Friday, October 05, 2012

KEJORAKU BERSATU : BAB 5

BAB 5
“Selamat pagi Atika. Ada apa-apa pesanan untuk saya pagi ni?” Tengku Anuar bersuara  sebaik melintas meja setiausahanya pagi itu.
Wanita berbaju kurung putih berbunga kecil hitam itu tersenyum mesra.
“Untuk pagi ni saja ke atau untuk sepanjang hari ni Encik Anuar?” Atika meminta kepastian. Selalunya Tengku Anuar akan menyoalnya tentang aktiviti yang perlu dilakukannya sepanjang hari dan bukannya hanya untuk di waktu pagi.
Tengku Anuar menepuk dahi.
I’m sorry. I mean sepanjang hari ni,” ujarnya tersenyum simpul.
Atikah turut menguntum senyum.
“Untuk pagi ni Encik Anuar ada mesyuarat dengan Encik Ghani dari Syarikat Craze Bith pada pukul 10.00 pagi nanti manakala untuk petang nanti, Encik Anuar ada perjumpaan dengan klien kita dari Tokyo di hotel Hilton Kuala Lumpur. Itu saja untuk hari ni Encik Anuar,” beritahu Atika sambil menutup semula buku nota kecilnya.
“Itu saja untuk hari ini Atika?” Gadis itu mengangguk.
Tengku Anuar menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Okey, terima kasih,” ujarnya sebelum berlalu ke biliknya yang terletak bersebelahan meja wanita itu.
Tengku Anuar baru saja hendak menolak pintu bilik apabila dia terdengar namanya di panggil. Dia kembali berpaling.
“Ada apa Atika?”
“Maaf Encik Anuar, saya lupa nak beritahu. Tengku Adnan minta Encik Anuar ke biliknya jika Encik Anuar dah sampai pejabat,” Atika menjawab perlahan. Sedikit sesal dengan kelalaiannya dalam menjalankan tugas. Rasa bersalah menyerang dirinya.
Tengku Anuar mengangguk lagi sebelum menapak masuk ke bilik. Diletak briefcase yang di jinjing sedari tadi di atas meja. Pandangan matanya jatuh pada sejambak bunga yang terletak elok di atas rak kayu di belakang kerusi empuknya. Indah dan menarik.
Menyejukkan matanya yang memandang. Dia tersenyum kecil sebelum kembali memusing tubuh. Mengatur langkah menuju ke luar. Dihampiri meja Atikah yang menunduk menulis sesuatu. “Atika,” tegurnya lembut.
Laju wanita itu mengangkat kepalanya. “Ada apa Encik Anuar?” soalnya sopan.
“Siapa yang letak bunga atas rak dalam bilik saya tu?”
“Oo, bunga tu. Saya yang letakkannya Encik Anuar,” beritahu Atika sambil memandang Tengku Anuar yang sekadar menjongket kening, seakan memberi isyarat agar wanita itu meneruskan kata-katanya.
“Bunga tu hadiah dari salah seorang klien kita untuk Encik Anuar sempena ulang tahun syarikat mereka yang ketiga puluh,” terangnya dengan lebih lanjut.
“Syarikat mana tu?”
“Waseer Industry Sdn.Bhd,” Tengku Anuar mengangguk faham.
“Mmm, tak apalah Atikah, saya nak ke pejabat ayah saya di tingkat sekarang. Kalau ada apa-apa nanti, you just take notes ya,”
“Baiklah Encik Anuar,” Tengku Anuar tersenyum lagi sebelum berlalu menuju ke kotak lif yang terletak tidak jauh dari pintu pejabatnya.
“Ayah panggil saya?” Tengku Anuar bersuara sebaik sahaja tubuhnya menolak daun pintu bilik pejabat Tengku Adnan.
Kemudian dia menghampiri Tengku Adnan berada di sofa. Tengku Adnan segera menoleh. Tersenyum meleret memandang si anak yang turut mengorak senyum.
“Hah Nuar, mari sini ayah kenalkan kamu pada kawan baik ayah ni,” Dia bangun dari duduk. Tetamu yang duduk berhadapan dengannya turut bangun.
“Kenalkan Nuar, ini kawan baik ayah sejak ayah di universiti lagi, Datuk Nasir,”
Dihala tangannya ke arah Datuk Nasir yang berdiri tegak mengadapnya.
“Hah Nasir, inilah anak lelaki aku yang aku katakan itu. Dia baru balik Amerika bulan lepas,” sambungnya.
“Apa khabar Datuk?” Sopan Tengku Anuar bersuara. Di hulur tangannya berjabat salam. Datuk Nasir tersenyum panjang. Disambut huluran lelaki itu. Kejap.
“Mmm… tak sangka aku, handsome betul anak lelaki kau yang ini. Lebih handsome dari abang-abangnya,” puji Datuk Nasir, matanya agak ralit memandang wajah tenang itu.
“Hai, kau tengoklah anak siapa. Mestilah handsome macam ayahnya juga,” sahut Tengku Adnan tergelak kecil.
“Perasaan betul kau ni Nan. Aku puji anak kau bukannya kau,”
“Samalah tu. Kalau tak ada aku, tak adanya anak aku ni hah,” Tercetus tawa kedua lelaki itu. Tengku Anuar hanya mengulum senyum. Mereka kembali melabuhkan punggung di sofa.
“Ayah nak kamu tahu Anuar, keluarga Datuk Nasir ni dah macam keluarga kita sendiri. Dia jugalah yang banyak membantu ayah dalam memajukan syarikat kita ni. Susah senang ayah, dialah tempat ayah berkongsi segalanya,” beritahu Tengku Adnan.  
“Nasir, mungkin kau tak pernah jumpa dengan anak lelaki aku ni, berbanding dengan Azhar dan Afzan. Dari kecil lagi anak bongsu aku ni dah tinggal di asrama. Habis saja sekolah, terus dia dapat tawaran menyambung pelajaran ke Amerika. Habis belajar dia bekerja pula kat sana beberapa tahun,”
“Patutlah aku tak pernah nampak dia pun sebelum ini. Macam mana kerja kat tanah air sendiri? Mesti berbeza bukan berbanding dengan kerja kat luar negara tu,” soal Datuk Nasir sambil merenung wajah Tengku Anuar.
“Memang berbeza sangat Datuk, terutamanya dari segi budaya kerja yang orang Malaysia amalkan. Hampir seratus peratus berbeza dengan budaya negara luar,”
“Tak payahlah berDatuk Nuar, panggil saja pakcik. Abang-abang kamu pun panggil pakcik saja,” sela Datuk Nasir cepat.
Hati Datuk Nasir telah terpaut pada wajah itu tatkala kali pertama memandangnya.
“Biasalah tu, budaya kerja kita memang jauh beza dengan budaya orang negara barat. Mereka lebih berdisplin dari segi ketepatan masa dan cekap dalam melakukan tugas,” sambung Datuk Nasir lagi.
“Betul tu pakcik. Selain itu mereka juga amat mementingkan kepuasan pelanggan. Pada mereka kehendak dan keperluan pelanggan perlu diutamakan dalam apa jua keadaan,” ujar Tengku Anuar sedikit serius. Berkerut dahinya seketika.
“Apa yang kamu katakan memang betul tapi budaya kerja orang barat juga mempunyai kelemahannya sendiri,” sampuk Tengku Adnan.
“Dalam budaya kerja orang barat, jarang wujud istilah bekerjasama. Mereka lebih suka bekerja secara bersendirian dan bukannya secara berkumpulan. Ini kerana sikap tidak percaya pada individu lain begitu kuat menghuni diri. Mereka juga begitu mementingkan diri sendiri dan gemar bersaing antara satu sama lain dalam mendapatkan sesuatu ganjaran. Ini di antara sikap mereka yang hampir tidak wujud dalam budaya kerja negara kita,” ujarnya mengulas panjang.
“Sebenarnya, di mana-mana negara pun budaya kerjanya begitu berbeza berbanding dengan negara lain. Setiap budaya itu pula mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Adakalanya sesuatu budaya kerja yang diamalkan adalah sama dengan seperti di negara lain tapi mempunyai maksudnya yang tersendiri.
Contohnya seperti budaya kerja orang-orang Arab. Bagi mereka, memberi duit atau apa-apa saja kepada orang lain ketika menjalankan sesuatu urusan adalah dianggap sebagai hadiah atau satu ganjaran atas apa yang telah dilakukan. Tapi di negara kita, pemberian serupa itu dianggap sebagai rasuah dan salah di sisi undang-undang. Kita yang tinggal dalam sesebuah negara itulah yang seharusnya mengikut budaya tersebut supaya kita dapat bersaing dengan rakyat tempatan,” Datuk Nasir turut berhujah memberi pendapat.
“Betul cakap kau tu Nasir. Sememangnya setiap negara mempunyai budaya kerjanya yang tersendiri. Sebenarnya semua ini terpulang pada diri kita sendiri. Jika kita rasa sesuatu budaya itu adalah baik dan sesuai diamalkan, maka memang patut pun kita mengikutnya,” jelas Tengku Adnan.
“Sekarang ni pun budaya kerja di negara kita pun dah banyak berubah. Dah tak seperti dulu lagi. Semuanya kerana rakyat negara ini semakin sedar tentang pentingnya budaya kerja yang berdisplin dan baik seperti mana yang diamalkan oleh rakyat di negara Jepun,” celah Datuk Nasir.
“Tapi tak semua orang sedar tentang semua ini Nasir. Masih ramai lagi yang mengamalkan budaya kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Contohnya seperti lambat masuk kerja, selalu ambil cuti kecemasan tanpa alasan kukuh dan jarang tepati masa,” ujar Tengku Adnan.
“Biasalah tu Nan, manusia ni tak sempurna semuanya. Ada yang bersikap begitu, ada yang bersikap begini. Takkan serupa semuanya walau pun tinggal di tanah yang sama. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain,” sambut Datuk Nasir.
Tengku Adnan tersenyum sambil menganggukkan.
“Begitulah juga dengan anak-anak kita Sir, tak semua nak dengar cakap kita,” ujarnya lembut. “Si Anuar ni,” di unjuk jarinya ke arah si anak yang sedikit tersentak dengan kata-kata si ayah.
“Sudah puas aku minta dia balik ke Malaysia, bantu aku kat pejabat ni. Baru sekarang dia nak balik. Itu pun sebab aku kata nenda dia yang suruh. Kalau tidak, jangan haraplah,”
“Ala Nan, biasalah tu. Anak muda. Mestilah dia orang nak cari pengalaman dulu di negara orang. Iya tak Nuar?” ujar Datuk Nasir seakan menyebelahi Tengku Anuar.
Lelaki itu hanya mengangguk kepalanya beberapa kali.
“Apa pun untunglah kau Nan, ada tiga orang anak lelaki yang boleh bantu kau kat pejabat ni. Aku pula hanya harapkan si Shahrul saja. Nak harapkan anak perempuan aku tu, tak habis-habis dengan kerja bengkelnya tu. Si Syafiq pula tak berminat langsung dalam bidang business ni,” keluh Datuk Nasir.
“Jangan kata begitu Sir, anak-anak aku ni bukannya anak-anak kau juga?” kata-kata Tengku Adnan menerbitkan senyuman di bibir Datuk Nasir.
“Memanglah anak-anak kau tu pun anak-anak aku tapi itulah, takkan aku nak minta dia orang kerja dengan aku pula,” tukasnya.
“Apa salahnya Sir. Aku tak keberatan nak benarkan dia orang kerja dengan kau. Kerja kat syarikat kau pun samalah juga macam kerja kat syarikat aku. Yang penting, dia orang dapat pengalaman untuk memajukan diri masing-masing,” Ikhlas Tengku Adnan bersuara.
“Terima kasihlah Nan tapi aku rasa biar dia orang kerja saja dengan kau. Syarikat aku tu, bukannya sebesar mana pun. Kalau nak di bandingkan dengan syarikat gergasi kau ni, jauh benar perbezaannya,” ujar Datuk Nasir begitu merendah diri.
“Isy kau ni, jangan cakap begitu. Kecil atau besar sesuatu syarikat itu bukan penentu sesuatu kejayaan. Yang penting cara kita melaksanakan sesuatu tugas yang telah diberikan. Kalau syarikat itu besar dan gah sekali pun di mata dunia tapi jika tidak dapat memberikan perkhidmatan kerja yang baik, syarikat tu takkan kekal lama,”
“Ewah kau ni Nan, kalau sekali dapat bersyarah, kalah aku dibuat kau,”
Tengku Adnan tertawa kecil.
“Apa salahnya Sir, sekali sekala,”
Kedua lelaki itu tertawa. Tengku Anuar sekadar menguntum senyum. Hatinya sedikit terusik melihat keakraban kedua lelaki seusia itu.
“Hmm… sedar tak sedar dah lama aku kat sini,” ujar Datuk Nasir setelah tawanya reda.
“Ala Sir, bukannya selalu pun. Sekali sekala, apa salahnya,”
“Memanglah sekali sekala Nan, tapi kalau selalu tu, bukan sekali-sekala lagi dah. Hah Anuar, ada masa datanglah ke pejabat pakcik. Tak pun, pergi je ke rumah. Makcik kamu tentu suka kalau dapat berkenalan dengan kamu nanti,” pelawa Datuk Nasir ramah.
“Insya Allah pakcik, kalau ada masa, sampai juga saya nanti,” ujar Tengku Anuar sopan.
Disambut huluran tangan Datuk Nasir sebelum mengenggam tangan lelaki itu erat.
“Minta diri dulu Nan, Anuar.”
“Yalah.”

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012