Tuesday, October 09, 2012

Sukarnya menerima kenyataan…

Sedar atau tidak, ramai dikalangan kita yang tidak pernah mahu menerima kenyataan yang berlaku dalam kehidupan masing-masing… kenyataan apa? banyak sekali… usah difikir kenyataan itu hanya berkaitan dengan kejadian yang berlaku dalam hidup kita sahaja tapi bukalah mata hati untuk melihat dengan lebih jelas makna kenyataan itu sendiri…
Kita sukar menerima kenyataan walau hanya untuk perkara-perkara kecil… apalagi untuk perkara-perkara besar… segala musibah yang berlaku dalam hidup sebenarnya hanya ingin mengajar kita untuk menerima sesuatu itu seadanya… itu saja… namun menjadi sikap manusia tidak boleh dan jarang mahu menerimanya dengan sepenuh hati…
Seperti yang seringkali berlaku dalam perhubungan manusia, adakala seseorang tidak dapat menerima kenyataan bakal pasangannya mempunyai rupa paras yang kurang dari apa yang diharapkannya… mulut berkata terima dia seadanya sedangkan hati berbelah bahagi… itu salah satu dari kenyataan yang tidak dapat diterima kita… contoh lain, kita jarang dapat menerima kenyataan hidup kita adakalanya lebih kurang indah berbanding dengan mereka yang berada di sekeliling kita… itu juga namanya tidak dapat menerima kenyataan… kerana apa? jika hati dipenuhi dengan rasa tidak puas dan tidak mengerti makna syukur, maka sampai bila-bila pun kita takkan pernah menerima kenyataan dalam apa jua keadaan pun…
Puas bukan bermakna kita telah berjaya mengubahnya dari bentuk asal kepada bentuk yang kita inginkan tapi puas adalah rasa yang mana kita telah berusaha untuk menyakinkan hati supaya menerima apa yang ada dengan sepenuhnya… tiada rungutan mahupun rasa terkilan tetapi rasa tenteram kerana kita tahu, itulah yang terbaik untuk kita…jika kita menerima dengan seadanya, maka secara langsungnya hati juga akan bersyukur dengan apa yang wujud dalam hidup kita…
Tidak bermakna kita perlu berserah dengan apa yang datang tapi cukuplah jika kita berusaha untuk mengubah sesuatu yang boleh diubah dengan cara yang halal, bukan dengan cara yang tidak seharusnya dilakukan… seperti jika kita ditakdirkan punya paras yang kurang indah di mata manusia lain, hiasilah diri kita dengan tingkah laku dan adab sopan yang dituntut agama… insya Allah pasti ada yang akan tertawan kerana kita harus sedar, bukan semua manusia memandang manusia dengan mata kasar tapi masih ramai yang memandang melalui mata hati…
Memang sukar untuk mengubah diri yang sudah terbiasa dengan prasangka begini tapi berusahalah selagi terdaya… takkan rugi jika kita mengajar diri kita untuk menerima kenyataan hidup yang kita tidak mampu mengubahnya untuk jangka masa yang panjang… menerima dengan seadanya adalah jalan penyelesaian yang terbaik… bukan saja menyenangkan diri sendiri malahan tidak ada juga hati yang terluka dengan ketidakterimaan kita itu… hiduplah dengan seadanya… pasti kebahagiaan juga yang menjadi hak kita selamanya… cubalah… 

Jika ingin melihat syaitan


Nabtal bin Harith adalah salah seorang munafik di Madinah. Dia suka mendengar dan bercakap dengan Rasulullah SAW dan berpura-pura khusyuk di hadapan baginda. Akan tetapi apabila berkumpul dengan teman-temannya, dia akan menuturkan semula apa yang diucapkan oleh Nabi itu dengan menokok tambah dan merendah-rendahkannya. Dia berkata,
“Muhammad itu suka mendengarkan siapa saja yang bercakap dengannya dan dia membenarkannya.”
Sehubungan dengan itu, Allah berfirman yang ertinya:

“Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan, “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya.” Katakanlah: “Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu.” Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah SAW itu, bagi mereka ada azab yang pedih.” (Surah Attaubah: 61)

Nabi segera mengetahui akan keadaan Nabtal bin Harith yang hanya sekadar berpura-pura itu setelah diberi tahu Allah melalui wahyu-Nya.
“Siapa yang ingin melihat syaitan, maka lihatlah Nabtal ini.” kata Nabi. 

BERSATU DALAM CINTA : BAB 5

BAB 5 
“ASSALAMUALAIKUM.” Kedengaran suara seseorang memberi salam di muka pintu rumah banglo itu.
Gerakan Puan Ainun yang sejak tadi berada di dapur rumah bersama Wafi terhenti jadinya. Dia menyahut pantas apabila kedengaran sekali lagi salam dihulur seraya bergegas ke ruang tamu rumah. Sedikit kaget dia tatkala terpandang seorang wanita seusianya berdiri tegak di depan pintu rumah ketika ini.
“Maaflah kalau kedatangan tiba-tiba saya ni menganggu puan sekeluarga.” Puan Fatimah bersuara sebaik sahaja Puan Ainun mendapatkannya.
Dihulur tangannya pada Puan Ainun. Wanita itu pantas menyambut. Penuh mesra.
“Eh, tak adalah. Kami sekeluarga pun bukannya ada buat apa-apa pagi ni. Sekadar mengemas apa yang patut saja,” sahut Puan Ainun terkejut bercampur gembira dek kunjungan tetamu yang tidak dikenali itu.
“Jemputlah masuk. Takkan nak berdiri aje depan pintu tu,” pelawa Puan Ainun langsung ke sofa.
Puan Fatimah mengikut tingkahnya.
“Oh ya, ini sedikit buah tangan untuk puan sekeluarga,” ujar Puan Fatimah. Segera dihulurnya pada Puan Ainun. Lambat-lambat wanita itu menyambut.
“Buat susah-susah aje puan ni,” balas Puan Ainun sedikit terharu dengan kebaikan jiran yang baru beberapa minit dikenalinya itu.
Puan Fatimah tersenyum panjang.
“Panggil saja Kak Timah. Rasanya kamu lebih muda dari akak.”
“Terima kasihlah kak kerana sudi beri buah tangan pada kami. Nama saya Ainun. Panggil saja Ain,” ujar Puan Ainun sudah meletak punggung di sofa.
“Tak ada apa yang susahnya pun. Nama pun berjiran. Biasalah tu.”
Puan Fatimah turut berbuat demikian seraya meliar mata ke sekeliling ruang tamu rumah. Segala perabot dan barang perhiasan kelihatan kemas dan tersusun indah di tempatnya. Menyejukkan mata dia yang baru kali pertama menjejakkan kaki di ruang luas itu.
“Berapa orang tinggal dalam rumah ni?” soal Puan Fatimah kembali melekat mata pada Puan Ainun. Wanita itu tersenyum mesra.
“Kami tinggal tiga beranak aje. Saya, suami serta seorang anak perempuan,” ujar Puan Ainun ramah.
Puan Fatimah mengangguk lagi.
“Kamu suami isteri memang berasal dari sini ke?” Puan Fatimah mengorek tanya lagi. Sekadar ingin mengenali jiran barunya dengan lebih dekat.
“Sebenarnya kak, saya dan suami baru saja balik menetap ke Malaysia ni. Sebelum ni kami tinggal di Morocco. Suami saya bekerja kat sana sebagai pegawai diplomat. Jadi bila dah datang waktu bersara begini, kami ambil keputusan untuk balik ke Malaysia. Seorang anak lelaki kami masih tinggal di sana bersama anak-anak dan isterinya. Dia ada membuka perniagaan di sana. Rumah ni pun dia yang tolong pilihkan untuk kami anak-beranak,” cerita Puan Ainun serba sedikit.
“Oh begitu rupanya. Patutlah perhiasan dalam rumah kamu ni pun lain benar rupanya. Lebih banyak barangan buatan luar negara,” puji Puan Fatimah baru faham kini.
“Mahu tak banyak barang buatan luar negara kat rumah ni kak. Kebanyakan barang-barang ni kami tak beli tapi dihadiahkan oleh kawan-kawan semasa kami tinggal di luar negara dulu. Jadi dari di simpan saja dalam stor, ada baiknya kalau dijadikan perhiasan rumah. Sekurang-kurangnya bolehlah juga dijadikan kenang-kenangan dari sana,” beritahu Puan Ainun.
Puan Fatimah terus mengangguk laju. Setuju dengan kata-kata wanita itu.
Dia terkaku seketika tatkala terpandang kelibat seorang gadis melangkah masuk ke ruang tamu bersama sedulang minuman. Begitu sopan dan lemah-lembut dia menghidangnya di atas meja berdepan kedua-dua wanita itu. Dengan senyuman kecil di bibir, gadis berkerudung hitam itu bersuara. Perlahan lagi lembut.
“Jemput minum mak cik,” pelawanya seraya menghulur tangan. Menyalami tangan Puan Fatimah sebelum segera menghilang dari situ secepat mungkin.
Gadis itu berlalu ke ruang dapur tanpa menoleh semula ke belakang. Langsung tidak menyedari pandangan kaku Puan Fatimah terhadapnya. Tidak berkelip mata wanita itu memandangnya. Terpegun dengan kecantikan dan kelembutan semula jadi gadis itu.
“Jemput minum kak.” Pelawaan Puan Ainun menyentak pandangannya.
Puan Fatimah mengangguk laju. Sedangkan mata masih berada di arah sama biarpun kelibat gadis itu telah lama hilang dari situ.
“Siapa tu Ain?” soal Puan Fatimah membuang mata pada Puan Ainun. Terpancar jelas rasa ingin tahu di raut wajahnya.
Puan Ainun tersenyum sedikit.
“Itulah anak perempuan saya. Namanya Lailatul Wafi tapi kami panggil Wafi aje. Satu-satunya anak perempuan yang saya dan suami ada.” Sedikit sayu dia bersuara biarpun kesayuan itu tidak dapat ditangkap tetamunya ketika ini.
Puan Fatimah mengangguk lagi.
“Cantik orangnya. Dia kerja apa?” Laju saja mulutnya meluah soalan. Wajah cantik gadis itu kembali terbayang di mindanya.
“Dia bekerja sebagai pereka dalaman tapi dari rumah sajalah. Dia tak berminat untuk bekerja di mana-mana syarikat. Sambil-sambil tu dia melukis,” sahut Puan Ainun serba ringkas.
Sedar dengan maksud pertanyaan wanita itu berkenaan anak gadisnya. Namun dia tidak mahu terlalu awal membuat penilaian. Apatah lagi pada seseorang yang baru beberapa minit dikenalinya. Biar masa saja yang menentukan segalanya, bisik hatinya.
Kepala Puan Fatimah mengangguk lagi. Biarpun hatinya begitu melonjak ingin mengetahui lebih banyak perkara berkaitan Wafi, namun rasa itu ditahan sebaiknya. Bimbang pula pertanyaan-pertanyaan lain menimbulkan rasa curiga pada jiran yang baru diketahui serba sedikit latar belakangnya. Apatah lagi dia yakin.
Masih ada banyak lagi masa buatnya mengorek dengan lebih dalam setiap perkara berkenaan gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu. Nantilah, sampai masa aku akan tahu jugak pasal budak Wafi, dalam diam Puan Fatimah memujuk hatinya sendiri.
“Eh, kenapa tengok saja air tu kak? Jemputlah minum. Jamahlah jugak kuih tu. Wafi yang buat,” ujar Puan Ainun mempelawa buat kali kedua.
“Ya... ya...” Laju saja Puan Fatimah menyahut seraya mencapai cawannya. Mindanya masih sibuk memikirkan sesuatu berkenaan Wafi ketika ini. Hatinya berbunga riang.

PANDANGANNYA dilontar ke luar kedai kopitiam. Tidak lama wajahnya dipaling semula ke depan. Melekat tepat pada Faris sebelum jatuh pada Ainul pula di sisi lelaki itu.
“Kau ni kenapa Ainul? Dari kita datang sampailah dah habis secawan kopi kita minum, muka kau masam aje. Apa yang tak kenanya ni?” soal Isma masih meletak mata di wajah lelaki itu. Hairan sebenarnya dengan tingkah Ainul ketika ini. Jarang benar lelaki seusianya dan Faris itu mempamerkan sikap begitu.
“Aku tengah tension ni tahu tak?” Sambil menyandar tubuh di kerusi, Ainul membalas. Sedikit tegang sepertimana yang terlukis di raut wajahnya.
Dipaling sejenak matanya ke sekeliling. Memerhati sekitar kedai kopitiam tempat mereka bertiga berada petang itu. Suasananya kelihatan lengang biarpun hari itu merupakan hari minggu. Menjadikan mereka bertiga dan pengunjung lain bebas berbual sesama sendiri tanpa sebarang gangguan.
“Kau tension pasal apa pulak Ainul? Pasal kerja ke?” Faris turut membuang mata ke wajah lelaki itu. Sedang jari-jemarinya dibiar berlari-lari di bibir cawan kopinya yang telah lama kosong.
“Pasal kerja tu taklah sangat tapi pasal ayah aku tulah.” Ainul menjawab lemah. Satu keluhan turut terikut keluar dari celah bibir merahnya. Tanda dia tidak merokok sebagaimana kedua-dua sahabat baiknya itu.
“Ayah kau? Kenapa dengan ayah kau?” Pertanyaan Isma mengundang keluhan Ainul kesekian kalinya.
“Entah apa mimpi ayah aku tu pun tak tahulah. Tiba-tiba aje dia nak buat projek kerjasama dengan bekas ayah mentua aku tu,” terangnya lambat-lambat.
“Jadi apa masalahnya?” tanya Faris pula.
“Masalahnya, aku yang kena handle projek tu nanti,” jelas ada rasa marah dalam nada suara Ainul.
“Lah... apa salahnya kalau kau handle projek tu pun? Macamlah selama ni kau tak pernah handle projek kerjasama ayah dan bekas ayah mentua kau tu.” Isma menyahut pantas. Dia masih tidak dapat menangkap maksud sebenar kata-kata lelaki itu.
“Memanglah aku dah biasa handle projek dia orang sebelum ni tapi kali ni lain,” balas Ainul agak keras seraya mengetap seketika bibir bawahnya.
“Lain? Apa yang lainnya?” Pertanyaan Faris dibalas dengan rengusan halus Ainul. Turut tidak faham dengan maksud tingkah yang ditunjukkan Ainul ketika ini.
“Aku kena handle projek tu dengan Alia,” sahutnya lambat-lambat penuh geram. Langsung mencetuskan senyuman lebar kedua-dua sahabat baiknya.
“Ooo... sebab lepas ni kau akan tengok muka cantik Alia, lah yang buatkan muka kau masam mengalahkan buah asam ni ya? Aku ingatkan pasal apalah tadi. Kalau aku tahu kau kena menghadap muka dia tak lama lagi, dah lama aku suruh mak aku buat pulut kuning sikit untuk kau. Tanda kesyukuran.”
Usikan Faris dibalas dengan jelingan tajam Ainul. Isma pula terus-terusan menguntum senyuman lebar. Turut terkesan dengan usikan Faris.
“Kau ni Ainul. Apa salahnya kalau kau handle projek tu dengan Alia pun? Kau orang berdua bukannya ada apa-apa pertalian lagi kan? Rasanya setakat nak jumpa isteri kau untuk berbincang tentang kerja tak menjadi masalah besar buat kau. So kenapa kau susah hati sampai macam ni sekali pulak?” ujar Faris masih mengulum senyuman. Lebih kepada menyindir sebenarnya.
Excuse me, bukan isteri aku ya tapi bekas isteri aku.” Cepat saja Ainul membetulkan kata-kata lelaki itu. Perkataan ‘bekas’ itu ditekan keras. Dia merengus halus.
“Masalahnya sekarang, aku tak nak jumpa dia. Jauh sekali nak menghadap muka perempuan perasan bagus tu. Buat sakit hati aku aje,” sambungnya marah.
“Perasan bagus ke tidak si Alia tu, kau tetap akan jumpa dengan dia jugak Ainul. Bukan sebab kau orang bukan lagi suami isteri tapi kau sendiri pun tahu, kan? Keluarga kau dengan keluarga dia dah macam adik-beradik. Tak pernahnya berpisah jauh.
Ayah kau dan ayah dia dah berkawan baik sejak sebelum Abang Ammar Haidar kau tu wujud dalam dunia ni lagi. Senang cakap pertalian antara kelurga kau orang berdua dah terjalin sejak turun-temurun lagi. So, mahu tak mahu kau tetap kena jumpa dia juga tak kira apa berlaku walaupun kau tak suka.” Isma pula bersuara panjang lebar.
“Tapi aku tak mahu tengok muka dia lagi Is. Meluat aku nak jumpa perempuan tak guna tu lagi. Hati aku ni, masih lagi sakit sampai sekarang dek angkara dia. Jangan kata nak bekerja sekali, nak sebut nama dia pun aku dah meluat yang amat. Dasar perempuan tak guna begitulah. Hidup menyusahkan orang aje.”
Cemuhan Ainul begitu menyala-nyala biarpun hakikatnya kata-kata itu tidak datang dari dalam hati. Sekadar terluah dari rasa marah bercampur ego yang membukit.
“Tak guna macam mana sekalipun si Alia tu kau gilakan dia jugak dulu sampai nak berpisah seminit pun tak sanggup,” ucap Faris begitu perlahan.
Hanya cukup untuk pendengarannya namun dapat ditangkap telinga Isma tetapi tidak Ainul. Menjadikan senyuman Isma semakin melebar. Geli hati dengan kata-kata selamba lelaki itu.
Sedangkan Ainul sudah mengerut dahi. Pelik lagi tak faham melihat tingkah kedua-dua lelaki itu ketika ini.
“Apa kau kata Ris?” soalnya terpinga-pinga. Memandang Faris yang laju saja menggeleng.
“Tak ada apa-apa. Aku kata, daripada kita melepak kat sini aje, apa kata kalau kita jalan-jalan? Boringlah buang masa hujung minggu begini kat kedai kopi aje,” cadang Faris sambil tangannya memanggil pelayan seraya meminta bil.
Ainul hanya merengus halus sebelum kembali menegak tubuh. Langsung tidak perasan, Isma di depannya masih menguntum senyuman serupa seraya menggeleng perlahan. Geli hati melihat tingkah kedua-dua sahabatnya di kala itu.

“JEMPUT minum Mia,” pelawa Mimi terus menyorong secawan kopi panas pada Damia.
Gadis itu menyambut seraya mengucap terima kasih.
“Kamu dari mana ni?” soal wanita itu memandang tepat wajah adik iparnya.
“Dari mana lagi kak kalau bukan dari rumah sewalah. Saja Mia datang ke sini nak berbual dengan abang,” ujar Damia mencicip sedikit minumannya.
“Oh ya kak, mana mak dan ayah? Dia orang keluar ke?” Damia melilau mata seketika ke sekeliling ruang anjung rumah orang tuanya.
“Mak dan ayah keluar dari awal petang tadi Mia. Katanya nak ke rumah kawan ayah tapi tak pulak dia orang bagitahu kawan yang mana,” beritahu Mimi.
“Hah Mia, dah lama kamu sampai?” pertanyaan itu mengangkat wajah Damia yang baru berkira-kira ingin mengangkat cawannya buat kali kedua.
Segera dia bangun seraya menyalami abangnya. Lelaki itu baru melangkah turun dari tingkat atas usai menunaikan Solat Asar. Dilabuh punggungnya di depan gadis itu.
“Baru aje sampai bang,” ujar Damia kembali meletak punggung di kerusi.
“Hmm... tak apalah Mia, kamu berbuallah dengan abang kamu. Akak ke dapur dulu ya. Nak sediakan bahan memasak untuk makan malam nanti. Oh ya, kamu makan malam kat sini ya Mia? Akak masak lebih sikit malam ni,” ujar Mimi terus meminta diri. Tahu ada sesuatu yang ingin dibicarakan kedua-dua beradik itu.
Damia hanya mengangguk kecil. Matanya memandang sekilas kakak iparnya sebelum kembali melekat mata pada Khuzairi.
“Abang, sebenarnya ada sesuatu yang Mia nak tanyakan pada abang.”
Damia kembali meluah suara sebaik saja kelibat Mimi hilang dari pandangan. Bulat matanya melekap di wajah abangnya yang sudah menghirup kopi kegemarannya. Menjadikan pandangan lelaki itu terus berkalih padanya.
“Mia nak tanya pasal apa?” tanya Khuzairi telah menyandar tubuh di sofa.
Lama mata Khuzairi diletak ke wajah itu. Wajah yang mengingatkan dia pada adik kandungnya yang telah lama pergi meninggalkan mereka beberapa tahun lalu.
“Begini bang. Sebenarnya tujuan Mia datang berjumpa dengan abang ni sebab Mia nak tanya abang pasal kemalangan yang menimpa arwah Kamilia dulu tu. Tak elok pulak rasanya kalau Mia tanya pasal hal ni depan mak ayah. Apa pulak kata dia orang kalau Mia ungkit hal ni depan dia orang. Tak pasal-pasal menangis pula dia orang nanti. Kebetulan dia orang tak ada sekarang jadi bolehlah Mia cakap dengan abang pasal hal ni.” Damia terus memberitahu maksud kepulangannya ke rumah orang tua mereka petang itu.
Khuzairi mengangguk kecil.
“Abang faham pasal mak ayah kita tu tapi kenapa tiba-tiba saja Mia nak tahu pasal kemalangan tu?” Ada nada hairan dalam suara tenang abangnya itu.
“Macam ni ajelah bang. Biar Mia cakap terus-terang aje dengan abang.” Damia membetulkan kedudukannya. Duduk bersila lalu kembali menyambung bicara.
“Sebenarnya kan bang, Mia rasa pelik dengan cara kematian Kamilia tu. Bukannya apa, bila Mia fikirkan balik tentang kemalangan tu Mia rasa macam ada yang tak kena aje. Jadi Mia ambil keputusan nak buka kes ni semula. Itupun tanpa pengetahuan mak dan ayah.” Kata-kata bersahajanya berjaya membulatkan mata Khuzairi.
“Apa? Mia nak buka kes ni semula? Tapi boleh ke Mia buat begitu?” soal Khuzairi benar-benar terkejut dengan kata-kata gadis itu.
Damia mengangguk laju.
“Apa pulak tak bolehnya bang tapi sebelum tu Mia kena mintak izin dari waris terdekat Kamilia, iaitu suami Kamilia untuk benarkan Mia buka semula kes ni. Itupun kalau dia setuju tapi Mia tak peduli sangatlah pasal tu. Sama ada dia setuju atau tidak Mia tetap akan buka kes ni.” Penuh bersemangat Damia memberitahu cadangannya. Hingga terkepal-kepal telapak tangannya beberapa kali.
Khuzairi diam sebentar.
“Abang tak fikir Isma takkan izinkan tapi pasti dia ingin tahu sebab-musabab Mia nak buka semula kes ni. Kalau sebab yang Mia bagi tu masuk di akal, insya-ALLAH Isma pasti takkan menolak,” sahut Khuzairi selepas itu. Menatap wajah terpinga-pinga gadis itu. Pelik dengan kata-kata abangnya.
“Isma tu siapa pulak bang? Apa kena-mengena dia dengan Kamilia pula?”
Damia menggaru-garu kepala tak gatalnya. Benar-benar tak tahu status Isma di sisi arwah sepupunya. Lalu mengundang senyuman lebar Khuzairi. Geli hati dengan pertanyaan gadis itu.
“Isma tu suami pada arwah Kamilialah dik oii. Takkan itu pun Mia tak tahu,” ujar Khuzairi tertawa kecil seraya menggeleng.
Damia dengan muka selamba hanya mengangguk seraya bersuara, “Ooo... jadi suami Kamilia tu namanya Isma? Mia ingatkan namanya Zulkarnain sebab arwah Kamilia pernah bagitahu Zulkarnain itu nama suaminya. Manalah Mia tahu nama sebenarnya Isma.” Lurus dia memberitahu.
“Zulkarnain tu pun betul jugak. Nama penuhnya Isma Zulkarnain. Kami panggilnya Isma tapi arwah Kamilia panggil dia Zul sebab dia kata dia tak mahu panggil suaminya dengan nama yang dah digunakan orang lain,” terang Khuzairi.
Kepala Damia mengangguk semula. Baru mengerti duduk perkara sebenar. Dia tersengih panjang.
“Mengada-ngada jugak si Kamilia tu ya. Panggil sajalah suaminya tu dengan nama yang sama macam orang lain panggil. Buat menyusahkan orang aje.” Sempat Damia merungut sebelum menyoal abangnya semula. Sedikit serius.
“Abang tahu tak bagaimana Kamilia boleh terlibat dalam kemalangan tu? Betul ke dia ditimpa kemalangan atau sebenarnya dia meninggal atas sebab lain?” Matanya dipasak semula ke wajah tenang lelaki itu. Khuzairi melepas nafas.
“Mengikut laporan polis, kejadian itu berlaku disebabkan kereta yang dipandu oleh arwah hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum jatuh ke bawah bukit. Hasil pemeriksaan doktor pula mengatakan Kamilia meninggal dunia di tempat kejadian kerana terperangkap di dalam kereta dan terhidu banyak asap tebal,” cerita abangnya serba ringkas.
Damia terdiam sejenak. Ligat mindanya mencerna kata-kata lelaki itu ketika ini.
“Kamu tahu Mia. Entah mengapa abang rasa arwah Kamilia meninggal bukan kerana kemalangan tu tapi kerana dia mati dibunuh.”
Buat kali kedua Damia tersentak. Lebih kuat dari tadi. Wajah tenang Khuzairi dipandang lagi.
“Kenapa pulak abang fikir begitu?” Laju saja dia bertanya.
“Sepertimana yang kamu fikir selama ini, abang jugak fikirkan perkara yang sama. Abang yakin, dia mati bukan kerana kemalangan jalan raya itu tapi kerana dia dibunuh.
Sebabnya abang pun rasa pelik dengan cara kematian Kamilia tu. Tapi abang tak tahu sebab apa dia dibunuh, dan siapa yang melakukannya. Mereka rancang pembunuhan itu dengan cukup baik hingga tak ada siapa pun dapat ketahui sebab utamanya,” jelas kelihatan Khuzairi begitu yakin dengan telahannya hingga terserlah di raut wajah tenangnya.
Damia terdiam semula. Keyakinan Khuzairi membuatkan hatinya semakin kuat mengatakan andaiannya sebelum ini adalah benar dan tepat. Ternyata Khuzairi juga bersependapat dengannya. Arwah Kamilia tidak meninggal kerana kemalangan tapi mati dibunuh, hatinya berbisik perlahan.
“Mia, boleh abang tahu kenapa kamu rasa pelik dengan cara kematian Kamilia?” Khuzairi kembali membuka bicara antara mereka tidak lama kemudian. Wajah serius adik perempuannya ditatap buat kesekian kali.
“Sebenarnya bang, Mia rasa pelik bila dapat tahu Kamilia meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan. Mia boleh terima kalau ketika kereta yang dipandu Kamilia tu dilanggar kenderaan lain ataupun arwah yang melanggar orang.
Tapi macam mana Mia nak percaya Kamilia meninggal kerana kerosakan brek keretanya sedangkan Mia faham benar dengan sikap Kamilia. Dia takkan sesekali memandu kereta yang ada sebarang kerosakan. Malah Kamilia akan lakukan pemeriksaan setiap kali dia nak keluar memandu. Jangan kata kereta, kalau dia nak tunggang basikal pun dia tetap akan buat macam tu jugak.
Jadi bagaimana seseorang yang begitu cermat dan berhati-hati seperti Kamilia boleh cuai dengan tiba-tiba sedangkan dari kecil lagi dia bersikap begitu dalam setiap perkara yang dilakukannya? Mia betul-betul tak boleh terima keadaan tu bang, Mia tak boleh terima.” Damia benar-benar menolak kenyataan itu. Digeleng kepalanya sekali dua. Sedikit kesal.
“Apapun bang, Mia dah tekad. Mia akan buka semula kes ni. Mia nak orang yang merancang pembunuhan Kamilia tu dibawa ke tali gantung. Mia tak peduli. Mia akan lakukan yang terbaik untuk menuntut pengadilan buat sepupu Mia nanti.” Penuh azam Damia bersuara lagi. Benar-benar ingin mengotakan janjinya.
“Mia, kenapa baru sekarang kamu nak buka kes ni? Kenapa kamu tak lakukannya ketika kes ni hangat diperkatakan beberapa tahun dulu?” Pertanyaan tiba-tiba Khuzairi menyentak Damia. Segera dia membalas pandangan tenang lelaki itu.
Kemudian gadis itu melepas nafas panjang seraya menyelak rambut panjangnya sekali.
“Mia tak dapat lakukannya pada waktu tu bang kerana Mia mempunyai banyak sebab yang menghalang Mia dari berbuat demikian. Ketika kejadian tu berlaku, Mia tak ada di Malaysia dan Mia tak boleh pulang disebabkan Mia ada peperiksaan penting waktu tu. Masa Mia dapat berita pemergian Kamilia, Mia rasa dunia Mia kelam. Mia tak ada daya untuk bangkit. Hampir seminggu Mia tak makan dan berkurung diri.
Mia rasa Mia hanya berseorangan dalam dunia ni ketika tu. Mia tak dapat terima kenyataan yang satu-satunya saudara perempuan kesayangan Mia telah pergi tinggalkan Mia selama-lamanya. Mia terlalu sedih waktu tu.” Ada air mata yang menakung di kelopak matanya tatkala meluah kata-kata itu. Pantas saja Damia menyeka.
“Tapi lama-kelamaan Mia sedar. Tak guna Mia tangisi pemergian Kamilia begitu saja. Mia perlu cekal untuk terima kenyataan ini. Setiap kali Mia menatap gambar arwah, hati Mia tidak tenang. Mia tahu, ada sesuatu yang berlaku pada arwah pada hari kemalangan itu. Rasa tu membuatkan Mia bertekad untuk membuka semula kes ini. Tapi bukan pada waktu yang terdekat sebab Mia masih mempunyai tanggungjawab lain yang perlu Mia lakukan waktu tu. Dan sekarang Mia sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi pengadilan pada Kamilia.
Lagipun pada Mia sekaranglah waktu yang paling sesuai untuk Mia buka semula kes ni memandangkan kes ni telah lama hilang dari ingatan penjenayah yang merancang pembunuhan Kamilia tu. Pasti mereka takkan menyangka yang kes ini akan dibuka semula selepas beberapa tahun berlalu dan ini akan memudahkan Mia melakukan penyiasatan dalam diam.” Suaranya kembali tenang. Bersalut tegas dan penuh semangat.
Khuzairi mengangguk laju. Mengerti sepenuhnya kini.
“Jadi apa yang Mia nak buat sekarang?” tanya Khuzairi masih meletak mata di wajah itu.
“Sekarang ni, Mia nak mintak tolong dari abang. Abang kan businessman. Pasti abang ada ramai kenalan. Dalam ramai-ramai kenalan abang tu, pasti ada seorang dua dari dia orang tu bekerja di Jabatan Siasatan Jenayah. Kalau boleh Mia nak abang kenalkan dia orang pada Mia. Mana tahu ada yang boleh membantu Mia melakukan siasatan berhubung kes ni nanti,” jelas Damia penuh harap.
Damia tersenyum panjang bila Khuzairi pantas mengangguk.
“Tentang tu, kamu jangan risau. Abang boleh tolong uruskan. Kebetulan ada seorang kawan baik abang bekerja sebagai anggota polis. Nanti abang kenalkan kawan abang tu pada Mia.”
“Terima kasih bang. Oh ya, Mia nak mintak tolong abang satu perkara lagi.”
“Apa dia?” Damia terdiam sejenak sebelum kembali bersuara.
“Kalau boleh Mia nak mintak abang rahsiakan perkara ni dari pengetahuan sesiapa terutamanya mak dan ayah kita. Mia tak mahu mereka fikir yang bukan-bukan dan susah hati bila dapat tahu Mia buka semula kes ni nanti.”
Permintaan Damia dibalas dengan anggukan kecil Khuzairi. Faham.
“Jadi bila Mia nak bagitahu tentang perkara ni pada Isma?” soalnya memandang wajah tercengang gadis itu.
“Isma? Siapa pulak Isma tu?” Buat kali kedua Damia terlupa dengan kedudukan lelaki itu biarpun baru sebentar tadi mereka berbicara tentangnya. Menyebabkan Khuzairi tersenyum serta-merta seraya menggeleng semula.
“Mia ni, cepat benar lupanya. Bukankah Isma tu suaminya Kamilia? Yang kamu panggil Zulkarnain tu?”
Menjadi kerja Khuzairi pula mengingatkan gadis itu tentang perkara itu. Dia tersenyum lagi bila Damia pantas menepuk dahi sendiri setelah berfikir seketika.
“Ya tak ya jugakkan. Terlupa pula Mia pasal tu. Isma dan Zulkarnain tu bukankah orang yang sama? Maklumlah, Mia mana pernah jumpa dia selama ni.” Dia tersengih kecil.
“Abang fikir bila patut Mia jumpa dengan dia?” soalnya sekadar ingin mengetahui pendapat lelaki yang begitu dihormatinya selain dari Encik Khalid itu.
“Abang fikir eloklah kalau Mia bagitahu dia dalam masa terdekat ni. Bukannya apa, kalau ada apa-apa yang Mia perlukan sepanjang Mia kendalikan kes ni nanti, Mia boleh rujuk atau minta pendapat dia. Manalah tahu dengan cara itu Mia boleh kurangkan kesedihan Isma walau tak sebanyak mana.” Kata-kata Khuzairi mengundang kerutan di dahi gadis itu.
“Kurangkan kesedihan Isma? Maksud abang?” tanyanya tak faham.
Khuzairi tersenyum lagi. Sedikit tawar.
“Mia tak tahu. Kalau Mia fikir mak dan ayah adalah orang yang paling sedih selepas pemergian Kamilia, Mia memang silap. Sejak pemergian Kamilia, Isma menjadi orang yang paling bersedih berbanding mereka yang lain. Dia tak pernah lagi segembira dulu. Dari luar tampak seakan dia gembira dengan apa yang ada di sekelilingnya tapi hakikatnya dia benar-benar terluka dengan kehilangan Kamilia.
Walaupun mereka berkahwin atas pilihan keluarga tapi Isma begitu sayangkan Kamilia. Dah lapan tahun arwah pergi tinggalkan kita semua tapi Isma masih tak dapat lupakan dia. Dia tetap cintakan Kamilia seperti dulu.
Sebab tulah abang rasa kalau Mia buka semula kes ni, Mia dapat kurangkan kesedihan Isma walau tak seberapa. Sekurang-kurangnya dia akan tahu siapa pembunuh sebenar arwah isterinya. Sekali gus membuatkan dia tahu yang isterinya bukan mati kerana kemalangan sepertimana yang difikirkannya selama ni,” terang lelaki itu perlahan.
“Jadi maknanya Isma tak pernah terfikirlah yang kemalangan yang menimpa arwah Kamilia tu sebenarnya dirancang dan bukannya satu kebetulan?” Soalan Damia dibalas dengan anggukan kecil Khuzairi.
“Isma terima saja semua keputusan berkaitan dengan kes ni dengan hati yang redha. Dia langsung tak terfikir kemungkinan-kemungkinan lain yang boleh dikaitkan dengan pemergian Kamilia. Tak mustahil dia akan terkejut bila Mia beritahu andaian kita ni pada dia nanti.” Suaranya lagi.
Damia menghela nafasnya perlahan.
“Apapun bang, Mia akan cuba buat yang terbaik untuk kes ni nanti. Mia akan pastikan segala andaian kita ni benar dan tepat semata-mata. Biarlah apapun orang nak kata tapi Mia tetap dengan keputusan Mia untuk membuka semula kes ni. Asal hati Mia puas dan Kamilia mendapat pengadilannya, itu dah cukup untuk menenangkan hati Mia semula sebagaimana dulu.” Suaranya kembali pada pangkal bicara mereka. Penuh azam. 

SETIAKU DI SINI : BAB 4

BAB  4
“Assalammualaikum dan selamat pagi semua. Seperti yang kamu semua telah sedia maklum, hari ini saya akan membentangkan satu lagi projek terbaru yang mana syarikat kita baru saja perolehi dari salah sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di selatan negara.
So, untuk kali ini, mereka meminta kita menghasilkan iklan yang memaparkan tentang projek yang bakal mereka laksanakan tidak lama lagi. Iklan ini akan ditayangkan di semua media massa termasuklah di media elektronik dan media cetak,” lantang Farhan memberi penerangan.
Matanya melekat pada setiap wajah pekerjanya. Dia tekun memberi penjelasan pada semua yang turut khusyuk mendengar kata-kata ketua mereka itu. Tidak menyedari pandangan seseorang yang dalam diam mengagumi dirinya.
Nuraini, salah seorang pereka grafik yang bertugas di syarikat milik Farhan begitu ralit memerhati tingkah lelaki itu. Dalam diam Nuraini menilai diri lelaki bertubuh sederhana tinggi itu. Wajah tampan Farhan dipandang lama sebelum dikalih ke bahagian lain tubuh lelaki yang tidak pernah mengukir senyuman itu. Leka dirinya memerhatikan gerak geri Farhan yang senantiasa kelihatan tegas dan serius. Memperlihatkan kematangan lelaki itu dalam semua perkara.
“Okey, ada apa–apa lagi yang kamu semua nak tanya?” pertanyaan Farhan pada semua pekerja menghalau lamunan Nuraini.
Sedikit tersentak tatkala mata Farhan berkalih sejenak ke arahnya sebelum dipaling ke arah mereka yang lain.
“Kalau tak ada apa–apa, mesyuarat kita tamat di sini dulu. Apa–apa hal kamu semua boleh rujuk pada Tania atau pada saya nanti,” suara Farhan lagi. Kembali mengadap wajah Nuraini yang sedikit kaget dengan pandangan itu.
“Ain, saya nak jumpa awak sekejap,” ujar Farhan serius menghayun langkah pantas.
Lelaki itu berlalu ke biliknya. Meninggalkan kumpulan pekerjanya yang kini kembali berkeliaran ke tempat masing-masing.
Ain segera membuntuti Farhan yang terlebih dahulu menapak ke dalam. Hatinya diterpa rasa bimbang.
Dia mengetuk daun pintu perlahan sebelum ditolak cermat, lalu melangkah merapati Farhan yang melabuh punggung ke kerusi.
Farhan mengamit gadis bertudung hijau lumut itu agar mendekatinya. Menjeling sekilas ke kerusi di depannya. Memberi isyarat pada gadis  itu agar mendudukkan diri.
Nuraini segera menarik kerusi, meletak punggung dan mengadap lelaki itu. 
“Ada apa Encik Farhan?”  lembut suaranya melontar soalan. Matanya menikam lembut wajah serius lelaki itu.
Farhan melingaskan mata. Menarik beberapa helaian kertas bersaiz A1 yang ada di muka meja. Membentangkannya di tengah meja sebelum matanya kembali menujah pandangan mata Nuraini. 
So Ain, saya dah tengok hasil kerja awak untuk projek kita untuk syarikat Seri Utama. Terus terang saya katakan, saya suka dengan cara olahan yang awak lakukan untuk iklan tu. Nampak menarik dan senang untuk difahami. Klien kita pun memuji cara awak yang begitu ringkas dan kreatif. Rasanya, saya perlu memberi peluang yang lebih luas untuk awak kembangkan bakat awak dalam bidang ni di masa depan,” suara Farhan membuka bicara. Nadanya kedengaran mendatar. Tiada intonasi marah.
Nuraini menunduk wajah. Kembang hatinya bila dipuji begitu. Hilang rasa bimbang yang bertamu dihatinya sebentar tadi.
“Oleh sebab itu saya ingin memberi peluang pada awak untuk libatkan diri dalam projek yang telah saya bentangkan sebentar tadi. Kalau boleh saya nak awak bantu Danish membuat lakaran untuk iklan itu. Saya nak hasil yang lebih baik dari iklan-iklan yang pernah syarikat kita hasilkan sebelum ini. Boleh saya sandarkan harapan itu pada awak Ain?” pandangan mata Farhan masih menusuk ke wajah manis itu.
Nuraini mengangguk kecil.
“Insya Allah Encik Farhan, saya cuba melakukan yang terbaik nanti,” sahutnya penuh semangat walau dia kurang mengerti dengan intipati projek yang disuarakan Farhan sebentar tadi.
Keasyikannya menilai diri lelaki itu membuatkan Nuraini tidak memusat fikiran pada perbentangan itu sepenuhnya.
Good. Oh ya Ain, ada satu lagi perkara yang saya inginkan bincangkan dengan awak. Saya sebenarnya nak minta pertolongan dari awak Ain. Itu pun kalau awak setujulah,”
Kata–kata Farhan membuatkan bola mata gadis itu kembali menusuk ke wajah tampan itu. Lembut lelaki itu membalas tatapannya.  
“Encik Farhan nak minta tolong apa?” tanyanya. Masih meratah wajah tenang itu.
Farhan menghempas nafas perlahan.
“Begini Ain. Awak sendiri pun maklumkan, Tania akan bercuti bersalin tak lama lagi. Memandangkan saya sendiri pun tak ada masa untuk mencari penggantinya, jadi boleh tak kalau sekiranya saya lantik awak jadi setiausaha saya buat sementara waktu? Lagipun awak dah ada pengalaman menjadi setiausaha sebelum ini kan? Saya ada terbaca dalam resume yang awak bagi tak lama dulu,”suara Farhan lagi.
Nuraini terdiam sejenak. Berfikir seketika.
Jadi setiausaha? Habis kerja aku macam mana? Nuraini tertanya sendiri dalam hati.
“Tentang kerja awak tu, awak tak payah risau. Saya akan bantu awak. Cuma itulah, saya harap sangat awak boleh mengambil alih tempat Tania nanti. Tapi untuk sementara waktu sajalah sebelum dia kembali bertugas,”
Nuraini masih mengunci mulut. Ligat otaknya berpusing. Mencari kata-kata yang sesuai untuk kembali bersuara.
“Saya faham Ain, susah untuk awak membuat dua kerja dalam satu masa tapi saya benar–benar berharap awak dapat membantu saya. Silap saya sendiri sebab terlalu sibuk dengan kerja sampai tak terfikir nak mencari pengganti tempat Tania buat sementara waktu,” Farhan sedikit mengeluh. Kesal dengan kelalaian diri dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ketua syarikat.
Nuraini menarik nafas panjang. Serba salah dirinya untuk menolak permintaan lelaki yang dalam diam begitu dikaguminya itu. Jawapan yang sedia ada di benak ditimbal beberapa kali.
“Kalau tentang gaji yang merisaukan awak, awak tak perlu risau. Saya akan bayar lebih dari gaji yang awak dapat sekarang. Maksud saya, saya akan bayar gaji berdasarkan dua jawatan yang disandang awak nanti,” suara Farhan lagi. Lebih kepada memujuk. 
Dalam hati, Farhan tergelak sendiri. Tak pernah dibuat dek orang pereka grafik dan setiausaha dijawat oleh orang yang sama dalam satu masa. Namun keadaan yang terdesak membuatkan dia tidak lagi memikirkan tentang semua itu.
“Eh, bukan itu yang saya fikirkan Encik Farhan. Cuma saya rasa bimbang,” kata–kata pantas Ain tersangkut di situ.
“Bimbang?” Farhan mengangkat kening. Menanti kata–kata seterusnya.
“Saya sebenarnya bimbang tak dapat tumpukan sepenuh perhatian pada kedua–dua kerja tu nanti. Lagi pun Encik Farhan, pengalaman saya menjawat jawatan setiausaha tu tak lama. Sebulan dua saja. Banyak lagi kerja setiausaha yang saya tak tahu. Saya risau tak dapat melakukan yang terbaik nanti,” jujur dia berterus terang.
Farhan menghela nafas pendek.
“Seperti mana yang saya katakan tadi, saya sendiri akan bantu awak dalam menjalankan tugas–tugas itu nanti. Cuma buat masa sekarang, saya hanya nak kepastian dari awak sama ada awak terima atau tidak permintaan saya. Itu saja,” tegas dia bersuara.
“Lagi pun, sementara Tania masih belum bercuti, awak boleh belajar dengan dia. Tak banyak pun tak apa. Buat setakat mana yang awak boleh lakukan. Selebihnya nanti, saya akan ajarkan,” Farhan bersuara lagi.
Dia merenung lama wajah Ain yang perlahan–lahan menghembus nafas panjang. Dia terdiam semula sebelum mengangguk kecil.
Farhan menarik nafas lega. 

Friday, October 05, 2012

Perubahan fasa hidup...


Masa berjalan pantas. Sangat pantas sebenarnya hingga kita yang melaluinya saban waktu langsung tidak menyedari pemergiannya. Tahu-tahu ia telah pergi dan terus pergi… membawa sama satu demi satu fasa kehidupan yang harus kita jejaki sepanjang bernyawa dalam dunia ini…
Majoriti manusia mengatakan bahawa fasa kanak-kanak adalah fasa kehidupan yang paling indah… atas sebab apa? banyak sebabnya… salah satunya, di fasa ini kita baru mengenali dunia… masih bertatih untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di sekeliling kita selain mengalaminya dengan cara tersendiri…
Memang indah namun bukan semua manusia bertuah melaluinya dengan penuh bahagia… ada yang lebih dari derita… bukan sekadar di luaran tapi di jiwa dan itulah yang membentuk identiti diri kita apabila melalui fasa-fasa hidup seterusnya…
Bandingkan saja kanak-kanak di negara kita dan mereka yang membesar di negara-negara yang tidak berkemampuan mahupun lebih gah dari kita… sangat-sangat ketara perbezaannya… di Afrika, Somalia, sejak lahir kanak-kanak sudah mengenal erti peritnya kehidupan tanpa makanan, tempat tinggal dan apa jua keperluan asas hidup yang lain… jiwa mereka tabah menghadapi segalanya walau kehidupan begitu menyeksa… masih mampu mengukir senyum dan bergelak tawa walau fizikal tubuh seacuan rangka bernyawa saja layaknya…
Kanak-kanak negara kita pula berkeadaan sebaliknya… walau tidak mewah tapi cukup segalanya… namun nilai-nilai murni yang kita mahu terapkan tidak juga terlekat di jiwa mereka sepenuhnya…lihat saja golongan remaja negara kita… di mana silapnya didikan kita hingga mereka mampu mencetuskan pelbagai keadaan yang sukar berlaku ketika orang tua kita dibesarkan dulu sedangkan semuanya dibesarkan di tanah yang sama?
Benar bukan semua remaja kita rosak akhlaknya tapi sedar atau tidak, hampir separuh darinya kehilangan akhlak sejak di bangku sekolah rendah lagi… tak kiralah apa sekalipun anutan agamanya, bangsanya mahupun adat resamnya… tidak menuduh apatah lagi menuding jari pada sesiapa tapi sedarkah kita anak-anak remaja inilah yang bakal memimpin negara di masa yang akan datang?
Memang persekitaran dan cara didikan yang menjadi coraknya tapi siapa yang membentuk persekitaran dan didikan itu kalau bukan kita yang lahir sebelum mereka? jika bukan sepenuhnya pun, kita yang lebih dewasa patutnya mengajar dan menghalang mereka dari terus dirasuk persekitaran yang tak sepatutnya didiami anak-anak remaja kita ini… tetapi kerana lebih mementingkan kemodenan yang dirasakan membawa kemajuan kepada semua, inilah bahana yang perlu kita tanggung sebagai balasan pada kemajuan yang kita inginkan itu… anak-anak remaja kita hilang nilai-nilai murninya yang sejak di fasa kanak-kanaknya telah goyah… lalu bagaimana kita mahu membentuknya menjadi manusia yang perkasa jiwanya apabila mereka melangkah ke fasa dewasa kemudian harinya?
Jangan salahkan anak remaja kita bila mereka melakukan kesalahan… tiada manusia dalam dunia ini yang mahu hidup dalam kekesalan atas kesalahan yang mereka lakukan seumur hidupnya… anak remaja kita juga begitu… sekali berbuat salah, kita tidak boleh terus menghukum tetapi berilah kesedaran… benar mereka akan kesal dan tetap mengingati kesalahan itu tetapi itu akan menjadi banteng kepada mereka untuk tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama di depan hari…
Bila tiba di fasa dewasa, tiada apa lagi yang mampu kita lakukan kerana inilah fasa terpenting yang harus dilalui semua manusia… kerana apa? kerana di fasa inilah hati manusia telah penuh dengan segala-galanya… impian, keinginan, kejayaan… boleh ditegur namun sukar dibentuk lagi kerana sedari awal jiwanya telah diisi dengan nilai-nilai yang tidak sepatutnya… impaknya, meski dia bukan yang sangat berpengaruh namun aura dirinya tetap juga meresap pada mereka yang lain walau hanya secebis cuma…jadi apa yang patut kita lakukan ketika ini? Hanya lihat dan terus lihat tanpa sebarang usaha dan doa? Hmm…bukan itu jalannya…
Ingatlah, selagi dunia ini tidak hancur, selagi itulah jalan penyelesaian bagi setiap masalah tetap wujud… sebagai manusia, kita memang takkan mampu menyelesaikan masalah sebesar gunung seorang diri namun percayalah… jika kita sentiasa yakin kita di pihak benar dan tidak jemu berusaha memerangi sesuatu yang berada di bukan tempatnya, Insya Allah Dia pasti akan sentiasa ada untuk kita…
Jadi jangan mudah menyalahkan sesiapa jika generasi kita yang seterusnya terus-terusan mempunyai jiwa yang kosong tanpa nilai-nilai kehidupan yang murni... kerana apa? kerana semua kesalahan dan kesilapan mereka sebenarnya berpunca dari kita, manusia yang terlebih dahulu melihat dunia ini sebelum mereka… betulkan diri dan jiwa kita sebelum kita ingin membetulkan generasi yang masih menanti giliran untuk mengambil alih fasa kehidupan… kerana kata pujangga, mustahil pokok kelapa berbuahkan sawit jika benihnya tidak dicampur dengan yang lain dari asalnya… generasi kita adalah hasil dari acuan kita… maka renungkanlah… 

KEJORAKU BERSATU : BAB 5

BAB 5
“Selamat pagi Atika. Ada apa-apa pesanan untuk saya pagi ni?” Tengku Anuar bersuara  sebaik melintas meja setiausahanya pagi itu.
Wanita berbaju kurung putih berbunga kecil hitam itu tersenyum mesra.
“Untuk pagi ni saja ke atau untuk sepanjang hari ni Encik Anuar?” Atika meminta kepastian. Selalunya Tengku Anuar akan menyoalnya tentang aktiviti yang perlu dilakukannya sepanjang hari dan bukannya hanya untuk di waktu pagi.
Tengku Anuar menepuk dahi.
I’m sorry. I mean sepanjang hari ni,” ujarnya tersenyum simpul.
Atikah turut menguntum senyum.
“Untuk pagi ni Encik Anuar ada mesyuarat dengan Encik Ghani dari Syarikat Craze Bith pada pukul 10.00 pagi nanti manakala untuk petang nanti, Encik Anuar ada perjumpaan dengan klien kita dari Tokyo di hotel Hilton Kuala Lumpur. Itu saja untuk hari ni Encik Anuar,” beritahu Atika sambil menutup semula buku nota kecilnya.
“Itu saja untuk hari ini Atika?” Gadis itu mengangguk.
Tengku Anuar menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Okey, terima kasih,” ujarnya sebelum berlalu ke biliknya yang terletak bersebelahan meja wanita itu.
Tengku Anuar baru saja hendak menolak pintu bilik apabila dia terdengar namanya di panggil. Dia kembali berpaling.
“Ada apa Atika?”
“Maaf Encik Anuar, saya lupa nak beritahu. Tengku Adnan minta Encik Anuar ke biliknya jika Encik Anuar dah sampai pejabat,” Atika menjawab perlahan. Sedikit sesal dengan kelalaiannya dalam menjalankan tugas. Rasa bersalah menyerang dirinya.
Tengku Anuar mengangguk lagi sebelum menapak masuk ke bilik. Diletak briefcase yang di jinjing sedari tadi di atas meja. Pandangan matanya jatuh pada sejambak bunga yang terletak elok di atas rak kayu di belakang kerusi empuknya. Indah dan menarik.
Menyejukkan matanya yang memandang. Dia tersenyum kecil sebelum kembali memusing tubuh. Mengatur langkah menuju ke luar. Dihampiri meja Atikah yang menunduk menulis sesuatu. “Atika,” tegurnya lembut.
Laju wanita itu mengangkat kepalanya. “Ada apa Encik Anuar?” soalnya sopan.
“Siapa yang letak bunga atas rak dalam bilik saya tu?”
“Oo, bunga tu. Saya yang letakkannya Encik Anuar,” beritahu Atika sambil memandang Tengku Anuar yang sekadar menjongket kening, seakan memberi isyarat agar wanita itu meneruskan kata-katanya.
“Bunga tu hadiah dari salah seorang klien kita untuk Encik Anuar sempena ulang tahun syarikat mereka yang ketiga puluh,” terangnya dengan lebih lanjut.
“Syarikat mana tu?”
“Waseer Industry Sdn.Bhd,” Tengku Anuar mengangguk faham.
“Mmm, tak apalah Atikah, saya nak ke pejabat ayah saya di tingkat sekarang. Kalau ada apa-apa nanti, you just take notes ya,”
“Baiklah Encik Anuar,” Tengku Anuar tersenyum lagi sebelum berlalu menuju ke kotak lif yang terletak tidak jauh dari pintu pejabatnya.
“Ayah panggil saya?” Tengku Anuar bersuara sebaik sahaja tubuhnya menolak daun pintu bilik pejabat Tengku Adnan.
Kemudian dia menghampiri Tengku Adnan berada di sofa. Tengku Adnan segera menoleh. Tersenyum meleret memandang si anak yang turut mengorak senyum.
“Hah Nuar, mari sini ayah kenalkan kamu pada kawan baik ayah ni,” Dia bangun dari duduk. Tetamu yang duduk berhadapan dengannya turut bangun.
“Kenalkan Nuar, ini kawan baik ayah sejak ayah di universiti lagi, Datuk Nasir,”
Dihala tangannya ke arah Datuk Nasir yang berdiri tegak mengadapnya.
“Hah Nasir, inilah anak lelaki aku yang aku katakan itu. Dia baru balik Amerika bulan lepas,” sambungnya.
“Apa khabar Datuk?” Sopan Tengku Anuar bersuara. Di hulur tangannya berjabat salam. Datuk Nasir tersenyum panjang. Disambut huluran lelaki itu. Kejap.
“Mmm… tak sangka aku, handsome betul anak lelaki kau yang ini. Lebih handsome dari abang-abangnya,” puji Datuk Nasir, matanya agak ralit memandang wajah tenang itu.
“Hai, kau tengoklah anak siapa. Mestilah handsome macam ayahnya juga,” sahut Tengku Adnan tergelak kecil.
“Perasaan betul kau ni Nan. Aku puji anak kau bukannya kau,”
“Samalah tu. Kalau tak ada aku, tak adanya anak aku ni hah,” Tercetus tawa kedua lelaki itu. Tengku Anuar hanya mengulum senyum. Mereka kembali melabuhkan punggung di sofa.
“Ayah nak kamu tahu Anuar, keluarga Datuk Nasir ni dah macam keluarga kita sendiri. Dia jugalah yang banyak membantu ayah dalam memajukan syarikat kita ni. Susah senang ayah, dialah tempat ayah berkongsi segalanya,” beritahu Tengku Adnan.  
“Nasir, mungkin kau tak pernah jumpa dengan anak lelaki aku ni, berbanding dengan Azhar dan Afzan. Dari kecil lagi anak bongsu aku ni dah tinggal di asrama. Habis saja sekolah, terus dia dapat tawaran menyambung pelajaran ke Amerika. Habis belajar dia bekerja pula kat sana beberapa tahun,”
“Patutlah aku tak pernah nampak dia pun sebelum ini. Macam mana kerja kat tanah air sendiri? Mesti berbeza bukan berbanding dengan kerja kat luar negara tu,” soal Datuk Nasir sambil merenung wajah Tengku Anuar.
“Memang berbeza sangat Datuk, terutamanya dari segi budaya kerja yang orang Malaysia amalkan. Hampir seratus peratus berbeza dengan budaya negara luar,”
“Tak payahlah berDatuk Nuar, panggil saja pakcik. Abang-abang kamu pun panggil pakcik saja,” sela Datuk Nasir cepat.
Hati Datuk Nasir telah terpaut pada wajah itu tatkala kali pertama memandangnya.
“Biasalah tu, budaya kerja kita memang jauh beza dengan budaya orang negara barat. Mereka lebih berdisplin dari segi ketepatan masa dan cekap dalam melakukan tugas,” sambung Datuk Nasir lagi.
“Betul tu pakcik. Selain itu mereka juga amat mementingkan kepuasan pelanggan. Pada mereka kehendak dan keperluan pelanggan perlu diutamakan dalam apa jua keadaan,” ujar Tengku Anuar sedikit serius. Berkerut dahinya seketika.
“Apa yang kamu katakan memang betul tapi budaya kerja orang barat juga mempunyai kelemahannya sendiri,” sampuk Tengku Adnan.
“Dalam budaya kerja orang barat, jarang wujud istilah bekerjasama. Mereka lebih suka bekerja secara bersendirian dan bukannya secara berkumpulan. Ini kerana sikap tidak percaya pada individu lain begitu kuat menghuni diri. Mereka juga begitu mementingkan diri sendiri dan gemar bersaing antara satu sama lain dalam mendapatkan sesuatu ganjaran. Ini di antara sikap mereka yang hampir tidak wujud dalam budaya kerja negara kita,” ujarnya mengulas panjang.
“Sebenarnya, di mana-mana negara pun budaya kerjanya begitu berbeza berbanding dengan negara lain. Setiap budaya itu pula mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Adakalanya sesuatu budaya kerja yang diamalkan adalah sama dengan seperti di negara lain tapi mempunyai maksudnya yang tersendiri.
Contohnya seperti budaya kerja orang-orang Arab. Bagi mereka, memberi duit atau apa-apa saja kepada orang lain ketika menjalankan sesuatu urusan adalah dianggap sebagai hadiah atau satu ganjaran atas apa yang telah dilakukan. Tapi di negara kita, pemberian serupa itu dianggap sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang. Kita yang tinggal dalam sesebuah negara itulah yang seharusnya mengikut budaya tersebut supaya kita dapat bersaing dengan rakyat tempatan,” Datuk Nasir turut berhujah memberi pendapat.
“Betul cakap kau tu Nasir. Sememangnya setiap negara mempunyai budaya kerjanya yang tersendiri. Sebenarnya semua ini terpulang pada diri kita sendiri. Jika kita rasa sesuatu budaya itu adalah baik dan sesuai diamalkan, maka memang patut pun kita mengikutnya,” jelas Tengku Adnan.
“Sekarang ni pun budaya kerja di negara kita pun dah banyak berubah. Dah tak seperti dulu lagi. Semuanya kerana rakyat negara ini semakin sedar tentang pentingnya budaya kerja yang berdisplin dan baik seperti mana yang diamalkan oleh rakyat di negara Jepun,” celah Datuk Nasir.
“Tapi tak semua orang sedar tentang semua ini Nasir. Masih ramai lagi yang mengamalkan budaya kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Contohnya seperti lambat masuk kerja, selalu ambil cuti kecemasan tanpa alasan kukuh dan jarang tepati masa,” ujar Tengku Adnan.
“Biasalah tu Nan, manusia ni tak sempurna semuanya. Ada yang bersikap begitu, ada yang bersikap begini. Takkan serupa semuanya walau pun tinggal di tanah yang sama. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain,” sambut Datuk Nasir.
Tengku Adnan tersenyum sambil menganggukkan.
“Begitulah juga dengan anak-anak kita Sir, tak semua nak dengar cakap kita,” ujarnya lembut. “Si Anuar ni,” di unjuk jarinya ke arah si anak yang sedikit tersentak dengan kata-kata si ayah.
“Sudah puas aku minta dia balik ke Malaysia, bantu aku kat pejabat ni. Baru sekarang dia nak balik. Itu pun sebab aku kata nenda dia yang suruh. Kalau tidak, jangan haraplah,”
“Ala Nan, biasalah tu. Anak muda. Mestilah dia orang nak cari pengalaman dulu di negara orang. Iya tak Nuar?” ujar Datuk Nasir seakan menyebelahi Tengku Anuar.
Lelaki itu hanya mengangguk kepalanya beberapa kali.
“Apa pun untunglah kau Nan, ada tiga orang anak lelaki yang boleh bantu kau kat pejabat ni. Aku pula hanya harapkan si Shahrul saja. Nak harapkan anak perempuan aku tu, tak habis-habis dengan kerja bengkelnya tu. Si Syafiq pula tak berminat langsung dalam bidang business ni,” keluh Datuk Nasir.
“Jangan kata begitu Sir, anak-anak aku ni bukannya anak-anak kau juga?” kata-kata Tengku Adnan menerbitkan senyuman di bibir Datuk Nasir.
“Memanglah anak-anak kau tu pun anak-anak aku tapi itulah, takkan aku nak minta dia orang kerja dengan aku pula,” tukasnya.
“Apa salahnya Sir. Aku tak keberatan nak benarkan dia orang kerja dengan kau. Kerja kat syarikat kau pun samalah juga macam kerja kat syarikat aku. Yang penting, dia orang dapat pengalaman untuk memajukan diri masing-masing,” Ikhlas Tengku Adnan bersuara.
“Terima kasihlah Nan tapi aku rasa biar dia orang kerja saja dengan kau. Syarikat aku tu, bukannya sebesar mana pun. Kalau nak di bandingkan dengan syarikat gergasi kau ni, jauh benar perbezaannya,” ujar Datuk Nasir begitu merendah diri.
“Isy kau ni, jangan cakap begitu. Kecil atau besar sesuatu syarikat itu bukan penentu sesuatu kejayaan. Yang penting cara kita melaksanakan sesuatu tugas yang telah diberikan. Kalau syarikat itu besar dan gah sekali pun di mata dunia tapi jika tidak dapat memberikan perkhidmatan kerja yang baik, syarikat tu takkan kekal lama,”
“Ewah kau ni Nan, kalau sekali dapat bersyarah, kalah aku dibuat kau,”
Tengku Adnan tertawa kecil.
“Apa salahnya Sir, sekali sekala,”
Kedua lelaki itu tertawa. Tengku Anuar sekadar menguntum senyum. Hatinya sedikit terusik melihat keakraban kedua lelaki seusia itu.
“Hmm… sedar tak sedar dah lama aku kat sini,” ujar Datuk Nasir setelah tawanya reda.
“Ala Sir, bukannya selalu pun. Sekali sekala, apa salahnya,”
“Memanglah sekali sekala Nan, tapi kalau selalu tu, bukan sekali-sekala lagi dah. Hah Anuar, ada masa datanglah ke pejabat pakcik. Tak pun, pergi je ke rumah. Makcik kamu tentu suka kalau dapat berkenalan dengan kamu nanti,” pelawa Datuk Nasir ramah.
“Insya Allah pakcik, kalau ada masa, sampai juga saya nanti,” ujar Tengku Anuar sopan.
Disambut huluran tangan Datuk Nasir sebelum mengenggam tangan lelaki itu erat.
“Minta diri dulu Nan, Anuar.”
“Yalah.”
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012