BAB
12
Mahfeez mendengus geram.
Hatinya sakit tatkala terpandang Yashmaan menghantar pulang Zara ke pejabat
tengah hari itu. Kemesraan yang ditunjukkan Zara terhadap pemilik hotel Astana
Malaysia itu dirasakan menghiris tangkai hatinya yang semakin membengkak sejak
akhir-akhir ini.
“Wah, bukan main rapat lagi kau
dengan dia sekarang,” sembur Mahfeez sebaik saja ternampak kelibat Zara melangkah
masuk ke ruang pejabat yang agak luas itu.
Zara menghayun langkah tenang merapati
Mahfeez. Melihat air mukanya yang serius, Zara dapat merasakan ada sesuatu yang
ingin diperkatakan oleh lelaki itu padanya.
“Kau ni kenapa Feez, semacam aje
aku tengok.” Suara Zara kedengaran bersahaja. Matanya merayapi wajah Mahfeez
yang kelihatan tegang.
Mahfeez mendengus kasar. Terasa
bengkak di hatinya menanah memandang Zara yang selamba menegurnya.
“Kaulah, bukan main rapat lagi
dengan dia.” Mahfeez mengulangi kata-katanya. Kasar.
“Aku rapat dengan siapa ni?”
Zara menyoal hairan. Tidak mengerti dengan maksud kata-kata lelaki itu.
“Dengan siapa lagi kalau bukan
dengan Tengku Yashmaan tulah,” ujar Mahfeez meninggikan suaranya.
Tubuhnya dipeluk kemas. Bulat
matanya memandang wajah wanita itu yang turut membalas pandangannya.
“Ya ke? Aku rasa biasa aje.”
Merah padam muka Mahfeez
melihatkan wajah Zara yang tenang bersuara itu.
“Biasa kau kata? Hampir setiap
hari kau keluar dengan dia, kau kata tu biasa?” ujarnya sedikit menengking.
Zara menarik nafas panjang. Hatinya
sedikit tersentak mendengar nada suara yang keluar dari tekak teman baiknya
itu. Tidak pernah Mahfeez meninggikan suara padanya selama persahabatan mereka
berlangsung. Inilah kali pertama dia mendengar lelaki itu meninggikan suara
padanya.
”Mahfeez, aku bukan suka-suka
nak keluar dengan dia. Kami keluar untuk berbincang pasal pembinaan hotelnya
tu. Itu saja,” balasnya berlagak tenang. Cuba meredakan kemarahan lelaki itu
yang tidak diketahui puncanya.
“Hingga setiap hari?” Nada
suara Mahfeez semakin tinggi. Mencerlung matanya menikam anak mata Zara.
“Yang kau marah sangat pada aku
ni kenapa?” Zara mula meninggikan suara.
Mula geram dengan perlakuan
Mahfeez yang seolah-olah menuduhnya melakukan perkara yang bukan-bukan.
“Kau kena ingat Feez, aku dapat
projek ni pun disebabkan sikap kau sendiri. Kalau kau tak buat hal pada projek
sebelum ni, bos takkan serahkan projek Tengku Yashmaan tu pada aku dan
sekarang, kau nak marahkan aku pula?”
Zara memuntahkan rasa marahnya.
Tidak lagi peduli dengan pandangan rakan-rakan sepejabat yang majoritinya
berbangsa asing itu terhadap mereka berdua.
Mahfeez terdiam seketika. Wajahnya
yang tegang tadi dikendur semula.
Jauh di sudut hati dia tidak bermaksud
untuk mengungkit pemberian projek pembinaan hotel itu kepada Zara. Malah dia
yakin Zara boleh memberikan yang terbaik untuk projek yang besar seperti itu. Apatah
lagi Zara merupakan antara jurutera yang terbaik di syarikat mereka. Namun
perasaan cemburu yang menguasai hati lelakinya menyebabkan dia bersikap begitu.
Zara memandang tepat wajah
Mahfeez yang hanya mendiamkan diri. Sejak kebelakangan ini kata-kata yang
dilemparkan lelaki itu terasa menyakiti hati wanitanya. Terlalu kasar dan
biadap. Entah ke mana hilangnya sikap berbudi bahasa yang selalu dipamerkan
lelaki itu selama ini.
“Aku nak tahu Feez, kenapa kau
marah sangat pada aku?” Zara mengulang soalannya. Kali ini dengan nada yang
lebih lembut.
“Kerana bos bagi projek tu pada
aku ke?” tekanya.
Pantas lelaki itu mengeleng.
“Bukan sebab tu Za,” perlahan
dia membalas. Nadanya tidak setinggi tadi.
“Habis tu, sebab apa?”
Mahfeez mendengus kasar.
Dilarikan pandangannya ke arah lain. Tak sanggup rasanya membalas pandangan
tajam Zara.
“Sebab kau rapat dengan Tengku
Yashmaan sekarang,” ujarnya lambat-lambat.
“Kenapa pula aku tak boleh
rapat dengan dia?” soal Zara lagi. Tidak mengerti dengan situasi yang sedang
dihadapinya.
Mahfeez mendengus lagi. Lebih
kasar dari tadi. Dia memandang sekilas wajah putih bersih wanita itu.
“Aku bukannya apa Zara, aku tak
suka kau rapat sangat dengan dia.”
“Sebab apa kau tak suka aku
rapat dengan dia?” soal Zara tegas.
“Sebabnya kau sendiri pun tahu,
kan?” sinis jawapannya.
Mata Mahfeez memandang tepat
wajah Zara yang sedikit berubah air mukanya. Zara menarik nafas panjang. Mengerti
kini dengan perubahan sikap lelaki itu terhadapnya. Wajah serius itu dipandang
tenang.
”Feez, aku tak peduli dan aku
juga tak kisah dengan apa yang kau fikirkan. Cuma aku nak kau tahu, hubungan aku
dengan Tengku Yashmaan hanyalah sekadar kawan biasa. Tak lebih dari itu.
Dan aku juga nak kau tahu,
hubungan kau dan aku adalah sama seperti mana hubungan aku dengan rakan-rakan
sepejabat kita yang lain. Rasanya, kau sudah maklum dengan semua tu,” ujarnya
lagi. Tegas.
Mahfeez menjeling tajam. Terasa
luka di hati semakin dalam. Sedar keadaan dirinya yang hanya bertepuk sebelah
tangan selama ini. Tidak bersambut.
Melihat Mahfeez hanya
mendiamkan diri, Zara menarik nafas panjang. Dia tahu rasa hati lelaki itu.
Perlahan-lahan dia kembali menenangkan dirinya sebelum lambat-lambat dia
bersuara.
”Feez, kau sedarkan status aku
selama ni. Jauh dari pandangan mata suami tak bermaksud aku boleh melakukan
perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Aku masih tahu membezakan apa yang boleh
aku lakukan dan apa yang tidak boleh aku lakukan.
Kalau aku tak bersuami sekali
pun, aku nak kau tahu, antara kita takkan wujud sebarang hubungan istimewa.
Bagi aku, hubungan kita yang terjalin sejak sekian lama ini hanyalah sekadar
hubungan teman biasa dan tidak lebih dari itu. Rasanya kau sudah sedia maklum
tenatng perkara ini sejak dari dulu lagi bukan?
Aku tak mahu hanya kerana
perasaan kau itu menyebabkan hubungan persahabatan antara kita putus begitu
saja. Aku sayang pada kau Feez tapi sayang aku hanyalah sekadar sayang seorang
sahabat pada sahabatnya yang lain. Tak lebih dari itu,” terang Zara dengan
panjang lebar.
Tanpa menunggu dengan lebih lama,
Zara segera berlalu meninggalkan Mahfeez yang termangu-mangu dengan
kata-katanya. Dalam hati dia berdoa semoga lelaki itu dapat menerima kenyataan
yang terbentang luas di antara mereka.
Mahfeez menarik nafas panjang. Terasa
kata-kata yang terluah dari mulut Zara sebentar bagaikan panah yang menusuk
tajam ke lubuk hati. Tepat mengenai luka yang telah lama bernanah. Membuakkan
kesakitan yang tak mampu diluahkannya dengan kata-kata. Sekeping hati lelakinya
masih tidak dapat menerima kenyataan itu. Kenyataan yang Zara tidak mungkin
akan menjadi miliknya.
Begitu pun jauh di sudut hati,
Mahfeez mengakui kebenaran kata-kata wanita itu. Mana mungkin dia dapat
memiliki Zara. Wanita itu tidak ditakdirkan untuknya. Dia harus menerima kenyataan
itu walau pun dia sedar kenyataan itu amat menyakitkan.
Mahfeez kembali mengeluh. Terasa
dirinya seperti sedang bermain permainan squash.
Bola yang dipukul kembali melantun padanya. Dia menarik nafas lagi. Kali ini lebih
panjang.
No comments:
Post a Comment