Monday, July 29, 2013

CINTA SEJATI : BAB 16


BAB 16

Zarif memberi salam sebaik saja keretanya dikunci. Matanya memandang ke arah pintu rumah papan yang tertutup rapat. Keadaan sekeliling rumah yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman bunga kertas itu kelihatan begitu sunyi.
Hanya sesekali kedengaran bunyi tiupan angin yang bertiup agak kencang tengah hari itu membawa bersama haruman bunga kenanga yang turut di tanam di halaman rumah itu.
Untuk kali keduanya, Zarif memberi salam. Kali ini terdengar suara seseorang menyahut dari dalam rumah. Tak lama, pintu rumah di buka.
“Siapa tu?” Terjengul kepala Encik Idris dari balik pintu.
“Saya pak cik,” Segera Zarif menyahut.
Langkahnya di atur satu persatu menuju ke tangga kayu rumah itu.
Encik Idris menyelitkan diri di celah pintu yang sedikit terbuka. Sebaik terpandang Zarif, dia tersenyum lebar.
“Oh, tuan doktor rupanya. Sila, silakan masuk,” pelawa Encik Idris.
Tergesa-gesa dia membuka daun pintu seluas-luasnya.
“Silakan masuk doktor,” pelawanya lagi.
Zarif tersenyum kecil sebelum memijak satu persatu anak tangga. Perlahan-lahan dia memijak ruang beranda yang agak luas itu sebelum melangkah masuk ke ruang tamu rumah. Dihulur tangannya. Berjabat salam.
“Mah, ke sini kejap. Tengok siapa yang datang ni.”
Idris meninggikan sedikit suaranya, memanggil Puan Salmah yang berada di dapur.
“Silakan duduk doktor, jangan segan. Buatlah macam rumah sendiri,” ujar Encik Idris lagi.
Zarif sekadar mengukir senyum. Dilabuh punggungnya di kerusi rotan yang ada di ruang tamu itu. Matanya meligas memandang sekeliling rumah yang kelihatan kemas dan bersih itu sebelum dialih ke arah Encik Idris yang turut duduk bertentangan dengannya.
“Ada apa bang?” soal Puan Salmah mengatur langkah ke ruang tamu.
Pandangan matanya jatuh pada Zarif yang bangun menghulurkan tangan padanya. Dia menyambut perlahan.
“Ni ha, doktor yang selamatkan Laila tu datang.” Nada suara Encik Idris kedengaran gembira.
Puan Salmah tersenyum lebar. Kepalanya terangguk-angguk sedikit.
“Duduklah dulu ya doktor, makcik ke dapur buat air.”
Puan Salmah kembali mengatur langkah menuju ke dapur.
“Eh tak payah susah-susah makcik. Saya datang sekejap aje ni.”
“Hisy, apa pula susahnya doktor, buat air aje.” Encik Idris pula menyampuk kata.
Zarif mengulum senyum. Dia membetulkan duduknya.
“Maaflah pakcik jika kedatangan saya pada tengah hari begini menganggu pakcik sekeluarga,” tenang Zarif memula kata. Dia masih tersenyum.
“Eh, jangan cakap begitu doktor. Pakcik yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada doktor.”
“Pakcik tak usahlah panggil saya doktor, rasa macam berada di hospital pula. Panggil saja Rif,” beritahu Zarif.
“Pagi tadi jururawat di hospital beritahu saya, sehari dua ni pakcik mencari saya di hospital tapi saya bercuti,” sambungnya lagi.
“Memang pun pakcik ada cari doktor. Pakcik nak ucapkan ribuan terima kasih pada doktor kerana selamatkan Laila hari tu. Kalau tak kerana doktor, tak tahulah apa yang akan terjadi pada anak pakcik tu.”
“Jangan cakap macam tu pakcik. Dah kebetulan saya berada di situ. Kalau orang lain pun, mereka akan buat perkara yang sama.”
Kata-kata Zarif terhenti seketika apabila dia terpandang Puan Salmah datang dengan menatang dulang bersamanya.
“Jemput minum doktor.”
Puan Salmah meletakkan dulang berisi air minuman ke atas meja. Punggungnya dilabuhkan di sebelah suaminya.
“Air bujang aje doktor,” sambungnya.
Zarif hanya menguntum senyum.
“Laila mana Mah?”
Idris memandang sekilas wajah isterinya.
“Ada kat dalam biliknya bang. Tidur,”
“Awak pergi kejutkan dia. Katakan doktor yang selamatkan dia hari tu datang,”
‘Eh, tak payah pakcik. Biar dia rehat. Badannya masih lemah lagi tu,” Pantas Zarif menegah.
Puan Salmah yang baru hendak bangun kembali duduk.
“Terima kasih ya doktor kerana selamatkan anak makcik. Makcik tak tahu macam mana nak balas budi baik doktor tu. Kalau tak ada doktor hari tu, entah apalah nasib anak makcik tu agaknya.”
Kelopak mata Puan Salmah mula digenangi air. Hatinya tersentuh setiap kali dia mengingati kejadian yang berlaku pada Laila.
“Dahlah makcik. Tak usahlah nak ucapkan terima kasih lagi. Kejadian tu pun dah berlalu. Anak makcik pun dah selamat.” lembut Zarif bersuara.
Tak sanggup dia melihat Salmah berkeadaan begitu. Sebagai seorang doktor dia dapat mengerti dengan perasaan yang dialami oleh wanita itu.
“Kami ni bukannya apa doktor, Laila tulah satu-satunya anak yang kami ada. Kalau terjadi apa-apa padanya, tak tahulah bagaimana pakcik nak gambarkan perasaan kami ni.” Encik Idris menyampuk perlahan.
“Saya faham pakcik.”
Zarif mengangguk kepalanya beberapa kali. Wajah sayu sepasang suami isteri itu ditatapnya sejenak.
“Boleh saya tahu pakcik, macam mana Laila boleh jatuh dalam sungai tu?” soalnya.
“Tak tahulah doktor. Kata Laila, dia diganggu budak-budak kampung masa dia dalam perjalanan balik dari balai raya hari tu. Tapi, bila kami tanya siapa budak-budak tu, dia tak jawab pula,” ujar Encik Idris.
“Mujurlah Anis yang kebetulan melalui kawasan itu ternampak Laila terjatuh ke dalam sungai. Kalau tidak entah hidup atau tidak anak makcik tu,” sampuk Puan Salmah perlahan. Di kesat airmata yang mula bertakung di kelopak mata dengan hujung baju kurungnya.
“Betul tu. Kalau tak kerana budak tu, tak tahulah apa yang akan terjadi pada Laila,” sambut Encik Idris sayu.
Dalam hati Idris tidak lupa untuk mengucap syukur kepada Allah kerana menyelamatkan nyawa anaknya. Dia juga tidak lupa berkunjung ke rumah keluarga Anis bagi mengucapkan terima kasih pada gadis itu atas pertolongannya pada Laila tempoh hari.
 Zarif yang memandang hanya mendiamkan diri. Sedar, kedua suami isteri itu masih disaluti kesedihan atas apa yang terjadi pada anak kesayangan mereka.
“Doktor, makan tengah hari di sini saja ya hari ni,” pelawa Puan Salmah.
“Eh tak apalah makcik. Buat menyusahkan makcik saja.”
Zarif terkejut dengan permintaan Salmah yang tidak diduganya itu.
“Jangan begitu doktor. Tak ada apa yang boleh kami balas atas pertolongan doktor tu,” celah Encik Idris pula.
“Betul kata pakcik tu. Makan tengah hari di sini saja ya doktor,” ujar Salmah menyokong kata-kata suaminya.
Zarif menarik nafas perlahan. Dirinya keberatan untuk memenuhi permintaan itu. Terasa kehadirannya tengah hari itu menyusahkan Encik Idris sekeluarga namun melihat wajah penuh harap kedua suami isteri itu menjadikan hatinya tidak tergamak menghampakan permintaan keduanya.
Perlahan-lahan Zarif mengulum senyum sebelum memandang silih berganti wajah suami isteri itu yang menanti jawapan darinya.
“Baiklah tapi dengan syarat.”
“Syarat? Syarat apa doktor?”
Kedua suami isteri itu saling berpandangan seketika sebelum kembali memandangnya dengan pandangan hairan.
Zarif tersenyum lagi.
“Dengan syarat, mulai sekarang, pakcik dan makcik berhenti dari memanggil saya doktor. Panggil saja saya Rif.”
“Oh, itu saja ke syaratnya. Ingatkan apa tadi,” ujar Encik Idris girang. Zarif tersenyum lebar. Kedua suami isteri itu turut mengukir senyuman.

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012