BAB 10
BUNYI
ketukan di muka pintu menyentak Wafi yang berada di satu sudut bilik
tidurnya. Segera dia berkalih wajah. Menatap Puan Ainun yang sudah menjenguk
kepala di balik pintu.
“Ada
apa mak?” Dengan berus lukisan masih di tangan dia bertanya lembut. Mata dia
pula telah kembali melekat di kanvas di depannya.
“Ada
orang nak jumpa dengan kamu kat bawah.” Kata-kata Puan Ainun membuat Wafi terus
mengalih tubuh. Menghadap emaknya.
“Ada
orang nak jumpa dengan Wafi? Siapa orang tu mak?” Agak terkejut bercampur
hairan dia bertanya. Dahinya terus berkerut seribu.
“Adalah.
Dia tunggu kamu kat bawah sekarang,” ujar Puan Ainun tidak berterus terang lalu
terus menghilang dari situ.
Wafi
berfikir seketika. Perlahan-lahan dia meletak semula berus lukisan ke
tempatnya. Dia bergegas mencapai tudung di ampaian kayu sebelum lambat-lambat
melangkah turun ke tingkat bawah. Langsung ke ruang tamu rumah. Menjenguk
kepala ke arah tetamu yang segera mengukir senyuman lebar sebaik sahaja melihat
kelibatnya. Dia terus bangun dari duduknya. Sedangkan Wafi hanya tersenyum
sedikit.
“Maaflah
kalau kedatangan saya ni mengganggu kakak.”
Wanita
itu menghulur tangan sebaik sahaja Wafi menghampirinya. Wafi menyambut
perlahan.
“Ya,
ada apa awak nak jumpa saya?”
Dia
turut melabuh punggungnya di sofa. Berdepan wanita itu yang kembali meletak
punggung di tempatnya.
“Nama
saya Riya Raihani, tapi panggil saja Riya. Saya anak Puan Fatimah dan Encik
Rais, jiran sebelah rumah kakak ni.” Penuh sopan dia memperkenalkan diri.
Wafi
hanya mengangguk. Tiada lagi senyuman di wajahnya ketika ini. Begitupun riak
wajahnya jelas kelihatan tenang.
“Sebenarnya
begini kak. Mak ada beritahu saya yang kakak bekerja sebagai pereka bentuk
hiasan dalaman dari rumah. Kebetulan pulak sekarang ni saya tengah mencari
pereka untuk mereka bentuk hiasan dalaman butik saya. Jadi saya terfikir nak
mintak tolong dari kakak. Itupun kalau kakak tak keberatanlah.”
Tanpa
membuang masa Riya terus memberitahu tujuan kedatangannya pagi itu. Wafi
mengangguk faham.
“Boleh
tu boleh dik tapi sebelum tu kakak kena tahu dulu konsep apa yang Riya nak buat
supaya mudah untuk kakak lakarkannya nanti.” Ternyata dia berminat untuk
menawar khidmatnya. Membuatkan senyuman Riya terus melebar.
“Tentang
konsep tu terpulanglah pada kakak untuk mereka konsep apapun asalkan konsep
yang kakak cadangkan tu sesuai dengan perniagaan yang saya jalankan di butik tu
nanti.” Laju saja Riya memberi jawapan. Kepala Wafi mengangguk lagi.
“Kalau
macam tu kakak kena pergi lihat dulu keadaan butik Riya tu. Dari situ baru
kakak boleh tahu konsep apa yang paling sesuai untuk kita letakkan di situ
nanti.” Tanpa sedar dia terus menguntum senyuman lebar. Manis sekali.
Suka
benar dia bercakap dalam perkara yang menjadi minatnya sejak kecil. Tidak
perasan Riya sudah terkaku.
Sedikit
terpegun melihatkan senyuman indah gadis itu buat kali pertama. Begitu indah.
Hingga menyerlahkan kecantikan asli milik Wafi sepenuhnya.
“Jadi
bila Riya nak kakak mula buat lakaran tu?” tanya Wafi mula meramahkan diri.
Sikap
yang hanya dipamerkan tatkala berbicara tentang topik yang menarik perhatian
dan minatnya. Sekali gus menjadikan perbualannya dengan Riya semakin rancak
kedengaran. Langsung dia tidak menyedari keadaan itu sedang diperhatikan Puan
Ainun dari balik dinding dapur. Ada senyuman bahagia terlukis di raut wajahnya.
Bahagia dengan apa yang dipandang sepasang mata tuanya ketika itu.
ALIA
menghempas kuat gagang telefon di
tangannya. Melepas geram sebenarnya pada alat perhubungan itu sekuat hati.
Sekali gus mengejutkan Rina yang turut berada di bilik pejabatnya tengah hari
itu.
“Kenapa
puan? Ada yang tak kena ke?” Tergesa-gesa dia bertanya. Sedikit pelik dengan
tingkah tiba-tiba wanita itu.
“Bukan
ada yang tak kena Rina tapi banyak yang tak kena,” jerkah Alia sebelum merengus
geram beberapa kali.
“Dasar
buta kayu! Agaknya memang betullah dia letak otak lembab dia tu kat atas kepala
lutut. Sebab tulah bodoh bangang sangat sampai tak boleh fikir langsung apa
yang betul, apa yang salah. Memang mangkuk ayun betullah dia ni!” marah Alia terus
melepas geram tanpa peduli pada keadaan sekeliling.
Mujurlah
hanya dia dan Rina saja yang berada di biliknya ketika ini. Jika tidak pasti
gelagatnya telah menarik perhatian semua pekerja syarikat terhadapnya.
Manakala
setiausaha dia sudah melakar kerutan di dahi.
“Kenapa
ni puan? Siapa yang puan maksudkan?” tanya Rina biarpun dia telah dapat
mengagak gerangan manusia yang menjadi mangsa maki hamun ketuanya sekarang.
Alia
merengus lagi. Lebih kesat.
“Huh,
siapa lagi kalau bukan Ainul Hayat yang bodoh lagi bangang tulah!” tengkingnya
benar-benar marah.
“Buat
sakit hati saya saja telefon dia. Ingatkan kalau tak tengok muka bangang dia tu
kurang sikitlah rasa meluat saya ni tapi rupanya tak! Lagi bengkak hati adalah!
Eii, nasib baiklah dia tak ada kat depan mata saya sekarang. Kalau tidak dah
lama saya ramas-ramas mulut kurang ajar dia tu. Biar tak ada mulut langsung!
Apa guna ada mulut kalau tak reti nak bercakap elok-elok! Eii, geramnya!!!”
Alia menjerit penuh marah. Dilepas satu tumbukan keras ke meja hingga bergegar
seketika meja kayu itu dibuatnya.
“Apa
sebenarnya yang dah berlaku ni puan? Apa yang telah Encik Ainul katakan pada
puan masa puan telefon dia tadi?” Dalam hairan Rina bertanya semula.
Mengerti
benar dengan sikap Alia yang mudah dirasuk marah. Namun cepat saja reda tak
lama selepas itu. Sikap yang adakalanya merimaskan Rina kerana menjadi tugasnya
pula memujuk wanita itu selepas itu. Wajah berang Alia ditatap lagi lama-lama.
Meminta penjelasan.
“Awak
tahu Rina, ada ke patut dia terus tolak usul saya supaya kami adakan
perbincangan tu di pejabat saya saja? Dia kata saya ni pentingkan diri, tak
pernah fikir perasaan orang lain dan paling buatkan saya geram, dia kata saya
ni perasan bagus! Perasan sangat semua idea yang saya bagi untuk projek
kerjasama tu bagus semuanya. Memang patutlah saya perasan bagus pun sebab saya
memang bagus orangnya!
Bukan
macam dia. Tahu bagi idea-idea yang tak masuk di akal aje. Bodohlah katakan,
mana tahu nak bagi idea yang baik! Lagipun apa salahnya kalau buat perbincangan
kat pejabat ni pun? Syarikat ayahnya tu pun dekat saja dari sini. Bukannya saya
ajak buat kat kaki lima. Hei, memang bangang betul si Ainul tulah!” Dalam
memaki bekas suaminya sempat lagi Alia memuji diri sendiri.
“Tapi
Puan Alia, saya rasa ada betulnya jugak kata Encik Ainul tu. Nama pun projek
kerjasama, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menyumbangkan idea
untuk projek tu. Bukannya hanya satu pihak saja yang memberi idea dan satu
pihak lagi menjalankan kerja macam yang Puan Alia buat sekarang.” Lembut Rina
memberi nasihat. Namun ternyata kata-katanya telah berjaya menimbunkan lagi
keberangan wanita itu.
“Hah,
betullah cara yang saya buat tu! Buat apa kita nak pakai idea dia yang tak ada
otak waras tu? Sebagai wakil syarikat, saya ada hak untuk menyuruh dia mengikut
arahan saya dan dia kena patuhinya sama ada dia suka ataupun tidak! Ini tidak,
suka hati dia saja nak kata semua idea saya untuk projek tu tak masuk akal.
Macamlah
idea yang dia bagi tu baik sangat. Memanglah Ainul ni, nak cari penyakit dengan
aku. Nantilah kau, kalau aku jumpa kau esok lusa tahulah aku macam mana nak
ajar lelaki bangang macam kau tu Ainul.” Sambil mengetap bibir Alia meluah rasa
penuh geram. Diramas kertas-kertas kosong di depannya sekuat hati sambil
membayangkan dia sedang meramas tubuh badan Ainul ketika ini.
Manakala
Rina yang melihat gelagatnya menepuk dahi perlahan.
“Tapi
Puan Alia, saya fikir bukankah lebih baik kalau kita bincang perkara ni baik-baik
dengan pihak Encik Ainul? Rasanya tak perlulah kita bergaduh dengan dia pulak.”
Lambat-lambat lagi lembut Rina meluah kata. Ingin memujuk sebenarnya tapi tak
menjadi malah meningkatkan lagi suhu kemarahan wanita itu. Hampir tercabut
jantungnya bila Alia pantas menepuk meja buat kali kedua. Begitu kuat seraya
membalas tajam pandangannya.
“Mana
boleh! Nak bawa bincang ke bendanya kalau perangai dia tu tak serupa dengan
orang lain? Hidup pun hanya tahu menyusahkan orang aje! Orang bangang macam dia
tu hanya boleh diberi penyepak dua tiga kali. Itu aje caranya nak betulkan
semula otak bodohnya tu. Kalau tidak mana dia nak tak reti bahasa kalau kita
cakap baik-baik,” marah Alia lagi. Penuh menyinga.
Kertas
di depannya diramas-ramas lagi. Lebih kuat dari tadi.
“Habis
tu kita nak buat apa sekarang?”
Rina
sudah malas memanjangkan perbualan mereka berkenaan perkara itu. Faham benar
dia dengan sikap Alia. Pantang dilayan cakapnya tentang Ainul, mahu berbakul
juga sumpah seranah akan terkeluar dari mulutnya buat bekas suaminya itu. Dan
pertanyaannya telah berjaya meredakan kemarahan wanita itu walaupun sedikit.
Alia
terdiam sejenak sebelum bersuara semula tak lama selepas itu.
“Buat
masa sekarang, kita tak payah fikir lagi pasal projek ni. Selesaikan dulu mana-mana
projek yang lebih penting. Esok-esok kalau Encik Ainul telefon awak bagitahu
dia, saya nak perjumpaan kali ni dibuat di syarikat ni dan bukannya kat
mana-mana tempat lain. Keputusan ini adalah muktamad dan saya takkan
mengubahnya biar apapun yang terjadi. Awak faham?” soalnya penuh tegas.
Sengaja
menjegil mata pada Rina yang lekas-lekas mengangguk. Malas menyahut kata-kata
wanita yang masih disalut rasa marah itu ketika ini. Alia tersenyum senang.
“Awak
boleh sambung kerja awak Rina. Tolong tinggalkan saya sekarang. Sebelum tu awak
jangan benarkan sesiapa pun mengganggu saya sepanjang hari ni ya. Mood saya
dah hilang sepenuhnya. Sebelum saya hanguskan orang dengan semburan marah saya
ni, lebih baik kalau awak dulu yang halang dia orang dari berjumpa dengan
saya,” arahnya lagi. Lembut pula kali ini.
Rina
hanya terus mengangguk seraya tersenyum kecil.
Sedikit
tercuit dengan seloroh Alia yang kelihatan semakin tenang kini. Segera dia
meminta diri dan berlalu dari situ beberapa ketika kemudian.
Alia
pula kembali mengepal kertas-kertas di depannya sebelum dihumban keras ke dalam
bakul sampah di tepi meja.
“Bodoh
betul Ainul ni. Buat sakit hati aku aje cakap dengan orang bangang macam kau.
Dasar manusia bodoh bangang!” makinya semula. Marahnya masih berbaki pada Ainul
ketika ini.
“KAU
orang sihat?” tanya Isma sebaik sahaja
melabuh punggung di kerusi.
Dia
yang baru tiba di gerai itu meligas mata pada kedua-dua sahabat baiknya yang
terlebih dulu berada di situ. Gerai yang menjadi tempat kegemaran mereka
bertiga membuang masa sewaktu sama-sama bergelar teruna suatu ketika dulu.
“Alhamdulillah,
aku sihat macam biasa aje Is tapi tak tahulah macam mana pulak keadaan diri
sahabat kita yang seorang ni. Semacam aje aku tengok air mukanya tu. Masam
mengalahkan jeruk buah,” sahut Faris selamba seraya mengerling Ainul di
depannya.
Sambil
itu tangannya menyorong segelas minuman yang telah dipesannya pada Isma. Isma
menyambut segera sedang mata telah berada di wajah Ainul.
“Apa
yang tak kena dengan kau ni Ainul? Tegang semacam aje muka handsome kau
tu. Kau baru lepas bergaduh dengan siapa?” Sambil mencicip minumannya Isma
bertanya. Ingin tahu seperti Faris juga. Ainul terus merengus kesat.
“Dengan
siapa lagi aku nak bergaduh dalam dunia ni kalau bukan dengan perempuan yang
perasan bagus tulah. Dia ingat dia seorang saja yang ada otak, orang lain tak
ada? Suka hati aje nak bagi aku macam-macam arahan. Ingat aku ni apa? Kuli
batak dia? Boleh jalanlah!” semburnya penuh geram. Langsung tak peduli pada
keadaan sekeliling gerai yang sedikit lengang dari kunjungan pelanggan petang
itu.
“Maksud
kau Alia?” Pertanyaan Faris dibalas anggukan pantas Ainul.
“Apa
pulak janda kau tu dah buat kat kau?” Dia menyoal lagi.
“Huh,
tak payahlah kau tahu apa yang dia dah buat pada aku Ris tapi apa yang aku tahu
sekarang, aku dah tak sanggup untuk terus bekerjasama dengan perempuan tak guna
tu. Sebelum aku rebus dia jadi sup manusia, lebih afdal rasanya kalau aku serah
balik projek tu pada ayah aku.” Sedikit keras Ainul menyahut.
Sedang
hidangan pesanan mereka hanya dijeling dengan ekor mata. Seleranya hilang
seketika apabila nama Alia dibangkitkan.
“Tapi
kalau iya pun kau bagitahulah kami apa yang dia dah buat pada kau. At least hilanglah
sikit tekanan kau tu.” Dengan mata yang masih melekat di wajah tegang itu Isma
bersuara semula. Seakan memujuk.
Ainul
melepas nafas perlahan. Cuba membuang rasa amarah yang begitu mudah merasuk
hati dan mindanya setiap kali ingatannya terhadap Alia bertandang.
Perlahan-lahan suaranya diluah semula.
“Macam
mana aku nak kerja dengan dia Is kalau kami asyik bertekak aje. Tak kiralah
dalam telefon ke, bersua muka ke, sama aje keadaannya. Dah berkali-kali tapi
sampai sekarang kami masih belum capai kata sepakat pasal projek tu walhal masa
yang diberi ayah kita orang semakin suntuk.
Aku
nak buat begitu, dia nak buat begini. Aku suruh buat macam tu, dia buat macam
ni. Cadangan aku langsung dia tak mahu dengar. Semua nak ikut kepala batu dia
tu aje. Siap dia bagi aku warning supaya aku ikut semua arahannya pula.
Walhal aku pun ada hak nak buat macam tu. Sekali-sekala bolehlah aku beralah
tapi kalau dah selalu, mahu panas hati jugak aku dibuatnya.” Panjang lebar
Ainul melepas segala rasa yang terbuku di hati. Penuh perasaan.
“Alah,
tak payah kata Alia, kau tu pun apa kurangnya. Sama aje sebenarnya perangai kau
orang berdua tu. Bukannya aku tak tahu. Baik kau mahupun Alia, sama aje keras
kepalanya, langsung tak mahu mengalah. Ego tak payah katalah. Tinggi
mengalahkan bangunan berkembar Petronas depan kita ni ha. Itu yang jadi begitu
tu.” Selamba saja Faris menempelak.
Dia
hanya buat-buat tak nampak bila Ainul pantas menjelingnya. Penuh tajam.
“Betul
cakap Ris tu Ainul. Patutnya sebagai lelaki, kau beralah ajelah dengan Alia tu.
Mungkin tindakan yang dia buat tu salah tapi kau pun tak betul sepenuhnya.
Kalau iya pun kau tak suka dengan caranya tu, tegurlah secara baik. Kalau dia
tinggikan suara, kau rendahkan nada. Kalau dia berapi, kau diam ajelah.
Ini
tidak, kau tiupkan lagi apinya tu. Mahunya tak marak. Bila dah jadi begitu, kau
orang berdua jugak yang sama-sama rentungkan? Kalau macam tu jangan kata bulan
depan, tahun depan pun belum tentu projek ayah kau orang tu boleh siap,” sokong
Isma bersama selitan nasihat.
“Itu
aku tahulah Is tapi masalahnya makin aku diam, makin menjadi pulak mulutnya tu
nak mengata aku. Pantang ada peluang, sesedap cita rasa dia aje nak mengutuk
aku. Kalau hati aku ni ketul batu yang tak ada perasaan, bolehlah aku biarkan
tapi hati aku ni ada perasaan manusia beb, mana boleh biar orang maki hamun aku
macam tu aje.” Ternyata Ainul sendiri tidak mahu mengalah dengan sikap yang
ditunjukkan oleh bekas isterinya.
“Huh,
kalau begitu punya gaya sikap kau orang, aku rasa mahu sampai kiamatlah kau
orang berdua tak berdamai. Sorang cakap begini, sorang lagi cakap begitu. Apa
nak jadi dengan kau orang berdua di belakang hari pun tak tahulah.”
Suara
Faris pula penuh kesal.
Kesal
dengan sikap Ainul dan Alia yang telah dikenalinya sejak di universiti lagi
itu. Sambil itu matanya memandang Ainul yang kelihatan sedikit tenang ketika
ini setelah separuh isi hatinya diluahkan. Lambat-lambat lelaki itu menyebak
rambut berseleraknya.
“Ikutkan
hati marah aku ni, nak saja aku tampar kepala si Alia tu berulang kali. Biar
berjalan sikit otak sengalnya tu. Taklah hidup menyusahkan orang lain aje,”
marah Ainul namun kali ini dalam nada yang lebih lembut.
Faris
yang mendengar kata-katanya terus menggeleng.
“Tak
faham betul aku dengan perangai kau orang berdua ni. Masa kau orang bercinta
dulu, bukan main nak rak lagi. Nak berpisah sekejap pun tak sanggup. Ke hulu ke
hilir berdua aje. Pantang berpisah walau sehari, termenung mengalahkan orang
yang dah hilang segala harta benda.
Tapi
bila dah bercerai, jangan kata nak bersembang, nak bersua muka pun tak boleh.
Angin aje satu badan. Asyik nak bercakar aje tak kira masa atau tempat sampai
aku yang tengok ni pun naik pening melihat perangai kau orang.” Kepala Faris
menggeleng lagi.
Isma
yang melihat tingkah lelaki itu terus saja menyampuk kata.
“Kau
ni Ris, macamlah tak faham. Masa bercinta semuanya memang nampak indah.
Serba-serbinya berwarna-warni aje. Lopak air lecak pun nampak macam lautan biru
yang memukau pandangan. Tapi bila dah benci, tak payah kata muka, dengar suara
pun rasa macam nak muntah aje. Punyalah jijik,” seloroh Isma mengundang tawanya
sendiri dan tawa Faris juga.
Manakala
Ainul yang mendengar kata-kata itu hanya merengus geram. Bengang dengan usikan
kedua-dua sahabat baiknya. Begitupun tiada rasa marah yang timbul di hatinya
buat kedua lelaki itu lantaran dia telah biasa dengan sikap kedua mereka. Gemar
bercanda kata sesama mereka. Namun kedua-duanya sering kali menjadi tempat
pertama untuk dia berkongsi suka duka kehidupan selama ini.
“Is,
kenapa kau tak kahwin semula lepas pemergian arwah Kamilia?” Faris melontar
soalan setelah beberapa ketika mereka terdiam kata. Menjadikan Isma yang sedang
mengunyah makanannya terhenti seketika. Dia melepas nafas perlahan.
“Bukan
aku tak nak kahwin semula lepas dia pergi Ris tapi aku masih tak dapat lupakan
dia. Ke mana saja aku pergi, aku tetap melihat dia bersama aku. Walaupun kami
tak pernah bercinta sebelum kahwin tapi pada aku Kamilia adalah cinta pertama
dan terakhir aku.
Sampai
ke hari ini aku masih tak dapat lupakan semua kenangan yang pernah kami lalui
bersama. Sebab tulah aku tak boleh terima orang lain lagi dalam hidup aku
selepas dia pergi.” Dalam tenang dia menyambung suapannya.
“Tapi
aku tak fikir arwah Kamilia gembira dengan tindakan kau ni Is. Aku rasa,
kalaulah dia lihat keadaan kau sekarang, pasti dia sedih sebab kau habiskan
masa hidup kau dengan mengingati kenangan-kenangan yang tak mungkin kau dapat
ulang semula. Semua tu dah berlalu Is.
Sepatutnya
kau kena fikir tentang diri kau, masa depan kau. Sedalam mana pun cinta kau
terhadap arwah Kamilia, kau kena ingat. Dah menjadi ketentuan ALLAH, jodoh kau
dan dia hanya setakat itu. Kau perlu mencari penggantinya biarpun belum tentu
kau boleh terimanya dengan hati yang rela.” Lembut Faris meluah nasihat
bersalut simpati.
Simpati
dengan penderitaan yang ditanggung oleh lelaki itu selepas pemergian arwah
isteri kesayangannya. Walaupun dia tidak pernah melaluinya. Namun dia mengerti
dan turut merasai keadaan itu biarpun tidak sepenuhnya. Segalanya jelas
terserlah dalam laluan kehidupan Isma yang dapat dilihatnya selama ini.
“Tapi
pengganti tu takkan sama seperti mana dia Ris,” sambut Isma cepat. Ternyata dia
tidak dapat menerima kata-kata lelaki itu.
“Itu
betul tapi kau kena ingat. Mana ada manusia yang sama dalam dunia ni? Sedangkan
pasangan kembar pun ada perbezaannya, inikan pulak kita. Sama ada kau suka atau
tidak, kau tetap kena terima ketentuan ni. Jodoh kau dengan arwah Kamilia hanya
sampai di sini saja.
Tak
kisahlah siapa pun penggantinya tapi yang penting dia boleh terima diri kau
seadanya. Mana tahu, ALLAH telah sediakan jodoh yang lebih baik untuk kau buat
kali kedua. Jadi kenapa kau tak gunakan peluang ni untuk mencari jodoh kau tu?”
sampuk Ainul pula.
Dia
turut berminat dengan isi bicara yang galak dibahas mereka ketika ini. Hingga
terlupa sejenak dia pada rasa marahnya terhadap Alia.
Isma
terdiam sekejap sebelum perlahan dia membalas. Penuh lemah.
“Entahlah,
aku sendiri pun sebenarnya sedar yang segala tindakan aku ni salah dan tak
sepatutnya aku lakukan tapi apa daya aku. Aku terlalu cintakan Kamilia hingga
payah untuk aku buka hati aku untuk perempuan lain. Bukan aku tak cuba malah
sampai ke waktu ni aku masih berusaha melakukannya tapi aku tetap tak dapat
buat apa-apa. Sebab semua ini berlaku atas dasar rasa hati aku sendiri. Senang
kata, aku memang tak mampu nak terima orang lain dalam hidup aku buat masa
sekarang.
Di
masa depan, tak tahulah macam mana pulak keadaannya. Sama ada aku mampu terima
orang lain atau tidak, hanya masa yang akan tentukannya. Apapun, aku serah
semuanya pada ALLAH. Hanya DIA yang lebih tahu apa yang terbaik untuk aku dan
segala takdir yang telah DIA suratkan dalam hidup aku akan aku terima
sebaiknya,” balas Isma yakin dengan kata-kata sendiri. Lantas memandang
kedua-dua sahabatnya yang terus mengangguk. Bersetuju dengan kata-katanya.
“Kau
pulak Ainul, kenapa tak kahwin lain lepas kau bercerai dengan Alia? Setahu aku,
dah lapan tahun kau orang berdua bercerai tapi sampai sekarang kau ataupun dia,
sama-sama tak mencari pengganti walhal peluang tu terbuka luas. Kenapa?” Faris
mengalih soalan pada Ainul pula.
Entah
mengapa dia berminat untuk mengorek keluar rahsia hati sahabat-sahabatnya
ketika ini. Matanya dibenam lama pada wajah Ainul. Lelaki itu melepas nafas
pendek.
“Kahwin...”
Ainul menggigit bibir sambil berfikir sekejap.
“Sebut
tentang kahwin, rasa macam nak saja aku kahwin sekali lagi. Yalah, mana tahu
dengan perkahwinan kedua ni aku boleh dapat ketenangan dan zuriat penyambung
keturunan aku. Tapi bila aku fikir tentang peritnya nak menjaga perkahwinan tu
buatkan aku rasa kalau aku tak kahwin sampai bila-bila pun aku takkan rugi
apa-apa. Aku bukan tak mahu kahwin lagi Ris, tapi rasanya aku belum bersedia
lagi untuk berkahwin semula.
Perkahwinan
pertama aku banyak mengajar aku tentang erti perkahwinan yang sebenarnya.
Tentang tanggungjawab kita sebagai suami, peranan kita sebagai ketua keluarga
dan macam-macam lagi. Lagipun aku seriklah nak berkahwin balik. Aku takut
kalau-kalau perkahwinan kedua aku ni pun akan mengalami nasib yang sama macam
yang pertama.
Buat
kenduri gah bagai anak raja yang kahwin tapi bertahannya cuma setahun.
Dibuatnya isteri aku yang kedua ni pun perangainya lebih kurang sama aje dengan
yang pertama, mahu porak-peranda jadinya hidup aku. Entah-entah lebih teruk
dari tu. Daripada aku lingkupkan hidup aku sendiri baik aku hidup sendiri macam
sekarang. Hati tak sakit, duit pun tak habis, kepala pun tak pening nak fikir
macam-macam masalah,” sahutnya panjang lebar.
“Maknanya
kau takkan kahwin lagilah selepas ni?”
Ainul
terkedu dengan pertanyaan spontan Isma itu. Dihela nafasnya semula.
“Tentang
itu aku tak tahu nak kata apa Is. Macam kau jugaklah, aku sendiri pun tak tahu
apa yang telah tertulis dalam takdir hidup aku. Kalau ditakdirkan aku akan
berkahwin semula di masa depan, aku akan terima jodoh aku tu seadanya dia.
Tapi
kalau aku ditakdirkan berseorangan begini sampai ke akhir hayat, aku tetap akan
terima jugak dengan hati yang redha. Apapun segalanya terpulang pada ALLAH
sebab macam kau kata, hanya DIA yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.”
Dia membalas tenang.
“Ainul,
kalaulah kau ditakdirkan untuk berkahwin semula dengan Alia, kau terima tak?”
Pertanyaan tiba-tiba Faris itu menjadikan Ainul kaku semula. Lama dia mengunci
mulut sebelum lambat-lambat menjawab.
“Kalau
itu kehendak ALLAH, terima atau tidak, aku tetap kena terima bukan? Kalau aku
tolak, bermakna aku tak terima ketentuan-NYA. Jadi mahu atau tidak, aku akan
cuba menerimanya walaupun sukar. Sama ada aku akan bahagia atau derita selepas
itu, hanya DIA yang tahu tentang itu.” Suaranya sedikit teragak-agak. Cuba
membayangkan rasa hati yang selama ini disimpan rapi biarpun tidak sepenuhnya.
“Bahagia
atau tidak, bukan ALLAH yang akan berikan pada kita tapi kita sendiri yang
perlu mencarinya. DIA tentukan segalanya buat kita tapi kita yang perlu
memastikan segalanya berada dalam keadaan yang kita mahukan. Macam tu juga
hubungan kau dan Alia. ALLAH dah tentukan kau dan dia berjodoh tapi sama ada
kau dan dia dapat bersama selamanya, hanya kau orang saja yang tentukan.
Kalau
kau orang inginkan kebahagiaan, kau orang perlu pastikan rumah tangga kau orang
berada dalam keadaan sepatutnya. Jika tidak, perkara sebaliknya yang akan
berlaku sebagaimana sekarang. Kedua-dua kau orang tak salah bila semua ni berlaku
tapi langkah yang kau orang ambil tu yang tak betul sebenarnya.
Tapi
semuanya boleh diselamatkan lagi andai kau orang berdua mahu membetulkan
kesilapan masing-masing. Apapun semuanya dah berlaku. Tak guna kau orang
bertekak lagi atas perkara yang tak mendatangkan faedah pada kedua-dua belah
pihak. Hanya boleh menyakitkan hati dan menambahkan lagi perasaan dendam sesama
sendiri.
Cara
terbaik, lupakan apa yang telah berlaku dan jalanilah kehidupan ini sebaiknya.
Malah lebih baik dari yang lepas supaya kesilapan pertama takkan berulang lagi
buat kali kedua di masa depan.” Lancar saja mulut Faris memberi nasihat.
Seolah-olah dia adalah perunding psikologi keluarga dan Ainul sedang menghadiri
sesi kaunseling dengannya ketika ini.
Ainul
sudah tertegun dengan kata-kata lelaki itu. Terkesima dengan kata-kata yang
dirasakan mengena tepat pada dirinya. Dia tersentak kecil tatkala Isma pantas
menyampuk kata selepas itu.
“Amboi
kau ni Ris, bercakap macamlah dah ada pengalaman dalam perkahwinan sebelum ni
walhal sampai sekarang masih seorang diri. Bukan main lagi memberi nasihat pada
kita orang,” usiknya seraya tertawa kecil.
Faris
juga begitu. Turut meluah tawa kecilnya.
“Aku
bukannya apa Is, semua kata-kata aku tu datangnya dari pengamatan aku terhadap
perjalanan hidup kau dan Ainul selama ini. Melihat kehidupan kau orang berdua
membuatkan aku sedar. Sebagai manusia, kita telah diberi jalan hidup sebaiknya
oleh ALLAH dan tugas kita hanyalah mengikut jalan itu betul-betul agar tidak
tergelincir dari arah yang tidak sepatutnya.
Di
sepanjang jalan itu pula kita akan diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan
yang adakalanya membuatkan kita rasa kesal dan marah. Hingga akhirnya tanpa
sedar kita telah terpesong dari jalan sebenar. Tapi bagi mereka yang sabar dan
tabah dengan semua ujian tu, pastinya akan menjadi manusia yang paling gembira
di penghujung jalan sebab mereka telah temui sesuatu yang kita semua cari
selama ni iaitu kebahagiaan di dunia dan jugak akhirat.” Suaranya penuh dengan
makna mendalam.
Isma
dan Ainul sudah mengangguk-angguk. Bersetuju dengan kata-kata lelaki itu.
“Aku
rasa macam duduk dalam dewan kuliah saja bila dengar kau cakap macam tu Ris.
Teringat aku zaman kita di universiti dulu. Macam tulah gayanya para pensyarah
kita memberi nasihat sambil mengajar kita semua,” gurau Ainul sekali gus
membuahkan tawa mereka bertiga.
“Actually,
kata-kata aku tadi tu pun aku cedok dari kata-kata pensyarah kita jugak.
Sekadar mengulangi apa yang dia orang bagitahu kita dulu. Itupun setakat mana
yang aku ingatlah. Lain-lain kata tu aku main hentam cakap aje.” Kata-kata
Faris menambahkan lagi ledakan tawa mereka petang itu.
No comments:
Post a Comment