Pada suatu hari yang cerah, Sultan
Harun Ar-Rasyid dan para pengawalnya meninggalkan istana untuk berburu. Namun
ditengah-tengah perjalanan, salah seorang pegawai kerajaan yang bernama Abu
Jahal menyusul dengan termengah-mengah di atas kudanya.
“Ampun tuanku, patik ingin
mencadangkan sesuatu,” kata Abu Jahal sebaik saja mendekati baginda sultan.
“Apa cadanganmu itu wahai Abu Jahal?”
tanya baginda sultan.
“Agar acara memburu ini menarik dan
disaksikan olh ramai rakyat jelata, mengapa tidak kita sebarkan acara berburu
ini kepada semua?” ujar Abu Jahal dengan raut wajah serius.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid terdiam
sejenak sebelum mengangguk-gangguk.
“Hamba ingin beradu ketangkasan dengan
Abu Nawas. Pemenangnya nanti akan mendapat sepundi wang emas tapi jika kalah,
hukumannya adalah memandikan kuda-kuda istana selama sebulan,” tutur Abu Jahal
lagi.
Akhirnya baginda sultan bersetuju dan
memanggil Abu Nawas untuk mengadap.
Pada awalnya, Abu Nawas menolak
cadangan tersebut kerana dia tahu bahawa semua cadangan itu adalah cadangan Abu
Jahal yang sangat ingin menyingkirkannya dari istana. Tetapi baginda sultan
memaksa dan akhirnya Abu Nawas tidak dapat menolak.
Lalu Abu Nawas pun berfikir cara untuk
mengalahkan Abu Jahal. Dia yakin Abu Jahal pasti akan meminta orang suruhannya
untuk membantunya mendapatkan binatang buruan di hutan nanti. namun kerana
kecerdikannya, Abu Nawas pun tersenyum senang kerana telah mendapat akal.
Maka pada hari pertandingan, baginda
Sultan Harun Ar-Rasyid pun membawa kedua-duanya ke tengah-tengah halaman
istana. Bersama-sama rakyat jelata, mereka menanti diapa yang bakal menjadi
pemenang dalam acara lumba memburu ini.
Sebaik saja trompet ditiup menandakan
acara sudah bermula, Abu Jahal segera memacu kudanya secepat kilat menuju ke
hutan belantara.
Anehnya, Abu Nawas bersikap
sebaliknya. Dengan tenang dan santai, dia menaiki kudanya lalu menunggang
perlahan-lahan menuju ke hutan hingga para penonton yang melihat berteriak
meminta dia mempercepatkan pergerakannya.
Menjelang petang hari, nampaklah kuda
Abu Jahal memasuki pintu gerbang istana. Dia mendapat sambutan meriah dan tepuk
tangan dari rakyat yang menyaksikannya. Di sisi kanan dan kiri kuda Abu Jahal
tampak puluhan haiwan yang mati terpanah. Abu Jahal dengan senyum bangga
memperlihatkan semua binatang buruannya di tengah-tengah halaman.
“Aku, Abu Jahal berhak memenangi
pertandingan ini. Lihat, binatang buruanku banyak. Mana mungkin Abu Nawas dapat
mengalahkan aku?” teriaknya lantang membuatkan para penonton semakin ramai
bertepuk tangan.
Tak lama kemudian, terdengar suara
kaki kuda Abu Nawas. Semua orang mentertawakannya kerana Abu Nawas tidak
membawa satu pun binatang buruan di kudanya. Tapi Abu Nawas tidak nampak gusar
sama sekali. Bahkan dia tersenyum dan melambaikan tangan.
Baginda Sultan segera menyuruh 2 orang
pengawalnya ke tengah halaman istana dan menghitung jumlah binatang buruan yang
didapati oleh kedua-dua peserta tersebut.
Lalu para pengawal menghitung jumlah
binatang hasil buruan Abu Jahal.
“Tiga puluh lima ekor arnab, lima ekor
rusa dan dua ekor babi hutan,” kata salah seorang pengawal.
“Kalau begitu akulah pemenangnya
kerana Abu Nawas tidak membawa seekor binatang pun,” teriak Abu Jahal dengan
sombongnya.
“Bertenanglah Abu Jahal. Aku membawa
ribuan binatang. Jelaslah aku pemenangnya dan engkau wahai Abu Jahal, sila
mandikan kuda-kuda istana selepas ini. Menurut peraturan acara ini, semua
binatang boleh ditangkap tanpa mengira saiz atau bentuknya. Yang penting
jumlahnya banyak,” kata Abu Nawas sambil membuka buluh kuning yang telah diisi
dengan ribuan semut merah. Lalu dihulur pada para pengawal.
“Jumlahnya sangat banyak tuanku,
mungkin ribuan, mungkin juga jutaan. Kami tak sanggup menghitungnya lagi,” kata
pengawal-pengawal yang menghitung jumlah semut itu.
Mendengar kenyataan itu, Abu Jahal
tiba-tiba jatuh pengsan.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid ketawa
terbahak-bahak dan terus memberi hadiah kepada Abu Nawas. Ternyata kecerdikan
dan ketulusan hati pasti boleh mengalahkan kelicikan.
No comments:
Post a Comment