Friday, October 05, 2012

Perubahan fasa hidup...


Masa berjalan pantas. Sangat pantas sebenarnya hingga kita yang melaluinya saban waktu langsung tidak menyedari pemergiannya. Tahu-tahu ia telah pergi dan terus pergi… membawa sama satu demi satu fasa kehidupan yang harus kita jejaki sepanjang bernyawa dalam dunia ini…
Majoriti manusia mengatakan bahawa fasa kanak-kanak adalah fasa kehidupan yang paling indah… atas sebab apa? banyak sebabnya… salah satunya, di fasa ini kita baru mengenali dunia… masih bertatih untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di sekeliling kita selain mengalaminya dengan cara tersendiri…
Memang indah namun bukan semua manusia bertuah melaluinya dengan penuh bahagia… ada yang lebih dari derita… bukan sekadar di luaran tapi di jiwa dan itulah yang membentuk identiti diri kita apabila melalui fasa-fasa hidup seterusnya…
Bandingkan saja kanak-kanak di negara kita dan mereka yang membesar di negara-negara yang tidak berkemampuan mahupun lebih gah dari kita… sangat-sangat ketara perbezaannya… di Afrika, Somalia, sejak lahir kanak-kanak sudah mengenal erti peritnya kehidupan tanpa makanan, tempat tinggal dan apa jua keperluan asas hidup yang lain… jiwa mereka tabah menghadapi segalanya walau kehidupan begitu menyeksa… masih mampu mengukir senyum dan bergelak tawa walau fizikal tubuh seacuan rangka bernyawa saja layaknya…
Kanak-kanak negara kita pula berkeadaan sebaliknya… walau tidak mewah tapi cukup segalanya… namun nilai-nilai murni yang kita mahu terapkan tidak juga terlekat di jiwa mereka sepenuhnya…lihat saja golongan remaja negara kita… di mana silapnya didikan kita hingga mereka mampu mencetuskan pelbagai keadaan yang sukar berlaku ketika orang tua kita dibesarkan dulu sedangkan semuanya dibesarkan di tanah yang sama?
Benar bukan semua remaja kita rosak akhlaknya tapi sedar atau tidak, hampir separuh darinya kehilangan akhlak sejak di bangku sekolah rendah lagi… tak kiralah apa sekalipun anutan agamanya, bangsanya mahupun adat resamnya… tidak menuduh apatah lagi menuding jari pada sesiapa tapi sedarkah kita anak-anak remaja inilah yang bakal memimpin negara di masa yang akan datang?
Memang persekitaran dan cara didikan yang menjadi coraknya tapi siapa yang membentuk persekitaran dan didikan itu kalau bukan kita yang lahir sebelum mereka? jika bukan sepenuhnya pun, kita yang lebih dewasa patutnya mengajar dan menghalang mereka dari terus dirasuk persekitaran yang tak sepatutnya didiami anak-anak remaja kita ini… tetapi kerana lebih mementingkan kemodenan yang dirasakan membawa kemajuan kepada semua, inilah bahana yang perlu kita tanggung sebagai balasan pada kemajuan yang kita inginkan itu… anak-anak remaja kita hilang nilai-nilai murninya yang sejak di fasa kanak-kanaknya telah goyah… lalu bagaimana kita mahu membentuknya menjadi manusia yang perkasa jiwanya apabila mereka melangkah ke fasa dewasa kemudian harinya?
Jangan salahkan anak remaja kita bila mereka melakukan kesalahan… tiada manusia dalam dunia ini yang mahu hidup dalam kekesalan atas kesalahan yang mereka lakukan seumur hidupnya… anak remaja kita juga begitu… sekali berbuat salah, kita tidak boleh terus menghukum tetapi berilah kesedaran… benar mereka akan kesal dan tetap mengingati kesalahan itu tetapi itu akan menjadi banteng kepada mereka untuk tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama di depan hari…
Bila tiba di fasa dewasa, tiada apa lagi yang mampu kita lakukan kerana inilah fasa terpenting yang harus dilalui semua manusia… kerana apa? kerana di fasa inilah hati manusia telah penuh dengan segala-galanya… impian, keinginan, kejayaan… boleh ditegur namun sukar dibentuk lagi kerana sedari awal jiwanya telah diisi dengan nilai-nilai yang tidak sepatutnya… impaknya, meski dia bukan yang sangat berpengaruh namun aura dirinya tetap juga meresap pada mereka yang lain walau hanya secebis cuma…jadi apa yang patut kita lakukan ketika ini? Hanya lihat dan terus lihat tanpa sebarang usaha dan doa? Hmm…bukan itu jalannya…
Ingatlah, selagi dunia ini tidak hancur, selagi itulah jalan penyelesaian bagi setiap masalah tetap wujud… sebagai manusia, kita memang takkan mampu menyelesaikan masalah sebesar gunung seorang diri namun percayalah… jika kita sentiasa yakin kita di pihak benar dan tidak jemu berusaha memerangi sesuatu yang berada di bukan tempatnya, Insya Allah Dia pasti akan sentiasa ada untuk kita…
Jadi jangan mudah menyalahkan sesiapa jika generasi kita yang seterusnya terus-terusan mempunyai jiwa yang kosong tanpa nilai-nilai kehidupan yang murni... kerana apa? kerana semua kesalahan dan kesilapan mereka sebenarnya berpunca dari kita, manusia yang terlebih dahulu melihat dunia ini sebelum mereka… betulkan diri dan jiwa kita sebelum kita ingin membetulkan generasi yang masih menanti giliran untuk mengambil alih fasa kehidupan… kerana kata pujangga, mustahil pokok kelapa berbuahkan sawit jika benihnya tidak dicampur dengan yang lain dari asalnya… generasi kita adalah hasil dari acuan kita… maka renungkanlah… 

No comments:

Post a Comment

 

Designed by Tempah Blog Template By productivedreams © 2012