Monday, July 29, 2013

CINTA SEJATI : BAB 15


BAB 15

Zara dan Zarif sedang bermain di halaman rumah bila tiba-tiba kedengaran bunyi loceng penjual aiskrim. Kedengaran apek penjual aiskrim itu menjerit-jerit memanggil pelanggan.
“Zarif, aku nak juga aiskrim tu.”
“Mana boleh, aiskrim ni sejuk, nanti gigi kau rosak.”
“Tapi kau makan boleh pulak.”
“Aku tak apa, aku lelaki, kau tu perempuan. Budak perempuan mana boleh makan aiskrim.”
“Bohong! Siapa kata aku perempuan? Aku pun lelaki jugalah!”
“Mana ada, kau tu perempuan.”
“Tak!!!”
“Zarif, kenapa buat Zara macam tu?” Kedengaran suara Puan Sri Azrina dari dalam rumah.
Tak lama, wanita itu berdiri di depan keduanya. Dipandang seketika wajah Zarif sebelum dialihkan ke arah Zara yang kelihatan tersebik-sebik. Cuba menahan tangisannya dari kedengaran.
“Kenapa buat Zara macam tu?” Diulang pertanyaannya.
Mata Puan Sri Azrina memandang tepat wajah anak lelakinya.
“Buat apa ma, Zarif tak buat apa pun,” selamba Zarif menjawab.
“Kan mama dah kata, aiskrim tu untuk Zara satu, bukannya dua-dua untuk kamu.”
“Tapi dia tak boleh makan ma, nanti gigi dia rosak.”
“Kalau macam tu, kamu tak boleh makan sebab nanti gigi kamu tu pun akan rosak.”
“Zarif tak apa ma sebab Zarif lelaki.”
Hampir terhambur tawanya mendengar kata-kata si anak. Begitu pun dicubanya untuk tidak menampakkan rasa gelihatinya itu.
“Apa pula kena mengenanya aiskrim tu dengan jantina?” soalnya sedikit tinggi.
“Lelaki kalau sakit gigi tak menangis tapi kalau perempuan sakit gigi, dia orang akan menangis ma.” Petah anak berusia tujuh tahun itu berbicara.
Puan Sri Azrina mengeleng-geleng. Geli hatinya mendengar alasan anak lelakinya itu.
“Dah, tak payah kamu nak merepek, bagi cepat aiskrim tu pada Za.”
“Mana boleh ma, dia tu perempuan.”
“Aku bukan perempuanlah,”pantas anak kecil itu bersuara.
“Eii, tak malu mengaku lelaki. Kau ni dua jantina ke?”
Zarif menjelirkan lidahnya ke arah Zara.
“Tak!!!”
Sekuat hati kanak-kanak perempuan yang comel itu menjerit. Tak lama, tangisannya memecah keheningan suasana tengah hari di banglo itu.
“Dah, dah, Zarif, bagi aiskrim tu pada Za.” Puan Sri Azrina meleraikan pergaduhan itu.
“Hah tengok, kan betul kau tu perempuan, baru kena usik sikit dah menangis.” makin galak Zarif mengusik.
“Zarif, kamu nak mama cubit kamu ya?”
Puan Sri Azrina sudah mencekak pinggangnya. Nada suaranya ditinggikan. Geram dengan sikap si anak yang tidak henti-henti menyakat anak teman baiknya itu.
“Mama kata bagi dia aiskrim tu!”
“Tapi dia dah menangis ma.”
“Siapa yang suruh kamu usik dia? Dah, bagi aiskrim tu!”
Suara Puan Sri Azrina semakin tinggi, sekadar ingin mengertak si anak.
“Yalah ma.” Lemah Zarif menjawab.
Satu-persatu langkahnya di atur mendekati Zara yang sudah duduk memeluk kakinya di tepi kolam ikan. Punggungnya di labuh perlahan di sisi Zara yang kelihatan terhenjut-henjut bahunya. Menangis.
“Zara, kau marah aku ke?” Perlahan dia bertanya.
Zara tidak menyahut. Dia masih tidak mengangkat muka.
“Za, aku minta maaf. Dahlah, jangan menangis lagi. Nah, makan aiskrim ni. Nanti cair dah tak sedap,” Zarif cuba memujuk.
Kanak-kanak perempuan itu mengangkat mukanya. Dipandang wajah Zarif yang tersenyum manis memandangnya.
“Betul kau bagi aku aiskrim ni?” Dia bertanya, meminta kepastian.
“Betul.”
“Janji kau tak usik aku lagi macam tadi?”
“Janji.”
“Betul?”
“Sumpah!”

“Jauh Rina mengelamun sampai abang yang berdiri kat sebelah ni pun Rina tak sedar,” tegur Tan Sri Zulkifli mematikan lamunannya.
Pantas Puan Sri Azrina menoleh. Memandang Tan Sri Zulkifli yang tersenyum. Perlahan-lahan dia turut mengukir senyuman.
“Rina ingatkan siapa tadi? Ingatkan abang tak apa, jangan orang lain.”
Senyuman di bibirnya semakin merekah mendengar gurauan suaminya. Dalam usia yang telah mencecah lebih setengah abad ini mana mungkin dia memikirkan perkara lain selain dari perihal keluarga sendiri.
“Tak ada apa yang saya fikirkan bang.” Lembut dia menjawab.
“Iya ke? Boleh abang percaya ke cakap Rina tu?”
“Apa pula tak boleh percayanya? Saya dah tua bang, tak ada orang yang nakkan saya lagi dah,” balasnya lembut.
“Siapa kata Rina dah tua? Pada abang, Rina tetap Azrina yang abang kenal dulu. Azrina yang kali pertama abang  terpandang terus jatuh cinta.”
Tan Sri Zulkifli tersenyum lagi. Kenangannya bertemu dengan Puan Sri Azrina buat kali pertama di Universiti Malaya ketika mereka belajar di sana suatu waktu dulu tidak pernah terpadam dari kotak ingatannya.
“Isy abang ni, malulah sikit. Dengar pada anak cucu kita, apa pula kata dia orang nanti.”
Wajah Puan Sri Azrina mula merona merah mendengar usikan suaminya.
“Nak malu apanya, memang betulkan dengan apa yang abang cakap. Rina masih cantik seperti dulu.”
Tan Sri Zulkifli masih mahu mengusik isterinya. Dia tahu, Puan Sri Azrina tidak marah cuma malu dengan usikannya itu.
“Dahlah tu bang, dah lewat malam ni. Sebelum anak cucu kita terjaga, lebih baiklah kita masuk tidur,” ujar Puan Sri Azrina sambil menarik perlahan lengan suaminya.
“Nanti dulu Rina, abang nak tahu dulu apa yang Rina fikirkan tadi.”
Nada suara Tan Sri Zulkifli berubah menjadi sedikit serius. Diraih kedua-dua belah tangan isterinya sebelum diramas lembut jari-jemari itu. Matanya memandang tepat ke wajah isterinya.
“Apa yang Rina fikirkan tadi?” soalnya lembut.
Puan Sri Azrina menarik nafas panjang. Wajahnya di paling ke luar tingkap bilik tidur mereka yang terbuka luas. Memandang tenang ke arah kolam ikan yang samar-samar kelihatan dalam kegelapan malam.
Tan Sri Zulkifli mengeluh kecil. Dicuit perlahan dagu isterinya. Mengharap wajah itu mengalih pandangan ke arahnya.
“Abang tahu, ada sesuatu yang menganggu fikiran Rina sekarang. Sejak akhir-akhir ini, abang perasan Rina selalu mengelamun. Kenapa?”
Puan Sri Azrina tersenyum tawar. Wajah si suami dipandang lembut. Dia menarik nafas lagi. Lebih panjang.
“Entahlah bang. Sejak kebelakangan ni, saya selalu teringatkan Zarif dan Zara. Entah apa khabar mereka sekarang bang.” Suaranya kedengaran lirih.
“Masa dia orang kecil dulu, Zarif suka sangat menyakat Zara. Sampai menangis budak tu dibuatnya. Tapi lepas tu, pandai pula dia memujuk.”
Puan Sri Azrina tersenyum sendiri. Teringat kenakalan anak bongsunya itu.
“Dah tujuh tahun bang, dia orang berdua tinggalkan kita semua. Tak tahulah bila kita boleh jumpa mereka lagi.”
Tan Sri Zulkifli hanya mendiamkan diri. Sedikit sebanyak kata-kata isterinya itu menembusi kotak fikirannya.
Tujuh tahun, bisik hatinya. Entah di mana mereka sekarang.
Fikirannya mula menerawang jauh. Kenangan mereka sekeluarga bagaikan berulang tayang di fikirannya.
“Hei bang, Rina tanya ni, dia termenung pulak.”
Cubitan halus di lengannya membuatkan Tan Sri Zulkifli tersentak.
“Hah, ada apa Rina?”
“La, tadi abang kata saya mengelamun, sekarang ni dia pulak.”
Puan Sri Azrina memasamkan mukanya.
Tan Sri Zulkifli tersenyum kecil. Wajah isterinya yang mula masam mencuka dipandang dengan rasa sayang yang menggunung. Hati lelakinya mengakui wajah yang semakin dimamah usia itu masih jelita walaupun tidak sejelita dulu.
“Tak ada yang abang ingat Rina, Cuma teringat waktu kita muda-muda dulu.” Senyumannya makin melebar tatkala melihat Puan Sri Azrina mula mencekak pinggang.
“Malaslah Rina nak cakap dengan abang lagi. Tak habis-habis nak usik Rina aje. Baik Rina tidur, ada juga faedahnya.”
Pantas dia melangkah ke katil. Meninggalkan si suami yang hanya tersenyum panjang memandang tingkahnya.
Perlahan-lahan, senyuman yang terukir di wajah Tan Sri Zulkifli mati. Dia menarik nafas panjang. Matanya di halakan ke arah tingkap bilik yang masih terbuka luas. Pandangannya jatuh pada kolam ikan yang berada di halaman rumah. Tanpa sedar, setitis air matanya gugur di kala itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012