Sunday, October 21, 2012

Adat atau agama yang penting?

Hah, tak ada pelamin? Tak nak sanding? Biar betul kamu ni… ini antara ayat-ayat yang pastinya akan lahir dari celah mulut orang-orang tua terutamanya ibubapa apabila seseorang yang bakal bergelar raja sehari tidak mahu mengadakan majlis sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat kita… hairan, pelik, aneh… antara rasa yang akan muncul di sanubari setiap ibubapa… tidak meriah, tak ikut adat, tak macam orang lain… itu pula yang akan diperkatakan oleh jiran tetangga dan para tetamu yang hadir di majlis perkahwinan yang mana pengantinnya tidak mahu dipertontonkan kepada para tetamu di atas singgahsana yang digelar pelamin raja sehari… sedangkan tidak sedarkah kita bahawa budaya bersanding itu merupakan hanya satu adat yang dibawa oleh orang beragama Hindu suatu ketika dulu? malah tidak wujud dalam adat orang Islam sama sekali…
Kenapa tiba-tiba saja saya membicarakan tentang perkara ini? kerana inilah perkara yang sering terjadi di kalangan masyarakat kita dari dahulu sehinggalah sekarang… masyarakat Melayu lebih mementingkan adat dari agama Islam itu sendiri… saya tahu, malah yakin, ramai yang tidak setuju dengan kenyataan saya ini namun inilah pandangan saya sendiri… selain membazir, membuang masa, membuang duit juga membuang tenaga… memang raja sehari seharusnya disambut semeriah mungkin bagi meraikan hari bahagia mereka tapi tidakkah kita juga sedar bahawa kehidupan selepas kahwin lebih penting dari menghabiskan masa, duit dan tenaga hanya pada satu hari yang dianggap paling bahagia dalam kehidupan seseorang manusia?
Tanyalah pada setiap orang, apakah hari yang membahagiakan mereka? jawapannya pasti berbeza-beza… dan pastinya tidak ramai yang mengatakan hari perkahwinan adalah hari yang paling membahagiakan… ada yang mengatakan kali pertama menatap anak sendiri adalah hari yang paling bahagia… ada juga yang menganggap mengapai impian yang telah lama diimpikan itu sebagai hari yang cukup membahagiakan? Jadi kenapa kita harus khususkan hari perkahwinan merupakan hari yang paling membahagiakan sedangkan untuk bahagia kita boleh lakukannya pada bila-bila masa, di mana saja malah tak mengira harinya sekalipun…
Perkahwinan hanyalah antara salah satu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam hidup seseorang manusia…sememangnya hari ini harus disambut dengan penuh kebahagiaan tetapi tidaklah hingga membawa kepada pembaziran tak kiralah masa, duit mahupun tenaga…
Jika diukur dari segi kemampuan, ramai sungguh di antara kita yang tidak mampu untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran meskipun hari perkahwinan itulah dianggap hari yang membahagiakan… sebabnya begitu banyak… hantaran yang terlalu tinggi, kos menyewa khemah, pelamin, jurumekap dan sebagainya… tidak termasuk lagi dengan pemberian buah tangan kepada tetamu yang pelbagai bentuk dan corak di zaman ini…
Disebabkan kos bagi membahagiakan diri sendiri di hari bersejarah inilah yang menjadikan ramai di antara kita memilih untuk terus bersendirian dari mempunyai pasangan walau keinginan untuk hidup berdua, bertiga dan seterusnya ada di sanubari… mungkin juga para pasangan mampu berkongsi namun bagi mereka yang sememangnya mempunyai kerjaya yang hanya ‘cukup-cukup makan’, bagaimana pula untuk mereka layari kehidupan selepas berkahwin nanti? iya atau tidak, kepala tetap berpusing pening memikirkan hutang yang harus dilangsaikan gara-gara majlis perkahwinan yang mencipta sejarah terindah dalam hidup… bagi yang kurang iman, cara terbaik untuk menutup keinginan naluri semulajadi hanyalah dengan mencari jalan yang terlarang dalam agama… lalu terhasillah anak luar nikah hasil dari hubungan terlarang itu hanya kerana tidak punya kemampuan untuk berumahtangga…
Memang itu bukan alasan utama mengapa ramai antara kita yang masih bergelar bujang tapi itu adalah antara sebabnya… apapun segalanya terpulang pada diri masing-masing… pada saya, cukuplah sekadar melakukan perkara-perkara wajib dalam agama Islam dari melakukan pembaziran mahupun dosa yang pastinya memberi kesan jangka panjang dalam hidup kita… bagi yang berkemampuan, pasti tidak keberatan namun semoleknya, tegakkanlah kewajipan agama dari menurut kehendak adat yang adakalanya menyusahkan kita sendiri… selamat menempuh fasa kehidupan baru buat mereka yang bergelar raja sehari… 

Fikirlah sendiri...

Abu Bakar bin Marwan menceritakan bahawa pada suatu hari seorang lelaki muda telah datang ke majlis Imam Abu Hanifah. Lelaki itu kelihatan diam saja dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan majlis ilmu tersebut. Abu Hanifah sangat kagum kepadanya dan ingin melapangkan pandangannya.
“Wahai pemuda, mengapa engkau tidak ikut berbincang masalah-masalah yang sedang kami perbincangkan ini?” tanya Abu Hanifah.
“Oh, bolehkah saya mengajukan satu soalan?” tanya lelaki pendiam itu.
“Silakan, apa salahnya,”
“Bilakah seseorang yang berpuasa diharamkan makan?” tanya lelaki itu.
“Apabila telah terbit fajar,” jawab Abu Hanifah.
“Kalau fajar tidak terbit sehingga masuk waktu Zuhur?”
“Jika engkau seorang yang berakal, fikirlah sendiri,” kata Abu Hanifah. 

BERSATU DALAM CINTA : BAB 6

BAB 6 
“TAK sangka betul saya bang. Jiran baru kita tu ada anak perempuan sebegitu cantik. Dahlah cantik, bersopan santun pulak tu. Lemah-lembut lagi. Cuma nampak gayanya anak dara tu macam jenis yang kurang bercakap. Pendiamlah kot tapi saya suka dengan perangainya tu.
Sama saja perangainya macam anak-anak dara Melayu di zaman dulu. Pemalu tapi kaya dengan akhlak yang baik. Berkenan betul saya dengan budak Wafi tu bang.”
Begitu berjela-jela Puan Fatimah memuji anak perempuan Puan Ainun dan Encik Musaid malam itu. Tergawang-gawang tangannya tatkala bercerita.
Sedang si suami hanya mengulum senyuman. Sejak tadi lelaki itu hanya meletak mata di buku yang ada di tangannya.
“Pendek kata awak dah berkenan nak jadikan dia menantulah ni ya?” tanya Encik Rais terus-terusan tersenyum seraya menggeleng.
“Apalah guna awak bercerita panjang lebar pada abang Fatimah oii. Bukan abang yang awak nak padankan dengan budak tu tapi dengan anak bujang kita tu hah. Kenapa awak tak terus cakap kat dia aje?” ucap Encik Rais mengerling Faris di depannya.
Sejak tadi lelaki itu hanya melekap mata ke skrin televisyen tanpa ambil peduli pada isi perbualan kedua-dua orang tuanya. Pura-pura tidak mendengar biarpun setiap patah kata suami isteri telah lama merayap masuk ke telinganya.
Puan Fatimah merengus lembut.
“Huh, buat apa saya cakap dengan anak kita ni bang. Bukannya dia mahu dengar pun. Kalau dia dengar tu kira satu keajaibanlah bang.”
Puan Fatimah menjeling wajah anaknya dan seperti dijangka lelaki itu hanya membuat muka selamba. Langsung tidak terkutik dengan kata-kata emaknya.
“Cantik ke budak perempuan tu mak?”
Riya yang turut berada di ruang tamu rumah itu bertanya. Dia sekeluarga tidur di rumah ibu bapanya malam itu. Matanya dilekap ke wajah Puan Fatimah yang pantas mengangguk laju.
“Cantik Riya, macam rupa pelakon Bollywood yang berlakon cerita sedih tu pun ada. Apa namanya? Hah, Preity Zinta. Hai... kalau ikutkan hati mak ni, nak saja mak pinang budak Wafi tu untuk abang kamu. Tapi tulah, abang kamu buat bodoh aje bila mak cakap pasal ni.” Sambil bercakap wajah Faris dijeling buat kali kedua.
Dan seperti tadi, lelaki itu hanya memekakkan telinga. Langsung tak berminat untuk menyampuk. Jauh sekali masuk campur dalam perbualan itu.
“Iya ke mak? Kalau rupanya pun dah macam Preity Zinta, itu bukan cantik lagi mak tapi dah cantik sangat tu. Apa nama kakak tu?”
Riya pula yang teruja mendengar cerita Puan Fatimah. Beriya-iya dia bertanya. Sedangkan matanya sudah beberapa kali melirik pada Faris. Sekadar ingin menyakat abangnya.
“Namanya Lailatul Wafi. Memang cantik budaknya tu Riya oii. Walaupun dia tak suka senyum sangat tapi lembut benar air mukanya. Mak teringin nak berbual dengan dia tapi nampak gaya dia tu macam tak suka berbual dengan orang aje. Mungkin segan dengan orang yang baru dia kenal kot.” Sambil bercerita Puan Fatimah membuat tafsiran sendiri berkenaan Wafi.
“Alah, tak kisahlah dia tu jenis yang segan ke, malu ke. Cantik ke tidak rupanya, itu bukannya masalah besar. Janji orangnya baik. Dan yang paling penting, dia ada pegangan agama yang kukuh. Barulah boleh dibuat ibu rumah. Iya tak bang?” Suara Riya seraya mencuit sedikit cuping telinga Faris di sisinya.
Lelaki itu hanya merengus halus. Tak senang dengan usikan itu.
“Ris, apa kata kalau kamu berkenalan dengan budak Wafi tu? Mana tahu kamu berkenan nak buat isteri. Mak jugak yang untung sebab dapat besan sebelah rumah aje.” Terus saja Puan Fatimah memberi usul pada anak lelakinya.
Benar-benar berharap anak itu akan menerima usulan itu. Namun seperti yang dijangka, jawapan Faris hanya menyakitkan telinga si emak yang mendengar.
“Hisy mak ni. Suka-suka mak aje nak padankan Ris dengan dia. Entah-entah budak tu pun dah ada tunang ke, boyfriend ke, kita tak tahu. Lagipun mak, Ris tak terfikir lagilah nak kahwin buat masa sekarang. Cukuplah dengan kisah lalu. Serik Ris nak fikir pasal kahwin ni lagi. Fobia dibuatnya,” tegas dia dengan mata yang masih melekap di televisyen. Jelas kelihatan di riak wajah rasa hatinya ketika ini.
“Itu kisah dulu Ris. Buat apa kamu nak kenang lagi? Eisya pun dah lama jadi isteri orang. Takkanlah hanya kerana kamu tak jadi kahwin dengan Eisya, kamu dah tak mahu fikir pasal kahwin lagi sampai bila-bila?” marah Puan Fatimah namun masih bernada lembut semata-mata ingin memancing persetujuan anak itu.
“Ris tak kata Ris tak nak fikir kahwin sampai bila-bila.
Ris akan fikirkannya jugak nanti tapi bukan sekarang. Buat masa ni Ris nak tumpukan perhatian Ris pada kerjaya Ris aje.” Faris masih mempamerkan ketegasan yang sama seperti tadi. Tidak berminat.
“Dahlah mak, tak payahlah cakap pasal ni lagi. Buang masa aje kita bercakap perkara-perkara yang takkan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ni. Mak pun tak lenguh mulut, Ris pun tak sakit telinga,” sambungnya bersama satu rengusan kasar. Tanda dia benar-benar tidak mahu lagi bercakap tentang perkara itu.
Sekali gus mematikan lidah Puan Fatimah yang baru berkira-kira ingin menyahut. Masing-masing terus mengunci mulut seraya berbalas pandangan. Sedikit sebal dengan penerimaan hambar lelaki itu.

“WELL, tak sangka langsung yang saya akan jumpa awak lagi,” sinis Ainul meluah kata sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi. Menghadap wanita itu.
“Apa? Awak fikir saya nak hadap sangat muka bodoh bangang awak tu? Eii, tolonglah. Kalau tak kerana ayah yang suruh, tak adanya saya nak duduk semeja dengan awak tahu? Buat geli tekak aje tengok muka manusia tak ada akal fikiran waras macam awak tu,” cebik Alia pula. Penuh meluat seraya menjeling tajam.
Ainul sudah menjongket kening kanannya. Sinis dia tersenyum.
“Habis tu awak fikir saya teringin sangatlah nak tengok muka perempuan perasan bagus macam awak tu? Excuse me Puan Alia Amani! Muka mak cik yang jual kerepek kat tepi longkang restoran ni seribu kali lebih cantik dari muka buruk awak tu tau? Sedarlah diri tu sikit.” Nyata sekali Ainul tidak mahu menyerah kalah.
“Helo Encik Ainul Hayat, tolong jaga sikit mulut tak bertapis awak tu ya? Jangan nak fikir diri sendiri aje yang bagus. Harap otak aje besar tapi kalau tak ada akal pun tak guna jugak!” sembur Alia sudah dipercik marah.
Membuntang saja matanya membalas pandangan terbeliak lelaki itu. Geram dengan kata-kata selamba bekas isterinya.
“Apa awak cakap? Ulang seribu kali lagi!” Ainul telah mencekak pinggang. Ikutkan hati mahu saja dia menganyang mulut jandanya tu. Kurang ajar betul! Marah hatinya.
“Apasal? Telinga awak dah pekak ke hingga saya terpaksa ulang beribu kali hah?” Darah Alia semakin mendidih.
Tanpa sedar dia sudah bangkit berdiri menghadap Ainul yang turut berbuat demikian. Saling berpandangan. Penuh marah.
“Maafkan saya kerana menyampuk Puan Alia, Encik Ainul tapi saya harap sangat kamu berdua boleh tenangkan diri masing-masing. Kita berempat berada di sini bukan sebab nak bergaduh okey tapi nak berbincang pasal projek kerjasama antara kedua-dua syarikat. So please Puan Alia, Encik Ainul, control yourself.”
Tanpa menunggu lama, Rina terus mencelah kata. Berusaha meleraikan bunga-bunga pertengkaran yang mula berkembang antara lelaki dan wanita itu.
“Betul kata Rina tu Encik Ainul, Puan Alia. Kita datang ke sini sebab nak berbincang pasal projek, bukannya nak mencari gaduh. So, boleh kita mulakan perbincangan kita sekarang?” sampuk Lily pula.
Memandang Rina mengangguk laju sebelum berkalih pada kedua ketua mereka yang perlahan-lahan kembali melabuh punggung di kerusi masing-masing. Saling berhadapan. Ainul merengus kecil.
“Huh, nasib baik kau orang berdua ada kat sini. Kalau tak dah lumat saya kerjakan mulut perempuan perasan bagus ni. Celopar tak ingat!” sinis dia bersuara lagi.
Namun kata-kata lembut itu sudah cukup untuk membakar hati Alia agar terus-terus membara.
“Ewah, sedapnya awak cakap. Apa awak ingat mulut saya ni sambal belacan ke hah? Senang-senang aje nak dilumatkan. Suluh diri sendiri tu dulu sebelum nak kerjakan orang. Diri sendiri pun tak tentu hala jalannya, pandai-pandai pulak nak ajar orang,” sindir Alia menjeling tajam wajah tegang lelaki itu.
Both of you please, janganlah nak bergaduh semula. Malu ditengok orang nanti. Masa kita pun terbuang begitu aje.” Lily terus menyelit suara tanpa sempat Ainul membalas kata-kata Alia.
“Okey. Sepertimana yang kita berempat sedia maklum, kita akan bincangkan tentang projek pembinaan perumahan yang bakal dilaksanakan di kawasan Bukit Seri Emas tak lama lagi. Jadi ada sesiapa nak beri apa-apa cadangan atau sebarang kata-kata berkenaan projek ini sebelum kita bincang dengan lebih lanjut?” sambungnya terus kepada topik perbincangan. Menatap satu per satu wajah di depannya.
“Saya rasalah Lily, lebih baik kalau projek ni dikendalikan oleh syarikat kita saja tanpa adanya campur tangan dari pihak yang tak sepatutnya terlibat. Apa guna kita membuat kerjasama antara syarikat kalau orang nak mengendalikan projek ni pun tak tahu nak kendalikan kehidupannya sendiri. So, daripada kita rosakkan projek ni di masa depan, lebih baik kiranya kalau kita sendiri saja yang handle projek ni? Apa kata awak Lily?” Suara Ainul selamba. Memandang Lily di sisi sebelum mengalih mata pada Rina dan Alia di depannya. Sinis. Alia terus saja mencebik bibir.
“Huh, apa awak fikir saya nak sangat ke handle projek ni dengan awak? Boleh jalanlah! Kalau awak rasa kepala otak bodoh bangang awak tu boleh berfungsi bagi idea-idea yang bagus untuk projek ni, awak handle ajelah projek ni sendiri. Sebesar hama pun saya tak hairanlah!
By the way, awak silap kalau kata saya tak pandai handle hidup saya sendiri. Awak tu yang patutnya cermin diri sendiri. Nak handle projek perumahan seorang diri konon. Rumah tangga sendiri pun porak-peranda dibuatnya. Inikan pula nak tolong bina rumah pada orang. Hei, betullah bos awak ni tak sedar diri Rina!” perli Alia menjeling lagi wajah marah Ainul.
“Helo! Bukan saya yang porak-perandakan rumah tangga kita okey, tapi awak tu yang bodoh tak tahu nak menjaga semuanya! Lelaki mana yang boleh tahan sabar kalau ibu rumahnya ada hubungan dengan jantan lain!” sembur Ainul pula.
Terus saja meluah marah yang telah lama dipendam. Langsung terkeluar dari tajuk yang sepatutnya menjadi intipati perbincangan mereka berempat tengah hari itu.
“Oh, jadi awak tuduh saya curang pada awaklah ya?” Alia turut sama menyinga.
Excuse me, bukan saya yang curang sebenarnya tapi awak tu yang tak pernah jalankan tanggungjawab sebagai kepala keluarga. Siang malam tahu duduk kat pejabat saja. Lebih pentingkan kerjaya dari rumah tangga sendiri. Langsung tak ambil peduli dengan keadaan isteri apatah lagi rumah tangga dan sekarang senang-senang aje awak tuduh saya curang pulak ya?” Tanpa sedar Alia sudah berdiri seraya mencekak pinggang. Melotot mata pada Ainul yang turut serta bangun dari duduknya.
“Oh, jadi sebab saya sibuk kerjalah awak cari jantan lain pulak ya? Habis tu, awak fikir saya kerja macam nak mati tu untuk siapa kalau bukan untuk kesenangan isteri sendiri hah?” marah Ainul tidak lagi peduli pada keadaan sekeliling.
Apatah lagi pada Rina dan Lily yang makin gelisah di tempat duduk masing-masing. Gelisah melihatkan tingkah kedua-dua ketua mereka yang tiada tanda akan menghentikan pertengkaran hangat itu ketika ini.
“Huh, kerjalah sangat. Macamlah saya tak tahu yang awak tu ada perempuan simpanan kat pejabat awak tu. Kalau tidak tak adalah si Mona gedik tu bertenggek aje siang malam kat pejabat awak semata-mata nak berasmaradana dengan awak dua puluh empat jam. Sanggup awak hantar dia ke hulu hilir sampai langsung tak hirau keadaan saya yang terkontang-kanting jaga diri sendiri. Dasar jantan tak sedar diri,” cemuh Alia penuh geram.
“Hei Alia, awak jangan nak tuduh saya atas perkara yang saya tak pernah buat ya? Apa awak fikir saya ni lelaki yang tak cukup satu perempuan ke hah? Sedap-sedap aje nak tuduh saya ada perempuan lain. Mona tu hanya cleaner kat situ, jadi tugas dia membersihkan seluruh pejabat, bukannya mengurat saya dua puluh empat jam.
Dah jadi kerja dia mengelap dan mencuci semua bilik pejabat tu setiap hari. Takkanlah saya nak halau dia pula setiap kali dia bersihkan bilik saya? Lagipun mana pernah saya bawa dia ke mana-mana pun. Jangan kata nak keluar makan, nak sembang dengan dia pun saya jarang-jarang buatlah.
Yang awak tu, keluar dengan jantan lain tanpa pengetahuan saya, boleh pulak ya? Tahu-tahu aje orang bagitahu saya yang dia orang nampak awak berkepit dengan jantan lain. Tak curang ke namanya tu hah?” tengking Ainul sekuat hati. Benar-benar berangin setiap kali mengingati semua peristiwa itu.
“Hei, siapa kata saya keluar dengan jantan lain tanpa pengetahuan awak hah? Setiap kali saya nak ke mana-mana pun saya ada bagitahu awak bukan? Tak dapat telefon, saya hantar mesej tapi awak tu yang bodoh bangang. Langsung tak pernahnya nak buka telefon bimbit tu. Tengok dan baca apa yang patut. Fikir dulu salah sendiri sebelum nak salahkan orang lain! Dasar bodoh tak sedar diri!” maki Alia turut menengking tinggi hingga turun naik dadanya seketika. Bergelombang dek hati yang panas dengan tuduhan tak berasas lelaki itu.
“Amboi, sedapnya mulut awak panggil saya bodoh bangang. Jaga sikit mulut celopar awak tu ya? Apa awak fikir awak tu pandai sangat ke hah? Otak awak tu lebih kurang macam otak lembu aje. Binatang tu pun rasanya lebih cerdik dari awak yang perasan bagus serba-serbi tu. Entah apa malang mak bapa awak dapat anak macam awak ni pun tak tahulah.” Angin puting beliung Ainul semakin berputar laju mendengar makian jandanya.
“Kurang ajar! Awak samakan saya dengan binatang?” Tanpa sedar tangan Alia pantas mencapai gelas air orennya sebelum air sejuk itu disimbah tepat ke muka Ainul.
Terkejut besar lelaki itu dengan tindakan spontannya hingga terkaku dia buat seketika. Ditatap beberapa saat tubuhnya yang sudah basah disirami air oren dan ketulan ais. Membasahi permukaan meja dan ruang bawahnya biarpun tak sebanyak mana.
Rina dan Lily apatah lagi hingga keduanya turut terkedu melihatkan adegan tidak dijangka itu. Riak wajah Ainul pula sudah bertukar merah menyala bercampur tegang. Benar-benar marah lagi bengang dengan tindakan wanita itu.
“Hah! Itu balasannya untuk lelaki buta kayu macam awak tu tahu tak! Jom Rina, kita tinggalkan saja si bodoh ni dengan egonya yang tinggi melangit tu. Tak guna kita berbincang dengan orang yang tak ada akal fikiran yang waras.”
Tanpa menunggu lama Alia terus mengheret tangan Rina. Tak beri peluang Ainul membalas kata-katanya.
Terkial-kial setiausaha dia mengikut langkah lajunya. Meninggalkan Ainul yang pantas menumbuk meja restoran seraya menjerit marah sekuat hati. Geram dengan tindakan memalukan wanita itu terhadapnya tanpa peduli dengan pandangan sekeliling yang sejak tadi melekat mata pada mereka.
Manakala Lily di sisi hanya menepuk dahi beberapa kali. Pening dengan apa yang berlaku.

ISMA sedang menulis sesuatu di biliknya pagi itu tatkala tiba-tiba saja pintu bilik pejabatnya dibuka keras dari luar. Terus dia mengangkat kepala. Tepat pada seorang gadis yang melangkah masuk penuh gaya angkuh seraya mendapatkannya. Sedang Jenny yang mengikut dari belakangnya terus bersuara. Sedikit tergopoh-gapah.
I’m sorry Encik Isma. Saya dah bagitahu dia yang Encik Isma tak nak diganggu sesiapa ketika ini tapi dia...” Kata-kata Jenny terhenti di situ bila Isma pantas mengangkat tangan.
That’s okay Jenny. Pergi sambung kerja awak semula,” arahnya lembut.
So, ada apa you nak jumpa sangat dengan I ni sampai tak faham dengan arahan yang dah I tinggalkan pada Jenny tadi?” soal Isma menatap sekilas wajah gadis yang kini berdiri seraya mencekak pinggang di depannya. Tenang saja nada suaranya.
Dia menunduk semula. Menyambung kerjanya yang terhenti sebentar tadi.
Fasya merengus kasar.
Is, I want to know something. Kenapa you cuba elak dari jumpa dengan I sekarang ni? I call your handphone but you off it. I pergi rumah you tapi family you cakap you tak ada. Bila I datang ke office you, your secretary pulak kata you tak nak diganggu sesiapa sekarang ni. What’s wrong with you Isma? Kenapa you cuba elak diri dari bertembung dengan I hah?” Bertalu-talu dia bertanya. Sedang matanya sudah lama terlekap tajam di wajah tenang lelaki itu.
“You cakap apa ni Fasya? Mana ada I mengelak dari you? I cuma sibuk aje kebelakangan ni. Terlalu sibuk hingga masa untuk diri I sendiri pun I tak ada. So I tak ada masa dan tak nak buang masa berjumpa dengan sesiapa yang I rasa tak bawa sebarang kepentingan untuk diri I dan jugak syarikat.
You pun tahu kan, sejak dari dulu lagi I dah sangat-sangat kekurangan masa untuk diri sendiri. So, I tak nak bazirkan masa emas I dengan membuat perkara-perkara yang tak berfaedah dan I pasti sangat-sangat yang you benar-benar faham dengan apa yang I katakan tu,” sahutnya lembut. Menguntum senyuman buat gadis itu meskipun tidak ikhlas. Fasya terus mencebik bibir.
“Huh, semua tu hanya alasan you saja kan? You fikir I apa Is? I tak ada kepentingan dalam hidup you? Hei, come onlah. Mungkin you lupa apa hubungan yang wujud antara kita Is. Family kita berkawan sejak kita kecil lagi. You dengan I dah lebih dari kawan tapi you boleh kata yang I ni tak ada apa-apa kepentingan pada you? How could you said like that to me?” bentak Fasya dengan mata yang sudah berkaca. Nampak sangat air mata itu dibuat-buat di mata Isma yang segera merengus halus. Dia tersenyum sinis.
“Ooo... hanya kerana family kita berkawan baik sejak kita kecil bermakna you dengan I kena ada pertalian yang lebih kurang sama macam tu jugaklah, begitu?” Kening kanan Isma sudah terangkat sedikit. Dia tersenyum semula. Hanya seketika sebelum kembali bersuara serius.
Listen carefully Fasya. Selama ni I tak pernah anggap you and your family sebagai orang asing dalam hidup I tapi sikap you yang suka paksa I buatkan I jelak dengan you. I benci keadaan tu Fasya. I benci sangat,” tegasnya sedikit keras. Begitu berterus-terang.
Satu sikap yang benar-benar menyakiti hati Fasya sedari dulu. Sakit hati kerana lelaki itu tidak pernah pandai menyembunyikan rasa hatinya terhadap Fasya.
“Tapi I cintakan you Is. I terlalu cintakan you. Dari kita kecil lagi I dah jatuh cinta pada you. I boleh terima you kahwin dengan orang lain tapi itu dulu. Sekarang ni you dah kembali bersendirian. Apa salahnya kalau you bagi hati you untuk I pulak? I promise Isma, I akan sayang you lebih dari apa yang sepatutnya. I janji akan bahagiakan you sampai ke akhir hayat I. I swear!” Bersungguh-sungguh gadis itu mengikat janji.
Namun kata-kata lembutnya hanya mengundang rasa marah lelaki itu.
Kasar saja Isma meluah rengusannya. Pen di tangan dihempas kuat ke meja. Sedang matanya sudah bertempel di wajah cantik bermekap tebal itu.
“Fasya, berapa kali lagi I nak bagitahu you hah yang I tak pernah cintakan you dan takkan sesekali cintakan you sampai bila-bila pun? You know why? Because I dah anggap you and your family as my own family. Mana mungkin I nak jatuh cinta dengan perempuan yang I dah anggap macam adik perempuan I sendiri?
Tolonglah Fasya. Jangan nak buat drama you kat sini. I dah bosan dengar semua ni. Bukan saja hari ni tapi dah bertahun-tahun Fasya! Dah bertahun you hanya cakap perkara yang sama! I dah jelak nak dengar semua luahan hati you tu tau. Dah jelak!” jerkahnya sedikit tinggi.
Diusap rambutnya perlahan seraya melepas nafas pendek. Cuba menenangkan hati yang dihambat marah setiap kali berbalas berbicara dengan gadis itu. Sikap Fasya yang gemar mendesak membuatkan dia gagal menjaga batasan kata biarpun dia telah cuba tidak melangkauinya.
Isma kembali membuka mulut setelah dirinya tenang tidak lama selepas itu. Lebih lembut. Wajah masam bercampur suram gadis itu ditatap semula.
Look Fasya. Dah beratus kali I katakan pada you perkara yang sama, kan? Tolonglah, you cari sajalah lelaki lain yang boleh cintakan you sepenuhnya. Jujurnya I bagitahu, I memang sayangkan you tapi sayang I tu hanya sekadar sayang seorang abang pada adiknya. Itu saja. Cinta I masih kuat untuk arwah isteri I. Walau dah bertahun-tahun dia tinggalkan kita semua, tapi hati I tetap pada dia. Sebab itulah sampai sekarang I masih tak dapat terima perempuan lain dalam hidup I.
Kalau ditakdirkan suatu hari nanti I akan berkahwin semula pun, I berani jamin yang I takkan sesekali pilih you jadi isteri I sebab I tahu. I bukan pasangan yang terbaik untuk you Fasya. Mustahil ada jodoh antara kita berdua sampai bila-bila. So please. Can you leave me alone right now? Please Fasya, I beg you.” Usai bersuara dia kembali menatap timbunan kerjanya.
Sekali gus menggugurkan air mata Fasya yang telah lama bertakung di tubir mata. Benar-benar terhiris dengan kata-kata dan tingkah yang dipamerkan lelaki itu. Diketap bibirnya seketika seraya merenung tajam wajah tenang Isma.
“Baik. Kalau itu kata you, I turut tapi you ingat Isma. I tetap akan cuba menangi hati you. Selama mana I hidup, selama itu jugak I akan terus kejar you. Sampai bila-bila. Sama ada you suka atau tidak, I tak peduli. You jangan lupa Isma. Bukan menjadi sikap I beralah sebegitu mudah. Alang-alang I seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Ingat tu Isma,” ujar Fasya penuh emosi sebelum bergegas keluar dari situ.
Isma langsung tidak peduli dengan kata-kata yang diluahkan gadis itu. Dia hilang semula dalam timbunan kerjanya. 

SETIAKU DI SINI : BAB 5

BAB  5
 “Hah Az, kamu tak bekerja ke hari ni?” tanya Datin Zawani sebaik matanya terpandang Azfar menyidai tubuh di sofa ruang tamu rumah.
Dia yang baru turun dari tingkat atas rumah segera melangkah menghampiri pemuda itu.
Azfar mengeleng seraya menghembus nafas perlahan.
“Tak ma, malas,” balasnya pendek.
Matanya masih melekat pada kaca televisyen yang terpasang kuat di depannya. Hanya pandangannya di situ. Fikirannya menerawang entah ke mana.
Datin Zawani menarik nafas panjang. Dilabuh punggungnya di sofa. Bersebelahan pemuda itu. Bola matanya menerjah wajah tegang milik Azfar. Raut wajah yang jarang dipamerkan oleh pemuda itu sedari dulu lagi. Hanya sejak kebelakangan ini wajah itu berubah riak. Menjadi tegang dan serius. Marah dan geram menjadi mainan sikapnya. Tanpa sedar Datin Zawani mengeluh perlahan.  
“Apalah nak jadi dengan kamu ni Az. Mama tengok sejak akhir–akhir ni lain benar perangai kamu. Suka termenung, berkhayal sendiri. Bila bercakap nak marah–marah saja. Kenapa sebenarnya kamu ni Az? Kamu tak kasihan ke pada mama dan papa?” ujar Datin Zawani lembut.
Azfar pantas menjeling tajam wajah Datin Zawani. Rengusan kasar terluah keluar dari bibirnya.
“Nak kasihan apanya mama? Apa yang dah Az buat sampai menyusahkan mama dan papa ni?” suara Azfar sedikit tinggi.
Berkocak darah mudanya tatkala mendengar kata-kata berupa tuduhan di telinganya itu. Matanya tidak lagi melekat pada kaca televisyen sebalik mengarah ke wajah Datin Zawani yang menarik nafas pendek. Ada setompok keresahan di wajah yang mula dimamah tua itu.
“Mama tak kata Az menyusahkan kami tapi Az tengoklah keadaan diri Az tu. Tak terurus langsung. Macam baru mati bini. Serabut saja dari atas sampai ke bawah,” balas Datin Zawani lembut.
Untuk seketika matanya beralih pada tubuh tegap anak itu. Pakaian tidur masih membungkus tubuh pemuda itu walau matahari telah lama menjengah bumi.
Azfar tidak menjawab. Tiada keinginan untuk membalas kata. Tubuh yang terbaring di sofa kini di alih kedudukannya. Menyandar di dada sofa. Bantal yang sedari tadi dipeluk erat di bawa ke ribaannya. Matanya kembali diarah ke kaca televisyen.
Datin Zawani mengeluh lagi. Tahu, tiada ketenangan yang membuai hati pemuda itu saat ini. Sedikit sebanyak rasa kecewa mengigit hati wanitanya melihatkan sikap sang anak yang hanya acuh tidak acuh melayannya.
“Ni papa tahu tak Az tak pergi kerja hari ni?” Datin Zawani kembali menyoal setelah suasana diselimuti sepi buat seketika. Menembak mata pada Azfar yang hanya mengangguk. Membiarkan saja pertanyaan sang ibu berlalu dibawa sepi tanpa sebarang sahutan. Sekaligus mematikan perbualan mereka.
Datin Zawani kembali mengeluh. Panjang.

Dhia terhendap–hendap mengatur langkah. Menghampiri Puan Marini yang kelihatan ralit menyiram pokok–pokok bunga yang tumbuh subur di halaman rumah. Telinganya dapat mendengar alunan nyanyian kecil yang terluah dari mulut wanita itu. Penuh penghayatan dan bernada ria.
Dhia mengorak senyuman nakal. Terlintas di akalnya untuk melakukan sesuatu. Sesuatu yang dapat mengejutkan wanita itu dari dunia khayalannya. Perlahan-lahan dia mendekatkan tubuh pada Puan Marini yang berdiri membelakanginya. Masih tidak menyedari kehadiran gadis itu. Leka dengan aktiviti yang sedang dilakukannya.
“Makcik,” sergah Dhia kuat seraya menepuk bahu wanita itu.
Serentak itu Puan Marini menjerit. Terkejut. Gulungan paip getah yang berada ditangannya terlepas. Dia mengucap panjang.
“Ya Allah Dhia, terkejut makcik tau,” suaranya sebaik dia kembali tenang.
Merenung geram pada sang gadis yang telah tertawa berdekah-dekah. Geli hati memandang tingkah spontan wanita itu. Tidak peduli pada Puan Marini yang merengus geram padanya.
“Nasib baiklah makcik kamu ni sihat walafiat, tak ada apa-apa penyakit kronik, kalau tidak rasanya dah lama makcik pitam tadi,” suaranya lagi sambil menampar lembut lengan Dhia yang terus mengaduh sakit. Dia menyeringai kecil.
“Ala makcik, sekali sekala mengusik, apa salahnya kan. Sorry ya makcik,” Dhia mengenyit mata pada Puan Marini yang hanya menggeleng melihat tingkahnya.
Dia tersenyum lebar. Dihulur tangannya. Berjabat sebelum memeluk erat tubuh wanita itu. Puan Marini membalas kejap.
“Dah lama kamu sampai?” tanya Puan Marini sebaik saja pelukan terlerai. Hilang rasa geram yang bersalut di hatinya sebentar tadi melihatkan wajah ceria yang selama ini dinanti-nanti kehadirannya itu.
“Baru saja makcik. Pakcik mana?”
Dhia meninjau sekeliling rumah. Mencari kelibat Encik Mansur sebelum kembali ke wajah Puan Marini. Dia masih mengukir senyuman lebar.
“Pakcik kamu tu belum balik kerja lagi. Kejap lagi sampailah tu. Dah jom kita masuk rumah. Boleh kita berborak panjang nanti. Rindu betul makcik pada kamu Dhia,” suara Puan Marini lagi. Kepala paip dipulas ketat manakala paip getah digulung semula sebelum diletak bersebelahan pasu bunga.
Dhia tersenyum panjang.
“Dhia pun sama makcik,” ujarnya masih tersenyum.
“Dah, jom kita masuk ke dalam,”
Puan Marini menarik tangan Dhia sebelum mereka sama–sama melangkah masuk ke dalam rumah.

Puan Salwa meletak cawan berisi air teh panas ke piring di depannya. Matanya memandang sekilas kawasan halaman rumahnya yang kelihatan bersih dan kemas sebelum jatuh semula pada cawan yang berada di atas meja batu marmar berbentuk bulat di depannya.
“Abang agak ke mana perginya si Nisa tu ya?” Lembut dia membuka ruang bicara. Matanya menerjah wajah Encik Bukhari yang ternyata kurang senang dengan pertanyaan itu. Ada percikan marah yang memalit wajah lelaki itu.
“Manalah abang tahu dia pergi mana Wa. Kalau abang tahu pun abang buat tak peduli aje,” balas Encik Bukhari sedikit tegas. Mata lelaki itu masih melekat pada dada suratkhabar di tangannya.
Puan Salwa tertunduk. Hatinya sedikit tersentuh mendengar kata–kata lelaki itu. Seolah pertanyaannya tidak memberi sebarang makna. Keluhannya dilepas panjang.
“Saya bukannya apa bang, Nisa tu kan anak kita. Takkan kita nak biar dia hilang begitu saja. Kita kena juga cari dia bang,” ujarnya lagi. Ada sendu yang mengiringinya kali ini.
“Nak cari apanya lagi. Dah puas kita mencari, semua tempat kita dah pergi tapi masih tak jumpa juga. Salah kita lagi ke kalau dia sendiri yang tak nak balik ke rumah?” suara Encik Bukhari sedikit meninggi.
Dia meletak semula suratkhabar di tangan ke meja di depannya. Tangannya mencapai cawan berisi air teh panas di depannya. Mencicipnya sedikit. Hilang moodnya untuk membaca petang itu bila mengenangkan sikap anak perempuannya. Sikap yang amat melukakan dirinya dan isteri.
“Malu saya bang bila fikirkan perbuatan si Nisa tu. Tak pasal–pasal hubungan kita dengan keluarga Dato’ Raid renggang,” Puan Salwa kembali bersuara. Cuba meredakan kegusaran yang telah lama membelit hati wanitanya.
“Habis tu, awak fikir abang ni tak malu? Abang lagi malu tahu tak. Dahlah Dato’ Raid tu kawan baik abang. Bukan sehari dua kami kenal. Dari sekolah rendah lagi. Susah payah keluarga kita dia yang banyak ambil tahu. Ada anak pun bukannya tahu membalas budi. Buat malu keluarga saja,” rungutan Encik Bukhari berbaur marah. Air ditangan dicicip lagi.
“Habis tu, abang tak nak cari ke si Nisa tu bang?” pertanyaan Puan Salwa masih berpusat pada perkara yang sama. Matanya merayap ke wajah tegang suaminya.
“Awak nak abang cari anak derhaka tu kat mana lagi? Apa awak fikir Kuala Lumpur ni sebesar pokok cendawan saja ke hah? Senang-senang je boleh jumpa dia kat mana-mana pun,” balas Encik Bukhari sedikit marah. Geram dengan tingkah isteri yang tak jemu–jemu memujuknya.
“Manalah tahu si Nisa tu ada kat rumah kawan–kawan dia,” suara Puan Salwa masih tidak berputus asa.
Encik Bukhari segera mencebik bibir.
“Huh, siapalah yang teringin nak berkawan dengan anak awak tu. Bergaul dengan orang sekeliling pun tak nak. Yang dia tahu pun mengadap komputer saja. Tak pun menconteng kanvas lukisannya tu, reka benda entah apa–apa, lepas tu jual entah pada siapa–siapa. Laku tak laku kita sendiri pun tak tahu,” cemuhnya.
“Abang tak boleh cakap macam tu. Dah minat dia ke situ, kita nak buat macam mana,” sangkal Puan Salwa cepat.
Sedikit geram dengan tingkah si suami yang terang-terangan merendahkan minat dan kebolehan sang anak.
“Minat tu minat juga tapi fikirlah sama tentang mak ayah dia ni. Tu syarikat saya tu, siapa yang nak uruskan kalau bukan anak–anak? Esok–esok bila saya dah pejam mata, siapa yang nak ambil alih syarikat tu? Walau pun tak sebesar mana tapi saya cukup bangga dengan syarikat tu. Saya bangunkannya dengan titik peluh saya sendiri tau,” sanggah Encik Bukhari penuh marah.
“Dah Nisa tak minat nak bantu abang kat pejabat tu, nak buat macam mana lagi. Lagipun abang tak boleh salahkan dia seratus peratus. Dia dah cuba untuk bekerja di syarikat abang tu sebelum ini walaupun dia tidak minat dengan semua tu,” Puan Salwa masih cuba mempertahankan anaknya.
“Hah, kalau dah tahu tak minat, kahwin saja dengan lelaki pilihan kita. Boleh juga bakal menantu kita tu tolong saya di pejabat tu nanti. Ini tidak, semuanya nak ikut cakap dia saja. Cakap orang tua tak mahu dengar langsung,”
“Bukan dia tak mahu kahwin bang tapi dia minta masa untuk fikirkan tentang hal itu,”
“Huh, minta masa konon. Apa tak cukup lagi ke masa untuk dia kenal budak Azfar tu? Dari kecil lagi mereka berkawan, takkan sampai umur dah lebih dari suku abad pun masih tak kenal lagi dengan budak tu? Huh, itu hanya alasan dia nak bantah kehendak kita. Melampau betul!” hati Encik Bukhari benar-benar dibakar marah bila mengingatkan sikap anak perempuan sulungnya itu.
“Abang, tak baik abang cakap macam tu pada anak sendiri. Salah kita juga sebab memaksa dia menerima lamaran si budak Azfar tu sedangkan kita sendiri tahu yang mereka berdua tu hanya berkawan baik,”
Encik Bukhari mencebik lagi.
“Hah, berkawan baiklah sangat. Kalau betullah mereka tu hanya berkawan baik, takkan si Azfar tu nak menghantar lamaran pada anak kita tu. Dia kan orang ternama. Ramai lagi perempuan yang boleh dipilihnya untuk dijadikan isteri. Dia boleh ambil saja yang mana dia suka. Tak payah nak susahkan diri memilih anak kita yang tak tahu di untung itu!” jerkahnya.
“Nisa tu memang bodoh, tak tahu menilai yang mana kaca yang mana berlian. Orang nak bagi kesenangan padanya pun dia tak nak. Esok-esok kalau dah hidup merempat baru dia sedar. Dah tak ada gunanya lagi kalau nak menyesal waktu tu,” sambung Encik Bukhari lagi bila di lihat isterinya hanya membisu.
“Lagipun, memang patut pun dia berkahwin dengan si Azfar tu. Dah banyak sangat budi yang ditaburkan oleh keluarga Azfar tu pada kita. Sekurang-kurangnya bolehlah juga kita membalas budi mereka tu walau dengan cara lain.”
“Isy abang ni, tak baik fikir begitu. Si Azfar tu nak berkahwin dengan anak kita sebab dia memang sayangkan anak kita, bukannya sebab nak minta kita tebus semula budi baik keluarganya tu. Lagipun bang, Dato’ Raid sekeluarga tak pernah meminta kita membalas semula budi baik yang pernah mereka berikan pada kita tu. Mereka ikhlas membantu kita selama ini,” sahut Puan Salwa.
Hatinya benar-benar tidak senang dengan kata-kata suaminya yang seakan menjadikan masa depan anak mereka sebagai penebus atas segala kebaikan yang diperolehi selama ini.
“Ini bukan soal nak membalas budi Wa tapi soalnya, orang dah berbudi, takkan kita tak berbahasa pula,” sela Encik Bukhari kembali meninggikan suara. Marah kerana kata-katanya disangkal wanita itu.
“Itu saya tahu bang tapi takkanlah masa depan anak kita pula yang jadi taruhannya,” sambut Puan Salwa kembali mengendurkan suara. Sayu dengan keadaan itu.
“Hah, itulah awak, suka sangat membantah kata-kata abang. Semuanya salah kalau abang yang lakukan. Gemar benar membela perangai anak. Bila dia dah lari dari rumah macam ni, baru awak tahu baik ke tidak anak kesayangan awak tu!” Encik Bukhari menyergah lantang.
“Bukan begitu bang...”
“Dahlah tu Wa, jangan cakap lagi pasal ni. Abang dah bosan mendengarnya. Dan ingat, mulai hari ni, abang tak mahu lagi Wa minta abang carikan budak Nisa tu. Suka hati dialah nak buat apa pun. Abang dah tak mahu ambil peduli lagi. Pandai–pandailah dia balik sendiri ke rumah ni. Itu pun kalau dia ingat dia masih ada keluarga,” Encik Bukhari kembali bersuara sebelum sempat Puan Salwa menyudahkan kata.
Dia segera menghabiskan sisa–sisa minumannya sebelum bangun menuju ke dalam rumah. Meninggalkan Puan Salwa yang termangu–mangu dengan kata–kata suaminya. Rasa sayu kembali bermukim di hatinya. Puan Salwa mula menangis.  

KEJORA KU BERSATU : BAB 6

BAB 6

So macam mana dengan keadaan bengkel hari ni? Everything okey?” Nina bersuara sebaik kakinya memijak lantai bengkel pagi itu.
Dipandang mesra wajah para pekerjanya yang sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Telah menjadi kemestian bagi Nina untuk meninjau keadaan bengkelnya setiap hari. Sesibuk mana pun dirinya, dia akan memastikan masanya dihabiskan walau seketika untuk bertanya khabar berkenaan dengan bengkel dan para pekerjanya. Itu amalannya sejak hari pertama bengkel kenderaan itu dibuka. Kerana itu, tidak hairanlah hubungannya dengan para pekerja begitu rapat.
“Setakat ni, tak ada masalah Cik Nina, cuma bekalan minyak silinder untuk motor di bengkel kita dah berkurangan,” sahut Rafiq yang begitu tekun mencuci sebuah skuter berjenama Yamaha Majesty 250cc di hujung bengkel.
“Nanti awak beritahu Sandra kat dalam office. Apa-apa saja barang yang dah tamat tempoh atau dah tak ada stok, seperti biasa tulis dalam senarai barangan sebelum diberi pada Sandra,” ujar Nina memandang sekilas Rafiq yang pantas mengangguk kecil.
“Cik Nina, ini kereta jenis apa ya? Tak pernah saya tengok pun kereta berbentuk begini. Kereta keluaran terbaru tak?”
Nina mengalih pandangannya ke arah Jimmy. Anak muda itu sedang mengelap sebuah kenderaan yang berwarna merah hati. Dihayun langkahnya. Mendapatkan anak muda itu.
“Jim, kenderaan ni bukan kereta keluaran terbaru tapi ianya merupakan sebuah trak pikap yang mempunyai prestasi yang tinggi dan dalam masa yang sama mampu menjimatkan bahan api,” ujar Nina memandang wajah Jimmy yang memalingkan tubuh mengadapnya.
“Maksud Cik Nina?” Berkerut seketika dahi anak muda itu.
Indra dan Rafiq yang sedang membuat kerja saling berbalas pandangan sebelum mengatur langkah merapati Nina. Membiarkan kerja yang sedang dilakukan tertangguh seketika. Masing-masing berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan kenderaan yang sedang diperkatakan Jimmy dan Nina.
“Jim, kenderaan seperti ini tidak disebut sebagai kereta tapi sebaliknya di sebut sebagai trak. Ini kerana walau pun bentuknya hampir sama dengan kereta namun fungsinya agak berbeza,” jelas Nina bersahaja.
“Apa nama trak pikap ni Cik Nina?” soal Jeremy ingin kepastian.
Sekali-sekala perhatian Jimmy teralih ke kenderaan di depannya. Sebenarnya Jimmy begitu berminat dengan bidang pemotoran dan kenderaan. Apatah lagi dia mempunyai diploma dalam bidang yang berkaitan membuatkannya semakin teruja untuk menimba pengetahuan.
Namun kesempitan wang dan kesibukannya menguruskan urusan kehidupan seharian membuatkan niatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terbantut buat seketika.
“Trak ini dinamakan sebagai Ford Ranger TDCi, sebuah trak yang mempunyai enjin DOHC empat silinder selari 16 injap yang mana mampu memecut melebihi had laju tanpa perlu pemandunya bekerja keras untuk mengerakkannya. Di samping itu, enjin trak ini juga tidak akan mengeluarkan bunyi yang bising seperti mana trak-trak yang lain. Trak jenis ini juga dapat memuatkan muatan seberat satu tan dalam satu-satu masa,” terang Nina panjang lebar.
“Wow, hebatnya. Mesti harganya mahal kan Cik Nina,” sampuk Indra turut terpegun dengan pengetahuan yang baru di perolehinya itu. Jari-jemarinya menyentuh permukaan hadapan trak itu sebelum mengosoknya perlahan-lahan.
“Nak kata mahal tu, taklah juga, tapi boleh tahanlah bagi siapa yang tak mampu tu,” balas Nina memandang wajah setiap pekerjanya yang mengangguk-angguk.
“Cik Nina, kalau kereta jenis begini dipanggil sebagai kereta jenis apa ya?” tanya Indra.
Tangannya dihala sebuah kereta yang terletak di tengah-tengah bengkel kereta itu. Sudah beberapa hari kereta itu terbengkalai di bengkel tersebut. Walau pun telah lama siap dibaiki namun pemilik kenderaan tersebut masih belum dating menuntut.
“Oh, kereta ni. Ini merupakan sebuah kereta yang  tergolong dalam kenderaan pelbagai guna atau pun disebut sebagai MPV. Kalau tak silap saya, kereta ni merupakan model yang telah dikeluarkan oleh sebuah syarikat antarabangsa iaitu Alado Bumi Automobile Sdn Bhd,”
“Apa nama kereta ni Cik Nina?” sampuk Rafiq tidak sabar.
“Kereta ini disebut sebagai Chery B240. Kamu tahu apa keistimewaan kereta ni?” soal Nina sedikit tegas. Pantas ketiga-tiga anak muda itu mengeleng.
“Dikatakan kereta ini telah diterapkan dengan gaya MPV Eropah yang elegan, menawan dan hebat. Kereta ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik seperti case yang berkualiti, beg udara SRS yang berkembar di bahagian hadapan, sistem brek antikunci dan pembahagian kusa brek elektronik. Itu belum dikira dengan pemain cakera padatnya, hon dua nada, lampu kabus depan dan belakang, stereng boleh laras dan lampu belakang jenis LED. Pendek kata, memang selesa,” ujar Nina lagi.
“Wow, hebat tu Cik Nina,” Terlopong mulut Rafiq seketika mendengar penjelasan Nina yang di rasakan benar-benar dapat memukau minatnya untuk memiliki kereta itu.
“Hebat tu, hebat jugalah, tapi harganya tentu hebat juga kan Cik Nina,” sela Jimmy turut kagum dengan kelebihan yang terdapat pada kereta itu.
Nina mengangguk kecil.
“Harganya boleh dikatakan mahal. Malah lebih mahal dari harga trak pikap tadi. Dalam lingkungan RM132,000,”
“Mak datuk, mahalnya. Lebih baik beli rumah kalau macam tu mahal,” sahut Indra.
“Bagi awak memanglah mahal, tapi bagi sesiapa yang berminat dengan kereta jenis begini, harga tu bukannya ukuran lagi. Yang penting kepuasan diri dapat dipenuhi,”
“Tapi bagi sayalah Cik Nina, membeli kereta mahal ni membazir saja. Mana tidaknya, kereta ni kan tergolong di antara benda-benda yang berteknologi. Ianya akan berubah mengikut arus teknologi yang sentiasa berubah,” ujar Rafiq memberi pandangan.
“Aku sokong dengan pendapat kau tu. Lagi pun, cubalah fikir, makin canggih sesebuah kereta tu, semakin banyak perbelanjaan yang perlu kita tanggung. Dari segi pemasangan alatan kereta, aksesori dan sebagainya. Dahlah tu, kalau kita membeli kereta buatan luar negara, kita terpaksa menghabiskan masa dan duit yang banyak untuk mencari spare part untuk kereta kita sekiranya berlaku sesuatu pada kereta kita tu. Itu belum di kira dengan kos-kos lain lagi,” sampuk Indra menyokong penuh kata-kata Rafiq.
“Betul tu. Lagi satu, kereta mahal ni selalunya memerlukan jumlah minyak petrol yang banyak setiap kali ianya digunakan. Bayangkan kalau harga minyak petrol naik secara mendadak, teruk juga pemakai-pemakai kereta jenis ni nak mengisi tangki,” Jimmy turut menyuarakan pendapat.
“Itu pendapat kamu semua tapi pada orang yang berkemampuan, semua itu bukanlah penghalang untuk memiliki kenderaan jenis begini. Malah ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk menjadikan kenderaan mereka kelihatan unik dan menarik. Walau pun pada pandangan orang lain semua itu adalah membazir namun bagi mereka perkara itu memberi satu kepuasan pada mereka sendiri,” ujar Nina.
“Kenapa ada orang yang sanggup menghabiskan duit mereka pada perkara yang rasanya tak membawa sebarang keuntungan pun pada mereka ya Cik Nina?”
“Inilah yang dikatakan sebagai kehendak manusia Jimmy. Setiap manusia mempunyai kehendak mereka yang tersendiri dan kehendak itu pula berbeza dengan manusia yang lain. Mungkin pada kamu ianya membazir tapi bagi mereka yang mempunyai kehendak yang sebegitu takkan menganggap ianya satu pembaziran sebaliknya menganggap perkara itu sebagai satu kepuasan yang dapat memenuhi kehendak yang diinginkan mereka,” Mereka yang mendengar menganggukkan. Mengerti dengan penerangan itu.
“Wah, banyak betul perkara yang Cik Nina tahu tentang kenderaan ya,” suara Indra kagum dengan pengetahuan yang dimiliki ketuanya itu.
“Tak adalah banyak mana Ind, saya tahu pun sebab saya suka membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang permotoran. Selain tu saya selalu menghadiri pameran kenderaan yang selalu di buat di sekitar ibu kota kita ni. Kamu pun boleh kalau kamu nak, semuanya terpulang pada diri kamu sendiri,” balas Nina merendah diri.
“Tapi kiranya Cik Nina tahu jugalah tentang kenderaan begini berbanding kami semua yang hanya tahu sedikit je tentang bidang ni,” giliran Rafiq meluah kata.
“Kamu bertiga dengar nasihat saya. Kalau kamu ingin berjaya dalam setiap bidang yang kamu sertai, kamu perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang tersebut. Bukan sekadar membaca malah kamu perlu meminta tunjuk ajar dari orang yang lebih berpengalaman dari kamu. Malah, ada lebih baik kiranya kamu mengalami sendiri setiap apa yang kamu ingin ketahui.
Kerana bak kata orang bijak pandai, pengalaman merupakan guru yang terbaik untuk manusia. Jadi, jangan beri apa-apa alasan utnuk kamu menambah pengetahuan. Kerana pengetahuan itu kamu boleh perolehi dengan pelbagai cara. Hanya terpulang pada kamu bagaimana untuk mendapatkannya,”
Mata Nina merayap ke setiap wajah yang ada di depannya. Dia menyimpul senyum. Terselit kepuasan dalam dirinya kerana berupaya berkongsi pengetahuan dengan mereka walau pun baginya ilmu yang di punyainya itu hanya sebesar hama. Jimmy, Indra dan Rafiq turut mengulum senyum. Masing-masing mengangguk kecil. 
“Hmm… dahlah tu. Pergi sambung semula kerja masing-masing, Karang tak siap pula kerja kamu tu,” kata-kata Nina mematikan perbualan mereka. Indra, Jimmy dan Rafiq segera meminta diri. Ingin menyambung semula kerja yang terbengkalai. 

CINTA SEJATI : BAB 6

BAB 6

“Doktor Zarif, tolong doktor!” jerit satu suara.
Zarif yang sibuk memeriksa seorang pesakit di wad segera berpaling sebaik terdengar namanya di laung dari jauh. Alia, salah seorang jururawat hospital berlari laju ke arahnya. Hampir saja gadis bertubuh kecil molek itu melanggar tubuh tegapnya.
“Kenapa Alia, kenapa awak nampak cemas sangat ni?”
“Tolong doktor, ada orang mengamuk kat Unit Farmasi.”
Tercungap-cungap gadis itu menjawab. Dadanya berombak kencang. Kepenatan.
What!!” Terbeliak mata Zarif yang mendengarnya.
“Iya doktor, ada seorang lelaki datang, meminta ubat. Bila jururawat minta resit dari doktor, tiba-tiba je dia terus mengamuk, tendang apa saja yang ada kat situ,” ujarnya lagi.
Tanpa membuang masa, Zarif segera berlari ke arah yang dimaksudkan. Alia mengikutnya dari belakang. Hampir tubuh Zarif berlanggar dengan beberapa orang petugas hospital yang melintasi laluannya.
Dari jauh, telinganya menangkap jeritan seseorang diikuti dengan jeritan beberapa orang yang lain.  Zarif mempercepatkan langkah.
Langkah Zarif terhenti sebaik saja matanya terpandang seorang lelaki melibaskan parang ke arah sekumpulan pengawal keselamatan yang cuba mendekatinya.
Wajah lelaki yang kelihatan kusut masai itu kelihatan merah padam. Marah. Manakala sepasang matanya yang begitu cengkung begitu tajam meligas memandang sekeliling. Dengan tangan yang mengeletar dia memegang erat parang yang berada di tangannya.
“Siapa yang bertugas di kaunter sekarang?” Agak tercungap-cungap Zarif melontar soalan. Dadanya sedikit berombak.  
“Salmah dan Aisyah doktor,”
Amir, salah seorang atendan yang bertugas di hospital waktu itu menjawab pantas pertanyaannya.
“Mana doktor-doktor yang lain?”
Sempat lagi Zarif melingaskan mata ke sekeliling.
“Dia orang dah keluar doktor, sekarangkan waktu rehat. Cuma ada beberapa orang doktor saja lagi yang masih bertugas dalam bilik masing-masing,”
“Doktor Fahmi?”
“Dia pun dah keluar,”
Zarif menghembus nafas kasar. Otaknya ligat memikirkan sesuatu.
“Dah lama ke dia berkeadaan begitu?”
Zarif menghalakan pandangannya ke arah lelaki yang dari tadi melibaskan parangnya pada sesiapa yang cuba mendekatinya. Sesekali dia menjerit marah.
“Baru saja doktor,”
“Dah panggil polis?” Tanyanya lagi.
“Sudah. Mungkin mereka on the way sekarang,”
Zarif mengangguk perlahan. Dia melemparkan pandangan ke seluruh ruang menunggu yang kelihatan kosong.
Mungkin semua orang sudah di bawa keluar, fikirnya.
Di hala semula pandangannya ke arah lelaki itu. Melihat keadaan dirinya dia dapat mengagak lelaki itu seorang penagih dadah.
Seketika Zarif mengeleng kepala sebelum melepas satu keluhan berat. Hatinya begitu kesal dengan sikap para penagih yang sanggup melakukan apa saja demi menghilangkan rasa gian akibat ketagihan dadah.
Rasa ketagihan yang melampau terhadap musuh utama manusia itu menyebabkan seseorang penagih itu hilang kawalan terhadap diri sendiri hingga tidak dapat lagi berfikir secara rasional.
Zarif memetik jari-jemarinya beberapa kali. Mengisyaratkan agar pengawal keselamatan yang dari tadi cuba menghampiri lelaki itu berundur.
Perlahan-lahan Zarif menghampirinya. Langkahnya diatur kemas. Berhati-hati.
Wajah lelaki yang dalam kemarahan itu dipandang tepat.
“Encik, tak elok buat begini. Ini kawasan awam. Encik tak boleh bertindak begini,” Zarif bersuara lembut, cuba memujuk lelaki itu agar bertolak ansur. Sedar, api tidak boleh dilawan dengan api.  
“Hei kau, jangan cuba nak dekat dengan aku. Karang, aku libas kepala kau dengan parang ni baru kau tahu,”
Dalam nada yang mengeletar lelaki itu bersuara keras. Diacu parangnya ke arah Zarif. Mengacahnya beberapa kali. Sesekali, tangan kirinya menyapu hidungnya yang berair.
“Jangan buat begini encik, malu di tengok orang. Kita boleh berbincang dengan cara yang lebih baik,” Zarif cuba memujuk lagi.
Matanya masih melekat pada wajah lelaki yang berbau hamis itu.
“Hei, kau pekak ke! Aku kata jangan dekat, jangan dekatlah!!”
Nada suara lelaki itu semakin tinggi. Tangannya yang dari tadi hanya memegang parang kelihatan tergetar-getar menahan rasa gian yang semakin kuat mencengkam tubuhnya. Di libas sekali parangnya apabila dilihat Zarif cuba mendekatinya.
“Tolong jangan buat begini encik, bahaya,”
Suara Zarif masih lembut seperti tadi. Berusaha memujuk. Sekali lagi dia cuba menghampiri lelaki itu.
“Hei bodoh, aku kata jangan dekat dengan aku!!!”
Jeritnya sekuat hati. Seraya itu dia berpaling ke kiri dan kanan. Sebaik terpandang ke arah Intan yang sedang menuruni tangga yang terletak bersebelahan Unit Farmasi dia segera meluru ke arah doktor muda itu sebelum menariknya ke dalam pangkuan.
Tindakannya itu menyebabkan beberapa orang kakitangan hospital dan orang awam yang masih berada di situ menjerit ketakutan. Suasana di kawasan unit itu menjadi semakin tegang.
Zarif tergamam seketika. Dia turut terkejut dengan tindakan pantas lelaki itu.
Intan cuba meronta. Dia menjerit kuat. Wajahnya kelihatan pucat. Ketakutan. Dia berhenti meronta apabila lelaki itu membentak menyuruhnya diam.  Parang yang berada di tangan kiri di letakkan di leher doktor muda itu.
“Hei kau!” jerit lelaki itu lagi.
Parang di tangan diacukan seketika ke arah Zarif yang berdiri tidak jauh darinya.
”Suruh dia keluarkan semua jenis ubat batuk yang ada kat dalam tu,”
Dihala pula parangnya ke arah kaunter disebelahnya.
“Cepat!!!” tengkingnya sekuat hati.
Perlahan-lahan Zarif bergerak ke kaunter Unit Farmasi. Dalam pada itu matanya tidak lepas dari memandang Intan yang mengigil ketakutan dalam pelukan lelaki itu.
“Saya boleh bagi apa yang encik nak, tapi encik lepaskan dulu doktor tu,” Zarif bersuara tegas.
Dia masih berusaha memujuk lelaki itu walau pun suaranya tidak selembut tadi.
“Aku peduli apa. Kalau kau nak sangat perempuan ni, kau bagi dulu apa yang aku minta,” Matanya dibeliakkan ke arah Zarif.
Zarif memandang ke arah kaunter. Tangan kirinya mengisyaratkan agar jururawat yang berada di situ menuruti kemahuan lelaki itu.
Kedua-dua jururawat yang bersembunyi di sebalik rak-rak yang dipenuhi segala jenis ubatan segera melangkah ke hadapan kaunter sebaik saja terlihat isyarat Zarif.
Dengan tangan yang sedikit mengeletar perlahan-lahan Aisyah meletakkan beberapa botol berisi ubat batuk ke atas meja sebelum menyorongnya perlahan ke tengah meja kaunter itu.
“Kau, ke tepi sikit,” tengking lelaki itu lagi sebaik saja matanya tertancap pada botol-botol ubat yang berselerakan di atas meja kaunter.
Aisyah yang sedari tadi berkeadaan mengeletar segera berlalu meninggalkan kaunter itu. Mendapatkan Salmah yang mengeletar ketakutan di sudut rak.
“Kau pun sama, ke tepi sikit,” tengkingnya lagi. Sekali lagi parangnya diacukan ke arah Zarif. Dalam masa yang sama dia mengejapkan pelukannya terhadap Intan.
Zarif berundur selangkah. Dari tadi matanya tidak lepas dari memandang tingkah laku lelaki penagih itu.
Dalam keadaan tubuh yang terhoyong-hayang, lelaki itu mengheret kasar Intan supaya menurut langkahnya. Pada masa yang sama matanya mengerling tajam ke arah Zarif yang berdiri tidak jauh darinya.
Zarif masih memandang tepat wajah kedua-duanya. Fikirannya turut ligat memikirkan cara untuk melepaskan Intan dari cengkaman lelaki itu.
Bersusah payah lelaki penagih itu mengheret langkahnya. Sesekali matanya memandang ke arah Zarif yang sedari tadi merenung tajam ke arahnya. Parang yang masih berada di leher Intan digerakkan sedikit ke leher gadis itu apabila dirasakan Intan cuba melonggarkan pelukannya.
Tiba di kaunter, tanpa memandang sekeliling tangannya segera mencapai botol-botol ubat yang memenuhi ruang meja kaunter.
Saat dia berpaling untuk mengambil botol-botol tersebut, sepantas kilat Zarif mengambil peluang itu menendang kedua belah betis keringnya. Tindakan Zarif yang pantas itu menyebabkan lelaki itu jatuh tersungkur di depan kaunter.
Terdengar jeritan sakit dari celahan mulutnya. Segala jenis botol ubatan yang berada di meja kaunter jatuh bertaburan ke lantai. Parang yang berada di tangannya terpelanting ke satu arah.
Intan yang turut terjatuh mengambil kesempatan itu untuk melepaskan diri. Pantas dia menolak tubuh kurus kering itu sebelum bangun melarikan diri mendapatkan sekumpulan pengawal keselamatan yang sedari tadi menyaksikan kejadian itu. 
Dengan keadaan tubuh yang mengigil, lelaki itu bangun. Dia cuba untuk mencapai parang yang berada tidak jauh darinya namun sempat disambar oleh salah seorang pengawal keselamatan yang berada di situ.
Marah dengan tindakan itu, dia menjerit kuat sebelum meluru laju ke arah Zarif.
Zarif yang telah bersiap sedia dengan serangan itu mengelak tendangannya.
Penagih itu cuba menendang lagi namun gagal. Tanpa mempedulikan keadaan sekeliling yang hingar bingar dengan pekikan orang awam yang melihat kejadian itu, dia menjerit sekuat hati. Melepaskan rasa amarahnya. Beberapa kali dia melepaskan tendangan ke arah Zarif namun tetap gagal.
Zarif yang tidak berusaha untuk membalas tendangan lelaki itu hanya tersenyum kecil. Sedar, dalam keadaan tubuh yang mengeletar mana mungkin lelaki itu tidak dapat mengimbangi kedudukannya.
Melihat keadaan Zarif yang hanya menguntum senyum memandang gelagatnya, dia menjerit marah.  
Sekali lagi tendangannya dilepaskan namun hanya terkena angin. Tubuhnya yang sedia mengeletar termengah-mengah kepenatan. Dia menyandar tubuh seketika di dinding. Matanya tidak lepas dari memandang Zarif yang membalas tenang pandangannya.
Untuk seketika, lelaki itu membongkokkan tubuhnya. Mengosok kakinya yang terasa sakit dek penangan Zarif tadi.
Melihat keadaan dirinya yang sedikit terleka, Zarif mengambil peluang itu menendang tepat ke pinggang kirinya. Tendangan itu menyebabkan tubuh yang sedia tidak bermaya itu meraung kesakitan sebelum jatuh tersungkur mencium lantai. Dia meringkuk kesakitan.
Para pengawal yang dari tadi memandang adegan itu segera meluru mendapatkannya. Tangannya segera di ikat dengan tali sebelum di serahkan kepada polis yang kebetulan tiba.
Zarif menarik nafas panjang. Dilap wajahnya yang berpeluh dengan telapak tangannya. Dia hanya menganggukkan kepala apabila ada di antara kakitangan hospital dan orang ramai yang tersenyum dan menghulurkan tangan padanya.  Mengucap tahniah.
Zarif tersenyum menang. 
 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012