Monday, October 01, 2012

Pemberian dari Khalifah

Seorang lelaki telah kehilangan seluruh kekayaannya dan membiasakan dirinya untuk hidup sederhana. Nasib terus menghukumnya. Tiba suatu hari ketika tiada lagi makanan yang boleh dimakan dan tiada lagi barang yang boleh dijualnya untuk membeli makanan. Lelaki itu pun berputus asa lalu memanggil isterinya.
“Wahai isteriku, pergilah kamu meminjam wang dari jiran kita. Belikan seekor ayam yang gemuk dan masaklah ia hingga menjadi lazat dan berbau sedap,”
“Mana mungkin kita boleh berfikir untuk makan makanan sebegitu sedap sedangkan kita tidak punya apa-apa pun sekarang?” kata isterinya.
“Itu bukan untuk kita meskipun kita sedang kelaparan. Itu adalah hadiah untuk khalifah,” jawab suaminya.
Lalu isterinya pun mengikut katanya. Dia keluar meminjam wang dari jiran mereka dan membelikan seekor ayam yang gemuk. Selesai isterinya memasak sebagaimana yang diminta suaminya, lelaki itu pun bergegas menuju ke istana.
“Bukalah jalan untuk makan malam khalifah,” kata lelaki itu pada para pengawal yang menghalanginya dan dia persilakan masuk mengadap khalifah yang pada waktu itu sedang duduk berbincang dengan para menterinya.
“Sejahtera untuk pemimpin kaum beriman,” kata lelaki itu.
“Inilah makan malam untukmu dan para penasihatmu,”
Dia menghamparkan kainnya di atas lantai sebagai alas, meletakkan hidangannya dan mula membahagi ayam tersebut kepada beberapa bahagian. Kepala ayam diberikannya kepada khalifah dengan penuh rasa rendah diri, bahagian-bahagian lain diberikannya kepada kedua menteri sementara dia sendiri mengambil sisa-sisanya.
“Makanlah dan semoga kesihatan mu berganda baiknya wahai pemimpin kaum beriman,” katanya.
“Apa yang sedang kamu lakukan ini wahai anakku?” tanya khalifah.
“Wahai pemimpin orang beriman, semoga Allah memberimu usia yang panjang,” kata lelaki itu.
“Engkau adalah pemimpin semua manusia di negeri ini. menteri ini berdiri di sebelah kananmu dan menteri ini berdiri di sebelah kirimu. Kami, rakyatmu yang lain tidak penting. Bukankah tepat caraku membahagikan ayam itu sesuai dengan kedudukan kamu?”
Khalifah ketawa dan memberi lelaki itu sebuah kantung berisi lima ratus keeping emas.
Lalu lelaki itu ke pasar dan membeli semua barangan yang sudah kehabisan di rumahnya. dapatlah dia dan isterinya hidup kaya. sementara para tetangga berbisik-bisik, hairan dengan keadaan hidup suami isteri itu. lalu salah seorang isteri tetangganya pun pergi bertanya kepada isteri lelaki itu dan dia pun menceritakan bagaimana hidup mereka boleh berubah kaya.
Maka bergegaslah perempuan itu pulang menemui suaminya. katanya,
“Tetangga kita yang miskin telah menghadiahkan masakan ayam kepada khalifah dan diberinya sekantung wang emas. Mengapa kita tidak melakukan perkara yang sama?”
Suaminya bersetuju.
Dia pergi ke pasar dan membeli tujuh ekor ayam betina dan menyuruh isterinya memasaknya bersama nasi dan kuah. Dia meletakkannya di atas bekas tembaga dan membayar dua kuli untuk membawanya ke hadapan khalifah.
“Apa ni?” tanya khalifah.
“Hidangan untuk pemimpin kaum beriman,” kata lelaki itu. dia memberikan tiga ekor ayam betina di depan khalifah dan masing-masing dua ekor kepada kedua menterinya.
“Apakah kamu ingin mengatakan bahawa aku telah menjadi lebih rakus berbanding rakyatku?” tanya khalifah. Lelaki itu tergagap-gagap dan tidak tahu harus menjawab. Lalu dia dihadiahkan lima ratus pukulan rotan sebelum dibenarkan pulang.
Keesokan harinya isteri khalifah Ratu Zubeidah pergi ke tempat mandi. Dia mendengar seorang perempuan berkata,
“Semoga Allah membuat khalifah kita sakit dan buta!”
“Mengapa kamu mengutuk raja kita di zaman ini?” tanya Ratu Zubeidah.
“Nilailah sendiri apakah aku benar atau tidak,” kata perempuan itu.
“Seorang lelaki telah membawa seekor ayam kecil kepada khalifah dan menerima lima ratus keeping wang emas. Suamiku memberinya sepiring besar ayam tujuh ekor ayam betina yang dimasak dengan nasi dan kuah tapi dia dipukul sampai berdarah-darah. Khalifah tidak adil dan sebab itulah aku mengutuknya,”
Pulang dari tempat mandi Ratu Zubeidah pun menemui suaminya.
“Wahai penguasa zaman ini, mengapa engkau memberi hadiah kepada seorang yang membawa ayam kecil tetapi memukul orang yang memberi orang yang memberi tujuh ekor ayam? Isteri lelaki yang dipukul itu mengeluh dan mempertikaikan penilaianmu,”
Suaminya menyahut, “Mari kita panggil kedua lelaki itu agar kamu dapat menilai sendiri wahai ibu kaum beriman, apa yang telah aku lakukan itu benar atau kemarahanmu yang benar,”
Lelaki pertama, yang sebelumnya miskin dan kelaparan dipanggil ke istana. Dia menemui khalifah dan Ratu Zubeidah dan pegawai kesayangannya, Jaafar.
“Dapatkah kamu membahagi telur-telur ini secara adil diantara kami?” tanya ratu Zubeidah sambil menunjukkan lima butir telur di tangannya.
Lelaki itu berfikir sebentar lalu dia memberi tiga telur kepada ratu Zubeidah dan sebutir telur kepada khalifah dan Jaafar.
“Mengapa demikian?” tanya khalifah.
“Aku mencari keadilan dan pembahagian semacam itulah yang adil,” kata lelaki itu.
“Engkau dan Jaafar masing-masing telah dikurnaikan alam dua telur. Ditambah dengan satu yang kuberikan pada kamu, jadi tiga jumlahnya. Agar adil, aku berikan tiga butir telur kpada ratu Zubeidah yang tidak punya sebutir telur pun sehingga kamu bertiga mempunyai jumlah telur yang sama,”
Khalifah berasa senang dengan pembahagian itu dan memberi hadiah kepadanya seperti sebelumnya.
Lelaki yang kedua, yang tidak bijak telah memberikan khalifah tiga telur dan satu masing-masing kepada ratu Zubeidah dan Jaafar. Dia juga diberikan ganjaran seperti sebelumnya dan pulang sambil merintih-rintih menemui isterinya.
Lalu berkatalah khalifah kepada isterinya,
“Dapatkah kamu melihat wahai ibu kaum orang beriman, bahawa kecerdikan lelaki itu yang membuatku memberikannya hadiah dan bukannya masakan ayamnya? Orang yang pandai itu sedikit benar jumlahnya sedangkan pengampu banyak sekali dan orang sebegitu tidak perlu diberi rasa kasihan,” 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012