Thursday, September 27, 2012

SETIAKU DI SINI : BAB 2

BAB 2
Azfar menghambur helaian kertas di tangannya. Bertaburan memenuhi ruang pejabat yang luas. Ditumbuk mejanya sekali. Menghasilkan irama yang tidak senang didengari mana–mana peluput telinga. Tidak terasa kesakitan yang menjalar di tangan. Rasa marah yang membengkak di dalam hati dirasakan lebih melukakan dari segalanya.
Disebak kasar rambutnya beberapa kali. Sakit yang terasa di segumpal hati miliknya bagaikan sembilu yang begitu menyengat. Begitu menyakitkan. Menusuk seluruh jiwa yang sememangnya sedari awal telah membengkak marah. Malah jika diukur dengan ketinggian mana–mana gunung di dunia pun rasanya masih tidak mampu melawan ketinggian rasa marah yang menimbun di hatinya kala ini.
Sudah hampir dua minggu dia berkeadaan begitu. Pantang ditegur, ada sahaja penangan yang diberi. Tak mengira masa mahu pun tempat, amukannya kembali menyerang walau hanya untuk perkara remeh.
Bunyi interkom di meja mematikan sejenak tingkahnya. Hanya rengusan kesat tersembur keluar dari celah bibirnya. Kasar jari telunjuknya menekan butang mesin suara itu.
“Selamat tengah hari Cik Harith Azfar,” suara Kamelia, setiausahanya kedengaran lembut melantun ke seluruh ruang bilik pejabatnya.
“Hah, ada apa? Kan saya dah pesan, saya tak nak diganggu oleh sesiapa pun hari ni. Awak tak reti bahasa ke Lia?” tengking Azfar kuat.
Tegak bulu roma para pekerja yang terdengar. Cukup mengerunkan semua. Masing–masing saling membalas pandangan sebelum mengangkat bahu. Tidak mengerti dengan situasi yang dialami ketua mereka kala ini.
“Saya faham Cik Azfar tapi Dato’ Raid on the line now. Dia nak cakap dengan encik,” balas Kamelia sedikit mengeletar. Ketakutan dengan amarah yang membungkus diri ketua yang selama ini bertingkah sebaliknya.
“Huh!!” Azfar merengus kasar.
“Dia nak apa?” tanyanya sedikit menengking.
Rasa marah yang memacu sekeping hati miliknya menyebabkan dia tidak mahu berbual jauh sekali bertemu dengan sesiapa ketika ini.
“Saya tak tahu Cik Azfar. Mungkin ada hal penting yang ingin dicakapkan pada Cik,” sahut wanita itu lagi.
Penuh tertib dan adab. Menadah telinga mendengar rengusan kasar lelaki itu.
Pass it to me!” sahut Azfar tinggi. Dia merengus lagi.

“Assalamualaikum,”
Suara seseorang memberi salam membantutkan pergerakan Puan Marini yang sibuk mengemas ruang tamu rumahnya. Laju sahaja mulutnya menyahut salam kesejahteraan itu. Dijengul kepalanya di celah daun pintu rumah yang tidak tertutup rapat.
“Oh, Mahfuzah rupanya, makcik ingatkan siapa tadi,” suaranya ceria sebaik terpandang gerangan empunya suara.
Puan Marini membuka pintu rumah seluasnya seraya berdiri di muka pintu. Dia tersenyum lebar.
“Jemputlah masuk Fuzah,” pelawanya ramah.
Matanya melekat sejenak pada wajah gadis yang dipanggil Mahfuzah itu.
Gadis itu tersenyum manis.
“Tak apalah makcik. Fuzah datang ni pun sebab nak hantar rendang ayam ni aje. Umi buat lebih tadi. Dia bagi sikit pada makcik dan pakcik,” suara gadis itu menghulur semangkuk hidangan yang ada di tangannya.
Puan Marini menyambut gembira.
“Amboi, sedapnya bau. Terima kasih ya Fuzah. Buat susah-susah je,” suaranya. Meletak mangkuk yang telah beralih tangan  ke atas meja di ruang tamu.
“Tak ada apa yang susahnya makcik. Fuzah tolong hantarkan je,” jawab gadis itu.
Fuzah tak kerja ke hari ni?” Puan Marini kembali memalingkan wajah. Mengadap Mahfuzah yang menggeleng perlahan.
“Tak makcik. Fuzah ambil cuti hari ni. Ada hal yang perlu Fuzah selesaikan,” sahutnya sopan.
Matanya meligas sejenak ke seluruh ruang tamu yang kelihatan kemas dan teratur dari biasa. Terlihat kelainannya.
“Amboi makcik, lain je saya tengok ruang tamu rumah ni. Cantik dan berseri. Macam nak sambut kedatangan tetamu jauh saja,” usiknya tersenyum lebar.
Dia yang masih berdiri di sisi wanita itu memandang sejenak wajah Puan Marini yang mengangguk sedikit.
“Haah Fuzah. Anak saudara makcik yang tinggal di England nak balik ke mari lusa. Itulah yang membuatkan makcik sibuk sikit dua tiga hari ni. Maklumlah, ini kali pertama dia nak balik ke sini. Dah dua tiga hari lagi nak balik baru dia beritahu. Mahu tak kelam kabut makcik dibuatnya,” ramah wanita itu bercerita.
“Oh, patutlah Fuzah tak nampak makcik kat laman rumah sehari dua ni. Rupanya sibuk buat persiapan nak sambut kedatangan orang jauh,” ujar Mahfuzah mengulum senyum.
“Itulah Fuzah. Makcik ni bukannya apa, dah lama sangat tak jumpa dengan anak saudara makcik tu. Bila makcik mendapat tahu dia nak balik menetap dengan makcik kat sini, seronoknya hati makcik ni hanya Allah saja yang tahu Fuzah,” sambut Puan Marini penuh gembira. Terpancar rasa itu di riak wajah tuanya.
“Eh, marilah masuk Fuzah. Dari tadi berdiri kat pintu ni saja. Marilah ke dalam. Bolehlah kita berbual panjang lagi,” suara wanita itu lagi tatkala menyedari gadis itu hanya berdiri di muka pintu sedari tadi. Mempelawa buat kali kedua pada Mahfuzah yang menolak sopan.
“Eh, tak payahlah makcik. Fuzah datang pun sebab nak hantar rendang tu je. Lain kali sajalah Fuzah masuk. Lagipun masih banyak lagi kerja yang perlu Fuzah lakukan kat rumah tu. Nanti bila ada masa Fuzah datang lagi ya. Bolehlah Fuzah berkenalan dengan anak saudara makcik tu nanti,” suara Mahfuzah meminta diri.
“Kalau begitu terima kasihlah ya Fuzah sebab sudi beri makcik rendang ayam ni. Tak payahlah makcik masak apa-apa lagi untuk makan tengah hari nanti,” suara Puan Marini masih mengukir senyuman lebar.
“Alah, tak payahlah makcik nak ucap terima kasih. Bukannya ada apa pun semua tu. Fuzah balik dulu ya makcik,” ujar Mahfuzah menghayun langkah.
Menuju ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah wanita itu. 
“Yalah,”
Mata Puan Marini masih melekat pada tubuh Mahfuzah. Dalam hati dia memuji kehalusan budi bahasa dan tingkah laku gadis bertudung litup itu.
Sayang dia tidak mempunyai anak, jika tidak sudah pasti Mahfuzah itu menjadi pilihan untuk dijadikan menantu. Itu kata hatinya setiap kali terpandangkan gadis itu.
Puan Marini tersenyum sendiri tatkala teringatkan angan-angannya itu. Dia kembali menyambung tugas yang terhenti seketika sebentar tadi. 

Monday, September 24, 2012

KEJORAKU BERSATU : BAB 3


BAB 3
“Kenalkan, ini Safuan, salah seorang jurutera syarikat kita. Yang ini pula Farid, ketua bagi Jabatan Perancangan syarikat,” ujar Tengku Azhar memperkenalkan beberapa orang lagi pekerja kepada Tengku Anuar. Dia menyambut huluran tangan mereka. Mesra.
“Dan yang ini, Atika. Mulai sekarang Atika akan menjadi setiausaha kamu,” Di unjuk jarinya ke arah seorang wanita berbaju kurung berwarna biru laut lembut.
“Apa khabar Tengku Anuar?” Wanita bertudung putih itu tersenyum manis padanya.
Tengku Anuar hanya tersenyum mengangguk.
“Seperti mana yang kamu semua ketahui, hari ini merupakan hari pertama Tengku Anuar bertugas di syarikat ni. Sekaligus menjadi salah seorang dari kakitangan syarikat kita. Saya berharap semua dapat memberikan kerjasama yang baik kepadanya seperti mana yang telah kamu berikan kepada syarikat selama ini,” Kata-kata Tengku Azhar di balas dengan anggukan kepala pekerja-pekerja yang berada di ruang lobi pejabat pagi itu.
So Anuar, ada apa-apa yang ingin kamu perkatakan?” soal Tengku Azhar memandang wajah pemuda itu.
Tengku Anuar tersenyum sedikit.  
“Terima kasih kepada semua kerana sudi berkumpul di sini pagi ni. Saya harap kita semua akan dapat bekerjasama seperti sebuah keluarga yang besar dalam syarikat ni. Jika saya ada melakukan sebarang kesalahan, sudilah kiranya memberi teguran dan tunjuk ajar,” ujarnya tenang.
“Insya Allah Tengku,” ujar beberapa pekerja lelaki yang berdiri tidak jauh dari situ.
Mereka yang lain hanya menganggukkan kepala.
Just call me Anuar,” sahut Tengku Anuar pantas.
Seperti adik beradiknya yang lain, Tengku Anuar turut kurang senang jika ada sesiapa yang memanggilnya dengan panggilan Tengku. Baginya, gelaran Tengku itu hanyalah satu gelaran yang menjadi warisan keluarga mereka yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Tidak mempunyai makna yang khusus.
“Baiklah Encik Anuar,” sahut para pekerjanya kembali.
Kali ini dengan menggunakan panggilan yang sama mereka gunakan pada Tengku Azhar dan Tengku Afzan. Tengku Anuar tersenyum senang.
So, kalau tak ada apa-apa lagi kamu semua boleh kembali ke jabatan masing-masing,” ujar Tengku Azhar sekaligus menamatkan pertemuan itu.

“Cik Nina, ini dia senarai nama pelanggan tetap kita yang Cik Nina minta minggu lepas,” Sandra menghulur sehelai kertas sebaik ternampak Nina menolak pintu pejabat.
“Kalau iya pun San, bagilah saya duduk dulu,” ujar Nina sedikit bergurau.
Dia yang baru saja tiba di pejabat pagi itu menarik nafas panjang seraya tersenyum kecil. Dihempas punggungnya di sofa yang ada di ruang pejabat.
“Maaf Cik Nina,” Sandra tersengih kecil. Malu dengan sikapnya yang sedikit terburu itu.  
“Bagi saya kertas tu,” ujar Nina setelah beberapa ketika melepas lelah.
Sandra segera mengunjuk kertas yang diminta. Nina menyambut perlahan.
“Bengkel dah buka ke?” Tanpa memandang wajah Sandra, Nina menyoal perlahan. Matanya sibuk meneliti kertas yang berada di tangannya.
“Belum Cik Nina. Bukankah selalunya bengkel di buka pada pukul sembilan setengah pagi?” ujar Sandra sedikit hairan. Seingatnya, sepanjang dia bekerja dengan Nina, inilah kali pertama gadis itu bertanya begitu padanya.
“Sekarang pukul berapa?” giliran Nina menyoal hairan. Wajah tercengang Sandra direnung sejenak.
“Sekarang baru pukul sembilan pagi cik Nina,” balas Sandra.
Nina memandang sekilas jam di tangan. Ditepuk dahinya perlahan. Menggeleng-geleng beberapa kali.
“Hmm, tak apalah San, saya masuk dalam dulu,”
Nina bangun mengatur langkah menuju ke biliknya.
“Oh ya Sand,” Nina kembali berpaling. “Nanti kalau budak-budak tu dah datang, awak beritahu saya ya,”
“Budak-budak mana pula ni Cik Nina?” Sandra menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Awak ni, budak-budak mana lagi kalau bukan kawan-kawan awak yang kerja kat bengkel saya tulah,” sambungnya sedikit mendengus.
Sandra tersengih kecil.
“Oh, dia orang. Yalah, Cik Nina,” balasnya tersenyum simpul sebelum kembali menyambung tugasnya.
Nina menolak daun pintu perlahan. Dilabuh punggungnya di sofa yang ada di bilik itu. Dahinya dipicit perlahan. Sakit kepala yang dirasainya dek terkena hujan malam tadi dirasakan masih berbaki. Dialih pandangan ke arah meja di sebelah sofa.
Memandang fail yang bertimbunan di meja membuatkan kesakitan yang berdenyut di kepala semakin terasa. Dia mengeluh kecil. Perhatiannya teralih tatkala telefon bimbitnya menjerit kuat. Nina sedikit tersentak. Di tarik keluar telefon yang terselit di seluar jeans yang tersarung di tubuh. Dia mengeluh halus tatkala terlihat nama yang tertera di skrin telefon.
“Hello, assalammualaikum,” perlahan dia bersuara sesudah butang telefon ditekan.
“Waalaikumusalam. Hai Nina, kau tengah buat apa tu?” suara Asyikin, sahabat baiknya kedengaran di hujung talian.
“Tak buat apa pun. Mimpi apa kau call aku pagi-pagi begini?” soalnya malas sambil tangan kanannya memicit kepalanya yang terasa berdenyut-denyut.
“Mana ada aku mimpi apa-apa pun. Aku nak ajak kau lunch dengan aku tengah hari nanti. Boleh?”
“Hmm, okey. Kat mana?”
“Kat mana lagi, kat tempat biasalah,” balas Asyikin.
“Kita berdua aje ke?” soalnya agak lemah.
“Isy kau ni, tak bestlah kalau kita berdua aje. Aku dah ajak Khalidah sekali,”
“Okeylah kalau macam tu. Jumpa nanti di sana,” balasnya.
Talian diputuskan. Nina mengeluh perlahan. Telefon bimbit di tangan diselit semula di celah poket seluar. Dia bangun menuju ke meja kerjanya. Menarik sebuah fail di atas meja. Tangannya menyelak satu persatu helaiannya. Mula menyiapkan kerja-kerja yang masih terbengkalai. 

CINTA SEJATI : BAB 3

BAB 3
Yashmaan melemparkan pandangan ke luar cermin pintu balkoni. Matanya terpaku ke arah jalan raya yang sibuk. Dari tingkat tertinggi hotel itu dia dapat melihat bandaraya Dubai yang bersesakan dengan kenderaan.
Telah menjadi kebiasaan bagi penduduk kota yang sedang pesat membangun itu menjalankan aktiviti seharian mereka di awal pagi. Ditambah dengan pembinaan bangunan-bangunan yang dilakukan hampir di setiap sudut kawasan menjadikan bandaraya itu kelihatan sesak.
Yashmaan masih berdiri di situ. Pandangannya di hala pula ke arah pantai Jumeirah yang terletak tidak jauh dari hotelnya. Dari jauh matanya dapat menangkap pemandangan yang begitu indah menghiasi keadaan sekitar pantai yang terkenal di seluruh dunia itu.
Sesekali matanya melirik ke arah jam yang tergantung di dinding.
Baru pukul 10, getusnya perlahan.
Penat berdiri, dia menarik kerusi di sebelahnya. Dihempas tubuh sasanya ke kerusi kayu itu. Mengadap komputer yang sejak tadi terpasang. Jari jemarinya mula mengerakkan tetikus komputer. Mencari sesuatu. Namun tak lama, gerakannya terhenti. Bosan menguasai dirinya.
Perlahan dia mendengus kecil.
Nak buat apa sekarang ni? Dia mengomel sendiri. Kedua-dua belah tangannya diletak di belakang kepala. Bersandar seketika. Matanya di pejam rapat. Dia berkhayal seketika.
Bunyi ketukan di pintu membuatkan matanya kembali terbuka. Tubuhnya kembali ditegakkan tatkala daun pintu dibuka dari luar.
Roselle, setiausahanya yang berasal dari Belgium melangkah sopan menghampiri mejanya.
“Mr. Yashmaan, you have letter from Scotland,” sambil tersenyum kecil gadis manis itu menutur lembut.
Give it to me,” balas Yashmaan.
Tangannya mencapai huluran kertas gadis bertubuh genit itu. Dibacanya sekali imbas.
Anything else, Rose?
Tanpa mengangkat muka, dia menyoal perlahan.
Roselle mengelengkan.
That’s all, sir,”
Yashmaan mengangguk lagi. Di dongak seketika wajahnya. Matanya di kerling sekilas ke arah pintu sebelum dialih semula pandangan ke arah gadis itu.
Mengerti dengan maksud pandangan itu, Roselle segera meminta diri untuk keluar. Yashmaan mengukir senyum.

So, macam mana dengan meeting semalam?”
Zara melontarkan soalan sebelum sempat dia melabuhkan punggung. Wajah Mahfeez yang duduk bersandar di depannya di pandang tepat. Lelaki itu tersenyum panjang.
“Kalau iya pun, kau duduklah dulu,” ujar Mahfeez.
Kemudian Mahfeez menyorong gelas berisi air limau ke depan Zara.
“Minumlah, aku pesan sebelum kau sampai tadi,” ujarnya lagi.
Zara tersenyum lebar.  Lelaki itu memang mengetahui citarasanya. Mahu tak mahu terpaksa juga Zara melabuhkan punggungnya di situ.
“Okey, aku dah duduk sekarang. So, jawablah soalan aku ni. Macam mana dengan meeting semalam?”
Pertanyaannya diulang semula. Jarinya mencapai penyedut minuman sebelum menyedut perlahan air limau.  “Manis,” detik hatinya.
 “Well, diaorang setuju nak berikan projek tu pada syarikat kita,” beritahu Mahfeez, senyuman di bibirnya melebar.
Are you serious?” soal Zara. 
Matanya memandang tepat bola mata lelaki berkumis nipis itu. Mulutnya sedikit terbuka. Seakan tidak percaya mendengar kenyataan yang baru keluar dari mulut temannya itu.
“Of course I’m serious Zara,” balas Mahfeez tenang.
Dia masih tersenyum lebar. Mata kanannya dikenyitkan sekali ke arah wanita itu.
Are you sure?” Zara inginkan kepastian, nada suaranya ditekan sedikit.
Yes, I’m very sure about this,”
Geli hati Mahfeez melihat wajah Zara begitu. Wajah wanita itu tidak menampakkan keyakinan pada setiap butir katanya sebentar tadi.
Zara menarik nafas panjang.
“Aku rasa macam tak percaya saja,”
Lambat-lambat dia bersuara. Tangannya mencapai semula gelas berisi air limaunya.  Disedutnya sedikit.
Mahfeez tertawa kecil.
“Hei, come onlah Zara. Ini Mahfeezlah.”
Lelaki itu tersenyum lagi. Di angkat sedikit kening kanannya. Menampakkan rasa megah yang menapak di jiwa lelakinya.
Zara yang memandang segera mencebik bibir.
“Huh, bongkaknya,” ujar Zara, dijeling sekilas sebelum dihembus nafas pendek.
“Bukan aku aku tak percaya dengan kau Feez, tapi hairan. Macam mana dia orang setuju untuk bekerja sama dengan syarikat kita walhal bukannya senang nak dapat projek pembinaan hotel bertaraf lima bintang itu,” ujar Zara lagi.
“Ala Za, apa yang nak dihairankan sangat tentang tu. Kalau prestasi sesebuah syarikat tu baik, tak kiralah besar atau kecil, semua tu takkan jadi ukurannya untuk mendapatkan sesuatu projek,” tukas Mahfeez.
 “Lagipun Za, bukankah syarikat tempat kita bekerja tu milik orang Arab? Of courselah peluang untuk syarikat kita nak dapat projek hotel tu besar,” ujarnya lagi.
Zara sekadar mengangguk. Bersetuju dengan pendapat teman baiknya itu.
“Nampaklah tahun ni gaji kau akan bertambah lagilah Feez,”
Zara mengerdip kelopak matanya beberapa kali. Tangan kirinya menopang dagu sambil matanya memandang tepat lelaki bertubuh sederhana itu.
“Inilah yang dikatakan rezeki,” Pantas Mahfeez membalas.
Zara hanya tersenyum.
”Kau tengok muka aku ni, muka rezeki kau tau. Senang-senang je aku dapatkan projek tu,”sambungnya.
“Yelah tu. Ini bukan rezeki, tapi nasib namanya,”
Zara segera menyangkal. Sekadar mengusik lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun yang lalu.
Mahfeez menjeling sedikit. Hilang senyuman yang menghiasi wajahnya. Hatinya kini digigit geram mendengar tutur kata wanita itu. Walau pun dia tahu wanita itu sekadar bergurau namun entah mengapa hatinya bagaikan terasa.
“Ikut suka hati kaulah Za, nak kata apa pun. Yang penting, kita dah dapat projek tu,’ Nada suara Mahfeez kedengaran seakan merajuk, jauh hati dengan sikap Zara yang seolah-olah tidak yakin dengan kebolehannya.
Zara yang memandang tersenyum geli hati. Dia sedar, adakalanya lelaki yang muda tiga tahun darinya itu bersikap kebudak-budakan. Pantang disakat, pasti akan merajuk namun rajuknya itu tidak lama.
So, kau buat apa tadi sebelum ke sini?” Mahfeez mengalih topik perbualan.
Mahfeez tahu, Zara tak akan cuba untuk memujuknya jika dia merajuk walaupun adakalanya dia benar-benar terasa dengan sikap wanita itu.
“Hmm, macam biasa. Hujung minggu begini, aku kemas rumah, memasak, basuh baju, mengadap komputer…,”
“Tunggu e-mel dia,” Pantas Mahfeez mencelah. Mempamerkan senyuman sinisnya.
Wajah Zara yang sedari tadi kelihatan ceria berubah menjadi sedikit keruh. Dia mendengus perlahan. Dijeling sedikit wajah lelaki itu dengan ekor matanya.
 “Iya kan?” Mahfeez kembali bersuara. Nada suaranya kedengaran seakan menyindir.
Zara tidak membalas. Dipaling wajahnya ke arah sungai Greek yang mengalir deras bersebelahan dengan restoran tempat mereka berada pagi itu. Matanya menyusuri arus sungai yang keruh, sekeruh hatinya yang dilanda badai dek tujahan kata Mahfeez.
Mahfeez melebarkan senyuman. Disandar semula tubuhnya ke kerusi. Kedua tangannya memeluk kemas tubuhnya.  Matanya mula menjelajah segenap pelosok wajah putih bersih milik Zara.
“Betulkan kata aku?” Mahfeez bersuara lagi. Pelukan di tubuhnya dikejapkan.
Zara tidak menyahut. Membiarkan saja soalan lelaki itu berlalu tanpa jawapan.
Melihat kelakuan Zara yang hanya mendiamkan diri, perlahan Mahfeez menarik nafas panjang. Dia tahu, wanita bertudung biru di depannya itu terasa dengan kata-katanya. Dia tidak bermaksud untuk menyakiti hati wanita itu.
Dalam diam, dia mengakui wanita bertubuh tinggi lampai itu berjaya menawan hati lelakinya sejak kali pertama mereka bertemu. Sifat kewanitaan yang menonjol dalam diri Zara menyebabkan hatinya begitu menginginkan wanita itu menjadi miliknya. Namun begitu, dia sedar, mana mungkin dia akan dapat memiliki hati wanita impiannya itu. Tak mungkin!
Mahfeez melepaskan keluhan kecil. Matanya masih melekat pada wajah keruh itu.
”Bertuahkan dia Za, dapat isteri secantik kau. Ada segalanya. Sayang, dia tak tahu menghargai pemberian Tuhan padanya,” ujar Mahfeez perlahan.
Zara masih mendiamkan diri. Matanya meratah satu persatu bangunan-bangunan pencakar langit yang terbina kukuh di sepanjang tebing sungai. Tidak dipeduli kata-kata lelaki itu.
“Kalau aku di tempat kau Za, dah lama aku minta cerai. Ramai lagi lelaki yang boleh kau buat suami. Tak payah cari jauh-jauh, yang dekat dengan kau pun ada,”
Mahfeez menjeling sedikit ke arah Zara. Sengaja dia meninggikan sedikit nada suaranya pada ayat terakhirnya tadi. Berharap wanita itu dapat memahami maksud kata-katanya.
Zara kembali memandang ke arah Mahfeez. Raut wajah wanita itu kelihatan serius. Wajah Mahfeez yang sedari tadi merenungnya dipandang seketika.
“Terpulanglah pada kau nak cakap apa pun Feez. Aku tak peduli dengan semua tu. Aku bahagia dengan duniaku sekarang dan aku tahu, selagi aku tak menyusahkan hidup orang lain maka orang lain pun tak perlu susahkan hidup mereka untuk aku,” tegas dia bersuara.
Zara menarik beg tangannya yang diletakkan di atas meja sejak tiba tadi. Disangkut di bahu kirinya sebelum menolak pantas kerusinya.
“Okeylah Feez, aku balik dulu. Banyak lagi kerja yang perlu aku lakukan kat rumah tu. Apapun tahniah, kau dah dapatkan projek besar tu untuk syarikat kita. So, esok make sure kau bagi laporan pada bos tentang meeting tu. Aku minta diri dulu.”
Zara mula mengatur langkah meninggalkan Mahfeez yang terpinga-pinga dengan tindakannya yang tiba-tiba itu.
Mahfeez melepaskan keluhan. Dia terkilan dengan sikap Zara yang seolah-olah tidak mempedulikan perasaannya. Bukan sekali dua dia meluahkan rasa hatinya pada wanita itu. Sudah berkali-kali.
Namun bagi Mahfeez, semua itu bukan penghalang untuknya memiliki wanita itu. Cuma, sikap tegas dan keras hati wanita itu yang menghalangnya dari berbuat demikian. Mahfeez mengeluh lagi. 

Saturday, September 22, 2012

Ujian yang sebenar adalah ketika bersendirian


Kebanyakan manusia dapat meninggalkan dosa dan maksiat bila berada di khalayak ramai. Malah mereka giat menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran. Itu Merupakan akhlak yang terpuji. Namun belum pasti ketika bersendirian dia mampu mengawal hawa nafsunya dari melakukan dosa. Semuanya bergantung kepada kekuatan iman.

Inilah sebenarnya ujian yang sebenar. Dapat meninggalkan dosa di depan orang ramai adalah tidak menghairankan. Sifat malu dan takut maruah diri tercemar telah menghalang dirinya dari melakukan dosa. Namun bila bersendirian dan ketika tiada sesiapa yang memandangnya belum pasti dia mampu mencegah dirinya dari melakukan dosa.

Allah telah melarang kita dari melakukan sebarang dosa baik secara terbuka mahupun ketika bersendirian. Terdapat ancaman akibat melakukan dosa secara bersendirian iaitu sabda Nabi saw :

“Sesungguh aku mengetahui satu kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa banyak kebaikan  seperti bukit Tihamah kemudian Allah menjadikannya seperti debu yang berterbangan.” Maka sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, berikanlah ciri mereka kepada kami agar kami tidak termasuk golongan mereka dalam keadaan tidak sedar.”

 Maka beliau menjawab, “Adapun, mereka itu adalah saudara-saudara kamu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang apabila bersendirian dengan apa yang diharamkan Allah maka mereka pun terjerumus ke dalamnya.”(  Ibn majah, disahihkan oleh al-Albaniy)

Kita pasti berdepan dengan situasi seperti ini. Hanya kekuatan iman sahaja yang dapat seseorang itu mampu mencegah dirinya dari melakukan dosa. Allah sengaja memudahkan seseorang itu berdepan dengan perkara yang diharamkan untuk menguji sejauh mana kemantapan imannya.
Seseorang yang mampu meninggalkan dosa ketika bersendirian, ketahuilah bahawa dia seorang yang hebat dan mempunyai keimanan yang mantap.
Firman Allah :

 “Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Rabbnya Yang tidak tampak oleh mereka, mereka akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar”. ( Surah al-Mulk, ayat 12)

Namun demikian seseorang yang melakukan dosa secara bersembunyi jauh lebih baik dari seseorang yang menzahirkan pendurhakaan kepada Allah SWT. lebih buruk lagi dia berbangga-bangga dengannya. Mereka ini tidak berpeluang untuk mendapat keampunan Allah. Sabda Nabi saw :

“Semua umatku akan dimaafkan kecuali orang yang melakukan dosa secara terang-terangan. Termasuk perbuatan dosa yang terang-terangan ialah apabila seorang itu pada malam hari melakukan perbuatan (dosa) lalu menemui waktu pagi dalam keadaan dosanya telah ditutupi oleh Rabbnya, namun setelah itu dia mengatakan, ‘Wahai fulan, tadi malam saya melakukan ini dan itu’. Padahal sepanjang malam itu Rabbnya telah menutupi aibnya sehingga dia pun dapat melalui malamnya dengan dosa yang telah ditutupi oleh Rabbnya itu.Tetapi pagi harinya dia  menyingkap tabir yang Allah berikan untuk menutupi aibnya itu.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai insan yang lemah kita amat sukar untuk kita menghindari dosa secara total. Itu adalah realiti dan jelaskan oleh Nabi saw dalam sebuah hadis.

"Setiap anak cucu Adam melakukan  dosa dan sebaik-baik orang yang yang melakukan dosa ialah mereka yang bertaubat." ( Ibn Majah)

Untuk menutup kelemahan ini Allah SWT mengajar kita agar bertaubat setiap masa. Firman Allah :

"Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Semoga Allah mengurniakan kepada kita iman yang kuat dan mantap serta memimpin kita semua ke jalan yang diredaiNya.

Friday, September 21, 2012

Sesuatu di hatiku…


Pernahkah kau orang terasa di hati tentang sesuatu perkara yang tidak kita ketahui sama ada akan berlaku atau pun tidak? Hmm… itulah yang berlaku di hati saya sejak beberapa hari ini… pelbagai persoalan bermain dalam fikiran… patutkah perkara sebegitu berlaku? Adakah perkara itu akan betul-betul berlaku? Bilakah ianya akan berlaku? Apa yang terjadi sekiranya ia benar-benar berlaku nanti? Semua soalan ini berputar-putar dalam fikiran saya di waktu ini…
Sesuatu akan berlaku… bolehlah kita sebagai manusia meneka sesuatu itu akan berlaku tepat pada masanya? Tentu tidak bukan. Mustahil kita dapat lakukannya apatah lagi jika ianya melibatkan nyawa dan hayat seseorang. Kita hanya mampu mengagak, mengagak dan terus mengagak tapi untuk menunggu hari sebenar berlakunya sesuatu kejadian itu, hati kita pasti akan terasa sesuatu…itulah yang sedang berlaku di hati saya…
Selalunya bila wujudnya perasaan-perasaan yang sukar digambarkan, hanya pada Dia yang saya mohon kepastian… selain memintaNya member ketenangan dari terus gusar memikirkan sesuatu yang bukan berada dalam bidang kuasa kita…
Sesetengah orang yang bertanya atau merujuk kepada orang-orang terdahulu yakni orang-orang yang lebih tua dan berpengalaman… ada juga yang cuba mencarinya dengan cara menyelesaikannya sendiri tanpa bantuan sesiapa… malah ada juga yang hanya pura-pura tidak merasa apa-apa walau hati sedang berkocak hebat…
Benar segala kejadian sudah ditentukan oleh Allah tetapi sebagai manusia, apatah lagi dari umat Nabi Muhammad kekasih Allah, kita seharusnya sedar… kita punya sesuatu yang begitu ampuh jika kita benar-benar melakukannya iaitu doa… ya, doa adalah senjata yang paling ampuh yang dimiliki oleh kaum muslimin muslimat… apa saja doa yang kita pohon pada Dia yang Satu, pasti Dia mendengar dan menerima… hanya bila masa akan ditunaikan, hanya Dia yang lebih tahu…
Kadangkala kita hanya berdoa tetapi tidak yakin padaNya… kita juga sangat-sangat tidak sabar untuk melihat doa kita ditunaikan sedang kita tidak sedar, kita jarang-jarang mengikut segala suruhanNya… malah lebih banyak terpesong ke jalan laranganNya… namun Allah itu Maha Penyayang… Dia tidak pernah membiarkan hamba-hambaNya berasa tidak disayangi… Dia sentiasa melimpahkan kasih sayangNya pada kita… jika tidak dengan cara menunaikan doa kita, Dia memberinya dengan cara lain yang dirasakan lebih sesuai dan lebih baik untuk kita… hanya kita yang tidak pernah mengambil tahu semua itu…
Jadi buat sesiapa yang punya sesuatu rasa di hatinya kala ini sebagaimana yang saya rasakan, ingatlah… Allah itu sentiasa wujud… minta dan mohonlah pada Dia… Insya Allah segala keresahan dan kegelisahan kita atas sesuatu perkara yang kita jangka bakal wujud pasti akan hilang… malah bila tiba masanya perkara itu berlaku, kita pasti akan redha dengan sepenuh hati… kerana hanya Allah yang lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kita… percayalah… 

Kisah Abu Nawas : Sultan hampir terbunuh

Pada suatu hari, Abu Nawas berjalan-jalan hingga ke kampung Badwi yang terletak di kawasan gurun yang juga jauh dari bandar tempat tinggalnya. Sesampainya dia di tempat tersebut, dia mendapati beberapa orang penduduknya sedang memasak bubur dan suasananya begitu meriah sekali. Tiba-tiba, Abu Nawas ditangkap oleh penduduk kampung tersebut dan dibawa ke sebuah rumah untuk disembelih.
“Kenapa aku ditangkap?” tanya Abu Nawas.
“Wahai orang asing, setiap orang yang melewati kawasan ini pasti kami akan tangkap. Kami akan sembelih seperti kambing dan masukkannya ke dalam belanga bersama adunan tepung itu. inilah pekerjaan kami dan itulah makanan kami setiap hari,” jawab salah seorang penduduk kampung itu sambil menunjuk ke arah belanga yang mendidih airnya.
Abu Nawas ketakutan tetapi meskipun dia berada dalam keadaan itu, dia masih sempat berfikir dan mencari akal untuk terlepas dari genggaman penduduk kampung itu. lalu dia pun berkata,
“Wahai penduduk kampung, kamu lihatlah diriku ini. badanku kurus kering saja, dagingku tidak banyak. Kalau kamu benarkan, esok aku akan bawakan temanku yang badannya lebih gemuk dariku hingga kamu semua boleh makan untuk lima hari lamanya. Aku berjanji akan bawanya ke sini, tolonglah lepaskan aku,” pinta Abu Nawas.
Kerana janjinya itu, Abu Nawas akhirnya dibebaskan.
Dalam perjalanan pulang, Abu Nawas berfikir cara untuk mencari teman yang gemuk sebagaimana yang dijanjikannya. Tiba-tiba bayang baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terbayang di kepalanya.
“Seharusnya baginda tahu tentang perkara yang tidak menyenangkan ini dan alangkah baiknya jika baginda tahu sendiri tentang perkara ini,” fikir Abu Nawas lagi. lalu Abu Nawas pun bergegas ke istana.
Dengan pelbagai pujuk rayu, akhirnya Abu Nawas berjaya juga memujuk baginda Sultan untuk ke kampung badwi tersebut.
Esoknya, mereka berdua pun pergilah ke kampung itu. sesampainya di kampung tersebut, penduduk kampung terus saja menangkap baginda Sultan Harun Ar-Rasyid manakala Abu Nawas segera meninggalkan kampung itu. dalam hati dia berfikir,
“Jika baginda bijak, pasti baginda dapat melepaskan diri dari penduduk kampung itu. jika tidak, matilah baginda hari ini,”
Sementara itu, baginda Sultan Harun Ar-Rasyid langsung tidak menyangka akan disembelih. Dalam takut-takut, baginda berkata,
“Jika kamu membuat bubur, dagingku ini tidaklah banyak kerana banyak lemaknya. Tapi jika kamu semua izinkan, benarkan aku membuat makanan lain yang boleh kamu semua jual dengan harga yang lebih mahal berbanding harga bubur kamu itu,”
Lalu penduduk kampung itu pun bersetuju dan baginda sultan pun bekerja keras membantu penduduk kampung itu membuat pelbagai makanan seperti mana yang dijanjikannya. Akhirnya, baginda dibebaskan kerana berjaya membantu penduduk kampung itu dari terus mengamalkan memakan daging manusia.
Beberapa hari kemudian, baginda Sultan memanggil Abu Nawas untuk dikenakan hukuman kerana nyaris membuatkan baginda kehilangan nyawa. Abu Nawas dianggap telah memalukan rajanya di hadapan rakyatnya sendiri.
“Wahai Abu Nawas, kamu benar-benar telah memalukan baginda sultan. Perbuatanmu itu sungguh tidak wajar dan kamu patut dihukum bunuh,” kata Sultan Harun Ar-Rasyid penuh geram.
“Ampun patik tuanku. Sebelum patik dihukum, perkenankan patik untuk menyampaikan kata-kata patik,” sembah Abu Nawas mahu membela diri.
“Baiklah. Tetapi ingat, jika salah, nescaya kamu akan dibunuh hari ini juga,” ujar baginda sultan.
“Wahai tuanku, alasan patik menyerahkan tuanku kepada pembuat bubur itu adalah ingin menunjukkan keadaan hidup masyarakat yang pelbagai dalam negeri ini. kerana semua kejadian di dalam negeri ini adalah tanggungjawab tuanku kepada Allah SWT kelak. Raja yang adil sebaiknya harus tahu setiap pekerjaan yang dilakukan oleh rakyatnya sendiri,” terang Abu Nawas.
Mendengar penerangan itu, maka hilanglah rasa marah Sultan Harun Ar-Rasyid. Dalam hati dia membenarkan kata-kata Abu Nawas itu.
“Baiklah kalau begitu baginda ampunkan semua perbuatanmu dan jangan melakukannya lagi di masa hadapan,” tegas baginda Sultan. 

Tiga Muhammad


Seorang pedagang kaya berbaring di tempat tidurnya dan kerana tahu saat kematiannya hampir tiba, maka dia pun memanggil ketiga-tiga puteranya. Sepanjang usianya, dia rajin berpuasa, solat dan bertakwa kepada Allah. Ketiga-tiga puteranya itu diberi nama Muhammad.
Tiga Muhammad pun datang mencium tangan ayah mereka dan pedagang itu memberikan wasiat. Katanya,
“Muhammad akan menjadi waris dan Muhammad akan menjadi waris. Tetapi Muhammad tidak akan menjadi waris,” sebelum sempat dia menjelaskan kata-katanya, pedagang itu pun meninggal dunia.
Selama tujuh hari anak-anak pedagang itu berkabung tanpa bercakap sepatah kata pun. namun selepas tujuh hari, mereka mula bertekak dan tertanya-tanya Muhammad mana yang tidak akan menjadi waris. Akhirnya mereka bertiga mengambil keputusan untuk bertemu qadi bagi mengetahui siapa Muhammad itu.
Tiga bersudara itu pun berjalan mencari rumah qadi. Di dalam perjalanan, mereka berhenti berehat di sebuah tempat berumput.
“Seekor unta yang tidak punya sekor pernah berehat di sini,” kata anak tertua sambil melihat sekelilingnya.
“Unta itu bermata satu,” kata anak kedua.
“Ia membawa lemak di satu sisi dan manisan di satu sisi lain,” kata yang ketiga pula.
Mereka meneruskan perjalanan dan tidak lama kemudian mereka melihat seorang lelaki yang memegang sebatang tongkat unta datang.
“Apakah engkau kehilangan unta?” tanya tiga Muhammad.
“Ya, hampir satu jam ianya hilang!” balas lelaki itu.
“Adakah ianya tidak berekor?” tanya Muhammad sulung.
“Ya,” kata lelaki itu.
“Dan matanya buta sebelah?” tanya Muhammad kedua.
“Ya, itulah untaku!” jawab lelaki itu.
“Adakah ia membawa lemak dan manisan?” tanya Muhammad yang ketiga.
“Benar! Ia membawa muatan mentega masak dan sirap kurma! Katakan padaku di mana ia berada dan semoga Allah memberi balasan pada kamu bertiga!”
“Semoga Allah mengembalikannya padamu,” kata anak tertua.
“Kami belum pernah melihat untamu,”
“Wahai orang-orang yang tidak tahu malu, kamu telah mencuri untaku. Bagaimana pula kamu boleh menyangkalnya?” teriak lelaki itu.
“Aku akan membawa perkara ini pada qadi!”
“Kami pun dalam perjalanan ke sana sekarang,” kata tiga bersaudara itu.
“Ikutlah kami pergi dan mari kita selesaikan masalah ini di depannya,” maka lelaki pemilik unta itu pun setuju.
Sebaik saja tiba, qadi pun bertanya masalah mereka.
“Ketiga-tiga anak muda ini telah mencuri untaku!” kata pemilik unta lalu menceritakan segala yang terjadi.
Qadi pun berkata,
“Dalam keadilan dan kebenaran, kamu bertiga harus mengembalikan unta itu pada pemiliknya,”
“Dengan Allah sebagai saksi, kami tidak mencuri atau menyembunyinya,” jawab tiga saudara Muhammad itu.
“Jadi bagaimana kamu dapat menggambarkan untaku tepat seperti mana rupa sebenarnya?” tanya pemilik unta.
“Ya,” kata qadi. “Bagaimana kamu tahu unta itu tidak punya ekor jika kamu tidak pernah melihatnya?”
Maka jawab Muhammad pertama,
“Dalam perjalanan ke sini, kami berehat di satu tempat berumput tinggi. Melihat cara rumput rebah sebelah, aku tahu bahawa seekor unta pernah berehat di situ. tapi daun-daun dan rumput-rumput di sekelilingnya tidak tersentuh sama sekali. Jadi aku menduga unta itu tidak punya ekor kerana setiap ekor unta pastinya akan bergoyang ke kanan dan kiri,” jelasnya.
“Bagaimana pula kamu tahu unta itu buta matanya sebelah?” tanya qadi.
“Itu kerana aku lihat hanya sebelah hamparan rumput saja diragut olehnya sedangkan yang sebelah lagi masih kekal sebagaimana biasa. Jadi aku duga unta itu pasti buta sebelah matanya kerana tidak dapat melihat sebelah lagi hamparan rumput,” jawab Muhammad kedua.
Qadi puas hati dengan jawapan itu namun dia tetap bertanya,
“Bagaimana kamu tahu tentang muatannya pula?”
“Itu kerana di satu sisi ada ratusan semut di situ. mereka menyukai manisan. Manakala di satu sisi lagi terdapat banyak lalat yang berterbangan. Itu kerana mereka menyukai makanan yang berlemak. Maka aku duga unta itu telah menumpahkan sesuatu yang manis di satu sisi dan sesuatu yang berlemak di satu sisi lain ketika bangkit berdiri,” terang Muhammad yang ketiga.
Qadi betul-betul puas hati lalu dia berkata pada pemilik unta,
“Pergilah kamu mencari haiwan ternakmu dan semoga Allah membuka jalan dihadapanmu,” kata qadi.
“Allah telah menganugerahkan pada pemuda-pemuda ini kecerdikan sebegitu rupa hingga mereka dapat mengenali sesuatu secara terperinci tanpa pernah melihatnya,” lalu dia menyambung,
“Berehatlah di rumahku sebagai tamu dan esok kamu boleh sampaikan masalah kamu padaku,” katanya.
Ketiga-tiga Muhammad pun bersetuju.
Maka seekor kambing pun dihidang setelah dimasak. Tiga bersaudara itu pun duduk menikmati hidangan. Manakala qadi bersembunyi di belakang pintu yang tertutup sedikit untuk mendengar apa kata-kata para tetamunya yang pandai itu. tak lama, dia mendengar Muhammad pertama mengeluh,
“Daging ini adalah daging anjing dan tidak boleh dimakan!”
Muhammad kedua pula berkata,”Perempuan yang memasak makanan kita sedang haid!”
Manakala yang ketiga berkata,”Apa yang kamu harapkan jika tuan rumah kita seorang anak haram,”
“Husy!” bisik yang lain, “Jangan menghina qadi!”
“Anak haram dan pemegang aib!” Muhammad ketiga mengulangi kata-katanya.
Dengan tidak bercakap apa-apa, qadi meninggalkan tempat persembunyiannya. Dia mencari pelayannya dan bertanya,
“Bagaimana kamu boleh malukan tuan rumah ini dengan memasak daging anjing, najis yang keji di depan tetamu-tetamu kita?” marahnya namun dalam nada rendah.
“Demi Allah, kami tidak melakukannya,” jawab pelayan itu.
“Tanyalah gembala yang membunuh kambing itu,” sambungnya.
Gembala pun dipanggil dan dia berkata,
“Kambing dewasalah yang kami bunuh malam ini, demi Allah tapi ketika ia dilahirkan ibunya sudah mati dan aku menyusukannya pada ibu anjing yang sedang menyusui anak-anaknya,”
Qadi terkejut. Dia bergegas ke dapur dan mencari tukang masak.
“Apakah kamu sedang haid?” soalnya dan tukang masak itu mengaku benar.
Kini qadi mulai merasa cemas dan khuatir. Dia memasuki bilik ibunya. Lalu mendapatkan ibunya lalu bertanya sedikit keras,
“Katakan yang benar tentang ayahku, wahai ibu!”
Lalu kerana terkejut dengan tingkah anaknya, ibunya pun memberitahu,
“Ada seorang pedagang datang menawarkan barang dagangannya ke rumahku dulu. memang sudah tertulis yang aku akan menyimpang dari jalan yang lurus jadi bagaimana aku dapat menghindari takdirku? Pedagang itu telah membuatku mengandung dan aku melahirkan kamu ke dunia. Semoga Allah mengampuni aku,”
Qadi berguling-guling resah sepanjang malam. Keesokan harinya dia menemui tiga Muhammad itu dan bertanya,
“Ceritakan padaku apa masalah kamu bertiga?”
Mereka berkata,”Menjelang ajal ayah kami berwasiat kepada kami: “Muhammad akan menjadi waris, Muhammad akan menjadi waris tapi Muhammad tidak akan menjadi waris.” Kerana kami bertiga bernama Muhammad, kami tidak tahu siapa di antara kami yang tidak akan menjadi waris,”
Qadi mengangguk lalu berkata,
“Sementara aku cuba menyelesaikan masalah kamu, mahukah kamu menjawab soalan-soalanku?” soalnya dan tiga Muhammad mengangguk.
“Bagaimana kamu dapat simpulkan daging yang kamu makan itu adalah daging anjing?” soalnya pada Muhammad pertama.
“Itu kerana otot-ototnya lebih besar dan keras sepertimana otot anjing yang boleh berlari laju dan cepat,” jawabnya.
“Macam mana pula kamu tahu tukang masakku sedang haid?”
“Tiada perasa dalam makanan kami kerana gadis yang sedang haid tidak dapat membezakan yang masin dan yang manis,” jawab Muhammad ketiga.
Qadi terdiam beberapa saat dan kemudian berkata kepada Muhammad ketiga,
“Muhammad abangmu dan Muhammad abangmu adalah pewaris dan kamu bukanlah pewaris,”
“Mengapa demikian?” tanya Muhammad ketiga hairan.
“Ayahmu mewariskan kekayaannya kepada anak-anak halalnya iaitu anak-anak yang lahir dari rahim isterinya dan umum sudah mengetahui bahawa hanya anak haram yang dapat mengenali anak haram,”
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012