Wednesday, October 03, 2012

SETIAKU DI SINI : BAB 3


BAB  3
Encik Fatih menarik nafas panjang sebelum dilepasnya perlahan-lahan. Matanya terpaku sejenak pada timbunan fail yang berada di depannya. Dadanya terasa sempit mengenangkan setiap isi yang terkandung dalam fail-fail berwarna kuning pudar itu. Terasa berdenyut urat saraf otaknya memikirkan masalah yang semakin menjerut setiap pernafasannya.
Matanya merayap seketika ke seluruh ruang bilik kecil yang diubah suai menjadi ruang pejabatnya. Ruang di mana dirinya berada kini. Ruang yang banyak menelan masanya saban hari bagi memikirkan masa depan perniagaan dan dirinya sendiri. Mengingatkan itu membuatkan Encik Fatih mengeluh lagi.
Sudah hampir sepuluh tahun dia membuka resort yang diberi nama Resort Seri Bayu itu. Selama itu juga telah banyak pelaburan yang dilakukannya demi memajukan resort yang terletak berhampiran dengan Lautan China Selatan itu.
Pelaburan yang melibatkan wang ringgit, tenaga dan masanya. Namun sehingga kini tiada hasil yang mampu dibanggakannya malah kerugian demi kerugian dikendongnya.
Telah pelbagai cara dilakukannya bagi menaikkan nama resort itu seperti mana resort–resort yang terdapat berdekatan dengannya. Semuanya menghadapi jalan kegagalan.
Jika diikutkan kata hati, mahu sahaja dia menutup resort itu dan memulakan perniagaan lain. Perniagaan yang menimbunkan keuntungan berlipat kali ganda. Perniagaan yang mampu menjauhkan dirinya dari bebanan masalah yang rumit.
Namun mengingatkan resort itu adalah impiannya selama ini maka semua itu ditolak ke tepi. Malah dia sanggup meletak jawatannya sebagai ketua jurutera di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota hanya semata-mata ingin merealisasikan impiannya itu.
Impian untuk menjadi salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang perhotelan dan pelancongan di tanah kelahirannya, Malaysia. Kerana itu dia berusaha untuk terus bertahan hingga ke hari ini. Bertahan dalam mengharungi pelbagai cabaran perniagaan.
Bunyi dentingan jam di dinding pejabat menyedarkan dirinya dari terus tenggelam dalam dunia khayalannya. Encik Fatih beristigfar panjang. Masanya terbuang lagi tanpa melakukan sebarang kegiatan berfaedah. Matanya kembali terlekat pada timbunan fail yang sedari tadi tidak terusik. Dia mengeluh lagi.

Dhia menyandarkan tubuhnya ke kepala katil. Selimut yang masih membungkus tubuh di tarik merapati dadanya. Tangannya mencapai alat kawalan. Menghala ke arah alat pendingin hawa. Mengurangkan suhu yang dirasakan terlalu mendinginkan suasana.
Sudah hampir dua hari dia tiba di bandaraya Kuala Lumpur. Selama itu juga masanya hanya dihabiskan di salah sebuah hotel lima bintang di bandaraya sesak itu. Keletihan yang bersarang di tubuh membuatkannya tidak berminat untuk menyelusuri setiap pelusuk bandaraya walau pun itulah niatnya sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia. Apatah lagi keadaan tubuhnya yang dirasakan semakin lemah dan tidak bermaya sejak kebelakangan ini menambahkan lagi rasa malasnya untuk bergerak ke mana–mana.
Bunyi deringan telefon di sisi katil menerbangkan khayalan Dhia. Perlahan–lahan Dhia mencapai gagang sebelum memberi salam.
“Hai my honey, macam mana dengan keadaan kau hari ni?” kedengaran suara di sana melantun lembut setelah menjawab salamnya.
Demi mendengar suara itu Dhia tersenyum kecil.
“Excuse me, my name is Maihani okey not my honey. Anyway my darling, I feel okey today,” balasnya sedikit lemah. Dia berdehem sedikit. Memberi ruang pada tekaknya untuk berasa lebih selesa.
Hidayat tertawa kecil.
Really? Dah makan?”
“Aku tak ada seleralah Dayat,” jawab Dhia lembut.
Dibetulkan sedikit letak baju tidur yang masih tersarung di tubuhnya. Sengaja tidak menukar pakaian setelah selesai solat subuh walau suasana telah lama beralih ke waktu tengah hari.
“Hei, janganlah macam tu Dhia. Kau kena makan walau pun sedikit. Makanan tu penting untuk menjana tenaga dalam tubuh kau. Macam mana kau nak baik kalau kau makan pun kau tak nak,” sahut Hidayat cepat. Ada kerisauan yang bergulungan dalam suara garaunya.
“Masalahnya Dayat, bukannya aku tak nak makan tapi tekak aku ni yang tak nak menelan apa-apa pun. Perut aku pun lebih kurang je. Tak bunyi-bunyi pun dari malam tadi,” selamba Dhia menjawab.
“Iyalah tu kau, ikut sangat rasa tekak dengan perut kau tu. Tak kasihan langsung pada diri sendiri. Kau kena paksa diri kau Dhia untuk makan. Kalau tak boleh masuk sekalipun, kau masukkan juga. Biar muntah tak apa, janji kau makan juga walau sedikit,” leter Hidayat tegas.
Sedikit geram dengan tingkah gadis itu yang jarang memikirkan tentang kesihatan diri sendiri. Persahabatan yang telah lama berlangsung antara mereka membuatkan Hidayat cukup mengenali sikap gadis yang sentiasa ceria itu. 
Dhia tergelak kecil.
“Kau ni Dayat, kalau tak berleter boleh tak? Berdengung telinga aku mendengar leteran kau tu tahu tak?”
“Eleh, kau tu memang macam tu. Aku berleter ke, tak berleter ke, sama saja bagi kau. Bukannya kau nak dengar pun. Eh, kau bersiap ya, sekejap lagi aku sampai. Kau makan kat rumah aku ajelah ya. Mana tahu selera kau terbuka bila tengok makanan sedap kat rumah aku ni. Jangan kata tidak okey,” suara Hidayat lebih kepada memberi arahan. Sedikit tegas.
“Ala Dayat, tak payahlah kau datang ambil aku. Aku pergi sendiri rumah kau nanti. Tak pun, aku pesan je makanan dari hotel ni,” sela Dhia cepat. Rasa malas untuk menukar pakaian membuatkan dia beralasan begitu.
“Dah, dah, kau tak payah nak merepek. Nak harapkan kau datang sendiri kat rumah aku ni, rasanya petang esok pun belum tentu kau sampai. Lagipun, manalah kau tahu jalan di KL ni. Suka hati kau saja nak datang sendiri. Karang kalau kau sesat, aku juga yang susah nak mencari kau kat merata tempat. Dah, dah, Kau siap sekarang. Sepuluh minit lagi aku sampai. Kau tunggu aku kat lobi hotel sekejap lagi,” suara Hidayat lagi. Lebih tegas dari tadi. 
“Yalah, yalah,” Malas bertekak Dhia bersetuju. Mereka berbual sejenak sebelum masing-masing meletak gagang semula.
Dhia kembali menelentangkan tubuh ke tilam katil. Matanya memandang siling bilik hotel yang mempunyai keluasan sederhana itu.
Dalam diam dia berterima kasih pada Hidayat yang banyak membantunya sejak dia tiba di Malaysia. Lelaki itu sedia memberi perkhidmatan percuma padanya tanpa mengira masa dan keadaan. Hidayat begitu mengambil berat tentang dirinya.
Adakalanya Dhia tidak selesa dengan semua itu. Dia rimas dengan layanan baik yang diterimanya. Bukan tabiatnya mengantung harap pada orang lain walau dalam apa keadaan sekalipun. Namun dia sedar, dirinya kini telah menjadi salah satu daripada tanggungjawab yang perlu digalas oleh lelaki itu. Tanggungjawab yang hakikatnya Dhia sendiri tidak pinta kewujudannya.
Perlahan Dhia bangun dari pembaringan. Menyebak selimut dari terus membalut tubuhnya. Menapak ke tingkap yang tertutup rapat.
Dari balik cermin tingkap Dhia melepas pandangan. Untuk seketika Dhia membiar matanya meratah pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang kelihatan sibuk dan sesak. Sibuk dengan pelbagai gelagat manusia yang menghuni di situ dan sesak dengan pembangunannya yang begitu pesat.
Melihat setiap kemajuan yang telah dicapai oleh negara kelahiran kedua ibubapanya, negara Malaysia yang tercinta. Negara yang tidak pernah dijejaknya selama dua puluh tujuh tahun dia hidup di dunia. Inilah kali pertama dia berkunjung ke negara yang hanya di lihat di dalam bahan bacaan dan didengari dari mulut arwah orang tuanya.
Mengingatkan semua itu membuatkan Dhia menghela nafas panjang. Hatinya puas kini. Puas kerana akhirnya dia berjaya mencapai impiannya untuk menjejakkan kaki ke negara yang terkenal dengan kekayaan budi bahasa dan keramahan penduduknya itu.
Namun bukan itu yang menjadi penyebab utama dia berada di negara beriklim Khatulistiwa itu. Kedatangannya mempunyai maksudnya yang tersendiri. Ada perkara yang harus diselesaikannya di sini. Perkara yang perlu dilakukannya dalam meniti masa–masa terakhir yang dimilikinya. Perkara yang membuatkan Dhia akhirnya teresak sendiri. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012