Monday, July 29, 2013

CINTA SEJATI : BAB 17


BAB 17

Tan Sri Zulkifli sedang membaca surat khabar Sinar Harian apabila dia ternampak kelibat anak sulungnya melintas di ruang tamu. Tanpa berlengah lagi, dia pun bersuara.
So Zaf, macam mana dengan mesyuarat hari tu? Jadi ke Saujana Holdings nak serahkan tender tu pada syarikat kita?”
“Jadi papa. Minggu depan kita dah boleh mulakan projek tu,” beritahu Zafran sambil menghulurkan tangan bersalam dengan Tan Sri Zulkifli sebelum melabuhkan punggungnya di sofa.
“Hmm, baguslah tu. Kamu dah pilih ke siapa yang bakal menerajui projek tu nanti?”
“Rasanya, saya nak minta Heid ketuai projek tu memandangkan dua projek yang berada di bawah saya sekarang ni pun belum selesai lagi. Lagi pun, Heid lebih berpengalaman dalam projek sebegitu berbanding saya ayah,” ujar Zafran.
Tan Sri Zulkifli mengangguk. Dalam diam, dia memuji sikap Zafran yang sentiasa adil dalam mengagihkan tugas di pejabat untuknya dan Zaheid.
Di antara empat orang anaknya, hanya Zafran dan anak keduanya Zaheid yang berminat untuk mengikut jejak langkahnya untuk terjun ke bidang perniagaan hartanah manakala anak perempuannya Zarina lebih selesa menjadi seorang pensyarah di sebuah kolej swasta sementara anak bongsunya Zarif memilih untuk menjadi seorang doktor.
“Hah Zaf, dah lama ke kamu sampai? Kamu dari mana ni?”
Zafran menoleh, memandang Puan Sri Azrina yang baru datang dari arah dapur. Dibawa bersamanya sedulang air minuman. Diletak ke atas meja di depan anak dan suaminya.
Zafran bangun dan menyalami tangan Puan Sri Azrina.
“Baru saja sampai ma. Saya dari rumah Zarif tadi,” sopan dia menjawab.
“Kamu seorang saja ke? Isteri kamu, Aina mana?”
“Saya seorang saja ma. Saja singgah sekejap kat rumah ni. Aina belum balik kerja lagi,” ujar Zafran.
Tangannya menyambut huluran cawan dari Puan Sri Azrina sebelum meneguknya rakus.Menghilangkan rasa dahaga yang sedari tadi memenuhi ruang tekaknya.
“Macam mana keadaan rumah Rif tu?” Puan Sri Azrina menyoal perlahan.
Seketika matanya di kerling ke arah Tan Sri Zulkifli yang turut memandang Zafran.
“Macam tulah juga ma, cuma rumput depan rumah dia dah panjang sangat. Rasanya nak kena upah orang potong,”  balas Zafran.
Zafran kemudian memanjang lehernya, meninjau sekeliling ruang dalam rumah banglo itu.
“Heid dengan Balkis mana ma? Tak nampak pun dari tadi,” soal Zafran menukar topik perbualan.
Sedar dengan sikap Tan Sri Zulkifli yang tidak begitu gemar kisah Zarif dibangkitkan. Matanya bergayut seketika di wajah Puan Sri Azrina.
“Heid keluar kejap. Nak jumpa kawan katanya. Balkis ada kat dapur tu,”
Zafran mengangguk perlahan. Air di cawan di teguknya lagi.
“Kamu makan malam di sini ya?”
Zafran mengeleng.
“Taklah rasanya ma. Saya nak kena balik ni. Nak pergi ambil Aina, kereta dia rosak pagi tadi.”
Zafran menghabiskan minumannya sebelum kembali bangun.
“Saya balik dulu mama, papa,” ujarnya lembut. Dihulur tangannya bersalam.
“Kirim salam pada isteri kamu tu nanti.”
“Insya Allah ma,” balas Zafran sopan.
Tak lama, kereta Pajero milik Zafran kedengaran menderum keluar dari banglo mewah keluarganya.
Puan Sri Azrina mengalihkan pandangannya ke arah Tan Sri Zulkifli. Dari tadi, lelaki yang sudah berusia lewat 50an itu hanya mendiamkan diri, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Perlahan-lahan dia bangun merapati suaminya. Disentuh lembut tangan Tan Sri Zulkifli.
Terkejut dengan sentuhan itu, Tan Sri Zulkifli berpaling.
“Apa yang sedang abang fikirkan?”
Ditatap wajah yang semakin dipanjat usia itu. Dalam hati dia mengakui, wajah tampan milik suaminya suatu ketika dulu diwarisi oleh ketiga-tiga anak lelaki mereka.
“Tak ada apa-apa Rina.” Perlahan dia membalas.
“Betul ni?”
“Betul.”
Tan Sri Zulkifli tersenyum memandang isterinya. Diramas lembut jari-jemari wanita yang amat dikasihinya itu.
“Habis tu, kenapa diam aje dari tadi?”
Puan Sri Azrina masih tidak puas hati dengan jawapan suaminya.
“Tak ada apa apa Rina. Abang tak bohong.”
Tan Sri Zulkifli menekankan sedikit suaranya, cuba menyakinkan si isteri.
Pandangan kedua suami isteri itu bertaut. Perlahan-lahan senyuman manis terukir di wajah Puan Sri Azrina. Dia tahu, ada sesuatu yang bermain di fikiran suaminya. Dia dapat merasakannya namun dia tidak mahu memaksa suaminya memberitahu.
“Ehem, ehem.”
Kedengaran Balkis berdehem kecil. Dia yang berdiri di anak tangga pembahagi ruang dapur dan ruang tamu rumah itu tersenyum nakal memandang gelagat kedua mentuanya yang terkejut dengan kedatangannya yang tiba-tiba itu.
“Amboi, romantiknya mama, papa,”
Balkis melebarkan senyuman. Dia mendekati meja yang ada di depan suami isteri itu.  Diangkat cawan-cawan yang kotor sebelum diletak ke dalam dulang kosong.
“Boleh raja dan permaisuri bangun sekarang? Hari dah senja ni. Dah azan Maghrib pun. Pergilah bersiram, kejap lagi kita santap sama-sama ya,” usik Balkis.
“Dahlah tu Balkis. Ada ada aje kamu ni,” ujar Puan Sri Azrina.
Puan Sri Azrina tersenyum lagi. Digeleng kepalanya beberapa kali. Dia dan suaminya sudah lali dengan usikan menantu kedua mereka itu. Sikap Balkis yang peramah dan suka mengusik itulah menyebabkan dia dan Tan Sri Zulkifli tidak membenarkan Zaheid dan Balkis berpindah keluar dari rumah mereka sejak mereka berkahwin. Sekurang-kurangnya mereka berdua tidak berasa sunyi dengan kehadiran Zaheid sekeluarga.
Tan Sri Zulkifli segera bangun. Diikuti Puan Sri Azrina.
“Ainul dan Julia mana Kis?” soal Tan Sri Zulkifli.
Selalunya di waktu begini kedua-dua cucunya itu akan berada di ruang tengah rumah di tingkat atas. Menunggu untuk bersolat jemaah bersamanya.
 “Dia orang kat tingkat atas. Dah mandi pun. Tunggu mama dan papa aje nak solat Maghrib sekali,”
Tan Sri Zulkifli hanya mengangguk.
“Kalau macam tu, kita solat dulu. Nanti lepas solat, kita makan sama-sama,”
Dipanjat tangga menuju ke tingkat atas satu persatu.
“Rina, ajak Mak Jah dan Pak Man berjemaah sekali.”
“Baiklah bang.”

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012