Friday, August 02, 2013

KEJORAKU BERSATU: BAB 20


BAB 20



Tengku Anuar meneliti dokumen yang berada di tangannya. Bibirnya mengukir senyuman.
So macam mana Nuar? Kamu puas hati tak dengan semuanya?” soal Haikal lembut.
Wajah pemuda itu dipandang sejenak. Tengku Anuar mengangguk kecil.
“Saya cukup puas hati Bang Chik.” Dipandang sekilas wajah abang iparnya.
“Okey, kalau begitu kamu tandatangan dokumen tu dan selepas itu tanah ini menjadi hak milik kamu sepenuhnya.”
Tengku Anuar tersenyum lagi. Dilabuh pandangannya ke kawasan sekeliling. Sayup matanya memandang ladang strawberi yang terdampar luas di depannya. Terserlah kekagumannya melihat keindahan ladang yang bakal menjadi miliknya tidak lama lagi.
“Luas benar tanah ni ya bang,” ujar Tengku Adilla yang turut bersama Tengku Anuar dan Haikal ke Cameron Highlands pagi itu.
“Memang luas Dilla, kalau tak silap abang, tujuh ekar semuanya,” ujar Haikal sambil jari-jemarinya menyentuh lembut permukaan daun pokok strawberi yang berbuah lebat. Hanya menunggu masa untuk dituai.
“Bukankah bagus kalau kita beli jugak tanah kat kawasan yang sejuk begini bang. Sambil tu bolehlah kita tanam apa-apa saja tanaman. Bertambah lagilah pendapatan kita nanti,” cadangan Tengku Adilla mula berangan-angan.
“Hsy, tak payah awak nak merepek. Awak tu bukannya tahan sangat dengan cuaca sejuk ni. Lagi pun nak buat beli tanah lagi? Bukankah tapak rumah yang kita duduk sekarang pun tanah kita jugak?” sanggah Haikal lembut.
“Ala, apa salahnya bang kalau kita beli banyak-banyak pun. Tak rugi kalau kita berbudi pada tanah bang,” tingkah Tengku Adilla tidak mahu mengaku kalah.
“Memanglah tak rugi tapi kalau kita ada masa nak jaga tak apalah jugak. Dahlah tu, bukannya murah nak beli tanah kat kawasan peranginan macam ni. Ini pun kebetulan si Sufian nak jual tanahnya cepat-cepat. Dapatlah Anuar beli dengan harga rendah,” ucap Haikal.
Dialih matanya ke arah Tengku Anuar yang sedari tadi melemparkan pandangan ke seluruh kawasan ladang. Lelaki itu di lihat seakan memikirkan sesuatu.
“Tanah kat kawasan tinggi macam ni mahal ke bang? Saya ingatkan sama saja dengan tanah kat kawasan rendah tu atau pun jauh lebih murah,” sahut Tengku Adilla menatap wajah suaminya yang tersenyum kecil.
“Memanglah mahal Dilla. Selalunya kawasan tinggi yang beriklim sejuk begini menjadi rebutan ramai orang. Selain boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan, kawasan ini juga berpotensi menjadi kawasan yang maju dan berkembang pesat sekiranya kita pandai mengusahakannya.
Kerana itu harganya melambung tinggi di pasaran. Begitu juga dengan tanah yang berada di kawasan rendah. Kalau kawasan itu berpotensi untuk dimajukan, harganya pun turut meningkat tinggi.” Haikal memberi penerangan.
Kemudian Haikal mengalih pandang ke arah Tengku Anuar yang sedang tunduk meneliti dokumen di tangannya.
So Nuar, kalau ada apa-apa yang Anuar tak puas hati, bagitahu aje pada Bang Chik. Nanti Bang Chik akan betulkan apa yang patut.”
Tengku Anuar yang kembali mengangkat muka tersenyum mengangguk. Membalas pandangan lelaki itu.
“Terima kasih Bang Chik kerana carikan kawasan yang sebegini baik untuk saya.”
“Tak payahlah nak berterima kasih Anuar, dah rezeki kamu dapat kawasan baik macam ni,” ujar Haikal lagi. “Oh ya, sebelum Bang Chik terlupa. Macam mana dengan keadaan rumah tu pulak? Ada apa-apa yang nak kamu ubah suai atau pun kamu nak bina yang baru?”
Haikal menoleh pandang ke rumah batu yang terletak tidak jauh dari situ. Rumah yang berbentuk rumah Inggeris lama itu kelihatan begitu indah dihiasi dengan pagar-pagar kayu separas pinggang manusia mengelilingi sekitar halaman. Tengku Anuar turut melepas pandang ke arah yang sama.
“Rasanya, tak ada apa yang perlu yang saya ubahsuai. Reka bentuk rumah tu pun dah cukup menarik. Cuma saya nak besarkan lagi garaj kereta tu. Biar boleh muat sebuah kereta lagi. Dan kalau boleh, saya nak tukar warna cat luar dan dalam rumah tu dengan warna yang lebih terang. Biar nampak lebih berseri.”
“Boleh, tak ada masalah. Bila kamu nak abang buat semua tu?”
Walau itu bukan di bawah bidang kerjanya namun Haikal bersedia membantu Tengku Anuar melakukannya.
“Bila-bila masa aje. Terpulanglah pada Bang Chik.”
“Kalau macam tu, Bang Chik carikan orang yang boleh buat semua tu secepat yang mungkin,” sahut Haikal tersenyum mesra.
Tengku Anuar mengangguk kecil. Hatinya puas kerana impiannya untuk mempunyai tanah sendiri bakal tercapai. Dia tersenyum lagi.


Nina melangkah keluar dari kotak lif. Dibetul kedudukan bajunya sebelum mula mengorak langkah. Dia tersenyum mengangguk apabila ada beberapa orang yang melintasinya melemparkan senyuman. Nina menolak perlahan daun pintu pejabat yang tertutup rapat. Dihampiri seorang wanita yang sedang duduk menaip sesuatu di komputer.  
“Selamat pagi. Datuk Rashdan ada?” soal Nina sopan.
Ratna segera mendongak. Diukir senyuman manisnya.
“Selamat pagi. Oh, Cik Nina rupanya. Datuk ada kat dalam. Sebentar ya,” ujar Ratna.
Pantas ditekan butang interkom yang ada di meja. Dia bercakap sesuatu di situ. Nina hanya memandang tingkahnya.
“Cik Nina, cik boleh masuk sekarang,” ujar Ratna selepas beberapa ketika.
“Terima kasih,” balas Nina sambil tersenyum.
Wanita itu hanya tersenyum mengangguk.
Nina mengetuk sekali muka pintu sebelum membukanya perlahan. Di atur langkahnya memasuki bilik yang berhawa dingin itu. Datuk Rashdan meletakkan pen yang berada di tangan. Dia segera bangun dari duduk. Bibirnya mengukir senyuman.
“Hah Nina, silakan masuk,” pelawanya mesra.
Datuk Rashdan melangkah ke sofa yang ada di tengah ruang bilik.
“Silakan duduk,” ujar Datuk Rashdan lagi.
Nina mengukir senyuman. Dia turut menapak ke arah sofa setelah pintu bilik di tutup rapat. Dibenam punggungnya ke atas sofa. Bertentangan lelaki itu.
“Lama jugak kamu tak ke mari Nina. Macam mana dengan business kamu sekarang? Harap semuanya berjalan baik,” ujar Datuk Rashdan tersenyum lebar. Menampakkan barisan mutiaranya yang putih bersih.
“Alhamdulillah Datuk, setakat ni semuanya okey.”
Datuk Rashdan tersenyum mengangguk.
So Datuk, macam mana dengan permohonan pinjaman kewangan saya tu? Di luluskan atau pun tidak?” soal Nina ingin tahu.
Wajahnya merayap memerhati wajah lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya itu. Hati wanitanya sedikit berdebar setiap kali matanya berlaga dengan pandangan lelaki yang cukup terkenal dengan keterampilannya yang senantiasa kemas dan segak itu.
Datuk Rashdan menghela nafas pendek. Dipamer senyumannya.
Well Nina, saya dah teliti kertas kerja kamu tu dan pihak bank saya telah bersetuju untuk meluluskan permohonan kewangan untuk kamu.”
Tanpa sedar Nina terjerit kecil. Diraup wajahnya sekali dengan kedua-dua belah tangannya.
“Ya Allah, terima kasih Datuk. Saya tak sangka yang permohonan saya ini akan diluluskan sebegini cepat,” ujar Nina gembira.
Datuk Rashdan tersenyum lagi.
“Ini semua kerana kamu jugak Nina. Kamu telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam membangunkan perniagaan kamu. Jarang anak muda Melayu terutamanya wanita nak menceburkan diri dalam bidang permotoran seperti kamu ni,” puji Datuk Rashdan ikhlas.
Dalam hati dia turut berbangga dengan pencapaian gadis yang telah dianggap seperti anaknya sendiri itu.
“Jadi bilalah agaknya kamu akan mula membangunkan kedai hardware kamu tu?”
“Insya Allah, kalau tak ada aral melintang secepat yang mungkin Datuk,” balas Nina ceria.
“Elok benarlah tu. Pasaran untuk alat-alatan logam ni pun semakin berkembang pesat. Banyak industri yang menggunakan perkakasan logam sekarang. Sekurang-kurangnya dengan pembukaan kedai kamu itu akan menambahkan lagi pusat penjualan barangan sebegitu,” ujarnya memberi kata-kata perangsang.
“Oh ya Nina, dengar khabar ayah kamu ke Tasik Kenyir. Betul ke?” Datuk Rashdan menukar topik perbualan.
Hubungan yang terjalin rapat dengan Nina sejak beberapa tahun lalu menyebabkan dia mengetahui serba sedikit latar belakang keluarga gadis itu. Malah dia sendiri mempunyai hubungan yang agak rapat dengan Datuk Nasir sementelah masing-masing bergelumang dalam bidang kerjaya yang sama. Bidang perniagaan.
“Betul Datuk. Dah hampir dua hari dia ke sana. Nak memancing katanya. Abang Shahrul pun ikut sekali,” ujar Nina sopan.
“Hmm, seronok jugak kalau dapat bercuti sekali sekala ni. Kalau nak diikutkan kerja, sampai bila pun takkan habis,” sambut Datuk Rashdan seraya mengeluh perlahan.
“Datuk ambillah cuti, pergi melancong ke mana-mana dalam sehari dua,” ujar Nina memberi cadangan.
Datuk Rashdan tersenyum kecil.
“Saya ni Nina, kalau diikutkan hati, bukan setakat nak bercuti, kalau boleh saya nak berhenti kerja terus. Duduk berehat saja kat rumah tu. Tak payah fikir lagi tentang kerja ni. Tapi itulah, nanti bosan pula saya kata rumah tu. Bukannya ada apa yang boleh di buat pun. Bila bekerja ni tak adalah sangat rasa bosan.”
“Kalau macam tu apa kata kalau Datuk kahwin lagi? Sekurang-kurangnya tak adalah Datuk sunyi sangat,”  Kata-kata Nina mengundang tawa lelaki itu.
“Kamu ni Nina, sama saja seperti anak-anak saya. Tak habis-habis nak minta saya kahwin lagi,” ujarnya tersenyum lebar. “Saya ni dah tua benar Nina. Dah tak terfikir pun nak kahwin lagi. Lainlah kalau masih muda macam kamu tu, memang patut pun kamu berkahwin sekarang,” sambungnya lagi.
“Siapalah yang nak saya ni Datuk,” ujar Nina merendah diri. Wajahnya ditunduk sedikit tatkala bola mata lelaki itu menghala ke arahnya.
“Rupa pun tak ada, harta benda pun tak sebanyak mana,” ujarnya lagi.
Datuk Rashdan tersenyum kecil. Wajah bersih gadis itu direnung lama.
“Nina, bukan harta atau paras rupa yang menjadi ukuran dalam hal mencari jodoh ni. Sikap yang baik dan pegangan agama yang paling penting. Memanglah harta dan paras rupa turut menjadi faktornya namun semua tu jatuh ke tangga bawah selepas agama. Tak guna kalau berharta banyak dan berparas rupa cantik tapi berperangai tak baik,” balas Datuk Rashdan lembut.
“Agaknyalah Datuk, kalau Datuk nak berkahwin lagi, perempuan yang macam mana yang akan Datuk pilih untuk di buat isteri?” soal Nina tiba-tiba.
“Setakat ini saya belum pernah terfikir untuk berkahwin lagi Nina.”
“Mana tahu kalau-kalau jodoh Datuk tiba dalam masa terdekat ni.” Nina masih mengutarakan persoalan yang sama.
“Beria-ia benar kamu tanya. Kenapa, kamu dah ada calon untuk saya ke?” soalnya sekadar bergurau.
Belum sempat Nina menjawab, interkom yang berada di meja Datuk Rashdan menjerit kuat. Kedengaran suara Ratna dari corong mesin tersebut. Datuk Rashdan segera meminta diri seketika sebelum bangun menuju ke mejanya. Menjawab panggilan Ratna. Nina mendengus kecil. Harapannya untuk mencungkil rahsia hati lelaki itu tidak menjadi kenyataan. Dia mendengus lagi.

KEJORAKU BERSATU: BAB 19


BAB 19



“Ayah mana mak? Dari pagi tadi tak nampak pun,” soal Tengku Anuar sebaik saja memijak lantai dapur rumah.
Kot yang di sangkut pada lengan di letak ke kerusi. Melabuh punggungnya bersebelahan Puan Fazlina. Tangannya mencapai sekeping biskut coklat yang berada di dalam balang kaca di depannya. Di hala ke mulut sebelum digigit sedikit.
Puan Fazlina yang hanya memerhati tingkah Tengku Anuar tersenyum kecil.
“Ayah kamu ke Tasik Kenyir dua tiga hari ni, nak memancing katanya,” ujar Puan Fazlina sambil tangannya ligat mengupas kulit bawang besar.
 Tengku Anuar mengangkat sedikit kedua-dua keningnya. Hairan.
“Ayah pergi Tasik Kenyir? Pergi dengan siapa ma?” soal Tengku Anuar.
Biskut di tangan di gigit lagi. Memandang wajah Puan Fazlina yang tenang membalas pandangannya.
“Dengan siapa lagi kalau tak dengan pakcik Nasir kamu tulah. Shahrul pun ikut sekali,” beritahu Puan Fazlina.
Di pandang seketika wajah Tengku Anuar yang lahap mengunyah biskut.
“Yang kamu ni dari mana? Kemas saja mama tengok. Baru balik dari dating ya?” usik Puan Fazlina tersenyum kecil.
Tersedak Tengku Anuar mendengar usikan emaknya. Pantas tangannya mencapai air sirap sejuk yang sedia terhidang di meja. Diteguknya rakus.
“Hisy, mak ni. Tak adalah,” sangkal Tengku Anuar sebaik saja air di dalam mulut di tolak masuk ke tekak.
“Saya ke pejabat pagi tadi. Siap aje kerja terus pergi baiki kereta. Agak teruk jugak keadaan kereta tu,” ujarnya membalas kata.
Puan Fazlina mendengus lembut.
“Mak ingatkan kamu pergi jumpa dengan bakal menantu mama tadi,” ujarnya perlahan, sedikit kecewa telahannya salah.
Tengku Anuar mengukir senyuman.
“Mak ni, tak ada perkara lain yang difikirkannya, asyik fikir nak menantu aje. Bukankah mak dah ada dua orang menantu perempuan, tak cukup lagi ke mak?” soalnya lembut.
“Itu lain, dia orang tu isteri abang-abang kamu. Yang mama nak sekarang ni, isteri kamu,” tingkah Puan Fazlina.
Tengku Anuar tidak menyahut. Dia kembali meneguk air.
Melihat si anak berdiam diri, Puan Fazlina kembali menyambung kata.
“Mak bukannya apa Nuar, mama harap sangat yang kamu akan berkahwin. Tak kisahlah siapa pun dia, kaya ke tidak, cantik ke hodoh, yang penting dia benar-benar menyayangi kamu dan dapat menjaga makan minum, sakit pening kamu nanti,” ujar Puan Fazlina lembut.
Sememangnya dari dulu lagi dia tidak gemar untuk mencampuri urusan setiap anak dalam bab mencari pasangan hidup. Dia lebih suka membiarkan kesemua anaknya menentukan jodoh mereka sendiri. Namun baginya, menjadi tanggungjawabnya sebagi seorang emak untuk memastikan anak-anaknya mendapat pasangan yang terbaik yang mampu membahagiakan mereka.
Tengku Anuar tersenyum lagi. Gelas di tangan diletak semula ke meja. Disandar tubuhnya ke kerusi kayu itu. Matanya memandang tingkah emaknya yang kini sibuk memotong sayur di depannya.
“Lagi pun bila kamu dah kahwin nanti, mama takkan risau lagi tentang kamu. Tak adalah kamu nak balik ke Amerika tu lagi,” ujar Puan Fazlina bersungguh-sungguh.
“Oh, jadi mama nak suruh saya kahwin ni sebab risau saya balik ke sana semula lah ya?” ujar Tengku Anuar menyeringai.
Melihat wajah Puan Fazlina yang lambat-lambat menganggukkan kepalanya membuatkan senyuman lelaki itu semakin melebar.
“Mak janganlah bimbang tentang hal tu. Memang saya berniat untuk menetap terus di Malaysia. Saya akan terus tinggal kat sini. Cuma bab kahwin ni, tunggulah dulu. Masih banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan buat masa sekarang,” ujar Tengku Anuar lembut.
“Itu mak tahu Nuar, tapi tak salahkan kalau kamu buat dua perkara dalam satu masa. Bak kata pepatah, sambil menyelam kita minum air,” ujar Puan Fazlina berkias kata.
Tengku Anuar kembali melebarkan senyuman.
“Salah tu memanglah tidak mak, tapi mama kena ingat jugak. Salah-salah menyelam, kita tenggelam terus tak timbul,” ujarnya dalam nada bergurau.
Puan Fazlina mendengus kecil. Sedikit geram mendengar jawapan anaknya itu.
“Pandai-pandailah kamu menyelam, jangan menyelam tempat yang dalam sangat. Cari kat tempat-tempat yang cetek sudahlah,” tingkahnya.
“Mak, kalau nak cari yang terbaik, kenalah cari kat tempat yang dalam. Kalau setakat kat tempat cetek tu, tak payah selam, sauk aje mak. Iya tak Mak Limah?”
Tengku Anuar tergelak dengan kata-katanya sendiri. Di kenyit sekali mata kanannya pada pembantu rumah yang sedari tadi hanya mengulum senyum mendengar perbualan kedua beranak itu. Tawanya semakin kuat apabila si emak mencubit kecil lengan sasanya.
“Hisy kamu ni. Malaslah mak nak cakap dengan kamu lagi. Mama cakap betul-betul dia main-main pula. Daripada melayan kamu bercakap lebih baik mama memasak. Ada juga faedahnya,” omel Puan Fazlina sedikit geram.
Puan Fazlina bingkas bangun dan dibawa bersama sayur yang telah dipotong tadi. Mak Limah yang duduk di hujung meja turut bangun membantunya.
Tengku Anuar yang hanya memandang kelakuan emaknya tersenyum geli hati. Dia tahu, Puan Fazlina benar-benar berharap dia akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Bilangan umurnya yang telah mencecah awal tiga puluhan itu juga menambahkan lagi harapan Puan Fazlina. Namun dia sedar, dia tidak mampu untuk menunaikan hasrat si ibu buat masa ini. Masih ada banyak perkara yang perlu dilakukannya sebelum dia berumah tangga.
Dan salah satu perkara yang harus dilakukannya adalah mencari calon isteri untuk dirinya sendiri. Satu perkara yang tidak pernah dilakukannya sedari dulu. Kesibukan menimba ilmu dan mencari pengalaman bekerja di negara orang menyebabkan dia tidak terfikir untuk melakukan perkara nan satu itu.
Kerana itu bila Puan Fazlina memintanya berumah tangga di waktu ini dia bingung sendiri. Mustahil dia mampu membuat perkara itu dalam masa yang singkat. Dari mana dia boleh perolehinya?
Tiba-tiba bayangan Nina yang ditemuinya pagi tadi menjelma di ruangan mata. Tengku Anuar terleka seketika. Terbayang semula perbualannya bersama gadis yang berperwatakan seperti lelaki itu. Hatinya menyenangi kesederhanaan yang terdapat pada gadis itu.
 Setiap patah dan tutur kata yang diluah gadis itu bagaikan satu irama indah yang bergema di ruang telinganya. Beralun lembut dan begitu mengasyikkan. Dia benar-benar terpesona dengan sikap yang ditonjolkan gadis itu.
Tanpa sedar Tengku Anuar tersenyum sendiri. Tepukan lembut di bahu mematikan lamuannnya.
“Dah, tak payah nak di fikirkan sangat tentang kerja kamu tu. Pergi naik atas, tukar baju. Kejap lagi kita makan sama-sama,” arah Puan Fazlina tanpa mengetahui apa yang berkeliaran di fikiran si anak.
Tengku Anuar yang sedikit tersentak dengan teguran lembut si ibu hanya tersenyum mengangguk sebelum bangun melangkah menuju ke tingkat atas.

“Hah anak bertuah, dah malam-malam begini baru nampak muka kamu,” sergah Datin Salbiah sebaik terlihat batang tubuh Nina di ruang tamu kondominium itu.
Nina yang tunduk membuka kasut sedikit tergamam mendengar sergahan itu. Dia memaling wajah. Mengadap Datin Salbiah yang duduk memeluk tubuh di sofa. Ada riak terkejut yang terpamer di wajah lesunya. Perlahan dia menghampiri Datin Salbiah yang merenungnya tajam. Dicapai tangan mamanya sebelum dikucup lembut.
“Dah lama mama sampai?” soal Nina penuh hormat. Direbah tubuhnya ke atas sofa. Tidak jauh dari Datin Salbiah.
“Kamu dari mana ni Nina? Dah malam-malam begini baru sampai rumah? Tak tahu nak duduk kat rumah langsung.”
Soalan anaknya tidak dijawab sebaliknya Datin Salbiah pula menyembur kata. Wajah anak perempuannya dipandang lagi. Geram.
Nina mendengus lembut.
“Saya dari bengkel ma. Ramai pelanggan yang datang hari ni, sebab tu lewat saya balik,” ujar Nina seraya menghembus nafas kecil.
“Iyalah tu. Ada saja alasan kamu. Dah tengah malam begini pun takkan ada pelanggan lagi. Siapa yang sanggup nak tunggu kat bengkel buruk kamu tu lama-lama,” leter Datin Salbiah lagi.
Nina bingkas bangun. Melangkah ke arah dapur rumah yang terletak bersebelahan ruang tamu rumah. Datin Salbiah turut bangun membuntutinya.
“Orang lain pun kerja jugak Na tapi tak macam kamu sampai langsung tak ada masa untuk diri sendiri. Cuba tengok pakaian kamu, ni!” ujar Datin Salbiah sambil memegang seluar jeans Nina yang sedikit koyak.
Nina hanya dia. Malas untuk berkata.
“Ya Rabbi, mana seluar kamu kutip ni Nina?”  
Nina tidak sedikit pun menghiraukan kata-kata mamanya. Dibuka pintu peti sejuk yang tertutup rapat. Ditarik keluar sebotol air limau yang terdapat di adalam peti itu. Di tuang ke dalam gelas sebelum diteguknya rakus.
Datin Salbiah mengeleng perlahan-lahan.
“Apalah nak jadi dengan kamu ni Na, pening mama tengok sikap kamu ni. Bila agaknya kamu nak berubah,” keluhnya.
“Cuba kamu tengok si Idah tu,” ujar Datin Salbiah menuding jarinya ke arah Khalidah yang kebetulan keluar dari biliknya.
“Kan elok kamu berpakaian macam dia. Sopan, kemas, sejuk mata orang yang memandang,” ujar Datin Salbiah lagi.
Nina memandang wajah Datin Salbiah sebelum melontar mata ke arah Khalidah sekilas. Dia mengeluh perlahan.
“Mama, saya tak nak jadi hipokrit mama. Hanya kerana nak jaga hati orang lain, saya terpaksa berpakaian macam perempuan lain. Ini adalah diri saya dan beginilah saya ma,” ujarnya lembut.
“Ayah mana ma? Mama datang seorang aje ke?” soal Nina menukar topik perbualan. Malas menyambung pertengkaran mereka.
“Ayah kamu ke Tasik Kenyir dengan Tengku Adnan. Along kamu pun ikut sama,” balas Datin Salbiah sedikit kasar. Rasa geram masih berbuku di hati.
“Habis tu, Kak Mariya mana?” Nina menyoal lagi.
“Dia balik ke rumah maknya dengan anak-anaknya sekali. Ada hal katanya.”
Nina mengangguk perlahan.  
“Berapa lama ayah kat sana?”
“Adalah dua tiga hari,” acuh tak acuh Datin Salbiah menjawab.
Hatinya masih sakit dengan sikap si anak yang tidak mahu mendengar katanya.
“Dua tiga hari?”
“Haah,” jawab Datin Salbiah kasar. “Yang kamu tersengih macam kerang busuk tu kenapa?” jerkah Datin Salbiah bila terpandang Nina menyeringai ke arahnya.
“Tak ada apalah ma,” balas Nina lemah.
Memandang sekilas wajah mamanya sebelum menunduk kepala perlahan. Datin Salbiah merengus kasar. Seakan mengetahui apa yang tersirat di fikiran si anak dia kembali bersuara.
“Tak payahlah kamu buat muka seposen kamu tu. Malam ni aje mama tidur sini. Esok pagi Kak Mariya kamu datang ambil mama. Nak harapkan kamu balik rumah, huh, agaknya runtuh langit pun belum tentu nak nampak batang hidung kamu tu.”
Nina yang mendengar kata-kata Datin Salbiah hanya tersenyum kelat. Rasa bersalah menyerang hatinya. Bukannya dia tidak suka dengan kehadiran Datin Salbiah di rumahnya namun telinganya bagaikan ingin koyak setiap kali bersua muka dengan mamanya. Tidak tahan dengan leteran wanita itu.
“Mama bukannya apa Nina, mama tak suka tengok kamu berpakaian macam ni. Dahlah tak senonoh, kusut masai pula tu. Bawa-bawalah berpakaian sopan sikit,” ujar Datin Salbiah kembali kepada bicara asalnya.
“Ni pun dah kira bersopan lah mama. Saya bukannya pakai baju yang nampak pusat pun, dedah lengan pun tidak. Cuma tak bertudung macam si Idah dan Ikin tu aje.” Nina membalas perlahan. “Mama bukan kira bertudung ke tidak. Yang pentingnya pakaian kamu kelihatan senonoh macam anak dara lain. Ini tidak, siang malam dengan t-shirt dan seluar jeans buruk kamu tu. Pakaian macam ni kamu kata sopan? Apa dah buta ke mata kamu tu?” suara Datin Salbiah meninggi lagi.
“Dah nama pun kerja kat bengkel ma, takkan nak pakai baju kurung pula masa buat kerja,” seloroh Nina. Bosan dengan leteran Datin Salbiah.
“Hah, itulah ajelah jawapan kamu. Bukannya siang malam kamu kerja kat bengkel tu. Sekali sekala pakailah baju lain. Ini tidak, hari cuti pun kamu pakai baju yang sama, hari bekerja tak payah katalah,” sahut Datin Salbiah geram.
Nina tidak menyahut. Sisa-sisa air limau yang masih berbaki di dalam gelas di tuang ke ruang tekak.
“Ikut suka, kamulah Na, malas mama nak tegur lagi, lagi banyak mama tegur, lagi sakit hati mama dibuatnya,” tingkah Datin Salbiah bila di lihat Nina hanya mendiamkan diri.
“Tu, mama dah sediakan nasi kat atas meja tu. Jangan kamu tak makan pulak.”
Dijeling sekilas wajah si anak sebelum berlalu ke bilik tamu yang ada di rumah itu. Membawa bersama gumpalan marah di hati.
Khalidah yang sedari tadi berdiri di sudut dapur memasang telinga mendengar perbualan kedua-dua beranak tu hanya tersenyum kecil saat Datin Salbiah melintasinya. Dia kembali berpaling mengadap Nina yang turut memandangnya. Mereka berpandangan seketika.
“Dah lama ke mama aku sampai?” soal Nina sedikit lemah. Memandang sekilas gelas kosong di tangannya.
“Dari petang tadi,” ujar Khalidah lembut.
Nina mengeluh perlahan.
“Apasal kau tak call beritahu aku?”
“Aku dah call tapi tak dapat. Sand cakap kau sibuk sangat,” ujar Khalidah seraya tersengih. Rasa bersalah menjentik hatinya.
Kedengaran Nina mengeluh lagi. 

KEJORAKU BERSATU: BAB 18


BAB 18


Khalidah meletak kotak yang dipegang di tepi kaki. Dia tunduk membuka kotak. Dikeluarkan beberapa buah buku sebelum disusun di atas rak tinggi yang tegak berdiri di depannya. Sambil itu, otaknya ligat mengira jumlah bilangan buku yang ada di depannya.
“Tumpang tanya, kedai ni masih ada stok buku Health and Recreation tak?” Suara seseorang yang menegur dari arah belakang menghentikan gerakannya.
Khalidah berpusing. Dia tergamam. Begitu juga dengan lelaki itu. Ada riak terkejut di kedua-dua wajah. Untuk seketika mereka hanya saling berpandangan tanpa sebarang kata. Perlahan-lahan Khalidah kembali menegakkan tubuh. Berdiri bertentangan dengan tubuh tinggi itu. Dia mengukir senyuman mesra.
“Ya, ada apa encik?” lembut dia menyoal. Kepalanya ditundukkan sedikit.
“Hmm, kedai ni masih ada stok buku Health and Recreation tak?” Agak tergagap Airil mengulang pertanyannya. Dia membalas mesra senyuman gadis itu.
“Rasanya ada. Nanti saya carikan,” ujar Khalidah, sedikit gugup.
Khalidah segera berlalu. Diayun langkahnya menuju ke rak buku di bahagian kesihatan. Airil mengikut dari belakang.
Khalidah membongkokkan badannya sedikit. Pantas tangannya membelek satu per satu buku yang tersusun kemas di rak yang rendah itu.
“Awak kerja kat sini ke?” soal Airil cuba mengawal getaran suara.
Hati Airil sebenarnya bergelombang hebat. Tajam matanya memandang gerak tangan gadis itu. Walaupun kelihatan lemah lembut namun pergerakan Khalidah yang pantas dan cekap sekaligus menimbulkan kekaguman pada Airil yang sedari tadi tidak mengalih pandangan matanya dari terus meratah wajah bersih itu.
Khalidah hanya mengangguk. Tangannya masih ligat mencari buku yang diminta Airil. Sesekali matanya mengerling ke arah lelaki itu. Ditunduk wajahnya setiap kali pandangan mereka bertembung. Hatinya bergetar kencang.
“Dah lama ke awak kerja kat sini?”soal Airil lagi. Dia selalu berkunjung ke kedai itu namun inilah kali pertama di bertemu dengan gadis itu.
“Baru beberapa minggu. Sebelum ni saya kerja kat tempat lain,” ujar Khalidah malu-malu. Cuba menutup getaran di hati.
“Seronok kerja kat sini?” soal Airil lagi.
“Seronok tak seronok pun saya tetap kena kerja jugak, kalau tak siapa nak jaga kedai ni.”
Airil mengerutkan dahi. Tidak mengerti dengan kata-kata gadis itu.
“Maksud awak?” soalnya ingin kepastian.
“Kedai buku ni kepunyaan ayah saya.  Sebab dah tak ada siapa yang dapat uruskan kedai buku ayah saya ni, terpaksalah saya berhenti kerja, bantunya menguruskan kedai ini.”
Airil mengangguk faham. Dia tersenyum kecil.
“Ini dia buku yang encik nak tu,” hulur Khalidah setelah beberapa ketika mencari. Dia kembali menegakkan tubuh.
Just call me Airil atau Ril,” Airil menyahut pantas. “Boleh saya tahu nama awak?”
Khalidah tersipu-sipu. Ditunduk sedikit wajahnya.
“Saya Khalidah. Panggil saja Idah,” balasnya lembut.
Dia kembali menundukkan muka apabila bola matanya bertembung dengan bola mata lelaki itu. Airil tersenyum lebar.
So, boleh saya jumpa dengan awak lagi nanti?” Sejak tadi mata lelaki itu melekat di wajah yang masih menunduk itu. Sekadar mencuba nasib.  
Khalidah tersenyum lagi. Dia akhirnya mengangguk.
Airil bersorak dalam hati. Terasa harapan untuk mendekati gadis yang telah mencuri hatinya itu semakin bersinar.

“Hah, dah siap pun semuanya,” ujar Nina mengelap peluh yang merenik di dahi.
Dihela pendek nafasnya. Dia bangun dari duduk. Matanya meneliti belakang kereta yang baru dibaikinya. Memastikan hasil kerja tidak mengecewakan pelanggan. Tangannya mengusap perlahan manik-manik peluh yang bertaburan di wajahnya.
Tengku Anuar yang sedari tadi duduk di tepi bengkel itu segera bangun. Masa yang agak lama yang diambil Nina untuk membaiki keretanya memaksa Tengku Anuar mendudukkan diri di bangku walaupun dia tidak ingin berbuat demikian. Dihampiri Nina yang kembali mengutip segala perkakasnya.
“Hah Encik Anuar, dah siap pun semuanya. Cuma nombor plat kereta aje saya tak boleh buat hari ni. Saya nak kena tempah dulu nombor tu. Maybe dalam minggu ni siaplah,” ujar Nina sebaik saja Tengku Anuar berdiri di sebelahnya.
So, berapa jumlah yang perlu saya bayar?”
Wajah comot Nina di renung lama. Ada kecantikan asli di sebalik wajah yang basah dengan peluh itu.
“Eh, tak payah Encik Anuar. Anggap aje ini sebagai ganti saya sebab melanggar kereta Encik hari tu,” ujar Nina pantas.
Memang itulah niatnya. Menebus semula kecuaian yang dilakukannya terhadap lelaki itu tempoh hari.
Tengku Anuar mendengus halus.
“Mana boleh begitu, awakkan berniaga. Nanti rugi pulak. Lagipun bukannya sikit awak baiki tu,” ujar Tengku Anuar.
Tidak pernah terlintas di hatinya untuk meminta gadis itu membayar ganti rugi padanya.
“Alah Encik, rugi pun bukannya boleh buat saya bangkrap pun. Setakat bengkel begini, apalah sangat. Lagi pun memang itu niat saya tadi,” tingkah Nina bersahaja.
Tengku Anuar mengukir senyuman. Hati lelakinya berbunga setiap kali mendengar gadis itu bersuara. Bagaikan ada satu perasaan indah yang menyelinap di ruang hatinya kala ini. Perasaan yang dia sendiri tidak mampu tafsirkannya.
“Okey kalau macam tu, apa kata kalau saya belanja awak makan sebagai tanda terima kasih?” ujar Tengku Anuar.
Wajah Nina yang berkerut seribu ditatap tepat.
Please jangan tolak,” sambungnya bila di lihat Nina memandangnya dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Seakan gadis itu tidak sudi memenuhi pelawaannya.
“Tak apalah Encik Anuar. Saya ikhlas buat semua ni. Tak perlulah nak belanja makan pulak.”
Ternyata jangkaan Tengku Anuar tepat. Nina menolak sopan.
Tengku Anuar mengeluh perlahan.
“Kalau saya tahu saya tak payah bayar sesen pun, saya tak datang ke bengkel ni,” ujar Tengku Anuar seakan jauh hati.
Dia berasa sedikit kecewa pelawaannya di tolak mentah-mentah gadis itu. Nina tergelak kecil.
“Eh, janganlah macam tu. Okeylah, lain kali kalau Encik Anuar datang ke bengkel ni, saya kenakan bayaran. Saya janji,” ujarnya sedikit memujuk.
Di angkat lurus tangan kanan separas kepalanya seakan membuat ikrar. Giliran Tengku Anuar tergelak kecil. Mati akalnya seketika dengan tingkah gadis itu.
“Hmm… kalau begitu, saya minta diri dulu. Terima kasih kerana sudi baiki kereta saya dengan percuma. Untung jugak kalau setiap kali baiki tak payah bayar,” selorohnya.
Nina berdehem-dehem kecil.
”Untuk kali ni saja Encik Anuar, lain kali tak adanya percuma,” balas Nina dalam nada bergurau.
Tercetus tawa lelaki itu. Nina yang memandang turut tergelak.
“Saya minta diri dulu ya, thanks again,” ujar Tengku Anuar setelah tawanya reda.
Nina hanya mengangguk kecil. Dia memandang lelaki itu melangkah masuk ke kereta sebelum bergerak keluar dari kawasan bengkel itu. Diangkat tangannya tatkala Tengku Anuar membunyikan hon sebelum berlalu.
“Amboi, special benar orang tu ya Cik Nina, sampai tak payah bayar sesen pun. Patutlah Cik Nina nak baiki sendiri kereta tu, ada makna rupanya,” Indra yang baru setengah jam tadi berada semula di bengkel bersuara. Dikenyit mata kanannya pada Rafiq dan Jimmy yang berada tidak jauh dari tempatnya duduk. Mereka bertiga tersengih nakal.
Nina menjeling anak muda itu sekilas dengan ekor matanya.
Special apanya, saya yang langgar kereta dia, mestilah saya tak kenakan bayaran,” balasnya sedikit tinggi.
Nina pura-pura marah. Diangkat semula segala perkakas yang digunakannya tadi ke dalam bengkel. Indra turut membantunya.
“Oo, jadi kereta dialah yang Cik Nina langgar tempoh hari sampai besi depan kereta Cik Nina bengkok tu?” tanya Rafiq yang sedang sibuk mencuci sebuah kereta.
Handsome ya lelaki tu Cik Nina. Sesuai dengan Cik Nina,” sambung Rafiq lagi sambil tersenyum.
“Bukan saja handsome, kaya lagi tu,” sampuk Jimmy turut tersengih.
“Mana kau tahu dia kaya Jim?” soal Indra sedikit kuat.
“Alah, kalau tak kaya takkan dia nak pakai pakaian kemas macam tu. Kau fikirlah, ada ke orang yang nak datang ke bengkel pakai pakaian macam tu. Siap bertali leher dan bersarung kot lagi,” selorohnya.
“Iya tak ya jugak kan,” ujar Indra mengaru-garu dagunya yang tidak gatal.
“Sepadanlah dengan Cik Nina kita ni. Tak gitu Cik Nina?” ujar Rafiq tertawa kecil.
Mereka yang lain turut melempar senyuman masing-masing. Nina yang mendengar kata anak muda itu mencekak pinggang.
“Amboi, bukan main lagi kau orang ni ya, semua lelaki yang datang baiki kereta kat sini semuanya nak dipadankan dengan saya,” ujar Nina walaupun dia tahu anak-anak muda itu sekadar mengusiknya.
“Bukan begitu Cik Nina, memang betul pun kata Rafiq tu. Cik Nina pun bukannya dari sehari ke sehari makin muda. Dah dua puluh tujuh tahun pun. Eloklah Cik Nina berkahwin. Lainlah kami bertiga ni, muda belia lagi,” Jimmy tersengih kecil seraya menepuk-nepuk dadanya.
“Betul kata Jim tu Cik Nina,” sampuk Indra. “Kalau Cik Nina kahwin, kami bertiga ni jugak yang untung. Bolehlah kami merasa nasi minyak Cik Nina tu.”
“Betul, betul, aku sokong pendapat kau tu,” ujar Rafiq sambil mengangguk beberapa kali.
“Lepas Cik Nina kahwin, bolehlah kita dapat anak angkat nanti,” ujarnya lagi.
“Anak angkat?” soal Jimmy tidak memahami kata-kata anak muda itu.
“Yalah anak angkat. Kalau Cik Nina kahwin, mestilah dia dapat anak. Anak tu lah akan jadi anak angkat kita nanti,” jelas Rafiq tersenyum.
“Wah, mesti bestkan kalau anak angkat. Bolehlah aku ajar dia  macam mana nak baiki motor dan kereta nanti,” ujar Jimmy mula berangan.
Nina membesarkan mata. Sengaja mempamerkan riak serius di raut wajahnya.
“Ewah, makin menjadi-jadi pulak kau orang ni ya. Dah, dah, buat kerja masing-masing. Tak pasal-pasal saya potong gaji kamu bertiga nanti. Baru kamu tahu,” ujar Nina menjegilkan kedua-dua matanya.
Tanpa berlengah lagi, dia mengayun langkahnya kembali ke pejabat. Meninggalkan mereka bertiga yang hanya tersengih-sengih memandangnya. 

KEJORAKU BERSATU: BAB 17


BAB 17



“Jim, tolong hulur playar yang ada  kat atas meja tu!” Rafiq menjerit dari bawah sebuah kereta.
Dia begitu sibuk membaiki sebuah kereta Proton Wira. Suaranya cuba melawan kebisingan generator yang di pasang di dalam bengkel.
Jimmy merengus kasar. Dia bangkit mendapatkan playar sebelum melangkah mendekati Rafiq. Meninggalkan seketika sebuah motor besar berkuasa tinggi yang sedang dibaikinya.
“Nah. Lain kali ambil sendiri, menyusahkan aku aje,” ujar Jimmy sedikit kasar sambil menghulur playar yang diminta.
“Kau ni Jim, baru aku minta tolong sikit kau dah marah,” ujar Rafiq.
“Bukan aku marah cuma geram. Aku pun ada kerja lain yang aku kena buat,” ujar Jimmy.
“Eh kau orang, cuba tengok siapa yang datang tu,” Indra yang baru selesai membasuh kereta bersuara sedikit kuat sekaligus mematikan pertengkaran kedua-dua anak muda itu. Digulung semula paip getah yang baru selesai digunakannya.
“Ala, ada customer nak baiki keretalah tu,” balas Rafiq acuh tak acuh. Dia masih tekun menyiapkan kerjanya.
“Aku rasa bukanlah. Mungkin kawan Cik Nina kot,” ujar Jimmy.
Dia bangkit dari duduk. Matanya melekat pada lelaki yang berpakaian kemas itu. Kepalanya tertinjau-tinjau memandang sekeliling bengkel.
“Hisy, merepeklah kau ni. Cik Nina mana ada kawan lelaki,” tukas Rafiq dari bawah kereta.
“Daripada dengar kau orang berdua bertekak lebih baik aku pergi tanya dia sendiri,” sampuk Indra.
Tanpa berlengah lagi, Indra mengayun laju langkahnya menuju ke luar bengkel.
“Ya Encik, boleh saya tolong?” soal Indra ramah sebaik berhadapan dengan lelaki bertubuh tinggi itu.
Tengku Anuar tersenyum kecil.
“Saya nak baiki kereta saya ni. Kedua-dua lampu belakangnya pecah,” beritahu Tengku Anuar.
“Oh, boleh Encik, boleh.” pantas Indra menjawab.
Kemudian Indra melangkah ke belakang kereta Proton Perdana hitam metalik itu. Tengku Anuar membuntutinya.
“Oh, teruk jugak ni Encik, tapi tak apa, saya boleh gantikannya dengan yang baru. Nombor plat ni pun rasanya nak kena tukar yang baru sebab dah retak tu,” ujar Indra lagi.
“Lama ke nak buat nombor plat tu?”
“Lama jugaklah Encik. Dalam beberapa hari begitu. Tapi lampu ni saya boleh buat sekarang. Encik boleh tunggu ke?”
“Boleh, tak ada masalah. Saya boleh tunggu,” balas Tengku Anuar.
“Kalau macam tu Encik duduklah dulu. Saya buat sekarang,” ujar Indra seraya mengunjuk ibu jarinya ke arah bangku di tepi bengkel yang sememangnya disediakan untuk pelanggan.
“Terima kasih,” sahut Tengku Anuar memandang seimbas bangku yang diperbuat dari batu marmar itu. Bukan tidak sudi mendudukkan diri tetapi dia lebih selesa berdiri.
“Ind!” Jeritan seseorang dari arah pejabat mematikan perbualan mereka.
Nina melangkah keluar dari pejabat. Liar matanya mencari kelibat anak muda itu.
“Ind,” jeritnya sekali lagi bila panggilannya tidak di sahut.
“Saya Cik Nina,” balas Indra sedikit tinggi. “Sekejap ya encik, bos saya panggil tu,” ujarnya pada Tengku Anuar.
Lelaki itu hanya tersenyum mengangguk. Dia masih berdiri di situ. Bunyi deringan telefon bimbit di poket seluar mematikan senyumannya. Pantas dia menyeluk poket, menarik keluar telefon sebelum menjawab.
Indra segera berlari-lari anak mendapatkan Nina yang sudah mencekak pinggang di muka pintu pejabat.
“Saya Cik Nina,” agak tercungap-cungap dia menjawab.
Nina mendengus lembut.
“Saya nak awak pergi ke Taman Seri Indah sekarang, ada kereta rosak kat sana. Ni alamatnya,” ujar Nina, dihulurnya sekeping kertas kecil.
“Tapi Cik Nina, saya ada customer sekarang.”
“Awak ada customer sekarang?” ujar Nina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia berfikir seketika.
“Hmm… tak apa, saya handle customer tu. Awak pergi sekarang,” arah Nina.
Tanpa membantah Indra mengangguk kecil. Menyambut huluran Nina. Dia segera ke bengkel, mencari peralatan yang diperlukan. Tak lama, kedengaran deruman motorsikalnya berlalu keluar dari kawasan bengkel itu.
Nina segera melangkah ke ruang luar pejabat. Dihampiri Tengku Anuar yang berdiri membelakanginya.  
“Ya encik,” Dengan nada sopan Nina bersuara.
Tengku Anuar segera mematikan talian. Telefon bimbit di tangan dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Raut wajahnya sedikit berubah tatkala dia menoleh. Dia sedikit tergamam. Tidak menyangka dengan pertemuan yang tidak diduga itu. Air muka Nina turut berubah.
“Encik?” soalnya sedikit terkejut.
Namun tak lama, Nina mengukir senyuman. Tengku Anuar turut mengukir senyuman.
“Tak sangka akan bertemu dengan awak di sini,” ujar Tengku Anuar ceria.
Nina tidak menyahut. Dia melangkah ke belakang kereta.
“Encik belum baiki lagi ke kerosakan hari tu?” soal Nina. Jari-jemarinya menyentuh bahagian kereta yang kelihatan kemek.
“Saya tak ada masa nak baikinya sebelum ni. Kebetulan hari ni kerja tak banyak, sebab tu saya datang ke bengkel,” tutur Tengku Anuar lembut. Matanya masih terpaku pada wajah bujur sirih milik Nina.
“Encik nak siapkan kesemuanya hari ni jugak ke?” Tanpa memandang wajah itu Nina menyoal lagi. “Kalau bolehlah,” ujar Tengku Anuar.
“Boleh tu boleh tapi Encik kena tunggu lama sikitlah sebab nombor plat tu kena buat yang baru,” ujar Nina lagi.
“Tak apa, saya pun tak ada kerja petang ni,” sahut Tengku Anuar.
“Kalau macam tu, encik duduklah dulu kat bangku tu. Kalau tidak pun, apa kata encik tunggu saja dalam pejabat sana. Panas kat luar ni.”
“Tak apa, saya dah biasa,” jawabnya tenang.
Nina segera melangkah masuk ke bengkel. Mencari peralatan untuk membaiki kereta sebelum keluar semula. Diletak semua barang yang dibawanya di tepi kereta. Dia melabuhkan punggung ke atas tanah. Tangannya mula tangkas membuat kerja.
Tengku Anuar masih berdiri di tepi keretanya. Dia hanya memerhati gadis itu melakukan kerjanya dengan pantas.
“Awak kerja kat bengkel ni ke?” soal Tengku Anuar.
Sebenarnya Tengku Aamir masih tergamam dengan pertemuan yang tidak diduga itu. Sambil itu matanya rakus memandang gadis itu melakukan kerja.
“Ini bengkel saya,” Tanpa memandang wajah lelaki itu Nina berterus terang.
“Bengkel ini kepunyaan awak?” soal Tengku Anuar terkejut.
Dia kurang percaya dengan kenyataan gadis itu. Namun hanya seketika. Melihat sikap dan pakaian gadis itu dia dapat mengagak Nina bercakap benar. Bulat matanya memandang Nina yang mengangguk kecil. Riak wajah gadis itu masih tidak berubah. Selamba.
“Apa nak buat Encik, dah minat,” luahnya bersahaja.
Tangannya masih ligat membuat  kerja. Walau pun Nina tidak melihat wajah itu namun dia dapat mengagak reaksi yang dipamerkan Tengku Anuar. Dia telah biasa dengan reaksi sebegitu setiap kali ada orang yang bertanyakannya tentang hal itu.  
“Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Janggal bunyinya. Panggil saja saya Anuar,” ujar Tengku Anuar.
Nina tersenyum lagi. Dia tidak menyahut.
“Jarang ada perempuan yang suka buat kerja macam ni.”
Mata Tengku Anuar masih lagi memerhati setiap gerakan gadis itu. Namun matanya lebih tertumpu pada raut wajah Nina yang dirasakan cantik walau pun terdapat kesan kotor dan calitan minyak di wajah itu.
“Saya tahu tapi itulah, dah minat. Nak buat macam mana lagi. Bagi saya, asalkan kerja yang saya lakukan ni boleh beri rezeki yang halal, saya tak kisah tentang pandangan orang lain terhadap saya.”
Tengku Anuar tersenyum kecil. Ada sesuatu yang bercambah di hatinya kala ini. 

KEJORAKU BERSATU : BAB 16


BAB 16

“Lewat kamu balik kerja hari ni.” Datuk Rashdan bersuara sebaik saja anak bongsunya menapak masuk ke ruang tamu rumah malam itu.
Si anak tersenyum kecil. Di labuh punggung di sofa berhadapan dengan ayahnya. Briefcase di tangan di letak di atas meja di depannya.
“Banyak kerja kat pejabat tu ayah. Petang tadi pulak ada meeting tergempar,” ujarnya lemah.
Disandar tubuh tegapnya ke sofa. Menarik keluar tali leher dari membelit leher.
Datuk Rashdan menggeleng perlahan. Menatap lama wajah anak yang keletihan.
“Kamu ni, sampai bila kamu nak kerja dengan orang. Tolong ayah uruskan bank ayah tu pun ada jugak faedahnya,”
“Ayah ni, saya nak cari pengalaman dulu dengan orang lain. Nantilah, bila saya dah sedia nak kerja dengan ayah, saya beritahulah ya,” balas si anak lembut. Matanya meliar memandang sekeliling ruang rumah yang luas itu.
“Hmm… Along satu keluarga tak balik lagi ke?” Dia mengubah topik perbualan.
“Belum. Katanya mungkin dua tiga hari lagi baru dia balik.”
“Lama lagilah tu,” ujar si anak.
Datuk Rashdan tersenyum.
“Biarlah dia orang balik lama sikit pun. Bukannya selalu Along kamu nak cuti panjang begitu. Lagipun dah lama sangat dia tak balik rumah mentuanya tu.” suara Datuk Rashdan bersahaja walhal dia sendiri mengharapkan kehadiran anak sulungnya sekeluarga di banglonya secepat mungkin.
Kesunyian dan kesepian yang membungkus suasana banglo membuatkan dirinya tidak dapat menampung kerinduan pada cucu-cucunya.
“Tak adalah yah, saya rindu pada anak-anak buah saya tu. Sunyi rasanya bila dia orang tak ada,” sahutnya.
“Kalau dah tahu sunyi, kenapa kamu tak kahwin aje? Kamu tu pun bukannya makin muda. Dah 32 tahun pun. Sampai bila kamu nak membujang begini?”
Airil sekadar tersengih. Menampakkan sebaris giginya yang putih bersih.
“Tengok dululah ayah. Esok-esok bila saya dah sedia nak kahwin saya beritahu.”
“Hah, itu saja yang kamu beritahu ayah setiap kali ayah suruh kamu kahwin. Ayah ni bukan makin muda Ril, ayah nak sangat tengok kamu tu berkeluarga sendiri sebelum ayah pejam mata. Ada orang yang boleh jaga sakit demam kamu nanti.” Datuk Rashdan mengulangi semula kata-kata yang sering diluahkan pada anak bongsunya itu.
“Ayah ni, janganlah membebel. Kesian telinga saya yang tak berdosa ni mendengarnya. Nantilah ayah. Saya janji, bila saya dah bersedia nak kahwin, saya akan beritahu ayah ya,” pujuknya.
“Tak pun apa kata kalau ayah saja yang kahwin? Saya pun dapat mak. Untung-untung dapat adik baru. Okeylah tu,” sarannya sambil mengangkat kedua-dua belah kening.
Bulat mata Datuk Rashdan mendengar kata si anak. Wajah Airil yang tertawa kecil dijeling sekali imbas.
“Hisy, kamu ni. Ayah tak pernah pun terfikir nak kahwin lagi. Ayah ni dah tua Ril, tak ada lakunya lagi dah,” ujar Datuk Rashdan perlahan.
Airil ketawa kecil.
“Siapa yang cakap ayah dah tua? Bagi Ril, ayah still macam dulu. Cuma ayah beruban sikit je. Body still tegap, still handsome macam dulu. Lagi pun ayah, sejak arwah mak tak ada, ayah selalu keseorangan. Apa salahnya kalau ayah kahwin lagi.”
“Ayah tak pernah rasa sunyi pun Ril. Malah ayah rasa gembira, semua anak-anak ayah ada bersama ayah sehingga sekarang. Tak tahulah kalau kamu yang tak suka tinggal dengan ayah.”
“Hisy ayah ni, ada pula fikir macam tu,” sangkal Airil.
“Ayah, kalau betul saya tak suka tinggal dengan ayah, dah lama saya pindah ke rumah saya kat Puchong tu. Buat apa saya beli rumah mahal-mahal kalau dibiarkan kosong begitu aje. Sebab saya suka tinggal dengan ayahlah, saya sanggup tinggal di sini walau pun terpaksa berulang-alik jauh ke tempat kerja,” terangnya panjang lebar.
Datuk Rashdan tidak menjawab. Hanya merenung wajah Airil yang masih meleretkan senyuman lebar.
“Saya bukannya apa yah, sekurang-kurangnya bila ayah kahwin lain boleh jugaklah saya merasa air tangan mak. Ini tak, kalau tak ayah yang masak, Mak Temah yang ambil alih. Sekali-sekala nak jugak merasa masakan mak baru,” ujar Airil tersengih nakal.
“Yalah tu, kamu dengan Along kamu sama aje perangainya. Tak ada perkara lain yang nak kamu cakapkan. Balik-balik kahwin. Lemas ayah mendengarnya. Dahlah, pergi mandi. Kemudian kita makan sama-sama. Lepas makan kita Solat Isyak berjemaah,” ujar Datuk Rashdan malas melayan kata-kata Airil.
Mata Datuk Rashdan kembali melekat pada skrin televisyen yang terpasang di depannya.
“Baiklah ayah,” sahut Airil perlahan sambil bangun menuju ke bilik di tingkat atas.

Tengku Anuar menghumban tubuh ke katil. Buku yang berada di tangan di letak di atas meja di sisi kepala katil. Dia mengeliat ke kiri dan kanan. Seharian menghabiskan masa di pejabat benar-benar memerah tenaganya. Begitu pun tabiatnya yang gemar membaca apa saja jenis bahan bacaan sebelum melelapkan mata setiap malam tetap dilakukan.
Tengku Anuar memandang kipas yang berputar ligat di siling bilik. Bantal berbentuk hati yang terletak di sisi di tarik ke dalam pelukannya. Dia tersenyum sendirian. Entah kenapa sejak pertemuan pertama itu dia tidak dapat melupakan wajah itu.
Wajah yang sering menghantui fikirannya sejak akhir-akhir ini. Biar apa pun yang dilakukannya, wajah itu tetap menemaninya saban waktu. Pernah juga dia cuba menepis namun dia gagal berbuat demikian. Malah bayangan wajah itu semakin kuat melilit diri hingga akhirnya dia terpaksa menyerah kalah.
Tengku Anuar menutup kelopak matanya rapat. Tergambar semula wajah itu di ruang matanya. Gerak langkah, gaya tubuh dan cara pertuturannya dirasakan begitu indah. Bagaikan satu tarikan magnet yang mencengkam kuat hatinya.
Jika dipandang sekilas pada wajah itu, tiada apa yang menarik. Namun hati lelakinya begitu terpaut pada wajah berbentuk bujur sirih itu. Tubuhnya yang tinggi lampai, bibirnya yang merah basah tanpa calitan gincu, mata yang hitam pekat dan kening yang lebat mempamerkan keaslian semulajadi yang dimilikinya. Dengan hanya berseluar jeans yang telah lusuh warnanya dan berbaju t-shirt berlengan panjang, ditambah dengan topi yang tersangkut di kepalanya, gadis itu kelihatan begitu ringkas namun terserlah kejelitaannya.
Wahai gadis, siapakah dikau yang menganggu gugat hatiku ini? Tanpa sedar dia mengeluh perlahan. Dipusing tubuhnya ke kiri. Tangannya mencapai remote control radio hi-fi yang berada di hujung kepala katil.
Dikuatkan sedikit lagu ‘Gadis Misteri’ nyanyian kumpulan Search yang kebetulan berkumandang di corong radio. Dihayati lirik lagu itu sepenuh hati. Tidak lama kemudian, dia bangun dari pembaringannya. Diheret kakinya menuju ke meja tulis yang terletak di satu sudut bilik.
Tangannya menarik laci meja sebelum menarik keluar sebuah buku berwarna hitam. Dengan membawa bersama buku itu, dia kembali melangkah menuju ke katil. Di lempar tubuhnya ke katil. Sambil membaringkan tubuh, dia mula menulis sesuatu di situ. 
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012