Sunday, October 21, 2012

Adat atau agama yang penting?

Hah, tak ada pelamin? Tak nak sanding? Biar betul kamu ni… ini antara ayat-ayat yang pastinya akan lahir dari celah mulut orang-orang tua terutamanya ibubapa apabila seseorang yang bakal bergelar raja sehari tidak mahu mengadakan majlis sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat kita… hairan, pelik, aneh… antara rasa yang akan muncul di sanubari setiap ibubapa… tidak meriah, tak ikut adat, tak macam orang lain… itu pula yang akan diperkatakan oleh jiran tetangga dan para tetamu yang hadir di majlis perkahwinan yang mana pengantinnya tidak mahu dipertontonkan kepada para tetamu di atas singgahsana yang digelar pelamin raja sehari… sedangkan tidak sedarkah kita bahawa budaya bersanding itu merupakan hanya satu adat yang dibawa oleh orang beragama Hindu suatu ketika dulu? malah tidak wujud dalam adat orang Islam sama sekali…
Kenapa tiba-tiba saja saya membicarakan tentang perkara ini? kerana inilah perkara yang sering terjadi di kalangan masyarakat kita dari dahulu sehinggalah sekarang… masyarakat Melayu lebih mementingkan adat dari agama Islam itu sendiri… saya tahu, malah yakin, ramai yang tidak setuju dengan kenyataan saya ini namun inilah pandangan saya sendiri… selain membazir, membuang masa, membuang duit juga membuang tenaga… memang raja sehari seharusnya disambut semeriah mungkin bagi meraikan hari bahagia mereka tapi tidakkah kita juga sedar bahawa kehidupan selepas kahwin lebih penting dari menghabiskan masa, duit dan tenaga hanya pada satu hari yang dianggap paling bahagia dalam kehidupan seseorang manusia?
Tanyalah pada setiap orang, apakah hari yang membahagiakan mereka? jawapannya pasti berbeza-beza… dan pastinya tidak ramai yang mengatakan hari perkahwinan adalah hari yang paling membahagiakan… ada yang mengatakan kali pertama menatap anak sendiri adalah hari yang paling bahagia… ada juga yang menganggap mengapai impian yang telah lama diimpikan itu sebagai hari yang cukup membahagiakan? Jadi kenapa kita harus khususkan hari perkahwinan merupakan hari yang paling membahagiakan sedangkan untuk bahagia kita boleh lakukannya pada bila-bila masa, di mana saja malah tak mengira harinya sekalipun…
Perkahwinan hanyalah antara salah satu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam hidup seseorang manusia…sememangnya hari ini harus disambut dengan penuh kebahagiaan tetapi tidaklah hingga membawa kepada pembaziran tak kiralah masa, duit mahupun tenaga…
Jika diukur dari segi kemampuan, ramai sungguh di antara kita yang tidak mampu untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran meskipun hari perkahwinan itulah dianggap hari yang membahagiakan… sebabnya begitu banyak… hantaran yang terlalu tinggi, kos menyewa khemah, pelamin, jurumekap dan sebagainya… tidak termasuk lagi dengan pemberian buah tangan kepada tetamu yang pelbagai bentuk dan corak di zaman ini…
Disebabkan kos bagi membahagiakan diri sendiri di hari bersejarah inilah yang menjadikan ramai di antara kita memilih untuk terus bersendirian dari mempunyai pasangan walau keinginan untuk hidup berdua, bertiga dan seterusnya ada di sanubari… mungkin juga para pasangan mampu berkongsi namun bagi mereka yang sememangnya mempunyai kerjaya yang hanya ‘cukup-cukup makan’, bagaimana pula untuk mereka layari kehidupan selepas berkahwin nanti? iya atau tidak, kepala tetap berpusing pening memikirkan hutang yang harus dilangsaikan gara-gara majlis perkahwinan yang mencipta sejarah terindah dalam hidup… bagi yang kurang iman, cara terbaik untuk menutup keinginan naluri semulajadi hanyalah dengan mencari jalan yang terlarang dalam agama… lalu terhasillah anak luar nikah hasil dari hubungan terlarang itu hanya kerana tidak punya kemampuan untuk berumahtangga…
Memang itu bukan alasan utama mengapa ramai antara kita yang masih bergelar bujang tapi itu adalah antara sebabnya… apapun segalanya terpulang pada diri masing-masing… pada saya, cukuplah sekadar melakukan perkara-perkara wajib dalam agama Islam dari melakukan pembaziran mahupun dosa yang pastinya memberi kesan jangka panjang dalam hidup kita… bagi yang berkemampuan, pasti tidak keberatan namun semoleknya, tegakkanlah kewajipan agama dari menurut kehendak adat yang adakalanya menyusahkan kita sendiri… selamat menempuh fasa kehidupan baru buat mereka yang bergelar raja sehari… 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012