangan.
“Abang tak nafikan, anak yang ramai akan menambahkan lagi kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu. Tapi itu tak bermakna rumah tangga yang kurang bilangan anaknya hidup dalam keadaan tidak bahagia. Contohnya kehidupan kita sekeluarga. Pernahkah Mah rasa kita anak-beranak hidup dalam keadaan yang tidak bahagia? Tak pernahkan. Walau pun kita hanya tiga beranak, hidup kita tetap gembira, tetap sempurna walau pun tak sepenuhnya. Jika setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dengan baik, insya Allah, kebahagiaan itu akan tetap dirasai dalam rumah tangga itu,” sambung Encik Idris.
Matanya masih melirik pada si isteri yang terdiam mendengar kata-katanya.
Puan Salmah masih membatu diri. Tidak disahut kata-kata suaminya itu. Ditutup botol minyak urutnya sebelum diletak semula ke dalam dulang. Tangannya masih mengurut kedua-dua kakinya yang telah hilang rasa lenguh. Perlahan dia melepaskan keluhan panjang.
Encik Idris turut membisu. Matanya memandang sekilas wajah si isteri yang kelihatan sayu. Encik Idris menghela nafas pendek.
“Sudahlah tu Mah. Tak payah difikirkan lagi tentang perkara ni. Masih banyak lagi perkara yang perlu kita fikirkan.”
Encik Idris meletak semula pisau dan rotan yang berada di tangnnya ke lantai beranda. Dia mencapai cawan kopinya. Dihirup air kopi yang masih bersisa sebelum diletaknya semula. Perlahan dia bangun dari duduk. Kakinya yang terasa sedikit kejang diusapnya seketika sebelum perlahan-lahan tubuh tua itu kembali ditegak.
Encik Idris mengangkat gulungan rotan yang ada di tepi kakinya. Dibawanya ke hujung beranda sebelum melonggoknya di situ. Pisau yang dibawanya bersama diselit di celah dinding rumah. Dia kembali mendapatkan Puan Salmah yang mengangkat cawan ke dalam dulang semula.
“Hari pun dah makin lewat Mah. Marilah kita masuk tidur. Esok pagi kita kena ke kebun awal sikit. Sim Huat nak datang ambil pisang-pisang kita yang dah masak kat kebun tu,” ujar Encik Idris.  
Puan Salmah hanya mengangguk kecil. Diangkat dulang yang berisi cawan kotor sebelum dia sendiri turut bangun. Tak lama, dia beriringan dengan Encik Idris melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu rumah papan itu ditutup rapat sebelum dikunci kemas dari dalam.  

Thursday, May 30, 2013

Kepentingan nama dalam Islam

Nama seseorang manusia adalah tanda dan alamat untuk dirinya. Tanpa nama, seseorang insan sukar dikenali dan dipanggil. Kerana itu, apabila lahir seorang bayi, wajib bagi penjaganya memberikan satu nama kepadanya. Imam Ibn Hazm menukilkan kesepakatan ulama tentang wajib memberi nama kepada anak lelaki dan perempuan.
Dalam memberikan nama anak, jangan kita memandang remeh. Kerana, nama yang kita berikan kepada sikecil inilah yang akan menjadi label untuk dirinya sampai bila-bila. Nama inilah yang akan tercatat dalam sijil kelahirannya, kad pengenalannya, lesen memandunya, sijil-sijil akademiknya, sehingga ke sijil kematiannya.
Jika nama yang diberikan memberi maksud yang tidak baik, dia akan dikenali dengan nama itu sehingga akhir hayatnya. Bukan itu sahaja, orang yang memberikan nama juga akan menerima malu. Sebagaimana pepatah (Arab) menyebut, ‘Melalui namamu, sudah kukenal siapa ayah kamu’.
Oleh itu, sebelum memberikan suatu nama bagi anak yang lahir, wajar diperingatkan dengan beberapa perkara. Secara ringkasnya seperti berikut:
1) Nama memberi kesan kepada kehidupan seseorang. Pepatah (Arab) menyebut: ‘Bagi setiap yang empunya nama, pasti ada bahagian daripada namanya’. Hakikat ini diperakui oleh Ibnul Qayyim. Katanya: “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka munasabah dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.
2) Waktu memilih nama. Dalam sunnah Nabi SAW, terdapat kelonggaran pada waktu memberi nama. Samada pada hari pertama, atau dalam masa tiga hari pertama, atau pada hari ketujuh. Pilihlah mana-mana yang digemari.
3) Siapakah yang berhak memberi nama? Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan satu nama, maka ia suatu yang baik. Tapi, kadangkala mereka berselisih. Dalam situasi ini, yang berhak ialah bapanya. Tapi, jika kuasa veto bapa boleh menjejaskan keharmonian keluarga, eloklah dicari nama yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ataupun meminta orang lain yang memberikan nama yang elok, sebagaimana sesetengah sahabat meminta Nabi SAW meletakkan nama anak-anak mereka.
4) Nama anak mesti dibinkan kepada bapanya, bukan ibunya.Demikianlah arahan Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud, “Serulah mereka dengan nama bapa-bapa mereka”.
5) Pilihan nama yang baik. Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah (Arab) menyebut, ‘Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik’.
6) Contoh nama-nama yang digemari syarak ialah;
- Abdullah dan Abdul Rahman
- Nama yang dimulakan dengan ‘Abd’, seperti: Abdul Malik, dan Abdul Aziz.
- Nama para Nabi seperti: Muhammad, Ibrahim, dan Musa.
- Nama orang-orang soleh, seperti nama-nama sahabat.
7) Mengelak daripada memberi nama-nama yang haram. Seperti:
- Nama ‘Abd’ yang dihubungkan dengan selain Allah, kerana Abd bermaksud ‘hamba’. Maka haram memberi nama: Abdul Syams, Abdul Qamar, Abdul Nabi, Abdul Husain, dan seumpamanya.
- Nama yang khas untuk Allah sahaja, seperti: Al-Rahman, Al-Khaliq.
- Nama-nama berhala, seperti: Al-Laat, Al-Uzza, Isaaf dan Naelah.
- Nama yang menunjukkan sifat yang tidak layak bagi diri seseorang, seperti: Malikul Amlak (Raja segala raja), dan Sayyid al-Naas (Penghulu segala manusia).
- Nama-nama Syaitan, seperti: Al-Walhan, Al-A’war, dan Al-Ajda’.
8) Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh. Antaranya:
- Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).
- Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin فاتن (Penggoda).
- Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri).
- Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.
- Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).
- Nama-nama yang digabungkan dengan perkataan ‘Al-Din’ (Agama) dan ‘Al-Islam’, seperti: Dhiyauddin, Saiful Islam, Nurul Islam, dan seumpamanya. Tujuannya untuk memelihara kedua-dua nama ini (Al-Din dan Islam) daripada menjadi nama individu yang tidak layak.
- Nama-nama yang digabungkan daripada dua nama. Kerana para salaf dahulu tidak memberi nama melainkan satu perkataan sahaja. Pada zaman-zaman terkemudian, timbul nama-nama gabungan, seperti: Muhammad Ali, Ahmad Yunus dan lain-lain.
9) Menukar kepada nama yang baik. Jika ditakdirkan seseorang diberikan nama yang tidak menepati kehendak syarak, contohnya nama yang diharamkan, maka penyelesaiannya ialah dengan menukar nama. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah SAW menukar nama yang buruk kepada nama yang baik. Direkod oleh Tirmizi.
Kesimpulan, pilihlah nama yang cantik dan bertepatan dengan syarak. Jangan hanya melihat kepada sebutan yang menarik dan glamour.

Penyusuan susu ibu menurut pandangan Islam

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah AlBaqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233).

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)

Maka jelaslah agama Islam amat menggalakkan penyusuan susu ibu :

(1) Adalah kewajipan ibu untuk menyusui bayinya dan menyempurnakan haknya untuk menikmati dan mendapat kebaikan susu ibu, jika dia mampu.
Tempoh penyusuan susu ibu bagi mereka yang ingin memenuhinya ialah dua tahun. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233, seperti yang dinyatkan di atas.

(2) Bapa sepatutnya membantu ibu yang sedang menyusu dengan menyediakan keadaan yang ibu itu perlukan untuk menyusu. Ini menunjukkan yang Islam menganggap penyusuan susu ibu itu sebagai kewajipan utama yang ibu patut laksanakan. Disini, ibu tidak patut dibebani dengan kerja yang lain. Adalah jelas di sini bahawa al-Quran sudah menjelaskan hak ibu yang sedang menyusu.

(3) Jika bapa tiada atau sudah meninggal dunia, salah seorang ahli keluarga (wali/waris anak) harus mengambil-alih tanggunggjawab terhadap bayi dan ibu untuk meneruskan penyusuan.
Menceraikan susu adalah dibenarkan sebelum tamat tempoh dua tahun dengan syarat. Keputusan ini dibuat setelah mendapat persetujuan kedu-dua ibu dan bapa, setelah mereka membincangkan kebaikan dan keburukan keputusan yang dibuat serta cara untuk memberi penjagaan yang rapi kepada anak.

(4) Ibu yang mampu dan boleh menyusui bayinya adalah di galakkan mengupah orang lain untuk menyusukan bayinya. Islam memerintahkan bapa untuk memberi upah kepada ibu yang menyusukan anaknya. Dengan cara ini, Islam memastikan anak itu mendapat segala keperluannya dalam tempoh penyusuan itu.

Amalan-amalan ketika Mengandung

1. Banyak bertaubat kepada Allah s.w.t atas segala dosa yang telah dilakukan
2. Sentiasa menutup aurat mengikut ajaran Islam
3. Membaca ayat-ayat Al-Quran
Surah-surah amalan ketika mengandung
o Al-Fatihah dan ayat Kursi
o Seluruh surah Yassin - untuk anak teguh hati dan tidak terpengaruh dengan maksiat
o Seluruh surah At-Taubah
o Seluruh surah Yusuf - untuk anak yang cantik rupa dan akhlak
o Seluruh surah Luqman - untuk anak yang cerdik
o Seluruh surah Maryam - untuk memudahkan bersalin
o Surah An-Nahl ayat 78
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

o Surah Al-A'raf ayat 189
Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur
Link laman-laman web Al-Quran
* Syed Aftab Ali Bukhari - bacan Al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Inggeris
* Al-Islam - bacaan Al-Quran dan terjemahan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa melayu.
4. Membaca doa
o Doa mohon rahmat - Surah Ali-Imran ayat 8-9
Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
o Doa zuriat yang soleh - Surah Ali-Imran ayat 38
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.
o Doa mohon ampun - Surah Ali-Imran ayat 192-194
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.

o Doa anak tetap mengerjakan sembahyang - Surah Ibrahim ayat 40-41
Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan
5. Kehidupan suami isteri ketika mengandung akan mempengaruhi janin. Oleh itu terdapat adab-adab yang perlu bagi suami dan isteri
- Adab isteri terhadap suami ketika mengandung 
1. Mengasihi dan menyayangi suami
2. Menjaga perkataan terhadap suami
3. Tidak terlalu cerewet
4. Menjauhi daripada perasaan yang tidak baik terhadap suami
5. Menghargai pandangan dan nasihat yang diberikan suami, orang tua serta ahli keluarga
6. Menghormati kaum muslimin dan muslimat serta berbuat baik kepada mereka
7. Menjauhi dari mengumpat dan menghina orang lain.
- Adab suami terhadap isteri
1. Menunjukkan kasih sayang terhadap isteri
2. Jujur dan setia pada isteri serta tidak memberi layanan yang kejam dan kasar 
3. Selesaikan selisih faham
4. Tidak mudah menjatuhkan talak atau mengeluarkan perkataan yang sama sepertinya.
5. Kerap melakukan sembahyang sunat dan mendoakan isteri dan anak selamat.

Thursday, May 23, 2013

Bermulanya hidup baru...

 
 
 
 
Hmm...sampai juga saya ke laman sendiri bulan ni akhirnya...walau sudah hampir penghujung namun saya bersyukur kerana masih berkesempatan untuk ke sini...bukan apa, kadangkala jalan kehidupan yang penuh dengan pelbagai aktiviti membuatkan saya alpa tentang ruang ini...sekali sekala memang rindu untuk menjenguk tapi apa daya, sekali sekala itu jugalah yang membataskan masa saya untuk selalu ke sini...apatah lagi bila tanggungjawab semakin bertambah bila mana kehidupan baru bermula sudah...
cuti sekolah bakal berlangsung esok dan hari-hari yang seterusnya...ramai juga yang bakal bertukar status selepas ini tak kiralah lelaki atau perempuan... tapi yang pastinya pertukaran itu juga bermakna bahu semakin berat untuk menanggung tanggungjawab yang turut sertabersama...
bagi yang belum bersedia dari awal, memang terasa bebannya...tapi bagi sudah bersedia luar dan dalam, mental dan fizikal atau apa-apa juga sebutannya yang lain, tidak terasa tanggungjawab itu sebagai satu bebanan...malah sedar atau pun tidak, jika dilakukan segala tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya beserta hati yang ikhlas, insya Allah, balasan baik dari Allah Taala sudah tersedia khas buat kita...
kata orang, bila diri menjadi dua, hidup juga semakin rumit...kata orang lagi, kalau hidup seorang diri hanya satu masalah yang timbul di kepala tapi jika sudah berpasangan, ada seribu masalah yang sedia menanti...apatah lagi jika sudah mempunyai 'askar-askar' sendiri...
sungguh ke begitu? pernah juga soalan itu tiba dalam kepala saya suatu masa dahulu...risau, bimbang, takut, segala-gala rasa yang tidak baik memang turut serta...tapi Alhamdulillah...sudah saja bergelar hak seorang lelaki bernama suami, segala rasa itu hilang serta merta... apatah lagi jika kita bergantung dan berdoa sepenuhnya kepada Dia yang Satu...
benar kata orang, alam rumahtangga memang banyak dugaannya... jika bukan kita dan pasangan, ada saja anasir-anasir luar yang menjadi 'nyamuk' yang menganggu suasana kehidupan...jika dibiarkan, pasti membawa penyakit sekaligus maut....tapi semua itu boleh diatasi jika kita kembali pada yang Satu...ya, hanya Dia tempat untuk kita meminta segalanya...jika kita ikhlas menerima dan bersedia menghadapi segalanya dengan tabah, insya Allah bahagia pasti menjadi milik kita... mungkin bukan selamanya tapi tak mustahil boleh mnjadi hak abadi jika kita pandai mengaturnya...
hadapilah segala ujian dan cabaran yang mendatang dengan jiwa yang tenang...tak guna bermuram duka, jauh sekali marah menyinga...tidak menyelesaikan masalah bahkan menambahkan lagi rasa sakit yang kita rasa...kerana itu kita perlu tenang dan redha kerana hanya dengan cara itu segalanya pasti akan berlalu seperti mana yang kita harapkan...bahkan lebih baik dari yang kita sangka andai kita tidak lupa pada yang Esa...
buat mereka yang bakal menempuh alam rumahtangga, selamat datang ke kehidupan baru... semoga bahagia hingga ke akhir hayat... amin... salam sayang untuk semua...

Monday, April 29, 2013

Rindunya...



Lama sudah saya tidak mencatat apa-apa di muka ini... sejak arwah bapa sakit hinggalah beliau meninggal dunia 2 bulan lalu, ini baru kali pertama sya memberanikan diri untuk kembali melarikan jari-jemari di atas keyboard komputer...sekadar untuk melepaskan rasa hati yang begitu rindu pada dunia penulisan...

Sungguh, setiap yang datang, pasti akan pergi... setiap yang wujud pasti akan hilang bila  tiba waktunya... kita manusia juga begitu... pasti kembali dari mana asalnya kita datang...tapi sebagai makhluk yang mempunyai hati dan perasaan, saya tidak dapat lari dari merasa sedih serta pilu atas kehilangan lelaki yang begitu saya sayangi selama ini...mujur saja Allah memberi kesempatan pada saya untuk menjaga beliau sepanjang arwah bapa terlantar di katil...dan sebagai anak, saya amat menghargai pemberian tidak ternilai dariNya itu...
Arwah bapa sememangnya seorang lelaki yang berjiwa kental...tidak pernah merungut mahupun mengungkit atas segala keadaan hidup yang pernah dilaluinya...menjadi bapa yang tegas ketika saya adik beradik masih bergelar kanak-kanak dan bertukar menjadi sahabat apabila kami meningkat remaja...malah sehingga kami dewasa dan telah berumahtangga, arwah bapa sentiasa menjadi sahabat yang paling setia...mendengar dan terus mendengar segala keluhan anak-anaknya ini...
Kerana saya adalah antara anak yang paling rapat dengannya, maka saya benar-benar terasa kehilangannya... sungguh saya rindu pada tutur kata bapa, gelak tawa dan senyumannya...arwah bapa punya raut wajah yang cukup serius namun dialah lelaki yang paling pandai menghiburkan hati kami adik beradik dengan tingkah lucu dan kata-kata lawak spontannya...
Setelah 2 bulan bapa pergi, ternyata saya masih begini...rindu dan terus rindu pada arwah...hingga satu ketika, saya tersedar...arwah tidak pernah meminta kami merintih jauh sekali meratapi pemergiannya...cukup sekadar doa dan bacaan ayat-ayat suci, itu sudah cukup mendekatkan kami dengan arwah yang kini telah berada di alam yang tidak terjangkau dilihat mata...dek kerana ingatan itu, saya bangkit untuk kembali bertarung dalam kehidupan yang sememangnya penuh dengan pelbagai dugaan ini...walau tidak sepenuhnya, namun saya berusaha untuk menjadi lebih kuat dari dulu kerana pesan arwah bapa, 
'Aku tak ada harta untuk aku tinggalkan pada kau orang semua...tapi satu-satunya harta yang kau orang boleh cari sampai ke liang lahad hanyalah ilmu pengetahuan...laluannya sudah aku buka dengan menghantar kau orang ke sekolah...maka carilah ilmu walau laluannya sesukar mana pun...jangan lupa mengikut landasan agama dan Tuhan yang mencipta kita...Insya Allah, kayalah kau orang di dunia dan akhirat nanti...'
Mungkin kedengaran biasa di telinga sesiapa yang mendengar namun pada saya, kata-kata arwah bapa adalah sesuatu yang tidak ternilai kerana ianya lahir dari seorang manusia yang tidak berpelajaran tinggi, jauh sekali berilmu pengetahuan seluas lautan...namun kata-kata itulah yang berjaya menyemarakkan semangat kami adik beradik untuk terus mencapai impian yang mustahil diraih tanpa usaha dan pengetahuan yang berguna...
Buat arwah bapa yang tersayang, sungguh sehingga ke akhir hayat anakmu ini tidak akan pernah melupakan segala jasa dan pengorbananmu...setiap detik waktu yang berlalu, hanya Allah yang mengetahui betapa anakmu ini sangat-sangat menyayangimu...selagi hayat dikandung badan, anakmu ini tidak akan sesekali alpa untuk menghadiahkanmu bacaan ayat-ayat suci walau sesibuk mana pun diri ini menjalani kehidupan...dan mustahil anakmu ini tega untuk tidak ke makammu di lapang waktu walau diri ini bakal dimiliki lelaki lain bergelar suami dalam waktu terdekat ini...
Al-Fatihah buat arwah bapa yang sangat disayangi...semoga rohmu dirahmati Allah hendaknya...amin...



 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012