Monday, July 29, 2013

CINTA SEJATI : BAB 19


BAB 19

“Abang Zarif!”
Jeritan seseorang menghentikan langkah Zarif yang baru saja memijak anak tangga pintu utama hospital. Lantas dia berpaling ke belakang.
Laila yang berdiri di bawah pokok di perkarangan hospital segera melambai tangan ke arahnya. Gadis manis itu mengisyaratkan agar Zarif mendekatinya.
Zarif tersenyum kecil. Dia segera mendapatkan gadis itu.
Laila mengangkat bekas makanan yang diletak di dalam bakul basikal sebaik saja Zarif menghampirinya.
“Mak bagi pada abang,” Tuturnya lembut.
Kemudian dihulur bekas makanan yang berada di tangannya kepada Zarif.
“Apa ni?” soal Zarif sambil tangannya menyambut huluran gadis itu.
“Kuih kesukaan abanglah. Kuih tepung talam. Mak buat pagi tadi,” balasnya sopan.
“Mak buat ke, Ila yang buat?” ujar Zarif merenung sekilas wajah gadis itu.
Laila sedikit tersipu. Malu diusik Zarif yang telah dianggap seperti abang sendiri itu.
“Mak yang buat, Laila tolong hantar aje.” Perlahan dia membalas.
Kepalanya ditundukkan sedikit. Terasa malu bila Zarif memandangnya begitu.
Zarif tersenyum lagi.
“Terima kasih ya Ila. Menyusahkan Ila saja,”
Gadis itu tersenyum kecil.
“Tak ada apa yang susahnya bang. Bukannya selalu pun.”
Tangannya mencapai basikal yang disandar di pangkal pokok.
“Tak apalah bang, Ila balik dulu ya. Ada banyak lagi kerja yang Ila nak kena siapkan kat rumah tu.”
Disorong perlahan basikalnya menuju ke jalan besar. Zarif hanya memandang.
“Oh ya bang, lupa Ila nak beritahu. Mak kirim salam tadi. Dia minta abang datang makan malam kat rumah hujung minggu ni.”
“Waalaikummussalam. Insya Allah, Kalau tak ada apa-apa hal, sampailah abang nanti.” Zarif tersenyum lagi. Laila mengangguk perlahan.
“Kirim salam pada mak ayah Ila,”
“Insya Allah bang. Ila balik dulu ya.”
“Iyalah, hati-hati bawa basikal tu Ila,”
“Baiklah bang. Assalamualaikum.”
Zarif hanya memandang tingkah gadis itu yang sudah mengayuh keluar basikalnya dari perkarangan hospital.
Sejak peristiwa dia menyelamatkan Laila dari mati lemas, hubungannya dengan keluarga gadis itu semakin rapat. Kedua-dua ibubapa Laila sudah menganggap dirinya seperti anak mereka sendiri. Zarif sendiri telah menganggap keluarga itu sebahagian dari keluarganya.
Zarif tersenyum lagi. Dia kembali melangkah menuju ke hospital.

 “Hai, untungnya orang tu ya, selang beberapa hari ada saja makanan percuma yang dia dapat.” Suara Fazilah kedengaran sebaik saja Zarif melangkah masuk ke bilik rehat tengah hari itu.
“Untung kau Rif. Sepanjang akak kerja kat hospital ni, tak pernah ada orang hulurkan apa-apa kat akak,” ujar Fadzillah lagi.
Zarif tersenyum mendengar kata-kata doktor yang paling lama berkhidmat di hospital Besar Melaka itu.
“Memang untung pun Zilah, sudahlah bagi makanan, orang yang menghantarnya tu pun bukan main cantik,” sampuk Dahlan.
Kata-kata doktor itu pula disambut dengan gelak ketawa doktor-doktor lain yang turut berada di bilik itu.
Zarif mengulum senyum. Semua gurauan yang dilempar rakan-rakan sejawatannya itu sudah lali di telinganya. Setiap kali mereka terpandang bekas makanan di tangannya, setiap kali itulah dia akan diusik.
“Betul kata kau Lan. Dahlah cantik, pandai memasak pula, budi bahasa pun tak kurang eloknya,” sampuk Farhan.
“Mana kau tahu anak dara tu pandai masak Han?” soal Fazilah.
“Ai, kalau tak tahu masak, takkan selalu hantar makanan. Ya tak Rif?”
Ketawa mereka meletus lagi.
Zarif yang memandang gelagat mereka hanya tersenyum kecil. Dia tidak menyahut kata-kata itu. Diletak bekas makanan yang dipegang ke atas meja.
“Rif, bilalah agaknya kami semua boleh merasa nasi minyak kamu tu ya?”
Fazilah menyiku perlahan lengan Anisah yang duduk disebelahnya. Dikenyit mata kanannya sekali. Kedua-duanya tersenyum nakal ke arah Zarif yang bersikap seolah-olah tidak peduli dengan usikan mereka.
“Saya dah anggap Ila tu macam adik saya sendiri kak,” terang Zarif. Sebaris senyuman masih menghiasi bibirnya yang merah.
“Kalau anak dara macam Ila tu kamu anggap macam adik sendiri, anak dara yang macam mana pula kamu anggap macam isteri sendiri Rif?”
Gelak tawa mereka kembali kedengaran.
Zarif masih tersenyum. Dia mengelengkan beberapa kali sebelum berlalu keluar dari bilik itu. Malas dirinya melayan usikan Fazilah yang bemulut becok itu. Masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukannya.
“Kak Zilah, Rif tu sebenarnya dah kahwin ke belum?” Hafiz yang duduk bersandar di sebelah Iskandar bertanya.
“Entahlah Fiz, akak pun tak tahu. Sepanjang akak bertugas dengan Rif, tak pernah sekali pun dia beritahu tentang status dirinya, jauh sekalilah tentang hal-hal yang berkaitan dengan peribadinya.”
“Agak-agaknyalah, dia tu dah kahwin ke belum?” celah Anisah.
“Aku rasa, Rif belum kahwin lagilah. Kau ingat tak? Setiap kali pihak hospital mengadakan apa-apa sambutan pun, Zarif tidak pernah datang dengan sesiapa pun.” Farhan turut menyampuk perbualan itu.
“Tak semestinya dia datang seorang diri bermakna dia belum berkahwin lagi.” Ridhuan yang dari tadi hanya mendengar perbualan itu turut memberi pendapatnya.
“Entah-entah dia dah ada anak pun,” ujarnya lagi.
“Memang susah kita nak tahu status si Rif ni,” keluh Anisah.
“Ala Nisa, bukan kau tak kenal Rif, sikapnya yang sentiasa tenang dan perahsia tu menyebabkan semua orang sukar untuk tahu perihal peribadinya,” balas doktor Farhan. Mereka yang ada di situ mengangguk. Masing-masing bersetuju dengan kata-kata doktor Farhan itu. Sememangnya dari dulu lagi mereka telah mengetahui sikap Zarif yang tidak gemar menceritakan perihal dirinya pada orang lain.
“Eh, kau orang semua ada dengar tak cerita tentang Rif?”
Pertanyaan Fazilah membuatkan semua mata yang ada tertumpu ke arahnya.
“Cerita apa?” Pantas Farhan menyoal.
Doktor Fazilah memandang sekeliling. Memastikan hanya mereka yang berada di bilik itu sahaja yang mendengar suaranya.
“Cerita tentang Rif dengan Intan. Khabarnya sekarang, mereka sedang hangat bercinta.”
Kata-katanya menyebabkan mereka yang lain saling berpandangan. Terkejut.
Iskandar yang turut mendengar perbualan mereka tersentak.
Hangat bercinta? Dia tertanya-tanya sendiri. Hati lelakinya sedikit berdebar. Agak kencang.
“Ya ke Zilah? Patutlah aku ternampak dia orang kat kafetaria hospital hari tu,”
“Kat kafetaria? Berdua aje ke?”
“Yalah, berdua aje. Walhal bukan kau orang tak tahu, selama ini mana pernah kita lihat doktor Rif duduk berduaan begitu dengan perempuan lain,”
“Iya ke Zilah? Entah-entah kau salah pandang tak?” soal Anisah meminta kepastian.
“Ya Allah, betullah Nisa. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Bukan main lama lagi mereka berbual,” tingkah Fazilah. Di tekan sedikit nada suarnya. Cuba menyakinkan mereka yang memasang telinga mendengar ceritanya. 
“Wah, kalau begitu, memang sahlah mereka berdua tu sedang hangat bercinta.”
“Patutlah nampak mesra sangat.”
Telinga Iskandar tidak dapat menangkap lagi perbualan mereka. Pelbagai persoalan mula menerjah benaknya. Hatinya yang tadi tenang bergoncang tiba-tiba. Pantas dia bangun dari duduknya. Tanpa sepatah kata, dia meninggalkan bilik rehat itu.
Mereka yang sedari tadi rancak berbual terdiam seketika. Masing-masing saling memandang antara satu sama lain. Tertanya-tertanya dengan sikap Iskandar yang tiba-tiba berubah itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012