BAB
18
Zara menutup Al-Quran yang
terbuka di depannya. Sejak dari subuh tadi dia telah menghabiskan beberapa
surah dari kitab suci itu. Setelah meletakkannya di atas meja, dia bangun dari
duduk. Hamparan sejadah di lipat kemas.
Zara menanggalkan telekung
solat yang dipakainya sedari tadi sebelum disidai di ampaian kayu yang terletak
di hujung bilik. Tangannya menarik tudung yang tergantung di balik pintu.
Disarung ke kepalanya. Kakinya melangkah perlahan menuju ke tingkap.
Zara menolak luas tingkap bilik
tidurnya. Angin pagi segera menyerbu masuk. Menampar lembut wajahnya. Dia
melemparkan pandangan ke bawah.
Dari tingkap bilik Zara dapat
melihat taman permainan yang terletak di depan bangunan pangsapurinya itu.
Keriangan kanak-kanak yang bermain di situ menarik perhatiannya. Fikirannya
mula melayang. Menerjah semula kenangan lalu.
“Hei, apasal kau tolak dia tadi?”
Di tolak kasar bahu Syukri.
Hampir saja kanak-kanak berusia sepuluh tahun itu terjatuh.
“Mana ada aku tolak, aku cuma cuit
aje,” balas Syukri sedikit kuat.
Dia kembali menegakkan tubuh.
Memandang wajah kanak-kanak yang kelihatan merah padam itu. Cuba menahan
kemarahan yang mula membuak di dada.
“Bohong! Aku nampak kau tolak
dia tadi.” Keras kanak-kanak itu menjawab.
“Mana ada.”
“Kau nampak penumbuk aku ni?”
Ditayang buku limanya.
“Rif!”
Pantas Zarif berpaling.
Memandang sekilas Zara yang sudah berdiri di sebelahnya.
“Dahlah tu. Dia bukan sengaja
tolak aku tadi.”
Zara menarik tangannya. Cuba
meleraikan pertengkaran itu.
“Mana boleh tak sengaja. Aku nampak
sendiri dia tolak kau tadi.”
Zarif mengeraskan tubuh, tidak
mahu berganjak dari tempatnya berdiri walau seinci. Matanya masih memandang
tajam wajah Syukri yang turut membalas marah pandangannya.
“Zarif, kita kan kecil lagi.
Tak baik bergaduh macam ni. Nanti kalau mak ayah kita tahu, tentu kita kena
marah.” Zara memujuk lembut.
Faham dengan sikap teman
baiknya itu yang pantang mengalah.
“Jomlah kita balik Rif,” ajak
Zara menarik tangan Zarif. Lebih kuat.
“Aku tak suka tengok dia buli
kau,” Zarif masih tidak mahu mengalah.
“Kan aku dah kata, aku tak
tolak dia.” Syukri yang dari tadi mendiamkan diri bersuara.
Hatinya sedikit kecut memandang
wajah Zarif yang dari tadi memandang geram padanya. Walau pun tubuhnya lebih
besar dari Zarif namun dia tahu kanak-kanak itu lebih kuat darinya.
“Penipu! Kau nak rasa penumbuk
aku ni ke?” ujar Zarif kuat. Dikepal semula penumbuk yang terlerai tadi.
“Syukri tak sengajalah Rif.
Dahlah tu, jom kita balik. Nanti kita minta ayah buatkan buaian depan rumah
kita. Jomlah Rif.”
Zara menarik lagi tangannya.
Kali ini dengan lebih kuat. Zarif memandang
sekilas ke arah Zara sebelum kembali memandang Syukri di depannya.
“Jaga kau.”
Sempat lagi dia memberi amaran
sebelum dia sendiri menarik tangan Zara meninggalkan taman permainan itu.
Zara tersenyum sendiri. Zaman
kanak-kanaknya berlalu dengan penuh keindahan. Zarif sentiasa di sisinya setiap
kali dia diganggu kanak-kanak lain. Menjadi pahlawan yang melindunginya setiap
masa. Walau pun ada kalanya Zarif sendiri suka mengusiknya, namun Zarif tidak
akan membiarkan dirinya diganggu orang lain.
Zara membelek cincin yang
tersarung di jari manisnya. Cincin itulah yang dipilihnya bersama Zarif ketika
mereka belajar di London dulu. Cincin yang sepatutnya disarungkan ke jari Nelly
itu telah menjadi hak miliknya secara rasmi sejak tujuh tahun lalu.
Zara memusing tubuhnya. Melangkah
ke arah sofa yang terletak di sudut bilik. Dihumban tubuhnya di situ. Tangannya
mencapai bingkai gambar yang terdapat di atas meja di tepi sofa. Gambar
perkahwinannya bersama Zarif itu direnungnya dalam-dalam.
Dalam hati, Zara mengakui, Zarif
sememangnya seorang suami yang baik. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, Zarif
tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Walau pun sudah tujuh tahun
mereka berpisah, sehingga kini Zarif tidak pernah lupa untuk memberi nafkah
padanya Malah, ketika dia menyuarakan
hasrat untuk melanjutkan pengajiannya di The American University di Dubai
beberapa tahun lalu, Zarif membiayai pengajiannya sehingga tamat meskipun pada
masa sama Zarif sendiri menyambung pengajiannya di Amerika Syarikat.
Tidak dinafikan, Zarif terlalu
baik pada dirinya. Kebaikan itulah yang mengikat hatinya pada lelaki itu. Ikatan
yang meyebabkan pintu hatinya terkunci rapat dari menerima kehadiran lelaki
lain sepanjang tujuh tahun ini.
Zara sendiri tidak menyedari
bagaimana dan bila perasaan cinta telah bercambah dalam dirinya terhadap Zarif.
Dia hanya menyedarinya setelah dirinya berjauhan dengan lelaki itu.
Zara kembali bangun. Diheret
kakinya ke katil. Membaringkan tubuh di tilam yang empuk itu. Fikirannya masih
berlegar tentang Zarif.
Sudah lama dia tidak menemui
lelaki itu. Kali terakhir mereka bertemu hanya ketika Zarif menghantarnya ke
lapangan terbang sebelum dia berlepas ke Dubai beberapa tahun lalu. Sehingga
kini, hanya e-mel yang menjadi penghubung mereka.
Baik Zarif mahu pun dia sendiri
tidak pernah membicarakan tentang hubungan mereka selama ini. Hanya persoalan
tentang kerjaya dan persekitaran masing-masing yang sering dijadikan topik
setiap kali mereka saling membalas e-mel.
Zara mengeluh panjang. Tak
mungkin dia dapat meluahkan segala perasaan yang dirasainya selama ini kepada
Zarif.
Tak mungkin, bisiknya perlahan.
Tak mungkin Zarif dapat
memahami isi hatinya. Hati lelaki itu tidak ditakdirkan untuknya.
Zara sedar, dari dulu lagi dia
bukanlah dari golongan gadis yang menjadi impian lelaki itu. Dengan sikapnya
yang gila-gila dan kasar seperti lelaki, mana mungkin Zarif akan jatuh cinta
padanya.
Ketika mereka di universiti
dulu, walau pun dia mempunyai ramai kenalan namun tiada seorang lelaki pun yang
rapat dengannya sebagaimana rapatnya dia dan Zarif. Hanya Zarif yang menjadi
sahabat baiknya. Itu pun mungkin kerana sedari kecil mereka telah saling
mengenali antara satu sama lain.
Tapi itu dulu. Zara kini tidak
seperti Zara yang dulu. Zara kini telah berubah. Zara kini telah menjadi seorang
wanita yang benar-benar wanita. Tiada lagi t-shirt dan seluar jeans yang
membaluti tubuhnya. Tiada lagi cap
yang dipakai di kepalanya. Zara sekarang adalah Zara yang bertudung litup dan
sentiasa menjaga adabnya. Zara kini benar-benar telah berubah.
Fikirannya kembali menerawang
mengingati Zarif. Teringat pada perjanjian tidak rasmi yang pernah dibuatnya
bersama Zarif. Perjanjian yang sehingga kini tidak pernah dilupainya. Perjanjian
yang hakikatnya sehingga kini tiada diketahui penghujungnya.
Zara masih ingat, Zarif pernah
menyatakan hasrat untuk meleraikan ikatan perkahwinan mereka sekiranya salah
seorang di antara mereka telah menemui orang lain yang dirasakan mampu
memberikan kebahagiaan yang diinginkan.
Namun tujuh tahun telah berlalu
dan sehingga kini Zara mahupun Zarif sendiri tidak pernah menimbulkan perkara
itu. Perkara yang telah sekian lama menjadi perjanjian tidak rasmi mereka.
Mengingati perkara itu, Zara
mengeluh berat. Jauh di dalam hati, dia sebenarnya bimbang. Bimbang sekiranya
perkara itu benar-benar terjadi. Bimbang sekiranya Zarif benar-benar
melayangkan talak padanya. Bimbang hatinya tidak dapat menerima kenyataan yang
Zarif bukan miliknya. Walau pun dia sedar Zarif tak mungkin mencintainya namun
nun jauh di dasar hati dia begitu berharap cintanya terhadap lelaki itu akan
berbalas suatu hari nanti.
Hakikatnya dia sendiri tidak
pasti sama ada dia mampu untuk hidup tanpa lelaki itu atau pun tidak sekiranya
mereka ditakdirkan berpisah jua suatu hari nanti. Walau pun dia telah biasa
dengan ketiadaan Zarif di sampingnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini
namun itu tidak bermakna dia mampu untuk terus bernafas tanpa kehadiran lelaki
itu. Berbekalkan segala kenangan yang pernah dikutipnya bersama Zarif suatu
masa lalu menjadikan dia mampu untuk terus melayari bahtera kehidupannya hingga
ke hari ini.
Zara menarik nafas panjang
sebelum lambat-lambat melepaskan kembali.
Jika benar Rif mencintai aku,
sudah lama dia memintaku pulang ke pangkuannya, bisik hatinya.
Dia takkan membiarkan diri aku
menantinya sebegini lama, fikirnya lagi.
Zara memejam matanya rapat. Air
mata yang mula bergenang di kelopak mata dibiarkan mengalir lesu ke pipi.
Melayan perasaan hiba yang tiba-tiba menyinggah di hatinya. Zara menangis
sendiri.
No comments:
Post a Comment