BAB 5
“Hah Az,
kamu tak bekerja ke hari ni?” tanya Datin Zawani sebaik matanya terpandang
Azfar menyidai tubuh di sofa ruang tamu rumah.
Dia yang baru turun dari tingkat atas rumah segera
melangkah menghampiri pemuda itu.
Azfar mengeleng seraya menghembus nafas perlahan.
“Tak ma, malas,” balasnya pendek.
Matanya masih melekat pada kaca televisyen yang
terpasang kuat di depannya. Hanya pandangannya di situ. Fikirannya menerawang
entah ke mana.
Datin Zawani menarik nafas panjang. Dilabuh
punggungnya di sofa. Bersebelahan pemuda itu. Bola matanya menerjah wajah
tegang milik Azfar. Raut wajah yang jarang dipamerkan oleh pemuda itu sedari
dulu lagi. Hanya sejak kebelakangan ini wajah itu berubah riak. Menjadi tegang
dan serius. Marah dan geram menjadi mainan sikapnya. Tanpa sedar Datin Zawani
mengeluh perlahan.
“Apalah nak jadi dengan kamu ni Az. Mama tengok
sejak akhir–akhir ni lain benar perangai kamu. Suka termenung, berkhayal
sendiri. Bila bercakap nak marah–marah saja. Kenapa sebenarnya kamu ni Az? Kamu
tak kasihan ke pada mama dan papa?” ujar Datin Zawani lembut.
Azfar pantas menjeling tajam wajah Datin Zawani.
Rengusan kasar terluah keluar dari bibirnya.
“Nak kasihan apanya mama? Apa yang dah Az buat
sampai menyusahkan mama dan papa ni?” suara Azfar sedikit tinggi.
Berkocak darah mudanya tatkala mendengar kata-kata
berupa tuduhan di telinganya itu. Matanya tidak lagi melekat pada kaca
televisyen sebalik mengarah ke wajah Datin Zawani yang menarik nafas pendek.
Ada setompok keresahan di wajah yang mula dimamah tua itu.
“Mama tak kata Az menyusahkan kami tapi Az
tengoklah keadaan diri Az tu. Tak terurus langsung. Macam baru mati bini.
Serabut saja dari atas sampai ke bawah,” balas Datin Zawani lembut.
Untuk seketika matanya beralih pada tubuh tegap
anak itu. Pakaian tidur masih membungkus tubuh pemuda itu walau matahari telah
lama menjengah bumi.
Azfar tidak menjawab. Tiada keinginan untuk
membalas kata. Tubuh yang terbaring di sofa kini di alih kedudukannya.
Menyandar di dada sofa. Bantal yang sedari tadi dipeluk erat di bawa ke
ribaannya. Matanya kembali diarah ke kaca televisyen.
Datin Zawani mengeluh lagi. Tahu, tiada ketenangan
yang membuai hati pemuda itu saat ini. Sedikit sebanyak rasa kecewa mengigit
hati wanitanya melihatkan sikap sang anak yang hanya acuh tidak acuh melayannya.
“Ni papa tahu tak Az tak pergi kerja hari ni?”
Datin Zawani kembali menyoal setelah suasana diselimuti sepi buat seketika. Menembak
mata pada Azfar yang hanya mengangguk. Membiarkan saja pertanyaan sang ibu
berlalu dibawa sepi tanpa sebarang sahutan. Sekaligus mematikan perbualan
mereka.
Datin Zawani kembali mengeluh. Panjang.
Dhia terhendap–hendap mengatur langkah.
Menghampiri Puan Marini yang kelihatan ralit menyiram pokok–pokok bunga yang
tumbuh subur di halaman rumah. Telinganya dapat mendengar alunan nyanyian kecil
yang terluah dari mulut wanita itu. Penuh penghayatan dan bernada ria.
Dhia mengorak senyuman nakal. Terlintas di akalnya
untuk melakukan sesuatu. Sesuatu yang dapat mengejutkan wanita itu dari dunia
khayalannya. Perlahan-lahan dia mendekatkan tubuh pada Puan Marini yang berdiri
membelakanginya. Masih tidak menyedari kehadiran gadis itu. Leka dengan
aktiviti yang sedang dilakukannya.
“Makcik,” sergah Dhia kuat seraya menepuk bahu
wanita itu.
Serentak itu Puan Marini menjerit. Terkejut.
Gulungan paip getah yang berada ditangannya terlepas. Dia mengucap panjang.
“Ya Allah Dhia, terkejut makcik tau,” suaranya
sebaik dia kembali tenang.
Merenung geram pada sang gadis yang telah tertawa
berdekah-dekah. Geli hati memandang tingkah spontan wanita itu. Tidak peduli
pada Puan Marini yang merengus geram padanya.
“Nasib baiklah makcik kamu ni sihat walafiat, tak
ada apa-apa penyakit kronik, kalau tidak rasanya dah lama makcik pitam tadi,”
suaranya lagi sambil menampar lembut lengan Dhia yang terus mengaduh sakit. Dia
menyeringai kecil.
“Ala makcik, sekali sekala mengusik, apa salahnya
kan. Sorry ya makcik,” Dhia mengenyit
mata pada Puan Marini yang hanya menggeleng melihat tingkahnya.
Dia tersenyum lebar. Dihulur tangannya. Berjabat
sebelum memeluk erat tubuh wanita itu. Puan Marini membalas kejap.
“Dah lama kamu sampai?” tanya Puan Marini sebaik
saja pelukan terlerai. Hilang rasa geram yang bersalut di hatinya sebentar tadi
melihatkan wajah ceria yang selama ini dinanti-nanti kehadirannya itu.
“Baru saja makcik. Pakcik mana?”
Dhia meninjau sekeliling rumah. Mencari kelibat
Encik Mansur sebelum kembali ke wajah Puan Marini. Dia masih mengukir senyuman
lebar.
“Pakcik kamu tu belum balik kerja lagi. Kejap lagi
sampailah tu. Dah jom kita masuk rumah. Boleh kita berborak panjang nanti.
Rindu betul makcik pada kamu Dhia,” suara Puan Marini lagi. Kepala paip dipulas
ketat manakala paip getah digulung semula sebelum diletak bersebelahan pasu
bunga.
Dhia tersenyum panjang.
“Dhia pun sama makcik,” ujarnya masih tersenyum.
“Dah, jom kita masuk ke dalam,”
Puan Marini menarik tangan Dhia sebelum mereka
sama–sama melangkah masuk ke dalam rumah.
Puan Salwa meletak cawan berisi air teh panas ke
piring di depannya. Matanya memandang sekilas kawasan halaman rumahnya yang
kelihatan bersih dan kemas sebelum jatuh semula pada cawan yang berada di atas
meja batu marmar berbentuk bulat di depannya.
“Abang agak ke mana perginya si Nisa tu ya?”
Lembut dia membuka ruang bicara. Matanya menerjah wajah Encik Bukhari yang
ternyata kurang senang dengan pertanyaan itu. Ada percikan marah yang memalit
wajah lelaki itu.
“Manalah abang tahu dia pergi mana Wa. Kalau abang
tahu pun abang buat tak peduli aje,” balas Encik Bukhari sedikit tegas. Mata
lelaki itu masih melekat pada dada suratkhabar di tangannya.
Puan Salwa tertunduk. Hatinya sedikit tersentuh
mendengar kata–kata lelaki itu. Seolah pertanyaannya tidak memberi sebarang
makna. Keluhannya dilepas panjang.
“Saya bukannya apa bang, Nisa tu kan anak kita.
Takkan kita nak biar dia hilang begitu saja. Kita kena juga cari dia bang,”
ujarnya lagi. Ada sendu yang mengiringinya kali ini.
“Nak cari apanya lagi. Dah puas kita mencari,
semua tempat kita dah pergi tapi masih tak jumpa juga. Salah kita lagi ke kalau
dia sendiri yang tak nak balik ke rumah?” suara Encik Bukhari sedikit meninggi.
Dia meletak semula suratkhabar di tangan ke meja
di depannya. Tangannya mencapai cawan berisi air teh panas di depannya.
Mencicipnya sedikit. Hilang moodnya
untuk membaca petang itu bila mengenangkan sikap anak perempuannya. Sikap yang
amat melukakan dirinya dan isteri.
“Malu saya bang bila fikirkan perbuatan si Nisa
tu. Tak pasal–pasal hubungan kita dengan keluarga Dato’ Raid renggang,” Puan
Salwa kembali bersuara. Cuba meredakan kegusaran yang telah lama membelit hati
wanitanya.
“Habis tu, awak fikir abang ni tak malu? Abang
lagi malu tahu tak. Dahlah Dato’ Raid tu kawan baik abang. Bukan sehari dua kami
kenal. Dari sekolah rendah lagi. Susah payah keluarga kita dia yang banyak
ambil tahu. Ada anak pun bukannya tahu membalas budi. Buat malu keluarga saja,”
rungutan Encik Bukhari berbaur marah. Air ditangan dicicip lagi.
“Habis tu, abang tak nak cari ke si Nisa tu bang?”
pertanyaan Puan Salwa masih berpusat pada perkara yang sama. Matanya merayap ke
wajah tegang suaminya.
“Awak nak abang cari anak derhaka tu kat mana
lagi? Apa awak fikir Kuala Lumpur ni sebesar pokok cendawan saja ke hah?
Senang-senang je boleh jumpa dia kat mana-mana pun,” balas Encik Bukhari
sedikit marah. Geram dengan tingkah isteri yang tak jemu–jemu memujuknya.
“Manalah tahu si Nisa tu ada kat rumah kawan–kawan
dia,” suara Puan Salwa masih tidak berputus asa.
Encik Bukhari segera mencebik bibir.
“Huh, siapalah yang teringin nak berkawan dengan
anak awak tu. Bergaul dengan orang sekeliling pun tak nak. Yang dia tahu pun
mengadap komputer saja. Tak pun menconteng kanvas lukisannya tu, reka benda
entah apa–apa, lepas tu jual entah pada siapa–siapa. Laku tak laku kita sendiri
pun tak tahu,” cemuhnya.
“Abang tak boleh cakap macam tu. Dah minat dia ke
situ, kita nak buat macam mana,” sangkal Puan Salwa cepat.
Sedikit geram dengan tingkah si suami yang
terang-terangan merendahkan minat dan kebolehan sang anak.
“Minat tu minat juga tapi fikirlah sama tentang
mak ayah dia ni. Tu syarikat saya tu, siapa yang nak uruskan kalau bukan
anak–anak? Esok–esok bila saya dah pejam mata, siapa yang nak ambil alih
syarikat tu? Walau pun tak sebesar mana tapi saya cukup bangga dengan syarikat
tu. Saya bangunkannya dengan titik peluh saya sendiri tau,” sanggah Encik
Bukhari penuh marah.
“Dah Nisa tak minat nak bantu abang kat pejabat
tu, nak buat macam mana lagi. Lagipun abang tak boleh salahkan dia seratus
peratus. Dia dah cuba untuk bekerja di syarikat abang tu sebelum ini walaupun
dia tidak minat dengan semua tu,” Puan Salwa masih cuba mempertahankan anaknya.
“Hah, kalau dah tahu tak minat, kahwin saja dengan
lelaki pilihan kita. Boleh juga bakal menantu kita tu tolong saya di pejabat tu
nanti. Ini tidak, semuanya nak ikut cakap dia saja. Cakap orang tua tak mahu
dengar langsung,”
“Bukan dia tak mahu kahwin bang tapi dia minta
masa untuk fikirkan tentang hal itu,”
“Huh, minta masa konon. Apa tak cukup lagi ke masa
untuk dia kenal budak Azfar tu? Dari kecil lagi mereka berkawan, takkan sampai
umur dah lebih dari suku abad pun masih tak kenal lagi dengan budak tu? Huh,
itu hanya alasan dia nak bantah kehendak kita. Melampau betul!” hati Encik
Bukhari benar-benar dibakar marah bila mengingatkan sikap anak perempuan
sulungnya itu.
“Abang, tak baik abang cakap macam tu pada anak
sendiri. Salah kita juga sebab memaksa dia menerima lamaran si budak Azfar tu
sedangkan kita sendiri tahu yang mereka berdua tu hanya berkawan baik,”
Encik Bukhari mencebik lagi.
“Hah, berkawan baiklah sangat. Kalau betullah
mereka tu hanya berkawan baik, takkan si Azfar tu nak menghantar lamaran pada
anak kita tu. Dia kan orang ternama. Ramai lagi perempuan yang boleh dipilihnya
untuk dijadikan isteri. Dia boleh ambil saja yang mana dia suka. Tak payah nak
susahkan diri memilih anak kita yang tak tahu di untung itu!” jerkahnya.
“Nisa tu memang bodoh, tak tahu menilai yang mana
kaca yang mana berlian. Orang nak bagi kesenangan padanya pun dia tak nak.
Esok-esok kalau dah hidup merempat baru dia sedar. Dah tak ada gunanya lagi
kalau nak menyesal waktu tu,” sambung Encik Bukhari lagi bila di lihat isterinya
hanya membisu.
“Lagipun, memang patut pun dia berkahwin dengan si
Azfar tu. Dah banyak sangat budi yang ditaburkan oleh keluarga Azfar tu pada
kita. Sekurang-kurangnya bolehlah juga kita membalas budi mereka tu walau
dengan cara lain.”
“Isy abang ni, tak baik fikir begitu. Si Azfar tu
nak berkahwin dengan anak kita sebab dia memang sayangkan anak kita, bukannya
sebab nak minta kita tebus semula budi baik keluarganya tu. Lagipun bang, Dato’
Raid sekeluarga tak pernah meminta kita membalas semula budi baik yang pernah
mereka berikan pada kita tu. Mereka ikhlas membantu kita selama ini,” sahut
Puan Salwa.
Hatinya benar-benar tidak senang dengan kata-kata
suaminya yang seakan menjadikan masa depan anak mereka sebagai penebus atas
segala kebaikan yang diperolehi selama ini.
“Ini bukan soal nak membalas budi Wa tapi soalnya,
orang dah berbudi, takkan kita tak berbahasa pula,” sela Encik Bukhari kembali
meninggikan suara. Marah kerana kata-katanya disangkal wanita itu.
“Itu saya tahu bang tapi takkanlah masa depan anak
kita pula yang jadi taruhannya,” sambut Puan Salwa kembali mengendurkan suara.
Sayu dengan keadaan itu.
“Hah, itulah awak, suka sangat membantah kata-kata
abang. Semuanya salah kalau abang yang lakukan. Gemar benar membela perangai
anak. Bila dia dah lari dari rumah macam ni, baru awak tahu baik ke tidak anak
kesayangan awak tu!” Encik Bukhari menyergah lantang.
“Bukan begitu bang...”
“Dahlah tu Wa, jangan cakap lagi pasal ni. Abang
dah bosan mendengarnya. Dan ingat, mulai hari ni, abang tak mahu lagi Wa minta
abang carikan budak Nisa tu. Suka hati dialah nak buat apa pun. Abang dah tak
mahu ambil peduli lagi. Pandai–pandailah dia balik sendiri ke rumah ni. Itu pun
kalau dia ingat dia masih ada keluarga,” Encik Bukhari kembali bersuara sebelum
sempat Puan Salwa menyudahkan kata.
Dia segera menghabiskan sisa–sisa minumannya
sebelum bangun menuju ke dalam rumah. Meninggalkan Puan Salwa yang
termangu–mangu dengan kata–kata suaminya. Rasa sayu kembali bermukim di
hatinya. Puan Salwa mula menangis.
No comments:
Post a Comment