Monday, August 27, 2012

Apa itu Istidraj?


Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.
Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi bodoh.
Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.
Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat
Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah S.W.T. Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka.
Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?” Saya jawab, “Betul.” “Minta maaf ustaz, saya tidak percaya, sebab apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”
Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan ayah saya, bukan sahaja sembahyang sehari semalam lima waktu, tapi tengah malam pun bangun sembahyang tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis pun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama.”
“Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah sembahyang seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasa pun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk neraka pun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni, hidup susah.”
Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ.
Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayah pun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia sembahyang. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak sembahyang.”
Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha.
Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)
Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.
Manusia Istidraj? Manusia Yang Lupa Daratan
Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.
“Alah, siang malam ke masjid, ke surau, tapi basikal buruk pun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah sembahyang, tapi Allah sayangkan aku. Kalau kau sikit ibadat, tentu kau juga akan kaya macam aku.” Katanya sombong. Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang, siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.
Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.
Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan.
Kadang-kadang Allah S.W.T memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad)
Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.
Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah
Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telah pun hancur dan musnah.
Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, Tha’labah yang bakhil dan banyak lagi, semuanya telah musnah akibat kesombongan dan keangkuhan mereka!
Nikmat Allah yang diberikan kepada Firaun tidak terkira banyaknya. Bersin pun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati-mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.
Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang telinganya!
Tidak ada seorang pun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari-cari sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.
Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan.
Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah S.A.W berjumpa dengan Allah S.W.T di langit, tetapi baginda tidak pun sombong. Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.”
Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?
Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?
Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mengsyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.
Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen”, katanya.
Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.
Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belum pun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Dia pun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.
Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label “amal” ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuan-tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.
Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahan.
Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.
Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang, Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh Islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.
Tidak beberapa lama dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya.
Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah kata-kata yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.
Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakan istidraj. Orang naik pangkat istidraj atau orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.
Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.
Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata, “RedhaMu yang selalu kami rindukan dan marahMu yang sangat kami takuti Tuhan. Lebih baik kami hidup miskin asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan di dalam marahMu.”
Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada target, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung. Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada target atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T, baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!
Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak, lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.
Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahua’lam.

Keistimewaan kalimah La ilaha ilallah

Pada zaman Bani Israil, ada seorang ahli ibadat dan seorang penderhaka. Tiba-tiba ahli ibadat itu meninggal dunia, maka Nabi Musa a.s mendapat tahu bahawa ahli ibadat itu termasuk di dalam senarai ahli neraka. Sesudah itu mati pula si penderhaka, maka Nabi Musa a.s mendapat tahu bahawa penderhaka tersebut termasuk di kalangan ahli syurga.
Apabila Nabi Musa a.s mendapat tahu hal ini maka baginda pun pergi ke rumah ahli ibadat itu lalu bertanya kepada isterinya, “Apakah amal yang sentiasa dibuat oleh suamimu?” Maka isteri ahli ibadat itu menjawab, “Suamiku itu sangat rajin melakukan amal ibadat dan kamu juga mengetahuinya.” Nabi Musa bertanya lagi, “Kemudian apa lagi yang dibuat oleh suamimu?” Lalu isteri ahli ibadat itu berkata, “Setiap malam apabila suamiku hendak tidur, dia akan berkata ‘Alangkah beruntungnya kami kalau apa yang diajar oleh Nabi Musa itu benar’.”
Setelah Nabi Musa a.s mendengar penjelasan dari isteri ahli ibadat itu, maka baginda pun pergi ke rumah penderhaka itu, setelah sampai di rumah orang itu maka Nabi Musa a.s bertanya kepada isteri penderhaka, “Apakah amal yang dilakukan oleh suamimu?” Isteri penderhaka pun menjawab, “Engkau pun tahu suamiku itu adalah seorang penderhaka, dia sangat suka berbuat kejahatan semata-mata.” Kemudian Nabi Musa a.s bertanya lagi, “Katakan padaku, apakah amal yang pernah dia lakukan selain itu.” Maka isteri penderhaka berkata, “Setiap malam sebelum tidur suamiku selalu membaca لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله atas apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s.”
Dalam kisah ini kita dapat simpulkan bahawa ahli ibadat itu tidak yakin sepenuhnya dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s maka Allah memasukkannya ke dalam neraka manakala si penderhaka  yang berbuat dosa dan meyakini setiap apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s di samping mengamalkan kalimah syahadah dimasukkan ke dalam syurga. Oleh itu hendaklah kita melakukan amal ibadat dengan penuh kusyuk dan yakin dengan meletakkan harapan bahawa kita pasti akan bertemu dengan Allah dan jangan ragu-ragu dengan itu.
Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang mengucapkan لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله, yakin dengan iman yang teguh, maka sesungguhnya akan keluar dari mulutnya seekor burung berwarna hijau dengan dua sayap putih bertaburan mutiara yaqud, dan ia terbang ke langit sehingga terdengar dengungannya di bawah Arasy, bagaikan dengung lebah sehinggalah disuruh, ‘Tenanglah, diamlah’. Maka burung itu berkata, ‘Tidak, sebelum Engkau (Allah) mengampuni orang yang membacanya’.”
Maka Allah s.w.t pun mengampunkan orang yang mengucapkan kalimah tersebut lalu burung itu diberikan 70 lidah untuk membaca istighfar bagi orang yang membaca لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله itu sehingga hari Kiamat. Dan apabila tiba hari Kiamat, maka ia akan menyambut orang yang membaca kalimah tersebut dan menontonya masuk ke syurga.
Dikisahkan pula ketika Allah s.w.t menenggelamkan Firaun dan tenteranya dan menyelamatkan Nabi Musa a.s, maka pada waktu itu Nabi Musa a.s telah berdoa, “Ya Allah ya tuhanku, tunjukkanlah kepadaku amal perbuatan untuk mensyukuri nikmatMu ini”. Kemudian Allah berfirman, “Wahai Musa, bacalah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله.” Nabi Musa bertanya lagi, “Ya Allah ya tuhanku, tambahkanlah lagi untukku.” Maka Allah berfirman, “Wahai Musa, sekiranya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di sebelah kiri neraca timbangan (mizan) dan diletakkan kalimah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله di sebelah kanannya, nescaya akan lebih berat bahagian لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله itu.”

Penghormatan malaikat kepada Mu'awiyah

Anas bin Malik R.A. berkata, “Sewaktu kami bersama-sama Rasulullah S.A.W berada di Tabuk, maka terbitlah matahari yang mana cahayanya belum pernah terlihat seperti itu sebelumnya. Jauhnya cahaya itu dari Rasulullah dengan kota Madinah ialah sebulan perjalanan. Maka dalam keadaan matahari yang redup itu, turunlah malaikat Jibrail ke bumi”.
Apabila melihat kedatangan Jibrail, maka Rasulullah pun bertanya, “Wahai Jibrail, kenapa matahari ini terbit dalam keadaan redup?” Malaikat Jibrail menjawab, “Matahari hari ini nampak seperti redup adalah kerana terlampau banyaknya sayap para malaikat”. Rasulullah terkejut lalu bertanya, “Apa halnya maka terjadi yang sedemikian?”
Kata Jibrail, “Ini adalah kerana Mu’awiyah meninggal dunia di Madinah, lalu Allah telah mengutuskan sebanyak 70,000 malaikat supaya membaca selawat untuk Mu’awiyah”. Rasulullah yang kehairanan bertanya lagi, “Apakah sebabnya?” Maka Jibrail pun menjawab, “Ini adalah kerana Mu’awiyah selalu banyak membaca ‘Qul huallahu Ahad‘ (surah Al-Ikhlas) pada waktu malam, siang, berjalan, berdiri, duduk, pergi dan balik pada setiap keadaan”.
Malaikat Jibrail menambah lagi, “Ya Rasulullah, mahukah kamu jika aku menggenggam bumi ini supaya bumi dapat membaca selawat untuk Mu’awiyah?” Rasulullah berkata, “Ya Jibrail, teruskanlah”. Setelah mendapat perintah dari Rasulullah, maka malaikat Jibrail pun memukul kedua-dua belah sayapnya pada bumi sehingga bumi menjadi sempit. Kemudian diangkatnya sehingga Rasulullah dapat melihat di belakangnya diiringi oleh malaikat yang berbaris-baris. Setiap satu baris itu terdapat 70,000 para malaikat.
Setelah itu Rasulullah pun mengerjakan solat untuk Mu’awiyah. Rasulullah bersabda, “Barang siapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka mayatnya tidak akan busuk di dalam kubur dan dia akan selamat dari kesempitan kubur. Para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian Siratul Mustaqim menuju ke syurga”.

Besarnya keampunan Allah kepada makhlukNya

Diriwayatkan bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w, Umar Ibnu Khattab salah seorang sahabat terdekat Rasullulah s.a.w menangis di depan pintu salah seorang isteri Rasullulah, yang didalamnya ada Rasulullah s.a.w. Mendengar suara Umar Ibnu Khattab berada di luar, maka Rasulullah s.a.w segera keluar dan bertanya kepada Umar Ibnu Khattab, “Hai Umar kenapa engkau menangis?”
Kemudian Umar menjawab: “Wahai Rasulullah, bersamaku ada seorang pemuda yang telah membuat hatiku sedih dengan tangisnya.”
Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan Umar agar membawa masuk anak muda tersebut ke dalam. Atas perintah tersebut, Umar Ibnu Khattab lalu mengajak pemuda yang datang bersamanya sambil keduanya tetap menangis.
Pemuda itu disuruh duduk di depan Rasulullah s.a.w dan Umar Ibnu Khattab duduk di sebelahnya. Rasulullah s.a.w kemudian bertanya: “Hai pemuda, kenapa engkau menangis?”
Pemuda itu menjawab sambil tetap menangis: “Wahai Rasulullah, dosaku sangat besar dan aku takut Allah memurkaiku…”
“Apakah engkau telah menyekutukan Allah dengan sesuatu?” tanya baginda s.a.w.
“Tidak, ya Rasul,” sahut pemuda itu sambil tetap menangis.
“Apakah engkau telah membunuh seseorang dengan alasan yang tidak benar?” Rasulullah s.a.w kembali bertanya.
“Tidak ya Rasul,” sahut pemuda itu sambil terus menangis.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh, dosamu sebesar apa pun, Allah akan mengampuninya, sekalipun memenuhi langit dan bumi.”
“Sungguh dosaku lebih besar dari itu, ya Rasul,” sahut pemuda itu.
“Apakah besar dosamu melebihi Arasy? Besar mana dengan Arasy?” tanya baginda s.a.w lagi.
“Dosaku sangat besar, ya Rasulullah.”
“Lalu besar mana dosamu dengan keagungan, ampunan, dan rahmat Allah?” tanya Rasulullah s.a.w.
“Tentu keagungan, ampunan, dan rahmat Allah lebih besar. Tetapi dosaku sangat besar, ya Rasulullah” jawabnya diantara esakan tangisan.
Kerana kurang mengerti maksud pengakuan dari pemuda itu, akhirnya Rasulullah s.a.w mendesaknya, “Cuba katakan dosa apa yang pernah kau perbuat?”
“Aku malu menyebutnya, ya Rasulullah…” kata si pemuda itu.
Kerana Rasulullah s.a.w terus mendesak pemuda itu untuk mengatakan dosanya secara jujur. Maka dengan perasaan malu dan takut, pemuda itupun menceritakan dosa yang dilakukannya.
“Wahai Rasulullah, aku ini seorang penggali kubur, sejak tujuh tahun lalu. Hingga meninggalnya puteri dari seorang sahabat Ansar. Melihat kecantikan dan kemontokan tubuhnya, nafsu berahiku memuncak. Setelah kuburan sepi, ku bongkar kuburnya dan ku telanjangi mayat gadis itu. Setelah ku cumbui, nafsu berahiku tak dapat ku tahan, lalu ku setubuhi. Ketika itu mayat gadis itu (diizinkan Allah) berkata, “Tidakkah kau malu kepada Allah, pada hari Allah menghukumi orang-orang berbuat zalim, sementara engkau menelanjangiku dan menyetubuhiku diantara orang-orang yang telah mati. Engkau membuatku dalam keadaan junub dihadapan Allah!”
Mendengar pengakuan dari si pemuda itu, Rasulullah s.a.w segera bangkit berdiri dan meninggalkannya, seraya berseru: “Hai pemuda fasik, pergilah! Jangan engkau dekati aku! Nerakalah tempatmu kelak!”
Pemuda itu pun segera keluar meninggalkan rumah Rasulullah s.a.w seraya menangis. Dia berjalan dengan arah tak menentu keluar kampung. Sampailah dia di padang pasir yang luas lagi panas. Tujuh hari lamanya ia tidak makan dan minum kerana penyesalan dan kesedihan yang sangat mendalam hingga lemahlah keadaan tubuhnya tak kuasa lagi berjalan, lalu kemudian jatuh tersungkur di tempat itu. Di atas pasir ia bersujud kepada Allah, lalu berdoa dan memohon ampunanNya dalam tangisnya.
“Ya Allah, aku adalah hambaMu yang telah berbuat dosa besar. Sekarang aku datang ke pintuMu, agar Engkau berkenan menjadi penolongku disisi kekasihMu. Sungguh Engkau Maha Pemurah kepada hamba-hambaMu dan tiada tersisa harapanku kecuali kepadaMu. Ya Allah Tuhanku, sudilah menerima kehadiranku, kalau tidak datangkanlah apiMu dari sisiMu, dan bakarlah tubuhku dengan apiMu di dunia ini, daripada Kau bakar tubuhku di akhirat nanti.”
Setelah itu Malaikat Jibril a.s datang kepada Rasulullah s.a.w. Usai menyampaikan salam dari Allah, Jibril a.s berkata: “Wahai Muhammad, Allah s.w.t bertanya kepadamu, “Apakah engkau yang menciptakan makhluk?”
“Bahkan Dialah yang menciptakan diriku dan mereka,” jawab Rasulullah s.a.w.
“Apakah engkau memberi rezeki kepada mereka?” tanya Jibril a.s.
Rasulullah s.a.w menjawab: “Bahkan Dia memberi rezeki padaku dan mereka.”
“Apakah engkau menerima taubat mereka?” tanya Jibril a.s untuk kali yang sekiannya.
“Bahkan Dia yang berhak menerima taubat dan mengampuni dosa-dosa hamba-Nya” ujar Rasulullah s.a.w.
Jibril a.s lalu berkata, Allah berfirman kepadamu; “Telah datang kepadamu seorang hambaKu dan dia menerangkan satu dosa dari beberapa dosanya, maka kamu berpaling (marah) kepadanya daripada dosanya, maka bagaimana keadaan orang-orang mukmin kelak, apabila mereka datang dengan dosa yang banyak lagi besar ibarat gunung yang besar? Engkau adalah utusanKu yang Aku utus sebagai rahmat untuk seluruh alam. Maka jadilah kamu orang yang sayang menyayangi pada semua orang yang beriman, menjadi penolong bagi orang-orang yang telah berdosa dan memaafkan ketelanjuran dan kesalahan mereka (hambaKu); kerana sesungguhnya Aku telah mengampunkannya (menerima taubatnya) dan dosanya.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. mengutus beberapa orang sahabat, maka mereka temui pemuda tersebut lalu memberikan khabar gembira kepadanya dengan maaf dan ampunanNya. Lalu mereka membawa pemuda tersebut berjumpa Rasulullah yang mana ketika itu beliau (Rasulullah) sedang menunaikan sembahyang Maghrib, dan merekapun bermakmum di belakangnya.
Ketika Rasulullah s.a.w. membaca surah Al Fatihah yang dilanjutkan dengan surah At-Takaatsur (Al Haakumuttakaatsur), sesampai baginda membaca ‘Hattaa Zurtumul Maqaabir’ (Kamu telah dilalaikan sehingga kamu masuk kubur), maka berteriaklah pemuda itu dengan keras sekali langsung jatuh. Ketika mereka selesai sembahyang, mereka dapati pemuda itu telah meninggal dunia. Mudah-mudahan Allah Taala membelas kasihaninya.
Dipetik dari kitab Misykatul Anwar

Qarin: Pendamping setiap manusia

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

Dialog malam pertama...


Di malam yang hening, merupakan malam pertama bagi sepasang suami isteri ini, malam penentuan pertarungan hak dan batil. Malam yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai yang baru hangat diraikan dalam majlis kenduri tengahari tadi. Alam bagaikan mengerti, hujan rintik-rintik dan sejuk yang nyaman di perkampungan seperti ingin membasahkan kehangatan suami isteri malam ini.
Suatu yang mengesankan ialah inilah kali pertama mereka bersua muka, menatap wajah pasangan dengan lebih dekat, menyentuh kulit mulus isteri yang dicintai dan inilah debaran malam pertama bagi mereka. Sebelum ini , mereka tidak pernah sedekat ini, jika adapun bertemu di hadapan keluarga masing-masing, jika ada pun bertemu bersama kawan-kawan. Tidak pernah mereka berjalan beriringan, tidak pernah mereka menjangka bahawa satu perkenalan, satu masa yang singkat terus membawa kepada jinjang pelamin. Alam pernikahan yang begitu asing bagi mereka.
Malam semakin larut, si suami membasahkan tubuhnya menyucikan diri. “Aneh” bisik isterinya. Di malam-malam begini yang dingin mengapa perlu membasahkan tubuh? Lebih aneh selepas itu suaminya masuk ke bilik belakang yang kosong agak lama sehingga memaksa isterinya mengintip di celahan pintu bilik itu. Alangkah terkejutnya, suaminya seakan mati, kaku dengan gerakan sujud dan terdengar esakan kecil umpama merintih.
Dia tahu apa yang dilakukan oleh suaminya dan dia akur. Itulah cinta suaminya yang sejati. Dia tidak perlu cemburu dengan cinta itu dan dia pernah berfikir walaupun segunung cintanya pada suaminya, tidak akan sama dengan cinta suaminya di bilik kosong itu. Dia menunggu, bertelekung di atas taburan bunga mawar di atas katil empuk itu. Si suami keluar dan memandang tepat ke arah isterinya, isterinya menunduk malu.
Isteri : Mengapa awak pilih saya?
Suami : Kerana awak berniqab (memakai purdah).
Isteri : Ramai kan yang berniqab?
Suami : Kerana awak ada agama.
Isteri : Ramai kan yang ada agama?
Suami : Kerana awak adalah jodoh ketentuan dari Allah S.W.T.
Isteri kehabisan soalan, dia tahu jawapan itu tidak ada persoalan lagi.
Suami : Saya jumpa awak yang saya nampak hanya 2 biji mata, saya tak tahu wajah awak dan selepas itu saya terus tidak melihat wajah awak, tetapi saya melihat di rumah awak, di hadapan ibu bapa awak. Ketika mereka menyaksikan hasrat saya untuk memiliki awak dan ketika awak membuka niqab, saya tidak perlu tahu selanjutnya wajah awak kerana itu bukan tujuan utama saya memiliki awak.
Isteri : Saya tidak cantik…
Suami : Lebih baik beristerikan perempuan yang berkulit hitam, berbibir tebal tetapi mempunyai Agama dalam dirinya adalah nikmat yang paling cantik daripada memiliki isteri yang berkulit mulus, tetapi tiada agama dalam dirinya. Tetapi jika cantik dan ada agama itu adalah anugerah Allah kepada saya. Tetapi adakah perempuan sedar, mereka yang menampakkan kecantikan yang haram didedahkan tetapi akhirnya mereka adalah bahan bakar di neraka kelak. Wana’uzubillah.
Isteri : Saya juga ingin cantik…
Suami : Sayang, kecantikan awak takkan kekal. Awak akan dimakan usia. Tetapi mahukah awak kekal cantik selamanya?
Isteri: Itu yang saya mahukan…
Suami : Mahukah awak menjadi secantik bidadari, malah lebih dari itu?
Isteri: Perempuan di dunia ini sehabisnya menyolek diri mereka umpama bidadari tetapi adakah mereka berjaya?
Suami : Ada caranya, malah tidak perlu berhabis ribuan ringgit!
Isteri: Yakah?, tunjukkan caranya!
Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Isteri : Saya kurang faham, di mana alat-alat mekapnya?
Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.” (HR. Al-Bazaar).
Isteri : Bagaimana cantiknya saya di dalam syurga nanti?
Suami : Tolong ambilkan Al-Quran atas meja tu dan Tafsir Ibnu Kathir yang kawan awak hadiahkan tu. Awak ada wudukkah?
Isteri : Ada. Nanti sekejap.
Suami : Lihat Surah Al-Waqiah, “Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung.” (ayat 35 ), Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru. Dalam keadaan mereka itu muda dan perawan. Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang berikutnya “Dan Kami jadikan mereka itu gadis perawan” (ayat 36).
Isteri : Saya belum dapat bayangkan macam mana cantiknya saya nanti.
Suami : Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman lagi “(Tentang wanita) penuh cinta (kepada suami mereka) lagi sebaya umur” (ayat 37). Dalam Ayat ini, Allah menerangkan mereka ini (wanita) terlalu asyik mereka hanya kepada suami mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka. Cinta mereka hanya kepada suami mereka sahaja (Tafsiran Ibn Abbas).
Isteri : Sahih tu bang, tapi saya nak bayangkan macam mana cantiknya saya dalam syurga nanti.
Suami: Baiklah, tunggu sekejap saya ambil kitab hadith, lihat ini ada Riwayat dari Hadis Tabhrani, sambungan dari yang zahir lebih baik dari yang batin yang saya ceritakan tadi, ingatkah?
Isteri : Oh! ada, saya ingat.
Suami : Maka bertanya lagi Ummu Salamah: Dengan apa yang menyebabkan mereka lebih baik, Baginda pun bersabda: dengan solat mereka, puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah. Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit mereka berwarna putih, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan dengan perhiasan berwarna kuning (yakni emas) rantai mereka daripada permata, sikat mereka daripada emas. Lalu mereka berkata: Kami kekal (di dalam syurga) dan kami tidak akan mati lagi, kami memperolehi nikmat dan kami tak akan bersedih lagi, kami akan kekal di dalam syurga dan kami tidak akan berpindah, kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah, beruntunglah sesiapa yang kami (dijadikan) untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami. Lalu Ummu Salamah bertanya lagi: Wahai Rasullallah, ada di kalangan kami yang berkahwin dengan dua orang lelaki, atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian, cerai atau lainnya), kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga, maka siapa yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Baginda menjawab: Dia akan memilih yang terbaik di kalangan mereka dari segi akhlak. Nah! Hadith ini dengan jelas menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari.
Isteri : Alhamdulillah, baru saya faham. Maksudnya jika saya berjaya menjadi wanita solehah dengan ciri-ciri dari firman Allah dan hadith, maka saya akan masuk syurga dan menjadi lebih cantik dari bidadari!
Suami : Wanita yang merupakan ahli syurga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya. Dan nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki di dalam syurga adalah sesuai dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik awak atau pun saya, apakah yang amat dihajati oleh kita dan sekiranya kita diberi peluang nescaya kita akan mendapatkannya? Pada pandangan saya, orang lelaki lebih berhajat kepada wanita manakala wanita pula di samping berhajat kepada suami, akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka. Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga?
Isteri : Saya tahu sedikit dari ilmu yang saya kutip, tetapi ada yang saya lupa, eloklah saya mendengar sendiri dari suami saya!
Suami : Ya. Saya juga muzakarah dengan awak, lagi satu, bidadari syurga yang bukan dari kalangan isteri saya akan memarahi awak juga!
Isteri : Hah! Bidadari marah saya? Kenapa? Macam mana awak tahu?
Suami : Buka kitab hadis tadi, baca “Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari isterinya di syurga akan berkata kepadanya: Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” (H.R. Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal r.a)
Isteri : Wah! Saya amat takut jika awak meninggalkan saya di dunia lebih menyedihkan jika saya tidak dapat berjumpa awak di syurga!
Suami : “Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” (H.R. Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Isteri : Alhamdulillah! Baru saya faham sejelasnya, terima kasih abang. Tetapi itukan banyak persoalan tentang saya, bagaimana saya dalam keluarga yang taat kepada perintah Allah, yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan akan mendapat nikmat syurga. Bagaimana dengan diri abang?
Suami : Oh itu masa tidak mengizinkan, biarlah kita berbicara satu bab dengan teliti. InsyaAllah esok malam kedua kita bicarakan soal itu ya.
Artikel oleh : Ibnu Rahman

Amalan songsang yang selalu dibuat...

Pernahkah anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.
Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan dia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau dia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si mati, kita patut memberi sedekah dan kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara atau majlis-majlis rasmi, kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan dijamu makan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang dituntut tetamu harus banyakkan makan dan habiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak dan solat fardhu yang digalakkan berjemaah di masjid.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan, tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam, akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?
8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah anak ke kelas tuisyen walaupun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Al-Quran atau tak pandai hukum hakam agama, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen mengaji Al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM70.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM50.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al-Quran atau solat dari tidak lulus peperiksaan.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri padaNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, pakai kain batik atau biasa-biasa saja. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012