BAB 4
“Assalammualaikum dan selamat pagi semua. Seperti
yang kamu semua telah sedia maklum, hari ini saya akan membentangkan satu lagi
projek terbaru yang mana syarikat kita baru saja perolehi dari salah sebuah
syarikat tempatan yang beroperasi di selatan negara.
So,
untuk kali ini, mereka meminta kita menghasilkan iklan yang memaparkan tentang
projek yang bakal mereka laksanakan tidak lama lagi. Iklan ini akan ditayangkan
di semua media massa termasuklah di media elektronik dan media cetak,” lantang
Farhan memberi penerangan.
Matanya melekat pada setiap wajah pekerjanya. Dia
tekun memberi penjelasan pada semua yang turut khusyuk mendengar kata-kata
ketua mereka itu. Tidak menyedari pandangan seseorang yang dalam diam mengagumi
dirinya.
Nuraini, salah seorang pereka grafik yang bertugas
di syarikat milik Farhan begitu ralit memerhati tingkah lelaki itu. Dalam diam
Nuraini menilai diri lelaki bertubuh sederhana tinggi itu. Wajah tampan Farhan
dipandang lama sebelum dikalih ke bahagian lain tubuh lelaki yang tidak pernah
mengukir senyuman itu. Leka dirinya memerhatikan gerak geri Farhan yang
senantiasa kelihatan tegas dan serius. Memperlihatkan kematangan lelaki itu
dalam semua perkara.
“Okey, ada apa–apa lagi yang kamu semua nak
tanya?” pertanyaan Farhan pada semua pekerja menghalau lamunan Nuraini.
Sedikit tersentak tatkala mata Farhan berkalih
sejenak ke arahnya sebelum dipaling ke arah mereka yang lain.
“Kalau tak ada apa–apa, mesyuarat kita tamat di
sini dulu. Apa–apa hal kamu semua boleh rujuk pada Tania atau pada saya nanti,”
suara Farhan lagi. Kembali mengadap wajah Nuraini yang sedikit kaget dengan
pandangan itu.
“Ain, saya nak jumpa awak sekejap,” ujar Farhan serius
menghayun langkah pantas.
Lelaki itu berlalu ke biliknya. Meninggalkan
kumpulan pekerjanya yang kini kembali berkeliaran ke tempat masing-masing.
Ain segera membuntuti Farhan yang terlebih dahulu
menapak ke dalam. Hatinya diterpa rasa bimbang.
Dia mengetuk daun pintu perlahan sebelum ditolak
cermat, lalu melangkah merapati Farhan yang melabuh punggung ke kerusi.
Farhan mengamit gadis bertudung hijau lumut itu
agar mendekatinya. Menjeling sekilas ke kerusi di depannya. Memberi isyarat
pada gadis itu agar mendudukkan diri.
Nuraini segera menarik kerusi, meletak punggung
dan mengadap lelaki itu.
“Ada apa Encik Farhan?” lembut suaranya melontar soalan. Matanya
menikam lembut wajah serius lelaki itu.
Farhan melingaskan mata. Menarik beberapa helaian
kertas bersaiz A1 yang ada di muka meja. Membentangkannya di tengah meja
sebelum matanya kembali menujah pandangan mata Nuraini.
“So Ain,
saya dah tengok hasil kerja awak untuk projek kita untuk syarikat Seri Utama.
Terus terang saya katakan, saya suka dengan cara olahan yang awak lakukan untuk
iklan tu. Nampak menarik dan senang untuk difahami. Klien kita pun memuji cara
awak yang begitu ringkas dan kreatif. Rasanya, saya perlu memberi peluang yang
lebih luas untuk awak kembangkan bakat awak dalam bidang ni di masa depan,”
suara Farhan membuka bicara. Nadanya kedengaran mendatar. Tiada intonasi marah.
Nuraini menunduk wajah. Kembang hatinya bila
dipuji begitu. Hilang rasa bimbang yang bertamu dihatinya sebentar tadi.
“Oleh sebab itu saya ingin memberi peluang pada
awak untuk libatkan diri dalam projek yang telah saya bentangkan sebentar tadi.
Kalau boleh saya nak awak bantu Danish membuat lakaran untuk iklan itu. Saya
nak hasil yang lebih baik dari iklan-iklan yang pernah syarikat kita hasilkan
sebelum ini. Boleh saya sandarkan harapan itu pada awak Ain?” pandangan mata Farhan
masih menusuk ke wajah manis itu.
Nuraini mengangguk kecil.
“Insya Allah Encik Farhan, saya cuba melakukan
yang terbaik nanti,” sahutnya penuh semangat walau dia kurang mengerti dengan
intipati projek yang disuarakan Farhan sebentar tadi.
Keasyikannya menilai diri lelaki itu membuatkan
Nuraini tidak memusat fikiran pada perbentangan itu sepenuhnya.
“Good.
Oh ya Ain, ada satu lagi perkara yang saya inginkan bincangkan dengan awak. Saya
sebenarnya nak minta pertolongan dari awak Ain. Itu pun kalau awak setujulah,”
Kata–kata Farhan membuatkan bola mata gadis itu
kembali menusuk ke wajah tampan itu. Lembut lelaki itu membalas tatapannya.
“Encik Farhan nak minta tolong apa?” tanyanya. Masih
meratah wajah tenang itu.
Farhan menghempas nafas perlahan.
“Begini Ain. Awak sendiri pun maklumkan, Tania
akan bercuti bersalin tak lama lagi. Memandangkan saya sendiri pun tak ada masa
untuk mencari penggantinya, jadi boleh tak kalau sekiranya saya lantik awak
jadi setiausaha saya buat sementara waktu? Lagipun awak dah ada pengalaman
menjadi setiausaha sebelum ini kan? Saya ada terbaca dalam resume yang awak
bagi tak lama dulu,”suara Farhan lagi.
Nuraini terdiam sejenak. Berfikir seketika.
Jadi setiausaha? Habis kerja aku macam mana?
Nuraini tertanya sendiri dalam hati.
“Tentang kerja awak tu, awak tak payah risau. Saya
akan bantu awak. Cuma itulah, saya harap sangat awak boleh mengambil alih
tempat Tania nanti. Tapi untuk sementara waktu sajalah sebelum dia kembali
bertugas,”
Nuraini masih mengunci mulut. Ligat otaknya
berpusing. Mencari kata-kata yang sesuai untuk kembali bersuara.
“Saya faham Ain, susah untuk awak membuat dua
kerja dalam satu masa tapi saya benar–benar berharap awak dapat membantu saya.
Silap saya sendiri sebab terlalu sibuk dengan kerja sampai tak terfikir nak
mencari pengganti tempat Tania buat sementara waktu,” Farhan sedikit mengeluh.
Kesal dengan kelalaian diri dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ketua
syarikat.
Nuraini menarik nafas panjang. Serba salah dirinya
untuk menolak permintaan lelaki yang dalam diam begitu dikaguminya itu. Jawapan
yang sedia ada di benak ditimbal beberapa kali.
“Kalau tentang gaji yang merisaukan awak, awak tak
perlu risau. Saya akan bayar lebih dari gaji yang awak dapat sekarang. Maksud
saya, saya akan bayar gaji berdasarkan dua jawatan yang disandang awak nanti,”
suara Farhan lagi. Lebih kepada memujuk.
Dalam hati, Farhan tergelak sendiri. Tak pernah
dibuat dek orang pereka grafik dan setiausaha dijawat oleh orang yang sama
dalam satu masa. Namun keadaan yang terdesak membuatkan dia tidak lagi
memikirkan tentang semua itu.
“Eh, bukan itu yang saya fikirkan Encik Farhan.
Cuma saya rasa bimbang,” kata–kata pantas Ain tersangkut di situ.
“Bimbang?” Farhan mengangkat kening. Menanti
kata–kata seterusnya.
“Saya sebenarnya bimbang tak dapat tumpukan
sepenuh perhatian pada kedua–dua kerja tu nanti. Lagi pun Encik Farhan,
pengalaman saya menjawat jawatan setiausaha tu tak lama. Sebulan dua saja.
Banyak lagi kerja setiausaha yang saya tak tahu. Saya risau tak dapat melakukan
yang terbaik nanti,” jujur dia berterus terang.
Farhan menghela nafas pendek.
“Seperti mana yang saya katakan tadi, saya sendiri
akan bantu awak dalam menjalankan tugas–tugas itu nanti. Cuma buat masa
sekarang, saya hanya nak kepastian dari awak sama ada awak terima atau tidak
permintaan saya. Itu saja,” tegas dia bersuara.
“Lagi pun, sementara Tania masih belum bercuti,
awak boleh belajar dengan dia. Tak banyak pun tak apa. Buat setakat mana yang
awak boleh lakukan. Selebihnya nanti, saya akan ajarkan,” Farhan bersuara lagi.
Dia merenung lama wajah Ain yang perlahan–lahan
menghembus nafas panjang. Dia terdiam semula sebelum mengangguk kecil.
Farhan menarik nafas lega.
No comments:
Post a Comment