Pada suatu hari, Abu Nawas singgah di
rumah kenalannya yang berbangsa Yahudi. Di sana berlangsungnya permainan muzik
yang begitu meriah. Ramai orang yang menontonnya. Semua tetamu yang hadir harus
terlibat dalam permainan muzik itu termasuklah Abu Nawas yang baru saja masuk.
Ada yang bermain kecapi, ada yang menari dan pelbagai lagi. semuanya bersuka
ria.
Ketika para tetamu sudah kehausan,
tuan rumah menghidangkan kopi kepada para hadirin. Masing-masing mendapat
secawan kopi termasuklah Abu Nawas. Ketika Abu Nawas hendak meminum kopi itu,
dia ditampar kenalannya yang berbangsa Yahudi itu. Kali pertama ditampar Abu
Nawas tidak peduli namun dia terus-terus ditampar setiap kali mengangkat cawan
minumannya hingga tamparan yang diterima Abu Nawas pada malam itu cukup banyak
sehingga permainan muzik itu selesai sekitar pukul 2 pagi.
Dalam perjalanan pulang Abu Nawas
berfikir,
“Jahat benar perangai Yahudi itu, suka
menampar tetamu begitu saja. Kelakuan seperti itu tidak boleh dibiarkan berlaku
di mana-mana pun. tapi apa dayaku untuk melarangnya dari terus berkelakuan
begitu sampai bila-bila?” hati Abu Nawas tertanya-tanya. Tiba-tiba dia mendapat
satu akal. Lalu dia bergegas pulang ke rumah.
Keesokan harinya, Abu Nawas mengadap
Sultan Harun Ar-Rasyid di istana.
“Ampun tuanku, ternyata terdapat suatu
permainan yang belum pernah patik kenal dalam negeri ini tuanku dan
permainannya sangatlah aneh,” lapor Abu Nawas.
“Di mana tempatnya?” soal baginda
sultan.
“Di tepi hutan sana tuanku,” jawab Abu
Nawas.
“Kalau begitu marilah kita pergi
lihat,” ajak baginda sultan.
“Nanti malam saja kita pergi berdua
tuanku kerana permainan itu dilakukan hanya pada malam hari dan tuanku
hendaklah berpakaian sebagaimana rakyat biasa,” kata Abu Nawas lalu baginda
sultan Harun Ar-Rasyid pun bersetuju.
Malam itu, setelah bersolat Isyak maka
berangkatlah sultan Harun Ar-Rasyid dan Abu Nawas ke rumah lelaki Yahudi itu.
ketika sampai di sana, kebetulan lelaki Yahudi itu sedang asyik bermain muzik
bersama teman-temannya. Baginda sultan dan Abu Nawas pun dipersilakan duduk.
Ketika diminta untuk menari, baginda
sultan yang berpakaian rakyat biasa menolak hingga akhirnya baginda dipaksa
menari serta ditampar pipinya kanan kiri. Ketika itu barulah baginda sedar
bahawa baginda telah dipermainkan oleh Abu Nawas. Namun apakan daya baginda
tidak mampu melawan orang-orang yang turut serta bermain di rumah lelaki Yahudi
tersebut.
Maka menarilah baginda sultan sehingga
keringat membasahi seluruh tubuhnya yang gendut itu. kemudian barulah kopi
diedarkan kepada semua tetamu. Waktu itu pula, Abu Nawas mengambil peluang
untuk pulang ke rumah dengan alasan hendak ke bilik air sebentar.
“Biar baginda merasakan sendiri
keadaan itu kerana salahnya sendiri yang tidak pernah mengetahui keadaan
rakyatnya dan hanya percaya kepada laporan para menteri,” fikir Abu Nawas dalam
perjalanan pulang ke rumahnya.
Manakala baginda sultan yang masih
berada di rumah lelaki Yahudi itu terus-terus ditampar ketika cuba mengangkat
cawan kopinya. Setiap kali baginda melakukannya, setiap kali itulah juga kedua
pipinya ditampar sehingga baginda tidak dapat merasa walaus etitik pun air
kopinya. Lewat pagi barulah baginda dapat melepaskan diri dari permainan itu.
Sebaik tiba di istana, baginda sultan
Harun Ar-Rasyid segera memerintahkan pengawalnya untuk memanggil Abu Nawas.
“Wahai Abu Nawas, sungguh kurang ajar
sekali perbuatanmu malam tadi. engkau membiarkan baginda sultan dimalukan
seperti itu di depan rakyatnya sendiri,” marah baginda sultan dengan muka merah
padam.
“Mohon ampun wahai tuanku. Sebenarnya,
malam sebelum itu patik juga telah diperlakukan seperti mana yang telah tuanku
diperlakukan. Patik ingin melaporkannya secara jujur kepada tuanku tetapi
bimbang jika tuanku tidak percaya. Dari itu, patik mendapat akal untuk membawa
tuanku ke sana agar tuanku mengetahuinya dengan mata kepala sendiri perilaku
rakyat tuanku yang tidak senonoh itu,” jelas Abu Nawas membela diri.
Mendengar keterangan Abu Nawas, maka
fahamlah baginda sultan makna tindakan Abu Nawas itu. lalu baginda menyurut
beberapa orang pengawalnya memanggil lelaki Yahudi tersebut supaya mengadapnya.
“Wahai Yahudi, mengapa sebabnya engkau
menampar baginda sultan malam tadi?” tanya baginda sultan Harun Ar-Rasyid
marah.
“Ampun tuanku, sesungguhnya patik
tidak tahu jika tuanku turut serta berada di rumah patik malam tadi. jika
sekiranya patik tahu, nescaya patik tidak akan berbuat seperti itu,” jawab
lelaki Yahudi itu, cuba membela diri.
Namun malang baginya apabila baginda
sultan menolak kata-katanya. Oleh kerana menampar orang termasuk dalam
perbuatan maksiat maka baginda sultan mengambil tindakan tegas dengan
memerintahkan lelaki Yahudi itu dipenjarakan.
Sejak saat itu, sultan Harun Ar-Rasyid
sangat mengambil tahu perihal tingkah laku rakyatnya. Sesungguhnya baginda amat
berterima kasih atas laporan yang dibuat oleh Abu Nawas itu.
No comments:
Post a Comment