Asy’ab At Tami’ atau dikenali sebagai
Abu Humaidah termasuk seorang Tabiaut Tabiin yang meriwayatkan hadis dari
beberapa ulama Tabiin di antaranya Ikrimah. Suaranya sangat bagus dan pernah
datang kepada Khalifah Al-Walid bin Yazid di Damsyik.
Suatu hari Abu Asy’ab diminta oleh
seseorang agar menceritakan hadis. Maka berkatalah dia,
“Telah menceritakan kepadaku Ikrimah
daru Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, : ada dua perkara,
barangsiapa yang mengerjakannya, dia akan masuk syurga…,”
Tiba-tiba Abu Asy’ab diam dalam masa
yang agak lama sehingga membuat orang-orang yang mendengarkannya ternanti-nanti
ingin mengetahui sambungannya dengan segera.
“Apa dua perkara itu?” tanya orang
yang hadir itu.
“Ikrimah lupa satu perkara dan aku
pula lupa yang satu perkara yang telah diajarkan kepadaku oleh Ikrimah,” jawab
Asy’ab.
“Ha…ha…ha…,” ketawa semua orang yang
mendengarnya kerana sama saja dengan tiada apa-apa.
Asy-Syafii pula menceritakan bahawa
pada suatu hari sekumpulan budak-budak telah mempermain-mainkan Asy’ab. Dia
mencari helah agar budak-budak itu bersurai dengan sendirinya.
“Hai… anak-anak sekalian, di sana ada
orang membahagi-bahagikan hadiah tahu,” kata Asy’ab sambil menunjuk pada satu tempat.
Ketika itu juga budak-budak itu berlari ke sana, saling mendahului satu sama
lain.
“Eh…barangkali memang betul ada orang
membahagi-bahagikan hadiah,” kata Asy’ab apabila melihat budak-budak itu
bersungguh-sungguh. Dia pun berkejar ke sana mengikuti budak-budak yang
ditipunya itu.
No comments:
Post a Comment