Sunday, October 21, 2012

KEJORA KU BERSATU : BAB 6

BAB 6

So macam mana dengan keadaan bengkel hari ni? Everything okey?” Nina bersuara sebaik kakinya memijak lantai bengkel pagi itu.
Dipandang mesra wajah para pekerjanya yang sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Telah menjadi kemestian bagi Nina untuk meninjau keadaan bengkelnya setiap hari. Sesibuk mana pun dirinya, dia akan memastikan masanya dihabiskan walau seketika untuk bertanya khabar berkenaan dengan bengkel dan para pekerjanya. Itu amalannya sejak hari pertama bengkel kenderaan itu dibuka. Kerana itu, tidak hairanlah hubungannya dengan para pekerja begitu rapat.
“Setakat ni, tak ada masalah Cik Nina, cuma bekalan minyak silinder untuk motor di bengkel kita dah berkurangan,” sahut Rafiq yang begitu tekun mencuci sebuah skuter berjenama Yamaha Majesty 250cc di hujung bengkel.
“Nanti awak beritahu Sandra kat dalam office. Apa-apa saja barang yang dah tamat tempoh atau dah tak ada stok, seperti biasa tulis dalam senarai barangan sebelum diberi pada Sandra,” ujar Nina memandang sekilas Rafiq yang pantas mengangguk kecil.
“Cik Nina, ini kereta jenis apa ya? Tak pernah saya tengok pun kereta berbentuk begini. Kereta keluaran terbaru tak?”
Nina mengalih pandangannya ke arah Jimmy. Anak muda itu sedang mengelap sebuah kenderaan yang berwarna merah hati. Dihayun langkahnya. Mendapatkan anak muda itu.
“Jim, kenderaan ni bukan kereta keluaran terbaru tapi ianya merupakan sebuah trak pikap yang mempunyai prestasi yang tinggi dan dalam masa yang sama mampu menjimatkan bahan api,” ujar Nina memandang wajah Jimmy yang memalingkan tubuh mengadapnya.
“Maksud Cik Nina?” Berkerut seketika dahi anak muda itu.
Indra dan Rafiq yang sedang membuat kerja saling berbalas pandangan sebelum mengatur langkah merapati Nina. Membiarkan kerja yang sedang dilakukan tertangguh seketika. Masing-masing berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan kenderaan yang sedang diperkatakan Jimmy dan Nina.
“Jim, kenderaan seperti ini tidak disebut sebagai kereta tapi sebaliknya di sebut sebagai trak. Ini kerana walau pun bentuknya hampir sama dengan kereta namun fungsinya agak berbeza,” jelas Nina bersahaja.
“Apa nama trak pikap ni Cik Nina?” soal Jeremy ingin kepastian.
Sekali-sekala perhatian Jimmy teralih ke kenderaan di depannya. Sebenarnya Jimmy begitu berminat dengan bidang pemotoran dan kenderaan. Apatah lagi dia mempunyai diploma dalam bidang yang berkaitan membuatkannya semakin teruja untuk menimba pengetahuan.
Namun kesempitan wang dan kesibukannya menguruskan urusan kehidupan seharian membuatkan niatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terbantut buat seketika.
“Trak ini dinamakan sebagai Ford Ranger TDCi, sebuah trak yang mempunyai enjin DOHC empat silinder selari 16 injap yang mana mampu memecut melebihi had laju tanpa perlu pemandunya bekerja keras untuk mengerakkannya. Di samping itu, enjin trak ini juga tidak akan mengeluarkan bunyi yang bising seperti mana trak-trak yang lain. Trak jenis ini juga dapat memuatkan muatan seberat satu tan dalam satu-satu masa,” terang Nina panjang lebar.
“Wow, hebatnya. Mesti harganya mahal kan Cik Nina,” sampuk Indra turut terpegun dengan pengetahuan yang baru di perolehinya itu. Jari-jemarinya menyentuh permukaan hadapan trak itu sebelum mengosoknya perlahan-lahan.
“Nak kata mahal tu, taklah juga, tapi boleh tahanlah bagi siapa yang tak mampu tu,” balas Nina memandang wajah setiap pekerjanya yang mengangguk-angguk.
“Cik Nina, kalau kereta jenis begini dipanggil sebagai kereta jenis apa ya?” tanya Indra.
Tangannya dihala sebuah kereta yang terletak di tengah-tengah bengkel kereta itu. Sudah beberapa hari kereta itu terbengkalai di bengkel tersebut. Walau pun telah lama siap dibaiki namun pemilik kenderaan tersebut masih belum dating menuntut.
“Oh, kereta ni. Ini merupakan sebuah kereta yang  tergolong dalam kenderaan pelbagai guna atau pun disebut sebagai MPV. Kalau tak silap saya, kereta ni merupakan model yang telah dikeluarkan oleh sebuah syarikat antarabangsa iaitu Alado Bumi Automobile Sdn Bhd,”
“Apa nama kereta ni Cik Nina?” sampuk Rafiq tidak sabar.
“Kereta ini disebut sebagai Chery B240. Kamu tahu apa keistimewaan kereta ni?” soal Nina sedikit tegas. Pantas ketiga-tiga anak muda itu mengeleng.
“Dikatakan kereta ini telah diterapkan dengan gaya MPV Eropah yang elegan, menawan dan hebat. Kereta ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik seperti case yang berkualiti, beg udara SRS yang berkembar di bahagian hadapan, sistem brek antikunci dan pembahagian kusa brek elektronik. Itu belum dikira dengan pemain cakera padatnya, hon dua nada, lampu kabus depan dan belakang, stereng boleh laras dan lampu belakang jenis LED. Pendek kata, memang selesa,” ujar Nina lagi.
“Wow, hebat tu Cik Nina,” Terlopong mulut Rafiq seketika mendengar penjelasan Nina yang di rasakan benar-benar dapat memukau minatnya untuk memiliki kereta itu.
“Hebat tu, hebat jugalah, tapi harganya tentu hebat juga kan Cik Nina,” sela Jimmy turut kagum dengan kelebihan yang terdapat pada kereta itu.
Nina mengangguk kecil.
“Harganya boleh dikatakan mahal. Malah lebih mahal dari harga trak pikap tadi. Dalam lingkungan RM132,000,”
“Mak datuk, mahalnya. Lebih baik beli rumah kalau macam tu mahal,” sahut Indra.
“Bagi awak memanglah mahal, tapi bagi sesiapa yang berminat dengan kereta jenis begini, harga tu bukannya ukuran lagi. Yang penting kepuasan diri dapat dipenuhi,”
“Tapi bagi sayalah Cik Nina, membeli kereta mahal ni membazir saja. Mana tidaknya, kereta ni kan tergolong di antara benda-benda yang berteknologi. Ianya akan berubah mengikut arus teknologi yang sentiasa berubah,” ujar Rafiq memberi pandangan.
“Aku sokong dengan pendapat kau tu. Lagi pun, cubalah fikir, makin canggih sesebuah kereta tu, semakin banyak perbelanjaan yang perlu kita tanggung. Dari segi pemasangan alatan kereta, aksesori dan sebagainya. Dahlah tu, kalau kita membeli kereta buatan luar negara, kita terpaksa menghabiskan masa dan duit yang banyak untuk mencari spare part untuk kereta kita sekiranya berlaku sesuatu pada kereta kita tu. Itu belum di kira dengan kos-kos lain lagi,” sampuk Indra menyokong penuh kata-kata Rafiq.
“Betul tu. Lagi satu, kereta mahal ni selalunya memerlukan jumlah minyak petrol yang banyak setiap kali ianya digunakan. Bayangkan kalau harga minyak petrol naik secara mendadak, teruk juga pemakai-pemakai kereta jenis ni nak mengisi tangki,” Jimmy turut menyuarakan pendapat.
“Itu pendapat kamu semua tapi pada orang yang berkemampuan, semua itu bukanlah penghalang untuk memiliki kenderaan jenis begini. Malah ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk menjadikan kenderaan mereka kelihatan unik dan menarik. Walau pun pada pandangan orang lain semua itu adalah membazir namun bagi mereka perkara itu memberi satu kepuasan pada mereka sendiri,” ujar Nina.
“Kenapa ada orang yang sanggup menghabiskan duit mereka pada perkara yang rasanya tak membawa sebarang keuntungan pun pada mereka ya Cik Nina?”
“Inilah yang dikatakan sebagai kehendak manusia Jimmy. Setiap manusia mempunyai kehendak mereka yang tersendiri dan kehendak itu pula berbeza dengan manusia yang lain. Mungkin pada kamu ianya membazir tapi bagi mereka yang mempunyai kehendak yang sebegitu takkan menganggap ianya satu pembaziran sebaliknya menganggap perkara itu sebagai satu kepuasan yang dapat memenuhi kehendak yang diinginkan mereka,” Mereka yang mendengar menganggukkan. Mengerti dengan penerangan itu.
“Wah, banyak betul perkara yang Cik Nina tahu tentang kenderaan ya,” suara Indra kagum dengan pengetahuan yang dimiliki ketuanya itu.
“Tak adalah banyak mana Ind, saya tahu pun sebab saya suka membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang permotoran. Selain tu saya selalu menghadiri pameran kenderaan yang selalu di buat di sekitar ibu kota kita ni. Kamu pun boleh kalau kamu nak, semuanya terpulang pada diri kamu sendiri,” balas Nina merendah diri.
“Tapi kiranya Cik Nina tahu jugalah tentang kenderaan begini berbanding kami semua yang hanya tahu sedikit je tentang bidang ni,” giliran Rafiq meluah kata.
“Kamu bertiga dengar nasihat saya. Kalau kamu ingin berjaya dalam setiap bidang yang kamu sertai, kamu perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang tersebut. Bukan sekadar membaca malah kamu perlu meminta tunjuk ajar dari orang yang lebih berpengalaman dari kamu. Malah, ada lebih baik kiranya kamu mengalami sendiri setiap apa yang kamu ingin ketahui.
Kerana bak kata orang bijak pandai, pengalaman merupakan guru yang terbaik untuk manusia. Jadi, jangan beri apa-apa alasan utnuk kamu menambah pengetahuan. Kerana pengetahuan itu kamu boleh perolehi dengan pelbagai cara. Hanya terpulang pada kamu bagaimana untuk mendapatkannya,”
Mata Nina merayap ke setiap wajah yang ada di depannya. Dia menyimpul senyum. Terselit kepuasan dalam dirinya kerana berupaya berkongsi pengetahuan dengan mereka walau pun baginya ilmu yang di punyainya itu hanya sebesar hama. Jimmy, Indra dan Rafiq turut mengulum senyum. Masing-masing mengangguk kecil. 
“Hmm… dahlah tu. Pergi sambung semula kerja masing-masing, Karang tak siap pula kerja kamu tu,” kata-kata Nina mematikan perbualan mereka. Indra, Jimmy dan Rafiq segera meminta diri. Ingin menyambung semula kerja yang terbengkalai. 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012