Monday, October 01, 2012

KEJORAKU BERSATU : BAB 4

BAB 4

So, macam mana dengan pekerjaan kau kat pejabat, okey tak?” soal Airil tersenyum memandang Tengku Anuar yang duduk menyandar di depannya.
William di sebelahnya turut membuang pandang ke wajah pemuda itu.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Tak tahulah esok lusa macam mana pula,” balas Tengku Anuar tenang.
“Untunglah kau Nuar, balik-balik Malaysia aje terus ada kerja. Macam kita orang ni, nak kena mohon dulu. Itu pun belum tentu dapat,” sampuk William, lelaki berketurunan Inggeris yang fasih berbahasa Melayu itu melontar suara. Matanya masih melekat pada Tengku Anuar.
“Ala, kau orang pun apa kurangnya. Si Airil ni, bukannya tak ada kerja. Ayahnya tu, pemilik bank terbesar kat Malaysia ni. Saja je nak kerja kat tempat lain,”
“Aku bukannya apa Nuar, aku nak berdikari dulu. Lagi pun aku tak berminatlah bekerja dalam bank. Kurang cabarannya. Bagi aku, bekerja sebagai arkitek lagi best dari kerja dengan ayah aku sendiri,” Airil menolak sedikit kerusi yang didudukinya ke belakang. Membetulkan kedudukannya agar lebih selesa.
“Iyalah tu kau. Ada je alasan ya. So kau Wie, apa perancangan kau sekarang?” soal Tengku Anuar mengalih pandangannya ke arah William.
Dia dan Airil bersahabat baik sejak mereka sama-sama menyambung pengajian di salah satu universiti di Amerika beberapa tahun lepas. Mereka bertemu William setelah mula bekerja di Miami sebaik saja tamat pengajian. Hubungan mereka menjadi semakin rapat apabila William mengambil keputusan mengikut mereka pulang ke Malaysia.
“Hmm… sebenarnya, aku ada satu berita baik yang nak aku sampaikan pada kau orang,” William tersenyum lebar. Matanya yang berwarna hijau kebiru-biruan itu kelihatan bercahaya. Menyerlahkan lagi ketampanannya yang sedia ada.
“Berita apa? Cakaplah cepat Wie. Oh, kau nak kahwin lagi satu ya,” usik Airil tersenyum nakal. Diangkat kening kanannya beberapa kali.
“Isy kau ni Ril, ke situ pula. Mana dia nak letakkan si Katherine tu,” sampuk Tengku Anuar yang turut tersenyum mendengar gurauan itu.
“Iyalah kau Ril, mana aku nak letak isteri aku tu,” ujar William mengulum senyum. Mengerti dengan sikap Airil yang gemar menyakat orang.
“Sebenarnya, aku nak beritahu kau orang yang aku telah dapat tawaran untuk bekerja sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di salah satu universiti swasta di Kuala Lumpur,” ujarnya tenang. “Wow, congratulations Wie,” Jerit Airil sedikit kuat.
Serentak Airil dan Tengku Anuar  menghulur tangan. Berjabat salam. William menyambut huluran tangan mereka.
So, bilalah kau akan mula bekerja?” tanya Airil.
“Kalau tak ada aral melintang, mungkin bermula minggu depan,”
“Nampaknya impian kau untuk menetap di Malaysia ni dah jadi kenyataan Wie,” ujar Airil tumpang gembira.
“Apa kata Katherine bila dia tahu kau dapat tawaran kerja tu?” soal Tengku Anuar.
“Dia tidak kisah dengan segala keputusan yang aku buat. Malah dia sendiri gembira mendengar berita ni,”
“Kau tak rasa menyesal ke tinggalkan negara kelahiran kau Wie?” ujar Airil.
“Aku rasa, aku dah buat keputusan yang tepat tentang ini Ril. Sejak ayah aku ditugaskan bekerja di duta Amerika di Malaysia, aku dapat rasakan yang aku begitu serasi dengan budaya negara ni. Walau pun selepas ayah bersara kami sekeluarga berpindah semula ke Amerika, aku tak rasa tenang seperti mana yang aku rasai ketika berada di sini. Sebab tu, bila kau orang beritahu yang kau orang nak menetap terus di Malaysia, aku buat keputusan untuk mengikut kau orang pulang ke Malaysia walau pun aku tahu, aku tiada siapa lagi di sini,” ujarnya sedikit sayu.
“Kau silap Wie, kau masih ada kami berdua, sahabat baik kau. Dan yang paling penting, kau masih ada Katherine yang begitu mencintai kau. Dia sanggup mengikut apa saja kehendak kau. Kau bertuah kerana dapat isteri sebaik dia,” Tengku Anuar bersuara memberi kata semangat.
“Betul kata kau tu. Aku bertuah kerana Katherine sentiasa di sisi aku. Mungkin juga kerana kami berdua sama-sama telah menjadi yatim piatu menyebabkan ikatan antara kami semakin kuat,” suara William masih kedengaran sayu.
“Eh, dahlah tu. Jangan ingat lagi perkara yang dah lepas tu,” ujar Airil tidak mahu suasana sedih menguasai pertemuan tengah hari itu. “So guys, kau orang nak pergi mana lepas ni?” ujar Airil menukar topik perbualan. “Mana lagi, balik pejabatlah,” ujar Tengku Anuar tenang.
“Kau Wie?” soal Airil memandang wajah lelaki yang kembali tenang itu.
“Aku nak balik rumah. Aku dah janji dengan Katherine nak bantu dia kemas rumah hari ni. Maklumlah, kami kan baru pindah. Banyak perkara yang perlu kami selesaikan,”
“Okeylah kalau macam tu. Jom, kita bergerak sekarang. Karang lewat pula Cik Anuar kita ni masuk bertugas. Tak pasal-pasal, baru masuk kerja kena pecat pula,” usikan Airil mengundang tawa mereka bertiga.

“Kau ni kenapa Nina? Dari tadi muka kau bukan main monyok lagi,” tegur Asyikin. Dipandang wajah Nina yang berpeluk tubuh di depannya. Wajah gadis itu kelihatan sedikit pucat.
Nina mengeleng kepalanya perlahan. “Tak ada apa. Aku sakit kepala sikit pagi ni,” sahutnya sedikit lemah.
“Kau dah pergi jumpa doktor?” soal Khalidah yang duduk bersebelahan Asyikin.
“Malaslah aku nak pergi. Bukannya teruk pun. Kejap nanti baiklah sakit aku ni. Lagi pun bukannya teruk sangat sakit aku ni. Sakit kepala je,” Nina masih memicit-micit dahinya.
“Ei kau ni Nina, tak ubah-ubah perangai. Dah sakit macam tu pun boleh pula di buat main-main,” marah Asyikin.
Geram betul dengan tingkah laku Nina yang sedari dulu tidak pernah peduli dengan kesihatan sendiri. Dia begitu arif dengan sikap Nina yang tidak suka berjumpa dengan doktor walau pun diri dalam keadaan tenat.
“Dahlah Ikin, janganlah kau berleter kat aku pula. Kepala aku yang sakit ni semakin sakit rasanya bila dengar ceramah kau tu tau,”
“Aku bukan nak membebel tapi aku kesian tengok muka kau tu. Pucat lesi semacam je. Risau aku tengok,” balas Asyikin sambil menjeling geram ke arah gadis itu.
“Aku tahulah kau sayang pada aku Ikin tapi nak buat macam mana, aku tak ada masa nak pergi jumpa doktor. Itulah kau, dulu tak nak belajar tinggi-tinggi sampai jadi doktor. Kalau tak, tak payah aku susah-susah nak ambil cuti semata–mata nak pergi jumpa doktor,” ujarnya dalam nada bergurau.
“Ewah, aku pula yang kena jadi doktor ya,” rengus Asyikin. “Engkau tu yang sepatutnya jadi doktor tau. Kau dah ada basic sains dari sekolah lagi, bolehlah jadi doktor. Pergi oversea kau ambil bidang kejuruteraan mekanikal pula. Lainlah aku, dari dulu dah minat nak jadi usahawan,”
“Ala Ikin, aku bukan tak minat nak jadi doktor tapi aku takut,”
“Takut?” berkerut dahi Asyikin seketika. Sedikit hairan.
“Aik, sepanjang aku kenal kau, tak pernah pula aku tengok kau takut pada apa-apa benda pun. Kenapa pula tiba-tiba pula kau rasa takut?”
“Yalah, aku takut kalau-kalau ada doktor-doktor yang handsome nak pikat aku. Takut tak terlayan nanti,” ujar Nina tertawa besar.
“Eii kau ni Nina, kalau tak mengenakan aku boleh tak!” jerit Asyikin sedikit kuat.
Kemudian dicubit lengan gadis itu yang semakin kuat tawanya.  Tidak dipeduli rasa sakit kepala yang sedang ditanggung sahabat baiknya itu.
“Hei kau orang ni, malulah sikit. Semua orang pandang kita tau. Kita ni dahlah perempuan, cubalah bersopan sikit,” tegur Khalidah.
“Bukan aku yang mulakan. Ni ha, sepupu kau ni. Saja je nak mainkan aku,” ujar Asyikin membela diri. Dijeling sekilas ke arah Nina yang kembali tersenyum lebar.
“Okeylah Cik Khalidah, dengan ini saya Nina Nuraina berjanji tidak akan membuat bising lagi dalam restoran ini,” ujar Nina masih tersengih seraya mengangkat tangan kanannya ke atas separas telinga seperti orang mengangkat sumpah.
Khalidah dan Asyikin yang memandang gelagatnya hanya mendengus kecil. Masing-masing mengeleng beberapa kali. Lali dengan Nina yang jarang bersikap serius. Sememangnya itulah sikap Nina sejak dulu. Suka bersikap gila-gila dan sentiasa happy go lucky. Biar apa pun masalah yang dihadapinya, gadis itu sentiasa kelihatan riang dan ceria. Kerana itu mereka jarang melihat Nina berkeadaan sedih mahupun duka.
“Mak Ngah beritahu aku, malam tadi kau balik rumah,” Khalidah bersuara setelah suasana kembali seperti sedia kala. Wajah Nina yang kelihatan tenang di pandang sekilas.
“Bila masanya kau jumpa dengan mama aku?” soal Nina acuh tak acuh.
Pinggan yang masih berisi makanan ditolak perlahan ke tengah meja. Rasa sakit yang menyengat kepalanya membuatkan dirinya kehilangan selera.
“Dia call mak aku  pagi tadi. Kau gaduh lagi ke dengan dia?” tanya Khalidah.
Nian mengeluh perlahan.
“Aku tak ada niat pun nak bergaduh dengan dia Idah, tapi kau tahu ajelah mama aku tu. Tak habis-habis nak berleter. Ada saja yang tak kena,” ucap Nina.
Actually Nina, aku sokong apa yang mama kau katakan. Kau perlu berubah Nina. Tengok pakaian kau tu, tak macam perempuan langsung. Dengan t-shirt buruk kau tu, seluar jeans kau yang entah dari mana kau kutip pakai, mahunya mama kau tu tak naik angin. Siap dengan cap yang tak lekang dari kepala kau tu. Pendek kata memang tak ada langsung ciri perempuan dalam diri kau,” panjang lebar Asyikin berceramah. 
Mata Asyikin melkat sejenak pada topi berwarna hitam yang tersarung di kepala Nina. Jarang matanya dapat menjamah rambut Nina memandangkan topi itu jarang ditanggalkan. Ditambah dengan koleksi topi yang pelbagai corak dan warna yang dimiliki oleh Nina menjadi antara sebab Nina gemar menyarungkannya tanpa mengira masa dan tempat.
“Betul kata Asyikin tu Nina. Kau kena ingat, mak ayah kau tu orang berpangkat agak besar, malu dia orang dengan sikap kau ni,” sampuk Khalidah.
“Itu aku tahulah, tapi aku kan kerja kat bengkel, takkan aku nak pakai skirt pula nak buat kerja semua tu,” balas Nina selamba.
“Tak semestinya kau kerja kat bengkel tu kau kena pakai pakaian comot 24 jam. Itu cuma alasan kau saja. Kau ni sama je Nina, kat mana-mana kau pergi pun gaya yang sama juga kau buat. Cubalah sekali sekala kau keluar shopping tu kau pakai skirt ke, baju kurung ke, sejuklah sikit hati mama kau tengok,” nasihat Khalidah.
“Lagi satu, aku nak ingatkan kau. Kalau kau nak Datuk Rashdan tu jatuh cinta pada kau, kau kena berpakaian macam perempuan, bukan macam jantan,” celah Asyikin.
“Maksud kau?” soal Nina meminta kepastian. Mendengar nama itu membuatkan rasa sakit kepalanya hilang entah ke mana. Asyikin mengulum senyum. Sedar, jeratnya mengena.
“Maksud aku Nina, kalau kau nak jadi isteri Datuk Rashdan, kau kenalah berpakaian macam perempuan-perempuan lain. Kau kena ingat, Datuk Rashdan tu orang korporat dan selalunya orang korporat sepertinya takkan pandang perempuan yang berpakaian macam kau ni. Malulah dia nak bawa kau ke mana-mana majlis nanti,”
Nina terdiam seketika. Ligat otaknya memikirkan kata-kata Asyikin itu.
“Lagi pun, cuba kau fikir Nina, Datuk Rashdan tu antara lelaki berumur yang menjadi rebutan ramai wanita tau. Jangan kerana penampilan kau yang tak serupa perempuan ni menyebabkan dia tak memandang sebelah mata pun diri kau tu,” ujar Asyikin lagi.
Dipandang sekilas wajah Khalidah yang memandang geram ke arahnya. Asyikin hanya tersengih. Dia sedar, Khalidah tidak suka dia mengaitkan nama Datuk Rashdan dalam soal ini namun Asyikin terpaksa melakukannya demi melihat perubahan dalam gaya dan penampilan diri Nina.
Nina mengeluh perlahan.
“Entahlah Ikin, aku tak rasa Datuk Rashdan akan menilai seseorang tu berdasarkan pakaiannya. Kalau benar kita cintakan seseorang, kita takkan ubah dirinya untuk mengikut citarasa kita tapi kita yang perlu menerima diri orang yang kita cintai tu seadanya dia. Bukannya meminta dia mengubah diri semata-mata untuk menyenangkan hati kita. Itu hipokrit namanya,” ujar Nina tenang.
“Itu memang betul Na tapi kau kena tahu, penampilan itu juga penting dalam menarik perhatian orang yang kita cintai. Kalau iya pun kau nak orang tu terima diri kau seadanya tapi kalau penampilan kau tu boleh menyebabkan dia mendapat malu, tak mustahil rasa cinta itu akan lenyap juga suatu hari nanti,” ujar Asyikin sedikit berbahas.
Sememangnya itulah kelebihan Asyikin sejak di bangku sekolah lagi. Kebolehannya dalam mematahkan kata lawan amat dikagumi ramai. Tidak hairanlah jika wanita itu pernah dinobatkan sebagai pembahas terbaik selama tiga tahun berturut-turut ketika mereka di universiti dulu.
“Betul kata Asyikin tu Nina,” sela Khalidah yang sejak tadi hanya mendengar perbualan mereka berdua.
“Dengan mengubah penampilan, kau bukan  saja dapat tarik perhatian Datuk Rashdan malah banyak lagi jejaka-jejaka kat luar sana tu yang inginkan kau jadi isteri mereka. Kau nak yang macam mana? Tinggi? Kacak? Muda? Semua ada,” ujarnya lagi.
Namun jauh di sudut hati Khalidah menyedari satu-satunya sepupu perempuan yang dia punyai ini merupakan seorang gadis yang cantik. Dengan bertubuh langsing dan tinggi lampai, Nina mempunyai kecantikannya yang tersendiri. Namun semua itu terlindung di balik penampilannya yang seakan seperti lelaki itu.
“Aku tak nak orang lain Idah, aku cuma nak Datuk Rashdan dalam hidup aku. Itu saja,” balas Nina sedikit serius. Polos wajahnya memandang Khalidah yang mendengus geram.
“Hei kau ni Nina, apa yang menariknya pada duda beranak dua tu hah? Dia tu dah hampir sebaya dengan mak ayah kita tahu. Banyak lagi lelaki lain yang boleh kau pilih selain dari dia,” balasnya sedikit tegas.
“Usia bukan penghalang untuk kita jatuh cinta Idah,” balas Nina selamba.
“Huh, lagi-lagi itu alasan kau. Macam dalam dunia ni semua lelaki dah mati dan cuma dia seorang saja yang ada,” cemuh Khalidah mendengus keras.
“Dahlah tu kau orang berdua, nak bertekak pula. Dah, dah, habiskan makanan kau orang tu. Nanti lambat pula kau orang nak balik tempat kerja,” ujar Asyikin cuba mematikan pertengkaran itu. Di lirik matanya ke arah Nina dan Khalidah berulang kali sebelum menyambung suapannya yang tertangguh tadi. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012